Thursday 7 May 2020

ADAKAH PENAPIS AIR SATU KEPERLUAN ?

Dato' Dr.Mohd Rushdan Md Noor

MD,MOG (UKM),Fellow GO(S'pore),AM 


PENDAHULUAN



Air adalah keperluan asas untuk kesihatan dan fungsi badan yang normal. Tanpa air anda tidak boleh hidup lebih dari satu minggu. Saya telah menulis mengenai air dan bagaimana air dirawat sebelum ianya sampai ke dalam rumah anda (klik disini untuk membaca). Di dalam rencana tersebut saya telah terangkan dengan mendalam bagaimana air mentah dirawat bagi menghasilkan air yang bersih dan memenuhi piawaian yang ditetapkan. Air yang dirawat tersebut akan dipantau secara berkala oleh pihak yang berwajib bagi memastikan ianya kekal bersih. Sebenarnya sistem merawat air yang dilaksanakan oleh kerajaan ini adalah sangat komprehensif dan tidak salah jika ianya digambarkan sebagai sebuah alat penapis air mega yang besar. Maksudnya, air yang sampai ke rumah anda itu sebenarnya sudah ditapis dengan kaedah tapisan yang berkualiti supaya ianya selamat digunakan oleh anda termasuk untuk meminum. Kandungan bahan-bahan mineral, klorin, florida dan lain-lain dipastikan berada di dalam julat yang selamat pada setiap masa. 


MENGAPA ANDA MENGANGGAP AIR YANG SAMPAI KE RUMAH ANDA TIDAK SELAMAT


Walaupun pihak berkuasa yang menjaga kualiti air melakukan rawatan air yang baik tetapi pencemaran air tetap boleh berlaku daripada tangki air bersih sehingga ke rumah anda. Paip air yang anda gunakan mungkin kotor ataupun berkarat dan ianya boleh mencemar air yang sudah dirawat. Kaedah terbaik bagaimana anda boleh menguji kebersihan air di rumah anda telah dibincangkan di sini (klik di sini untukmembaca). Jika anda melakukan pemeriksaan seperti yang tertulis di dalam rencana tersebut dan di dapati bahawa air itu bersih, maka anda tidak memerlukan penapis air. Jika anda tidak tahu dan tidak mempunyai kelengkapan untuk menguji kebersihan air di rumah anda, maka adalah baik jika anda beranggapan bahawa air yang sampai ke rumah anda itu mungkin sudah tercemar. Bertindak di atas sebab anggapan ataupun keberangkalian sahaja tentu sekali sesuatu yang kurang wajar, tetapi di dalam isu yang berkaitan dengan kesihatan badan, mungkin anggapan ini berbaloi jika tindakan anda tidak melibatkan kos yang terlalu tinggi. Anda perlu memikirkan penapis air jenis apa yang anda ingin miliki dan adakah anda ingin menapis ke semua air yang masuk ke dalam rumah ataupun hanya air yang sampai ke dapur untuk tujuan memasak, membasuh pinggan dan meminum. Anda mungkin juga terfikir bahawa merawat air dengan cara mendidih sahaja sudah memadai, mengapa perlu mengeluarkan wang yang banyak untuk membeli penapis. Tambahan pula air yang masuk ke dalam rumah anda sudahpun dirawat. Pendapat ini tidak boleh disangkal dan mungkin benar.


KAEDAH PENULINAN AIR (“WATER PURIFICATION”) DI RUMAH


Jika anda mengambil keputusan untuk membersihkan air yang sampai ke rumah anda maka anda mempunyai beberapa pilihan. Di dalam bahasa Inggeris, membersihkan air atau menulinkan air dikenali sebagai “water purification”. Tujuan dilakukan penulinan air ini adalah untuk membersih pencemaran air seperti bakteria, parasite, virus, fungus, racun serangga, logam dan lain-lain bahan kimia. Sebenarnya kaedah penulinan air yang terdapat di pasaran adalah merupakan kaedah yang sama dengan proses rawatan air oleh pihak kerajaan ke atas air mentah seperti yang saya  terangkan dahulu.

Berikut adalah beberapa kaedah-kaedah utama untuk menulinkan air di rumah anda:


1.   Memasak air hingga mendidih. Panaskan air hingga mendidih iaitu apabila terbentuknya buih-biuh yang menggeladak. Terus memanaskan air selama 5-10 minit lagi. Tambah 1 minit masa untuk setiap ketinggian 300 meter di atas paras laut, ini disebabkan suhu mendidih semakin rendah pada kedudukan yang lebih tinggi jadi mungkin pada suhu tersebut ia kurang berkesan untuk membunuh bakteria. Sebenarnya mendidihkan air untuk selama 1-2 minit sudah mencukupi untuk membunuh kebanyakan bakteria. Mendidih juga dapat mengeluarkan bahan kimia melalui perwapan. Walau bagaimanapun mendidih tidak dapat mengeluarkan bahan logam, mineral dan juga pepejal. Jika anda mengesyaki air itu mengandungi bahan mineral dan logam yang tinggi mungkin disebabkan oleh paip air yang berkarat, maka adalah wajar anda membiarkan air itu beberapa minit selepas mendidih supaya bahan-bahan ini dapat mendap ke dasar bekas air.


2. Disinfektan kemikal ("Chemical Disinfectant") adalah pembasmian mikroorganisma dengan menggunakan bahan kimia. Selain dari mendidihkan air, kaedah lain bagaimana organisma2 dihapuskan adalah melalui penggunaan bahan kimia dan kaedah penapisan. Selalunya kedua-dua kaedah ini boleh digunakan serentak di mana bahan kimia akan dicampurkan untuk membunuh mikroorganisma yang terlepas dari penapisan. Klorin adalah bahan kimia yang sering digunakan untuk membunuh banyak mikroorganisma. Kandungan klorin di dalam air sentiasa dipantau supaya tidak melebihi had yang dibenarkan. Klorin sangat berkesan membunuh bakteria tetapi tidak berkesan membunuh protozoa. Klorin larut di dalam air dan membentuk asid hipoklorus yang akan dipecahkan pula kepada ion hipoklorit, kedua-dua kompoun ini akan membunuh mikroorganisma dan hasilnya, air akan bebas mikroorganisma. Klorin pada kuantiti yang tinggi boleh bertindakbalas dengan kompoun organik semulajadi untuk menghasilkan bahan kimia yang boleh memudaratkan kesihatan iaitu trihalomethanes dan haloacetic acids. Kesan kedua-dua bahan kimia ini ke atas badan manusia khususnya sebagai penyebab penyakit kanser (kanser pundi kencing dan usus) masih belum disahkan. Malah banyak kajian menunjukkan bahawa meminum air berklorin tidak memudaratkan kesihatan, menangkis dakwaan banyak syarikat pengedar penapis air. IARC ( International Agency for Research of Cancer) sendiri telah membuat analisa berkenaan dengan keselamatan penggunaan klorin di dalam air dan mereka merumuskan bahawa tidak ada cukup bukti untuk mengesahkan kaitan di antara klorin di dalam air dengan kanser samada kepada manusia ataupun haiwan (rujukan di sini). Hasil kajian terhadap haiwan tidak boleh digunakan sebagai bukti kerana sistem badan haiwan yang berbeza dengan manusia. WHO menetapkan had kandungan klorin di dalam air minum tidak lebih dari 5 mg per liter. Kandungan klorin di dalam air yang dirawat di Malaysia juga mengikut garispanduan dari WHO ini iaitu dari 0.2 – 5.0 mg/liter.  Bahan kimia lain yang boleh digunakan untuk membasmi mikroorganisma adalah Chloramine. Ozone pula adalah molekul oksigen yang kehilangan satu atom oksigen, ia adalah molekul yang tidak stabil dan agent pengoksidan yang sangat kuat. Ia dapat membunuh banyak jenis mikroorganisma termasuk protozoa. Ozone dihasilkan dengan membawa oksigen melalui cahaya ultraunggu. Kelebihan ozone adalah ianya tidak berbau, tidak meninggalkan sisa bahan asing dan tidak menukar rasa dan bau air. FDA telah meluluskan ozone untuk tujuan ini. Mikroorganisma juga boleh dihapuskan dengan menggunakan sinaran ultraunggu. Sinaran ultraunggu sangat berkesan melemahkan sista di dalam air. Seperti juga ozone, sinaran ultraunggu tidak meninggalkan saki baki disinfektan, jadi bahan disinfektan kimia perlu ditambah (selalunya menggunakan chloramines) untuk memanjangkan tempoh rawatan air. Menggunakan kaedah disinfektan kimia tidak cukup untuk membersihkan air sebab ianya hanya tertumpu kepada pembasmian mikroorganisma.


3.   Granular Activated Carbon Filtering. Menggunakan karbon yang teraktif untuk menapis air. Karbon dapat menyerap banyak kompoun termasuk toksin. Seringkali penapis air yang menggunakan karbon ini juga mengandungi perak (silver) nanopartikal yang boleh membunuh bakteria. Bahan yang terserap ke dalam karbon boleh menjadi tempat pembiakan bakteria dan di sinilah peranan “silver nanoparticle” ini. Silver nanoparticle ini juga dapat menukar kompoun racun serangga (pesticides) kepada kompoun yang tidak beracun.


4.   Penyulingan adalah kaedah mendidihkan air hingga air bertukar menjadi wap. Apabila wap ini bersentuhan dengan permukaan sejuk, ia akan menjadi air yang tidak mengandungi bahan larut. Walau bagaimanapun kaedah ini tidak dapat mengasingkan bahan2 yang mempunyai titik didih yang sama dengan air dan sebahagian bahan pencemar yang tidak berwap masih boleh melekat pada wap air yang terbentuk. Kaedah penyulingan ini dapat menghasilkan 99% air tulin. Kelemahan sistem ini adalah ia menyebabkan kehilangan banyak bahan mineral kerana air tulin yang dihasilkan itu sudah tidak ada cukup bahan mineral ataupun dikenali sebagai “demineralized water”.


5.   Osmosis Songsang (Reverse Osmosis). Di dalam kaedah ini, tekanan mekanikal dikenakan ke atas air yang tidak tulin melalui selaput separa telap (semi-permeable) untuk menghasilkan air tulin. Bahagian yang paling kritikal adalah selaput separa telap kerana agak sukar untuk mencipta selaput yang unggul. Selaput ini perlu diselenggarakan dengan baik, jika tidak algae dan lain-lain benda hidup boleh berkumpul. Kaedah osmosis songsang dapat menapis banyak jenis bahan pencemar seperti bakteria, parasit, arsenik, pestiside (racun serangga) dan herbiside (racun rumput). Tentera Amerika pernah menggunakan kaedah ini untuk menukarkan air laut kepada air tulin yang boleh diminum. Walau bagaimanapun, osmosis songsang ini mempunyai keburukannya kerana di samping bahan pencemar, ianya juga boleh menapis bahan-bahan yang berguna kepada badan manusia termasuk bahan mineral. Di antara bahan-bahan mineral yang tersebut adalah besi, kalsium, manganese, magnesium, klorin dan florida. Bahan-bahan ini penting untuk fungsi badan (e.g metabolism sel, tumbesaran) tetapi ianya boleh diperolehi dari makanan (sayur, daging dan bijirin). Jadi kepada anda yang mengamalkan makanan seimbang, isu ini mungkin tidak berbangkit. Ianya menjadi serius jika anda tidak mengambil cukup zat2 ini dari makanan. Kanak2 juga akan menghadapi masalah kekurangan florida yang boleh menyebabkan gigi rosak (mungkin boleh diperolehi melalui ubat gigi sebagai ganti). Air yang ketiadaan bahan mineral ini dikenali sebagai “demineralized water”. Isu kesan samping amalan meminum “demineralized water” ini telah menjadi tajuk perdebatan dan WHO telah memberi amaran mengenai risiko kekurangan bahan mineral di dalam badan dan risiko keracunan logam (plumbum dan cadmium). Satu rencana panjang mengenai risiko kesihatan akibat meminum "demineralized water" ada disiarkan di laman web WHO di sini. Bahan mineral seperti Kalsium dan Magnesium dapat mengurangkan keracunan logam seperti plumbum,cadmium dan arsenik. Golongan yang menyanggah pendapat ini pula berhujah bahawa sumber mineral yang utama adalah makanan dan bukan dari minuman. Jadi kekurangan bahan mineral ini di dalam air tidak sepatutnya menjadi masalah besar. Kaedah osmosis songsang ini juga dikatakan boleh mengakibatkan pembaziran air yang tidak tertapis. Banyak model alat penapis yang menggunakan kaedah ini dan anda perlu mendapatkan maklumat terperinci sebelum membelinya. Kesimpulannya, kaedah osmosis songsang adalah salah satu cara yang sangat berkesan menapis banyak bahan pencemar air tetapi ia hendaklah diselenggarakan dengan baik dan anda perlu mengambil makanan yang mengandungi cukup bahan2 mineral yang telah ditapis keluar.


6.   Microfiltration dan Ultrafiltration


Seperti yang telah dinyatakan sebelum ini, air boleh juga ditulinkan melalui kaedah penapisan mikro ataupun microfiltration iaitu menggunakan selaput yang mempunyai lubang yang sangat kecil bagi menapis air. Lubang-lubang kecil ini mampu menahan pencemar air dari melepasinya seperti mikroorganisma, bahan mineral dan lain-lain. Ianya sering digunakan bersama kaedah-kaedah lain penapisan air seperti osmosis songsang dan juga penapisan ultra (ultrafiltration). Penapisan ultra menggunakan konsep menapis air dengan kaedah perbezaan kepekatan dan tekanan, pepejal dan bahan-bahan larut yang besar saiz molekulnya akan tertinggal di sebelah selaput separa telap (semipermeable membrane). Kaedah penapisan ultra dan penapisan mikro ini dapat mengambil aleh kaedah-kaedah merawat air menggunakan bahan kimia. Kelebihan kaedah ini adalah tiada bahan kimia digunakan, kualiti air yang dihasilkan adalah tetap dan tulin. Kaedah ini juga menggunakan peralatan yang lebih kecil. Kekurangan sistem ini adalah kos yang lebih mahal dan untuk mencegah kerosakan penapis ini, air atau cecair yang hendak ditapis perlu menjalani rawatan terlebih dahulu. Ia juga digunakan untuk penapisan awal sebelum menjalani osmosis songsang untuk melindungi selaput separa telap di dalam alat penapis osmosis songsang. Terdapat beberapa bentuk alat penapis (selaput separa telap) yang digunakan di dalam sistem penapisan ultra ini seperti “tubular modules”, “hollow fibre”, “spiral wound modules” dan lain-lain lagi. Kecekapan menapis sistem ini bergantung kepada jenis penapis/selaput yang digunakan. Selaput/penapis ini perlu dicuci secara tetap untuk mencegah pengumpulan mendapan dan kotoran. Kaedah mencuci ini dinamakan “backwashing” iaitu mengalirkan air mengikut arah bertentangan untuk tujuan menanggalkan mendapan serta kotoran yang terlekat pada selaput penapis. Kaedah “backwashing” ini mempunyai kelemahan sebab ianya tidak dapat menanggalkan bahan mendapan yang kompleks. Untuk memperbaiki proses penyucian ini, bahan kimia boleh digunakan seperti larutan asid untuk mencuci bahan inorganic, larutan alkali untuk mengeluarkan bahan organik dan lain-lain. Lain-lain kaedah penapisan adalah penapisan nano (Nanofiltration). Berbezaan yang ketara di antara jenis-jenis penapisan ini terletak kepada saiz partikel yang boleh ditapis dan juga tekanan. Jadual 1 di bawah menunjukkan berbezaan 5 jenis kaedah penapisan air.


Jadual 1 : Perbezaan asas kaedah penapisan air yang terdapat di pasaran


JENIS PENAPISAN

CIRI-CIRI ASAS

Penapisan Mikro

(Mikrofiltration)

Menapis partikel bersaiz 0.1 um-10 um. Ia direka untuk menapis mendapan, algae, protozoa dan bakteria yang besar. Molekul2 besar seperti air, Natrium, Klorida dan virus boleh melepasi selaput separa telap ini.

Penapisan Ultra

(Ultrafiltration)

Selaput penapis mempunyai lubang-lubang bersaiz 0.01 um-0.1 um, mampu menapis  protin, endotoksin, virus dan silika

Penapisan Nano

(Nanofiltration)

Selaput penapis mempunyai lubang-lubang bersaiz 0.01 um-0.01 um. Mampu menapis ions multivalent, pewarna sintetik, gula dan garam tertentu. Tekanan osmotic yang diperlukan lebih tinggi jika dibandingkan dengan selaput yang mempunyai lubang yang lebih besar

Osmosis Songsang

(Reverse Osmosis)

Selaput penapis untuk proses osmosis songsang mempunyai saiz lubang yang paling kecil iaitu 0.0001 um -0.001um. Ia mampu menapis kebanyakan molekul kecuali molekul air. Disebabkan oleh saiz lubang yang kecil, tekanan osmosis yang diperlukan adalah lebih tinggi dari sistem2 penapisan lain. Ia dikenali sebagai osmosis songsang kerana air   ditapis pada arah tekanan rendah kepada tekanan tinggi. Prinsip ini juga digunakan di dalam penapisan nano




                                       Konsep "backwash"


7.   Pengionan Air (Water ionizer). Kaedah pengionan air juga dikenali sebagai pengionan alkalin kerana di dalam proses penulinan air ini, air bersih yang dihasilkan ini mempunyai pH yang tinggi. Ianya menggunakan kaedah elektolisis untuk memisahkan air yang berasid dengan air yang beralkali. Kaedah ini mengunakan arus elektrik untuk memisahkan atom hidrogen dan oksigen. Dengan menggunakan katod dan anod, air yang berkumpul di sekeliling anod adalah berasid, manakala air yang berkumpul di sekeliling katod adalah beralkali. Salah satu produk penapis air yang menggunakan kaedah elektrolisis ini adalah Kangen Water. Pengambilan air beralkali ini akan dibincangkan di dalam rencana lain kerana tajuk ini agak kontroversi dan terdapat pencanggahan pendapat dalam kalangan pengeluar dan pakar perubatan. Ramai ahli sains percaya bahawa air beralkalin tidak mempunyai manfaat pada kesihatan seperti yang didakwa kerana belum ada kajian kukuh yang membuktikan kenyataan tersebut. Malah mereka berpendapat, keberkesanan meminum air beralkalin itu jika pun ada bukan disebabkan oleh air yang beralkali tetapi disebabkan kesan kehadiran mineral di dalam air tersebut dan juga manfaat dari mengambil air yang mencukupi. Terdapat beberapa dakwaan dari pengamal2 perubatan yang mengatakan meminum air beralkali mempunyai banyak manfaat kepada penyakit-penyakit kronik dan kecergasan badan tetapi mereka tidak dapat mengemukakan kajian yang mantap. Kajian yang dilakukan tersebut adalah lemah kerana bukan kajian randomized control trial sebaliknya hanya melihat perubahan yang berlaku ke atas sekumpulan pesakit yang mengambil air beralkali untuk jangkamasa tertentu. Di dalam kajian tersebut tidak ada kumpulan kontrol jadi tidak dapat dipastikan samada kesan positif yang dialami itu disebabkan oleh air alkali ataupun faktor2 lain. Kajian-kajian lain pula merupakan kajian makmal dan kajian ke atas haiwan yang tentu sekali terlalu awal untuk digunakan untuk membuat sebarang kesimpulan. Untuk mengetahui dengan lebih lanjut mengenai isu air beralkali ini sila klik di sini.






KLORIN DAN FLORIDA DI DALAM AIR YANG DIRAWAT


Klorin digunakan untuk membasmi mikroorganisma dan telah dibincangkan di atas. Florida pula digunakan untuk tujuan kesihatan gigi. Proses merawat air dengan florida dinamakan “water fluoridation” (WF). Sebenarnya florida ini boleh diperolehi dari alam semulajadi, malah di dalam air mentah, udara dan tanah mengandungi florida. Sebenarnya hampir semua jenis air mengandungi florida secara semulajadi. Di Amerika Syarikat, proses WF ini mula diperkenalkan semenjak tahun 1945 lagi apabila pakar sains mendapati penduduk yang tinggal di kawasan yang tinggi kandungan florida di dalam air minuman mereka jarang mendapat kerosakan gigi. Kandungan maksimum florida yang dibenarkan untuk tujuan minum di Amerika adalah 4.0 mg/L.  Ada yang menetapkan tahap maksimum yang lebih rendah. Di Malaysia, KKM telah menetapkan had kandungan florida di dalam air mentah kepada 1.5 mg/L dan air minum 0.4-0.6 mg/L  (rujuk di sini). Pendedahan air yang tinggi kandungan florida untuk jangkamasa panjang boleh menyebabkan masalah tulang dan sendi dinamakan skeletal fluorosis (tulang menjadi lemah). Kaitan di antara florida dan kanser tulang belum dapat disahkan kerana hasil kajian masih belum meyakinkan walaupun ada sedikit bukti melalui kajian ke atas tikus. Lebih 50 kajian populasi telah dijalankan untuk melihat kaitan di antara florida dan kanser, tetapi kajian-kajian ini tidak menunjukkan sebarang bukti kukuh bahawa florida boleh menyebabkan kanser tulang.Kanser tulang sangat jarang berlaku dan tidak mungkin untuk dapat dibuktikan bahawa penggunaan florida boleh menyebabkan kanser tulang kerana memerlukan sampel kajian yang sangat besar dan perlu menolak faktor-faktor lain yang juga mungkin bertanggungjawab. Malah banyak badan-badan antarabangsa seperti National Research Council, National Health Service UK,  IARC, US Public Health Service dan European Scientific Committee on Health and Environmental Risks telah membuat kenyataan bahawa setakat ini tidak ada kaitan di antara pengambilan florida dengan kadar kejadian kanser tulang, kanser tiroid dan lain-lain kanser. 


ADAKAH ANDA MEMERLUKAN PENAPIS AIR


Setelah anda membaca rencana ini tentu anda sudah mendapat gambaran tentang baik dan buruknya penggunaan penapis air di rumah. Jika rumah anda terletak di kawasan di mana rawatan air dijalankan dengan sempurna dan anda mendapat maklumbalas dari pihak yang bertanggungjawab melaksanakan proses rawatan ini, maka anda boleh merasa yakin. Adalah lebih baik jika anda membeli alat penguji kebersihan air dirumah untuk menguji kualiti air dari masa ke semasa. Jika anda di dalam kedudukan ini, maka keperluan untuk mendapatkan alat penapis air adalah kecil. Jika anda mempercayai proses merawat air di kawasan anda, tetapi tidak mempunyai kemudahan untuk menguji kebersihan air di rumah anda, anda boleh juga mengambil pendirian untuk mempunyai alat penapis hanya di dapur di mana air digunakan untuk tujuan memasak dan minum. Manakala air untuk tujuan lain tidak perlu menjalani penapisan. Pendekatan ini juga boleh diterima dan tidak ada sesiapa boleh membuktikan bahawa air yang dirawat tidak selamat digunakan untuk tujuan mandi dan lain-lain aktiviti di bilik air. Satu lagi pendekatan adalah dengan hanya mempunyai satu penapis air yang diletakkan di luar rumah untuk menapis semua air yang sampai ke dalam rumah anda.


Jika anda mempunyai masalah kewangan dan kebetulan pula kawasan perumahan anda mempunyai sistem rawatan air yang baik, maka anda tidak perlu mendapatkan sebarang alat penapis air tetapi adalah digalakkan anda membeli alat pengukur kebersihan air yang harganya murah, cukup untuk menguji beberapa pencemar-pencemar utama air. Di dalam keadaan ini, anda hanya perlu memasak air untuk membasmi mikroorganisma, jika air itu hendak digunakan untuk minum. Melalui pendekatan ini, anda bukan sahaja menjimatkan wang, tetapi anda juga dapat memperolehi bekalan bahan-bahan mineral dan zat2 yang terkandung di dalam air di samping bekalan florida untuk kesihatan gigi anak anda. Tidak ada kajian kukuh yang menunjukkan bahawa orang yang menggunakan penapis air lebih sihat dari orang yang tidak menggunakan penapis air, di kawasan di mana rawatan air dijalankan dengan baik. Di Malaysia, proses rawatan air di kebanyakan tempat adalah baik dan mengikut piawaian yang ditetapkan oleh Jabatan Kimia berpandukan kepada garispanduan dari WHO.


Perlu diingat bahawa penggunaan alat-alat penapis ini mempunyai kekurangan dan masalahnya yang tersendiri seperti kos yang tinggi, perlu penyelengaraan yang tetap, menukar penapis, dan sebahagian dari sistem penapisan ini juga menapis bahan2 mineral dan zat2 yang diperlukan oleh badan manusia. Jika penyelengaraan tidak dilakukan dengan baik, alat-alat penapis ini akan menjadi kurang berkesan dan mungkin boleh memudaratkan kerana ia boleh menjadi tempat pembiakan mikroorganisma pathogen (penyebab penyakit).


Jika anda membuat keputusan untuk membeli penapis air, maka anda tentu tercari-cari apakah jenis penapis yang hendak digunakan. Pada pandangan saya, mana-mana penapis air yang boleh menghasilkan kualiti air mengikut piawaian yang ditetapkan oleh Jabatan Kimia adalah memadai. Tetapi jika anda mempunyai wang yang lebih, anda boleh membeli alat penapis yang lebih berkualiti. Belum ada kajian kukuh yang menunjukkan bahawa individu yang menggunakan penapis air A lebih sihat, lebih cergas dan lebih panjang usianya dari menggunakan penapis B. Perlu diingat bahawa industri penapis air ini adalah satu perniagaan yang besar dan membawa banyak keuntungan kepada peniaga, jadi jangan mudah terpedaya dengan pelbagai stategi perniagaan yang digunakan. Apa yang penting , anda perlu memilih alat penapis yang mudah diselenggara, kos penyelengaraan yang murah dan mudah digunakan. Kepada anda yang rajin dan mahu mencuba perkara baru, anda boleh membuat penapis air sendiri tanpa perlu mengeluarkan belanja yang besar. Saya menemui satu laman web yang mengajar kaedah membuat penapis air sendiri (baca di sini ataupun menonton video youtube ini (lihat di sini). Tidak kira apa sahaja keputusan yang anda ambil mengenai penapis air, sebenarnya faktor yang akan menentukan kesihatan anda adalah gaya hidup anda dan kualiti makanan yang anda ambil. Meskipun anda mempunyai alat penapis air yang terbaik dan tercanggih tetapi anda tidak bersenam, anda tidak mengambil cukup air, anda tidak mengambil makanan seimbang, anda meminum alkohol dan anda merokok, maka penapis air itu akan hanya menjadi perhiasan yang tidak mempunyai peranan yang besar ke atas kesihatan dan kehidupan anda.


Tulisan ini adalah pendapat peribadi Penulis dan tidak mewakili mana-mana institusi dan pertubuhan. 

No comments:

Post a Comment