Wednesday 27 March 2019

PAKAR PERUBATAN VERSUS PAKAR MAKHLUK HALUS


Sekarang ini saya dapati semakin banyak iklan dan papan tanda yang menawarkan khidmat mengesan jin dan saka. Ada juga khidmat mengesan serangan santau dan juga mengenalpasti orang yang melakukan santau. Makhluk-makhluk halus juga dikaitkan dengan masalah bayi yang menangis tidak berhenti, perkahwinan yang tidak bahagia, anak yang nakal serta degil, lambat jodoh dan banyak lagi tanda2. Di samping tanda-tanda tersebut, banyak pula gejala-gejala yang dikaitkan dengan perbuatan jin. Pendek kata merawat serangan jin dan makhluk halus ini mempunyai pasaran yang luas dan berpotensi menjana pendapatan lumayan.
Saya tidak berniat untuk komen mengenai isu jin, saka dan santau kerana saya bukan pakar di dalam bidang ini. Walau bagaimanapun sebagai seorang yang beragama Islam, kita wajib mempercayai wujudnya makhluk halus seperti jin dan iblis.
Di dalam bidang kedoktoran kami belajar ilmu perubatan untuk mengesan serta merawat penyakit fizikal seperti kanser, diabetes, darah tinggi dan lain-lain. Kami juga belajar mengenalpasti pesakit yang mengalami masalah psikiatri seperti schizoprenia, MDP, kemurungan dan lain-lain. Memang terdapat kaedah rawatan untuk penyakit-penyakit ini dan dengan izin Allah ramai yang berjaya dipulihkan.
Sebelum menjadi seorang doktor yang bertauliah, kami perlu memenuhi banyak syarat seperti lulus periksa, tamat latihan doktor pelatih dan juga berdaftar dengan MMC. Saya tidak pasti bagaimana pula kaedah untuk mengenalpasti seorang Perawat Makhluk Halus yang bertauliah. Apakah syarat dan kelulusan yang perlu mereka perolehi sebelum mereka layak merawat pesakit. Saya dapati ada di antara pengamal2 rawatan makhluk halus ini adalah dalam kalangan ustaz-ustaz, mungkin ada hujah agama yang mereka gunakan. Jika mereka mempunyai kaedah pentauliahan, adakah badan tertentu yang memantau mereka?
Saya ada mengikuti ceramah beberapa orang ustaz yang memberi petua bagaimana mengesan seseorang yang tubuhnya dimasuki oleh jin dan saka.Saya dapati terdapat persamaan dari segi gejala-gejala ini dengan masalah kesihatan fizikal yang dirawat oleh seorang doktor. Mengikut seorang ustaz, di antara gejala-gejala awal tubuh dimasuki jin adalah sukar untuk tidur (insomnia), apabila tidur mudah terjaga dan keletihan tanpa sebab. Seorang pengamal perubatan makhluk halus lain pula menerangkan gejala-gejala orang yang kena santau, di antaranya adalah mengalami muntah berdarah, batuk yang berpanjangan, berat badan turun dan lain-lain lagi.
Gejala-gejala yang dinyatakan di atas mungkin disebabkan oleh penyakit fizikal yang boleh diubati oleh doktor. Contohya sukar untuk tidur malam, sering terjaga-jaga dan keletihan mungkin disebabkan oleh Obstructive Sleep Apnea (OSA) iaitu keadaan di mana saluran pernafasan seseorang tersumbat semasa tidur. OSA boleh memudatkan kesihatan jika tidak dirawat dan dikaitkan dengan sindrom metabolik. Muntah darah mungkin disebabkan oleh keadaan yang dikenali sebagai "bleeding oesophageal varices", satu keadaan yang boleh mengancam nyawa kerana saluran darah di bahagian bawah esofagus telah pecah dan jika pesakit dibawa berjumpa dengan doktor bedah, mereka boleh diselamatkan. Batuk yang berpanjangan dan turun berat badan mungkin disebabkan oleh penyakit Tibi ataupun kanser paru-paru. Penyakit2 ini jika tidak dirawat segera boleh mengancam nyawa pesakit.
Saya bimbang dengan implikasi yang akan timbul daripada sikap masyarakat yang terlalu mudah menyalahkan jin dan saka ataupun menuduh disantau oleh orang lain apabila mengalami tanda dan gejala kesihatan. Sedangkan gejala-gejala yang mereka hadapi ini sebenarnya disebabkan oleh penyakit-penyakit fizikal ataupun psikologikal yang boleh dikesan dan diubati oleh pengamal perubatan moden.
Saya ingin berpesan kepada orang ramai supaya berjumpalah dahulu dengan doktor apabila mengalami sebarang gejala samada gejala fizikal ataupun psikologikal. Terdapat banyak jenis doktor di hospital, pastikan doktor yang anda temui itu memang doktor yang terlatih untuk merawat penyakit anda. Dapatkan pemeriksaan,ujian terperinci dan rawatan daripada mereka terlebih dahulu sebelum anda mengambil keputusan untuk bertemu dengan pengamal perubatan alternatif ataupun perawat makhluk halus. Pastikan kaedah-kaedah alternatif ini selamat dan tidak bercanggah dengan agama kita. Di samping itu berwaspadalah dengan pengamal yang cuba menipu orang ramai demi untuk kepentingan diri sendiri.
Dato'Dr Rushdan Noor
Medical Mythbusters Malaysia

No comments:

Post a Comment