Wednesday, 15 April 2020

COVID-19 DAN RIBUT CYTOKINES ("CYTOKINE STORM")


Kebanyakan mangsa jangkitan virus Covid-19 mengalami gejala ringan dan  kemudian sembuh. Tetapi ada golongan yang mengalami gejala berat sehingga terkorban. Ahli Sains belum pasti mengapa ini berlaku walaupun mereka tahu tentang golongan2 yang berisiko untuk mengalami gejala teruk. Tetapi terdapat ramai juga pesakit yang walaupun tidak termasuk dalam kategori berisiko, masih mengalami gejala teruk dan mati.

Kebanyakan mangsa dapat sembuh kerana kemampuan sistem pertahanan mereka melawan virus Covid-19 dengan berkesan. Ahli sains mendapati golongan yang mengalami gejala teruk bukan semestinya disebabkan oleh sistem pertahanan yang lemah sebaliknya disebabkan oleh ransangan sistem pertahanan yang berlebihan. Gejala dan kerosakan organ yang mereka alami bukan disebabkan serangan virus secara langsung tetapi disebabkan oleh serangan balas tubuh badan yang keterlaluan sehingga merosakkan diri sendiri. Salah satu punca kerosakan diri sendiri ini adalah apa yang dikenali sebagai RIBUT CYTOKINE ("Cytokine Storm").

Apabila virus menyerang manusia, salah satu sel yang akan menjadi benteng pertahanan  (sistem imun) adalah sel darah putih yang bernama makrofaj, makrofaj akan menelan virus ini dan memberi isyarat kepada satu lagi sel darah putih yang dikenali sebagai Limfosit. Memendekkan cerita, sel limfosit ini penting untuk menghasilkan antibodi yang spesifik dan juga meransang sel2 lain yang mampu menelan virus apabila ditemui. Satu lagi sel yang berfungsi lebih kurang sama dengan makrofaj adalah sel dendritik. Sel2 yang boleh menelan bendasing/antigen dan mampu memberi isyarat kepada sel2 lain seperti yang dilakukan oleh makrofaj dan sel dendritik ini  juga dikenali sebagai APC ("Antigen Presenting Cell"). Semasa tindakbalas badan ini, sel2 darah putih (termasuk makrofaj, limfosit dll) dan sel dendritik akan melepaskan satu jenis protein yang dikenali sebagai CYTOKINE (cyto: sel, kinos:bergerak, sebutan: "saitokain"). Ada juga yang berpendapat, cytokine ini boleh juga dilepaskan oleh sel-sel paru2 yang diserang oleh virus dan cytokine ini kemudian boleh meransang sel makrofaj untuk menyerang virus dan juga menghasilkan cytokinenya sendiri untuk tujuan di atas.

Terdapat banyak jenis cytokine dan 4 kumpulan utama adalah Interferon, Interleukine, TNF (tumour necrosis factor) dan chemokine. Semasa serangan virus Covid-19 ini, walaupun banyak jenis cytokine yang terlibat, paling menonjol adalah interleukin 1, 6, 10,12 dan TNF-alfa. Setiap cytokine ini ada fungsi2 tersendiri, ada yang berperanan memanggil sel2 darah putih ke tempat diserang, meransang penghasilan sel darah putih yang lebih banyak, ada yang meransang sel darah putih untuk menelan virus, menyebabkan demam, meransang deria sakit dan ada yang meransang proses keradangan ("pro-inflammatory"). Walaupun proses keradangan ini penting sebagai salah satu kaedah melawan serangan virus tetapi ia boleh menjadi serampang dua mata. Di antara cytokine yang menjadi peransang keradangan yang kuat adalah interleukin-6 (IL-6), IL-1 dan TNF-alfa. 

Semasa serangan virus Covid-19 ini, penghasilan cytokine oleh sel makrofaj, sel monosit, sel limfosit dan sel dendritik adalah sangat banyak melebihi dari kadar biasa, ini mungkin disebabkan oleh bilangan sel2 yang diransang juga tinggi. Apabila bilangan sel2 yang menghasilkan cytokine ini lebih tinggi dari biasa, maka cytokine yang dihasilkan juga tinggi.  Tidak hairanlah mengapa ianya dikenali sebagai Ribut Cytokine ("cytokine storm"). Salah satu kesan keradangan adalah saluran darah menjadi kembang dan dinding lebih poros ataupun bocor. Dinding saluran darah yang lebih poros ini membenarkan air dari dalam darah keluar dan masuk ke dalam ruang antara sel dan dalam organ yang terlibat. Disebabkan oleh tempat pertama serangan virus Covid-19 adalah paru2, maka inilah organ yang pertama mengalami kecederaan.

Di dalam paru2, air masuk ke dalam beg pernafasan yang dinamakan alveolus tempat pertukaran gas dengan saluran darah. Akibat dari ransangan sistem pertahanan, di samping air, di sini juga terkumpul banyak sel2 darah putih (boleh menghasilkan radikal bebas dan enzim protease), sel2 fibroblast, protein dan juga saki baki sel2 yang mati. Pendek kata saluran pernafasan tersumbat dengan komponen2 yang disebutkan di atas sehingga mengganggu pertukaran gas dan pesakit akan mengalami gejala sesak nafas serta kekurangan oksigen. Pesakit ini dikatakan mengalami pneumonia ataupun keradangan paru2. Apabila berlaku di seluruh bahagian paru2, ia dikenali sebagai ARDS ("Acute respiratory distress syndrome"). Jangkitan bakteria boleh berlaku sebagai kesan sekunder dan jangkitan boleh merebak ke seluruh badan dikenali sebagai "septicaemia".

Cytokine yang banyak terhasil ini juga akan terlepas ke saluran darah besar dan beredar di seluruh badan menyebabkan kecederaan saluran darah yang lebih menyeluruh. Apabila saluran darah menjadi kembang dan bocor, tekanan darah pesakit akan turun. Di dalam organ2 seperti hati, buah pinggang dan jantung, kesan keatas saluran darah ini menyebabkan bekalan darah terganggu dan berlakulah kerosakan buah pinggang, hati dan jantung. Pesakit dikatakan mengalami kejutan hipovolemia ("hypovolaemic shock") dan kegagalan organ2 badan ("multiorgan failure"). Inilah punca utama kematian pesakit Covid-19.

Cytokine yang sepatutnya membantu badan melawan virus Covid-19 telah menjadi senjata makan tuan. Analogi yang boleh digunakan sebagai gambaran ribut cytokine ini adalah "collateral damage" semasa peperangan, cytokine diumpamakan sebagai maklumat dan arahan dari panglima perang yang mengarahkan serangan dilancarkan secara terancang oleh tentera darat, tentera udara dan tentera laut.  Tentera2 ini adalah sel2 dan komponen2 sistem pertahanan (imun) badan yang diransang. Malangnya arahan yang diberikan tidak dikoordinasikan dengan betul dan tahap serangan yang dilancarkan terlalu besar sehingga peluru2 berpandu dan bom2 dari darat, laut dan udara terkena orang awam, tentera2 sendiri dan bangunan2. Walaupun ramai juga pihak musuh yang terkorban, kerosakan dan kematian dipihak yang mempertahankan diri lebih besar. Dengan kata lain kerosakan collateral ("collateral damage") yang sangat besar sehingga tertewas. Ini adalah salah satu penjelasan bagaimana jangkitan virus Covid-19 menyebabkan kerosakan organ dan kematian.

Nota tambahan: 

1. Covid-19 adalah nama penyakit, virus yang menyebabkan Covid-19 adalah SARS-CoV 2. Perkataan "virus Covid-19" merujuk kepada SARS-CoV 2

2. Salah satu ubat yang sedang menjalani penyelidikan di dalam merawat Covid-19 adalah ubat yang dapat merencat tindakan Interleukin-6 (IL-6). Ini dilakukan dengan menyekat reseptor IL-6 menggunakan anti-IL-6 reseptor yakni menggunakan antibodi. Salah satu ubat yang dikategorikan di bawah anti-IL-6 reseptor ini adalah tocilizumab. Apabila tindakan IL6 ini dapat dikurangkan, maka kecederaan ke atas tisu2 badan juga dapat diminimakan.

3. Tindakbalas badan yang terjadi akibat jangkitan virus Covid-19 ini sebenarnya juga berlaku ke atas jangkitan virus2 yang lain seperti virus SARS dan MERS.

Dato' Dr Rushdan Noor
15hb April 2020










Monday, 13 April 2020

GEJALA USUS PESAKIT COVID DAN JANGKITAN MELALUI PENCEMARAN NAJIS


GEJALA USUS PESAKIT COVID DAN JANGKITAN MELALUI PENCEMARAN NAJIS

Salah satu gejala Covid-19 yang jarang diperkatakan adalah gejala usus seperti cirit, muntah dan sakit perut. Kajian menunjukkan 10-20% daripada pesakit Covid-19 mempunyai gejala usus, malahan ada yang mengalaminya sebelum demam. Apabila ahli sains mengkaji sel-sel di dinding usus (termasuk esofagus), mereka dapati memang terdapat reseptor ACE 2 (mangga) sama seperti sel-sel di dalam paru2. Kita tahu kunci (protein S) yang terdapat pada virus Covid-19 akan melekat pada reseptor ACE 2 untuk masuk menyerang sel manusia.

Penemuan reseptor ACE 2 dan juga tanda2 kehadiran virus Covid-19 di dalam sel-sel usus memberi gambaran bahawa virus ini bukan sahaja menyerang sel2 paru2 tetapi mungkin juga sel2 usus. Penyelidik tidak dapat memastikan bagaimana virus2 ini berjaya melepasi asid perut untuk sampai ke usus tetapi ini bukan sesuatu yang luar biasa kerana perkara yang sama ditemui ke atas pesakit SARS dan MERS. Begitu juga dengan banyak lagi jangkitan virus dan bakteria lain yang menyerang usus. Berkemungkinan virus daripada bahagian hidung dan tekak pesakit terlepas masuk ke dalam usus dan menyerang sel2 usus.

Ahli Sains telah berjaya mengesan kehadiran RNA virus Covid-19 di dalam najis pesakit. Kaedah mengesan virus di dalam najis ini menggunakan ujian yang sama dengan sampel daripada hidung iaitu RT-PCR. Dengan menggunakan kaedah yang berbeza, ahli sains juga pernah menemui virus yang masih utuh dan ini memberi petanda kemungkinan (belum terbukti) jangkitan boleh berlaku melalui pencemaran najis. Terdapat juga keadaan di mana walaupun sampel swab yang diambil dari hidung sudah negatif, ujian ke atas sampel najis masih lagi positif. Ahli Sains masih lagi mengkaji fenomena ini.

Memandangkan terdapat bukti bahawa virus Covid-19 ini boleh hadir di dalam najis pesakit, maka ada kemungkinan ianya boleh disebarkan kepada orang lain melalui kaedah faecal-oral yakni daripada pencemaran najis di pindahkan kepada mulut dan hidung. Di samping itu saki baki najis dan juga droplet virus yang melekat pada mangkuk tandas boleh terbang ke udara semasa seseorang melakukan "flushing". Dengan sebab itu, kebersihan tandas khususnya tandas awam sangat penting untuk dipelihara. Pengguna tandas juga perlu mengamalkan kebersihan diri dengan membasuh tangan dengan sabun ataupun alkohol sanitizer selepas menggunakan tandas, tidak menyentuh muka sebelum itu. Di samping itu peluang pencemaran najis lebih tinggi jika tidak menggunakan air untuk membasuh. Nampaknya Covid-19 ingin mengajar manusia untuk menjadi seorang yang pembersih dalam semua segi. Satu lagi kebiasaan yang baru ("new normal').

NOTA TAMBAHAN:

1.Esofagus adalah saluran yang menghubungkan tekak dengan perut, ia termasuk organ di dalam sistem gastrousus (pencernaan). Hati juga dianggap sebahagian dari sistem yg sama dan memang terdapat reseptor ACE 2 pada sel hati. Sel2 hati boleh rosak dan gangguan fungsi hati boleh berlaku ke atas pesakit Covid-19.

2. Minum air suam tidak ada kaitan dengan jangkitan virus Covid-19 pada paru2 kerana organ yang berbeza dan tidak pula ada bukti ia boleh mengurangkan jangkitan pada usus.

DDr Rushdan Noor
14hb April 2020

RUJUKAN

https://www.medscape.com/viewarticle/926856

https://www.medicinenet.com/script/main/art.asp?articlekey=229095#

https://www.ncbi.nlm.nih.gov/pmc/articles/PMC7130192/

https://sea.mashable.com/culture/9062/the-case-for-washing-your-butt-and-why-i-think-its-far-superior-to-wiping

https://www.nature.com/articles/s41575-020-0295-7?fbclid=IwAR0nKN0sVmxXmyPIbrq4Fbcla1SJMZ0h0DY3p_dAgzAXPfu5ve7HXDHLHrU