TULISAN DARIPADA BUAH FIKIRAN DATO' DR.RUSHDAN NOOR DALAM PELBAGAI ASPEK KEHIDUPAN KHUSUSNYA BIDANG PERUBATAN DAN ISU-ISU SEMASA
Wednesday, 25 September 2024
THE MAN WITH 1000 KIDS
Sunday, 8 September 2024
APAKAH KULTUS ("CULT") DAN ANCAMANNYA KEPADA MASYARAKAT
Sunday, 1 September 2024
SELEBRITI DAN PENTAKSUB
PENDAHULUAN
Perkataan selebriti mengikut Kamus Dewan adalah orang yang terkenal dan menjadi tumpuan ramai, terutamanya dalam bidang hiburan seperti bintang filem, pelakon dan penyanyi. Dalam konteks masakini, dengan kemajuan media massa dan medsos, gelaran selebriti boleh juga diberikan kepada lain-lain kerjaya seperti tukang masak/chef, pendakwah, doktor, pakar ekonomi, pakar motivasi, guru, pempengaruh medsos dan lain2.
Taksub atau fanatik pula bermaksud sikap yang melampau dalam sesuatu pegangan atau pendirian. Lawan kepada perkataan taksub adalah toleransi. Toleransi atau tasamuh bermaksud kelapangan dada dan keluasan fikiran. Sikap taksub adalah sikap tertutup terhadap pandangan lain yang berbeza. Sikap taksub boleh berlaku ke atas manusia ataupun objek. Pentaksub dalam konteks rencana ini adalah individu yang memiliki sifat taksub mendewa2kan selebriti.
GELARAN SELEBRITI
Seseorang yang dianggap selebriti akan menerima gelaran di mana perkataan selebriti itu diletakkan di belakang nama kerjaya mereka contohnya chef selebriti, doktor selebriti, cikgu selebriti, pendakwah selebriti atau ustaz selebriti dan lain2.
Untuk menjadi seorang selebriti memanglah susah kerana bukan senang untuk menarik perhatian orang sehingga menjadi popular dan mengumpul ramai pengikut ataupun penyokong. Pengikut2 yang telah lama mengikuti selebriti ini akan mengkagumi mereka sehingga ada yang sampai kepada tahap taksub. Pengikut yang taksub inilah aset paling bernilai kepada seorang selebriti.
Sebelum seseorang menjadi selebriti, tentu ada cita2 ataupun sesuatu yang ingin diperolehi apabila bergelar selebriti. Dengan kata lain, mereka mempunyai produk yang akan ditawarkan kepada orang ramai di mana melalui produk itu, cita2 mereka tercapai. Pengikut yang taksub akan mengikuti selebriti ini di mana saja dan tidak melepaskan peluang untuk mencari produk yang ditawarkan. Produk2 tersebut mungkin dalam bentuk lagu, lakunan, ilmu, produk makanan, pakaian, produk kecantikan, produk kesihatan dan lain2 mengikut kerjaya selebriti tersebut. Salah satu lagi produk yang mungkin tak terfikir oleh pembaca adalah ideologi dan fahaman politik.
PENTAKSUB ADALAH ASET SELEBRITI
Semakin ramai pengikut yang taksub, semakin beruntunglah selebriti tersebut. Jika mereka menawarkan produk yang baik, maka baiklah juga kesannya. Di sebaliknya pula, jika produk itu membawa kemudaratan, maka mudaratlah yang akan ditanggung oleh pengikut mereka. Kemudaratan tersebut mungkin boleh merebak kepada masyarakat dan memberi kesan yang besar.
Pengikut yang biasa masih boleh membuat pertimbangan baik buruk, jadi jika mereka sedar yang produk itu tidak baik ataupun diri mereka cuba dipergunakan, mereka akan berhenti menjadi pengikut. Pendek kata, mereka ini masih waras dan belum mencapai tahap taksub.
Pengikut yang sudah sampai ke tahap taksub sukar untuk membuat pertimbangan yang rasional, pada mereka apa sahaja yang datang dari selebriti tersebut, semuanya baik dan benar belaka. Pentaksub2 ini juga akan mempertahankan selebriti mereka dari sebarang tuduhan dan kecaman. Hatta, jika idola mereka didapati bersalah oleh mahkamah sekalipun , mereka akan bersangka baik dan mempertahankannya. Pendek kata ketaksuban telah menutup kewarasan berfikir.
Selebriti yang bertanggungjawab akan memastikan produk yang mereka tawarkan adalah berkualiti dan memberi manfaat kepada orang ramai. Mereka tidak mengambil kesempatan ke atas pengikut mereka. Mereka bekerja dengan ikhlas dan tidak mengharapkan balasan. Di sebaliknya pula, bukan selidikit selebriti yang mengambil kesempatan dari pengikut mereka. Keuntungan tersebut mungkin dalam bentuk wang ringgit, harta, kuasa ataupun mengembangkan ideologi tertentu.
Jika produk selebriti itu adalah ideologi atau ilmu yang sesat, maka mereka dapat mengujudkan satu gerakan atau kumpulan yang membawa ajaran sesat. Sebenarnya, inilah modus operandi pemimpin2 ajaran sesat dan kultus. Terdapat juga individu yang menjadi terkenal sehingga ke tahap selebriti dengan menyebarkan ilmu yang terpesong di dalam sesatu bidang sehingga mengelirukan masyarakat. Ilmu2 ini mungkin di dalam bidang sains, perubatan, sejarah, agama dan lain-lain.
Status selebriti juga boleh digunakan sebagai batu loncatan untuk mendapatkan keuntungan atas angin, contohnya melalui kutipan derma. Pihak pemungut derma memggunakan mereka untuk menjadi umpan mengutip derma dan wang kutipan tersebut boleh disalahgunakan. Selebriti ini akan diberikan komisyen di atas sumbangan mereka mengumpan penderma. Pendek kata selebriti boleh terjebak di dalam scam.
Status selebriti juga digunakan untuk menarik sokongan parti politik. Dengan pengikut dan pentaksub yang ramai, selebriti ini digunakan semasa berkempen pilihanraya ataupun dipilih menjadi calun pilihanraya. Walaupun selebriti ini popular di dalam bidang lain, pengikut terutama pentaksub sanggup mengundi mereka. Kemampuan mereka untuk menjadi pemimpin dan wakil rakyat sudah tidak penting lagi.
TAKSUB ATAU FANATIK DALAM AGAMA
Menjadi pentaksub bukan sahaja perlu dihindari dalam apa2 urusan dunia, ianya juga sifat yang tercela dalam amalan agama.
Taksub yang dikutuk ini adalah sikap orang-orang yang cuba mengikat pihak lain kepada dirinya dan menafikan peranan orang lain. Mereka seolah-olah berkata: "Adalah hak aku untuk berkata dan kewajipanmu untuk mendengar. Hak aku untuk memimpin dan kewajipan kamu untuk mengikut. Pendapatku benar belaka dan tidak mungkin salah, pendapatmu salah dan tidak mungkin benar".
Allah berfirman maksudnya "Katakanlah: "Wahai Ahli Kitab, janganlah kamu melampau-lampau dalam agama kamu secara yang tidak benar, dan janganlah kamu menurut hawa nafsu suatu kaum yang telah sesat sebelum ini dan telah menyesatkan banyak manusia, dan juga (sekarang) mereka tersesat (jauh) dari jalan yang benar".Maksud Surah Al-Maidah (5):77)
"Serulah ke jalan Tuhanmu (wahai Muhammad) dengan hikmah kebijaksanaan dan nasihat pengajaran yang baik, dan berbahaslah dengan mereka (yang engkau serukan itu) dengan cara yang lebih baik:".Maksud Surah Al-Nahl (16):125
Mendakwa diri sebagai seorang yang istimewa seperti keturunan Nabi adalah salah satu lagi kaedah untuk menjadi selebriti. Ramai individu yang mengaku mempunyai darah keturunan nabi hanya untuk menjadi popular dan mengumpul pengikut. Kejadian seorang pemuda dari Maghribi yang mengaku sebagai keturunan Nabi sehingga disanjung dan dipuja oleh ramai umat Islam. Sedangkan pihak berkuasa maghribi sendiri telah memberi kenyataan mengesahkan bahawa beliau berasal dari Algeria dan tidak ada kaitan dengan Sharif Idrisi di Maghribi atau mana-mana jalur keturunan Nabi Muhammad SAW yang lain, sebaliknya hanya mengeksploitasi nasab suci Nabi Muhammad SAW untuk menarik perhatian pengikut. Disebabkan oleh taksub, ramai pengikut beliau yang masih mempertahankan dan terus mengidolakan beliau.
Sikap taasub terhadap individu ini akan membuka ruang kesesatan dan penyelewengan daripada jalan yang benar kerana mengikuti seseorang itu secara buta dan akhirnya menyebabkan kerosakan kepada agama dan umat. Sabda Nabi SAW, bermaksud:
"Dan janganlah kamu berlebih-lebihan dalam agama, maka sesungguhnya yang telah membinasakan umat sebelum kamu itu sikap berlebih lebihan dalam agama" (Riwayat an-Nasa'ie).
Banyak lagi contoh amalan2 agama yang sesat akibat sifat taksub atau fanatik yang dimiliki oleh umat Islam.
KESIMPULAN
Memiliki gelaran selebriti boleh menjadi seperti serampang dua mata. Jika gelaran itu digunakan untuk kebaikan, maka banyaklah pahala yang akan dikumpulkan. Sebaliknya jika gelaran itu disalahgunakan, maka rosaklah masyarakat. Jauhi sikap taksub kepada manusia kerana seorang yang taksub akan mempunyai minda tegar yang tidak berupaya membuat pertimbangan yang rasional mengenai idola mereka sehingga segala apa yang dilakukan oleh idola mereka ini dianggap benar belaka. Pengikut yang taksub mudah dipergunakan dan boleh menjadi mangsa dalam pelbagai bentuk penipuan oleh selebriti yang tidak bertanggung jawab. Sikap taksub juga dilarang oleh agama. Jadilah manusia yang tidak mudah mempercayai, berfikiran terbuka, berilmu dan teliti di dalam menilai kesahihan sesuatu maklumat.
Dato' Dr Rushdan Noor
1hb September 2024
Friday, 30 August 2024
HENTIKAN SENGKETA, PULIHKAN PERPADUAN
Monday, 19 August 2024
BAGAIMANA PENYAKIT MONKEY POX DISEBARKAN
APAKAH KAEDAH PENYEBARAN VIRUS MONKEY POX (mpox)?
Melalui sentuhan/kontak rapat (termasuk hubungan seks sesama jenis) dengan orang yang dijangkiti dan bahan2 tercemar. Virus mpox tidak dijangkiti melalui udara seperti Covid-19
SENTUHAN/KONTAK YANG BAGAIMANAKAH VIRUS MPOX DISEBARKAN?
1. Kontak pada kudis/ruam atau keruping pesakit monkey pox
2. Kontak cecair yang keluar dari mulut, hidung, kemaluan dan dubur (melalui ciuman, pelukan, hubungan seks lelaki-wanita atau sesama jenis termasuk hubungan seks melalui dubur, termasuk semasa mengurut)
3. Bersemuka dan bersembang secara dekat dalam jangkamasa yang lama dengan pesakit Monkey Pox juga boleh menyebarkan virus mpox
4. Kontak dengan objek yang tercemar dengan virus mpox seperti cadar, selimut, tuala, alat2an dan juga alat mainan seks ("sex toys")
5. Ibu hamil yang dijangkiti boleh menyebarkan virus mpox kepada anak semasa dalam kandungan ataupun ketika proses kelahiran.
6. Walaupun jarang, sentuhan rapat dengan haiwan (peluk, cium, tidur sekali) yang dijangkiti oleh virus mpox ini juga boleh menyebarkan virus mpox. Memakan daging haiwan yang tidak dimasak dengan sempurna juga berpotensi untuk dijangkiti.
BILAKAH SESEORANG PESAKIT MONKEY POX BOLEH MENJANGKITI ORANG LAIN ?
1. Pesakit boleh menyebarkan virus mpox semasa mula mengalami gejala (demam, ruam, sakit tekak, sakit kepala, sakit otot, sakit belakang, tidak bertenaga dan bengkak biji kelenjar) sehinggalah ruam sembuh sepenuhnya.
2. Jangkitan juga dikatakan boleh berlaku 1 hingga 4 hari sebelum pesakit mengalami gejala.
BOLEHKAH MONKEY POX DISEBARKAN DALAM KOLAM MANDI ATAUPUN BATHTAB ?
Belum ada bukti yang virus mpox boleh merebak dalam kolam mandi ataupun bathtab kerana virus ini tidak boleh hidup di dalam air yang dirawat dengan klorin.
Dati' Dr.Rushdan Noor
20hb Ogos 2024
Rujukan :
https://www.cdc.gov/poxvirus/mpox/if-sick/transmission.html
Sunday, 18 August 2024
SALAH FAHAM DAN SALAH GUNA GELARAN DR & PROFESOR
Saya setuju dengan pendapat bahawa gelaran Dr atau Profesor atau Ulamak atau Tok Guru atau Ustaz yang dimiliki itu adalah hanya untuk bidang yang menjadi sebab mengapa gelaran itu diberikan. Seorang Dr atau Profesor dalam bidang A tidak boleh dianggap Dr atau Profesor dalam bidang B. Melainkan jika ada kelayakan akademik untuk kedua2 bidang.
Gelaran Dr yang saya miliki adalah dalam bidang perubatan tetapi apabila saya menulis atau bercakap mengenai Astronomi, gelaran Dr itu sebenarnya tidak terpakai untuk bidang ini. Astronomi adalah minat atau "special interest" saya sahaja, tanpa kelayakan akademik.
Boleh ke kita menulis dan bercakap dalam bidang lain? Setahu saya tidak ada peraturan ataupun undang2 untuk menulis apa2 saja tajuk di dalam medsos, kecuali tulisan yang menghasut, memfitnah dan melibatkan isu sensitif 3R.
Kalau hendak menulis atau bercakap tentang bidang lain, kenalah tahu etika dan batas2nya. Contohnya saya ada asas ilmu sains/matematik dan saya membaca tentang Astronomi daripada sumber yang berwibawa ataupun mendapat maklumat dari pakar Astronomi, kemudian saya hanya terjemahkan maklumat tersebut untuk dikongsikan dengan orang ramai. Saya tidak memandai2 mencipta idea baru atau menokok tambah ilmu yang sedia ada, apatah lagi mempertikaikan pendapat pakar astronomi. Dalam tulisan itu, saya akan letakkan sumber ataupun rujukan supaya ada kredibiliti dan pembaca dapat menyemak semula faktanya.
Saya akan dianggap tidak beretika dan tidak jujur jika menggunakan gelaran Dr atau Professor dalam bidang A untuk berkongsi ilmu seolah2 saya pakar dalam bidang B. Contohnya saya adalah Dr atau Profesor dalam bidang undang2, tetapi saya menulis dan bercakap tentang rawatan penyakit dan mencipta kaedah baru merawat penyakit ataupun mencipta produk kesihatan. Ataupun saya mengeluarkan idea2 baru tentang punca dan kajian penyakit yang tidak selari dengan pendapat pakar perubatan. Begitu juga jika saya seorang doktor perubatan menulis kritikan terhadap pandangan mazhab2, mempertikaikan pandangan ulamak muktabar, sedangkan saya tidak ada asas atau latar belakang ilmu agama.
Ramai ahli masyarakat kita tidak mampu menilai kredibiliti sesuatu maklumat. Apabila seseorang bergelar Dr atau Profesor ataupun lain2, mereka akan percaya bulat2 apa yang diucapkan, asalkan dia petah berkata2 atau pandai "menggoreng". Asalkan apa yg diucapkan itu sedap serta hebat didengar dan kebetulan serasi pula dengan citarasa pendengar, terus dapat "like" dan "share".
Sudah sampai masanya kita menjadi ahli masyarakat yang lebih teliti dan kritikal bila membaca atau mendengar tentang sesuatu maklumat/ilmu. Selidik dahulu latar belakang akademik dan kewibawaan penyampai. Kenalpasti apakah bidang yang diwakili oleh gelaran tersebut. Adakah tajuk yang disampaikan itu selari dengan kepakaran mereka dan teliti sumber rujukan sebelum berkongsi maklumat itu dengan orang lain.
Ramai sahabat2 facebook saya mempunyai kepakaran dan kelayakan akademik yg hebat2 dalam pelbagai bidang tetapi hanya segelintir sahaja sudi berkongsi ilmu. Masing2 tentu ada alasan yang munasabah, tapi sudilah sekiranya dapat membantu menyebarkan maklumat melalui butang "like" dan "share". "Like" dan "share" dari anda itu juga akan mengangkat kredibiliti tulisan jika tulisan itu berkaitan dengan bidang kepakaran anda. Semoga kita dapat mengangkat martabat masyarakat dgn ilmu yang betul dan menenggelamkan karut marut yang disebarkan oleh pihak yang tidak berkelayakan.
Dato' Dr Rushdan Noor
19hb Ogos 2024
























