Wednesday, 27 March 2019

ADAKAH SUPLEMEN ANTIOKSIDAN BERMANFAAT KEPADA PESAKIT KANSER ?

SUPLEMEN ANTIOKSIDAN DAN RAWATAN KANSER
Ada beberapa fakta yang orang awam perlu tahu tentang suplemen antioksidan.
1. Semua orang tahu bahawa tidak ada satu pun benda yang Tuhan jadikan di dunia ini yang tidak ada langsung manfaat kepada manusia. Semua benda ada baik dan ada buruknya.
2. Tubuh badan manusia dibina oleh berbagai sel, tisu dan organ yang mempunyai fungsi tertentu yang spesifik. Ada mekanisma semulajadi yang mengawal sistem di dalam badan supaya seimbang dalam banyak segi seperti persekitaran asid-alkali, kandungan air, mineral, gas, bilangan sel dalam darah dan lain2 yang ditetapkan pada satu2 julat yang normal. Begitu juga sel2 yang mati dan yang membiak. Ketidakseimbangan perkara2 yang disebutkan di atas boleh memudaratkan tubuh badan, malahan boleh menyebabkan kematian.
3. Salah satu keseimbangan yang tubuh badan manusia pertahankan secara semulajadi adalah kandungan antioksidan dan radikal bebas.
4. Antioksidan dan radikal bebas diperolehi dari luar dan ada yang dihasilkan dalam badan.
5. Radikal bebas mempunyai ciri2 perosak, menyebabkan sel2 cepat tua dan mematikan sel2 yang sakit dan tidak normal. Antioksidan pula adalah penawar kepada kesan radikal bebas.
6. Walaupun pada pandangan kita radikal bebas ini jahat dan perosak tetapi sedarkah kita bahawa sifat perosak itu jugalah yang menghapuskan sel2 yang tidak normal termasuk sel2 yang sedang berubah untuk menjadi kanser.
7. Jadi fahamlah kita bahawa di sebalik "kejahatan" radikal bebas, ada manfaat yang disumbangkan oleh radikal bebas kepada tubuh badan manusia.
8. Jadi perlu ada keseimbangan antioksidan dan radikal bebas di dalam badan. Keseimbangan ini berlaku jika manusia mengamalkan gaya hidup sihat termasuk mengambil makanan yang seimbang, tidak merokok, tidak minum alkohol, senaman dan kurangkan stres. Saya pernah menulis sebab2 mengapa sumber nutrient (makro dan mikronutrien) yang terbaik adalah makanan dalam bentuk semulajadi dan bukan suplemen. Sikap manusia termasuk gaya hidup mereka sendiri yang menjadi punca kepada gangguan keseimbangan ini.
9. Mengambil suplemen antioksidan boleh menganggu keseimbangan antioksidan dan radikal bebas di dalam badan. Perkataan yang lebih tepat adalah keseimbangan oksidatif dan reduktif (oxidative and reductive stress). Apabila antioksidan terlalu banyak, maka kesan radikal bebas pula menurun di bawah tahap yang diperlukan. Apabila radikal bebas terlalu kurang , maka manfaat yg diberikan olehnya juga berkurangan termasuk menghapuskan sel2 yang tidak normal. Pendek kata antioksidan boleh menjadi seperti serampang dua mata.
10. Ahli Sains menjalankan kajian ke atas haiwan yang diransang untuk menghidap kanser dan diberikan suntikan antioksidan. Apa yang mengejutkan adalah, berbanding dengan haiwan yang tidak diberi antioksidan, kanser membiak dan merebak je tempat lain dengan lebih cepat dalam tubuh tikus yang diberikan antioksidan.
11. Berdasarkan kepada alasan2 di atas, pakar kanser tidak menggalakkan pesakit2 kanser mengamalkan suplemen antioksidan terutama ketika rawatan dan ketika kanser belum disahkan sembuh. Adapun antioksidan dalam bentuk makanan seperti buah2an dan sayur2an pula berbeza kerana di dalam bahan makanan ini terdapat banyak nutrien2 lain dan serat yang memberi manfaat tambahan kepada badan secara keseluruhannya. Di samping itu tidak ada bukti kukuh pengambilan suplemen antioksidan memanfaat sesiapa sahaja termasuk yang sihat.
Kepada pesakit kanser, dapatkan nasihat daripada pakar kanser anda sebelum mengamalkan apa2 kaedah rawatan alternatif dan mengambil apa2 bentuk suplemen.
Dato Dr Rushdan Noor
Pakar Perunding Ginekologi Onkologi

https://www.cancer.gov/news-events/cancer-currents-blog/2015/antioxidants-metastasis
https://www.ncbi.nlm.nih.gov/pubmed/26446958
https://www.scientificamerican.com/article/antioxidants-may-make-cancer-worse/
https://www.healthline.com/health-news/evidence-antioxidants-fuel-cancer#1

No comments:

Post a Comment