Thursday, 7 May 2020

KETUM : MANFAAT ATAU MUDARAT

Dato'Dr.Mohd Rushdan Md Noor

MD,MOG (UKM),FGO(S'PORE),AM

Pakar Perunding Ginekologi Onkologi

Hospital Sultanah Bahiyah


PENDAHULUAN




Pokok ketum (Malaysia) ataupun kratom (Thailand) merupakan pokok berdaun hijau yang sangat mudah tumbuh di dalam iklim tropika. Nama saintifik untuk ketum adalah Mitragyna speciose. Ia adalah salah satu ahli di dalam keluarga tumbuhan yang dikenali sebagai Rubiaceae di mana pokok kopi dan gardenia adalah juga di dalam keluarga yang sama. Pokok ketum pertama kalinya dikenalpasti pada tahun 1839 oleh pakar botani Belanda, Pieter Korthals dan penulisan tentang tumbuhan ini telah disiarkan semenjak tahun 1897. Pokok ketum selalunya boleh tumbuh sehingga ketinggian 12-30 kaki, malah ada yang boleh mencapai ketinggian sehingga 60 kaki. Batang pokok ketum boleh membesar sehingga 15 kaki dan daunnya boleh membesar sehingga 7 inci panjang dan 4 inci lebar. Daun ketum digunakan untuk banyak tujuan termasuk untuk tujuan pengubatan. Terdapat lebih 40 jenis compound ataupun sebatian kimia yang terdapat di dalam daun ketum termasuk alkaloid seperti mitragynine, mitraphylline, 7-hydroxymitragynine dan mitragynine pseudoindoxyl. Lain-lain bahan kimia aktif adalah raubasine, yohimbe, rhynchophylline dan sebagainya.


Alkaloid adalah sekumpulan sebatian kimia yang mempunyai atom nitrogen dan terdapat banyak jenis alkaloid yang mempunyai pelbagai fungsi termasuk untuk tujuan pengubatan, menghilangkan sakit, merawat batuk, membunuh kuman, demam, antimalarial, penyakit arythmia, cirit-birit dan tidak kurang juga yang mempunyai kesan psikotropik. Psikotropik bermaksud sebatian kimia yang boleh merubah fungsi otak dan menyebabkan perubahan kepada persepsi, mood dan juga kesedaran seseorang. Sebab itu ianya seringkali digunakan untuk tujuan menghilangkan stress dan untuk tujuan berkhayal. Pendek kata di dalam daun ketum ini terdapat banyak sebatian kimia yang boleh memberi kesan yang pelbagai daripada kesan fizikal hinggalah kesan psikologi termasuk ketagihan dan kebergantungan (dependency).



Salah satu compound penting dalam daun ketum yang dikategorikan sebagai alkaloid adalah mitragynine. Ia adalah salah satu bahan alkaloid yang paling banyak terdapat di dalam daun ketum. Dipercayai bahan inilah yang menjadi sebab ramai penggemar ketum mengambil daun ketum. Apa yang menarik adalah kepekatan mitragynine di dalam daun ketum bergantung kepada banyak faktor, salah satu faktor paling penting adalah tempat di mana pokok ketum ini membiak. Pokok ketum yang tumbuh di negara-negara Asia Tenggara mempunyai kandungan mitragynine yang tinggi, manakala jika tumbuh di tempat lain dan di bawah rumah hijau, kepekatannya menjadi rendah. Mitragynine ini dikatakan 13 kali lebih poten dari morfin. Ia bertindak ke atas reseptor mu dan delta-opioid, reseptor serotonin di otak serta reseptor noradrenergic di saraf tunjang. Kajian analisis LC-ESI-MS menunjukkan bahawa peratusan kandungan mitragynine di dalam daun ketum adalah pada tahap 1-6%. Di dalam dos rendah, daun ketum boleh memberi kesan ransangan (stimulant) sehingga seseorang itu merasa bertenaga, lebih ceria dan mesra tetapi di dalam dos yang tinggi, ia boleh memberi kesan mengantuk dan kesan narkotik termasuk depresi sistem saraf pusat. Dos rendah adalah daun seberat 1-5 gram manakala dos tinggi pula adalah dari 5-15 gram. Jika diambil pada dos melebihi 15gram, seseorang akan mengalami kesan sedatif yang melampau (mengantuk dan lali), malah boleh menjadi stupor (hampir tidak sedar diri). Terdapat juga lapuran kejadian sawan selepas mengambil daun ketum melebihi 15 gram. Sehelai daun ketum yang segar seberat 2 gram boleh mengandungi 79 mg (0.078 gram) mitragynine.



KEGUNAAN



Hampir kesemua manfaat yang dikaitkan dengan pengambilan daun ketum ini adalah berasaskan kepada dakwaan pengamalnya kerana daun ketum tidak digunakan oleh pengamal perubatan moden. Malah kesan farmakologi daun ketum ke atas tubuh badan manusia juga tidak dikaji dengan mendalam dan tidak ada maklumat terperinci mengenainya. Secara traditionalnya, daun ketum diambil dengan mengunyah daunnya di dalam bentuk mentah seperti yang diamalkan oleh penduduk selatan Thailand dan juga utara Malaysia. Ada juga yang menjadikan ia seperti minuman teh, merebus serta diambil airnya dan menghisap asap daun ketum (merokok). Jika diambil seperti minuman teh , jus limau dicampurkan supaya ia dapat mengekstrak bahan alkaloid, gula dan madu dicampurkan untuk menghilangkan rasa pahit. Ia seringkali diambil oleh pekerja-pekerja untuk tujuan mengurangkan keletihan, meningkatkan mood serta mengurangkan kesakitan dan anti keradangan (inflammatory). Lain-lain kegunaan adalah seperti dinyatakan di atas yang dikaitkan dengan kegunaan kompoun alkaloid. Ada juga yang menggunakannya untuk tujuan mengurangkan ketagihan dan kebergantungan kepada dadah seperti opiod. 


Kajian ke atas haiwan menunjukkan bahawa kesan menghentikan batuk oleh mitragynine ini hampir sama dengan kodein, manakala 7-hydroxymiragynine ini pula dikatakan mempunyai kesan mengurangkan sakit yang lebih poten dari morfin. Pada asalnya pengambilan daun ketum ini dianggap sebagai budaya orang kampong dan diamalkan oleh semua golongan sehingga ianya dianggap bukan kesalahan dan baik untuk kesihatan. Sehelai daun ketum yang segar seberat 2 gram boleh mengandungi 79mg (0.078 gram) mitragynine. Di samping dalam bentuk daun mentah, produk daun ketum ada juga dihasilkan di dalam bentuk serbuk, kapsul, resin dan pes (paste). Banyak produk daun ketum ini dapat dibeli dengan mudah dari internet, malahan ianya sangat mudah ditanam di sekitar rumah. Di selatan Thailand, cocktail daun ketum ais yang dihasilkan di rumah pernah popular satu masa dahulu, ia dikenali sebagai “4X100”, dikatakan memberi kesan seakan-akan arak. Cocktail ini terdiri dari daun ketum, minuman ringan yang mengandungi kafein (contoh: coca cola) dan ubat batuk yang dicampurkan dengan kiub ais, ubat penenang, ubat antidepresi ataupun ubat penahan sakit.


KESAN SAMPINGAN



Seperti yang dinyatakan tadi daun ketum mengandungi banyak jenis sebatian kimia ataupun phytochemicals (fitokimia) yang mempunyai nisbah berbeza sehingga sukar untuk dibuat kajian. Secara umumnya, kesan pengambilan daun ketum ke atas manusia bergantung kepada berapa banyak ianya diambil ataupun “dose-dependent”. Pada kadar dos yang rendah, ia boleh meransang seperti pengambilan kokain, manakala di dalam dos yang tinggi ia boleh memberi kesan mengantuk dan khayal seperti morfin. Selepas mengambil beberapa gram daun ketum kering kesan khayal dan keseronokan mula dialami dalam masa 10 minit dan kesannya boleh berakhir sehingga 1-1.5 jam. Pengamal daun ketum mendakwa lebih bertenaga, lebih bersedia dan ada juga yang mengatakan nafsu sek meningkat. Kajian ke atas sebilangan kecil manusia yang mengambil 50 mg mitragynine menunjukkan ransangan otot, diikuti dengan pening, hilang perseimbangan badan dan mengeletar. Mekanisma aktiviti ransangan ini masih tidak dapat diterangkan dengan jelas. Daun ketum kering yang diambil sebanyak 10-25 gram pada peringkat awalnya boleh menyebabkan berpeluh, pening, loya dan perasaan tidak selesa. Kemudiannya kesan ini akan bertukar menjadi tenang, seronok dan seperti bermimpi yang boleh mengambil masa sehingga 6 jam. Kesan-kesan ini disebabkan oleh dua jenis alkaloid yang disebutkan tadi iaitu mitragynine dan 7-hydroxymitragynine


Pengambilan daun ketum secara tetap boleh menyebabkan ketagihan dan kebergantungan (dependence). Kesan withdrawal ke atas manusia adalah ringan dan seringkali akan hilang di dalam masa satu minggu. Ketagihan, lemah badan, risau, gelisah, berhingus, lemah otot, loya, berpeluh, kejang otot, gangguan tidur dan halusinasi boleh berlaku. Lain-lain kesan sampingan yang dikesan ke atas pengamal daun ketum yang kronik adalah hipotiroidism (kurang hormon tiroksin) dan kerosakan hati. Terdapat kes kematian akibat pengambilan ketum dalam dos yang terlalu tinggi dan ujian post-mortem menunjukkan kandungan mitragynine di dalam darah sehingga 1.20 mg/l. Jika daun ketum digabungkan dengan bahan-bahan lain ataupun ubat-ubatan tertentu, ia boleh menyebabkan kesan sampingan yang serius. Kes kematian telah dilapurkan ke atas seorang penagih daun ketum yang mencampurkan pati daun ketum dengan ubat fentanyl, ubat batuk, kopi dan morfin (ianya dijual sebagai ubat herba). Satu kajian "case series" kematian akibat pengambilan daun ketum telah dijalankan di Sweden yang melibatkan 9 kematian dalam satu tahun akibat mengambil daun ketum yang dicampurkan dengan ubat tramadol (ubat kategori opioid untuk melegakan kesakitan), campuran ini dikenali sebagai “Krypton”. 


Untuk mendapat rasa bersemangat dan seronok/khayal, 1 hingga 3 helai daun ketum segar dikunyah serentak. Selepas mengunyah, dan menelan, pengamal akan meminum air suam ataupun kopi. Penagih daun ketum akan mengunyah 3 hingga 10 kali di dalam satu hari.


Kesan sosial pengambilan daun ketum adalah membimbangkan. Walaupun ketagihan daun ketum tidak seberat ketagihan dadah yang lebih kuat seperti heroin dan ganja, tetapi kesan sosialnya tidak boleh dipandang ringan kerana pengambilan daun ketum dianggap sudah menjadi budaya dalam kalangan masyarakat tertentu. Ianya juga diamalkan oleh golongan-golongan agamawan yang akan menjadi tauladan kepada ahli-ahli masyarakat yang lain. Dengan berumpankan kesan positif terhadap tenaga, boleh merawat kesakitan, cirit-birit dan lain-lain dakwaan yang mungkin sengaja ditokok tambah, individu yang mengambil daun ketum ini lama kelamaan akan mula mengalami ketagihan dan kebergantungan sama seperti ketagihan dadah berbahaya dan ubat batuk. Daun ketum juga boleh menjadi alternatif (pilihan) lain kepada penagih morfin,heroin dan lain2 yang kurang berkemampuan kerana harganya yang murah dan mudah diperolehi. Dengan kelonggaran peraturan dan undang-undang berkaitan dengan penggambilan daun ketum, kita tidak boleh bayangkan apakah kesan jangka panjang terhadap masyarakat jika budaya ini dibiarkan berkembang. Tidak hairan mengapa ia bakal memberi kesan sosial yang lebih serius dari penyalahgunaan dadah-dadah yang lain.


UNDANG-UNDANG PENGAMBILAN DAUN KETUM



Tidak ada alkaloid yang diambil dari tumbuhan termasuk mitragynine yang tersenarai di dalam mana-mana jadual ubat di dalam United Nations Drug Conventions.  Daun ketum, dan/atau mitragynine dan/atau 7-hydroxymitragynine adalah bahan terkawal di banyak negara Eropah seperti Denmark, Latvia, Lithuania, Poland, Romania dan Sweden. Lain-lain negara yang mengawal penggunaan daun ketum di bawah undang-undang narkotik adalah Australia, Myanmar dan Thailand. Di negeri Thai, kerajaan Thailand telah meluluskan Kratom Act 2486 di mana ianya mengharamkan penanaman pokok ketum. Di New Zealand, daun ketum dan mitragynine diletakkan di bawah Medicines Amendment Regulations. Walau bagaimanapun di Amerika, daun ketum tidak dikawal tetapi dianggap sebagai “drug of concern”. Pada bulan Jun 2015, FDA telah membuat pengumuman amaran pengimpotan produk daun ketum disebabkan oleh kebimbangan terhadap keselamatan penggunaan produk ini, FDA membuat kenyataan bahawa “Pengambilan daun ketum boleh menyebabkan beberapa kesan masalah kesihatan termasuk depresi sistem pernafasan, perasaan takut, agresif, agitasi, gangguan tidur, halusinasi, delusi, menggigil, hilang nafsu seks, sembelit, hiperpigmentasi kulit, loya, muntah dan gejala withdrawal yang berat“. Disebabkan ketum tidak pernah diterima penggunaannya dari sudut undang-undang, ia tidak pernah mendapat pengiktirafan sebagai bahan pengubatan oleh perubatan moden. 


Di Malaysia, daun ketum dan Mitragynine disenaraikan dalam jadual ketiga (Section 30) Psychotropic Substances Akta Racun 1952. Sesiapa yang mengimport, mengekspot, mengilang, membekal, menjual dan memiliki ataupun menggunakan bahan psikotropik secara haram (tanpa dibenarkan mengikut undang-undang) adalah menjadi satu kesalahan di bawah Seksyen 30(3) Akta Racun 1952. Sabit kesalahan boleh dihukum denda sehingga RM10,000 ataupun penjara 4 tahun atau kedua-duanya sekali. Terdapat ura-ura untuk meminda akta ini kepada akta dadah berbahaya 1952 yang sabit kesalahan akan dipenjara seumur hidup dan sebatan 6 kali ataupun hukuman mati mandatori. Sehingga rencana ini ditulis, daun ketum masih lagi di bawah akta racun 1952. Mengikut lapuran media di penghujung tahun 2019, pindaan akta racun 1952 yang bakal diluluskan akan mengenakan hukuman yang lebih berat dan orang awam tetap tidak dibenarkan menanam pokok ketum. Pokok ketum hanya boleh ditanam untuk tujuan penyelidikan dan pembelajaran oleh pihak yang berautoriti.


FDA telah mengeluarkan kenyataan pada 6hb Feb 2018 yang mengatakan bahawa ketum adalah opioid kerana kompoun yang terdapat di dalamnya mempunyai tarikan yang kuat ke atas reseptor opiod, berikut adalah petikan beberapa perenggan kenyataan FDA : .....

"Taken in total, the scientific evidence we’ve evaluated about kratom provides a clear picture of the biologic effect of this substance. Kratom should not be used to treat medical conditions, nor should it be used as an alternative to prescription opioids. There is no evidence to indicate that kratom is safe or effective for any medical use. And claiming that kratom is benign because it’s “just a plant” is shortsighted and dangerous. After all, heroin is an illegal, dangerous, and highly-addictive substance containing the opioid morphine, derived from the seed pod of the various opium poppy plants.Further, as the scientific data and adverse event reports have clearly revealed, compounds in kratom make it so it isn’t just a plant – it’s an opioid"..........



FATWA DAUN KETUM


Daun ketum boleh dianggap sebagai bahan yang boleh memabukkan/mengkhayalkan serta boleh memudaratkan. Berikut adalah petikan daripada Irsyad Al-Fatwa ke 124 (Majlis fatwa pejabat mufti Wilayah Persekutuan):

Kami nukilkan di sini fatwa dari majlis Fatwa Kebangsaan Muzakarah mengenai dadah Syabu dan jenis-jenis dadah baru yang lain yang mana daun ketum juga boleh dimasukkan sekali kerana ‘illah yang sama iaitu memabukkan/mengkhayalkan serta memudaratkan.

Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-76 yang bersidang pada 21 - 23 Nov 2006 telah membincangkan Hukum Penyalahgunaan Dadah Jenis Syabu Dan Jenis-Jenis Dadah Baru Yang Lain. Muzakarah telah memutuskan bahawa dadah jenis syabu dan dadah-dadah jenis baru yang lain mempunyai kesan mudharat yang sama seperti ecstasy, katamine dan Gamma Hyroxybutyric Acid (GHB).

Oleh itu, penyalahgunaan dadah jenis syabu dan dadah-dadah jenis baru yang lain adalah haram dan semua aktiviti yang berkaitan dengan penyalahgunaan dadah ini seperti menanam, memproses, memiliki, menjual, mengedar, membeli atau membenarkan premis digunakan untuk bersubahat dengan penggunaannya adalah juga diharamkan.

KENYATAAN MUFTI WILAYAH PERSEKUTUAN

Setelah meneliti pelbagai pandangan dan pendapat dalam isu penanaman pokok ketum ini, kami lebih cenderung kepada untuk dielakkannya kerana berbeza penggunaannya dengan bab yang lain di mana ianya lebih kepada mudarat dan juga mafsadah.

Keduanya, sekalipun niat baik dan tujuan yang jelas bagi tujuan farmaseutikal/perubatan, tetapi isu tahap kawalan agar tidak terarah kepada penyalahgunaannya begitu mencabar untuk dipertahankan. Sudah barang tentu akan di ambil kesempatan dan peluang oleh mereka yang tidak bertanggungjawab.

Ketiganya, dalam suasana amat sukar menangani isu dadah dan seumpamanya, jika ia dibiarkan untuk pokok ketum ditanam secara berleluasa, maka ia boleh menyukarkan untuk proses pembasmian salah guna dadah.

Seterusnya kami berpendapat bahawa masih banyak lagi jenis tanaman yang boleh dikormesialkan bagi tujuan perubatan dan juga menambahkan pendapatan yang lumayan bagi menggantikan daun ketum dalam skala yang besar. Akhir kalam, semoga Allah SWT sentiasa melindungi rakyat Malaysia dari segala bala-bencana serta memberikan kefahaman yang baik dalam beragama. Wassalam.

Untuk maklumat lanjut mengenai Irsyad Al-Fatwa ke 124 ini sila layari laman web DI SINI 

Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Perlis kali ke 12 pada tahun 2013 juga memfatwakan penyalahgunaan daun ketum dan produk-produknya sebagai haram. KLIK DI PAPARAN INI UNTUK MAKLUMAT LANJUT. 

Wakil PEMADAM (Persatuan Mencegah Dadah Malaysia) sendiri pernah menyarankan supaya Majlis Fatwa Kebangsaan mengeluarkan fatwa haram ke atas penyalahgunaan daun ketum, klik di paparan ini untuk membaca


KESIMPULAN


Daun ketum mengandungi lebih 40 jenis sebatian kimia dan di antaranya terdapat beberapa jenis bahan yang dikategorikan sebagai alkaloid. Bahan alkaloid yang paling utama adalah Mitragynine yang mempunyai ciri-ciri psikotropik bermaksud bahan kimia yang boleh merubah fungsi otak dan menyebabkan perubahan kepada persepsi, mood dan juga kesedaran seseorang. Disebabkan oleh terlalu banyak bahan kimia yang terdapat di dalam daun ketum, kesan pengambilan daun ketum dalam bentuk mentah samada basah ataupun kering boleh menyebabkan pelbagai kesan kepada fizikal dan juga mental seseorang. Walaupun ianya mempunyai kesan-kesan pengubatan tetapi bukan dalam bentuk mentah ataupun diproses sendiri sebagaimana yang dilakukan oleh masyarakat kita. Sebatian2 kimia yang menjadi ubat perlu diekstrak daripada daun ketum dan ditentukan kuantiti serta keselamatannya di dalam kajian klinikal sebelum boleh dianggap sejenis ubat yang bermanfaat. Kesan sampingan yang dibawa oleh ketum tidak boleh dipandang ringan terutamanya yang berkaitan dengan kesan ke atas otak ataupun psikotropik sehingga pengamal mengalami masalah ketagihan, kesan withdrawal dan berpotensi mengancam nyawa jika daun ketum in dicampurkan dengan bahan-bahan lain. Daun ketum ini bolehlah diumpamakan sejenis daun yang di dalamnya mengandungi sebatian2 kimia untuk merawat beberapa jenis penyakit tetapi juga mengandungi racun tersembunyi yang boleh memudaratkan kesihatan untuk jangkapanjang jika pengambilannya tidak diawasi oleh pengamal perubatan. Malahan jika pengguna mengambil pada dos yang tinggi ataupun mencampurkannya dengan bahan-bahan lain seperti ubat dari kategori opioid, ubat batuk dan lain2, ia boleh menyebabkan kesan sampingan serius jangkapendek termasuk kematian.


Kesimpulannya pengambilan ketum melalui kaedah memproses sendiri boleh mendatangkan lebih mudarat daripada manfaat kesihatan. Ia juga membawa masalah sosial sepertimana yang sedang berlaku di negara-negara Barat. Ketagihan daun ketum boleh menjadi "gateway"kepada ketagihan-ketagihan dadah yang lain. Jika ianya hendak digunakan untuk tujuan perubatan, ahli-ahli sains perlu memproses dan mengekstrak sebatian kimia yang aktif daripada ketum di dalam makmal dan melakukan kajian klinikal sebagaimana yang dilalui oleh ubat-ubat lain yang digunakan untuk merawat penyakit.









RUJUKAN


https://en.wikipedia.org/wiki/Mitragyna_speciosa



http://drwanrushidi.blogspot.my/2009/11/ketum-kebaikan-keburukan-dan-penagihan.html?m=1


"Import Alert 54-15". FDA. 28 February 2014. Retrieved 18 April 2014.


Takayama, Hiromitsu; Ishikawa, Hayato; Kurihara, Mika et al. "Studies on the Synthesis and Opioid Agonistic Activities of Mitragynine-Related Indole Alkaloids: Discovery of Opioid Agonists Structurally Different from Other Opioid Ligands". Journal of Medicinal , (2002). Chemistry45 (9): 1949–56. doi:10.1021/jm010576e.PMID 11960505.. ,


 Adkins, Jessica E.; Edward W. Boyer; Christopher R. McCurdy (2011-05-01). "Mitragyna speciosa, a psychoactive tree from Southeast Asia with opioid activity". Current Topics in Medicinal Chemistry 11 (9): 1165–1175. doi:10.2174/156802611795371305.PMID 21050173.)

Addict Biol. 2016 Jan;21(1):98-110. doi: 10.1111/adb.12185. Epub 2014 Sep 28.

Abuse potential and adverse cognitive effects of mitragynine (kratom).

https://www.drugs.com/article/kratom.html


Pautan : https://www.fda.gov/NewsEvents/Newsroom/PressAnnouncements/ucm595622.htm


http://www.bharian.com.my/node/12372


https://www.fda.gov/NewsEvents/Newsroom/PressAnnouncements/ucm595622.htm


RENCANA INI ADALAH PANDANGAN PERIBADI PENULIS DAN TIDAK MEWAKILI MANA-MANA PERTUBUHAN ATAUPUN INSTITUSI. SEBARANG PENGAMBILAN BAHAN-BAHAN DI DALAM RENCANA INI PERLU MENDAPAT KEIZINAN DARI PENULIS TERLEBIH DAHULU.

No comments:

Post a Comment