Saturday 23 May 2020

DETOK ("DETOX") TUBUH BADAN : APAKAH KAEDAH TERBAIK UNTUK ANDA


Perkataan DETOX ataupun DETOK berasal daripada DETOXIFICATION (detoksifikasi). Di dalam dunia perubatan moden perkataan DETOX ini merujuk kepada proses membersihkan diri pesakit daripada keracunan (contohnya keracunan alkohol, organofostat, ubat berlebihan dan lain-lain) ataupun ketagihan dadah merbahaya. Di dalam proses pemulihan penagih dadah contohnya, Detok adalah salah satu kaedah permulaan merawat ketagihan dadah merbahaya. Jadi Detok ini adalah satu kaedah untuk menyelamatkan nyawa seseorang yang keracunan ataupun untuk membuang ketagihan dadah. Di antara kaedah mendetoksifikasi racun dan bahan toksik adalah melalui "gastric lavage", chelation therapy, antidot, hemodialisis dan lain-lain. Manakala detoksifikasi ketagihan dadah dan alkohol pula melalui beberapa peringkat/proses termasuk penggunaan ubat. Ianya sebahagian dari proses pemulihan. Semuanya dilakukan di pusat-pusat rawatan oleh petugas-petugas terlatih. 

Pada hari ini perkataan Detok telah disalahgunakan untuk tujuan perniagaan dan telah dimanipulasikan oleh golongan tertentu untuk mempromosi beberapa kaedah dan produk yang kononnya untuk membuang toksin di dalam tubuh badan seseorang walaupun orang tersebut tidak keracunan ataupun menagih dadah. Detok versi lain ini disasarkan kepada semua orang termasuk orang yang normal dan sihat. Disebabkan oleh konsep Detok yang mudah diterangkan kepada orang ramai, seseorang yang tidak mempunyai asas ilmu sains perubatan pun akan mudah faham dan menerimanya bulat-bulat. Mudah faham bukan bermaksud ianya benar, sebaliknya ini adalah peluang untuk ekploitasi dan "overclaim". Perkataan ini digunakan dengan meluas sehingga ada pengamal2 perubatan moden sendiri terikut-ikut menggunakannya, termasuklah doktor selebriti di peringkat antarabangsa. Apa yang lebih mendukacitakan adalah terdapat dalam kalangan doktor perubatan sendiri yang mempromosi konsep ini dan terlibat di dalam perniagaan produk2 Detok. 

Di dalam rencana ini, saya akan menerangkan apakah pendapat pengamal arus perdana perubatan moden tentang konsep Detok yang diwar-warkan oleh golongan tertentu, kebanyakannya dalam kalangan pengamal rawatan alternatif dan komplementari, di antaranya termasuk pelopor naturopati. Bukan berniat untuk menutup periuk nasi pihak tertentu, tetapi di dalam amalan perubatan moden, prinsip amalan perubatan berasaskan bukti ataupun "evidence based medicine" tidak boleh digadai ataupun dicabuli lebih2 lagi melibatkan keselamatan orang ramai, jika tidak kami akan dianggap tidak bermoral dan beretika. Di samping akibat buruk yang bakal dialami, pengguna juga mengamalkan sesuatu yang tidak bermanfaat dan membazirkan wang mereka. Saya juga dapati ramai ahli masyarakat kita yang terpengaruh, jadi saya mengambil initiatif menyemak serta membuat pencarian maklumat untuk manfaat diri sendiri dan semoga ianya juga bermanfaat kepada orang lain.

Alasan yang digunakan untuk melakukan Detok ini adalah bahawa tubuh badan manusia hari ini sentiasa terdedah kepada banyak jenis racun ataupun toksin. Toksin ini datangnya daripada alam sekitar, minuman, makanan dan juga daripada ubatan yang diambil oleh manusia. Jadi Detok ini kononnya untuk mengembalikan tubuh badan kepada keadaan tulin ataupun bersih (dalam istilah komputer, umpama "formating" ataupun "resetting"). Usus, buah pinggang dan hati selalunya akan menjadi sasaran untuk detok sedangkan itulah organ2 yang berfungsi untuk mengeluarkan bahan-bahan kumuh secara semulajadi. Alasan yang digunakan memang munasabah dan logik tetapi persoalannya adakah badan boleh dibersihkan melalui Detok yang mereka war-warkan? Apakah jenis toksin yang hendak dibersihkan dan adakah kaedah-kaedah Detok yang digunakan itu disokong oleh bukti kajian klinikal? Saya percaya, persoalan ini memang sukar untuk dijawab kerana setakat ini belum ada bukti kajian klinikal yang meyakinkan. Ada juga yang mendakwa Detok ini  bertujuan untuk membersihkan diri daripada bahan kimia. Sekali lagi perkataan bahan kimia digunakan. Sebenarnya tubuh badan manusia ini sendiri terbina daripada bahan2 kimia, begitu juga tumbuhan, udara, air dan lain-lain makhluk. Kesimpulannya Detok versi lain ini tidak ada dalam amalan perubatan moden. 

Apabila masyarakat percaya tubuh badan ini perlu dibersihkan atas alasan yang dinyatakan di atas, maka golongan yang mempelopori konsep ini akan mengeluarkan senarai jenis-jenis penyakit ataupun gejala-gejala yang dikaitkan dengan toksin-toksin tersebut. Senarainya tentulah panjang daripada sakit kepala, lemah badan, sakit sendi, tekanan, tidak boleh tidur malam, sakit badan sehinggalah penyakit kronik seperti darah tinggi, diabetes dan kanser. Begitulah luasnya potensi perniagaan Detok ini. Malangnya apabila ditanya apakah nama toksin-toksin tersebut secara spesifik dan bagaimana ianya dikaitkan dengan gejala serta penyakit2 yang disenaraikan, mereka hanya akan membuat andaian ataupun pendapat yang tidak pernah dibuktikan benar. Mereka mencipta konsep serta penyakit yang dikaitkan dan mereka sendiri mereka-reka kaedah untuk merawatnya.

Di antara kaedah-kaedah yang diwar-warkan untuk Detok tubuh badan adalah diet tertentu (diet Detok), berpuasa, minuman Detok, mengambil vitamin, suplemen, teh, jus/smoothie,herba dan sauna. Ada juga yang menawarkan prosedur seperti pembersihan usus ataupun enema dan hidroterapi. Terdapat juga kaedah suntikan vitamin dan chelation. Ada yang menawarkan pekej/kit ataupun set rawatan (menu) yang kononnya untuk Detok tubuh badan, selalunya mensasarkan hati, usus dan buah pinggang. Terdapat kajian-kajian yang dilakukan untuk melihat keberkesanan sebahagian daripada kaedah-kaedah ini, malangnya semua kajian-kajian tersebut adalah kecil dan tidak mencapai kualiti yang diharapkan. Jikapun ada manfaat, ianya bukan akibat daripada pembersihan toksin seperti yang didakwa sebaliknya disebabkan oleh pertindihan amalan yang juga disyorkan oleh pengamal perubatan moden seperti minum air, mengambil buah2an/makanan berserat, kurangkan gula, kurang garam dan lain2. Yang menjadi masalah dengan Detok versi lain ini adalah apabila wujudnya kaedah tambahan seperti suplemen, herba, suntikan, prosedur mencuci usus dan lain-lain yang ditokok tambah. Ada pula yang mengkhususkan jenis-jenis buah dan sayuran tertentu serta kaedah penyediaan yang menyusahkan. Jadi wujud apa yang saya namakan sebagai sains caca-merba yakni gabungan antara sains dan pseudosains (sains palsu). Amalan2 yang ditokok tambah ini pula tentu akan memerlukan kos yang perlu ditanggung oleh pengguna.

Sebahagian daripada kaedah-kaedah Detok yang ditawarkan  boleh menyebabkan kesan sampingan seperti pengambilan vitamin, herba dan suplemen yang berlebihan, enema kopi ("coffee enema") yang dilakukan untuk membersih usus boleh menyebabkan kecederaan usus, jangkitan dan gangguan elektrolit badan. Kes kematian akibat enema  kopi telah dilapurkan. Amalan ubat pelawas (laksatif) yang berpanjangan juga boleh menyebabkan kehilangan air, elektrolit dan juga nutrient. Berpuasa yang keterlaluan juga boleh memudaratkan dan amalan diet yang menghadkan sesuatu jenis makanan boleh menyebabkan kekurangan sesuatu nutrient, di samping tertekan disebabkan oleh terikat dengan satu-satu jenis makanan. Mengambil terlalu banyak air tanpa ada nutrient lain juga boleh memudaratkan. Kesan jangkapanjang belum dapat disahkan tetapi tidak boleh ditolak sama sekali. FDA pernah mengambil tindakan ke atas beberapa syarikat yang menjual produk Detok kerana mengandungi bahan terlarang, dakwaan palsu ("false claim") dan menggunakan alatan yang tidak diluluskan penggunaannya. Terdapat jus yang tidak melalui proses  yang betul sehingga tercemar dan menyebabkan jangkitan terutama ke atas kanak2 dan orang tua. Terdapat jus yang dihasilkan daripada makanan mengandungi tinggi kandungan Oxalate (contoh bayam dan ubi), jika diambil dalam kuantiti yang tinggi boleh menyebabkan gangguan fungsi buah pinggang.  Rujuk tulisan saya mengenai amalan suplemen dan herba dari perspektif perubatan moden. Memang ada diantara amalan ini boleh mengurangkan berat badan tetapi melalui kaedah yang tidak disyorkan oleh pakar pemakanan dan akibatnya pengguna boleh mengalami masalah kesihatan yang lain pula. Niat untuk membersihkan organ badan boleh bertukar kepada merosakkan organ-organ tersebut. Apa yang ahli-ahli sains dan pakar perubatan yakin adalah kaedah-kaedah yang diwar-warkan ini tidak ada kena mengena dengan mengeluarkan toksin berlebihan seperti yang diwar-warkan ataupun meningkatkan kecekapan sistem semulajadi yang sudah sedia wujud. 

Daripada perspektif perubatan moden, seseorang yang mempunyai hati, buah pinggang, kulit, sistem gastrousus, paru-paru dan sistem limfatik yang berfungsi seperti biasa, dengan sendirinya tubuh badan akan dibersihkan secara semulajadi daripada ancaman-ancaman luar termasuk toksin. Inilah organ-organ DETOK semulajadi yang sangat cekap. Organ-organ detoksifikasi semulajadi ini begitu cekap serta kompleks sehingga manusia tidak perlu dan tidak mampu mengubahsuainya, apatah lagi untuk meningkatkan kecekapan organ-ogan ini. Tambahan pula memang tidak ada kaedah untuk memanipulasi ataupun mengubah fungsi organ2 yang sangat kompleks itu, kecualilah jika organ-organ itu telah rosak dan ini dapat dikesan oleh doktor. Jika ini berlaku, anda perlu berjumpa dengan doktor. Perubatan moden memang memiliki kaedah memperbaiki organ-organ yang rosak, jika tidak dapat dipulihkan sepenuhnya, sekurang-kurangnya dapat menghentikan ataupun memperlahankan kerosakan. Penyakit2 yang menyebabkan kerosakan organ seperti diabetes, darah tinggi dan lain2 perlu dikawal dengan baik dari peringkat awal untuk mencegah kegagalan organ yang kekal.

Sebenarnya untuk sihat, tidak ada jalan pintas. Pakar2 perubatan dan pakar2 pemakanan telah memberi panduan yang cukup jelas berkenaan dengan gaya hidup sihat seperti menjaga kebersihan, mengambil air yang cukup, mengamalkan diet yang seimbang, mengambil banyak buah2an serta sayuran, kurang garam, kurang gula, tidak merokok, tidak minum alkohol, kurangkan stres, tidur yang cukup, amal seks yang sihat dan lakukan senaman ataupun pergerakan fizikal yang tetap. Bagi orang Islam, berpuasa sunat pada hari Isnin dan Khamis adalah amalan yang sangat baik bertepatan dengan apa yang dianjurkan oleh sains. Untuk tujuan kerehatan minda dan mengurangkan stres, pelbagai kaedah boleh dilakukan tanpa kos seperti melakukan relaksasi, yoga (untuk orang bukan Islam), membaca al-quran, sembahyang sunat dan lain-lain lagi. Dengan panduan-panduan yang tersebut di atas, anda dapat melindungi diri daripada diserang oleh penyakit kronik, masalah pemakanan, alahan, meningkatkan sistem pertahanan, memperbaiki sistem penghadaman, kurang stres dan pada waktu yang sama anda dapat mengurangkan berat badan dengan kaedah yang betul. Inilah kaedah "DETOK" yang paling berkesan dan semulajadi, saya menggunakan istilah Detok tetapi bukan merujuk kepada maksud yang difahami oleh pengamal rawatan alternatif, sebaliknya dengan niat untuk membawa pembaca kembali kepada kefahaman yang betul tentang kesihatan. Anda cuma perlu mengamalkan norma baharu di dalam hidup tanpa perlu untuk mengeluarkan belanja yang lebih. Di samping kaedah "Detok" semulajadi ini lebih berkesan, anda juga terhindar daripada mengalami kesan sampingan mengamalkan sesuatu kaedah ataupun mengambil produk yang belum terbukti selamat. 

Hari ini banyak produk yang  didakwa berkesan untuk melindungi dan membersihkan HATI tetapi hanya scam semata2, ramai ahli masyarakat yang telah terpedaya dengan helah ini. Sebenarnya jika anda ingin melindungi organ hati anda, jangan ambil alkohol, elak daripada kegemukan (penyebab hati berlemak/"fatty liver"), tidak ambil dadah merbahaya (berkongsi jarum boleh menyebarkan jangkitan virus hepatitis)  dan amalkan seks yang sihat (virus hepatitis juga boleh disebarkan melalui hubungan seks). Jangan amalkan produk-produk yang berpotensi merosakkan hati. Jika anda telah menerima vaksin Hepatitis, hati anda juga dicegah daripada jangkitan atau radang hati (hepatitis) dan juga penyakit kanser hati. Jika fungsi hati anda normal, tidak ada keperluan untuk membersihkannya dengan apa cara sekalipun dan memang tidak ada pun suplemen ataupun apa-apa produk yang terbukti berkesan untuk melakukannya apatah lagi meningkatkan kecekapan organ ini. 

Kesimpulannya perkataan DETOK telah dijadikan umpan untuk menjual produk samada dalam bentuk suplemen, vitamin, herba, prosedur ataupun diet tertentu, sedangkan ianya tidak pernah diiktiraf di dalam amalan perubatan moden serta pakar pemakanan. Ia adalah mitos dan ada di antaranya hanyalah scam. Sebagai orang awam, sentiasa berwaspada dengan individu yang mempromosikan sesuatu produk, tidak kira apakah produk tersebut tetapi menggunakan perkataan DETOX/DETOK ataupun CLEANSING/MENCUCI. Apabila anda mencari maklumat tentang kesihatan, dapatkan daripada sumber yang berwibawa dan tidak mudah terpengaruh dengan tulisan, video ataupun laman-laman web yang mempelopori pseudosains dan pseudoperubatan. Jika anda tidak sihat, bertemulah dengan doktor untuk pemeriksaan dan ujian bagi mengesan punca gejala tersebut serta rawatan yang sesuai.

Dato'Dr.Mohd Rushdan Md Noor
Medical Mythbusters Malaysia
23hb Mei 2020

RUJUKAN

https://sciencebasedmedicine.org/the-one-thing-you-need-to-know-before-you-detox/

https://sciencebasedmedicine.org/detox-what-they-dont-want-you-to-know/

https://www.hopkinsmedicine.org/health/wellness-and-prevention/detoxing-your-liver-fact-versus-fiction


https://www.nhs.uk/livewell/tiredness-and-fatigue/documents/truthdetoxdiets.pdf

https://www.webmd.com/diet/a-z/detox-diets

https://www.theguardian.com/lifeandstyle/2014/dec/05/detox-myth-health-diet-science-ignorance

https://www.self.com/story/myths-detoxing-totally-false

https://www.medicalnewstoday.com/articles/325221#summary

https://www.mayoclinic.org/healthy-lifestyle/nutrition-and-healthy-eating/expert-answers/detox-diets/faq-20058040

https://www.healthline.com/nutrition/detox-water-101#section6

https://www.healthline.com/nutrition/how-to-detox-your-body#section11

https://jamanetwork.com/journals/jama/article-abstract/371881


TULISAN INI ADALAH PENDAPAT PERIBADI DAN TIDAK MEWAKILI MANA-MANA PERTUBUHAN ATAUPUN INSTITUSI.




No comments:

Post a Comment