Kopi adalah minuman yang paling digemari oleh manusia, dikatakan setiap hari sejumlah 2.25 bilion cawan kopi diminum oleh manusia di seluruh dunia. Sekarang ini sedang hangat diperkatakan tentang kopi dan risiko lebih tinggi menghidap kanser. Apakah dakwaan ini benar? Berikut adalah beberapa fakta mengenai kopi dan penyakit kanser.
1. Setakat ini belum ada bukti kukuh bahawa meminum kopi meningkatkan risiko menghidap kanser. Malahan terdapat kajian yang menunjukkan bahawa kopi boleh mengurangkan risiko menghidap beberapa jenis kanser seperti kanser rahim, kanser hati , kanser mulut dan kanser prostat. Beberapa kajian meta-analisis telah mendapati bahawa meminum kopi pada kadar 1-2 cawan sehari tidak meningkatkan risiko penyakit kanser keseluruhannya. Jika pun ada data yang menunjukkan ujudnya kaitan dengan risiko menghidap kanser, ianya lebih tertumpu kepada peminum yang mempunyai tabiat lain seperti merokok (orang yang ketagih rokok selalunya juga ketagih kopi), kegemukan dan lain-lain, mungkin faktor inilah yang bertanggungjawab meningkatkan risiko menghidap kanser. Lain-lain jenis kanser tidak mempunyai kaitan yang konsisten dengan pengambilan kopi(1). Terdapat meta-analisis yang menilai 59 kajian kohot mendapati risiko keseluruhan menghidap kanser lebih rendah dalam kalangan peminum kopi, di mana risiko kanser menurun sebanyak 3% untuk setiap cawan kopi yang diminum setiap hari (2).
2. Titik tolak bermulanya berita heboh mengaitkan minum kopi dengan risiko kanser adalah kes yang dibicarakan di mahkamah di California di mana Hakim menyebelahi Council of Education and Research on Toxics (CERT) menyaman beberapa syarikat penjual kopi terkemuka dunia kerana tidak meletakkan tanda amaran risiko kanser pada produk mereka termasuk kopi yang dikaitkan dengan keujudan sejenis sebatian kimia yang dikenali sebagai Acrylamide (3). Maka punca asal mengaitkan kopi dengan kanser adalah satu sebatian kimia yang bernama Acrylamide yang terhasil semasa proses penyediaan kopi. Sebenarnya isu ini bukan hanya tertumpu kepada kopi tetapi juga minuman dan makanan lain yang berkaitan.
3. Kopi dan Acrylamide bukanlah benda yang sama kerana sebatian kimia ini boleh ditemui di dalam banyak lagi jenis makanan. Tambahan pula bahan ini hanya terhasil apabila manusia memproses bahan makanan dengan teknik2 tertentu. Sebenarnya makanan dan asap rokok adalah 2 sumber paling utama Acrylamide. Makanan yang menjadi sumber utama Acrylamide kepada manusia adalah makanan berkanji (bersumberkan kentang) yang diproses termasuk kentang goreng dan kerepek kentang. Malahan Acrylamide juga terdapat di dalam roti bakar, cookies, bijirin, biskut, jus prun dan lain-lain makanan segera. Kandungan Acrylamide di dalam makanan bergantung kepada tempoh pemanasan dan proses memasak. Ia terbentuk apabila makanan berkanji dipanaskan pada suhu melebihi 120 darjah celcius, dipercayai akibat tindakbalas gula dan sejenis asid amino dikenali sebagai Asparagine. Kajian menunjukkan bahawa mengurangkan masa memasak, tidak menjadikan makanan terlalu garing dan tidak menyimpan kentang di dalam peti sejuk mengurangkan kandungan Acrylamide (4). Asap rokok adalah punca pendedahan Acrylamide yang paling utama kepada manusia berbanding dengan makanan dan kopi. Kandungan Acrylamide di dalam kopi terhasil akibat pemanasan keterlaluan dalam jangkamasa panjang ("roasted coffee bean"). Di samping itu, penghasilan bahan ini tidak terhad kepada kopi sahaja, tetapi juga minuman alternatif kopi (“coffee substitute”) yang lain.
4. Kaitan antara Acrylamide dan kanser sebenarnya hanya ditemui di dalam KAJIAN KE ATAS TIKUS di dalam makmal. Itupun dengan menggunakan Acrylamide tulin yang diekstrak daripada sumber aslinya. Apabila Acrylamide masuk ke dalam badan tikus ianya akan ditukarkan kepada sejenis kompoun yang dinamakan glycidamide yang dikatakan boleh menyebabkan mutasi kepada DNA. Walau bagaimanapun banyak kajian epidemiologi yang besar ke atas manusia belum lagi menemui kaitan antara pengambilan makanan dan kopi yang mengandungi Acrylamide dengan mana-mana jenis kanser. Ini mungkin disebabkan tindakbalas badan manusia terhadap Acrylamide berbeza dengan tikus(5). Di samping itu manusia mengambil sumber asal yang mengandungi banyak lagi bahan-bahan yang ada diantaranya bermanfaat kepada kesihatan, bukan hanya Acrylamide. IARC* mengklasifikasikan Acrylamide sebagai “probable human carcinogen” BERDASARKAN KAJIAN KE ATAS HAIWAN.
Sukar untuk mengurangkan kandungan Acrylamide di dalam makanan kerana kebanyakannya adalah makanan ruji dan diamalkan oleh ramai penduduk dunia. FDA ada menyarankan beberapa langkah berkaitan dengan diet untuk mengurangkan kesan Acrylamide seperti mengambil lebih sayuran,susu, ikan, telur, kacang dan makanan yang rendah lemak tepu, kurang lemak trans dan kurang gula. Kaedah memasak yang betul juga dapat mengurangkan Acrylamide. Memasak kentang dengan kaedah memanggang menghasilkan kurang Acrylamide berbanding dengan menggoreng. Merebus dan menggunakan ketuhar gelombang mikro dengan tidak membuang kulit kentang boleh mencegah penghasilan Acrylamide. Roti yang dibakar di dalam toaster dalam jangkamasa panjang sehingga menjadi warna perang gelap mengandungi lebih Acrylamide berbanding dengan warna yang lebih cerah. Kopi yang tidak digoreng kering (“roasted”) terlalu lama mengandungi kurang Acrylamide. Semakin lama kopi digoreng (roasted), warnanya menjadi semakin hitam. Bertentangan dengan tanggapan orang ramai, sebenarnya kandungan kafein di dalam kopi berkurangan apabila digoreng dalam masa yang lebih panjang.
5. Tidak ada mana-mana pertubuhan kanser antarabangsa yang mengesahkan adanya kaitan rapat antara kopi dan risiko menghidap kanser. Kopi mengandungi banyak manfaat-manfaat lain yang memberi kesan net yang positif kepada kesihatan badan keseluruhannya. Kopi yang diambil secara sederhana mempunyai banyak manfaat kepada kesihatan seperti mengurangkan risiko angina ahmar, boleh mengawal gula darah dengan lebih baik ke atas penghidap diabetes, kesan positif ke atas kognitif, mengurangkan gejala kemurungan, mengurangkan kerosakan hati dan terdapat kajian epidemiologi yang menunjukkan kopi menurunkan kadar kematian akibat semua jenis penyakit. Pendek kata lebih banyak manfaat daripada mudarat jika kopi diambil pada kadar yang disyorkan (1-2 cawan sehari) (6).
6. KESIMPULANNYA, teruskan kegemaran anda meminum kopi yang tulin pada kadar yang disyorkan kerana kopi mempunyai banyak manfaat kesihatan. Tidak ada bukti kukuh yang mengaitkan kopi dengan risiko lebih tinggi menghidap kanser. Malahan terdapat bukti yang menunjukkan meminum kopi mengurangkan risiko menghidap beberapa jenis kanser. Walau bagaimanapun, kopi yang diambil dalam kuantiti yang tinggi, dengan campuran gula yang banyak dan kopi pracampuran yang mengandungi pelbagai ramuan akan memudaratkan kesihatan anda disebabkan oleh ramuan tambahan tersebut. Sebenarnya gaya hidup yang lebih penting untuk kesihatan adalah jangan merokok, jangan minum alkohol, ambil makanan yang seimbang, kurang pengambilan gula dan lemak trans, banyakkan buah2an serta sayuran dan lakukan senaman yang tetap.
*IARC : International Agency Research In Cancer
Dato’ Dr.Mohd Rushdan Md Noor
Pakar Perunding Ginekologi Onkologi
Kementerian Kesihatan Malaysia
Ahli Medical Mythbuster Malaysia
https://www.facebook.com/rushdan.noor
RUJUKAN
1. Alicandro G, Tavani A, La Vecchia C. Coffee and cancer risk: a summary overview. Eur J Cancer Prev. 2017, 26(5):424-432)
2. Yu X, Bao Z, Zou J, Dong J. Coffee consumption and risk of cancers: a meta-analysis of cohort studies. BMC Cancer, 2011;11:96 doi: 10.1186/1471-2407-11-96
3. https://oag.ca.gov/
…/files/…/settlements/2010-00692S3278.pdf
4. https://www.cancer.gov/
…/c…/risk/diet/acrylamide-fact-sheet…
5. https://www.cancer.gov/
…/c…/risk/diet/acrylamide-fact-sheet…
6. https://www.cancer.org/
…/coffee-and-cancer-what-the-researc…
No comments:
Post a Comment