Thursday 14 May 2020

SENARAI AGEN PENYEBAB KANSER (CARCINOGEN): APA YANG ORANG AWAM PERLU FAHAM


IARC adalah singkatan kepada International Agency Research in Cancer, satu badan di bawah WHO. Salah satu aktiviti mereka adalah mengenalpasti agen2, tabiat2 dan faktor2 yang mempunyai kaitan dengan kanser dan menyenaraikannya di dalam IARC MONOGRAPH. Setakat ini terdapat lebih 1000 bahan ataupun agen yang telah tersenarai samada ada ataupun tidak ada kaitan dengan kanser. Ahli panel yang berkecuali dilantik untuk menilai bukti yang dikemukakan dan kemudian akan menentukan kumpulan agen2 tersebut berdasarkan kekuatan kaitannya dengan kanser. Terdapat 4 kumpulan iaitu 1, 2 (2A,2B) ,3 dan 4. Agen dalam kumpulan 1 dianggap mempunyai kaitan yang paling kuat dengan kanser, manakala kumpulan 4, dipercayai tidak ada kaitan.

Lebih 100 agen telah diklasifikasikan dalam kumpulan 1 dan hampir 400 agen dalam kumpulan 2. Ada beberapa perkara yang orang ramai perlu tahu tentang IARC Monograph ini:
1. Tidak tersenarai di dalam 1000 lebih agen di dalam monograph ini BUKAN bermaksud bahan tersebut tidak ada kaitan dengan kanser. Ia bermaksud bahan tersebut belum lagi dianalisa oleh IARC. Jika tersenarai pula bukan semestinya seseorang itu akan menghidap kanser apabila terdedah kepadanya, banyak faktor lain yang terlibat . Baca penerangan di bawah.
2. Agen atau bahan2 yang tersenarai di dalam monograph IARC ini BUKANnya mutlak. Kedudukan agen2 ini boleh berubah daripada satu kumpulan kepada kumpulan yang lain, jika ada bukti terbaru. Mungkin kebanyakan kumpulan 1 akan kekal tetapi lain-lain kumpulan boleh turun dan naik. Kedudukan agen2 ini bukan petujuk risiko menghidap kanser sebaliknya hanya menjelaskan tahap bahaya ("hazard") jika memenuhi syarat2 yang tertentu.
3. Setiap agen2 ini dikaitkan dengan kanser tertentu sahaja dan bukan dengan semua jenis kanser. Ada agen yang hanya menyebabkan satu jenis kanser. Kadangkala kanser tersebut sangat jarang berlaku. Jadi seseorang yang terdedah kepada agen kumpulan 1 tidak semestinya mempunyai risiko yang lebih tinggi menghidap kanser kerana ia bergantung kepada apakah agen tersebut, dose pendedahan, jangkamasa pendedahan, jenis kanser dan juga individu yang berkenaan. Ada agen yang hanya melibatkan kanser kaum wanita, ada pula yang melibatkan kaum lelaki.
4. Kebanyakan agen-agen yang tersenarai BUKAN penyebab primer kanser ("primary aetiology") tetapi hanya dikaitkan dengan kanser, kaitannya mungkin lemah dan mungkin kuat. Kaitannya mungkin kebetulan. Meskipun agen itu penyebab primer seperti virus HPV dan kanser serviks, ia masih memerlukan kehadiran faktor lain untuk melengkapkan proses kejadian kanser. Umumnya kumpulan 1 mempunyai kaitan yang kuat dengan kanser, manakala kumpulan 2 pula kaitannya lemah, mungkin ada, mungkin tidak ada.Walaupun pada kategori 1, kanser tidak semestinya berlaku hanya kerana pendedahan faktor tersebut semata2 tetapi perlu ada faktor2 lain yang bekerja sama dikenali sebagai ko-faktor. Proses kejadian kanser sangat kompleks.
5. Kumpulan 2 mempunyai senarai agen paling banyak dan inilah kumpulan yang paling kontroversial kerana kaitannya dengan kanser belum dimuktamatkan kerana tidak cukup bukti tetapi tidak boleh ditolak begitu sahaja.Banyak daripadanya hanya berdasarkan kepada kajian ke atas haiwan. Ada juga yang mempunyai kaitan dengan kanser manusia tetapi masih lemah. Ada juga kemungkinan agen2 ini tidak ada kaitan terus dengan kanser.
6. Monograph IARC ini tidak terlepas daripada kritikan dan kontroversial. Walaupun ianya diangap satu langkah yang baik dan memerlukan usaha yang sangat besar, terdapat kelemahan di dalam kaedah menyenaraikan agen2 ini. Tidak kurang juga kritikan daripada segi wujudnya " conflict of interest" dalam kalangan ahli2 sains yang terlibat, metodologi dan isu ketelusan. Pendek kata ia bukanlah satu dokumen yang sempurna. IARC tidak mencadangkan apa2 peraturan dan undang2 berkenaan dengan senarai agen2 yang telah disenaraikan, ia kekal di bawah tanggungjawab kerajaan masing2.Terdapat badan2 lain selain daripada IARC yang melakukan perkara yang sama dan mempunyai senarai mereka sendiri.
7. Monograph IARC BUKAN untuk tontonan ataupun penilaian orang awam kerana ianya tidak boleh dibaca secara literal. Jika orang awam yang tidak faham tentang kanser melihat senarai agen2 penyebab kanser ini, mereka pasti akan keliru dan panik. Malahan dalam kalangan pengamal perubatan sendiri ada yang keliru. Ia perlu dinilai dari perspektif yang luas dan ini hanya dapat dilakukan oleh pengamal perubatan yang faham tentang kanser. Cuba lihat contoh2 di bawah:
KUMPULAN 1 (contoh)                                   
    Pencemaran udara
    Habuk Kayu
    Sinar UV cahaya matahari
    Habuk arang
    Daging yang diproses
    Ikan masin
    Asap eksos diesel
Teliti pula sebahagian daripada contoh kumpulan 2 di bawah
KUMPULAN 2 (2A & 2B)
    Daging merah (2A)
    Makanan yang panas (lebih dari 65 darjah C) 2A
    Bekas bergelas 2A
    Asap eksos petrol 2B
    Bekerja sebagai pegawai bomba 2B
    Bekerja shif malam 2A
Saya sengaja mengambil contoh senarai2 yang agak "pelik" tetapi memang wujud di dalam monograph IARC ini. Jadi bagi orang awam, jika mereka membaca setiap agen2 yang tersenarai di dalam monograph ini (lebih 1000 agen), maka saya boleh katakan mereka akan panik dan merasakan tidak ada tempat yang selamat untuk tinggal di dunia ini. Inilah yang menjadi pertelagahan dalam kalangan orang awam dan juga pengamal2 perubatan yang kurang faham mengenai Monograph IARC ini. Monograph ini juga boleh disalahgunakan oleh golongan tertentu untuk kepentingan peribadi umpamanya di dalam perniagaan untuk menjatuhkan reputasi produk orang lain.
Bayangkan jika IARC menganalisa kesemua sebatian kimia yang ada di dunia (walaupun mustahil) dan semua tabiat2 manusia untuk dikaitkan dengan kanser. Mungkin majoriti umat manusia yang membacanya jadi hilang akal. Maka sebab itu saya ingin tegaskan supaya orang ramai merujuk kepada pakar yang khusus dalam bidang tertentu apabila mencari sesuatu fakta. Jangan mudah berkongsi dakwaan penyebab kanser daripada pihak yang tidak diketahui latarbelakangnya.
Selagi pihak autoriti yang bertanggungjawab di dalam bidang kanser tidak mengeluarkan kenyataan keras melarang penggunaan ataupun ditarikbalik produk2 tertentu atas alasan kanser, maka anda jangan bimbang. Pokok pangkalnya, bersederhana dan patuh kepada peraturan penggunaan/amalan, tidak kira apa saja perkara di dalam hidup anda, daripada makanan, minuman, penggunaan alatan, gayahidup dan lain-lain.

Dato'Dr Rushdan Noor
Pakar Perunding Ginekologi Onkologi
Nota tambahan: Kalau nak baca maklumat tambahan boleh juga baca tulisan Dr. Che Puteh Osman mengenai karsinogen dan sebatian kimia.
https://monographs.iarc.fr/agents-classified-by-the-iarc/
https://www.iarc.fr/wp-conte…/uploads/…/07/Monographs-QA.pdf
https://academic.oup.com/carcin/article/36/7/707/1800366
https://en.wikipedia.org/…/International_Agency_for_Research_on_Cancer



No comments:

Post a Comment