Wednesday, 27 March 2019

MENURUNKAN BERAT BADAN DENGAN DIET DAN SENAMAN : SIRI 1

MENURUNKAN BERAT BADAN DENGAN DIET DAN SENAMAN : SIRI 1
-----------------------------------------------------------------------------
Kaedah yang terbaik untuk menurunkan berat badan yang disyorkan oleh doktor dan pakar dietetik adalah melalui kawalan makanan dan senaman. Saya akan berkongsi dengan anda apa yang saya faham berkenaan dengan kaedah menurunkan berat badan ini. Anda perlu faham bahawa Ini hanyalah teori, jadi jika anda ingin memastikan ianya berkesan, anda perlu mempraktikkannya. Ini adalah juga panduan untuk diri saya sendiri.
1. Apabila anda makan, makanan itu akan dibakar untuk menghasilkan tenaga. Tenaga penting untuk menjalankan fungsi organ badan yang normal.
2. Kalori adalah unit tenaga dan ianya diperolehi daripada makanan yang mengandungi karbohidrat, lemak dan protein. Jadi sumber tenaga bukan sahaja daripada karbohidrat seperti nasi dan roti, tetapi juga daripada lemak dan protein seperti daging.
3. Apabila anda makan, anda bolehlah dikatakan memasukkan sejumlah kalori ke dalam badan. Kemudian kalori ini akan dibakar oleh badan.
4. Walaupun anda berehat dan tidur, badan perlu membakar sejumlah tertentu kalori untuk mempertahankan fungsi organ badan anda. Jumlah kalori yang dibakar ketika rehat ini dinamakan REE ataupun "Resting Energy Expenditure".
5. REE berbeza daripada seorang dengan seorang yang lain. REE bergantung kepada berat badan, tinggi, usia dan jantina anda. Sumber REE ini tentulah daripada makanan anda. REE juga dikenali sebagai BMR (Basal Metabolic Rate).
6. Kaedah yang paling tepat untuk mengira REE adalah berdasarkan kepada Mifflin St.Jeor Equation. Formulanya adalah seperti berikut:
REE(lelaki)= (10X Berat(kg) + (6.25 X Tinggi(cm) - (5 X Usia (tahun) + 5.
REE (wanita) = (10 X Berat (kg) + (6.25 X Tinggi(cm) - 161
7. Jangan pening, kini sudah ada mesin pengira online yang sangat mudah. Anda hanya perlu isikan ruangan kosong dan komputer akan mengira untuk anda. Tapi kalau anda ingin mengira sendiri dengan formula di atas pun tidak susah.Hasil daripada kiraan ini adalah jumlah kalori yang dibakar dalam sehari ketika anda rehat.
8. Jika anda bekerja dan melakukan aktiviti tambahan, maka jumlah kalori yang perlu dibakar tentu lebih tinggi. Ahli sains telah menemui formula bagaimana mendapatkan jumlah kalori yang dibakar apabila anda bekerja ataupun melakukan aktiviti fizikal. Untuk mengira jumlah kalori yang perlu dibakar semasa anda bekerja, anda perlu mendarabkan REE dengan faktor aktiviti yang bernilai antara 1.2-1.9 mengikut jenis aktiviti yang anda lakukan setiap hari. Nilai 1.2 adalah untuk pekerjaan yang paling ringan, manakala 1.9 adalah pekerjaan yang paling berat. Katakan REE anda adalah 2000 kalori, jika anda bekerja di pejabat dan tidak aktif, jumlah kalori yang dibakar adalah 2000 X 1.2 bersamaan dengan 2,400 kalori. Jumlah ini adalah kalori yang dibakar untuk menampung seseorang yang melakukan pekerjaan yang ringan dalam sehari. Jumlah kalori yang dibakar dalam sehari untuk menampung seseorang yang bekerja ataupun aktif ini saya namakan DCR ataupun " Daily Calorie Requirement" .Jika anda tidak mahu susah dan pening, anda boleh menggunakan online kalkulator bagi mengukur DCR di pautan berikut: (https://www.calculator.net/calorie-calculator.html).

9. Jika kalori yang anda ambil dalam satu hari bersamaan dengan kalori yang dibakar (DCR), maka berat badan anda akan kekal.
11. Jika jumlah kalori yang anda ambil kurang daripada DCR, maka badan anda kekurangan kalori. Untuk menampung kekurangan ini badan anda akan membakar lemak badan bagi mencapai DCR. Apabila lemak dibakar, berat badan anda akan turun. Kekurangan kalori yang anda ambil itu dikenali sebagai DEFISIT KALORI. Katakan anda mengambil 1800 kalori, sedangkan DCR anda adalah 2,400 kalori, maka badan anda kekurangan sejumlah 600 kalori (2,400-1,800) sebab kalori yang diambil tidak cukup. Jumlah 600 kalori ini dinamakan defisit kalori. Badan anda hanya membakar 1,800 kalori sahaja yg diperolehi dari makanan. Jadi badan anda perlu membakar lemak badan untuk menghasilkan 600 kalori bagi mencukupkan DCR anda.
12. Jika anda mengambil kalori yang lebih tinggi daripada DCR, kalori yang berlebihan ini akan disimpan sebagai lemak. Maka berat badan anda akan bertambah.
Kesimpulannya, jika anda ingin menurunkan berat badan, anda perlu mencapai DEFISIT KALORI. Kita akan belajar di dalam siri kedua, bagaimana untuk mengira jumlah kalori yang diambil, bagaimana defisit kalori boleh dicapai dan apakah defisit kalori yang sesuai supaya pengurangan berat badan yang diperolehi tidak menjejaskan kesihatan anda. Kita juga akan mempelajari apakah yang dinamakan "Low Calorie Diet" serta "Very Low Calorie Diet".
TUNGGU SIRI KE-2
DDr Rushdan Noor

No comments:

Post a Comment