Friday 8 May 2020

PANDUAN KEPADA AHLI KELUARGA MENGENDALIKAN PESAKIT YANG NAZAK


Semua orang tahu bahawa kematian adalah satu kepastian dan di dalam ilmu perubatan, kematian yang berlaku secara semujadi (bukan mengejut seperti kemalangan) akan melalui proses yang dikenali sebagai fasa di hujung nyawa ataupun "end of life phase". Fasa ini hanya boleh dikenalpasti oleh seseorang yang berpengalaman dan saya cadangkan anda membaca terlebih dahulu tulisan saya di pautan berikut: T
anda-Tanda Di Hujung Nyawa

Pada adatnya fasa di hujung nyawa ini dianggap proses yang tidak boleh diundur kebelakang ("irreversible") sebaliknya akan menuju kepada kematian.

Pakar yang seringkali terlibat di dalam pengendalian fasa di hujung nyawa ini adalah pakar perubatan paliatif. Doktor2 lain juga pernah berdepan dengan pesakit2 seperti ini tetapi tidak sekerap petugas2 yang bertugas di dalam bidang penjagaan paliatif.

Seseorang yang berada di dalam fasa di hujung nyawa ini tentu akan mengalami pelbagai gejala dan jika mereka sedar tentu mereka merasa tidak selesa dan ada yang menderita. Ada yang mengalami kesakitan, kesukaran untuk bernafas, keletihan melampau, kekeliruan dan lain-lain gejala termasuk tekanan emosi. Di dalam ilmu perubatan paliatif, petugas dan pakar di dalam bidang ini akan belajar bagaimana untuk merawat pesakit yang menghadapi fasa di hujung nyawa ini supaya mereka lebih selesa. Walaupun hanya Allah yang tahu penderitaan yang dialami oleh pesakit, tidak salah jika kita dapat berikhtiar untuk mengurangkan penderitaan tersebut.

Peranan keluarga terdekat yang menjaga pesakit yang nazak ini adalah sangat penting jadi di dalam tulisan ini saya ingin berkongsi pedoman dengan ahli keluarga tentang apa yang sebaiknya mereka lakukan untuk menjaga orang yang mereka sayangi ini. Ini adalah merujuk kepada kes2 di mana pihak hospital membenarkan pesakit dibawa pulang disebabkan sudah tidak ada rawatan khusus yang boleh diberikan ataupun pihak keluarga atau pesakit sendiri memohon untuk pulang ke rumah agar dapat menghabiskan sisa2 hidupnya di rumah.

1. Tempatkan di bilik atau ruang yang selesa, pencahayaan yang sederhana dan yang tidak terdedah pada bunyi bising. Mungkin pesakit lebih suka ditempatkan di dalam bilik beliau sendiri.

2. Gunakan alas lembut seperti foam dan bantal lembut supaya katil atau kerusi lebih selesa. Tumpuan diberikan kepada bahagian badan yang tertekan pada tempat baringan seperti tumit, siku, pinggul dan belakang badan. Bahagian2 ini nanti mudah mengalami pengelupasan kulit dan ulcer.

3. Bantu pesakit semasa mengubah kedudukan badan mereka. Umumnya mereka tidak boleh berbaring pada satu kedudukan untuk jangkamasa yang panjang melainkan saat kematian mereka sudah terlalu dekat. Jika boleh berkomunikasi dengan pesakit, dapatkan maklumbalas beliau tentang kedudukan yang paling selesa. Dapatkan nasihat perawat jika tidak pasti kerana ada kedudukan tertentu tidak sesuai disebabkan oleh masalah kesihatan pesakit.

4. Sering menukar cadar dan sarung bantal supaya ianya kekal bersih dan tidak berbau.

5. Kedudukan yang betul juga membantu beliau bernafas dengan selesa. Selalunya pada kedudukan kepala yang lebih tinggi ataupun mengiring mengikut kehendak pesakit. Pesakit yang sudah mengalami "death rattle" yakni pernafasan yang bergelegak selalunya sudah tidak sedarkan diri jadi ahli keluarga tidak perlu risau dengan bunyi tersebut. Mungkin mereka hanya perlu meletakkan kepala dalam kedudukan mengiring untuk mengurangkan bunyi.

6. Jika persekitaran sejuk ataupun beliau mengadu sejuk, bantu memanaskan badan beliau dengan menggunakan selimut, menggosok tangan serta kaki ataupun menggunakan air suam. Elakkan mengguna alat pemanas yang menggunakan elektrik seperti selimut berkuasa elektrik kerana ini mungkin boleh menyebabkan iritasi atau melecur pada kulit pesakit. Begitulah juga jika beliau kepanasan, sejukkan badan. Pesakit seumpama ini selalunya mengalami kawalan suhu badan yang tidak menentu, walaupun lebih kerap mengalami kesejukan.

7. Apabila berkomunikasi dengan pesakit, gunakan bahasa yang lembut, bersopan dan jelas. Ingatkan pesakit tentang tarikh, masa, tempat dan orang yang hadir supaya dapat mengurang gejala kekeliruan yang beliau alami. Maklumat ini tidak memanfaatkan semua pesakit terutama yang sudah tidak sedarkan diri. Elakkan berbual panjang dan bising sesama sendiri yang boleh mengganggu pesakit. Jangan berkasar atau mengeluarkan perkataan kesat kepada beliau jika sikap beliau berubah seperti tidak mendengar arahan, meracau, resah dan bersikap agresif kerana beliau mungkin sedang keliru serta mengalami halusinasi akibat bekalan darah serta oksigen di otak yang terganggu.

8. Membaca ayat2 quran di sebelah pesakit adalah amalan yang digalakkan tetapi jika pesakit sedar, dapatkan kebenaran beliau terlebih dahulu kerana kadangkala pada ketika tertentu beliau lebih selesa dalam keadaan sunyi. Anda boleh lakukan bacaan di tempat lain. Sokongan spiritual sangat membantu.

9. Jika pesakit sudah tidak boleh berkomunikasi, beliau mungkin masih boleh mendengar, jadi anda boleh memberi kata2 semangat yang menyenangkan seperti "jangan risau, anak2 ayah ada di sini", "inshallah, semua OK ayah" termasuk menyebut kehadiran individu yang sangat diharapkannya untuk hadir, ahli keluarga terdekat lebih mengetahui. Pada waktu yang sama jangan pula berbual mengenai sesuatu yang tidak menyenangkan beliau.

10. Jika pesakit tidak boleh menelan, lembapkan mulut dan bibirnya selalu menggunakan sedikit air yang dititis dengan sudu atau straw. Boleh juga menggunakan bam bibir yang boleh mencegah kekeringan bibir dan mulut, anda boleh mencarinya di farmasi ataupun bertanya pada perawat. Jangan memaksa pesakit makan jika mereka tidak mahu kerana adakalanya makan atau minum itu lebih menyeksakan mereka.

11. Mendampingi pesakit selalu. Membantu beliau dari kesunyian dan menunjukkan empati kepada pesakit adalah kaedah yang tidak ternilai harganya semasa beliau sudah menghampiri saat kematian. Duduk di sebelah dan menyentuhnya dengan lembut sangat membantu beliau untuk merasa selesa dan mengurangkan tekanan.

12. Jika beliau mengalami kesakitan yang tidak dapat dikawal oleh ubat yang dibekalkan , dapatkan nasihat doktor. Jangan merawat sendiri kesakitan dengan kaedah2 yang tidak terbukti berkesan lebih2 lagi jika pesakit tidak boleh memberi maklumbalas kerana kaedah itu mungkin menambah kesakitan. Pasukan perawat paliatif atau hospis adalah golongan yang terlatih untuk merawat kesakitan. Mereka boleh ditemui di hospital ataupun NGO yang bergerak di kawasan tempat tinggal anda.

13. Dapatkan bantuan pengamal perubatan jika berlaku keadaan berikut:
a. Kesakitan yang tidak dapat dikurangkan dan pesakit tertekan akibat daripadanya.
b. Pesakit tidak dapat mengambil ubat yang diberikan sedangkan ubat itu penting untuk mengurangkan penderitaan beliau. Pengamal perubatan ada kaedah lain bagaimana ubat itu diberikan.
c. Pesakit mengalami sawan
d. Pesakit mengalami gejala2 sesak nafas yang tidak dapat dikawal dan sangat gelisah/resah.

14. Jika anda orang yang menziarahi pesakit, jangan mengambil masa yang panjang dan memahami perasaan keluarga serta pesakit. Minta izin pihak keluarga terlebih dahulu dan tolong memahami mereka jika anda tidak dibenarkan melihat pesakit. Bertemu dengan ahli keluarga sahaja pun sudah dianggap satu bentuk sumbangan dan keperihatinan. Anda patut membaca petua2 di atas sebagai panduan.

Apabila kematian sudah tiba, otot2 badan pesakit akan mengendur, pernafasannya akan berhenti, jantungnya akan berhenti mengepam dan saluran darahnya berhenti berdenyut. Tamat sudah kehidupannya di dunia dan menuju ke alam barzakh. Tentu satu kepuasan yang besar bagi ahli keluarga yang telah membantu mengendalikan dengan baik fasa di hujung nyawa orang yang mereka sayangi walaupun kehilangan itu pasti akan dirasai. Satu hari nanti kita pula bakal melalui fasa yang sama.

DDr Rushdan Noor
3hb Disember 2019

https://www.nia.nih.gov/health/providing-comfort-end-life


https://patient.info/doctor/end-of-life-care-pro

No comments:

Post a Comment