Proses kejadian kanser sangat kompleks, bukan semudah 1+1 jadi 2. Ada banyak faktor yang perlu berinteraksi di antara satu sama lain sebelum sel bertukar menjadi kanser. Ada kanser yang diketahui puncanya dan banyak kanser yang tidak diketahui puncanya. Bahan2 yang dikaitkan dengan kejadian kanser dikenali sebagai karsinogen. Mungkin ramai yang tidak sedar bahawa kita di kelilingi oleh terlalu banyak karsinogen sehinggakan udara yang kita sedutpun mengandungi bahan-bahan ini. Begitu juga makanan dan minuman yang diambil setiap hari dan jika dikaji sebatian kimia di dalamnya, pasti akan ditemui adanya ciri2 karsinogen. Hatta cahaya matahari yang menghidupkan makhluk di dunia ini pun mengandungi radiasi yang boleh menyebabkan kanser iaitu sinaran ultraunggu. Tanah yang didiami manusia mungkin mengandungi bahan radioaktif seperti gas rodon yg boleh masuk ke dalam kediaman mereka. Kesimpulannya tidak ada makanan, udara dan tempat tinggal yang selamat kepada manusia di dunia ini jika manusia terlalu terperinci dan obses.
Walaupun manusia sentiasa diancam oleh faktor2 yang meningkatkan risiko kanser, Tuhan menjadikan tubuh mereka dengan keupayaan yang sangat tinggi untuk memulihkan sel dan mencegah kanser secara semulajadi. Manusia juga boleh melakukan ikhtiar dengan gayahidup yang sihat dan tabiat pemakanan yang betul untuk meningkatkan kemampuan badan mencegah kanser. Pendek kata di dalam kehidupan manusia ujud pertembungan di antara faktor yang meningkatkan risiko dan faktor yang menurunkan risiko kanser. Kesan akhir ke atas tubuh bergantung kepada hasil net ataupun faktor manakah yang lebih berat timbangannya. Sangat sukar untuk mengetahui apakah hasil net tersebut kerana tidak ada kayu ukur yang tepat, ianya hanya dapat diketahui apabila manusia sudah menghidap kanser. Itupun setelah melalui banyak peringkat kelainan sel dan kerosakan genetik yang mengambil masa panjang.
Justeru, kanser bukan hanya isu karsinogen semata2 tetapi jauh lebih luas daripada itu. Ia melibatkan faktor sampingan ("co-factor") dan juga kelainan genetik. Hatta jika kita bincang isu karsinogen sahaja, terlalu panjang untuk ditulis. IARC membahagikan karsinogen kepada 5 kumpulan dan setakat ini terdapat lebih 1000 unsur atau sebatian kimia yang dimasukkan ke dalam klasifikasi ini. Kebanyakannya mempunyai kaitan yang lemah dan ada yang kesannya hanya ditemui ke atas haiwan. Maklumat dan proses mengkategorikan bahan2 karsinogen ini dilakukan melalui semakan terhadap kajian2 yang disiarkan di dalam jurnal, samada kajian ke atas haiwan, manusia ataupun kajian epidemiologikal. Sememangnya proses ini tidak terlepas daripada kesilapan dan lapuran berat sebelah.
Anda boleh menurunkan risiko menghidap kanser jika anda meningkatkan faktor-faktor pencegah kanser di dalam diri anda berbanding dengan faktor-faktor yang meningkatkan risiko kanser. Di antara usaha-usaha tersebut adalah menurunkan berat badan, melakukan senaman yang tetap, mengambil banyak sayuran serta buah2an, tidak merokok, tidak minum alkohol, mengurangkan pengambilan makanan yang mengandungi karsinogen, mengurangkan pendedahan cahaya matahari, melakukan ujian saringan dan lain-lain. Menurunkan risiko tidak bermaksud boleh menghapuskan risiko sepenuhnya, walaupun segala usaha dilakukan, anda masih boleh diserang penyakit kanser kerana satu pertiga kanser yang wujud pada hari ini masih tidak ada kaedah pencegahan yang berkesan disebabkan oleh pengetahuan manusia yang belum mencukupi.
Dato' Dr.Mohd Rushdan Md Noor
https://monographs.iarc.fr/agents-classified-by-the-iarc/
No comments:
Post a Comment