Rawatan kanser memang mahal tetapi jika dirawat di hospital kerajaan, kosnya jauh lebih murah. Kaedah rawatan kanser yang diamalkan oleh negara kita sebenarnya setanding dengan negara-negara maju kerana kami menggunakan garispanduan yang sama dengan mereka. Garispanduan yang disediakan ini adalah berdasarkan kepada bukti kajian klinikal. Ianya disediakan oleh badan antarabangsa dan jika kita mempunyai garispanduan sendiri sekalipun ianya tidak jauh berbeza. Peralatan merawat kanser yang ada di negara kita juga setanding dengan negara2 maju yang lain, mungkin perbezaannya adalah daripada segi kuantiti.
Kaedah rawatan yang lebih canggih tidak semestinya lebih berkesan kerana rawatan kanser adalah unik dan kompleks. Kaedah rawatan yang dipilih bukan berdasarkan kepada kecanggihan tetapi samada kaedah itu adalah piawaian (standard) yang ditetapkan oleh garispanduan yang berasaskan bukti ("evidence-based medicine" ). Kayu ukur yang digunakan untuk menilai keberkesanan sesuatu rawatan kanser adalah kadar hidup, kadar kanser berulang, kualiti hidup dan juga jangkahayat. Kami tidak menerima testimoni sebagai kayu ukur keberkesanan.
Contoh yang terbaik adalah rawatan bedah ke atas kanser pangkal rahim. Kaedah yang lebih canggih untuk melakukan pembedahan kanser pangkal rahim peringkat awal adalah pembedahan laparoskopik ("laparoscopic radical hysterectomy") ataupun menggunakan robot ("robotic radical hysterectomy"). Pembedahan laparoskopik (samada kaedah biasa ataupun menggunakan robot) adalah termasuk di dalam kategori "minimally invasive surgery" di mana ianya dilakukan melalui lubang-lubang kecil yang dibuat pada kulit abdomen. Manakala pembedahan biasa yang dilakukan adalah melalui luka yang besar. Walau bagaimanapun kajian terbaru yang dilakukan oleh sekumpulan penyelidik mendapati pesakit kanser pangkal rahim yang menjalani pembedahan laparoskopik termasuk mengunakan robot (robotic surgery) mempunyai kadar kanser berulang yang lebih tinggi (4x) dan kadar hidup yang lebih singkat berbanding dengan pembedahan biasa ("open surgery"). Ini adalah contoh yang baik di mana kecanggihan kaedah rawatan tidak semestinya lebih berkesan merawat kanser berbanding dengan kaedah biasa.
Kesimpulannya, kaedah rawatan kanser yang terbaik tidak bergantung kepada kecanggihan sesuatu rawatan tetapi samada kaedah itu telah terbukti berkesan berdasarkan bukti kajian klinikal yang paling berwibawa ("levels of evidence"). Sebagai pesakit, apa yang terbaik adalah berbincang dengan pakar kanser dan dapatkan nasihat mereka. Dibimbangi pesakit terpengaruh dengan rawatan kanser hanya berdasarkan kepada kecanggihan teknologi yang mungkin tidak memberi impak kepada keberkesanan tetapi memakan kos yang jauh lebih tinggi.
DDr Rushdan Noor
Pakar Perunding Ginekologi Onkologi
RUJUKAN
Kong TW, Chang SJ, Piao X, Paek J, Lee Y, Lee EJ, et al. Patterns of recurrence and survival after abdominal versus laparoscopic/robotic radical hysterectomy in patients with early cervical cancer. J Obstet Gynaecol Res. 2016;42:77–86
Ramirez PT et al. Minimally Invasive versus Abdominal Radical Hysterectomy for Cervical Cancer.N Engl J Med 2018; 379:1895-1904
DOI: 10.1056/NEJMoa1806395
No comments:
Post a Comment