Thursday, 7 May 2020

RISIKO KEKURANGAN AIR DALAM BADAN

Dato'Dr.Mohd Rushdan Md Noor

MD,MOG (UKM),Fellow GO(S'pore),AM





Di dalam rencana tulisan saya yang terdahulu, saya telah menerangkan apakah peranan yang dimainkan oleh air terhadap kesihatan tubuh badan anda. Untuk membaca rencana tersebut, sila klik pada paparan ini. Kali ini saya ingin menulis mengenai berapa banyakkah air yang perlu anda ambil di dalam sehari dan apakah akibatnya jika anda tidak mengambil cukup air.


BERAPA BANYAK AIR YANG PERLU ANDA AMBIL


Kuantiti air yang perlu anda ambil bergantung kepada banyak faktor. Setiap hari anda akan kehilangan air melalui peluh, pernafasan, air kencing dan juga membuang air besar. Bagi mengimbangi air yang hilang, anda perlu mengambil air yang mencukupi iaitu melalui air minum dan juga makanan. Makanan yang kita makan boleh menjadi sumber air kerana di dalam makanan dan buah-buahan ini terkandung air. Secara  kasarnya seorang lelaki dewasa memerlukan sebanyak 13 cawan air ataupun 3 liter air sehari, manakala seorang wanita dewasa memerlukan 9 cawan air ataupun 2.2 liter air sehari. Ini adalah kiraan kasar, kuantiti air yang perlu diambil bergantung kepada beberapa faktor.


Faktor yang mempengaruhi kuantiti air yang diperlukan di dalam satu hari adalah:


1.   Senaman dan aktiviti fizikal. Jika anda melakukan aktiviti yang menyebabkan anda berpeluh, anda perlu mengambil lebih air untuk menampung air yang hilang. Untuk senaman atau aktiviti singkat selama 20-30 minit, anda mungkin perlu menambah kuantiti air sebanyak 400 mls (1.5 cawan) hingga 600 mls (2.5 cawan). Anda tentu memerlukan lebih air jika melakukan aktiviti lasak lebih dari satu jam. Jika senaman yang berat sehingga anda hilang banyak peluh, anda disyorkan untuk mengambil air yang mengandungi Natium (Sodium) seperti minuman sukan kerana apabila berlaku perpeluhan yang banyak, Natrium yang terkandung di dalam peluh akan hilang dengan banyak.


2.   Cuaca persekitaran. Cuaca panas dan lembap boleh menyebabkan anda berpeluh dan memerlukan tambahan air. Kedudukan tinggi seperti di puncak gunung yang melebihi 8000 kaki boleh menyebabkan anda kerap kencing dan pernafasan anda menjadi lebih cepat. Keadaan ini juga menyebabkan anda perlu mengambil air lebih.


3.   Penyakit dan keadaan kesihatan. Anda akan kehilangan air jika mengalami muntah dan cirit-birit. Anda juga digalakkan mengambil lebih air jika demam dan mengalami jangkitan pundi kencing ataupun buah pinggang. Ada juga masalah kesihatan yang tidak membolehkan anda mengambil air berlebihan seperti kegagalan jantung, penyakit buah pinggang, penyakit hati dan penyakit kelenjar adrenal. Keadaan ini menyebabkan sistem pembuangan air di dalam badan anda terganggu dan badan anda mempunyai air yang berlebihan.


4.   Ibu yang hamil dan menyusukan anak. Wanita yang hamil dan menyusukan anak perlu mengambil air yang lebih. Wanita yang hamil digalakkan mengambil 10 cawan air (2.3 liter) dalam sehari, manakala wanita yang menyusukan anak perlu mengambil 13 cawan air ataupun 3.1 liter air dalam satu hari. Kiraan ini termasuk air yang terkandung di dalam makanan.


Bekalan air untuk diri anda bukan sahaja diambil dalam bentuk air minuman, tetapi juga makanan. Secara puratanya, 20% dari air yang diambil oleh anda adalah datangnya dari makanan yang anda makan, lebih-lebih lagi jika anda mengambil banyak buah-buahan dan sayuran. Jadi jumlah air minuman yang diambil dalam satu hari adalah lebih kurang 80% dari nilai yang disebutkan di atas. Perlu diingat bahawa air yang tidak mengandungi kalori (gula dan pemanis) adalah yang terbaik diambil supaya anda tidak mengambil kalori yang berlebihan. Di samping itu, pengambilan air yang terlalu banyak juga boleh memudaratkan kerana darah anda akan cair dan kepekatan galian terutamanya Natrium akan menurun dikenali sebagai hyponatremia.


MASALAH KESIHATAN AKIBAT KURANG MENGAMBIL AIR


Air mempunyai peranan yang penting terhadap fungsi badan seseorang yang normal. Fungsi air telah dibincangkan di dalam rencana mengenai air (klik di sini). Maka jika anda kehilangan air yang banyak ataupun dikenali sebagai dehidrasi, beberapa komplikasi kesihatan boleh berlaku ke atas diri anda. Dehidrasi terbahagi kepada dehidrasi ringan, sederhana dan berat. Dehidrasi ringan adalah jika anda kehilangan kurang dari 5% dari berat badan anda, dehidrasi sederhana, 5-10% dan dehidrasi berat jika anda kehilangan air lebih dari 10% berat badan anda. Berikut adalah beberapa komplikasi kesihatan yang disebabkan oleh kekurangan air di dalam badan.



1.   Tekanan darah rendah. Air di dalam darah merangkumi 35% dari keseluruhan air di dalam badan. Kehilangan air menyebabkan isipadu darah  menurun, ini boleh menyebabkan penurunan tekanan darah. Penurunan tekanan darah boleh menyebabkan bekalan darah dan oksigen ke otak menurun dan anda mungkin merasa pening, pitam dan mungkin akan pengsan, terutamanya jika anda sedang berdiri.Jika tekanan darah terlalu rendah ianya juga akan menjejaskan bekalan darah ke organ-organ lain sehingga boleh menyebabkan kegagalan organ tersebut dan boleh menyebabkan kematian.


2.   Sembelit. Apabila air badan anda berkurangan, penyerapan air melalui usus akan meningkat dan ini menyebabkan najis anda menjadi keras dan anda mengalami sembelit. Pergerakan usus yang perlahan akan meningkatkan masa najis dan bahan-bahan kimia termasuk toksin tinggal di dalam usus anda. Walaupun belum ada bukti yang kukuh, keadaan ini mungkin boleh menyebabkan usus anda terdedah kepada bahan penyebab kanser ataupun karsinogen dalam jangkamasa yang panjang, terutama jika sembelit berlaku secara kronik (American College of Gastroenterology)(1).


3.   Masalah ginjal (buah pinggang). Apabila anda kekurangan air di dalam badan, anda kurang membuang air kecil. Air kencing anda menjadi lebih pekat dan aliran air kencing di dalam sistem ginjal menjadi perlahan. Keadaan ini akan meningkatkan risiko kepada jangkitan bakteria dan juga pembentukan batu karang. Kedua-dua masalah ini boleh menyebabkan kerosakan ginjal dan kegagalan ginjal jika tidak dirawat pada peringkat awal. Seperti juga dengan kesan kekurangan air di dalam usus, aliran air kencing yang perlahan juga akan memanjangkan masa sistem ginjal termasuk pundi kencing terdedah kepada bahan-bahan kimia termasuk karsinogen. Kaitan di antara pengambilan air dan kanser pundi kencing belum dapat dimuktamadkan tetapi ada beberapa kajian yang menunjukkan wujudnya kaitan tersebut(2). Kajian yang lebih besar perlu dijalankan untuk mengesahkan penemuan ini.


4.   Masalah mental. Kekurangan air badan boleh menyebabkan gangguan otak dan pemikiran anda. Anda  boleh menjadi keliru, mudah marah dan boleh mengalami sawan. Kehilangan lebih dari 2% air dalam badan boleh menyebabkan gangguan ingatan, tumpuan dan menurunkan kemampuan anda untuk menyelesaikan masalah.


5.   Darah beku. Apabila kekeringan , darah menjadi pekat dan mudah berlaku pembentukan darah beku di dalam salur darah vena. Keadaan ini dinamakan venous thrombosis, darah beku ini boleh terlepas dari bahagian kaki ke bahagian paru-paru. Apabila darah beku merebak ke bahagian paru-paru, ianya dikenali sebagai “pulmonary embolism”. Pulmonary embolism boleh menyebabkan kematian.


6.   Bengkak otak (cerebral oedema). Keadaan ini berlaku jika semasa rawatan dehidrasi, pengambilan air terlalu cepat sehingga tisu dan sel-sel otak menerima air berlebihan dan membengkak. Sel-sel otak boleh pecah dan mengeluarkan air ke bahagian luar sel dan menyebabkan bengkak otak.


7.   Ketidakseimbangan elektrolit. Elektrolit adalah mineral-mineral yang terdapat di dalam darah yang berfungsi mengawal keseimbangan hemostatic dan juga penting untuk transmisi caj elektrik dalam badan. Dehirasi boleh mengganggu kandungan Natrium, Potasium dan juga Klorid dalam badan. Jika dehidrasi disebabkan oleh muntah ataupun perpeluhan yang banyak, kandungan Natrium badan akan menurun dan air boleh ditarik masuk ke dalam sel sehingga sel membengkak dan kemudiannya pecah menyebabkan bengkak otak.


8.   Koma dan mati. Dehidrasi yang tidak dirawat dengan sempurna boleh menyebabkan koma dan kematian akibat dari komplikasi serius yang tersebut di atas.


PANDUAN MENGAMBIL AIR





Mengambil air yang mencukupi adalah salah satu amalan hidup sihat yang sangat penting. Anda perlu menjadikan amalan ini satu rutin di dalam hidup kerana pengambilan air yang mencukupi dapat membuat anda lebih sihat. Walau bagaimanapun, air yang diambil hendaklah bersih dan tidak mengandungi kalori kerana jika mengandungi gula dan lain-lain makronutrin yang membawa kalori yang tinggi, ia bakal membawa masalah baru kepada anda. Air yang paling baik adalah air yang bersih dan air kosong. Jikapun anda ingin menambah sesuatu ke dalamnya untuk tujuan meningkatkan selera anda mengambil air, maka anda boleh menambah ke dalamnya keratan buah-buahan termasuk buah limau, epal dan sebagainya. 



Berikut adalah beberapa panduan bagaimana anda boleh mengekalkan amalan pengambilan air yang mencukupi setiap hari secara rutin:


1.   Jadikan meminum air itu selesa dan mudah. Anda perlu tahu berapa banyak air yang perlu diambil dan membawa bersama anda sebotol air. Cari botol yang mudah dibawa dan mempunyai ciri-ciri mudah untuk membuka penutup dan minum. Untuk mengetahui bila sudah sampai masa untuk minum, anda boleh menggunakan talipon bimbit untuk memberi ingatan, contohnya setiap 2-3 jam sekali mengikut target dan jadual yang anda buat. Jika anda suka memasukkan potongan buah lemon, sediakan bahan-bahan ini siap di dalam bekas besar di rumah anda kerana anda hanya perlu menambah air ke dalamnya tanpa perlu mencari buah dan memotongnya.


2.   Minum air yang tidak mengandungi gula. Anda boleh menambah bahan-bahan perasa yang semulajadi (teh, mint, strawberry dan lain2) dan anda boleh juga menggunakan keratan buah lemon. Lain-lain keratan buah yang boleh digunakan adalah keratan timun, buah beri dan lain-lain mengikut kesukaan anda. Tujuannya adalah untuk menghasilkan aroma dan rasa yang enak. Ianya tidak mempunyai apa-apa fungsi untuk menguruskan badan.


3.   Menjadikan air tanpa pemanis sebagai minuman pilihan anda setiap hari. Gantikan apa sahaja jenis minuman yang anda amalkan sebelum ini dengan air yang dinyatakan di atas. Anda akan dapat mengurangkan pengambilan kalori dan pada waktu yang sama anda dapat mengurangkan pengambilan makanan dan seterusnya mengurangkan berat badan.


4.   Minum air sebelum, ketika dan selepas sarapan. Jadikan ini sebagai tabiat anda untuk tujuan mengambil air yang mencukupi dan mengurangkan pengambilan makanan. Gantikan air-air manis (teh ais, milo ais, dan lain-lain) yang selalu anda ambil bersama sarapan dengan air yang saya sebutkan tadi. Anda bukan sahaja akan sihat, tetapi juga dapat berjimat dan membantu mengurangkan berat badan.


Dato'Dr.Mohd Rushdan Md Noor



RUJUKAN 


1.   http://www.sciencedaily.com/releases/2012/10/121022081228.htm


2.   http://www.ncbi.nlm.nih.gov/pubmed/14681715


3. http://healthyeating.sfgate.com/problems-associated-low-fluid-intake-2731.html


4.   http://www.wikihow.com/Drink-More-Water-Every-Day

PROSES RAWATAN AIR DAN BEKALAN AIR KE RUMAH

Dato'Dr.Mohd Rushdan Md Noor


Kira-kira 97% daripada air di bumi adalah air masin, manakala hanya 3% sahaja merupakan air tawar. Air tawar digunakan oleh manusia untuk pelbagai kegunaan. Terdapat empat sumber air untuk kegunaan manusia iaitu air hujan, air larian di permukaan (sungai, parit, laut), air dalam tanah dan air dari proses perwapan. Di Semenanjung Malaysia, 50% dari sumber air datangnya dari air hujan daripada sejumlah 640 billion meter padu air yang dihasilkan di dalam satu tahun.

Daripada 3% air tawar yang terdapat di bumi, dua pertiga daripadanya adalah di dalam bentuk ais, manakala bakinya adalah air dalam tanah dan hanya sebahagian kecil sahaja air permukaan.Terdapat banyak kegunaan air dan di antaranya adalah untuk penggunaan di rumah, pertanian, perindustrian dan ada juga air digunakan untuk tujuan rekreasi. Hanya 1% sahaja air yang terdapat di bumi ini boleh diminum.


Terdapat dua jenis air yang boleh digunakan untuk minum iaitu air mentah dan air yang dirawat. Air mentah adalah air tawar yang terdapat secara semulajadi seperti air hujan, air sungai, air tasik dan air di dalam tanah. Manakala air yang dirawat adalah air yang diperolehi dari sumber air mentah tetapi menjalani rawatan tertentu untuk menjadikannya selamat digunakan oleh manusia samada untuk kegunaan di bilik air, ditandas, untuk tujuan memasak makanan ataupun untuk tujuan diminum.


AIR MENTAH


Air mentah merupakan sumber air yang paling besar digunakan oleh manusia untuk tujuan memenuhi keperluan hidup mereka terutamanya di negara-negara mundur dan membangun. Untuk tujuan minum, air mentah ini akan dididihkan bagi membunuh organisme yang terdapat di dalamnya. Air mentah juga digunakan di dalam industry pembinaan, penternakan dan juga untuk tujuan pembersihan. Komposisi air mentah berbeza-beza bergantung kepada sumber daripada mana ianya diperolehi. Di antara bahan-bahan yang terdapat di dalam air mentah adalah :

1.   Asid humik, iaitu asid komplek yang dihasilkan dari penguraian tumbuh-tumbuhan, asid ini menyebabkan air menjadi berwarna.

2.   Bahan mineral seperti karbonat, kalsium dan magnesium. Air yang mengandungi tinggi bahan-bahan mineral ini dikenali sebagai air keras (hard water), air keras boleh diminum tetapi kurang sesuai digunakan di dalam alat industry disebabkan oleh pemendapan kapur yang dihasilkan oleh mineral kalsium dan karbonat. Air mentah yang mengandungi kurang mineral pula dikenali sebagai “soft water”.

3.   Bahan dari tanah liat dan pasir

4.   Mikroorganisme seperti bakteria, virus dan protozoa

5.   Molekul oksigen yang terlarut

6.   Garam di dalam air mentah boleh diperolehi apabila berlaku pertemuan di antara air laut dan air sungai. Kandungan garamnya tidak sebanyak air laut.


AIR YANG DIRAWAT


Air yang dirawat adalah air yang telah menjalani proses pembersihan dari bahan-bahan pencemar untuk tujuan digunakan oleh manusia termasuk minum. Sumber air yang dirawat ini mungkin dari air mentah ataupun air yang telah digunakan oleh manusia. Air yang telah digunakan oleh manusia dikenali sebagai air sisa atau kumbahan. Di setengah negara seperti Singapura, air kumbahan dirawat dan dikitar semula supaya boleh digunakan untuk minum, melalui program yang dikenali sebagai NEWater. Di Malaysia, disebabkan oleh sumber air yang mencukupi, mungkin belum sampai ke tahap seperti di Singapura. Bahan-bahan yang dikeluarkan semasa proses rawatan ini adalah seperti bahan pepejal, bakteria, algae, virus, kulat, bahan-bahan mineral tertentu seperti besi dan manganese. Proses merawat air boleh dilakukan dengan pelbagai cara dan ianya terbahagi kepada kaedah mekanikal, kaedah fizikal, kaedah biological dan juga kaedah kimia.


PROSES RAWATAN AIR


Untuk tujuan penggunaan air di rumah, proses rawatan air ini dilakukan di loji rawatan air. Proses rawatan air ini terdiri dari beberapa peringkat:


1.   Penyaringan

Serpihan kayu, daun, tumbuhan akuatik dan bendasing yang terapung akan diasingkan melalui proses penyaringan. Selepas melalui proses penyaringan ini, bahan terampai yang lebih padat akan dibuang dengan membenarkan air mengalir melalui kebuk yang akan memendapkan bahan ini di dasar.


2.   Proses Pengudaraan

Air mentah yang dipam akan dicampurkan dengan udara di ruang pengudaraan. Proses ini menghasilkan oksigen dari atmosfera untuk melakukan pengoksidan ke atas besi dan manganese. Besi dan manganese yang asalnya larut di dalam air akan menjadi tidak larut akibat dari pengoksidan ini dan ianya akan dapat disingkirkan. Proses pengudaraan ini juga dapat membuang rasa dan bau air yang tidak menyenangkan.


3.   Proses koagulasi dan flokulasi

Koagulasi bermaksud pengetulan, manakala flokulasi pula bermaksud pengumpalan. Proses ini seringkali menggunakan tawas. Hasilnya adalah pembentukan kentalan (ekstrak) yang boleh mendap.


4.   Sedimentasi

Sedimentasi bermaksud pemendapan. Kentalan yang mendap tadi akan dibenarkan mengalir melalui tangki sedimentasi untuk  tempoh yang panjang supaya pemendapan berlaku dengan sempurna. Air yang jernih akan berkumpul di bahagian atas. Terdapat juga kentalan yang ringan dan tidak mendap sebaliknya terapung. Kentalan ini akan melalui proses yang berbeza iaitu menggunakan gelembung udara untuk mengapungkannya dan air di bahagian bawah menjadi jernih.


5.   Proses Penapisan

Proses ini akan memisahkan mendapan dari air bersih. Air yang bersih kemudiannya akan memasuki tangka air jernih. Penapis akan dicuci menggunakan kaedah backwash dengan kerap melalui kombinasi adunan udara dan air bagi memastikan kelancaran proses.


6.   Proses Disinfeksi dan Pelarasan pH

Air di dalam tangka jernih akan disinfeksi bagi menghapuskan mikroorganisma yang masih tertinggal di dalam air selepas proses penapisan. Klorin bergas ataupun kompoun klorin lazimnya digunakan untuk tujuan pembasmian kuman. Paras pH diselaraskan menggunakan kapur ataupun bikarbonat.


7.   Proses fluoridasi

Proses ini adalah mencampurkan air bersih dengan bahan kimia sodium fluoride untuk tujuan membekalkan air dengan kandungan fluorida. Fluorida adalah untuk membantu menjaga kebersihan gigi dan mencegah kaviti pada gigi kanak-kanak. Walaubagaimanapun, kandungan fluorida di dalam air perlu dipantau agar tidak melebihi paras yang telah ditetapkan oleh Drinking Water Quality Standard for Malaysia bagi mengelakkan risiko fluorosis dikalangan kanak-kanak. Paras kandungan fluorida yang dibenarkan di dalam air minum adalah 0.4 – 0.6 mg/l


8.   Tangki Air Jernih

Proses Disinfeksi dan penyelarasan pH merupakan proses terakhir hingga menghasilkan air yang dirawat. Air ini kemudiannya akan disimpan di dalam tangka air jernih bagi tujuan pengagihan.


9.   Pengagihan Air

Pengagihan air akan bermula dari tangka air jernih di loji rawatan air. Air dari tangki air jernih ini akan dipam melalui sistem saluran yang panjang bagi mengimbangi takungan dengan ketinggian yang mencukupi untuk tujuan pengagihan menggunakan tekanan gravity. Melalui kaedah ini, air akan disalurkan kepada tangka-tangki air pengguna. 



PEMANTAUAN AIR YANG DIRAWAT


Proses pemantauan air yang dirawat dilakukan di bawah Program Pemantauan Kualiti Air minum. Garispanduan pemantauan ini dikeluarkan oleh Unit Kawalan Mutu Air Minum Bahagian Perkhidmatan Kejuruteraan, Kementerian Kesihatan Malaysia. Garispanduan ini berdasarkan kepada piawaian yang dikeluarkan oleh WHO dan merupakan standard kualiti air yang selamat diminum, dirumus melalui perbincangan ahli panel dari Jabatan kerjaraya, Jabatan Kimia dan Jabatan Alam Sekitar. Standard kualiti air (Drinking Water Quality Standard for Malaysia) untuk tujuan diminum telah ditetapkan dan ianya meliputi ujian pH, suhu, warna, kandungan bahan organik, organisma, logam, bahan kimia, racun serangga dan lain-lain. Untuk melihat jadual Piawaian ini sila ke laman web http://kmam.moh.gov.my/public-user/drinking-water-quality-standard.html. Manakala kaedah dan kekerapan pemantauan boleh diketahui di laman web ini http://kmam.moh.gov.my/faq.html. Secara amnya ada 4 kumpulan pemantauan iaitu kumpulan 1 hingga 4. Contohnya kumpulan 1 adalah pemantauan parameter fizikal dan mikrobiologi yang dijalankan sekali setiap minggu di Basic Station dan setiap bulan di sistem agihan. Pemantauan untuk kumpulan 1 ini dilakukan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia. Kumpulan 2 adalah parameter kimia inorganic, Kumpulan 3 : Parameter logam berat dan kimia organic dan Kumpulan 4 parameter pestisid. Kumpulan 2-4 dipantau oleh Jabatan Kimia. Sampel air untuk mengukur bahan radioaktif juga dilakukan oleh Agensi Nuklear Malaysia.


KUALITI BEKALAN AIR PAIP


Air yang telah menjalani proses rawatan akan sampai ke dalam rumah pengguna melalui saluran paip. Ramai yang bertanya adakah air dari bekalan paip awam ini selamat untuk diminum tanpa perlu melalui proses rawatan tambahan seperti menggunakan alat penapis air. Berikut adalah petikan jawapan yang diberikan oleh Bahagian Perkhidmatan Kejuruteraan, KKM:

“Bekalan air awam telah melalui suatu proses rawatan yang ketat mengikut fasa-fasa rawatan yang ditetapkan hingga dapat mencapai piawaian yang dikehendaki. Fasa-fasa proses rawatan yang asas adalah bermula dengan rawatan Pengudaraan, Flokulasi dan Kogulasi, Pemendapan, Penapisan, Pembetulan pH (jika perlu), Flouridasi dan Pengklorinan. Proses rawatan tersebut terbukti dapat menyah-lupus semua unsur-unsur yang tidak dikehendaki pada air minum. Kawalan kualiti pula dijalankan pada peringkat akhir proses rawatan sebelum pengagihan bekalan air dilakukan manakala pemantauan secara rutin dan berkala dilaksanakan disepanjang rangkaian sistem bekalan air sebelum diterima oleh pengguna. Dengan itu bekalan air yang dibekalkan daripada bekalan paip air awam adalah selamat untuk diminum tanpa perlu melalui apa-apa proses selanjutnya”.


KLORIN DAN FLORIDA DI DALAM AIR YANG DIRAWAT

 

Klorin adalah bahan kimia yang sering digunakan untuk membunuh banyak mikroorganisma. Kandungan klorin di dalam air sentiasa dipantau supaya tidak melebihi had yang dibenarkan. Klorin sangat berkesan membunuh bakteria tetapi tidak berkesan membunuh protozoa. Klorin larut di dalam air dan membentuk asid hipoklorus yang akan dipecahkan pula kepada ion hipoklorit, kedua-dua kompoun ini akan membunuh mikroorganisma dan hasilnya, air akan bebas dari tercemar. Klorin pada kuantiti yang tinggi boleh bertindakbalas dengan kompoun organik semulajadi untuk menghasilkan bahan kimia yang boleh memudaratkan kesihatan iaitu trihalomethanes dan haloacetic acids. Kesan kedua-dua bahan kimia ini ke atas badan manusia khususnya sebagai penyebab penyakit kanser (kanser pundi kencing dan usus) masih tidak disahkan. Malah banyak kajian menunjukkan bahawa meminum air berklorin tidak memudaratkan kesihatan seperti yang diwar-warkan oleh syarikat pengedar penapis. IARC (International Agency for Research of Cancer) sendiri telah membuat analisa berkenaan dengan keselamatan penggunaan klorin di dalam air dan mereka merumuskan bahasa tidak ada cukup bukti yang boleh mengesahkan kaitan di antara klorin di dalam air dengan kanser samada kepada manusia ataupun haiwan (rujuk di sini). Banyak ujian yang dijalankan adalah menggunakan model haiwan. WHO menetapkan had kandungan klorin di dalam air minum tidak lebih dari 5 mg per liter. Kandungan klorin di dalam air yang dirawat di Malaysia juga mengikut garispanduan dari WHO ini iaitu dari 0.2 – 5.0 mg/liter.


Florida pula digunakan untuk tujuan kesihatan gigi. Proses merawat air dengan florida dinamakan “water fluoridation” (WF). Sebenarnya florida ini boleh diperolehi dari alam semulajadi, malah di dalam air mentah, udara dan tanah mengandungi florida. Sebenarnya hampir semua jenis air mengandungi florida secara semulajadi. Di Amerika Syarikat, proses WF ini mula diperkenalkan semenjak tahun 1945 lagi apabila pakar sains mendapati penduduk yang tinggal di kawasan yang tinggi kandungan florida di dalam air minuman mereka jarang mendapat kerosakan gigi. Kandungan maksimum florida yang dibenarkan untuk tujuan minum di Amerika adalah 4.0 mg/L.  Ada yang menetapkan tahap maksimum yang lebih rendah. Di Malaysia, KKM telah menetapkan had kandungan florida di dalam air mentah kepada 1.5 mg/L dan air minum 0.4-0.6 mg/L (rujuk di sini). Pendedahan air yang tinggi kandungan florida untuk jangkamasa panjang boleh menyebabkan masalah tulang dan sendi dinamakan skeletal fluorosis (tulang menjadi lemah). Kaitan di antara florida dan kanser tulang belum dapat disahkan kerana hasil kajian masih belum meyakinkan walaupun ada sedikit bukti melalui kajian ke atas tikus. Lebih 50 kajian populasi telah dijalankan untuk melihat kaitan di antara florida dan kanser, tetapi kajian-kajian ini tidak menunjukkan sebarang bukti kukuh bahawa florida boleh menyebabkan kanser tulang.Kanser tulang sangat jarang berlaku dan tidak mungkin untuk dapat dibuktikan bahawa penggunaan florida boleh menyebabkan kanser tulang kerana memerlukan sampel kajian yang sangat besar dan perlu menolak faktor-faktor lain yang juga mungkin bertanggungjawab. Malah banyak badan-badan antarabangsa seperti National Research Council, National Health Service UK,  IARC, US Public Health Service dan European Scientific Committee on Health and Environmental Risks telah membuat kenyataan bahawa setakat ini tidak ada kaitan di antara pengambilan florida dengan kadar kejadian kanser tulang, kanser tiroid dan lain-lain kanser.



BAGAIMANA MENGUJI KEBERSIHAN AIR


Mengambil air yang bersih adalah salah satu amalan yang sangat baik untuk menjaga kesihatan badan anda. Seperti yang anda ketahui, air yang sampai ke dalam rumah anda sudah melalui proses rawatan dan kerajaan menjamin bahawa air itu selamat digunakan termasuk untuk tujuan meminum. Walaupun jaminan diberi dan anda mengetahui bagaimana air dirawat, ramai dalam kalangan anda tentu masih merasa ragu-ragu. Berikut adalah beberapa kaedah bagaimana anda dapat menguji kebersihan air di rumah anda (baca di sini mengenai jenis pencemaran air):


1. Rupa fizikal air. Air yang jernih selalunya bermaksud air yang bersih, manakala air yang keruh ataupun berwarna mungkin disebabkan oleh pencemaran akibat benda-asing ataupun organisma. Kaedah ini tidaklah begitu tepat tetapi sekurang-kurangnya dapat memberi sedikit maklumat mengenai kebersihan air. Ambil satu gelas air dan lihat air itu pada arah cahaya lampu ataupun matahari, perhatikan jika ada partikel yang mendap ataupun kekeruhan.


2.  Bau dan rasa air. Air yang berbau busuk ataupun tidak menyenangkan mungkin disebabkan oleh pencemaran terutamanya pencemaran bahan organik disebabkan oleh penguraian organisma ataupun tumbuhan yang mati. Bau busuk juga boleh disebabkkan oleh kandungan sulfur di dalam air yang wujuk secara semulajadi. Air yang berbau klorin adalah perkara biasa dan tidak perlu dirisaukan melainkan jika ianya terlalu kuat.  Air yang tercemar boleh menyebabkan rasa air tidak menyenangkan seperti rasa sabun, terlalu payau dan lain-lain. Rasa sabun mungkin disebabkan oleh air terlalu beralkali dan terlalu payau mungkin disebabkan kandungan mineral garam yang tinggi.


3.   Kaedah objektif mengukur kebersihan air adalah dengan kaedah ujian makmal. Ujian makmal yang dilakukan oleh badan yang bertanggungjawab merawat air yang sampai ke rumah kita adalah yang paling ideal sebab mereka memeriksa berpuluh-puluh jenis bahan pencemaran yang mungkin ada di dalam air termasuk kandungan organisma, racun serangga, bahan mineral, logam dan lain-lain.Walau bagaimanapun bagi orang awam, terdapat alat pengukur yang lebih ringkas boleh digunakan dirumah. Alat pengukur ini dapat mengukur pH, kandungan klorin, nitrat, mineral dan logam seperti besi, tembaga dan pelumbum. Ianya juga dapat menguji kekerasan air (hardness of water). Air yang keras (hard water) mengandungi kandungan mineral dan logam yang tinggi. Contoh kit ujian yang boleh digunakan untuk menguji air di rumah adalah Watersafe kit yang boleh menguji 4 pencemar iaitu kehadiran bakteria, racun serangga (pesticide), Nirat dan jumlah klorin. Untuk mengetahui bagaimana menggunakan kit ini, boleh layari video youtube ini (https://youtu.be/HEhXsaL0Vh0)


4.   Menghubungi pembekal air setempat dan dapatkan maklumat kebersihan air di rumah anda. Mereka tentu menyimpan bacaan ataupun keputusan proses pemantauan air yang mereka lakukan secara berkala. Ini adalah tanggungjawab mereka. Ujian kebersihan dan pencemaran air adalah terletak di bawah tanggungjawab Jabatan Kimia Malaysia, Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi.


5. Mendapatkan ujian air dari Makmal Profesional.  Kaedah ini memerlukan perbelanjaan sendiri dan saya tidak pasti samada ada makmal yang menyediakan perkhidmatan ini di Malaysia. Tetapi di luar negara, perkhidmatan professional ini memang ada dan digunakan oleh orang ramai. Malah sampel air yang diambil boleh diposkan kepada makmal berkenaan untuk analisa.


Rujukan

http://www.saj.com.my/V2/ContentBM.php?menu_parent_id=2&content_id=87

http://www.kimia.gov.my/%20index.php?option=com_content&view=article&id=137

JENIS-JENIS PENCEMARAN AIR






































Di dalam kehidupan manusia, air boleh digunakan untuk pelbagai aktiviti dan yang paling penting adalah untuk tujuan makan dan minum. Apabila air digunakan untuk tujuan makan dan minum, salah satu aspek yang sangat penting perlu dijaga adalah dari segi kebersihan air. Air yang tercemar akan menyebabkan pelbagai penyakit. Air yang tercemar dan kotor adalah risiko kesihatan yang paling besar dihadapi oleh manusia di dunia ini.  Hujan yang turun boleh jatuh ke sebarang permukaan dan mampu membawa pelbagai jenis bahan pencemar. Air ini akan mengisi sungai, kolam dan laut yang menjadi tempat manusia hidup dan mencari makan.


Terdapat beberapa jenis pencemaran air:

1.    Pencemaran mikroorganisme

Air boleh dicemari oleh mikroorganisme seperti bakteria, virus, kulat, protozoa dan parasite yang boleh membawa pelbagai penyakit. Mikroorganisme ini tidak boleh dilihat dengan mata kasar dan air mungkin nampak bersih. Di antara penyakit-penyakit yang boleh dibawa oleh air yang tercemar ini adalah penyakit demam kepialu, penyakit taun dan disentri. Pencemaran yang disebabkan oleh mikrob ini juga dikenali sebagai pencemaran biological.

2.    Pencemaran bahan kimia

Air juga boleh tercemar oleh bahan kimia. Pencemaran ini boleh disebabkan oleh alam semulajadi ataupun oleh manusia. Contoh-contoh pencemaran bahan kimia adalah nitrogen, garam, racun serangga, logam, toksin dari bakteria, ubat-ubatan dan lain-lain lagi. Ini boleh berlaku apabila manusia menggunakan baja dan bahan kimia untuk menyuburkan tumbuh-tumbuhan. Kandungan baja ini akan mencemarkan air dan boleh masuk ke sungai-sungai dan lautan. Kilang-kilang yang menghasilkan ubat-ubatan ataupun baja-baja ini juga boleh menyumbang pencemaran air jika mereka membuang bahan-bahan buangan ke dalam sungai ataupun laut.

3.    Pencemaran Fizikal

Pencemaran fizikal adalah pencemaran yang menyebabkan perubahan sifat fizikal air. Contoh pencemaran fizikal ini adalah pencemaran air tasik dan sungai disebabkan oleh hakisan tanah yang menyebabkan air menjadi berwarna kekuningan dan sebagainya.

4.    Pencemaran Radiologikal

Pencemaran radiological adalah keadaan di mana air dicemari oleh bahan-bahan radioaktif yang boleh mengeluarkan sinaran x atau pun sinaran gamma. Contoh-contoh bahan radioaktif yang boleh mencemarkan air adalah rodon, cesium, plutonium dan uranium.


AKIBAT PENCEMARAN AIR


Akibat dari pencemaran air ini adalah pelbagai bergantung kepada jenis pencemaran yang berlaku. Ianya sudah menjadi masalah di semua negara tidak kira samada negara itu mundur ataupun maju. Jika langkah-langkah pencegahan tidak dilakukan dengan berkesan, pencemaran air boleh menyebabkan seribu satu macam masalah kesihatan.


1.    Air yang tercemar boleh mengganggu hidupan sehingga boleh menyebabkan kematian dan kepupusan hidupan. Ikan boleh mati dan jika tidak mati, ikan ini boleh mengumpulkan bahan-bahan kimia ataupun logam yang kemudiannya diambil pula oleh manusia.


2. Air yang tercemar akibat sampah-sarap boleh menyebabkan aliran air terganggu dan berlaku penyumbatan. Ini mendedahkan kepada berlakunya banjir dan tanah runtuh apabila hujan.


3. Pencemaran air boleh menyebabkan manusia menghidap pelbagai jenis penyakit seperti yang disebutkan di atas. Jika kaedah-kaedah rawatannya tidak baik, pesakit boleh mendapat komplikasi yang serius termasuk kematian. Ada penyakit bawaan air yang boleh merosakkan organ badan seperti paru-paru, hati dan lain-lain.


4.  Pencemaran logam di dalam air seperti pencemaran raksa boleh memberi kesan kepada manusia yang mengambilnya. Raksa boleh menyebabkan gangguan sistem saraf manusia dan juga anak di dalam kandungan.


5. Percambahan algae ("algal bloom") adalah keadaan di mana berlaku pertumbuhan yang cepat algae disebabkan oleh pencemaran fosforus dari baja pokok. Warna sungai ataupun kolam akan bertukar disebabkan oleh mikroorganisma ini. Algae ini mempunyai jangkahayat yang pendek dan banyak akan mati. Apabila algae ini mati iakan menjalani proses penguraian dan mengambil oksigen daripada air. Air yang tersebut akan kekurangan oksigen dan hidupan yang ada di dalamnya boleh mati. Algae adalah mikroorganisma yang menggunakan cahaya matahari untuk membiak dan mereka mungkin terdiri dari satu sel ataupun banyak sel. Mereka boleh didapati dalam tiga warna iaitu hijau, coklat dan merah.Kebanyakan algae tidak merbahaya, tetapi menjadi masalah dalam rawatan air. Jika dalam kuantiti yang banyak ia boleh menyebabkan kekurangan oksigen, menukar bau dan rasa air serta boleh menghasilkan toksin kepada manusia.


6. Pencemaran minyak yang tumpah boleh menyebabkan kematian hidupan laut dan sungai. Kesan minyak ke atas hidupan ini disebabkan oleh dua faktor iaitu kesan terus dari minyak dan juga aktiviti pembersihan yang dilakukan. Minyak mengandungi banyak bahan kimia dan toksin. Minyak juga boleh menutupi badan, sayap, paru-paru dan usus haiwan yang terlibat. Badan hidupan laut yang diliputi oleh minyak ini juga akan mengganggu kemampuan mereka untuk mengawal suhu badan.


7. Pencemaran bahan radioaktif di dalam air boleh menyebabkan pelbagai penyakit kepada manusia termasuk kecacatan bayi dan kanser. Salah satu bahan radioaktif yang boleh mencemarkan air adalah radon yang boleh menyebabkan kanser paru-paru. Radon adalah bahan radioaktif yang terdapat di dalam bumi dan boleh berada di bawah penempatan manusia. Ia boleh memasuki rumah melalui rekahan konkrit dan juga air.


8.   Disebabkan oleh gangguan kehidupan haiwan di dalam air, pencemaran air boleh menyebabkan masalah ketidakstabilan ekosistem. Contohnya adalah pencemaran minyak, nitrogen, phosphate dari baja yang menyebabkan pembiakan rumpai dan kekurangan oksigen menyebabkan ikan-ikan mati, kitaran oksigen akan terganggu dan ekosistem menjadi huru hara.


9.  Pencemaran air menyebabkan kerugian kepada manusia yang menjadikan air sebagai sumber pendapatan seperti nelayan dan penangkap ikan. Sumber makanan dari hidupan laut akan berkurangan dan kualitinya akan terjejas.


Dato'Dr.Mohd Rushdan Md Noor