Thursday, 1 January 2026

KAJIAN MEGA 28 JUTA PESERTA MENOLAK TUDUHAN BAHAWA LEBIH RAMAI PENERIMA VAKSIN mRNA COVID-19 MATI


KAJIAN MEGA 28 JUTA PESERTA MENOLAK TUDUHAN BAHAWA LEBIH RAMAI PENERIMA VAKSIN mRNA COVID-19 MATI BERBANDING DENGAN YANG TIDAK DIVAKSIN. SEBALIKNYA YANG TAK VAKSIN LEBIH TINGGI KADAR KEMATIAN.

Satu kajian kohort berskala mega yang diterbitkan dalam JAMA Network Open (2025) melibatkan 28 juta orang dewasa dengan susulan sehingga empat tahun selepas vaksinasi. Kajian ini memberi data paling kukuh setakat ini mengenai keselamatan dan keberkesanan vaksin COVID-19.
Kajian ini merupakan antara analisis epidemiologi terbesar pernah dijalankan berkaitan vaksin Covid-19.
DAPATAN UTAMA KAJIAN 28 JUTA PESERTA:
Kajian ini melihat perbezaan kadar dan penyebab kematian (semua sebab termasuk akibat jangkitan) antara 2 kumpulan iaitu orang dewasa yang menerima vaksin Covid-19 versus yang tidak menerima vaksin Covid-19. Mereka ini dipantau selama 4 tahun selepas menerima vaksin Covid-19. Rumusan penting hasil dari kajian ini adalah:
1. Risiko kematian akibat COVID-19 turun sebanyak 74% dalam kalangan individu yang divaksin. Ini menunjukkan vaksin kekal memberikan perlindungan kuat walaupun beberapa tahun selepas pemberian dos.
2. Tiada peningkatan kematian semua punca ("all-cause mortality") selepas vaksinasi. Jika vaksin benar-benar meningkatkan risiko kematian, kesannya pasti dapat dikesan dalam kajian sebesar ini. Namun data menunjukkan sebaliknya, vaksin tidak meningkatkan risiko kematian jangka panjang.
3. Kumpulan divaksin mempunyai kadar kematian 25% lebih rendah akibat semua punca ("all causes of mortality"). Ia juga mengukuhkan bukti bahawa mereka yang tidak divaksin secara konsisten berada pada risiko lebih tinggi.
Kajian ini tidak ditaja oleh mana2 big-pharma.
Kajian jangka panjang berskala mega ini membawa mesej yang jelas bahawa VAKSIN mRNA COVID-19 ADALAH SELAMAT, BERKESAN DAN MENGURANGKAN RISIKO KEMATIAN. MANAKALA GOLONGAN YANG TIDAK DIVAKSIN MENANGGUNG RISIKO JAUH LEBIH BESAR.
Kajian ini juga mengukuhkan pendirian ahli sains bahawa vaksin Covid-19 memberi lebih manfaat dari mudarat.
Kepada pro-vaksin, anda telah membuat keputusan yang tepat dan kini sudah ada satu lagi bukti kukuh yang menyokong keputusan anda dan menolak tuduhan golongan antivaksin yang mendakwa lebih ramai penerima vaksin mati. Mengambil suplemen "anti-spike pro-" atau "detox" kononnya untuk membersihkan kesan vaksin adalah sia2 kerana bukan saja tidak ada bukti berkesan, tetapi bertentangan dengan dapatan kajian keberkesanan dan keselamatan vaksin Covid-19.
Hasil kajian ini sepatutnya memberi lebih sebab kepada orang ramai yang layak tidak menolak vaksin Covid-19.
Dato' Dr. Rushdan Noor
8hb Dis 2025
Rujukan:
Semenzato L, Botton J, Baricault B, Drouin J, Weill A, Dray-Spira R. Mortality up to four years after COVID-19 vaccination in 28 million adults. JAMA Network Open. 2025;8:e2546822. doi:10.1001/jamanetworkopen.2025.46822

No comments:

Post a Comment