Sunday 31 May 2020

MENGAPA PERLANCARAN ROKET SPACEX SANGAT BERMAKNA KEPADA AMERIKA


Sebelum tahun 2011, NASA menggunakan khidmat program Space Shuttle mereka untuk menghantar angkasawan ke ISS (International Space Station). Program ini telah berjalan selama 30 tahun dan pembiayaannya adalah dari kerajaan Amerika. Disebabkan beberapa faktor termasuk kos penyelenggaraan dan kekurangan kakitangan mahir, program ini telah diberhentikan pada 21hb Julai 2011. Kos untuk setiap misi perlancaran Space Shuttle adalah $450 juta USD dan kos ini meningkat dari masa ke semasa. Dunia pernah digemparkan dengan trajedi Space Shuttle Colombia yang meletup dan membunuh 7 krew pada 1hb Feb 2003.

Amerika mula memikirkan pilihan lain untuk program menerokai angkasa lepas iaitu melalui kerjasama NASA dengan syarikat swasta. Sebuah syarikat swasta yang berjaya terpilih adalah SpaceX yang dimiliki oleh Elon Musk.  Syarikat ini tentulah akan menggunakan peluang ini untuk mengkomersialkan program angkasalepas ini di mana satu hari nanti boleh menjadikannya "space taxi services". Pada waktu yang sama beban kepada NASA dan kerajaan juga kurang untuk mencapai matlamat yang sama. Program ini dinamakan NASA Commercial Crew Program. Program baru ini juga mensasarkan rancangan jangkapanjang seperti penerokaan manusia ke bulan dan planet marikh. 

Syarikat swasta yang terpilih (SpaceX) dan NASA mendapati program ini bukan mudah dan memakan masa yang panjang untuk "establish". Jadi untuk sementara waktu semenjak tahun 2011, NASA menggunakan khidmat Agensi Angkasalepas Rusia yakni menggunakan kapalangkasa Soyuz untuk menghantar angkasawannya ke ISS. Soyuz dilancarkan di Kazakhstan. Tetapi kos menghantar seorang angkasawan untuk satu misi sahaja adalah $90 juta USD. Selama 10 tahun NASA bergantung kepada khidmat Soyuz kepunyaan Rusia.

SpaceX dan NASA telah berjaya menghasilkan roket bernama Falcon 9 dan kapsul NASA-SpaceX Crew Dragon (juga dikenali dengan nama Endeavour). Kapsul adalah bahagian paling hujung yang menempatkan angkasawan, kapsul akan meneruskan perjalanan ke ISS. Kapsul Soyuz buatan Rusia hanya boleh menempatkan 3 orang manakala SpaceX Crew Dragon pula mempunyai 7 tempat duduk. Program ini akan menjadi saingan kepada program angkasalepas Rusia. Kapal SpaceX yang dihasilkan ini pada awalnya hanya menghantar kargo tanpa manusia ke ISS, misi ini bermula 2012.

Selepas 10 tahun, kini roket SpaceX baru sahaja berjaya membawa manusia ke ISS dari bumi Amerika. Perlancaran roket Falcon 9 dan kapsul SpaceX Crew Dragon yang pertama kali membawa manusia dari bumi Amerika ini telah berjaya dilakukan pada  pukul 3.22 petang ET 30hb Mei 2020  setelah 10 tahun menggunakan khidmat negara Rusia. Perlancaran ini dilakukan di Cape Canaveral, Florida. Dua orang angkasawan NASA yang menaiki roket ini adalah Bob Behnken dan Doug Hurley. Misi pelancaran yang dilakukan secara live ini dinamakan DEMO-2 MISSION. Dengan kejayaan ini maka roket SpaceX ini juga akan mendapat pengiktirafan/kelulusan untuk membawa manusia di masa hadapan. Bermulalah satu persaingan penerokaan angkasalepas yang lebih menarik di antara kuasa2 besar dunia. Ini juga membuka era baru penerokaan angkasalepas dimana ianya dikendalikan bersama dengan syarikat swasta dan mungkin akan dijadikan satu bentuk perniagaan berbentuk pengembaraan angkasalepas. Terdapat ura2 yang NASA bakal menghantar 4 orang angkasawan berbayar tidak lama lagi. 

Dato' Dr Rushdan Noor 
1hb Jun 2020

https://www.google.com/amp/s/techcrunch.com/2020/05/30/spacex-makes-history-with-successful-first-human-space-launch/amp/ 

https://www.google.com/amp/s/www.businessinsider.com/why-spacex-astronaut-launch-nasa-is-important-2020-5%3famp

https://www.google.com/amp/s/amp.ft.com/content/e3deff5d-4c55-4e6b-a3e8-e6b5fa6ff162

https://www.google.com/amp/s/techcrunch.com/2020/05/30/spacex-makes-history-with-successful-first-human-space-launch/amp/











No comments:

Post a Comment