Monday, 24 March 2025

MENGAPA IVERMECTIN BELUM BOLEH DIGUNAKAN UNTUK MERAWAT KANSER

 

PENDAHULUAN

Ivermectin ditemui oleh pakar mikrobiologi Jepun bernama Satoshi Omura dan pakar parasitologi Irish, William C. Campbell pada tahun 1970 an. Kegunaan utama Ivermectin adalah merawat jangkitan parasit dan memang telah membantu ramai orang terutama penduduk2 di negara yang mundur.

Ivermectin diperolehi daipada bakteria dalam tanah yang dikenali sebagai Streptomyces avermitilis. Asalnya digunakan untuk merawat jangkitan parasit yang menjangkiti haiwan dan kemudian digunakan ke atas manusia pada hujung tahun 1980 an. Untuk manusia, ianya pertama kali digunakan untuk merawat onchocerciasis ataupun ”river blindness”, kemudiannya berkembang untuk merawat lebih banyak jenis jangkitan parasit.

Ivermectin diberikan kepada manusia dalam bentuk makan dan kemudiannya dihasilkan dalam bentuk topikal. Hari ini ivermectin digunakan untuk merawat banyak jenis jangkitan nematode ke atas manusia termasuk onchocerciasis, strongylloidiasis, loiasis, filariasis dan lain-lain.

Penggunaan ivermectin berkembang kepada masalah kesihatan lain di mana FDA telah meluluskan penggunaannya untuk merawat rosacea, sejenis penyakit kulit yang tidak diketahui puncanya (kemungkinan gabungan dari faktor genetik, sistem imun dan persekitaran ). Kemudian ianya dikaji untuk merawat jangkitan virus termasuk Covid-19.
Kesimpulannya setakat ini ivermectin diluluskan oleh FDA hanya untuk merawat jangkitan parasit yang menyebabkan Intestinal strongyloidiasis, Onchocerciasis, Lymphatic filariasis dan scabies. Manakala keadaan lain, FDA meluluskan penggunaannya untuk merawat penyakit kulit kronik Rosacea. Sementara itu FDA masih belum meluluskan Ivermectin untuk jangkitan adenovirus, Covid-19, beberapa lagi penyakit autoimun dan kanser kerana bukti klinikal belum mencukupi.

IVERMECTIN DAN RAWATAN KANSER

Puas saya mencari kajian klinikal menggunakan Ivermectin untuk merawat kanser ke atas manusia, tetapi gagal. Hanya satu sahaja kajian klinikal fasa 1/2 yang sedang berjalan menggabungkan pembrolizumab atau balstillimab (terapi imun) dan Ivermectin untuk kes kanser payudara jenis TNBC yang merebak (metastatik). Tetapi tumpuan kajian ini hanya untuk menentukan aspek keselamatan dan dos ke atas manusia. Kajian ini dijangka selesai pada bulan oktober 2026. (https://clinicaltrials.gov/study/NCT05318469).
Kesemua kertas kajian yang disiarkan di dalam jurnal (selepas pencarian menggunakan injin Pubmed dan ScienceDirect) adalah kajian makmal ataupun praklinikal yang dilakukan ke atas kultur sel (in-vitro) ataupun haiwan (in-vivo). Melalui kajian2 ini, ahli sains memberi pendapat tentang ciri-ciri antikanser yang dimiliki oleh Ivermectin. Antara jenis2 kanser yang dikaji adalah kanser payudara, kanser perut, kanser hati, kanser buah pinggang , kanser prostat, leukemia, kanser serviks, kanser ovari, glioblastoma dan melanoma. Kajian2 ini menunjukkan Ivermectin bertindak melalui beberapa mekanisma seperti merencat Akt/mTOR pathway yang meransang autophagy (makan diri sendiri) ke atas lapisan sel kanser payudara, kesan keatas PAK1 (p-21 activated kinase), merencat angiogenesis, mengganggu fungsi mitokondria dan meransang apoptosis ke atas sel kanser glioblastoma serta merencat pembiakan sel melalui halangan ke atas Akt/mTOR pathway.

Selebihnya adalah laporan kes ("case reports") dan di dalam setiap laporan kes tersebut kemoterapi dan kaedah2 lain rawatan kanser diberikan bersama ivermectin. Begitulah juga laporan kes oleh seorang doktor yang bernama Dr. William Makis, saya hanya menemui protokol rawatan kanser yang mungkin beliau sendiri yang cadangkan menggunakan Ivermectin, Mebendazole (ubat cacing), kunyit dan minyak CBD. Vitamin C , D dan diet juga dicadangkan untuk dimasukkan ke dalam protokol tersebut.
( https://eyesonbrasil.com/dr-makis-revolutionary.../amp/ ). Tidak ditemui laporan kes secara lengkap ataupun kajian klinikal ke atas protokol tersebut di mana-mana jurnal. Ianya hanya dakwaan di dalam portal. Dari perspektif perubatan moden, laporan kes ini statusnya sama seperti testimoni, tidak boleh dijadikan rujukan yang berwibawa untuk diamalkan di luar konteks penyelidikan.
Cerita tentang Dr. Makis ada di pautan ini : https://www.facebook.com/rushdan.noor/posts/10226899278295816

MENGAPA IVERMECTIN BELUM DIANGGAP UBAT ANTIKANSER YANG BERKESAN KEPADA MANUSIA

Setelah membuat pencarian maklumat dan berdasarkan kepada perbincangan di atas, boleh dirumuskan bahawa Ivermectin belum boleh diiktiraf sebagai ubat antikanser ke atas manusia. Berikut adalah alasan-alasan yang lebih terperinci:

1. BUKTI KLINIKAL YANG SANGAT TERHAD.
Walaupun kajian makmal ke atas lapisan sel ataupun haiwan mendapati ivermectin mungkin mempunyai ciri2 antikanser, belum ada kajian klinikal ke atas manusia. Kajian ke atas lapisan sel dan haiwan di dalam makmal adalah kajian praklinikal yang masih terlalu awal. Kajian ini tidak semestinya akan diterjemahkan kepada hasil yang sama apabila dilakukan ke atas manusia.

2. TIDAK ADA KAJIAN KLINIKAL KE ATAS MANUSIA
Setakat ini belum ada kajian klinikal yang besar dijalankan ke atas manusia. Melalui pencarian injin Pubmed dan DirectScience yang saya lakukan, kesemua kertas2 kajian yang disiarkan adalah kajian praklinikal yakni kajian ke atas kultur sel (in vitro) ataupun kajian ke atas haiwan (in-vivo). Saya hanya menemui satu kajian fasa 1/2 yang sedang berjalan menggabungkan terapi imun ("immunotherapy") bernama pembrolizumab dengan Ivermectin, peserta kajian ini adalah pesakit kanser payudara yang sudah mengalami kanser merebak (metastasis). Matlamat kajian ini adalah untuk menentukan keselamatan ivermectin dan dos ke atas manusia. Kajian ini dijangka akan tamat pada bulan oktober 2026 nanti.

3.BELUM DIKETAHUI DOS OPTIMUM DAN KESELAMATANNYA ('SAFETY")
Disebabkan belum ada lagi kajian klinikal keatas manusia yang menentukan dos dan keselamatan, maka setakat ini kita belum lagi mengetahui dos optimum dan juga samada ivermectin ini mempunyai kesan sampingan termasuk kesan ke atas anak yang dikandung. Jika dikaji dos yang diberikan ke atas haiwan di dalam makmal, jika diterjemahkan kepada manusia, ianya akan melepasi dos selamat. Dos Ivermectin untuk merawat jangkitan parasit adalah 150-200 mcg/kg/hari. Manakala untuk kanser, dos yang digunakan di dalam kajian ke atas haiwan adalah dari 400 mcg/kg/hari sehingga 20 kali ganda lebih tinggi iaitu 4 mg/kg/hari. Terdapat perbezaan dos yang digunakan dalam setiap kajian praklinikal, jadi sukar untuk menetapkan dos optima. Tidak ada jaminan keselamatan ubat ivermectin yang diberikan melepasi dos 0.4 mg/kg. Di antara kesan sampingan dos yang berlebihan (dos > 2 mg/kg) adalah kerosakan saraf (keliru, sawan), kerosakan hati, tekanan darah yang rendah, denyut jantung yang tidak tetap dan gejala usus seperti muntah. Ubat ini tidak boleh diambil oleh wanita hamil, kanak-kanak, penghidap penyakit hati dan individu yang mengambil ubat pelali.

4. TIDAK DISOKONG OLEH MANA-MANA PERTUBUHAN KESIHATAN DAN KANSER ANTARABANGSA .
Contohnya WHO, National Cancer Institute dan American Cancer Society tidak menyokong penggunaan ivermectin untuk merawat kanser manusia. Badan-badan regulasi ubat seperti FDA (US Food and Drug Administration) dan EMA (European Medicines Agency) tidak meluluskan ivermectin untuk tujuan merawat kanser.

5. SUDAH ADA KAEDAH2 RAWATAN KANSER YANG LEBIH BERKESAN dan telah dibuktikan melalui kajian klinikal yang besar ke atas manusia. Kaedah2 rawatan tersebut adalah kemoterapi, radioterapi, terapi sasaran dan immunotherapy. Menggantikan kaedah2 rawatan ini dengan ubat yang belum terbukti berkesan boleh menyebabkan rawatan yang betul lambat dimulakan dan menjejaskan peluang untuk sembuh ataupun menurunkan kadar survival. Ia hanya boleh digunakan dalam konteks kajian klinikal di bawah penyeliaan penyelidik yang layak ataupun pakar kanser.

Ubat-ubat cacing/anti parasit lain seperti Mebendazole and Fenbendazole juga ditemui mempunyai ciri-ciri antikanser di dalam kajian makmal tetapi jika ivermectin sendiri masih jauh lagi untuk diiktiraf, apatah lagi kedua2 ubat tersebut.

KESIMPULAN

Kanser adalah penyakit kronik yang sangat kompleks dan begitu juga kaedah2 rawatan yang diberikan. Kaedah rawatan kanser hendaklah sudah terbukti berkesan melalui kajian klinikal ke atas manusia. Ivermectin mungkin didapati mempunyai ciri2 antikanser tetapi semuanya ditemui dalam kajian makmal ataupun praklinikal. Belum ada kajian klinikal yang besar ke atas manusia untuk membolehkan ivermectin digunakan sebagai pilihan kepada rawatan kanser yang sedia ada. Ivermectin hanya boleh digunakan dalam konteks penyelidikan dan tidak boleh digunakan untuk merawat pesakit kanser di lapangan. Walaupun boleh digunakan di dalam penyelidikan, ia tidak boleh diberikan bersendirian ("stand alone") tetapi perlu digabungkan dengan ubat2 antikanser yang sudah diiktiraf. Pihak yang menggunakan Ivermectin untuk merawat kanser di luar konteks penyelidikan boleh dianggap tidak bertanggungjawab dan tidak beretika. Merawat kanser dengan ivermectin boleh menyebabkan kaedah rawatan yang betul akan dilambat2kan ataupun tidak langsung dapat dimulakan, ini boleh menjejaskan peluang untuk sembuh, di samping kesan sampingan ivermectin yang diberikan pada dos yang terlalu tinggi. Saya menyeru kepada pesakit kanser untuk mendapatkan rawatan kanser dari pakar kanser yang bertauliah.


DDr.Rushdan Noor

24hb Mac 2024


RUJUKAN

https://www.theguardian.com/world/2021/sep/24/ivermectin-covid-peru-misinformation

https://science.feedback.org/review/preclinical-studies-cannot-provide-sufficient-evidence-ivermectin-helps-treat-cancer-people/

https://pmc.ncbi.nlm.nih.gov/articles/PMC7505114/

https://www.sciencedirect.com/science/article/pii/S1043661820315152

https://www.cancer.gov/research/participate/clinical-trials-search/v?id=NCI-2022-02421

https://www.poynter.org/fact-checking/2025/ivermectin-cure-cancer-parasite/

https://www.aap.com.au/factcheck/claims-ivermectin-is-a-proven-cancer-treatment-are-premature/

https://pmc.ncbi.nlm.nih.gov/articles/PMC11008553/#:~:text=One%20study%20revealed%20that%20after,lines%20%5B26%2C%2067%5D.

https://www.mskcc.org/podcasts/cancer-straight-talk/alternative-cancer-treatments-science-vs-hype?fbclid=IwY2xjawJIkj9leHRuA2FlbQIxMQABHUkSfPtahu9AYTg2CpxZmHCAC50mNqKqpjtGI7RG8hQJKdXvUOzqsCL5LQ_aem_UnzgX7JhUTECmXOBl1CMGg

https://www.intechopen.com/chapters/78376

https://www.mdpi.com/2072-6694/14/18/4357

https://science.feedback.org/review/preclinical-studies-cannot-provide-sufficient-evidence-ivermectin-helps-treat-cancer-people/

https://pmc.ncbi.nlm.nih.gov/articles/PMC11008553/?fbclid=IwY2xjawJImNtleHRuA2FlbQIxMAABHXsTdJoPqJM33f6YyzYwIDxqVxo3ipBUx-9aZxgOV33aBYI0DqdoHBiktg_aem_0zJvADPQ1un1z29D-668rQ#:~:text=Ivermectin%20inhibits%20angiogenesis%20by%20inducing,could%20be%20valuable%20anticancer%20effects

https://pmc.ncbi.nlm.nih.gov/articles/PMC7505114/

https://pmc.ncbi.nlm.nih.gov/articles/PMC6982461/

https://pubmed.ncbi.nlm.nih.gov/34218593/

A Phase I/II Study Evaluating the Safety and Efficacy of Ivermectin in Combination with Balstilimab in Patients with Metastatic Triple Negative Breast Cancer with Expansion Cohort in PD-L1 Negative TNBC (https://clinicaltrials.gov/study/NCT05318469)

https://www.cancer.news/2024-10-16-study-anti-cancer-ivermectin-mebendazole-fenbendazole.html?utm_source=chatgpt.com

https://holistichealthonline.info/ivermectin-for-cancer/?utm_source=chatgpt.com




Saturday, 22 March 2025

MENGAPA DIET KURANG GULA (LESS SUGAR) LEBIH BAIK DARI DIET TANPA GULA (NO SUGAR)

 



Mengambil gula yang berlebihan memang sudah diketahui sebagai punca kepada banyak masalah kesihatan. Walau bagaimanapun, gula juga diperlukan oleh badan terutamanya sebagai sumber tenaga. Maka, ujudlah dua pihak yang mempunyai pendapat berbeza samada lebih baik mengurangkan pengambilan gula ataupun menghentikan sepenuhnya gula di dalam diet. Saya lebih cenderung untuk memilih diet rendah gula daripada diet tanpa gula. Ikuti penjelasan saya di bawah.

ALASAN MENGAPA DIET KURANG GULA LEBIH BAIK DARI DIET TANPA GULA

Terdapat beberapa alasan mengapa diet kurang gula lebih baik daripada diet tanpa gula, 5 alasan utama adalah seperti berikut:

1. Kajian-kajian klinikal ke atas kesan diet kurang gula lebih banyak dijalankan dan menunjukkan bahawa pengurangan gula di dalam makanan dapat meningkatkan mutu kesihatan jangka panjang. Di antara manfaat mengurangkan gula di dalam diet adalah mengawal berat badan, kesihatan jantung, mengurangkan risiko penyakit diabetes, mengurangkan masalah gigi , kesihatan kulit, kesihatan mental, hati dan lain-lain. Tidak hairanlah mengapa diet kurang gula ini disyorkan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) (gula bebas <10% dari jumlah kalori). NHS UK pula mengesyorkan gula bebas kurang dari 5%.

2. Kajian2 klinikal ke atas amalan diet tanpa gula pula sedikit dan hampir tidak ada kajian kesan jangkapanjang ke atas pengamalnya. Terdapat kajian yang rendah kualiti seperti kajian pemerhatian (observational study) dan kajian ke atas haiwan. Kebanyakan dakwaan manfaat daripada diet tanpa gula ini dibuat berdasarkan teori dan kajian2 kecil. Ada sebab mengapa kajian klinikal diet tanpa gula ini lebih rendah bilangannya, ikuti penerangan di bawah.

3. Diet kurang gula lebih mudah diamalkan dan lebih praktikal. Ianya lebih serasi dengan naluri manusia, tidak perlu melalui peraturan yang terlalu ketat dan menyusahkan. Apabila lebih mudah dilakukan, amalan ini dapat dipertahankan dalam masa yang lebih panjang.

4. Mengamalkan diet tanpa gula lebih sukar dan memerlukan disiplin yang ketat menyebabkan ramai tidak dapat meneruskan amalan ini dalam masa yang lebih panjang. Mereka juga berhadapan dengan gejala gian gula ("sugar withdrawal"), kekurangan tenaga, ancaman kekurangan nutrin, kesan ke atas mental apabila gula dihentikan secara mendadak, masalah hormon dan juga kesan psiko-sosial. Kesan ini lebih ketara jika amalan diet itu tidak diselia oleh pakar ataupun petugas yang terlatih. Gejala2 ini boleh berlaku pada peringkat awal sebelum seseorang itu dapat menyesuaikan diri. Pengurangan gula dengan cara yang salah secara keterlaluan (contohnya menghentikan pengambilan gula semulajadi di dalam buah, susu, madu dll) boleh menyebabkan kekurangan vitamin, mineral dan serat yang ujud bersama sumber makanan tersebut. Kita juga tidak tahu kesan jangka panjang ke atas kesihatan.

5. Amalan mengambil diet kurang gula lebih selamat kerana dianggap kaedah yang lebih sederhana. Ia memberi peluang yang lebih baik untuk mendapat nutrisi yang seimbang, mencegah kehilangan tenaga yang mendadak dan menggalakkan hubungan yang sihat antara pengamal dengan makanan (mengurangkan risiko obses kepada makanan dan kelainan tabiat makan).

MENGAPA KAJIAN TENTANG DIET TANPA GULA TIDAK BANYAK DILAKUKAN

Umum mengetahui bahawa walaupun terdapat banyak jenis program diet tanpa gula, tidak ada kajian besar yang berkualiti dilakukan, lebih2 lagi kajian mengenai kesan kesihatan jangka panjang. Di antara sebab mengapa kajian2 ini sangat terhad adalah:

1. Kesukaran untuk mendapatkan peserta kajian yang mampu mengamalkan diet tanpa gula kerana masalah disiplin. Akibatnya, peserta akan berhenti separuh jalan. Kadar ketidakpatuhan melaksanakan diet ini boleh mencapai sehingga 80%. Jenis diet yang berbeza2 mengikut tempat, kesediaan sumber makanan ("food availability") dan kebudayaan, mengujudkan kepelbagaian jenis diet, jadi sukar untuk menetapkan satu diet yang sesuai untuk semua.

2. Ketulinan diet tanpa gula ini sukar untuk disahkan memandangkan banyak makanan mengandungi gula samada gula semulajadi ataupun gula tambahan. Untuk mengeluarkan gula sepenuhnya dari makanan mungkin sangat sukar dan jika kajian dilakukan, sukar untuk memastikan diet itu benar2 bebas dari gula. Berkemungkinan diet tanpa gula yang diamalkan itu sebenarnya sudah jatuh di bawah kategori diet kurang gula.

3. Isu etika dan kos melaksanakan kajian. Mendesak peserta untuk mengikuti diet yang ektrem untuk bertahun2 boleh membawa implikasi etika perubatan kerana kita tidak tahu kesan jangka panjang. Kos untuk menjalankan kajian ini juga sangat besar.

4. Kesukaran untuk mendapatkan penaja bagi menjalankan kajian ini. Syarikat2 makanan tentu ragu2 untuk menaja kerana kajian itu nanti dibimbangi boleh berlawanan dengan hala tuju perniagaan mereka yang menjual produk makanan bergula. Jika ada pun syarikat yang ingin menaja, adalah syarikat yang sememangnya mempunyai produk yang selari dengan konsep bebas gula, tetapi dibimbangi pula kajian ini berat sebelah.

5. Konsep diet tanpa gula ini dianggap trend baru. Berbeza dengan konsep diet kurang gula seperti diet Mediterranean, diet berasaskan tumbuhan dan diet rendah lemak yang sudah lama ujud. Maka kajian2 tentang diet kurang gula jauh lebih banyak dan lebih besar.

MENGAPA DIET TANPA GULA INI BEGITU DIWAR-WARKAN

Terdapat beberapa sebab mengapa diet tanpa gula ini diwar2kan, di antaranya adalah:

1. Kesan pengurangan berat badan boleh diperolehi dalam masa yang lebih singkat dan manfaat lain untuk jangkamasa pendek. Walaupun kesan ke atas kesihatan jangkamasa panjang belum diketahui sepenuhnya. Manusia memang suka sesuatu yang memberi kesan yang cepat.

2. Kepentingan perniagaan (rujuk maklumat lanjut di bawah)

PERNIAGAAN BERASASKAN DIET TANPA GULA (SUGAR FREE DIET)

Salah satu sebab mengapa begitu banyak iklan dan promosi diet tanpa gula ataupun maklumat2 yang berat sebelah tentang gula di media-media adalah kerana ada kepentingan perniagaan. Untuk meningkatkan kepercayaan pengguna, kempen memburuk2kan gula secara berlebihan seperti "sugar is poison", "the silent killer" dan lain-lain dilakukan. Perniagaan yang berasaskan kepada diet tanpa gula ini sememangnya luas.

Berikut adalah beberapa model perniagaan yang berasaskan kepada diet tanpa gula:

1. Bimbingan ("coaching") dan keahlian termasuk secara atas talian. Ini boleh menjana pendapatan yang lumayan.

2. E-book dan kursus-kursus tentang diet tanpa gula

3. Buku masakan dan resepi makanan tanpa gula. Termasuk menjual ataupun rujukan kedai2 yang menjual ramuan2 untuk menghasilkan masakan tersebut.

4. Penghasilan dan penjualan produk suplemen dan pemanis tiruan.

5. Aplikasi mobile ("mobile App") dan alat "tracking" diet tanpa gula.

Golongan yang akan mendapat keuntungan daripada program2 dan model2 perniagaan di atas adalah pakar nutrisi ataupun dietetik yang terlibat, jurulatih kecergasan, pempengaruh kesihatan, syarikat makanan serta pengeluar bahan makanan tanpa gula dan juga syarikat teknologi yang membangunkan aplikasi mobile.

KESIMPULAN

Diet kurang gula boleh dianggap pendekatan yang lebih sederhana dan tidak keterlaluan seperti diet tanpa gula. Jika kita kembali kepada prinsip perubatan berasaskan kepada bukti, maka jelas bahawa diet kurang gula mempunyai asas yang lebih kukuh. Berdasarkan kepada perbincangan di atas, diet kurang gula lebih praktikal, bertahan lebih lama dan disokong oleh bukti2 kajian yang jauh lebih besar. Sementara menunggu hasil2 kajian yang lebih besar tentang diet tanpa gula, diet kurang gula sepatutnya menjadi pilihan, yakni menghadkan gula kepada 5-10% daripada jumlah kalori sehari. Di antara jenis-jenis diet kurang gula yang boleh diamalkan adalah Diet Mediterranean, DASH diet, Diet berasaskan tumbuhan (plant-based diet) dan Diet rendah karbohidrat. Penjagaan makanan yang lebih ketat perlu diamalkan oleh pesakit kronik seperti diabetes, sakit jantung dan lain-lain. Maka untuk golongan ini, mereka perlu bertemu dengan doktor dan pakar dietetik untuk mendapatkan nasihat tentang diet, lebih-lebih lagi jika ingin mengamalkan sesuatu program diet yang tidak diketahui kesan jangka panjang. Bagi orang awam yang sihat, tidak ada keperluan untuk mengamalkan diet tanpa gula. Amalan sihat bukan hanya bergantung kepada banyaknya gula yang diambil tetapi ianya datang dengan pakej lengkap meliputi makanan yang seimbang, banyakkan makanan berserat, tidak mengambil makanan yang diproses secara ultra, aktiviti fizikal yang tetap, tidak merokok dan lain-lain gaya hidup sihat.

Dato' Dr. Rushdan Noor
21hb Mach 2025

https://www.healthline.com/nutrition/30-days-no-sugar#benefits

https://www.webmd.com/diet/ss/slideshow-effects-cut-added-sugar

https://www.news-medical.net/news/20241101/Low-sugar-diet-in-early-life-reduces-risk-of-chronic-diseases-in-adulthood.aspx

https://www.nhs.uk/live-well/eat-well/how-to-eat-a-balanced-diet/how-to-cut-down-on-sugar-in-your-diet/

https://pubmed.ncbi.nlm.nih.gov/22655451/

https://journals.lww.com/joms/fulltext/2022/42030/nonadherence_to_dietary_activities_and_its.2.aspx

https://cdn.nutrition.org/article/S2475-2991%2824%2901199-5/fulltext

https://www.nejm.org/doi/full/10.1056/nejmoa1203034

https://pmc.ncbi.nlm.nih.gov/articles/PMC9966020/#sec5-nutrients-15-00889

https://www.emro.who.int/noncommunicable-diseases/publications/questions-and-answers-on-reducing-sugar-consumption-to-prevent-and-control-noncommunicable-diseases.html

Friday, 21 March 2025

BENARKAH RISIKO VAKSIN COVID-19 LEBIH BESAR DARI MANFAAT : ANALISA MULTINATIONAL GVDN COHORT STUDY



ANALISA KERTAS KAJIAN MULTINATIONAL GVDN COHORT STUDY OF 99 MILLION VACCINATED INDIVIDUALS : KESAN SAMPINGAN VAKSIN COVID-19

Saya terpanggil untuk menulis tentang kajian ini apabila mendapati ada pihak tertentu menggunakan hasil kajian ini untuk menakutkan orang ramai tentang bahaya vaksin Covid-19. Saya akan jelaskan mengapa hasil kajian ini tidak memberi apa2 perubahan kepada pendirian kita bahawa vaksin covid-19 membawa lebih manfaat dari mudarat.

RINGKASAN KAJIAN

1. Kajian ini bertujuan untuk melihat sejauh mana hubungan antara Vaksin Covid-19 dengan peningkatan penyakit2 yang mungkin disebabkan oleh vaksin tersebut.

2. Kajian ini adalah dari jenis "Observational Cohort" melibatkan 99 juta individu yang telah diberikan vaksin Covid-19 di 10 tempat dalam 8 negara. Jumlah dos yang diberikan adalah lebih kurang 240 juta dos.

3. Penyelidik mengumpulkan kadar kes yang mungkin kesan sampingan dalam masa 42 hari selepas suntikan ("observed rate"). Kemudian mereka bandingkan dengan kadar masalah kesihatan yang sama sebelum pandemik Covid-19 ("expected rate"). Kemudian mereka dapatkan Observed-to-Expected ratio (kadar OE ataupun OE ratio).

4. Sebanyak 13 jenis penyakit (menggunakan istilah AESI : Adverse events of special interest) telah dianalisa termasuk ke atas sistem saraf, darah dan jantung. Lima penyakit yang menjadi tumpuan utama adalah Guillain-Barre syndrome, cerebral venous sinus thrombosis, acute disseminated encephalomyelitis, myocarditis dan pericarditis. 

5. Semua penyakit2 dipantau itu boleh berlaku tanpa suntikan vaksin. Jadi mereka membandingkan adakah terdapat peningkatan kadar penyakit tersebut selepas vaksin diberikan.

6. Tiga jenis vaksin Covid-19 terlibat dalam kajian ini iaitu vaksin mRNA (BNT162b2) dan mRNA-1273) dan vaksin adenovirus-vector (ChAdOx1).

PENEMUAN UTAMA DARI KAJIAN  INI

Selepas membandingkan bilangan kes (penyakit) sebelum pandemik dan selepas vaksin Covid-19 diberikan, berikut adalah kadar peningkatan kes2 yang tersebut (OE ratio (Observed-to-Expected Ratio):

1. Kes Guillain-Barre Syndrome (GBS) meningkat selepas dos pertama vaksin ChAdOx1 pada kadar (OE ratio) 2.49. 

2. Kes Cerebral Venous Sinus Thrombosis (CVST) meningkat selepas dos pertama vaksin ChAdOx1 pada kadar 3.23.

3. Acute Disseminated Encephalomyelitis (ADEM) meningkat selepas dos pertama vaksin mRNA-1273 pada kadar 3.78.

4. Myocarditis dan Pericarditis meningkat selepas suntikan semua jenis vaksin pada LBCI lebih dari 1.5 (LBCI: Lower bound CI)

5. Penyelidik membuat kesimpulan bahawa risiko untuk mendapat komplikasi yang sama selepas jangkitan Covid-19 jauh lebih tinggi dari akibat suntikan vaksin. Contohnya risiko mendapat GBS akibat jangkitan Covid 19 adalah 617 kali lebih tinggi dari akibat suntikan vaksin. 

Komen: Walaupun peningkatan kadar kes kelihatan besar, disebabkan keempat2 penyakit ini sangat jarang berlaku, apabila diterjemahkan kepada bilangan kes, ianya sangat kecil jika dinisbahkan dengan jumlah dos vaksin. Contohnya kes GBS, peningkatan kadar GBS selepas suntikan vaksin adalah 2.49 kali ataupun 249% berbanding dengan sebelum pandemik. Jika diterjemahkan kepada bilangan kes,  kadar kes GBS sebelum pandemik adalah 1 kes dalam 100,000 ("background rate"). Selepas suntikan vaksin, bilangan kes meningkat kepada 2.49 kes untuk setiap 100,000 dos, yakni peningkatan sebanyak 1.49 kes untuk setiap 100,000 dos ataupun tambahan 14.9 kes untuk 1 juta dos vaksin. Jadi bilangan sebenar kes2 tersebut masih sangat kecil.Itupun belum diambil kira kemungkinan kes2 itu bukan disebabkan oleh vaksin kerana kajian ini tidak dapat mengesahkan hubungan antara sebab dan akibat.

KELEMAHAN KAJIAN 

1. Kajian observational seperti ini tidak dapat mengesahkan ujudnya kaitan antara sebab dan akibat. Masalah kesihatan yang dikenalpasti boleh berlaku tanpa suntikan vaksin. 

2. Data2 kesihatan yang pelbagai dan rencam dari begitu banyak pusat termasuk isu pengesahan penyakit (diagnosis), ketepatan laporan dan lain2.

3. Tempoh pemantauan yang pendek

4. Pemilihan sampel yang bias

5.Potensi "over diagnosis" yakni kes yang dilaporkan bukan akibat vaksin Covid-19.

6. Perbandingan secara retrospektif seperti ini tidak mempunyai kumpulan control yang baik, di samping kadar sebenar penyakit2 yang dianalisa tidak diketahui dengan tepat kerana ia mungkin berbeza2 mengikut tempat dan masa. 

KESIMPULAN 

Kesan sampingan daripada suntikan vaksin Covid-19 yang tersenarai bukanlah baru dan sudah diketahui sebelum kajian ini dijalankan. Penyakit2 yang dianalisa adalah sangat jarang berlaku dan boleh berlaku tanpa kaitan dengan vaksin. Jika berlaku dengan vaksin sekalipun,  ia masih dianggap kesan sampingan yang amat jarang berlaku. 

Walaupun kadar peningkatan kes selepas suntikan vaksin seakan2 besar, sebenarnya ia tidak melibatkan bilangan kes yang tinggi jika dinisbahkan dengan jumlah suntikan vaksin. Itupun belum diambil kira kemungkinan kes2 itu bukan disebabkan oleh vaksin.

Disebabkan kajian ini adalah kajian pemerhatian ("observational") dan membandingkan kes secara retrospektif (bukan kajian prospective RCT), kita tidak dapat mengesahkan ujudnya hubungan antara sebab dan akibat (berkemungkinan masalah kesihatan tersebut bukan diakibatkan oleh vaksin).  Kajian lanjut yang lebih berkualiti perlu dijalankan. 

Hasil kajian ini  tidak menafikan besarnya manfaat suntikan vaksin Covid-19 di dalam mencegah jangkitan, mengurangkan kematian, mengurangkan jangkitan serius dan mengurangkan komplikasi jangkitan termasuk long Covid-19. Myocarditis (radang otot jantung), GBS dan ADEM adalah juga komplikasi jangkitan Covid-19 dan suntikan vaksin dapat menurunkan risiko komplikasi2 ini. Salah satu kesimpulan yang dibuat oleh penyelidik adalah bahawa risiko untuk mendapat GBS selepas jangkitan Covid 19 ialah 617 kali lebih tinggi dari  GBS yang diakibatkan oleh suntikan vaksin.  Pendirian bahawa manfaat vaksin Covid-19 yang jauh lebih besar daripada kesan sampingan vaksin tetap tidak berubah.

Dato' Dr.Rushdan Noor
22hb Mac 2025

Faksova K, Walsh D, Jiang J, et al. COVID-19 vaccines and adverse events of special interest : A multinational Glibal Vaccine Data Network (GVDN) cohort study of 99 million vaccinated individuals. Vaccine, April 2024, 42(9):2200-2211.

https://www.sciencedirect.com/science/article/pii/S0264410X24001270?fbclid=IwY2xjawJKIUdleHRuA2FlbQIxMAABHSCZycG-tp64Ss7iygVkUBMtyDpgHtoMvf3uq7tx8OIhDxEwmVi32b-Ojg_aem_-RWd16lwU8v8v4oHDmhpDw

Wednesday, 19 March 2025

MANA LEBIH BAIK, MINUM AIR SEJUK ATAU AIR PANAS

 

Umumnya meminum air yang mencukupi adalah salah satu amalan yang baik untuk kesihatan. Bagaimana pula tentang suhu air, yang mana lebih baik antara air panas ataupun air sejuk. Kedua2 air panas dan air sejuk didakwa mempunyai kebaikan dan keburukan. 

Walau bagaimanapun, hampir semua dakwaan tentang kebaikan serta keburukan air panas dan air sejuk yang diwar2kan adalah daripada bukti anekdotal (pengalaman orang) dan ada juga berdasarkan kepada teori ataupun kajian2 yang kecil. Tidak ada kajian yang kukuh untuk menyokong mana2 dakwaan tersebut. 

Melalui pencarian maklumat yang saya buat, umumnya senarai kebaikan meminum air panas adalah lebih panjang berbanding dengan air sejuk. Tetapi kena ingat, air yang terlalu panas (> 60 darjah selsius) boleh mencederakan lapisan dinding dalam mulut dan saluran esofagus.

Jadi, keputusan untuk mengambil air panas ataupun air sejuk bergantung kepada pilihan masing2 dan mengikut keadaan.

Jika dengan meminum air panas anda merasa lebih sedap, lebih selesa, melegakan hidung tersumbat dan tidak mengalami apa2 gejala yang berulang, maka amal lah meminum air panas. Manakala jika anda suka air sejuk, tidak mengalami sebarang gejala, sedang bersenam dan cuaca pula panas, maka anda boleh minum air sejuk. Jika dengan meminum air sejuk, sakit kepala (migraine) lebih kerap, maka elakkan minum air sejuk (ada kajian kecil yang menunjukkan air sejuk boleh meransang serangan sakit kepala pesakit migraine). Memandangkan itu adalah pengalaman  peribadi, maka ia hanya terpakai untuk diri anda sahaja, tak perlu syorkan kepada orang lain. 

Anda boleh mencari sendiri kelebihan meminum air panas dan air sejuk dari internet ataupun pautan yang saya sertakan di bawah. Saya ulang lagi, dakwaan2 yang dinyatakan dalam rencana2 itu adalah dari bukti anekdotal, teori dan kajian2 kecil. Faktor yang penting untuk mendapat manfaat dari meminum air (sejuk atau panas) adalah kualiti air yang baik dan kuantiti air yang mencukupi untuk mencegah dehidrasi. Kita harap lebih banyak penyelidikan  dapat dijalankan pada masa hadapan untuk mengesahkan dakwaan2 tersebut.

Dato' Dr. Rushdan Noor

19hb Mac 2025


https://www.healthline.com/health/benefits-of-drinking-hot-water#bottom-line

https://www.medicinenet.com/drink_cold_water_or_room_temperature_water/article.htm

https://www.medicalnewstoday.com/articles/319673#benefits

https://www.medicalnewstoday.com/articles/325038#is-it-bad-for-you

https://www.medicalnewstoday.com/articles/325038?fbclid=IwY2xjawJF2NhleHRuA2FlbQIxMQABHcjvzi8kk1v2AjTvDbeY9aOlqvUmNvgeqK5nKzZ6rkpRnRAuLwznD-KHXg_aem_U4k1U-ydHRfNOuxs0h7oaw#is-it-bad-for-you

Monday, 10 March 2025

JANGAN RAGU MENGAMBIL VAKSIN UNTUK MENGERJAKAN HAJI


Saya sempat berbual dengan beberapa orang petugas Pengelola Jemaah Haji. Salah satu isu yang disentuh adalah keengganan bakal jemaah untuk ambil vaksin. Saya tak pasti kadar penolakkan vaksin dan juga berapa ramai yang memutuskan tidak mahu mengerjakan haji kerana takut ambil vaksin. Mereka salah faham dan dikelirukan oleh golongan antivaksin ataupun rakan2 mereka yang terjebak.

Saya tidak pasti samada ujud ataupun tidak, satu lagi golongan yang tidak ambil vaksin tapi terlepas dari radar pengesanan kerana di buku vaksin mereka tercatat vaksin telah diberikan. Jadi mereka pergi juga mengerjakan haji dengan risiko jangkitan yang lebih tinggi dari jemaah2 lain yang mengambil vaksin.

Golongan2 yang terlepas dari radar ini , sebenarnya telah melanggar peraturan pihak berkuasa haji dan juga meletakkan diri mereka serta orang2 di sekeliling mereka berisiko lebih tinggi mendapat jangkitan. Jangkitan2 yang dicegah oleh vaksin2 ini pula bukan jangkitan ringan. Mereka juga telah menipu dan bersubahat dengan pegawai2 yang memalsukan kad vaksin.

Katakan dengan takdir Allah, asbab dari mereka melanggar peraturan dan tidak berikhtiar dengan vaksin, mereka dijangkiti oleh penyakit yang serius hingga merosakkan organ badan ataupun mati.

Kemudian mereka menjangkiti pula jemaah2 lain yang juga seperti mereka ataupun peratusan kecil jemaah yang vaksin itu kurang berkesan. Mereka bukan sahaja memudaratkan diri sendiri, tetapi juga orang lain serta mengganggu kerja haji jemaah lain. Mungkin ada jemaah lain yang tidak sempurna kerja hajinya ataupun lebih parah, mati akibat jangkitan yang disebarkan. Dalam keadaan ini, berapa ramai pihak yang bersubahat dan akan menanggung dosa dari mudarat yang menimpa jemaah ini dan orang lain.

Analogi mudah untuk kita faham adalah memandu kereta tanpa memakai tali pinggang keledar dengan betul. Tali pinggang itu hanya ditarik sedikit ke bahu untuk mengelirukan pihak berkuasa, seolah2 dia sedang memakainya. Dipandunya kereta dengan laju, dilanggarnya lampu merah, kemudian bertembung dengan sepasang suami isteri yang menunggang motosikal, mati kedua2 pasangan suami isteri dan yatim piatu anak2 mereka. Kereta itu pula terbabas melanggar pokok dan akibat hentakan kuat tanpa bantuan dari tali pinggang keledar, kepalanya pecah terhentak di cermin hadapan, organ2 dalamnya juga cedera teruk.

Mungkin analogi ini tidak sama sepenuhnya dengan kes vaksin, tetapi dapat diambil pengajaran bahawa kita bertanggungjawab sepenuhnya di atas keputusan ataupun tindakan yang diambil. Tindakan yang kita pilih itu kadangkala memberi impak yang besar bukan sahaja kepada diri sendiri, tetapi orang lain. Manakala undang2 ataupun peraturan yang sudah dikuatkuasakan seperti mengambil vaksin, memakai tali pinggang keledar, tidak memandu laju dan tidak melanggar lampu merah, walaupun ciptaan manusia, ianya tentu bersebab dan patut dipatuhi.

Memang memakai tali pinggang keledar itu ada juga risikonya ("seat belt injuries"). Apatah lagi risiko memandu kereta. Sebenarnya risiko untuk mati akibat memandu kereta jauh lebih besar daripada risiko mati akibat suntikan vaksin.

Risiko untuk mati akibat kemalangan kereta adalah 1 kes dalam 8000 orang/tahun berbanding dengan risiko mati akibat vaksin yang kurang dari 1 kes dalam 1 juta per dos/tahun. Dengan kata lain, lebih munasabah menyuruh orang jangan memandu kereta daripada jangan mengambil vaksin.

Apa sahaja yang kita lakukan pasti ada manfaat dan mudaratnya. Kita perlu bijak membuat pertimbangan manfaat dan mudarat, kemudian memilih tindakan yang membawa lebih manfaat dari mudarat ataupun yang kurang mudarat dari dua kemudaratan. Pertimbangan yang tepat dipandu oleh ilmu yang betul. Ilmu yang betul hanya boleh diperolehi daripada sumber dan guru yang betul.

Kepada semua bakal jemaah haji, percayalah bahawa peraturan2 yang telah ditetapkan oleh pihak berkuasa haji, samada di Malaysia ataupun di Arab Saudi itu adalah bersebab dan munasabah.

Kepada pihak yang menyebarkan salah faham dan bersubahat memalsukan kad vaksin, tindakan anda akan dipertanggungjawabkan.

"Orang yang bijak bukanlah orang yang tahu mana yang baik dari yang buruk. Akan tetapi, orang yang bijak adalah orang yang tahu mana yang terbaik dari dua kebaikan dan mana yang lebih buruk dari dua keburukan" (Ibn Taimiyah)

Daripada Abi Sai’d al-Khudri R.A, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

Maksudnya: “Tidak boleh melakukan perbuatan yang memudharatkan diri sendiri dan orang lain.” (Riwayat Ibn Majah dan al-Daruqutni dan Imam Malik dalam al-Muwatta’.)

Maklumat tambahan:

Risiko mati tercekik semasa makan adalah 1 per 100,000 orang/tahun berbanding dengan mati akibat vaksin 1 per 1 juta orang per dos/tahun (Statistik USA).


Dato' Dr.Rushdan Noor

11hb March 2025


JENIS-JENIS VAKSIN UNTUK MUSIM HAJI 2025



Sumber: Laman web TH

Friday, 7 March 2025

TINDAKAN MENGHINA AGAMA BOLEH MENGGUGAT KEHARMONIAN NEGARA BERBILANG KAUM

 


Agama Islam sangat menitikberatkan kepentingan menjaga keamanan dan hubungan antara manusia. Di dalam negara yang berbilang kaum dan agama, usaha untuk mengekalkan keharmonian bukanlah satu kerja yang mudah. 

Resepi untuk terus hidup dengan aman bersama2 adalah menghormati antara satu sama lain dan menerima kepelbagaian dengan hati terbuka. Jadi, sikap sambil lewa dan memperlekehkan agama lain samada dari aspek theologinya ataupun Tuhan, tokoh2 serta kitab suci mereka boleh mencetus ketegangan dan suasana tidak aman.

Setiap penganut agama perlu tahu batas dan perkara2 yang tidak boleh mereka langkau sehingga mengguris perasaan penganut agama lain. Walaupun wujud disiplin perbandingan agama, ianya hendaklah digunakan untuk tujuan akademik dan jika hendak dipraktikkan digunakan dalam ruang tertutup untuk menguatkan keyakinan diri terhadap agama yang dianuti dan bukan didedahkan secara terbuka kepada umum. 

Pada masa tulisan ini dihasilkan, sedang ujud suasana panas apabila pihak berkuasa mengambil tindakan terhadap beberapa orang Islam yang dituduh menghina ajaran agama lain. Maka terdapat golongan yang seagama dengan tertuduh yang marah kerana kononnya pihak berkuasa bertindak secara berat sebelah ataupun "double standard". 

Ketidakpuasan ini disemarakkan lagi oleh kenyataan beberapa orang tokoh agama, ahli akademik dan pempengaruh. Seperti biasa, ramai yang terpengaruh dan menelan bulat2 apa yang diperkatakan, sedangkan realitinya berbeza. Jika diselidiki kes2 penghinaan agama yang berlaku di negara kita, memang kita dapati pihak berkuasa akan mengambil tindakan tegas ke atas setiap laporan polis dan juga Jabatan Agama. Menurut Menteri Agama, semenjak tahun 2020 hingga 2024, sebanyak 61 kes2 menghina agama Islam yang dilakukan oleh orang Islam telah dilaporkan dan 57 kes sudah didakwa. Pada tahun ini juga semua kes2 menghina agama Islam telah diambil tindakan termasuk ke atas seorang pelawak dan wanita tionghua. Pendek kata, tuduhan mengatakan pihak berkuasa "double standard" terhadap kes-kes penghinaan agama Islam adalah tidak betul. Tambahan pula setiap kes itu mungkin berbeza daripada segi tahap kesalahan, akta yang terlibat dan proses undang-undang yang perlu dilalui. Lambat ataupun cepatnya proses2 ini berjalan mungkin berbeza tetapi yang penting tidak ada yang terlepas.

Seperti biasa, segala isu yang boleh digunakan sebagai senjata politik akan dimanipulasikan oleh pihak2 tertentu untuk laba politik mereka. Kenyataan2 yang tidak bertanggungjawab ditulis di dalam media sosial untuk tujuan memburuk2kan pihak berkuasa dan kerajaan. Peluang ini juga diambil oleh pempengaruh media sosial untuk dijadikan konten bagi menarik lebih ramai peminat semata2 untuk matlamat peribadi mereka. Mereka tidak sedar yang tulisan mereka itu berpotensi menyebabkan keadaan menjadi lebih tegang. Penganut agama dari kedua2 pihak yang akan bertelagah sesama sendiri dan saling cabar mencabar hingga berlaku kebencian dan permusuhan. Di samping itu, di dalam kalangan penganut sesama agama juga ujud kumpulan2 berbeza yang bertelagah dan meletakkan berbagai label serta tuduhan ke atas sahabat seagama mereka.

Sepatutnya, setiap pihak membuat kenyataan yang adil, bertanggungjawab dan tidak mencetuskan lebih ketegangan, umpama menyimbah minyak ke dalam api. Pengaruhnya lebih besar jika yang menulis itu adalah tokoh2 agama dan akademik. Dalam suasana tegang ini, sepatutnya kita mengajak kepada pendamaian dan bukan menunding jari kepada mana2 pihak. Jika tidak mampu melakukannya, berdiam diri itu adalah lebih baik. 

Berbalik kepada kes-kes penghinaan terhadap agama, kita dapati banyak penghinaan ini dilakukan oleh umat Islam sendiri ke atas agama mereka. Walaupun ada kes-kes penghinaan penganut agama lain ke atas agama Islam, bilangannya lebih rendah. Apakah ini satu petunjuk yang amalan dan pengetahuan penganut agama Islam sendiri sedang mengalami masalah? Persoalan ini patut ditujukan kepada tokoh2 agama dan pemimpin2 agama di negara kita kerana mereka sepatutnya bertanggungjawab mendidik masyarakat dan umat Islam.

Pada pendapat peribadi saya, menghina dan memperlekahkan agama tidak hanya merujuk kepada penghinaan ke atas Nabi, Allah dan Al-Quran sahaja. Seseorang ataupun sekumpulan umat Islam yang melanggar perintah Allah dan Rasul secara terang2an, dilakukan pula berulangkali, boleh dianggap sebagai menghina atau memperlekehkan agama Islam. Menukar hukum hakam agama dan menafsir ayat suci serta hadith mengikut selera mereka untuk mencapai cita2 keduniaan sepatutnya juga dianggap menghina agama Islam. Menunggang agama untuk kepentingan peribadi dan ideologi tertentu di mana kedudukan agama diletakkan di bawah dari matlamat perjuangan juga boleh dianggap menghina agama Islam. Pembaca boleh membaca tulisan saya tentang MENUNGGANG AGAMA UNTUK HABUAN DUNIA  di sini.

Tafsiran menghina dan memperlekehkan agama sebenarnya lebih luas. Menghina Nabi, Allah dan Al-Quran boleh dianggap kemuncak penghinaan agama. Terdapat tindakan2 lain seperti yang dinyatakan di atas juga tergolong di dalam maksud menghina ataupun memperlekehkan agama, walaupun mungkin tahap nya lebih rendah. Masyarakat mungkin terlepas pandang bahawa penghinaan agama di bawah kategori kedua itu sedang berlaku secara berleluasa di mana2 dalam masyarakat Islam dan yang sedihnya dilakukan oleh orang Islam sendiri. 

Sesuatu yang tegas dan berkesan perlu dilakukan segera bagi membendong masalah ketegangan akibat daripada tindakan menghina agama ini. Setiap individu perlu berhati2 apabila memperkatakan tentang agama lain dan sentiasa peka terhadap sensitiviti penganut agama lain. Undang2 yang lebih tegas perlu dikuatkuasakan terhadap mana2 penghina agama dan tidak ada pilih kasih ataupun berat sebelah. Di samping pesalah, tindakan tegas sepatutnya juga diambil ke atas mana2 pihak yang mengapi2kan sentimen yakni yang mencurahkan minyak ke dalam api. Mereka ini mungkin lebih merbahaya daripada pesalah kerana akibat daripada sikap mereka itu boleh mencetuskan gelombang kebencian dan perpecahan yang jauh lebih besar.

Untuk kes penghinaan terhadap agama, akta yang terpakai sekarang termasuk Akta Hasutan 1948, akta Komunikasi dan Multimedia 1998 serta kanun keseksaan. Ada pihak yang mencadangkan diujudkan akta 3R ( kaum, agama dan institusi raja) yang lebih luas termasuk pendakwaan kes pesalah yang berada di luar negara ataupun bukan warga negara. 

Negara kita adalah negara berbilang kaum dan agama, kita sudah begitu lama hidup aman damai. Walaupun sekali sekala berlaku ketegangan, kita dapat mengharunginya dengan baik, umpama biduk lalu kiambang bertaut. Kita tidak mahu keharmonian dan keamanan ini dinodai oleh tindakan segelintir pihak yang tidak bertanggungjawab meniup api kebencian dan perpecahan.


Dato' Dr. Mohd Rushdan Md Noor

8hb Mach 2025

https://www.utusan.com.my/nasional/2025/02/61-tangkapan-babitkan-hina-agama-islam-mohd-naim/?utm_source=chatgpt.com

https://www.facebook.com/share/p/1XvSHHTSWr/

https://www.facebook.com/share/p/15Xh25MMpE/

https://www.facebook.com/share/p/1YhvQFVnNL/