Monday 19 July 2021

VAKSIN BUKAN 100% BERKESAN




Vaksin Covid-19 bukan 100% berkesan samada mencegah jangkitan ataupun mencegah penyakit kategori berat dan kematian. Contohnya vaksin Pfizer-Biontech mempunyai keberkesanan mencegah jangkitan sebanyak 95%. Manakala keberkesanan  mencegah Covid-19 kategori berat dan kematian akibat varian alpha dan beta juga lebih kurang 95%.

Jadi tidak menghairankan jika ada lapuran penerima 2 suntikan vaksin mengalami Covid-19 kategori 4-5 dan mati. Tetapi risikonya jauh lebih rendah dari individu yang tidak mengambil vaksin. Maka tidak betul kalau ada yg berkata " apa guna ambil vaksin kalau ambilpun boleh mati". Jelas sekali orang ini tidak faham tentang vaksin. 

Untuk analogi mudah kita anggap vaksin itu umpama jaket keselamatan yang dipakai semasa menyeberang sungai. Kalau sampan tenggelam peluang untuk selamat itu lebih tinggi dengan jaket. Tapi memang ada orang pakai jaket keselamatan pun boleh mati lemas jika jenisnya tak betul, kualitinya rendah, saiz tidak sesuai, tidak dipakaikan dgn betul, rosak, kerana arus terlalu deras atau ada faktor lain dalam sungai. Ada juga kes mangsa yang pengsan dan muka tersembam ke dalam air, jaket keselamatan menyukarkan pergerakan badan sehingga mangsa mati lemas. 

Maka tidak benar kalau kita kata jaket keselamatan itu tidak berguna hanya kerana beberapa orang yang memakai jaket mati lemas. Sepatutnya kita kena melihat berapa ramai orang yang diselamatkan olehnya. Kajian di Amerika mendapati 84% daripada mangsa yang mati lemas ketika kejadian bot tenggelam tidak memakai jaket keselamatan. 


Kalau kita andaikan mengambil vaksin itu seperti memakai jaket keselamatan yang betul, maka tidak ada sebab untuk kita menolaknya lebih2 lagi dengan keadaan arus sungai yang sangat deras. Mengambil vaksin bukan setakat mengurangkan risiko jangkitan, kemasukan ke wad, gejala berat dan kematian, tetapi juga mengurangkan kewujudan varian2 baru virus yang lebih ganas.


Dato' Dr.Rushdan Noor

20hb Julai 2021

No comments:

Post a Comment