Wednesday 27 March 2019

PANDUAN MENILAI KESAHIHAN DAN KREDIBILITI FAKTA PERUBATAN YANG DISIARKAN

Salah seorang sahabat facebook saya telah berkongsi satu rencana yang saya sertakan di bawah. Rencana itu bertajuk “ PEOPLE DIE FROM CHEMOTHERAPY, NOT CANCER – SAID DOCTOR PETER GLIDDEN”. Di dalam rencana ini juga ditulis bahawa 97% daripada kematian kanser disebabkan oleh kemoterapi. Apabila membaca tajuk ini dan rencana yang ditulis tentu ramai akan teruja dan mudah percaya. Tetapi saya boleh nyatakan bahawa rencana ini adalah TIDAK BERASAS. Saya akan jelaskan kenapa saya berkata begitu.

Sila rujuk imej-imej yang disertakan di bawah untuk memahami penerangan saya ini.

Seperti yang pernah saya tulis di dalam posting saya yang lalu, apabila membaca sesuatu rencana ada sekurang2nya 3 perkara yang perlu anda selidiki iaitu:

1. SIAPA PENULIS RENCANA

2. SIAPA "PAKAR" RUJUK, KAJIAN DAN RUJUKAN YANG DIGUNAKAN

3. APAKAH KEWIBAWAAN LAMAN WEB ATAUPUN MEDIA YANG MENYIARKAN RENCANA TERSEBUT


Berbalik kepada rencana yang saya nyatakan di atas (sila rujuk imej yang dikepilkan di bawah), saya akan berikan panduan kepada anda bagaimana menilai kewibawaan rencana ini dengan menjawab 3 soalan di atas (rujuk imej-imej yang saya sertakan):

1. PENULIS RENCANA ini adalah ANNA JONES iaitu seorang tukang masak , penulis buku masakan dan penulis blog masakan serta menu makanan untuk merawat penyakit.

2. Siapakah "PAKAR" RUJUK yang digunakan di dalam rencana tersebut. Terdapat 2 nama yang digunakan di dalam rencana ini iaitu DR.PETER GLIDDEN dan DR.HARDIN B JONES. Penulis (Anna Jones) mengambil kenyataan daripada Dr.Peter Glidden iaitu seorang “DOKTOR NATUROPATHY” (pada asalnya seorang intruktor yoga) yang mendapat “Phd” di dalam bidang PERUBATAN NATUROPATHY iaitu bidang rawatan alternatif yang percaya bahawa semua penyakit boleh disembuhkan dengan kaedah semulajadi tanpa rawatan perubatan moden. Jadi Dr.Peter Glidden BUKAN DOKTOR PERUBATAN. Hujah yang digunakan oleh Dr. Peter Glidden pula adalah merujuk kepada kenyataan yang dibuat oleh Dr. Hardin B. Jones yang juga BUKAN DOKTOR PERUBATAN (Clinician) sebaliknya Professor di dalam bidang FIZIK dan FISIOLOGI, meninggal dunia pada tahun 1978. Lebih memeranjatkan lagi adalah kenyataan Dr.Hardin B Jones ini sebenarnya dibuat pada tahun 1969 iaitu 47 TAHUN YANG LALU. Dari latar belakang akademik Dr.Peter Glidden dan Dr. Hardin Jones, jelas mereka bukan pakar perubatan dan tentu sekali bukan pakar kanser. Jadi mereka TIDAK LAYAK untuk bercakap ataupun menulis mengenai kemoterapi dan kanser dari perspektif perubatan moden. Senarai RUJUKAN yang digunakan oleh penulis rencana ini hanyalah pautan laman web dan sangat meragukan.

3. LAMAN WEB yang menyiarkan rencana ini adalah WWW.BLUESKYIN.COM yang dikendalikan oleh ANNA JONES, iaitu seorang tukang masak (chef) dan penulis masakan termasuk remedi yang boleh merawat penyakit di samping penyokong kuat naturopati yang dipelopori oleh Dr.Peter Glidden. Mungkin ini dapat melariskan promosi masakan beliau.

Daripada ketiga-tiga bukti yang saya nyatakan di atas, kita boleh membuat kesimpulan bahawa RENCANA INI TIDAK BERASAS DAN TIDAK BOLEH DIGUNAKAN SEBAGAI RUJUKAN malah ianya MENGELIRUKAN. Perhatikan bagaimana gelaran DR dieksploitasikan untuk tujuan mempengaruhi orang ramai. Semoga panduan ini dapat anda amalkan sebelum hujung jari anda cepat menekan butang “like” ataupun “share”. JADILAH PENGGUNA MEDIA SOSIAL YANG BIJAK.





Nota: Prinsip yang sama boleh juga digunakan untuk menilai kesahihan lain-lain maklumat dan kenyataan.

Jadi jika anda menerima maklumat yang tidak tertulis siapakah penulis dan dari mana sumber maklumat itu diperolehi, anda tidak perlu membaca rencana itu.

Dato' Dr.Mohd Rushdan Noor
Pakar Perunding Ginekologi Onkologi
Hosp Sultanah Bahiyah

No comments:

Post a Comment