Friday, 22 May 2020

LOMPAT MELOMPAT DALAM POLITIK


Saya menulis bukan sebagai seorang penganalisis politik, penyokong parti politik tertentu ataupun mewakili apa2 ideologi, sebaliknya hanyalah seorang rakyat biasa. Sedikit luahan pendapat tentang satu fenomena politik yang sudah berlaku begitu lama di dalam negara tercinta. Fenomena yang saya maksudkan adalah sikap berpindah dari satu parti kepada parti lain, orang awam menggunakan perkataan melompat parti.

Fenomena ini bukan baharu dan saya rasa semenjak kecil lagi saya sudah menyaksikan berlakunya lompat melompat ini samada dari satu parti kepada parti yang lain ataupun keluar dari satu parti dan menubuhkan satu lagi parti baru. Di samping itu berlaku juga lompat parti pada skala yang lebih besar dimana sebuah parti melompat dari satu gabungan kepada gabungan parti yang lain. Tidak ada mana2 parti yang terkecuali dari fenomena ini, cuma berbeza dari segi berapa kerap ianya berlaku.

Adakah fenomena ini baik ataupun buruk? Mengapakah perkara ini berlaku ? Saya sendiri tidak pasti tetapi mungkin disebabkan oleh kekecewaan, tidak mendapat imbuhan yang diharapkan, diupah untuk melompat, mencari habuan yang lebih besar ataupun kerana masalah moral seperti khianat serta pentingkan diri sendiri. Ada juga yang melompat dengan niat untuk berkhidmat dengan lebih berkesan. Jadi lompat melompat ini tidak semuanya buruk. Melompat parti boleh disebabkan oleh faktor penolak ("pushing factors") ataupun faktor penarik ("pulling factors").

Satu perkara yang tidak dapat dinafikan adalah budaya lompat parti ini boleh menyebabkan kesan yang besar ke atas sesebuah negeri, malah jika berlaku pada skala yang besar, kesannya boleh sampai pada peringkat negara. Kuasa sesebuah negeri dan sesebuah negara juga boleh bertukar hanya akibat daripada lompat parti. Adakah lompat parti itu dianggap khianat dan berdosa? Saya berpendapat, jika lompat parti itu berjaya mengubah keadaan buruk kepada yang lebih baik kepada rakyat, maka fenomena ini boleh dianggap baik walaupun daripada segi etika dan moralnya nampak tidak cantik. Cumanya, baik buruk melompat parti ini hanya boleh dinilai secara retrospektif, sukar untuk diramal secara prospektif. Manakala jika lompat parti itu dilakukan atas alasan untuk kepentingan diri sendiri dan hawa nafsu semata2, maka tindakan ini memang boleh dianggap satu bentuk khianat, tidak beretika dan tidak bermoral.

Kita tidak mahu lompat parti ini menjadi budaya di dalam politik negara kita kerana ia akan memberi imej yang tidak baik kepada negara luar. Di samping itu, tindakan ini juga memberi mesej yang salah kepada anak-anak muda yang bakal menjadi pemimpin negara. Mereka ini juga akan menjadi pengundi satu hari nanti dan dikhuatiri fenomena lompat melompat parti ini menyebabkan rakyat terutama golongan muda memandang sinis kempen kerajaan supaya turun mengundi. Mereka akan beranggapan bahawa tidak ada maknanya turun mengundi jika undi mereka tidak ada nilainya untuk memilih kerajaan. Melompat parti juga akan menyuburkan budaya rasuah dan salahguna kuasa.

Daripada penerangan di atas, saya berpendapat bahawa perbuatan melompat parti akan membawa lebih banyak keburukan daripada kebaikan. Maka langkah-langkah pencegahan patut dilakukan. Salah satu daripada langkah jangkapendek untuk membendung penyakit lompat parti ini adalah dengan mengwujudkan akta dan undang-undang lompat parti di mana dengan akta ini sesiapa yang sudah dipilih rakyat wajib kekal dalam parti di mana mereka dipilih. Jika mereka melanggar akta ini, mereka patut dilucutkan kedudukan serta dilarang daripada menjadi calun pilihanraya pada masa akan datang. Mereka juga tidak boleh dilantik untuk apa-apa jawatan di dalam kerajaan. Di samping itu, secara automatik kawasan DUN ataupun Parlimen yang mereka wakili perlu diadakan pilihanraya semula. Hanya dengan ini sahaja, penyakit melompat parti ini dapat ditangani dengan berkesan.

Manakala langkah jangkapanjang pula melibatkan pemilihan calun yang berintegriti, berprinsip dan berwibawa. Pada hari ini, krisis moral adalah penyakit masyarakat yang sudah menjadi wabak. Saya pernah mendengar kata-kata seorang pendakwah terkenal bahawa kita jangan hanya menuding jari kepada pemimpin. Mereka dipilih oleh siapa? Pemimpin itu asalnya dari rakyat biasa. Yang melantik seorang rakyat  menjadi pemimpin adalah juga rakyat. Rakyat yang baik akan memilih pemimpin yang baik. Maka katanya lagi, kalau hendak mendapat pemimpin yang baik perlu bermula daripada masyarakat yang baik, masyarakat yang baik dibina oleh keluarga2 yang baik. Nampaknya institusi keluarga menjadi satu unit asas yang paling penting di dalam pembinaan masyarakat dan negara yang baik.  

Dato' Dr. Mohd Rushdan Md Noor

PANDANGAN INI ADALAH PERIBADI DAN TIDAK MEWAKILI MANA2 INSTITUSI ATAUPUN PERTUBUHAN.

1 comment: