PESAKIT KANSER YANG MENERIMA VAKSIN mRNA COVID-19 MEMPUNYAI KADAR HIDUP KESELURUHAN YANG LEBIH BAIK APABILA DIRAWAT DENGAN IMUNOTERAPI.
Vaksin mRNA COVID-19 bukan sahaja melindungi pesakit kanser daripada jangkitan SARS-CoV-2 yang teruk, malah kajian terkini menunjukkan ia dikaitkan dengan kadar hidup keseluruhan ("overall survival") yang lebih baik, khususnya dalam kalangan pesakit kanser paru2 dan melanoma yang menerima rawatan imunoterapi.
Satu kajian retrospektif berskala besar yang diterbitkan dalam jurnal Nature mendapati pesakit kanser lanjut, termasuk kanser paru-paru jenis NSCLC dan melanoma, yang menerima vaksin mRNA COVID-19 dalam tempoh tertentu sebelum rawatan "immune checkpoint inhibitors" (ICI) mempunyai kadar hidup keseluruhan (OS) yang jauh lebih tinggi berbanding pesakit yang tidak divaksin. Dalam kohort NSCLC, median keseluruhan kelangsungan hidup meningkat daripada sekitar 20 bulan kepada lebih 37 bulan dalam kalangan pesakit yang divaksin.
Mekanisme yang dicadangkan adalah vaksin mRNA mengaktifkan dan menguatkan sistem imun, termasuk laluan interferon dan sel T sitotoksik, seterusnya menjadikan tumor lebih sensitif kepada imunoterapi. Fenomena ini digambarkan sebagai kesan “immune priming”, iaitu rangsangan imun tidak langsung yang meningkatkan keberkesanan rawatan kanser sedia ada.
Penemuan ini turut dilaporkan dan dibincangkan dalam laporan klinikal serta ulasan oleh pakar onkologi, yang menegaskan bahawa vaksin mRNA COVID-19 tidak menjejaskan rawatan kanser, malah berpotensi memberi manfaat tambahan dari sudut imunologi.
Walaupun kajian lanjut secara prospektif masih diperlukan, bukti semasa menyokong bahawa vaksin COVID-19 adalah selamat dan bermanfaat untuk pesakit kanser.
KESIMPULAN
Pesakit kanser yang menerima vaksin mRNA COVID-19 menunjukkan perlindungan imun yang lebih baik dan kadar hidup keseluruhan (OS) yang lebih tinggi, terutamanya apabila digabungkan dengan imunoterapi. Dakwaan bahawa vaksin mRNA memudaratkan pesakit kanser tidak disokong oleh bukti saintifik semasa.
Disclaimer: Artikel ini berdasarkan kajian pemerhatian dan bukti semasa. Keputusan individu mungkin berbeza dan nasihat perubatan perlu dibincangkan dengan pakar yang merawat.
Dato Dr. Rushdan Noor
14hb Dis 2025
RUJUKAN
1. Grippin AJ, et al. SARS-CoV-2 mRNA vaccines sensitize tumours to immune checkpoint inhibitors. Nature. 2025.
2. CIDRAP, University of Minnesota. COVID mRNA vaccines may train the immune system to attack cancer cells and boost survival. 2025.
No comments:
Post a Comment