Thursday, 14 May 2020

BENARKAH KUALI NON-STICK MENYEBABKAN KANSER?


Heboh rakyat Malaysia apabila ada pihak yang mendakwa kuali dari jenis kalis lekat ataupun Non-Stick menyebabkan kanser. Dakwaan ini mungkin wujud akibat dari salahfaham ataupun untuk tujuan perniagaan.

Sepatutnya setiap orang perlu ada sikap bertanggungjawab apabila mengaitkan sesuatu bahan ataupun amalan dengan risiko menghidap kanser kerana ia memberi kesan yang besar kepada masyarakat. Sebelum saya menulis dengan lebih lanjut, saya ingin menyatakan bahawa saya tidak ada apa-apa kepentingan dengan mana-mana syarikat kuali.

Kuali dari jenis non-stick ini bersifat kalis lekat kerana adanya sekumpulan sebatian kimia buatan manusia yang dikenali sebagai Teflon. Teflon adalah sebatian kimia yang stabil dan selamat. Teflon TIDAK dikaitkan dengan kanser tetapi semasa proses menghasilkan teflon ini di kilang, pekerja menggunakan satu lagi sebatian kimia yang dikenali sebagai Perfluorooctanoic acid (PFOA). Dalam kuantiti yang tinggi dan pendedahan yang lama PFOA ini dikaitkan dengan kanser terutama ke atas tikus walaupun kaitannya sangat lemah dan hampir tiada kaitan dengan kanser manusia. Ia tersenarai dalam kategori 2B karsinogen. 

Berikut adalah beberapa maklumat tentang kuali non-stick yang perlu diketahui oleh orang awam:

1. Walaupun PFOA digunakan dalam membuat Teflon tetapi bukan secara terus sebaliknya ia digunakan untuk membuat kompoun lain terlebih dahulu iaitu Fluoropolymers. Maksudnya apa yang tinggal pada kuali itu bukannya PFOA tetapi Fluoropolymers yang tidak ada kaitan dengan kanser. Kuali non-stick yang dihasilkan itu sudah TIDAK MENGANDUNGI PFOA.

2.Penggunaan PFOA untuk menghasilkan Teflon sudah dihentikan semenjak tahun 2015 di Amerika. Jadi produk kuali non-stick selepas 2015 sudah tidak ada kaitan dengan PFOA. Jika pun masih ada kilang yang menghasilkannya, rujuk semula fakta No 1, di atas.

3. PFOA adalah kategori 2B karsinogen yang belum terbukti sebagai karsinogen ke atas manusia, kebanyakannya kajian ke atas tikus.

4. PFOA ini adalah sebatian kimia yang wujud di dalam minuman, makanan dan alam sekitar walaupun dalam kuantiti yang kecil. Malahan PFOA juga ditemui di dalam darah manusia. PFOA bukan baru kepada manusia.

5. Pendedahan yang dikaitkan dengan kanser adalah jika berlaku pada kadar yang tinggi untuk jangkamasa panjang contohnya pekerja di kilang yang mengendalikan PFOA ataupun kilang produk2 lain yang menggunakan teknologi yang sama seperti “fabric protectors”, pembalut wayar/kabel dan lain-lain. Itupun belum konklusif, kerana kaitannya tidak kuat, sebab itu dikategorikan sebagai 2B. Jika rujuk monograf IARC, di antara agen2 lain yang dikategorikan sebagai 2A dan 2B adalah daging merah, makanan panas, bekas bergelas dan bekerja shif malam. Rujuk tulisan saya tentang monograf IARC di pautan ini.

6.TIDAK ADA kajian yang menunjukkan pengguna kuali non-stick mempunyai risiko lebih tinggi menghidap kanser berbanding dengan pengguna kuali yang lain.

8. Rujuk manual untuk menggunakan kuali dengan kaedah yang betul tidak kira samada  non-stick ataupun lain-lain jenis. Anda juga perlu tahu bila masa yang sesuai untuk menggantikan kuali yang lama.Pengguna kuali non-stick dinasihati untuk tidak melakukan pemanasan melebihi 300 darjah selsius dalam jangkamasa panjang, kerana ia boleh melepaskan gas yang menyebabkan gejala selesema, demam dan sakit kepala. Gejala2 ini ditemui jika pemanasan melebihi 390 darah selsius dalam masa sekurang2nya 4 jam. Walau bagaimanapun tukang masak tidak memasak dengan suhu setinggi itu dan tempoh masa yang begitu panjang. Pemanasan yang keterlaluan juga boleh merosakkan penyalut/coating pada periuk belanga.

9.Apa yang mungkin boleh menyebabkan kanser adalah jenis dan kaedah makanan yang dimasak, tidak kira apakah jenis kuali yang digunakan. Memasak makanan yang mengandungi tinggi lemak, garam dan karbohidrat, digabungkan pula dengan tabiat makan yang buruk akan menyebabkan kegemukan, menghidap diabetes dan darah tinggi. Faktor2 kesihatan inilah yang dikaitkan dengan menghidap beberapa jenis kanser.

Kepada anda yang menggunakan kuali non-stick, tidak ada sebab untuk menukar kuali baru melainkan kuali lama sudah rosak. Diharap ahli masyarakat tidak mudah terpengaruh dan menyebarkan dakwaan tidak berasas tentang kanser sebelum mendapat pengesahan dari pakar. Akibat dari takut dan panik,   mungkin ramai yang mengambil keputusan untuk membeli kuali yang baru ataupun berhenti menggunakan peralatan tertentu akibat daripada salah faham ini. Semoga isu kuali non-stick dan kanser ini tidak berulang lagi di masa hadapan.

Dato' Dr.Mohd Rushdan Md Noor
Pakar Perunding Ginekologi Onkologi
15hb Mei 2020

RUJUKAN

https://www.cancer.org/cancer/cancer-causes/teflon-and-perfluorooctanoic-acid-pfoa.html?fbclid=IwAR1_p7QDw-uVtqIoZyVxkYcdxch-gF39hy_idi0_DNaogkcMG37ynSvh9Xc

https://www.healthline.com/nutrition/nonstick-cookware-safety

https://www.webmd.com/cancer/features/teflon-pans

https://www.scientificamerican.com/article/are-nonstick-pans-safe/

https://www.cancer.ca/en/prevention-and-screening/reduce-cancer-risk/make-informed-decisions/know-your-environment/non-stick-cookware/?region=on

https://pubmed.ncbi.nlm.nih.gov/28913736/

https://www.abc.net.au/health/thepulse/stories/2006/02/23/1576391.htm

 

No comments:

Post a Comment