Saturday 30 May 2020

MALAYSIA MEMERLUKAN BADAN ANTI SCAM KESIHATAN (HEALTH FRAUD)



KAUNSIL KEBANGSAAN ANTI PENIPUAN / SCAM KESIHATAN (HEALTH FRAUD) DI MALAYSIA : MIMPI ATAU REALITI ?

Negara kita seperti mana negara-negara lain sedang menghadapi serangan scam kesihatan yang serius. Ini disebabkan oleh wujudnya terlalu banyak badan-badan dan individu-individu yang mempromosikan produk, servis  dan peralatan berasaskan  pseudosains serta pseudoperubatan.  Kebanyakan daripadanya mempunyai motif untuk kepentingan diri sendiri dan perniagaan melalui scam kesihatan (Health Fraud) ini sangat besar. Keadaan menjadi bertambah parah dengan perkembangan teknologi maklumat yang sangat pesat dan sistem komunikasi yang canggih. Di samping itu wujud penglibatan individu2 yang berkedudukan dengan gelaran sanggup mengorbankan prinsip untuk turut menyokong scam kesihatan samada secara langsung ataupun tidak langsung. Media juga berperanan mempromosi produk dan perkhidmatan pseudoperubatan.

Jika scam kesihatan ini tidak ditangani, maka masyarakat kita akan menghadapi satu masalah yang besar. Segala usaha kerajaan dan KKM dalam memperbaiki mutu kesihatan rakyat akan terjejas apabila rakyat memilh kaedah rawatan yang tidak terbukti berkesan. Pembaziran wang juga berlaku dan beban ini bukan sahaja ditanggung oleh pengguna yang tertipu tetapi juga pihak kerajaan. Sebenarnya usaha membenteras scam kesihatan ini sama pentingnya dengan usaha memperbaiki mutu kesihatan rakyat. AKTIVITI MENINGKATKAN MUTU KESIHATAN TANPA ADA LANGKAH MEMBENTERAS SCAM KESIHATAN ADALAH UMPAMA "MENABUNG DALAM BEKAS YANG BOCOR". 



Di negara maju seperti Amerika Syarikat, mereka mempunyai satu agensi NGO yang besar seperti NCAHF, singkatan kepada National Council Against Health Fraud. Agensi ini ditadbir dan dikendalikan oleh doktor2 daripada aliran perubatan moden di mana fokus mereka adalah kepada  scam kesihatan, maklumat palsu dan juga quackery yang dianggap sebagai ancaman kepada kesihatan. QUACKERY adalah amalan perubatan yang terpesong dan tidak terbukti berkesan dipromosikan oleh golongan yang tidak bertanggungjawab ataupun golongan yang jahil. Individu yang berlagak seperti doktor yang mahir tetapi penipu ini digelar QUACK. Quack lebih merujuk kepada orang yang sedar tentang pembohongan tetapi tetap meneruskan aktiviti scam kesihatan untuk meraih keuntungan. 

Di antara aktiviti NCAHF adalah:

1. Menyiasat dan menilai dakwaan produk  dan servis kesihatan (pengguna boleh menghubungi mereka melalui email untuk membuat sebarang aduan)

2. Mendidik pengguna, profesional, peniaga dan agensi tentang scam kesihatan, maklumat palsu dan quackery.

3. Menyokong undang-undang yang membela pengguna

4. Menentang sebarang peraturan/undang2 yang bertentangan dengan hak pengguna

5. Menggalakkan dan membantu tindakan undang2 mangsa ke atas penipu kesihatan.

6. Mengeluarkan newsletter/buletin percuma setiap minggu.

Di negara kita terdapat pertubuhan2 kecil yang mempunyai peranan yang seakan-akan sama dengan NCAHF tetapi bergerak pada skala yang kecil. Pertubuhan ini diterajui oleh doktor2 di dalam banyak bidang kepakaran yang bekerja secara sukarela. Mereka memainkan peranan yang penting di dalam menangani scam kesihatan dan mendidik masyarakat tetapi memerlukan sokongan serta pembelaan yang lebih padu daripada pihak kerajaan dan kementerian. Orang ramai sepatutnya menyokong dan berjuang di belakang mereka kerana pertubuhan2 ini diwujudkan tidak lain daripada mendidik serta melindungi pengguna di samping membenteras scam kesihatan. Jika pembelaan yang sewajarnya tidak diberikan kepada mereka, saya bimbang satu hari nanti negara kita akan dikuasai oleh QUACK dan QUACKERY akan menjadi budaya dalam masyarakat kita. Bayang-bayang ini sudah mula kelihatan. 

Dato' Dr Rushdan Noor  
30hb Mei 2019
25 Ramadan 1440

No comments:

Post a Comment