Friday 15 May 2020

AKIBAT TERLALU OBSES TENTANG KANSER

Bila anda keluar dari rumah, anda akan menghirup udara di luar. Tahukah anda terdapat banyak karsinogen di dalam udara dan sinaran matahari (sinar ultra unggu)? Malahan ada di antaranya diletakkan dalam kategori 1 karsinogen. Jadi, udara yang anda sedut setiap hari itu memang mengandungi karsinogen, jika anda mahu kaji dengan terperinci. Adakah anda akan mendakwa udara penyebab kanser? Jadi jangan sedut udara?. Rumah tempat anda tinggal mungkin mengandungi peralatan atau perabut yang diperbuat daripada asbestos seperti ceiling, bumbung dan lain-lain. Makanan, minuman dan air yang anda mandi juga mengandungi karsinogen pada kadar tertentu. Gas radon boleh wujud di dalam air dan di dalam tanah di bawah rumah anda. Makanan dan air boleh tercemar dengan cadmiun dan arsenik tanpa disedari. Adakah anda kata air dan makanan itu menyebabkan kanser? Jadi jangan makan dan minum?. Bateri yang anda guna mengandungi cadmium dan nickel. Benzene wujud di dalam asap kenderaan. Bahan plastik dan getah yang anda guna mungkin mengandungi fomaldehyde, styrene dan polyvinyl chloride. Kesemua bahan-bahan yang saya nyatakan adalah sebahagian kecil daripada senarai2 karsinogen.

Kalau anda ingin mencari bahan penyebab kanser di dalam semua perkara di sekeliling anda, memang wujud di mana-mana dan anda tidak dapat lari daripadanya. Kalau anda rujuk Monograf IARC yang menyenaraikan lebih 1000 jenis karsinogen, bekerja shift malam pun termasuk dalam kategori 2A yakni lebih tinggi kedudukannya daripada PFOA yang dikatakan terdapat di dalam kuali non-stick. Pendek kata, anda bernafas, makan, minum, tidur dan melakukan apa sahaja aktiviti, anda tidak terlepas daripada terdedah kepada karsinogen. Rujuk di pautan ini untuk maklumat lanjut tentang senarai karsinogen di dalam Monograf IARC, WHO.Senarai karsinogen tidak berhenti setakat ini, ia akan terus diperbaharui, ditambah dan diubah mengikut penemuan semasa. Majoriti agen-agen yang disenaraikan mempunyai kaitan yang tidak langsung dengan kanser dan ditemui melalui kajian pemerhatian ataupun observasi.

Sebenarnya secara semulajadi, badan anda sangat cekap menapis karsinogen dan mencegah anda daripada menghidap kanser. Kanser akan berlaku jika kemampuan anda untuk mencegah kanser terganggu disebabkan faktor kelainan gene, pendedahan karsinogen terutama kategori 1 pada dos yang tinggi serta berpanjangan, wujudnya ko-faktor (contoh obesiti, diabetes, proses keradangan kronik dan lain2) dan kelemahan sistem imun. Kanser tidak wujud hanya akibat satu faktor sahaja, ia memerlukan interaksi antara faktor penyebab dan ko-faktor tadi, sebab itu anda akan dapati ramai yang terdedah kepada faktor penyebab tetapi hanya segelintir sahaja yang akan menghidap kanser.

Kesimpulannya, jangan mudah termakan ataupun terperangkap dengan dakwaan berat sebelah pihak2 tertentu untuk kepentingan diri mereka dengan menyempitkan fikiran anda kepada sesuatu yang sepatutnya dilihat daripada perspektif yang luas. Anda perlu mengambil pendekatan bersederhana di dalam banyak segi. Sikap terlalu obses tentang apa sekalipun tidak akan membawa kebaikan dan boleh menjadi punca panik dan ketakutan sehingga anda menjadi seperti orang hilang akal. Merujuk kepada penyakit kanser, selagi pihak berautoriti  di dalam bidang kanser tidak mengeluarkan kenyataan tegas melarang sesuatu aktiviti, amalan ataupun pengambilan sesuatu bahan/produk, maka anda jangan bimbang. Percaya dan yakin dengan kewibawaan mereka. Pihak berautoriti tersebut adalah KKM, WHO, Pertubuhan Kanser samada peringkat negara ataupun antarabangsa. Jika tidak, sikap obses anda itu adalah peluang terbaik yang akan digunakan oleh pihak tertentu untuk mengaut keuntungan. Pokok pangkalnya, bersederhana  dalam semua segi dan patuh kepada peraturan penggunaan/amalan yang disyorkan, tidak kira di dalam apa perkara sekalipun di dalam hidup anda, daripada makanan, minuman, penggunaan alatan, bersukan dan lain-lain. Amalkan pemakanan seimbang, gaya hidup sihat dan tidak merokok serta minum alkohol. Jika ada kaedah pencegahan dan saringan kanser yang disyorkan oleh pakar, lakukannya. Pada tahap ini, anda sudah dikira melakukan ikhtiar yang betul dan boleh bertawakal kepada Allah dengan erti kata yang sebenar.

Dato' Dr Rushdan Noor
15hb Mei 2020

No comments:

Post a Comment