Friday 8 May 2020

TANDA-TANDA DI HUJUNG NYAWA


Kematian adalah satu kepastian. Tidak ada sesiapa yang tahu bagaimana dan bila saat kematiannya.Di dalam perubatan, fasa di hujung nyawa ataupun nazak dikenali sebagai End Of Life Phase. Pada pandangan akal manusia, apabila disebut nazak maka ianya adalah perjalanan terakhir seseorang sebelum bertemu kematian. Pakar perubatan mengkaji tanda-tanda dan gejala2 seseorang yang sudah memasuki fasa di hujung nyawa (“end of life phase”).

Berikut adalah beberapa tanda dan gejala yang menunjukkan seseorang pesakit itu sudah berada dalam fasa di hujung nyawa:

1. Keletihan yang melampau sehingga tidak mampu untuk bangun dan sepanjang masa dihabiskan di atas katil. Air kencing berkurangan dan hilang kawalan membuang air kecil dan air besar.

2. Separa sedar, kemudian menjadi keliru, mungkin meracau dan akhirnya tidak sedar.

3. Hilang selera makan, tidak dapat menelan ubat, mungkin dapat menelan sedikit titisan air tetapi seringkali tersedak.

4. Pernafasan berbunyi seperti getaran ("rattling sound") dan berdeguk-deguk (“gurgling sound”). Dikenali sebagai “death rattle”.

5. Perubahan di dalam pernafasan, kadangkala terhenti dan mengalami pernafasan mandibular (mandibular breathing). Pernafasan mandibular adalah apabila pesakit membuka dagu yang luas secara mendadak dan ditutup, berulang kali, juga dikenali sebagai tercungap-cungap (“gasping”).

6.Tekanan darah dan oksigen dalam darah menurun, jari kaki tangan menjadi biru dan nadi pada pergelangan tangan tidak dapat dikesan/tidak berdenyut (“pulseless”).

Mengikut kajian, purata jangkahayat seseorang yang mengalami “death rattle” adalah 57 jam, pernafasan mandibular (7.6 jam), jari-kaki tangan menjadi biru (5.1 jam) dan nadi pergelangan tangan (radial pulse) tidak berdenyut (2.6 jam).

Fakta-fakta di atas adalah berdasarkan kepada kajian dan pengalaman manusia, tidak semestinya tepat dan ada tanda2 ataupun gejala2 ini disebabkan oleh faktor2 yang boleh dipulihkan. Melalui pemeriksaan dan ujian yang dilakukan oleh doktor, mereka boleh membuat telahan yang lebih tepat berbanding dgn org yang tidak terlatih. Tetapi kesilapan boleh berlaku. Petanda2 di hujung nyawa ini perlu dikenalpasti supaya pihak doktor dan ahli keluarga dapat berbincang mengenai bagaimana merawat pesakit supaya pesakit lebih selesa semasa perjalanan terakhirnya. Sebarang prosedur dan rawatan mungkin lebih menyeksakan daripada memberi apa2 manfaat kepada pesakit. Kadangkala tidak melakukan sesuatu itu adalah perkara yang lebih baik dilakukan, pengamal perubatan menggunakan istilah DNR ("Do Not Resuscitate").

Dato' Dr Rushdan Noor
27hb Nov 2019

No comments:

Post a Comment