NHMS 2019 telah melapurkan hanya 5% sahaja orang ramai yang disoalselidik mengambil buah2an dan sayuran seperti yang disyorkan iaitu 5 hidangan sehari. Mereka bukan tidak ambil langsung tetapi tidak cukup. Manakala kadar berlebihan berat badan adalah 50.1%. Ini bermaksud rakyat kita menghadapi masalah tabiat makan dan pilihan jenis makanan yang tidak betul. Ini adalah salah satu punca penyakit tidak berjangkit ataupun NCD (Non-communicable diseases).
Jangan salah faham dan mungkin ramai yang akan ambil kesempatan dari data ini untuk menjustifikasikan pengambilan suplemen vitamin dan mineral. Kurang ambil buah2an dan sayuran tidak semestinya menyebabkan kurang vitamin dan mineral. Cuba lihat dalam jadual sumber vitamin dan mineral yang saya kepilkan di bawah. Hampir semua jenis vitamin dan mineral yang utama boleh diperolehi dari makanan SELAIN dari buah2an dan sayuran. Mungkin Vitamin C sahaja yang sumber utamanya dari buah dan sayur tetapi ingat, sumber vitamin C paling tinggi adalah Cili dan biji ketumbar yang memang menjadi makanan kegemaran orang Malaysia di dalam sambal, sos, kari dan lain2. Vitamin D juga boleh diperolehi dari cahaya matahari. Susu, ikan, daging, hati, telur dan bijirin mengandungi banyak jenis vitamin dan mineral.
Masalah utama rakyat Malaysia adalah tidak mematuhi prinsip makanan "Healthy Eating Plate" di mana mereka mengambil banyak makanan yang tinggi lemak, kolesterol, tinggi garam dan tinggi karbohidrat hingga menjadi gemuk. Kuantiti makanan juga tinggi. Tetapi disebabkan sumber2 BUKAN buah2an dan sayuran ini juga mengandungi vitamin dan mineral, umumnya kebanyakan mereka tidak menghadapi masalah kekurangan vitamin dan mineral. Tetapi mereka tidak mendapat manfaat dari kandungan serat dan fitonutrient (selain dari vitamin dan mineral) yang ada dalam buah2an dan sayur2an. Apabila digabungkan tabiat makan ini dengan merokok, minum alkohol dan kurang aktiviti fizikal, tidak hairanlah mengapa kadar penyakit kronik juga tinggi.
Kesimpulannya, solusi kepada masalah obesiti dan penyakit kronik yang sedang kita hadapi ini hanya boleh ditangani dengan kembali kepada tabiat makan yang betul seperti yang disyorkan oleh KKM/WHO dan mengamalkan gaya hidup sihat. Tidak ada pilihan lain. Mengambil suplemen vitamin dan mineral TIDAK termasuk dalam jalan penyelesaian kerana pertama rakyat kita rata2 bukan kurang vitamin/mineral (kecuali golongan tertentu) dan kedua ianya tidak sekali2 dapat menggantikan sumber makanan yang asal. Ia juga melibatkan kos dan tidak terlepas dari kesan sampingan.
NHMS : National Health And Morbidity Survey
Dato' Dr Rushdan Noor
31hb Mei 2020
No comments:
Post a Comment