Thursday 7 May 2020

VAKSIN DAN RAKSA

VAKSIN DAN THIMEROSAL


Thimerosal adalah bahan pengawet yang mengandungi sedikit raksa. Pada satu masa dahulu, pengawet ini digunakan di dalam banyak produk-produk biologi dan produk kesihatan termasuk vaksin.  Pada asalnya thimerosal digunakan sebagai bahan pengawet vaksin yang didatangkan dengan lebih dari satu dos dan lebih dari satu jenis vaksin (”multidose and multivaccine”). Ianya bertujuan untuk mencegah pembiakan bakteria dan kulat, jadi ia boleh memanjangkan hayat vaksin di samping mencegah jangkitan kulat dan bakteria kepada penerima vaksin. Banyak kajian telah dijalankan dan mendapati bahawa kandungan raksa di dalam thimerosal adalah di bawah paras bahaya dan setakat ini  tidak ada kajian yang boleh mengaitkan thimerosal dan kesan samping vaksin yang serius.  Kesan sampingnya pula jika ada, adalah sangat minima seperti reaksi kulit yang menjadi kemerahan dan bengkak. Tidak ada kesan sistemik yang dilaporkan. Tidak ada kajian yang membuktikan adanya kaitan di antara thimerosal dengan kejadian Autism. Malah kadar kejadian Autism tetap meningkat selepas era penggunaan thimerosal di dalam vaksin. Meskipun begitu,pada tahun 1999, Agensi Kesihatan Awam, ”American Academy of Pediatrics” dan pengeluar vaksin telah bersetuju untuk mengurangkan ataupun membuang terus thimerosal dari vaksin yang dihasilkan untuk menghilangkan sebarang keraguan orang awam.


Untuk pengetahuan semua, raksa adalah elemen semulajadi yang ada di tanah, air dan juga udara. Terdapat dua jenis raksa iaitu Methylmercury dan Ethylmercury. Methylmercury adalah jenis raksa yang boleh berkumpul di dalam beberapa spesis ikan dan dalam kuantiti yang tinggi, ia memang boleh memudharatkan kesihatan. Walau bagaimanapun raksa yang terdapat di dalam thimerosal adalah dari jenis Ethylmercury yang memang jauh lebih selamat diambil kerana ianya dikeluarkan dengan cepat dari dalam badan. Penggunaan thimerosal di dalam vaksin telah berkurang sehingga hari ini boleh dikatakan kesemua vaksin yang diberikan kepada kanak-kanak tidak mengandungi thimerosal. Malah semua vaksin yang mengandungi thimerosal telah pun luput hayat penggunaannya pada tahun 2003 dan tidak ada lagi vaksin generasi lama yang digunakan pada hari ini.


Pada hari ini, semua vaksin yang diberikan kepada kanak-kanak yang tersenarai di dalam jadual program imunisasi kebangsaan tidak mengandungi thimerosal. Hanya beberapa jenis vaksin Trivalen Influenza (demam selsema flu) sahaja yang mengandungi thimerosal tetapi kandungan raksanya adalah sangat sedikit dan selamat diambil.


 Dato' Dr.Mohd Rushdan Md Noor

 Pakar Perunding Kanan Obstetriks & Ginekologi

 Hospital Sultanah Bahiyah

 Alor Setar, Kedah

No comments:

Post a Comment