Thursday, 7 May 2020

AIR BERALKALI : MANFAAT ATAU MUDARAT

Dato'Dr.Mohd Rushdan Md Noor

MD,MOG (UKM), Fellow GO(S'pore),AM

Pakar Perunding Kanan O&G

Pakar Perunding Ginekologi Onkologi

Hospital Sultanah Bahiyah 


Amalan mengambil air beralkali (alkaline water) sudah lama diamalkan dan pelbagai jenis penapis air dan alat penionan dijual di pasaran untuk menghasilkan air beralkali. Rencana ini akan memberi sedikit maklumat mengenai air beralkali dan saya akan cuba menerangkan kepada anda kedudukan sebenar air beralkali ini dari sudut perubatan moden. Seperti mana yang anda ketahui, air mempunyai pH tertentu supaya ianya menjadi air yang berasid, neutral ataupun beralkali bergantung kepada bahan-bahan yang terkandung di dalamnya. Ada bahan-bahan mineral yang menyebabkan air menjadi beralkali dan ada yang menyebabkannya menjadi berasid. Nilai pH air ditentukan oleh keseimbangan di antara bahan berasid dan beralkali di dalam air. Jika bahan berasid melebihi bahan beralkali, maka air itu akan menjadi berasid. Jika kedua-dua bahan ini seimbang, maka air menjadi neutral. Air mentah dan air paip yang dirawat selalunya neutral. Tahap pH ditentukan oleh nombor dari 0 hingga 14, di mana pH kurang dari 7 adalah asid, manakala pH 7 neutral dan pH yang lebih dari 7 dikatakan alkali. Apakah pH yang sesuai untuk air minuman? Tajuk ini sedang hangat diperdebatkan. Ada yang mendakwa meminum air beralkali mempunyai khasiat yang banyak untuk kesihatan badan. Adakah dakwaan ini benar?


Air beralkali selalunya mempunyai pH 8-9 dan dijual di pasaran di dalam pelbagai bentuk. Air beralkali ini dihasilkan melalui tindakan elektrolisis ataupun pengionan (ionizer) di mana aliran elektrik digunakan untuk memisahkan molekul air kepada ion-ionnya iaitu ion hydrogen yang berasid dan ion hidroksid yang beralkali. Katod (catode) yang bercaj negative akan menarik ion hydrogen (bercaj positif) dan persekitaran katod ini akan menjadi beralkali (sebab ion hidrogen sudah ditarik kepada katod). Manakala anod (anode) pula yang bercaj positif akan menarik ion hidroksid sehingga air di sekelilingnya menjadi berasid. Inilah konsep bagaimana air yang beralkali dan air yang berasid dihasilkan. Di dalam mesin penapis ini, kedua-dua jenis air ini boleh dipisahkan. Malah bahagian air yang neutral juga dapat dipisahkan. Persoalannya adakah air beralkali ini mujarab, dapat menyembuhkan beberapa jenis penyakit seperti darah tinggi, diabetes, kanser dan lain-lain.



Rajah di atas menunjukkan proses elektrolisis yang menghasilkan air beralkali dan air berasid. Untuk memastikan proses elektrolisis berjalan dengan lancar dan berkesan, air yang digunakan untuk diproses perlu mempunyai bahan mineral dan logam  (Natrium, Kalsium, Magnesium dan lain-lain) supaya air tersebut lebih konduktif (conductive). Air tulin yang tidak mempunyai bahan mineral dan logam tidak akan cukup konduktif untuk menjalani elektrolisis. Jadi tidak benar jika ada yang mendakwa bahawa proses penghasilan air beralkali ini menggunakan air tulin.


HAKIKAT KESEIMBANGAN ASID DAN ALKALI DI DALAM BADAN


Pada asasnya, badan manusia memerlukan kedua-dua medium iaitu asid dan alkali. Pendek kata badan manusia mempunyai bahagian yang lebih berasid dan yang lebih beralkali. Contohnya pH cecair di dalam perut dan permukaan kulit manusia adalah berasid. Manakala usus kecil, pankreas dan jantung adalah bahagian badan yang lebih beralkali. Badan manusia mempunyai keupayaan untuk menstabilkan pH badan sehingga ianya menjadi tetap dan tidak mengalami perubahan yang besar, contohnya pH darah di antara 7.35-7.45. Badan menggunakan ginjal, usus, pankreas dan pernafasan yang berfungi untuk mengstabilkan pH darah. Jadi hakikatnya kita tidak mampu untuk mengubah pH ini sesuka hati dari luar kerana apa sahaja keinginan kita untuk membuat perubahan ini, badan akan tetap bertindakbalas secara semulajadi sehingga pHnya kekal pada julat yang normal. Maksudnya badan telah diprogramkan untuk berupaya membuat kawalan diri secara automatic ataupun auto-regulation di dalam mengawal nilai pH. Salah satu contoh bagaimana badan mengawal pH adalah melalui ransangan “chemoreceptors” dan pernafasan. Proses mengawal kestabilan pH ini sama macam alat pengapung air di dalam tangki air, apabila air kurang di dalam tangka, pengapung pun akan turun dan air pun masuk ke dalam tangki. Apabila air di dalam tangki penuh, pengapung ini akan menutup lubang air dan menghentikan aliran air masuk ke dalam tangki. Apabila pH darah menurun disebabkan oleh meningkatnya kandungan ion hidrogen, kemoreceptor di bahagian otak akan menghantar maklumat kepada otot pernafasan supaya pernafasan anda menjadi lebih cepat. Apabila pernafasan lebih cepat, lebih banyak gas karbon dioksida dilepaskan keluar dan ini  akan mengurangkan penghasilan ion hidrogen supaya pH darah dapat distabilkan semula. Begitulah juga disebaliknya, proses ini berlaku tanpa disedari oleh anda.


ASID DAN JANGKITAN PENYAKIT


Asid diperlukan untuk tujuan membunuh mikroorganisma penyebab penyakit. Tidak benar jika dikatakan minuman alkali diambil untuk membunuh mikroorganisma di dalam perut kerana sebenarnya asidlah yang membunuhnya. Asid di dalam perut juga penting untuk menguraikan protin. Untuk pengetahuan anda, pH asid perut adalah di antara 1.5-3.5 dan nilai ini sentiasa dijaga supaya ianya dapat memanfaatkan manusia. Jika asid perut menjadi terlalu berasid, sel-sel di lapisan kulit perut boleh mengeluarkan bahan beralkali dikenali sebagai bicarbonate, sebaliknya pula, jika pH cairan perut terlalu tinggi, kadar pengeluaran bicarbonate ini akan terencat. Apabila kita mengambil makanan, asid perut akan membunuh pathogen ataupun mikroorganisma penyebab penyakit. Bayangkan jika mekanisma ini tidak wujud, tentu manusia akan senang dijangkiti penyakit. Satu contoh terbaik mengenai kepentingan asid di dalam perut adalah bagaimana anjing liar dapat hidup walaupun memakan bangkai yang dijangkiti oleh kuman. Asid perut anjing liar mempunyai keasidan 10 kali lebih tinggi dari manusia dan asid inilah yang membunuh bakteria yang dibawa oleh bangkai.


Asid membunuh bakteria, manakala ada organisma yang memerlukan persekitaran beralkali untuk hidup dan membiak. Contoh organisma ini adalah sejenis kulat yang dinamakan candida albican. Di dalam keadaan berasid, kulat ini hidup tidak aktif dan asid ini dihasilkan oleh bakteria yang baik dinamakan normal flora. Normal flora inilah yang menjadi faktor penting mengawal pembiakan kulat candida. Jika anda mengambil antibiotik dan membunuh bakteria baik ini, asid tidak dapat dihasilkan dan akibatnya persekitaran tersebut akan menjadi lebih beralkali. Persekitaran yang lebih beralkali ini akan menyebabkan kulat candida menjadi aktif dan membiak sehingga menyebabkan keradangan. Keadaan ini berlaku di dalam faraj seseorang wanita dan jika kulat candida menjadi aktif, faraj akan menjadi kemerahan, gatal dan keluar keputihan yang banyak. Jadi persekitaran asid ataupun alkali diperlukan oleh tempat-tempat tertentu di dalam badan anda.


ADAKAH AIR BERALKALI BOLEH MENGUBATI KANSER


Kanser adalah sejenis penyakit kronik yang kompleks. Proses kejadian kanser berlaku disebabkan oleh banyak faktor termasuk faktor kelainan genetik dan pendedahan kepada bahan penyebab kanser ataupun karsinogen. Rawatan kanser juga kompleks dan tidak semudah yang difikirkan oleh orang awam. Adalah tidak benar mengatakan bahawa kanser tidak boleh membiak di dalam persekitaran alkali, malah kajian menunjukkan bahawa pH di dalam sel kanser lebih beralkali dari pH di dalam sel-sel yang normal. Sebab mengapa perkara ini berlaku adalah kerana sel-sel kanser tidak dapat menghasilkan asid laktik sepertimana sel-sel normal. Sebaliknya sel-sel kanser menghasilkan lactate yang lebih beralkali, sel-sel kanser sebenarnya tidak dapat bertahan dengan keasidan yang tinggi sehingga sel-sel ini mengeluarkan ion hidrogen dari dalam sel keluar di persekitarannya. Akibatnya persekitaran sel-sel kanser menjadi lebih berasid. Persekitaran luar sel-sel kanser yang lebih berasid ini bukan bermaksud sel-sel kanser menyukai asid tetapi ianya adalah akibat dari adaptasi sel-sel kanser untuk meningkatkan pH di dalam sel-sel mereka. Pendek kata sel-sel kanser lebih mudah hidup jika pH mereka lebih beralkali. Sebenarnya sel-sel badan manusia yang normal tidak boleh hidup di dalam keadaan yang melampau samada terlalu beralkali (dikenali sebagai alkalosis) ataupun terlalu berasid (asidosis). Malah alkalosis lebih merbahaya kerana ianya lebih sukar untuk dirawat berbanding dengan asidosis. Apabila mengalami asidosis iaitu pH darah terlalu rendah, kaedah rawatannya bukan dengan meminum air beralkali sebab air ini akan masuk ke dalam usus dan tidak mampu untuk menukar pH darah disebabkan oleh faktor-faktor yang saya sebutkan tadi. Sebaliknya rawatan asidosis adalah dengan memberi cecair beralkali terus ke dalam aliran darah melalui infusi salur vena. Tanggapan orang awam bahawa mengawal pH darah semudah meminum air samada air berasid ataupun beralkali sebenarnya berasaskan kepada kefahaman yang sangat cetik mengenai fisiologi manusia. Fisiologi badan manusia adalah sangat kompleks dan hanya boleh difahami jika ianya dipelajari dengan mendalam sepertimana yang dilakukan oleh pelajar-pelajar perubatan. Malah mengikut sebahagian pakar kimia, jika air yang hendak digunakan untuk tujuan pengionan mengandungi garam iaitu NaCI (Natrium Klorida), proses elektrolisis akan menyebabkan gas hidrogen dilepaskan dan ion hidroksida akan bergabung dengan Natrium di katod menjadi NaOH untuk menghasilkan air beralkali (lihat rajah di bawah). Manakala di bahagian anod pula sebahagian ion Clorin akan dioksidakan untuk menjadi Klorin, jika Klorin in bergabung dengan ion Hidroksida yang datangnya dari katod, ia akan membentu asid Hipoklorus (hypochorus acid, HOCl) yang boleh dikeluarkan sebagai air berasid. Asid Hipoklorus adalah asid lemah dan agen pengoksidan. Jika berlaku percampuran di antara Asid Hipoklorus (HOCl) dengan Natrium Klorida (NaCl), Natrium Hipoklorida (Sodium Hypochloride) boleh terbentuk. Untuk pengentahuan anda, Natrium Hipoklorida adalah bahan kimia yang terkandung di dalam Klorox !!. Di samping itu, Asid Hipoklorus juga pernah dikaitkan dengan keupayaan untuk menyebabkan mutasi bahan genetik di dalam DNA serta epigenetik dan berpotensi menyebabkan kanser. Asid Hipoklorus juga boleh menyumbang kepada pembentukan bahan kimia yang dikenali sebagai 5-Chlorocytocine yang dikatakan boleh merencat gene perencat kanser (rujukan 1, rujukan 2). Walaupun tiada bukti kukuh mengenai Asid Hipoklorus dan kanser ke atas manusia tetapi ini sudah cukup mematahkan dakwaan pengeluar air beralkali bahawa air beralkali dapat membunuh sel kanser, kerana di sebaliknya pula, air beralkali berpotensi meransang perubahan sel badan kepada sel kanser. Air yang telah menjalani pengionan atau elektrolisis ini juga bukan anti-oksidan, malah seperti yang saya nyatakan di atas, terdapat bahan-bahan kimia yang terhasil dari proses ini sebenarnya adalah agen pengoksidan bukan anti-oksidan.Pendek kata proses elektrolisis ke atas air boleh menghasilkan bermacam-macam bahan kimia bergantung kepada kandungan mineral dan logam di dalam air yang hendak diproses. 


 Proses elektrolisis ke atas air yang mengandungi garam ataupun Natrium Klorida. Asid Hipoklorus dihasilkan untuk menjadikan air berasid,manakala Natrium Hidroksida pula akan membuatkan air menjadi beralkali


BAGAIMANA MENGUKUR pH BADAN ATAU DARAH


Seperti yang telah saya sebutkan tadi, pH di dalam badan manusia berbeza-beza mengikut organ dan tisu. Ada organ yang lebih berasid, dan ada organ serta tisu yang lebih beralkali. Perut contohnya mempunyai rembesan cecair berasid dengan pH 1.5-3.5. Untuk mengukur pH, anda perlu menggunakan alat pengukur pH. Sampel dari cecair-cecair badan pada bahagian tertentu perlu diperolehi dan diuji. Jika ujian pH hendak dilakukan ke atas darah, maka sampel darahlah yang perlu diambil. Jika anda ingin mengukur pH di dalam perut, maka sampel cecair dari dalam perutlah yang perlu diambil dan diuji. Adalah tidak benar bahawa nilai pH yang diukur melalui sampel air kencing dan air liur itu menggambarkan pH badan keseluruhannya kerana ianya hanya menilai pH pada sampel itu sahaja. Malah jika badan lebih berasid, ginjal akan mengeluarkan lebih banyak bahan beralkali untuk mengstabilkan pH, pada ketika ini jika ujian pH dijalankan ke atas air kencing, tentu nilai pHnya lebih tinggi (lebih beralkali), sedangkan ini tidak langsung menggambarkan pH badan ataupun darah. Jangan mudah terpedaya dengan tipu helah penjual alat penapis air yang menggunakan tektik mengukur pH air kencing dan air liur untuk menentukan tahap pH badan anda. Saya boleh katakan jika ini yang mereka lakukan, sebenarnya anda sedang diperbodohkan.


KEPERLUAN ASID DI DALAM BADAN


Badan memerlukan asid dan alkali kedua-duanya sekali di dalam keadaan dan organ-organ tertentu. Di dalam perubatan moden, tidak ada istilah badan anda lebih berasid, ataupun badan anda lebih beralkali. Sistem badan kita dijadikan sedemikian rupa supaya ianya sentiasa di dalam keseimbangan asid dan alkali. Tanpa keseimbangan ini, anda tidak boleh hidup dan di dalam keadaan normal, badan anda berkemampuan untuk menstabilkan pH badan melalui mekanisma-mekanisma yang telah saya sebutkan tadi. Asid diperlukan untuk banyak fungsi badan seperti menjadi benteng melawan jangkitan penyakit. Banyak komponen-komponen badan manusia diperbuat dari asid, protin dibina dari asid amino, molekul DNA (yang membawa bahan baka/genetik ) dibina dari “deoxyribonucleic acid”. Banyak mikronutrin-mikronutrin yang anda perlukan untuk kesihatan badan seperti vitamin C (asid askorbik) dan asid folik adalah juga asid. Pendek kata, anda tidak mungkin dapat hidup tanpa adanya asid.



PENDAPAT PAKAR SAINS DAN PERUBATAN TERHADAP AIR BERALKALI


Kebanyakan pakar-pakar perubatan dan ahli-ahli sains berpendapat bahawa setakat ini tidak ada bukti kukuh yang menyokong pengambilan air beralkali untuk kesihatan badan, lebih-lebih lagi untuk tujuan merawat penyakit-penyakit tertentu. Walaupun ada kajian yang dilakukan tetapi kajian-kajian tersebut tidak mempunyai kualiti yang tinggi dan bukan kajian “randomized control trial”, pengkaji-pengkaji ini melihat maklumbalas pesakit-pesakit darah tinggi, diabetes dan lain-lain selepas mengambil air beralkali dan kemudian terus merumuskan hasil kajian mereka. Sepatutnya kumpulan “control” perlu diwujudkan dan sampel yang digunakan adalah cukup besar untuk mengaitkan hubungan di antara pengambilan air beralkali dengan kesihatan. Setakat ini belum lagi ada kajian seumpama itu kerana sukar untuk dijalankan. Tetapi berdasarkan kepada fakta-fakta yang saya nyatakan di atas, majoriti ahli-ahli sains dan perubatan mempunyai pendirian bahawa belum ada bukti kukuh yang meyakinkan bahawa amalan pengambilan air beralkali akan meningkatkan kesihatan badan, mencegah penyakit, merawat penyakit apatah lagi memanjangkan hayat seseorang. Jika pun ada manfaat dari pengambilan air beralkali ini, ianya mungkin disumbang oleh pengambilan air yang mencukupi, kebersihan air dan juga mineral-mineral yang terkandung di dalamnya. Ramai doktor dan saintis berpendapat dakwaan kemujaraban air beralkali oleh syarikat-syarikat pengeluar air ini tidak disokong oleh kajian yang berkualiti tinggi dan kita masih lagi kekurangan maklumat dari segi mudarat yang mungkin boleh dibawa oleh pengambilan air ini. Apa yang palindibimbangi adalah kesan kemudaratan jangkapanjang kesan dari pengambilan air beralkali bukan sahaja disebabkan oleh sifat kealkalian air, tetapi juga disebabkan oleh proses elektrolisis atau pengionan air ini bakal menghasilkan bermacam-macam bahan kimia/molekul lain bergantung kepada kandungan air yang digunakan dan juga proses pemisahan air yang dilakukan. Mengikut seorang Pakar Gastroenterologist yang juga bekas presiden American Society for Gastrointestinal Endoscopy, Dr.John Petrini, beliau berkata “There is no basis for any health claims at all (tidak ada langsung asas kesihatan yang didakwa)”. R.John Petrini berkata lagi :” After it is digested, food and water goes into the stomach and, no matter what pH it was when it entered and then ends up leaving the stomach at a pH of about 6.8, Dr. Petrini says. And no matter what you eat, your body has effective mechanisms to keep your blood in a narrow range between 7.35 and 7.45”. Air diserap terutamanya di dalam usus dan bukan di dalam perut. Apabila air atau makanan beralkali diambil dan sampai di perut yang sangat berasid, sifat alkali bahan-bahan ini akan dihapuskan dan apabila ia meninggalkan perut ke usus kecil, pHnya menjadi 6.8 seperti yang disebutkan oleh Dr.Petrini di atas. Kemudiannya apabila melalui usus kecil, kandungan isi perut tadi akan bercampur dengan rembesan alkali dari pankreas. Kesimpulannya, semua jenis air yang anda ambil tidak kira berapa nilai pHnya akhirnya akan menjadi air beralkali apabila masuk ke dalam usus kecil. Malah ada juga pakar-pakar yang berpendapat jika air beralkali yang diproses melalui elektrolisis ataupun pengionan, ion hidroksida yang dihasilkan boleh bergabung dengan mineral seperti Magnesium, Kalsium dan lain-lain untuk membentuk bahan (Magnesium hidroksida, Kalsium Hidroksida) yang berpotensi memudaratkan badan jika di dalam kuantiti yang banyak.


ADAKAH MANFAAT MEMINUM AIR BERALKALI?


Mungkin terdapat manfaat pengambilan air beralkali jika ianya dihasilkan dengan kaedah bersih dan mengekalkan bahan-bahan mineral yang ada. Walau bagaimanapun manfaat yang dibawa oleh pengambilan air beralkali ini lebih kepada tabiat mengambilan air yang mencukupi (memulihkan hidrasi badan), kandungan mineral yang ada di dalamnya dan bukan disebabkan oleh pH air berkenaan. Terdapat ahli-ahli sains yang cuba merationalisasikan manfaat air beralkali ini (walaupun bukan berasaskan kepada bukti saintifik yang kukuh) , di antaranya adalah seperti berikut:


1.   Mungkin ianya boleh memperbaiki kesihatan usus melalui keupayaan air itu untuk mempunyai potensi oksidasi-reduksi negative yakni menjadi agen reduksi (negative Oxidation-Reduction Potential). Mungkin dengan ciri-ciri ini ia boleh membantu melindungi usus dari mikroorganisma yang berbahaya. Walau bagaimanapun keupayaan membunuh bakteria bukan semestinya baik kerana terdapat bakteria baik yang mengawal usus dari pembiakan bakteria ganas. Jika bakteria baik ini dihapuskan, akan berlaku pembiakan bakteria ganas yang menyebabkan penyakit.


2.   Golongan ahli sukan lasak mungkin satu golongan yang dapat mengambil manfaat dari pengambilan air beralkali ini, menurut pendapat pakar, senaman yang lasak menyebabkan badan mereka menghasilkan banyak asid. MUNGKIN air beralkali dapat membantu. Inipun hanya andaian sahaja kerana di dalam air beralkali tersebut terdapat mineral-mineral yang boleh membantu meningkatkan kecerdasan badan dan peluang mengambil air yang mencukupi untuk memulihkan kecerdasan badan.


3.   Hasil kajian pernah diterbitkan mengenai kesan meminum air beralkali dengan pH 8.8 oleh haiwan, di mana pada pH 8.8 ini enzim pepsin dapat direncatkan, enzim ini bertanggungjawab menyebabkan penyakit acid refluk (reflux acid ataupun reflux oesophagitis). Walau bagaimanapun  ini adalah kajian makmal ke atas haiwan dan bukan kajian ke atas manusia. (klik di sini


4.   Ada juga kajian kecil yang tidak berkualiti (bukan randomized control trial) yang melapurkan meminum air beralkali memperbaiki kesihatan pesakit darah tinggi, diabetes dan hiperkolestrolemia (berlebihan kolestrol). Kajian ini adalah kajian yang kecil dan didakwa kajian preliminari (awal). (klik di sini 


APAKAH MUDARAT AIR BERALKALI


Daripada penerangan di atas jelas menunjukkan bahawa manfaat yang dibawa oleh air beralkali tidak disokong oleh bukti kajian saintifik yang kukuh dan tidak cukup untuk dijadikan alasan untuk diamalkan secara berterusan. Ahli-ahli sains berpendapat bahawa pengambilan air beralkali secara berterusan bakal menyebabkan beberapa masalah kesihatan kepada badan yang di antaranya adalah :


1.  Pengambilan yang berpanjangan dalam kuantiti yang banyak boleh menyebabkan ketidakstabilan pH di dalam badan.


2. Gangguan fungsi perut. Keasidan adalah penting untuk mengekalkan fungsi perut yang normal. Terdapat banyak fungsi perut yang memerlukan persekitaran tersebut seperti penyerapan nutrin, pemecahan protin dan lain-lain. Contohnya penyerapan vitamin B12 memerlukan asid untuk merungkai ikatan vitamin ini dengan protin sebelum ianya boleh bergabung dengan faktor intrinsik sebelum boleh diserap ke aliran darah.


3. Air beralkali boleh berinteraksi dengan banyak jenis ubat yang diambil. Masyarakat kita suka mendapatkan ubat di farmasi dan mengambilnya tanpa nasihat doktor. Mengambil ubat ini dengan air beralkali boleh menyebabkan berlakunya interaksi di antara ubat dan kealkalian air sehingga boleh menghasilkan kompoun yang boleh memudaratkan kesihatan.


4. Beban tambahan kepada buah pinggang. Di antara fungsi buah pinggang adalah menstabilkan nilai pH badan. Pengambilan air beralkali yang berterusan boleh menambah beban buah pinggang sehingga lama kelamaan fungsinya boleh terganggu terutama ke atas orang yang tua.


5. Masalah penghadaman. Ia boleh mengganggu proses penghadaman. Ini disebabkan oleh peningkatan pH yang mendadak walaupun di dalam masa yang singkat. Masalah ini lebih serius jika individu tersebut berusia lebih dari 60 tahun. Salah satu masalah penghadaman akibat dari perubahan ini adalah hipokloridia yang disebabkan oleh masalah penyerapan kalsium. Jika keasidan perut menurun dengan terlalu banyak dan berpanjangan, ia boleh menyebabkan gangguan penyerapan kalsium yang sangat serius sehingga menyebabkan ianya boleh mengancam nyawa pesakit, keadaan ini dinamakan milk alkali syndrom.


6.Kajian ke atas haiwan menunjukkan bahawa pendedahan alkali yang berpanjangan boleh menyebabkan kerosakan sistem kardiovaskular (jantung dan aliran darah)


Walaupun sebahagian kesan-kesan negatif ini ditemui ke atas kajian haiwan tetapi ianya sudah cukup untuk membuat kita berwaspada. 


KESIMPULAN


Kefahaman mengenai keseimbangan asid-alkali di dalam badan manusia perlu dimiliki oleh anda jika anda ingin memahami tajuk yang diperbincangkan di dalam rencana ini. Badan manusia berupaya mengawal pH di dalam darah dan lain-lain tisu serta organ secara semulajadi dan pH yang dikekalkan bergantung kepada organ-organ, ada organ yang perlu lebih berasid dan ada yang perlu lebih beralkali. Tidak tepat mengatakan bahawa anda menjadi lebih berasid apabila mengambil makanan berasid dan menjadi lebih beralkali bila mengambil makanan atau minuman beralkali. Badan anda sentiasa mampu mengekalkan julat pH yang optima untuk fungsi badan melalui sistem kawalan keseimbangan asid-alkali badan yang sangat cekap, tidak kira apa jenis makanan atau minuman yang anda ambil. Apa yang memudaratkan (sangat jarang berlaku) adalah apabila badan anda gagal mengawal keseimbangan asid dan alkali badan  sehingga pH darah anda terlalu berasid dikenali sebagai ASIDOSIS (contoh: komplikasi Diabetes yang tidak terkawal dikenali sebagai “Diabetic ketoacidosis”)  ataupun terlalu beralkali dikenali sebagai ALKALOSIS (contoh: penyakit paru-paru, hiperventilasi dan penyakit hati). Kedua-dua asidosis dan alkalosis memerlukan rawatan intensif di hospital kerana kedua-duanya boleh mengakibatkan kematian.


Daripada apa yang telah diterangkan di atas, jelas bahawa setakat ini belum terdapat bukti saintifik yang kukuh untuk menyokong amalan pengambilan air beralkali untuk tujuan kesihatan. Orang-orang awam perlu berhati-hati apabila didekati individu-individu yang mendakwa pakar kerana ramai pakar-pakar yang mementingkan imbuhan material lebih dari memperjuangkan fakta yg sebenar. Untuk menjaga kesihatan badan, mencegah dari penyakit kronik dan memanjangkan hayat, anda hendaklah mengamalkan gaya hidup sihat, mempunyai berat badan yang unggul, mengurangkan stres, melakukan ujian saringan kesihatan dan melakukan pemeriksaan kesihatan secara berkala. Mengamalkan gaya hidup sihat bermaksud mengambil makanan yang seimbang, mengambil air yang mencukupi (air biasa pun sudah memadai), bersenam, mengamalkan aktiviti seksual yang sihat, tidak merokok, tidak mengambil alkohol, tidak mengambil dadah dan mendapatkan berat badan yang unggul (mengelak dari menjadi obes). Jika anda sudah menghidapi penyakit-penyakit kronik, di samping mengamalkan gaya hidup sihat di atas, dapatkan rawatan dari doktor, ambil ubat secara tetap, jalani rawatan susulan dan lakukan ujian kesihatan yang berkala.


Secara peribadi, saya berpendapat jika anda ingin mengambil air, ambil air yang bersih dari pencemaran, neutral (ataupun sedikit beralkali dgn pH kurang dari 8) dan mempunyai mineral di dalam julat yang dibenarkan. Ciri-ciri air ini ada pada air paip yang dirawat, air telaga atau air mata-air yang bersih (termasuk air zamzam) dan juga air mineral biasa yang harganya RM1 satu botol. Kata kuncinya adalah MENGAMBIL AIR SECUKUPNYA DAN ELAKKAN DARI DEHIDRASI (rujuk di sini bagaimana mengambil air yang mencukupi). Sila baca rencana tulisan saya mengenai alat penapis air di sini. Anda boleh menjimatkan banyak wang anda jika anda menimba ilmu dan faham mengenai air serta bagaimana mengambil air dengan betul.  



Pandangan ini adalah pendapat peribadi dan tidak mewakili mana-mana institusi ataupun pertubuhan.


http://www.wsj.com/articles/SB10001424052702303404704577314182468322256 )

http://www.healthline.com/health/food-nutrition/alkaline-water-benefits-risks#1

http://www.chem1.com/CQ/ionbunk.html 

 http://medlicker.com/926-alkaline-water-dangers#.Vw3UGewyF0h.facebook

No comments:

Post a Comment