Thursday 21 May 2020

SEJARAH RINGKAS BAHASA SAINS DUNIA DAN PENGAJARAN DARIPADANYA



Mungkin ramai yang tidak tahu bahawa bahasa Inggeris hanya menjadi bahasa utama sains selepas awal tahun 1900'an. Ketika awal tahun 1900 dan sebelumnya, jika ditanya para-para ilmuan ketika itu, apakah bahawa utama sains pada tahun 2000, mereka tidak akan menjawab bahasa Inggeris. Bahasa German dan Perancis (terutama German) mendahului bahasa Inggeris sebagai bahasa sains yang utama ketika itu dimana pembentangan dan penulisan sains didominasikan oleh bahasa German. Bahasa Latin mempunyai sejarah yang lebih lama di mana bahasa ini dipercayai menjadi bahasa utama sains semenjak akhir abad ke 14 sehinggalah pertengahan abad ke 17. Banyak istilah-istilah sains dan perubatan yang digunakan pada hari ini adalah diambil daripada bahasa Latin, Greek, Perancis dan German. Contoh perkataan Oksigen adalah daripada bahasa Greek, manakala Hidrogen adalah daripada bahasa Perancis. Dipercayai ahli sains Galileo Galilei merupakan orang pertama menulis rencana sains yang paling banyak di dalam bahasa ibundanya iaitu Bahasa Itali yang kemudian diterjemahkan kepada bahasa Latin yang pada ketika itu adalah bahasa sains utama ketika itu. Dengan penterjemahan tersebut, lebih ramai ahli sains boleh membacanya.


Pertukaran bahasa utama sains daripada German kepada Inggeris dipercayai bermula selepas perang dunia pertama (1914-18) apabila ahli sains Belgian/Belgium, Perancis dan British memboikot ahli sains German dan Austria. Mereka dihalang daripada menghadiri konferen dan menulis di dalam jurnal sains. Pada ketika itu juga gelombang kebencian terhadap German berlaku di Amerika walaupun ramai yang bertutur bahasa German di Amerika pada ketika itu. Akhirnya bahasa German menerima nasib yang sama di Amerika dan bahasa Inggeris Amerika mula mendominasi (selepas 1923). Semenjak itu Bahasa Inggeris menjadi bahasa utama sains digunakan di dalam berkomunikasi, pembentangan dan penulisan.


Pengajaran yang boleh diambil daripada sejarah bahasa utama sains ini adalah tidak ada satu bahasa yang mendominasi sains semenjak dahulu dan selama-lamanya. Bahasa Greek, Latin, Perancis, German dan kemudian Inggeris (British/Amerika) bertukar tangan menjadi bahasa utama sains. Tidak dapat dinafikan bahawa pada ketika ini, Bahasa Inggeris adalah bahasa utama sains di dunia tetapi persoalannya untuk berapa lamakah status ini akan kekal? Mungkinkah akan berlaku peristiwa peralehan yang baru menggantikan Bahasa Inggeris kepada bahasa lain? Adakah kepada bahasa Cina? Jepun? Korea? ataupun tidak mustahil kepada Bahasa Melayu. Mungkin tempoh masanya masih panjang tetapi sama sekali tidak mustahil. Maka apabila kita sudah dikurniakan satu bahasa ibunda yang istimewa ini, adalah menjadi tanggungjawab kita untuk meningkatkan martabatnya bukan sahaja di negara kita, tetapi juga di rantau ini serta seluruh dunia. Bahasa Melayu diakui sebagai salah satu bahasa yang sangat istimewa, digunakan oleh lebih 300 juta umat manusia dan bahasa kelima paling ramai penggunanya di seluruh dunia. Tidakkah kita mahu bahasa melayu ini menjadi bahasa utama sains satu hari nanti? Ini tidak mustahil untuk dicapai dan kita perlu bermula daripada sekarang. Di sebaliknya jika kita mengambil ringan dan tidak kesah, bahasa melayu boleh terpinggir dan tidak dapat menyaingi bahasa-bahasa lain. Yang lebih malang adalah jika bahasa melayu tidak digunakan sebagai bahasa komunikasi sesama kita dan kita bakal hilang identiti bangsa yang sangat kita banggakan ini. Jadikan bahasa melayu sebagai bahasa ilmu dan bahasa perpaduan rakyat Malaysia.



Dato'Dr Rushdan Noor

22hb Jun 2018



Sumber maklumat: Prof Michael Gordin, Professor of Modern and Contemporary, Princeton University

No comments:

Post a Comment