PENDAHULUAN
Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, timbul dakwaan bahawa sayur-sayuran dan buah-buahan zaman sekarang “semakin tidak berkhasiat” berbanding generasi dahulu. Ada yang menjadikan hujah ini untuk menggalakkan orang ramai mengambil pil atau kapsul suplemen sebagai pengganti. Benarkah begitu?
1. Betul, ada sedikit penurunan nutrien, tetapi bukan bermakna sayur dan buah tidak berharga. Tambahan pula kajian tidak menyeluruh kerana hanya beberapa nutrien saja yang dibandingkan. Teknologi pengesanan dan pengukuran kandungan nutrien juga sudah berubah dan sukar untuk membuat perbandingan yang adil kerana masa pengukuran itu di buat pada dua zaman yang berbeza.
Kajian yang sering dirujuk menunjukkan terdapat penurunan kandungan sesetengah vitamin dan mineral dalam beberapa jenis hasil pertanian antara tahun 1950-an hingga 2000-an. Antara faktor yang mungkin menyumbang adalah kaedah pertanian moden, tanah yang digunakan berulang kali, dan perubahan iklim.
Namun penurunan ini tidak menjadikan sayur dan buah “kosong zat”. Contohnya, walaupun kandungan vitamin C epal atau oren berkurang, ia masih mengandungi jumlah yang mencukupi untuk menyumbang kepada keperluan harian manusia. Selain itu, sayur dan buah masih membekalkan fitokimia penting, antioksidan, serta serat, perkara yang tidak diambil kira dalam jadual vitamin-mineral yang sering ditonjolkan.
Masalah pencemaran boleh diatasi dengan kaedah membasuh dan penyediaan yang betul. Ataupun jika ada bajet yang lebih, boleh dapatkan dari sayuran dan buah2an organik.
2. Suplemen tidak boleh menggantikan kompleks pemakanan semula jadi
Buah dan sayur mengandungi ribuan komponen bioaktif yang bekerja secara sinergistik contohnya flavonoid, polifenol, sulforaphane, likopen. Suplemen hanya menyalin beberapa vitamin atau mineral terpilih dalam bentuk terasing.
Kajian besar mendapati pengambilan vitamin atau mineral berlebihan melalui pil tidak memberi manfaat tambahan dan kadangkala membahayakan. Sebagai contoh, kajian SELECT menunjukkan vitamin E tambahan meningkatkan risiko kanser prostat, manakala beta-karotena dos tinggi meningkatkan risiko kanser paru-paru pada perokok. Suplemen vitamin B6 berlebihan boleh menyebabkan masalah saraf, vitamin C dengan risiko batu karang, asid lemak omega 3 dengan risiko masalah denyutan jantung (atrial fibrillation) dan lain2.
Penduduk2 di beberapa daerah yang terkenal dengan jangka hayat yang panjang dan sihat seperti di Okinawa Jepun, Sardinia di Itali, Ikaria di Greece, Nicoya di Costa Rica dan lain2 tidak mengamalkan suplemen, mereka mengambil makanan/diet yang menyihatkan dan gaya hidup sihat.
3. Kelebihan nyata makanan berasaskan tumbuhan
Serat: penting untuk kesihatan usus, kawalan gula darah dan pencegahan kanser kolon. Tiada dalam pil vitamin.
Kekenyangan semula jadi: isi, air dan tekstur buah/sayur membantu mencegah obesiti.
Keseimbangan penyerapan: nutrien dalam makanan diserap secara lebih terkawal berbanding kapsul dos tinggi.
4. Bila suplemen diperlukan?
Suplemen ada peranan bila ada kekurangan terbukti atau keperluan khas – contohnya:
Asid folik untuk wanita hamil.
Vitamin B12 untuk individu vegan.
Vitamin D untuk pesakit osteoporosis atau mereka yang kurang terdedah cahaya matahari.
Selain itu, majoriti orang sihat boleh memenuhi keperluan nutrisi melalui pemakanan seimbang, bukan dengan pil.
KESIMPULAN
Benar, teknologi pertanian moden membawa cabaran dari segi kualiti nutrien, tetapi ini tidak menjadikan sayur dan buah kita “tidak berkhasiat”. Sebaliknya, ia kekal sebagai sumber terbaik vitamin, mineral, serat dan fitokimia yang tidak dapat diganti oleh pil suplemen.
Suplemen hanya wajar digunakan dalam keadaan tertentu, atas nasihat doktor. Untuk orang awam, cara paling selamat dan berkesan ialah makan pelbagai jenis sayur dan buah setiap hari.
RUJUKAN
1. Davis DR, Epp MD, Riordan HD. Changes in USDA Food Composition Data for 43 Garden Crops, 1950 to 1999. J Am Coll Nutr. 2004;23(6):669-682.
2. Klein EA, Thompson IM Jr, Tangen CM, et al. Vitamin E and the Risk of Prostate Cancer: The Selenium and Vitamin E Cancer Prevention Trial (SELECT). JAMA. 2011;306(14):1549-1556.
3. Alpha-Tocopherol, Beta Carotene Cancer Prevention Study Group. The effect of vitamin E and beta carotene on the incidence of lung cancer and other cancers in male smokers. N Engl J Med. 1994;330:1029–1035.
4. Aune D, Giovannucci E, Boffetta P, et al. Fruit and vegetable intake and the risk of cardiovascular disease, total cancer and all-cause mortality—a systematic review and dose-response meta-analysis of prospective studies. Int J Epidemiol. 2017;46(3):1029-1056.
5. World Health Organization. Guideline: Daily iron and folic acid supplementation in pregnant women. WHO, 2012.
6. National Institutes of Health (NIH) Office of Dietary Supplements.
7. Gencer, B., et al.. Effect of long‑term marine ω‑3 fatty acids supplementation on the risk of atrial fibrillation in randomized controlled trials of cardiovascular outcomes: a systematic review and meta‑analysis. Circulation, 2021:144(25), 1991–1994.