Wednesday 27 March 2019

PENGARUH RAWATAN ALTERNATIF KE ATAS PESAKIT KANSER

Hari ini saya bertemu dengan seorang pesakit, Puan M berusia 71 tahun. Beliau adalah bekas pesakit kami yang disahkan menghidap kanser pangkal rahim peringkat 2B pada tahun 2017. Selepas disahkan penyakit kanser, beliau disyorkan untuk menjalani rawatan radioterapi. Pada ketika itu peluang kanser untuk disembuhkan adalah baik. Kadar hidup untuk 5 tahun boleh mencapai sehingga 85%.
Malangnya Puan M enggan menjalani rawatan kanser di hospital walaupun telah dinasihati oleh kami. Beliau kemudiannya hilang dan tidak kembali ke hospital jadi beliau tidak menerima sebarang rawatan. Sehingga minggu lepas tahun 2019, selepas hampir 2 tahun, beliau kembali ke hospital. Kami bertanya kepada Puan M apakah yang dilakukan dalam tempoh 2 tahun itu. Katanya dia bertemu dengan 3 orang bomoh di negeri Kedah. Semuanya atas nasihat rakan2 dan orang kampung. Bomoh ini menggunakan jampi dan air daunkayu yang disapu pada bahagian perut untuk merawat kanser. Pengkeras ikut suka pesakit. Selepas tidak berkesan, beliau berpindah kepada bomoh lain pula sehingga bertemu dengan bomoh ketiga yang menggunakan kaedah sama tetapi memesan beliau utk dapatkan juga rawatan hospital.
Hari ini berat badan Puan M hanya 48 kg turun sebanyak 30 kg berbanding dengan 2 tahun lalu. Ujian pengimejan menunjukkan kanser merebak ke hati dan paru-paru. Sekarang kanser Puan M sudah menjadi peringkat 4B dengan anggaran kadar hidup 5 tahun serendah 7-10%. Rawatan yang akan diberikan hanyalah untuk mengurangkan gejala ataupun rawatan paliatif. Puan M sedang menghadapi masa depan yang gelap dan bakal menderita akibat kanser yang sudah merebak ke banyak bahagian badan beliau.
Beban penyakit kanser bukan sahaja akan dipikul oleh pesakit tetapi juga oleh ahli keluarga yang lain. Kesannya bukan sahaja terhadap fizikal, tetapi psikologikal, sosial, seksual dan kewangan. Bebannya lebih besar jika pesakit masih muda dan sedang membesarkan anak2nya. Kisah Puan M ini adalah kisah yang sering kami temui. Punca utama adalah sikap dan tahap pengetahuan. Pesakit lebih suka mendengar cakap orang lain selain daripada pakar yang merawat. Orang lain pula suka memberi gambaran yg salah dan menakut2kan pesakit kanser untuk dirawat di hospital sedangkan mereka sendiri pun jahil. Terlalu banyak mitos tentang rawatan kanser yang masih berlegar dalam minda masyarakat kita, khususnya orang melayu. Kita mudah sangat percaya dakwaan dan pengakuan orang lain sedangkan itu hanyalah testimoni ataupun pengalaman peribadi. Masalah sikap, pengetahuan dan pengaruh orang lain ini telah memberi impak yang sangat besar kepada pesakit2 kanser.
Pengamal2 rawatan alternatif juga menjadi salah satu punca mengapa kadar hidup yang lebih rendah dalam kalangan pesakit2 kanser di Malaysia. Lapuran MySCan jelas menunjukkan bahawa salah satu punca mengapa kadar kematian pesakit kanser di negara kita lebih tinggi daripada negara2 maju adalah kelewatan mengesan dan merawat kanser pada peringkat awal. Mendapatkan rawatan alternatif adalah salah satu punca kelewatan sehingga pesakit yang hadir ke hospital sudah berada pada peringkat yang lewat. Pengamal2 rawatan alternatif sepatutnya lebih bertanggungjawab dan jujur. Mereka patut bayangkan jika pesakit itu anak, adik beradik atau ibubapa mereka sendiri. Kerana untuk habuan wang ringgit, mereka sanggup menipu pesakit yang sedang bertarung nyawa berjuang melawan penyakit kronik yang sangat serius ini.

DDr Rushdan Noor 
Pakar Perunding Gine-Onkologi

No comments:

Post a Comment