Thursday, 7 May 2020

AIR DAN KEHIDUPAN

Dato' Dr.Mohd Rushdan Md Noor

MD,MOG(UKM),Fellow GO(S'pore),AM



Air adalah cecair yang lut sinar dibina dari molekul H2O di mana setiap molekul air mengandungi 2 atom hydrogen dan satu atom oksigen. Air mempunyai suhu didih pada 100 0C ataupun 212 0F. Air mempunyai titik lebur/cair ("melting point") pada 0 0 (320F). Air adalah kompoun yang paling banyak di permukaan bumi meliputi 70% daripadanya. Walau bagaimanapun, jika dikira keseluruhan isipadu bumi, air hanya meliputi 0.07% dari jisim bumi ataupun 0.4% dari isipadu bumi.  Air boleh wujud di dalam tiga keadaan iaitu bekucecair dan gas. Pada keadaan semulajadi, air wujud dalam bentuk cecair. Pada suhu bilik, air tidak mempunyai warna dengan sedikit kebiruan, tidak berbau dan tidak mempunyai rasa. Apa yang menarik mengenai air adalah ianya boleh melarutkan banyak bahan sehingga ianya dikenali sebagai bahan pelarut universal. Air juga satu-satunya bahan yang wujud di dalam tiga bentuk (beku, cecair dan gas) dalam keadaan semulajadi. Perkataan air merujuk kepada bentuk cecair, manakala apabila air membeku ia dikenali sebagai ais dan apabila menjadi gas air dikenali sebagai wap. Terdapat satu lagi bentuk air yang jarang ditemui dikenali sebagai cecair supercritical (“supercritical fluid”) di mana air mencapai suhu kritikal (647 Kelvin (1 0C =274 kelvin) pada tekanan kritikal (22 MPa). Pada suhu dan tekanan kritikal itu fasa cecair dan gas air akan bercantum menjadi fasa cecair yang serata (homogenous), bentuk cecair superkritikal ini memiliki kedua-dua ciri cecair dan gas. Contoh cecair superkritikal ini adalah apabila air laut di tempat yang dalam dipanaskan oleh larva gunung berapi sehingga mencapai suhu kritikal dan pada tekanan yang kritikal dihasilkan oleh kedalaman lautan. Dikatakan cecair superkritikal ini dibentuk pada kedalaman 2.25 km atau lebih apabila bertemu dengan cecair gunung berapi yang panas.


Air di lautan berupaya menyerap haba 1000 kali lebih berkesan dari udara di atmosfera, jadi air penting di dalam mengawal kepanasan global.


Air yang tulin mempunyai pH di sekitar 7 iaitu neutral. Air laut mempunyai pH yang lebih alkali iaitu 7.5-8.4. Air mentah mempunyai pH yang pelbagai bergantung kepada tempat simpanan, struktur laluan air dan juga kehadiran pencemar. 


Ketumpatan air adalah lebih kurang 1 gm per cm padu, bergantung kepada suhu. Apabila air disejukkan dari suhu bilik ke suhu yang lebih rendah, ketumpatan air meningkat sehingga mencapai ketumpatan maksimum pada suhu 40 (390F) . Apabila suhu turun dari 40C, air akan mengembang dan ketumpatan akan menurun. Kebanyakan bahan yang berbentuk pepejal mempunyai ketumpatan yang lebih tinggi berbanding dengan bentuk cecair, jadi ketulan pepejal itu akan tenggelam di dalam cecair. Walau bagaimana pun ketulan ais akan terapung di dalam air kerana ketumpatan yang lebih rendah.Apabila membeku, ketumpatan air akan menurun sebanyak 9%. Air akan mengembang apabila suhu meningkat. Air yang hampir pada suhu mendidih mempunyai ketumpatan lebih kurang 95% pada suhu 40C. Suhu melebur/mencair ais adalah 0 0C (32 0F, 273 K) pada tekanan biasa. Suhu melebur (melting point) air boleh diturunkan dengan menaikkan tekanan. Ciri-ciri ini penting untuk ekosistem di lautan dan tasik.


AIR DI DALAM BADAN MANUSIA DAN FUNGSINYA


Air adalah keperluan asas kepada semua hidupan di bumi ini. Tanpa air, tidak ada hidupan yang mampu bertahan. Air meliputi 60-70% dari tubuh badan manusia. Otak dan hati mengandungi 73% air, manakala paru-paru pula 83% adalah air. Kulit manusia mengandungi 64% air, otot dan buah pinggang 79% ,malah tulang dikatakan mengandungi 31% air. Sebenarnya setiap manusia mempunyai peratusan air yang berbeza-beza, kandungan air ini juga berbeza mengikut usia. Bayi yang baru lahir dikatakan mengandungi peratusan kandungan air paling tinggi iaitu 78%. Kandungan air di dalam lemak kurang dari tisu-tisu lain, jadi individu yang mempunyai banyak lemak akan mempunyai peratusan air yang lebih rendah. Disebabkan oleh faktor lemak ini juga, kaum wanita mempunyai peratusan air yang lebih rendah dari lelaki.


Setiap hari manusia perlu mengambil air untuk hidup. Kuantiti air yang diperlukan bergantung kepada aktiviti yang dijalankan, usia dan jantina. Umumnya, seorang lelaki memerlukan 3 liter air sehari, manakala seorang wanita memerlukan 2.2 liter air setiap hari. Sebahagian dari air ini diperolehi dari makanan. Badan manusia boleh bertahan beberapa minggu tanpa makanan, tetapi manusia tidak boleh hidup jika tidak mengambil air hanya beberapa hari.


Berikut adalah beberapa fungsi air di dalam badan manusia:


1. Bahan keperluan untuk kehidupan sel badan, bertindak sebagai bahan asas pembinaan sel badan.

2. Air perlu untuk kesihatan dan integriti setiap sel di dalam badan

3. Kandungan air yang banyak di dalam aliran darah membuatkan darah kekal dalam bentuk cecair dan boleh mengalir berterusan

4. Kandungan air yang optimum di dalam darah juga mencegah darah dari mudah membeku

5. Mengawal suhu badan manusia melalui perpeluhan dan juga pernafasan

6. Air membantu proses pencernaan makanan, pengangkutan makanan di dalam usus dan juga mencegah sembelit.

7. Karbohidrat dan protin yang diambil dari makanan akan menjalani metabolisma dan diangkut dengan air di dalam aliran darah

8. Oksigen yang terdapat pada sel-sel darah merah diangkut melalui air di dalam aliran darah. Begitu juga dengan bahan-bahan lain seperti sel darah putih, mineral, glukos,enzim, hormon dan lain-lain komponen sel darah.

9. Air diperlukan oleh otak untuk menghasilkan hormon dan neurotransmitters

10. Air diperlukan untuk mengeluarkan bahan buangan melalui buah pinggang

11. Air bertindak sebagai shock absorber kepada otak, saraf tunjang dan juga kepada anak di dalam kandungan

12. Air adalah komponen terbesar air liur

13. Air menjadi pelicir kepada sendi-sendi

14. Air mengekalkan kelembapan kulit luar saluran pernafasan dan makanan


Kepercayaan bahawa pengambilan air boleh membuat kulit seseorang nampak lebih tegang, lebih sihat dan melambatkan proses penuaan adalah tidak benar. Belum ada bukti kukuh dakwaan tersebut dan kajian menunjukkan air hanya dapat membuat kulit menjadi lebih tebal , anjal tetapi tidak mengurangkan kedutan.


Anda memerlukan lebih air jika mengalami keadaan-keadaan berikut:

1. Bersukan ataupun apa-apa aktiviti yang menyebabkan perpeluhan

2. Demam

3. Musim panas

4. Mengalami muntah dan cirit-birit

 

MANFAAT MENGAMBIL AIR YANG MENCUKUPI


Setelah mengetahui apakah fungsi air kepada badan kita, maka jika kita mengambil air yang mencukupi tentu banyak kelebihan yang diperolehi, di antara manfaat pengambilan air yang mencukupi adalah:


1. Memaksima kemampuan fizikal. Pengambilan air yang mencukupi ketika melakukan aktiviti fizikal akan membuat anda merasa lebih kuat, lebih tahan lama dan mempunyai motivasi yang lebih tinggi. Keadaan ini berlawanan dengan kesan kekurangan air ke atas badan kita yang boleh mengakibatkan masalah fizikal dan juga mental.


2. Meningkatkan fungsi otak. Kekurangan air boleh menyebabkan seseorang itu menjadi tidak bermaya, hilang fokus, mudah marah dan gangguan ingatan. Jadi jika air diambil dengan mencukupi anda akan merasa lebih cerdas, otak lebih fokus dan ingatan lebih baik.


3. Mengurangkan dan merawat sakit kepala. Dehidrasi boleh menyebabkan sakit kepala dan jika anda mengalami penyakit migraine, anda mungkin diserang lebih kerap jika tidak mengambil cukup air. Ada juga kajian yang menunjukkan pengambilan air yang mencukupi dapat mengurangkan intensiti sakit kepala. Jadi seseorang yang sentiasa mengambil air yang mencukupi kurang menghadapi sakit kepala yang serius.


4. Kurang sembelit. Orang yang mengambil cukup air lebih jarang diserang sembelit. Manakala orang yang mengalami sembelit, selalu disyorkan untuk mengambil cukup air untuk memudahkan mereka membuang air besar.


5. Meminum cukup air juga boleh mengurangkan kejadian batu karang di ginjal dan pundi kencing kerana kekurangan air badan memang diketahui boleh meningkatkan risiko mendapat batu karang.


6. Membantu mengurangkan berat badan. Apabila mengambil air sebelum makan, anda akan mengambil lebih sedikit makanan sebab anda mudah kenyang dan ini dapat membantu mengurangkan berat badan. Pengambilan air juga meningkatkan kadar metabolisma badan.


7. Kekurangan air yang kronik pada sistem ginjal boleh meningkatkan risiko kanser pundi kencing kerana pendedahan yang lama bahan-bahan karsinogen di dalam air kencing. Begitu juga kepada sistem usus dan kesan dehidrasi kepada risiko menghidap kanser usus. Walaupun bukti kukuh ke atas kaitan ini belum dimuktamatkan tetapi ada kajian yang menunjukkan ada kaitan di antara kekurangaan kekurangan pengambilan air dan kanser pundi kencing dan kanser usus (disebabkan oleh sembelit yang kronik).

 

8. Kepada orang yang mengambil alkohol, pengambilan air yang mencukupi dikatakan dapat mengurangkan gejala "hangover". Alkohol adalah diuretik iaitu ia menyebabkan kencing kerap dan dehidrasi. Mungkin pengambilan air dapat mengurangkan kesan dehidrasi ke atas otakjadi keseluruhan gejala otak akibat alkohol mungkin dapat dikurangkan.      


http://authoritynutrition.com/7-health-benefits-of-water/


FAKTA-FAKTA MENGENAI AIR YANG MUNGKIN ANDA TIDAK PERNAH DENGAR


1.    3.4 juta manusia mati setiap tahun disebabkan oleh faktor yang berkaitan dengan air.

2.    Penduduk di Afrika dan beberapa negara Asia perlu berjalan purata sejauh 6 km untuk mendapatkan air.

3.    Satu flush air di tandas melepaskan 6 liter air.

4.    Cuma 1% sahaja air yang terdapat di bumi ini boleh diminum

5.    Lebih kurang 1 dalam 9 orang tidak mendapat kemudahan punca air yang baik.

6.    Air yang tulin tidak mengalirkan elektrik dengan baik, tetapi bahan-bahan asing di dalamnya yang menyebabkan ianya dapat mengalirkan arus elektrik dengan baik.

7.    Air yang sejuk lebih berat dari air yang panas

8.    90% dari air yang segar dan bersih adalah di Antartika

9.    Terdapat takungan air yang sangat besar di angkasa, iaitu bersamaan dengan 140 trillion kali lebih banyak dari air yang terdapat di lautan di bumi.

10.  Dua pertiga dari air yang digunakan di rumah digunakan di dalam bilik air.

11.  Lebih kurang 75% dari najis manusia adalah air.

12.  Minum terlalu banyak air boleh menyebabkan keracunan air (“Water intoxication”).

13.  Air meliputi hanya 0.07% jisim bumi ataupun 0.4% dari isipadu bumi.

14.  Air berwarna sedikit kebiruan (turquoise blue) disebabkan oleh penyerapan yang lemah pada bahagian merah spectrum warna yang boleh nampak.

15.  Tarikh luput pada botol air adalah untuk botol dan bukan untuk air

16.  Rekod dunia paling lama boleh bertahan di dalam air oleh seorang manusia adalah 22 minit.

17.  Cuma 0.003% dari air yang terdapat di dunia ini boleh digunakan oleh manusia

18.  Suhu mendidih air di puncak gunung Everest adalah 710C

19.  Anda boleh menjimatkan sebanyak 2,190 galen air seorang dalam setahun jika hanya flush di tandas satu kali sehari.

20. Pada tahun 2007, WHO menganggarkan sejumlah 1.1 billion orang manusia menghadapi masalah bekalan air bersih di seluruh dunia.Setiap tahun terdapat 4.4 bilion kes penyakit cirit-birit dan 88% dari kes-kes ini diakibatkan oleh meminum air yang tidak selamat dan masalah sanitasi.


Dato'Dr.Mohd Rushdan Md Noor

Pakar Perunding Kanan O&G

Hospital Sultanah Bahiyah

Alor Setar, Kedah 


 http://greatist.com/health/health-benefits-water

No comments:

Post a Comment