Sunday 10 May 2020

AMALAN MENGAMBIL SUPLEMEN OLEH ORANG RAMAI: MANFAAT ATAU MUDARAT


Amalan mengambil suplemen vitamin, mineral serta lain2 lagi sangat berleluasa di seluruh dunia dan fenomena ini juga berlaku di negara kita. Perniagaan yang melibatkan suplemen, vitamin dan mineral ini sangat besar serta merupakan lubuk emas kepada peniaga. Produk yang berbentuk suplemen ini sangat laris kerana makanan dan nutrient adalah keperluan asasi manusia. Penjual pula tidak sukar untuk mempromosikan produk ini kerana konsepnya mudah. Walau bagaimanapun sebagai seorang pengamal perubatan moden, saya khuatir amalan ini hanya ikut-ikutan dan tidak bertitik tolak daripada bukti kajian saintifik yang kukuh. Akibatnya bukan sahaja boleh menjadi amalan yang sia-sia tetapi juga boleh mengakibatkan kesan buruk ke atas kesihatan dan satu bentuk pembaziran. Jadi saya telah mengambil initiatif untuk melakukan semakan jurnal di samping mengikuti ceramah yang disampaikan oleh pakar-pakar yang tidak mempunyai kepentingan. Niat saya hanya satu iaitu untuk mencari kebenaran dan jika bermanfaat saya sendiri boleh amalkan. Di samping merujuk kepada jurnal-jurnal, saya juga mengikuti satu ceramah menarik disampaikan oleh Prof.Dr Jeffrey Tice, Pakar perubatan dan Pensyarah di University of California USA bertajuk Vitamins and Supplements: An Evidence based Approach. 

Berikut adalah kesimpulan-kesimpulan yg boleh saya buat selepas melakukan pencarian maklumat secara komprehensif dari sumber2 yang berwibawa.

1. Ramai individu yang mengamalkan pengambilan suplemen vitamin, mineral dan lain-lain. Hampir 60% rakyat Amerika mengambilnya. Perniagaan yg berkaitan dgn suplemen vitamin sangat menguntungkan sehingga rakyat Amerika membelanjakan USD35 billion dollar setiap tahun utk membeli suplemen. 

2. Khasiat vitamin yang dihasilkan dalam bentuk pil/kapsul adalah berbeza berbanding dgn sumber asal vitamin itu (buah/sayur,dll). Contohnya pil vitamin C berbanding dengan buah limau. Buah limau bukan sahaja mengandungi vitamin C tetapi juga lain2 vitamin, mineral, air dan serat. Jadi manfaat buah limau lebih banyak daripada pil Vit C. Vitamin C juga terdapat di dalam lain-lain makanan dan buah2an seperti kobis, kentang, anggur dan lain-lain. Vitamin C juga sangat tinggi di dalam diet orang Malaysia yang mengambil banyak cili samada di dalam sambal ataupun di dalam masakan lain. Pil vitamin C dan lain-lain vitamin hanya mengandungi vitamin itu sahaja dan perlu menjalani proses kimia utk menjadi pil melibatkan penggunaan pemampat, pewarna, pengawet. Situasi ini sama juga dengan vitamin-vitamin yang lain.  Ramai yang terlepas pandang terhadap bahan2 kimia tambahan yang wujud di dalam produk-produk suplemen ini.

3. Suplemen vitamin diperlukan hanya jika individu itu benar-benar kekurangan vitamin yg berkenaan (disahkan melalui ujian darah ataupun terdapat tanda-tanda kekurangan vitamin). Ini hanya benar dlm kes-kes kekurangan makanan yg serius dan kebuluran. Kekurangan nutrient juga boleh disebabkan oleh amalan diet keterlaluan seperti hanya mengambil sayuran (vegetarian). Penyakit yang mengganggu penyerapan zat-zat makanan juga boleh menyebabkan kekurangan vitamin dan mineral. Jika seseorang mengambil makanan dalam kuantiti yang mencukupi, tidak ada isu kekurangan vitamin dan mineral. Ramai yang salah anggap bahawa nutrient2 ini hanya boleh diperolehi dari buah2an sahaja sedangkan ia juga terdapat dalam lain2 bentuk makanan seperti bijirin,sayuran, rempah ratus, daging dan lain-lain. Malahan, di Malaysia isu mengambil makanan berlebihan dan obesiti merupakan masalah yang lebih besar dan utama.

4. Tanggapan bahawa vitamin adalah selamat dan semuanya baik belaka adalah tidak benar kerana kandungan vitamin di dalam badan hendaklah pada julat yang betul di mana jika ianya berlebihan boleh memudaratkan kesihatan. Keracunan akibat berlebihan vitamin A, C, E dan B6 boleh berlaku dan telah direkodkan ke atas orang yang mengambil vitamin ini. Begitu juga dengan pengambilan antioksidan yang berlebihan. Jumlah vitamin yang diserap masuk ke dalam aliran darah mempunyai had ataupun "ceiling" di mana jika mengambil lebih daripada had tersebut, selebihnya tidak diserap ke dalam aliran darah dan menjadi sia-sia.

5. Kajian-kajian besar yg dilakukan ke atas orang ramai yg mengamalkan pengambilan vitamin dan suplemen (karoten, Vit A, vit C, vit E, omega 3) menunjukkan TIDAK ADA apa-apa manfaat ke atas kadar penyakit jantung, kanser dan jangkahayat. Malahan golongan yg mengambil karoten,  vitamin A, vitamin C dan E didapati mempunyai RISIKO KEMATIAN YANG LEBIH TINGGI berbanding dgn yg tidak ambil suplemen. Pengambilan suplemen vit D juga menunjukkan kecenderungan yang sama.

6. Kajian meta-analisis yang disiarkan dalam Journal of American College of Cardiology yang membandingkan kumpulan yang mengambil suplemen terdiri daripada multivitamin, vitamin D, C, B6, kalsium, zat besi, selenium, zink dan beta-karoten telah mendapati tidak ada manfaat amalan ini di dalam mengurangkan kadar penyakit jantung, angin ahmar dan semua penyebab kematian. Malahan pengambilan antioksidan dan niacin dikaitkan dengan kadar kematian yang lebih tinggi. Walaupun terdapat kesan positif pengambilan asid folik dan vitamin B komplek ke atas penyakit angin ahmar, keputusan ini didapati berat sebelah kerana dipengaruhi oleh hasil kajian di negeri China (CSPPT) yang populasi mereka memang mempunyai masalah kekurangan pengambilan asid folik daripada makanan (Jenkin DJA et al)

7. Pengambilan suplemen antioksidan sewenang-wenangnya berpotensi memudaratkan badan kerana radikal bebas yang terdapat di dalam badan manusia ada manfaatnya iaitu menghapuskan sel-sel yang tidak sihat dan tidak normal. Perlu ada keseimbangan di antara antioksidan dan radikal bebas di dalam badan. Inilah sebabnya kajian tentang pengambilan suplemen antioksidan tidak pernah menunjukkan sebarang manfaat. Baca rencana tulisan saya tentang suplement antioksidan.

8. Hasil kajian yang disiarkan di dalam New England Journal of Medicine mendapati pengambilan  suplemen 1 gm minyak ikan yang mengandungi asid lemak Omega 3 (EPA dan AHA) dan suplemen vitamin D3 TIDAK menurunkan kadar serangan sakit jantung, angin ahmar dan juga kanser. Kajian yang berkualiti tinggi ini dilakukan ke atas sejumlah 25,871 orang terdiri daripada lelaki berusia lebih daripada 50 tahun dan wanita berusia lebih daripada 55 tahun. Daripada jumlah ini satu kumpulan diberikan suplemen minyak ikan sebanyak 1 gram sehari dan vitamin D3 (2000 IU sehari). Manakala satu kumpulan lagi diberikan plasebo iaitu 2 kapsul yang TIDAK mengandungi kedua2 omega 3 dan vitamin D3. Ia dikatakan kajian double blind kerana kedua-dua pihak iaitu wakil Penyelidik dan Peserta tidak tahu apakah kapsul yang diberikan samada mengandungi omega-3/vitamin D3 ataupun plasebo (rupa kapsul tersebut sama). Kajian "double-blind placebo controlled trial" seumpama ini dianggap kajian yang bermutu paling tinggi, lebih-lebih lagi dengan bilangan sampel/peserta yang ramai.Selepas 5.3 tahun, penyelidik mendapati TIDAK ADA perbezaan kadar serangan sakit jantung, angin ahmar dan penyakit kanser dalam kalangan peserta yang mengambil suplemen minyak ikan dan Vitamin D3 berbanding dengan plasebo. Kesimpulannya pengambilan suplemen minyak ikan (mengandungi Asid Lemak Omega-3) dan suplemen vitamin D3 selama 5.3 tahun tidak mempunyai manfaat ke atas menurunkan kadar penyakit jantung, angin ahmar dan juga kanser.

9. Di dalam banyak-banyak kajian besar berkaitan dengan manfaat mengambil suplemen vitamin dan mineral, HANYA LIMA suplemen sahaja yang didapati bermanfaat kepada orang awam tertentu yang sihat seperti di bawah, kesemuanya untuk tujuan pencegahan dan bukan rawatan:

a. Asid Folik (Folate) oleh wanita sebelum hamil dan ketika hamil utk mengurangkan risiko anak mengalami kecacatan neural tube defect, diambil 3 bulan sebelum hamil hingga 3 bulan pertama hamil untuk mengurangkan risiko anak menghidap kecacatan "neural tube defect". Asid Folik juga mungkin boleh dipertimbangkan ke atas individu yang kurang kandungan asid folik di dalam makanan, bagi tujuan untuk mengurangkan risiko angin ahmar (boleh digabungkan dengan vitamin B kompleks). Terutama di negara yang tidak mewajibkan fortifikasi asid folik di dalam makanan.Contoh makanan tinggi asid folik adalah sayuran hijau,telur,buah limau,bijirin, nasi, pasta dan lain-lain.
b. Vit D dan Kalsium oleh golongan tua dan menopaus yang berisiko mengalami kepatahan tulang. Manfaat hanya tertumpu kepada golongan yang disebut dan dengan dos tertentu. Vitamin D juga boleh disyorkan ke atas individu yang tidak terdedah kepada cahaya matahari yang mencukupi di samping kekurangan daripada sumber makanan.Sumber vitamin D dari makanan adalah ikan,telur,kulat dan lain-lain.
c. Vit B12 untuk individu yang tidak langsung mengambil produk haiwan yakni vegetarian sepenuhnya. Vitamin B12 juga boleh disyorkan ke atas golongan warga emas yang jelas tidak mengambil cukup makanan disebabkan oleh masalah mengungah ataupun kuantiti makanan yang tidak mencukupi. Sumber vitamin B12 adalah daging, hati, ikan dan lain2.
d. Suplemen zat besi untuk ibu-ibu hamil yang berisiko untuk mendapat masalah kekurangan darah akibat daripada kurang mengambil zat besi daripada makanan.

10. Amalan terbaik yang sepatutnya dilakukan adalah mengambil makanan dan buah2an sebenar (bukan pil/kapsul/jus suplement), ambil dalam kuantiti yang sederhana serta seimbang, banyakkan makanan bersumberkan sayur/tumbuhan dan ikan sebagai sumber protin. Telur adalah makanan yg cukup lengkap dan pakar pemakanan berpendapat anda boleh mengambil 2 biji telur sehari. Lakukan senaman yg tetap dan jauhi rokok serta alkohol. Sebenarnya untuk sihat, kita tidak perlu perbelanjaan yang besar. Sikap ikut-ikutan dan tersalah pilih pakar rujuk, menyebabkan orang ramai membazirkan wang untuk sesuatu yang tidak diperlukan.

Kesimpulannya amalan mengambil suplemen, vitamin dan mineral oleh orang yang sihat adalah satu amalan yang tidak disokong oleh bukti kajian saintifik malahan ada di antara amalan ini dikaitkan dengan risiko kematian yang lebih tinggi dan masalah toksisiti. Makanan adalah sumber paling baik untuk membekalkan vitamin dan mineral kepada tubuh badan manusia. Hanya golongan tertentu sahaja yang dikenalpasti boleh memanfaatkan pengambilan suplemen seperti yang dinyatakan di atas. Itupun hanya tertumpu kepada 5 jenis suplemen iaitu Asid Folik, Vitamin D, Kalsium, Vitamin B12 dan zat besi. Manakala lain-lain suplemen hanya perlu untuk golongan yang mengalami masalah kesihatan ataupun penyerapan zat makanan. Jadi  Pengamal Perubatan yang tidak ada kepentingan ("conflict of interest") TIDAK akan mengesyorkan/menggalakkan pengambilan suplemen dan vitamin kepada orang ramai secara semberono, jika mereka membuat rujukan dan mengetahui fakta2 daripada hasil kajian saintifik. Membelanjakan wang untuk mengambil suplemen juga menyebabkan kesan ekonomi dan wujud persepsi bahawa diri telah selamat sehingga tidak mengamalkan pemakanan serta gaya hidup yang sihat. 

Dato' Dr Rushdan Noor 
12hb Mei 2020

Nota: Untuk mendapatkan senarai rujukan2 kajian berkenaan dengan suplemen dan vitamin, sila rujuk rencana-rencana tulisan saya di pautan bawah. Sila ikuti juga ceramah Prof.Dr.Jeffrey di pautan di bawah.
Slide yang dikepilkan adalah sebahagian daripada slide ceramah Prof Jeffrey.










Video syarahan Dr.Jeffrey

RUJUKAN


https://www.minda2tinta.com/2020/05/antioksidan-perlukan-mengambil-suplemen.html

https://www.faktasains.com/single-post/2016/12/01/HERBA-JUS-DAN-PRODUK-SUPLEMEN-ANTI-KANSER-FAKTA-ATAU-AUTA

https://www.nejm.org/doi/full/10.1056/NEJMoa1811403?fbclid=IwAR1JYxDsNZpS5CulhsBFXiyLFe94F9GFNSLH5A6FcHNA5s0T5VuJOMinGc8#.W-ehr5GAM8Y.facebook

https://www.nejm.org/doi/full/10.1056/NEJMoa1809944?query=recirc_artType_railA_article

Denkin DJA, et al.J Am Coll of Cadiology, 2018;71(22):2570-84

https://sciencebasedmedicine.org/routine-vitamin-supplementation-mostly-useless/

https://www.wbur.org/commonhealth/2018/02/05/vitamin-evidence

Hsu CY, et al. Journal of Stroke, 2018;20(1): 99–109

Dato' Dr.Mohd Rushdan Md Noor   
Pakar Perunding Ginekologi Onkologi

No comments:

Post a Comment