Sudah sekian lama negara kita dilanda satu fenomena yang saya namakan Penyakit Melabel. Melabel ini adalah tindakan menuduh seseorang menganuti sesuatu jenis fahaman atau ideologi yang majoritinya berkaitan dengan agama. Mereka yang dilabelkan ini akan digelar dengan nama ideologi itu. Ada yang melabel seseorang dengan gelaran yang baik, tetapi nampaknya lebih ramai yang melabel seseorang dengan label yang negatif. Saya akan sentuh hanya label yang paling kerap digunakan khususnya yang berkaitan dengan agama kerana pada pendapat saya, ini adalah salah satu punca perpecahan umat Islam di negara kita.
Sebenarnya banyak jenis label yang wujud di negara kita dan saya dapati ada beberapa jenis label yang paling kerap digunakan, di antaranya adalah Wahabi, Syiah dan Liberal. Ketiga-tiga label ini mempunyai kaitan dengan agama dan menyentuh isu aqidah.
Saya menulis status ini sebagai salah seorang rakyat biasa yang bukan pakar di dalam bidang agama tetapi melihat fenomena ini sebagai serius kepada perpaduan umat Islam dan imej agama kita. Saya tidak mahu mengulas tentang maksud label-label tersebut kerana tidak layak walaupun saya membaca dan mengikuti ceramah-ceramah mengenainya. Saya cuma ingin menyatakan bahawa apabila saya membaca makna label-label tersebut, saya dapati ianya ditafsirkan di dalam banyak versi, hatta wujud perbezaan pendapat dalam kalangan agamawan itu sendiri. Tafsiran serta makna label-label ini mungkin lebih jelas kepada agamawan, tetapi bagaimanakah kefahaman yang sama ini dapat diturunkan kepada orang awam seperti saya. Bagaimana jika orang awam tersalah faham dan apa pula akibatnya jika pakar itu sendiri melakukan kesilapan? Saya bimbang akibat daripada budaya ini, kita asyik melabel orang lain sehingga boleh berlaku kesilapan melabel dan bertukar menjadi fitnah.
Saya melihat bahawa media sosial sedang digunakan sebagai satu alat oleh sebahagian agamawan untuk memberi pendapat mengenai ancaman ideologi-ideologi ini samada di dalam bentuk tulisan ataupun video. Ramai pula ustaz-ustaz yang menggunakan platform surau dan masjid untuk menyuburkan penyakit melabel ini. Ini adalah satu contoh penyalahgunaan surau dan masjid yang sangat jelas. Menulis atau bercakap tentang maksud ideologi itu tidak salah jika yang melakukannya layak, tetapi menulis ataupun berceramah dengan niat menempelkan label tertentu kepada pihak lain adalah sangat serius . Apabila melabel seseorang individu ataupun kelompok, ianya sama seperti menuduh, tuduhan itu boleh jadi benar dan boleh jadi tidak benar. Fitnah yang disebarkan melalui media sosial memang sukar untuk dibendung dan ditarikbalik, ia akan kekal untuk jangkamasa yang panjang.
Apabila label-label itu mempunyai penafsiran yang berbeza dalam kalangan ilmuan agama, risiko untuk tersilap melabel adalah tinggi. Melabel juga dilakukan berasaskan kepada tingkahlaku luaran seseorang yang juga terdedah kepada kesilapan dan buruk sangka. Pendek kata, suka melabel ini membawa risiko fitnah yang tinggi. Jika guru boleh tersilap melabel, apatah lagi pengikut-pengikutnya.
Ada juga yang melabel sesatu kumpulan ataupun institusi secara pukal sehingga sesiapa sahaja di dalamnya akan dianggap mempunyai ideologi yang sama. Keadaan menjadi bertambah sulit apabila diwujudkan pula istilah PRO kepada label yang sedia ada contohnya PRO-WAHABI, PRO-LIBERALISME, PRO-SYIAH dan lain-lain. Dengan adanya tambahan kepada label-label ini maka bertambahlah kekeliruan dan kesilapan melabel.
Inilah agaknya alasan mengapa ramai agamawan yang lebih matang mengambil sikap mendiamkan diri dan tidak membincangkan isu-isu ini secara terbuka. Sikap suka melabel lebih banyak membawa keburukan daripada kebaikan. Apabila guru melabel, pengikut-pengikutnya pun melakukan perkara yang sama. Pada pandangan saya, sikap suka melabel ini adalah jarum suntikan penyakit fitnah yang akan menjadi wabak di dalam masyarakat dan negara kita. Ia tidak menguntungkan sesiapa selain daripada pihak musuh. Pendakwah2 perlu menumpukan perhatian menyampaikan ilmu yang betul kepada pengikut dan tidak asyik menyerang peribadi pendakwah lain. Melabel dijadikan senjata untuk mencemar imej dan menjatuhkan orang lain. Alangkah kejinya perbuatan ini.
Saya bersetuju bahawa kita tidak boleh mengambil ringan tentang ancaman ideologi-ideologi ini, tetapi di dalam menanganinya perlu ada pendekatan yang bijak dan tidak menjadi seperti TIKUS MEMBAIKI LABU. Isu ini perlu dibincangkan dalam kalangan agamawan terpilih dengan diterajui oleh pihak berkuasa agama yang tertinggi di negara kita. Biarlah mereka yang berada pada kedudukan ini sahaja diberikan kelayakan untuk mengeluarkan kenyataan, fatwa dan menguatkuasa peraturan yang berkaitan. Ia juga memerlukan komitmen yang tinggi daripada pemimpin politik. Semua jemaah Islam dan pendakwah-pendakwah perlu bersatu dan berkomunikasi dengan baik di antara satu sama lain. Perpecahan anda tidak membawa kebaikan kepada agama dan orang melayu di negara ini. Perpecahan anda juga akan menjatuhkan imej Islam di mata orang bukan Islam. Jangan hairan jika nanti ramai orang Islam sendiri yang meluat melihat tingkah-laku anda dan perlahan-lahan menjauhkan diri dari agama. Sikap mencela, menghina, merendah-rendahkan dan melabel orang lain bukanlah kaedah dakwah yang berkesan sebaliknya akan menjauhkan lagi golongan sasaran daripada kebenaran. Nampaknya kita berdepan dengan satu lagi ancaman budaya songsang yang dikenali sebagai LABELISMA.
Hayatilah pesanan Nabi junjungan kita di bawah:
Dato'Dr Rushdan Noor
2hb Julai 2018
No comments:
Post a Comment