Thursday 7 May 2020

KOPI : MANFAAT DAN MUDARAT

Dato' Dr.Mohd Rushdan Md Noor

Pakar Perunding Obstetriks & Ginekologi

Pakar Perunding Ginekologi Onkologi


PENDAHULUAN


Perkataan kopi (“coffee”) ditemui dalam bahasa Inggeris semenjak tahun 1582 diambil daripada perkataan “kahve” iaitu Bahasa Turki. Ada juga yang berpendapat bahawa nama “coffee” itu adalah daripada  perkataan Khat iaitu sejenis pokok yang digunakan sebagai peransang di Yaman dan Etiopia. Terdapat beberapa jenis spesis pokok kopi dan dua spesis yang digunakan dengan meluas untuk tujuan komersial adalah Coffea canephora dan Coffea Arabica.


Kopi adalah salah satu minuman yang paling digemari oleh manusia di seluruh dunia. Air kopi diperbuat daripada penyediaan biji kopi yang merupakan biji kepada pokok kopi yang tumbuh di banyak Negara-negara terutamanya di Afrika. Daripada Afrika ianya diimport ke seluruh dunia dan kini pokok kopi boleh ditemui di banyak negara2 termasuk di Asia Tenggara.


Kopi adalah sedikit berasid dan mempunyai kesan ransangan ke atas manusia kerana mengandungi kafein. Minuman kopi boleh disediakan dengan pelbagai cara seperti espresso, French press, café latte dan lain-lain.


Pada tahun 2015, Dietary Guidelines Advisory Committee, Amerika Syarikat iaitu satu badan yang meneliti bukti saintifik sesuatu fakta yang berkaitan dengan nutrisi telah mengeluarkan lapuran bahawa pengambilan sehingga 5 cawan kopi ataupun sehingga 400 mg kafein tidak menyebabkan masalah kesihatan jangkamasa panjang.


Di dalam lapuran tersebut juga ada menyatakan bahawa mengikut kajian pemerhatian (observational studies), terdapat bukti bahawa pengambilan kopi mengurangkan kadar penyakit diabetes jenis 2, penyakit jantung dan kelainan neurodegenerative.


KANDUNGAN KOPI


Biji kopi dan serbuk kopi mengandungi kafein, lain-lain alkaloid, trigonelline, protin (8-12%), asid amino, lemak (asid palmitik, asid linolik, asid arakidik dan lain-lain) dan karbohidrat (polysaccharides, 50% daripada berat kering). Kafein adalah sejenis alkaloid yang berperanan menghalang serangga dan haiwan daripada memakannya. Kandungan kafein adalah 1% hingga 2.5% daripada berat kering biji kopi. Kafein adalah dikategorikan sebagai peransang system saraf pusat (mengurangkan keletihan dan mengantuk) daripada kelas methylxanthine. Walaupun ianya dianggap ubat psikoaktif, kafein tidak terikat dengan sebarang langkah kawalan dan undang-undang. Kandungan kafein di dalam secawan kopi bergantung kepada  jenis biji kopi dan bagaimana ianya disediakan. Satu cawan kopi mengandungi di antara 80-175 mg kafein. FDA mengklasifikasikan kafein sebagai bahan yang umumnya selamat (generally recognized as safe”). Dos toksik kepada manusia adalah lebih daripada 10 gram sehari. Lain-lain bahan yang terdapat di dalam kopi (berkepekatan rendah) adalah theophylline, theobromine, paraxanthine, libertine dan methylliberine. Trigonelline adalah salah satu bahan yang terhasil daripada vitamin B6 berkepekatan di antara 0.6% hingga 1.0%. Pada suhu tinggi, trigonelline akan dipecahkan kepada asid nicotinic. Kopi juga mengandungi asid Chlorogenic iaitu ahli di dalam kumpulan asid fenolik, sejenis antioksidan. Dikatakan bahawa kekuatan antioksidan asid Chlorogenic ini adalah lebih tinggi daripada vitamin C.


BUKTI MANFAAT KOPI


Pada tahun 2012 satu kertas kajian telah disiarkan di dalam New England Journal of Medicine yang melapurkan kajian terhadap 400,000 orang. Kajian itu menunjukkan bahawa pengambilan kopi menurunkan sebanyak 10% kematian akibat daripada pelbagai punca selepas 13 tahun siasatan dijalankan (1). Manakala satu penyiasatan besar (meta-analysis) telah disiarkan di dalam American Journal of Epidemiology di dalam tahun 2014 yang melapurkan penurunan kadar  kadar kematian akibat daripada semua penyebab termasuk penyakit jantung dalam kalangan orang ramai yang mengambil 3 hingga 4 cawan kopi sehari. Walau pun banyak kajian-kajian ini bersifat pemerhatian (observational study), disebabkan oleh banyak yang menunjukkan keputusan yang positif maka ahli sains tidak menolak kenyataan bahawa kopi mempunyai kesan manfaat kepada kesihatan manusia (2).


KOPI DAN PENYAKIT JANTUNG


Memang diketahui bahawa kafein boleh meningkatkan sedikit tekanan darah tetapi pada tempoh masa yang singkat. Walau bagaimanapun apabila mengambil kafein di dalam bentuk kopi, kesan tekanan darah itu diimbangi oleh kesan manfaat yang lain. Contohnya kandungan antioksidan di dalam biji kopi mengurangkan oksidasi LDL dan mengurangkan keradangan (3,4). Terdapat juga tanda-tanda pengambilan kopi dengan pengurangan kadar penyakit jantung koronari dan pencegah kegagalan jantung (2 cawan sehari) (5). Walaupun pada asalnya pengambilan kafein dikata boleh mengganggu denyutan nadi jantung tetapi ianya tidak disokong oleh kajian.


KOPI DAN PENYAKIT SALURAN DARAH OTAK SERTA ANGIN AHMAR


Menurut kajian meta analisis yang dijalankan pada tahun 2011, pengambilan di antara satu hingga 6 cawan kopi sehari mengurangkan kadar serangan angin ahmar sebanyak 17% (6). Malahan ada juga kajian lain yang memberi angka yang lebih besar iaitu di antara 22%-25% apabila penilaian dilakukan selepas 10 tahun (7). Kajian ke atas 80,000 orang dewasa Jepun selama 13 tahun menunjukkan bahawa pengambilan kopi mengurangkan kadar kejadian angin ahmar sebanyak 20%.


KOPI DAN DIABETES


Terdapat banyak kajian yang menunjukkan bahawa pengambilan kopi memperbaiki metabolisma glukos, penghasilan insulin dan juga mengurangkan risiko menghidap diabetes. Kajian terkini juga menyebut bahawa pengambilan kopi mengurangkan risiko sebanyak 50%  untuk menghidap diabetes (8). Terdapat juga pakar yang percaya kandungan asid chlorogenic di dalam kopi mempunyai ciri-ciri antioksidan dan mengurangkan penyerapan glukos (9). Juga hasil daripada kajian pemerhatian.


KOPI DAN KANSER


Pengambilan kopi tidak meningkatkan risiko menghidap kanser jadi pesakit kanser tidak perlu risau untuk mengambil kopi. Tetapi kandungan asid di dalam kopi mungkin boleh meningkatkan kesan sampingan ke atas selapus usus pesakit yang menerima rawatan kemoterapi. Jadi kopi tidak digalakkan ke atas pesakit kanser yang sedang menerima rawatan. Walau bagaimanapun, terdapat bukti yang belum dapat disahkan bahawa kopi mengandungi  bahan2 antimutagenik yang dapat mengurangkan risiko kanser rahim, prostat, tekak, leher dan kulit (3-4 cawan sehari). (10,11,12). Jadi kopi tidak meningkatkan risiko seseorang menghidap kanser sebaliknya mempunyai kesan pencegahan. Rujuk di pautan ini untuk membaca lebih lanjut tentang kopi dan kanser.

https://www.minda2tinta.com/2020/05/adakah-kopi-boleh-menyebabkan-kanser.html


KOPI DAN KESAN KEATAS PROSES DEGENERATIF SARAF


Terdapat kajian yang mengaitkan minum kopi sebanyak 3-5 cawan sehari dengan kesan positif ke atas ingatan dan kesihatan kognitif. Terdapat juga kesan positif yang belum dapat disahkan ke atas pesakit dementia dan Parkinson’s. (13,14)


KOPI DAN KEMURUNGAN


Kajian pada tahun 2011 menunjukkan bahawa pengambilan kopi mungkin mempunyai manfaat kepada kesihatan mental. Wanita yang mengambil dua hingga empat cawan kopi sehari mempunyai 15%-20% lebih rendah risiko untuk mengalami kemurungan. (15)


KOPI DAN LAIN-LAIN PENYAKIT


Kajian di dalam tahun 2012-2014 melapurkan bahawa pengambilan kopi mengurangkan risiko “fatty liver” dan “liver fibrosis” (yang sudah mengalami fatty liver) yang bukan disebabkan oleh alcohol.


Terdapat bukti yang belum dapat disahkan bahawa pengambilan kopi mengurangkan risiko sindrom kering mata (dry-eye syndrome), mengurangkan  risiko penyakit gout dan mencegah jangkitan penyakit.


RISIKO PENGAMBILAN KOPI


Pengambilan kopi yang berlebihan boleh meningkatkan tekanan darah untuk jangkamasa yang lebih panjang dan boleh memudaratkan. Kopi boleh menyebabkan seseorang yang sudah menghidap masalah kerisauan (anxiety) bertambah serius, begitu juga seseorang yang sukar tidur (insomnia) dan gemuruh ataupun mengalami masalah mengeletar (tremor), kopi boleh meningkatkan gejala2 ini. Seseorang yang ketagihan kopi boleh mengalami gejala withdrawal jika mereka berhenti mengambil kopi. Kopi yang dicampurkan dengan gula yang banyak akan mengurangkan manfaat kopi sebaliknya boleh memudaratkan kesihatan. Kopi juga akan menjadi mudarat jika dicampurkan dengan bahan-bahan lain seperti herba, tongkat ali, ubat dan lain-lain bahan (kopi pra-campuran). Pengguna perlu pandai memilih kopi yang tulin daripada mengambil kopi yang tidak tulin dan sudah dicampurkan dengan bahan-bahan lain. Kopi yang diambil dalam kuantiti yang berlebihan juga boleh memudaratkan, meminum kopi sebanyak 2 cawan sehari dianggap selamat.


KESIMPULAN


Terdapat semakin banyak bukti manfaat mengambil kopi di atas kesihatan fizikal dan mental manusia walaupun kajian-kajian tersebut kebanyakannya adalah kajian pemerhatian (observational). Kesan positif ke atas kesihatan itu diperolehi jika pengambilan kopi dilakukan dengan sederhana, paling selamat adalah 2 cawan sehari. Kopi akan memudaratkan jika diambil berlebihan ataupun dicampurkan dengan bahan-bahan lain seperti gula yang banyak, susu pekat, tongkat ali, bahan-bahan herba yang tidak diketahui kandungannya dan ubat-ubatan untuk tujuan komersial. Pengamal-pengamal kopi juga perlu sedar tentang beberapa kesan sampingan kopi seperti meningkatnya gejala gementar, kesukaran untuk tidur dan tangan mengeletar (tremor). Kajian lanjut yang lebih besar perlu dilakukan bagi mengesahkan manfaat dan mudarat yang diperolehi daripada amalan meminum kopi. Di samping itu, mengharapkan kesihatan yang sempurna hanya dengan meminum kopi adalah tindakan yang tidak betul kerana untuk mendapatkan kesihatan yang optima seseorang hendaklah mengamalkan gaya hidup sihat, tidak merokok, tidak minum alkohol, mengambil makanan yang seimbang serta berkualiti dan mengelak daripada kegemukan.


RUJUKAN


1.   Freedman ND, Park Y, Abnet CC, et al. Association of coffee drinking with total and cause-specific mortality. N Engl J Med. 2012;366:1891-1904

2.   Crippa A, Discacciati A, Larsson SC, Wolk A, Orsini N. Coffee consumption and mortality from all causes, cardiovascular disease, and cancer: a dose-response meta-analysis. Am J Epidemiol. 2014;180:763-775.

3.   Larsson SC, Orsini N. Coffee consumption and risk of stroke: a dose-response meta-analysis of prospective studies. Am J Epidemiol. 2011;174:993-1001

4.   Wu JN, Ho SC, Zhou C, et al. Coffee consumption and risk of coronary heart diseases: a meta-analysis of 21 prospective cohort studies. Int J Cardiol. 2009;137:216-225

5.   Mostofsky E, Rice MS, Levitan EB, Mittleman MA. Habitual coffee consumption and risk of heart failure: a dose response meta-analysis. Circ Heart Fail. 2012;DOI:10.1161/CIRCHEARTFAILURE.112.967299. http://circheartfailure.ahajournals.org Accessed August 6, 2015.

6.   Larsson SC, Orsini N. Coffee consumption and risk of stroke: a dose-response meta-analysis of prospective studies. Am J Epidemiol. 2011;174:993-1001

7.   Larsson SC, Virtamo J, Wolk A. Coffee consumption and risk of stroke in women. Stroke. 2011;42:908-912

8.   Koloverou E, Panagiotako DB, Pitsavos C, et al. The evaluation of inflammatory and oxidative stress biomarkers on coffee–diabetes association: results from the 10-year follow-up of the ATTICA Study (2002–2012). Eur J Clin Nutr. 2015 Jul 1.

9.   Vinson JA, Burnham B, Nagendran MV, et al. Randomized double-blind placebo-controlled crossover study to evaluate the efficacy and safety of a green coffee bean extract in overweight subjects. Program and abstracts of the 243rd American Chemical Society National Meeting and Exposition; March 25-29, 2012; San Diego, California. Abstract 92

10.Je Y, Hankison SE, Tworoger SS, et al. A prospective cohort study of coffee consumption and risk of endometrial cancer over a 26-year follow-up. Cancer Epidemiol Biomarkers Prev. 2011;20:1-9

11. Wilson KM, Kasperzyk JL, Rider JR, et al. Coffee consumption and prostate cancer risk and progression in the Health Professionals Follow-up Study. J Natl Cancer Inst. 2011;8;103:876-884

12.Turati F, Galeone C, La Vecchia C, et al. Coffee and cancers of the upper digestive and respiratory tracts: meta-analyses of observational studies. Ann Oncol. 2011;22:536-544.

13. Cao C, Loewenstein DA, Lin X, et al. High blood caffeine levels in MCI linked to lack of progression to dementia. J Alzheimer Dis. 2012;30:559-572.

14.  Ross W, Duda J, Abbott R, et al. Association of coffee caffeine consumption with brain Lewy pathology in the Honolulu-Asia Aging Study. Program and abstracts of the 64th Annual Meeting of the American Academy of Neurology; April 21-28, 2012; New Orleans, Louisiana. Abstract S42.005

15. Brooks M. Sweetened drinks may boost depression, coffee reduces it. Medscape Medical News. January 9, 2013. http://www.medscape.com/viewarticle/777356 Accessed August 17, 2015


RENCANA INI ADALAH PANDANGAN PERIBADI PENULIS DAN TIDAK MEWAKILI MANA-MANA INSTITUSI ATAUPUN PERTUBUHAN. TIDAK DIBENARKAN MENGAMBIL MANA2 BAHAGIAN RENCANA INI TANPA KEBENARAN PENULIS.

No comments:

Post a Comment