Thursday 7 May 2020

RISIKO KEKURANGAN AIR DALAM BADAN

Dato'Dr.Mohd Rushdan Md Noor

MD,MOG (UKM),Fellow GO(S'pore),AM





Di dalam rencana tulisan saya yang terdahulu, saya telah menerangkan apakah peranan yang dimainkan oleh air terhadap kesihatan tubuh badan anda. Untuk membaca rencana tersebut, sila klik pada paparan ini. Kali ini saya ingin menulis mengenai berapa banyakkah air yang perlu anda ambil di dalam sehari dan apakah akibatnya jika anda tidak mengambil cukup air.


BERAPA BANYAK AIR YANG PERLU ANDA AMBIL


Kuantiti air yang perlu anda ambil bergantung kepada banyak faktor. Setiap hari anda akan kehilangan air melalui peluh, pernafasan, air kencing dan juga membuang air besar. Bagi mengimbangi air yang hilang, anda perlu mengambil air yang mencukupi iaitu melalui air minum dan juga makanan. Makanan yang kita makan boleh menjadi sumber air kerana di dalam makanan dan buah-buahan ini terkandung air. Secara  kasarnya seorang lelaki dewasa memerlukan sebanyak 13 cawan air ataupun 3 liter air sehari, manakala seorang wanita dewasa memerlukan 9 cawan air ataupun 2.2 liter air sehari. Ini adalah kiraan kasar, kuantiti air yang perlu diambil bergantung kepada beberapa faktor.


Faktor yang mempengaruhi kuantiti air yang diperlukan di dalam satu hari adalah:


1.   Senaman dan aktiviti fizikal. Jika anda melakukan aktiviti yang menyebabkan anda berpeluh, anda perlu mengambil lebih air untuk menampung air yang hilang. Untuk senaman atau aktiviti singkat selama 20-30 minit, anda mungkin perlu menambah kuantiti air sebanyak 400 mls (1.5 cawan) hingga 600 mls (2.5 cawan). Anda tentu memerlukan lebih air jika melakukan aktiviti lasak lebih dari satu jam. Jika senaman yang berat sehingga anda hilang banyak peluh, anda disyorkan untuk mengambil air yang mengandungi Natium (Sodium) seperti minuman sukan kerana apabila berlaku perpeluhan yang banyak, Natrium yang terkandung di dalam peluh akan hilang dengan banyak.


2.   Cuaca persekitaran. Cuaca panas dan lembap boleh menyebabkan anda berpeluh dan memerlukan tambahan air. Kedudukan tinggi seperti di puncak gunung yang melebihi 8000 kaki boleh menyebabkan anda kerap kencing dan pernafasan anda menjadi lebih cepat. Keadaan ini juga menyebabkan anda perlu mengambil air lebih.


3.   Penyakit dan keadaan kesihatan. Anda akan kehilangan air jika mengalami muntah dan cirit-birit. Anda juga digalakkan mengambil lebih air jika demam dan mengalami jangkitan pundi kencing ataupun buah pinggang. Ada juga masalah kesihatan yang tidak membolehkan anda mengambil air berlebihan seperti kegagalan jantung, penyakit buah pinggang, penyakit hati dan penyakit kelenjar adrenal. Keadaan ini menyebabkan sistem pembuangan air di dalam badan anda terganggu dan badan anda mempunyai air yang berlebihan.


4.   Ibu yang hamil dan menyusukan anak. Wanita yang hamil dan menyusukan anak perlu mengambil air yang lebih. Wanita yang hamil digalakkan mengambil 10 cawan air (2.3 liter) dalam sehari, manakala wanita yang menyusukan anak perlu mengambil 13 cawan air ataupun 3.1 liter air dalam satu hari. Kiraan ini termasuk air yang terkandung di dalam makanan.


Bekalan air untuk diri anda bukan sahaja diambil dalam bentuk air minuman, tetapi juga makanan. Secara puratanya, 20% dari air yang diambil oleh anda adalah datangnya dari makanan yang anda makan, lebih-lebih lagi jika anda mengambil banyak buah-buahan dan sayuran. Jadi jumlah air minuman yang diambil dalam satu hari adalah lebih kurang 80% dari nilai yang disebutkan di atas. Perlu diingat bahawa air yang tidak mengandungi kalori (gula dan pemanis) adalah yang terbaik diambil supaya anda tidak mengambil kalori yang berlebihan. Di samping itu, pengambilan air yang terlalu banyak juga boleh memudaratkan kerana darah anda akan cair dan kepekatan galian terutamanya Natrium akan menurun dikenali sebagai hyponatremia.


MASALAH KESIHATAN AKIBAT KURANG MENGAMBIL AIR


Air mempunyai peranan yang penting terhadap fungsi badan seseorang yang normal. Fungsi air telah dibincangkan di dalam rencana mengenai air (klik di sini). Maka jika anda kehilangan air yang banyak ataupun dikenali sebagai dehidrasi, beberapa komplikasi kesihatan boleh berlaku ke atas diri anda. Dehidrasi terbahagi kepada dehidrasi ringan, sederhana dan berat. Dehidrasi ringan adalah jika anda kehilangan kurang dari 5% dari berat badan anda, dehidrasi sederhana, 5-10% dan dehidrasi berat jika anda kehilangan air lebih dari 10% berat badan anda. Berikut adalah beberapa komplikasi kesihatan yang disebabkan oleh kekurangan air di dalam badan.



1.   Tekanan darah rendah. Air di dalam darah merangkumi 35% dari keseluruhan air di dalam badan. Kehilangan air menyebabkan isipadu darah  menurun, ini boleh menyebabkan penurunan tekanan darah. Penurunan tekanan darah boleh menyebabkan bekalan darah dan oksigen ke otak menurun dan anda mungkin merasa pening, pitam dan mungkin akan pengsan, terutamanya jika anda sedang berdiri.Jika tekanan darah terlalu rendah ianya juga akan menjejaskan bekalan darah ke organ-organ lain sehingga boleh menyebabkan kegagalan organ tersebut dan boleh menyebabkan kematian.


2.   Sembelit. Apabila air badan anda berkurangan, penyerapan air melalui usus akan meningkat dan ini menyebabkan najis anda menjadi keras dan anda mengalami sembelit. Pergerakan usus yang perlahan akan meningkatkan masa najis dan bahan-bahan kimia termasuk toksin tinggal di dalam usus anda. Walaupun belum ada bukti yang kukuh, keadaan ini mungkin boleh menyebabkan usus anda terdedah kepada bahan penyebab kanser ataupun karsinogen dalam jangkamasa yang panjang, terutama jika sembelit berlaku secara kronik (American College of Gastroenterology)(1).


3.   Masalah ginjal (buah pinggang). Apabila anda kekurangan air di dalam badan, anda kurang membuang air kecil. Air kencing anda menjadi lebih pekat dan aliran air kencing di dalam sistem ginjal menjadi perlahan. Keadaan ini akan meningkatkan risiko kepada jangkitan bakteria dan juga pembentukan batu karang. Kedua-dua masalah ini boleh menyebabkan kerosakan ginjal dan kegagalan ginjal jika tidak dirawat pada peringkat awal. Seperti juga dengan kesan kekurangan air di dalam usus, aliran air kencing yang perlahan juga akan memanjangkan masa sistem ginjal termasuk pundi kencing terdedah kepada bahan-bahan kimia termasuk karsinogen. Kaitan di antara pengambilan air dan kanser pundi kencing belum dapat dimuktamadkan tetapi ada beberapa kajian yang menunjukkan wujudnya kaitan tersebut(2). Kajian yang lebih besar perlu dijalankan untuk mengesahkan penemuan ini.


4.   Masalah mental. Kekurangan air badan boleh menyebabkan gangguan otak dan pemikiran anda. Anda  boleh menjadi keliru, mudah marah dan boleh mengalami sawan. Kehilangan lebih dari 2% air dalam badan boleh menyebabkan gangguan ingatan, tumpuan dan menurunkan kemampuan anda untuk menyelesaikan masalah.


5.   Darah beku. Apabila kekeringan , darah menjadi pekat dan mudah berlaku pembentukan darah beku di dalam salur darah vena. Keadaan ini dinamakan venous thrombosis, darah beku ini boleh terlepas dari bahagian kaki ke bahagian paru-paru. Apabila darah beku merebak ke bahagian paru-paru, ianya dikenali sebagai “pulmonary embolism”. Pulmonary embolism boleh menyebabkan kematian.


6.   Bengkak otak (cerebral oedema). Keadaan ini berlaku jika semasa rawatan dehidrasi, pengambilan air terlalu cepat sehingga tisu dan sel-sel otak menerima air berlebihan dan membengkak. Sel-sel otak boleh pecah dan mengeluarkan air ke bahagian luar sel dan menyebabkan bengkak otak.


7.   Ketidakseimbangan elektrolit. Elektrolit adalah mineral-mineral yang terdapat di dalam darah yang berfungsi mengawal keseimbangan hemostatic dan juga penting untuk transmisi caj elektrik dalam badan. Dehirasi boleh mengganggu kandungan Natrium, Potasium dan juga Klorid dalam badan. Jika dehidrasi disebabkan oleh muntah ataupun perpeluhan yang banyak, kandungan Natrium badan akan menurun dan air boleh ditarik masuk ke dalam sel sehingga sel membengkak dan kemudiannya pecah menyebabkan bengkak otak.


8.   Koma dan mati. Dehidrasi yang tidak dirawat dengan sempurna boleh menyebabkan koma dan kematian akibat dari komplikasi serius yang tersebut di atas.


PANDUAN MENGAMBIL AIR





Mengambil air yang mencukupi adalah salah satu amalan hidup sihat yang sangat penting. Anda perlu menjadikan amalan ini satu rutin di dalam hidup kerana pengambilan air yang mencukupi dapat membuat anda lebih sihat. Walau bagaimanapun, air yang diambil hendaklah bersih dan tidak mengandungi kalori kerana jika mengandungi gula dan lain-lain makronutrin yang membawa kalori yang tinggi, ia bakal membawa masalah baru kepada anda. Air yang paling baik adalah air yang bersih dan air kosong. Jikapun anda ingin menambah sesuatu ke dalamnya untuk tujuan meningkatkan selera anda mengambil air, maka anda boleh menambah ke dalamnya keratan buah-buahan termasuk buah limau, epal dan sebagainya. 



Berikut adalah beberapa panduan bagaimana anda boleh mengekalkan amalan pengambilan air yang mencukupi setiap hari secara rutin:


1.   Jadikan meminum air itu selesa dan mudah. Anda perlu tahu berapa banyak air yang perlu diambil dan membawa bersama anda sebotol air. Cari botol yang mudah dibawa dan mempunyai ciri-ciri mudah untuk membuka penutup dan minum. Untuk mengetahui bila sudah sampai masa untuk minum, anda boleh menggunakan talipon bimbit untuk memberi ingatan, contohnya setiap 2-3 jam sekali mengikut target dan jadual yang anda buat. Jika anda suka memasukkan potongan buah lemon, sediakan bahan-bahan ini siap di dalam bekas besar di rumah anda kerana anda hanya perlu menambah air ke dalamnya tanpa perlu mencari buah dan memotongnya.


2.   Minum air yang tidak mengandungi gula. Anda boleh menambah bahan-bahan perasa yang semulajadi (teh, mint, strawberry dan lain2) dan anda boleh juga menggunakan keratan buah lemon. Lain-lain keratan buah yang boleh digunakan adalah keratan timun, buah beri dan lain-lain mengikut kesukaan anda. Tujuannya adalah untuk menghasilkan aroma dan rasa yang enak. Ianya tidak mempunyai apa-apa fungsi untuk menguruskan badan.


3.   Menjadikan air tanpa pemanis sebagai minuman pilihan anda setiap hari. Gantikan apa sahaja jenis minuman yang anda amalkan sebelum ini dengan air yang dinyatakan di atas. Anda akan dapat mengurangkan pengambilan kalori dan pada waktu yang sama anda dapat mengurangkan pengambilan makanan dan seterusnya mengurangkan berat badan.


4.   Minum air sebelum, ketika dan selepas sarapan. Jadikan ini sebagai tabiat anda untuk tujuan mengambil air yang mencukupi dan mengurangkan pengambilan makanan. Gantikan air-air manis (teh ais, milo ais, dan lain-lain) yang selalu anda ambil bersama sarapan dengan air yang saya sebutkan tadi. Anda bukan sahaja akan sihat, tetapi juga dapat berjimat dan membantu mengurangkan berat badan.


Dato'Dr.Mohd Rushdan Md Noor



RUJUKAN 


1.   http://www.sciencedaily.com/releases/2012/10/121022081228.htm


2.   http://www.ncbi.nlm.nih.gov/pubmed/14681715


3. http://healthyeating.sfgate.com/problems-associated-low-fluid-intake-2731.html


4.   http://www.wikihow.com/Drink-More-Water-Every-Day

No comments:

Post a Comment