Saturday 4 July 2020

BEKAM DARI PERSPEKTIF PERUBATAN MODEN

Dato' Dr.Mohd Rushdan Md Noor

MD,MOG(UKM),FGO(S"PORE),AM



APAKAH BEKAM (HIJAMA, CUPPING)



Bekam adalah perkataan melayu, manakala di dalam bahasa Arab dinamakan al-hijamah dan “cupping” di dalam bahasa inggeris. Mengikut kamus dewan terdapat dua makna bekam, iaitu mengeluarkan darah kotor dengan membedah sedikit dan menghisap, manakala makna kedua bekam adalah memendam ataupun menyembunyikan perasaan. Di dalam kontek rencana ini, saya mengambil makna yang pertama. Terdapat banyak lagi istilah yang digunakan untuk merujuk kepada bekam mengikut negara mana ianya diamalkan kerana rawatan bekam diamalkan di hampir seluruh dunia. 


Bekam bermaksud menyedut ataupun menghisap, di dalam ertikata sebenar ianya adalah proses menyedut kulit pada bahagian-bahagian badan tertentu dan dipercayai semasa sedutan tersebut, darah dan bendair dalam tisu sekitarnya juga disedut. 


Terdapat dua jenis utama bekam iaitu 


1. Bekam kering ("dry cupping") dan 


2. Bekam basah ("wet cupping")


Terdapat juga pengamal bekam yang membahagikan bekam basah kepada dua iaitu bekam basah traditional dan bekam basah cara nabi dinamakan Al-hijamah (1). Bekam kering tidak melibatkan sebarang suntikan/torehan untuk mengeluarkan darah berbanding dengan bekam basah yang perlu menggunakan benda tajam untuk membuat luka kecil pada kulit dan apabila sedutan dikenakan, darah akan keluar dan berkumpul di dalam cawan bekam. 


Di dalam Al-hijamah, 3 peringkat perlu dilakukan iaitu penyedutan kulit, menoreh dan menyedut, manakala cara traditional torehan dilakukan dahulu baru disedut. Terdapat banyak jenis penyedut yang digunakan seperti tanduk haiwan, buluh,mangkuk gelas, mangkuk poteri dan mangkuk besi. Sedutan dihasilkan apabila vakum ataupun tekanan negatif diwujudkan di dalam mangkuk berkenaan samada secara sedutan manual, pam ataupun dengan kaedah menggunakan api dan asap. Mangkuk bekam mempunyai pelbagai saiz mengikut kawasan yang hendak dibekam, usia dan juga saiz badan seseorang yang dirawat. 


Di dalam rawatan bekam kering, tidak ada darah yang keluar kerana kulit tidak dilukakan, pengamal bekam percaya semasa sedutan tersebut darah dan bendalir badan ditarik ke kawasan bawah kulit yang disedut sehingga menjadi bengkak dan kemerahan. Ini berbeza dengan bekam basah di mana senjata tajam digunakan untuk menyucuk ataupun menoreh kulit (selalunya dilakukan selari dengan garisan kulit (skin line/crease) sehingga berdarah, mangkuk bekam akan digunakan untuk menyedut darah keluar dari kawasan tersebut. Sebenarnya terdapat banyak jenis teknik berbekam termasuk penggunaan alat bekam yang berbeza, saiz mangkuk, sedutan yang dihasilkan, ada yang menggunakan campuran ubat herba, menggerakkan mangkuk bekam dan ada juga yang menggabungkan kaedah bekam dengan kaedah rawatan alternatif lain ataupun kaedah rawatan konvensional.





SEJARAH BEKAM


Dokumen sejarah terawal amalan berbekam dipercayai pada tahun 3300 sebelum masihi ataupun lebih 5000 tahun dahulu di Macedonia. Walaupun amalan bekam bermula semenjak tahun 3000 sebelum masihi, rekod terawal mengenai bekam dikatakan ditemui di dalam salah satu buku teks perubatan terawal dikenali sebagai Ebers Papyrus pada tahun 1500 sebelum masihi. 


Pada tahun 2600 sebelum masihi barulah kaedah rawatan ini diperkenalkan di negeri China. Orang China mempelopori kaedah rawatan bekam dan sebab itulah ianya termasuk di dalam kategori kaedah rawatan traditional China. Hippocrates (tahun 400 sebelum masihi) pernah menyebut tentang bekam kering dan basah (dry and wet capping) yang digunakan untuk merawat pelbagai jenis penyakit. 


Pada zaman Nabi Muhammad saw sendiri bekam diamalkan dan terdapat hadith sahih yang diriwayatkan oleh Ibn Abbas yang bermaksud “Sesungguhnya Rasullullah s.a.w itu berbekam ketika berihram di kepala baginda disebabkan sakit yang ada padanya’ (Riwayat sahih al-Bukhari). Said bin Jubir berkata dari Ibn Abbas r.a bahawa Rasulullah saw bersabda “Kesembuhan dapat diperoleh dengan tiga cara; pertama dengan meminum madu, kedua berbekam/hijamah dan ketiga dengan besi panas. Dan aku tidak menganjurkan umatku untuk melakukan pengobatan dengan besi panas” Riwayat Bukhori (sahih). Dikatakan terdapat 28 perkataan bekam yang ditemui di dalam beberapa hadis nabi walau bagaimanapun tidak dipastikan samada hadis tersebut sahih ataupun tidak. Di samping itu tidak diterperincikan tentang kaedah bekam serta jenis bekam yang digunakan. Perkataan bekam tidak dinyatakan di dalam al-quran tetapi al-quran menyebut supaya umatnya mengikut cara kehidupan nabi Muhammad saw. Terdapat beberapa lagi hadith yang menyebut tentang bekam di sini. Amalan berbekam ini sebenarnya sudah lama diamalkan sebelum kedatangan Nabi Muhammad saw dan kaedah rawatan ini menjadi pilihan ramai orang pada zaman baginda termasuk baginda sendiri. Ibnu Sina sendiri pernah menyebut tentang bekam di dalam buku beliau bertajuk “Al Qanoon”. Manakala seorang pakar perubatan Islam Al-Razi (85-925 masihi) menggunakan bekam kering untuk merawat penyakit kesukaran bercakap dan penyakit cacar. Sehingga ke hari ini terlalu banyak jenis penyakit dikatakan dapat dirawat dengan kaedah berbekam. Persoalannya adakah Nabi Muhammad saw menerima semua dakwaan manfaat berbekam yang dibuat oleh pengamal-pengamal bekam hari ini. Adakah bekam ini termasuk di dalam kategori sunnah ataupun tidak, ulamak mempunyai perbezaan pendapat di dalam hal ini. Di dalam rencana ini saya akan menumpukan perbincangan tentang bekam daripada perspektif perubatan moden.   


RAWATAN BEKAM DARIPADA PERSPEKTIF PENGAMAL BEKAM 


Pengamal bekam percaya kaedah rawatan ini dapat menyembuhkan ataupun membantu merawat banyak jenis penyakit yang di antaranya penyakit darah tinggi, skiatika (sakit belakang peha akibat tekanan saraf skiatik), sakit belakang, migraine, masalah sakitpuan termasuk kesuburan, sakit lutut, rheumatoid arthritis, penyakit hati, penyakit limpa, berat kepala, asma, susah bernafas, angina ahmar, penyakit kayap, jantung berdebar, sakit kepala, buasir, psoriasis, eczema, jerawat dan lain-lain lagi. Malahan ada yang menyebut bilangan jenis penyakit yang dapat dirawat ataupun dipulih berjumlah sehingga 70 jenis


Pengamal bekam percaya tindakan membekam memberi kesan manfaat melalui beberapa cara seperti ransangan saraf, menarik aliran darah ke kawasan yang dirawat, menarik darah kotor dari organ penting seperti hati dan ginjal ke bahagian kulit, menyuci ataupun menapis darah, mengregulasi sistem imun, mengeluarkan toksin, mengurangkan kolestrol, kesan psikologi, mengeluarkan radikal bebas, memindahkan tenaga dalam dan banyak lagi. Sebahagian dari mereka mendakwa bahawa mekanisma penapisan darah yang dilakukan oleh bekam lebih berkesan dari yang dilakukan oleh ginjal dan alat hemodialisis. 


Terdapat juga pengamal bekam yang mendakwa bahawa aplikasi mangkuk bekam pada kawasan tertentu badan akan menentukan apakah jenis rawatan penyakit yang hendak dipulihkan, contohnya pada belakang leher untuk sakit kepala, radang selaput otak, radang selaput mata. Mangkuk yang dikenakan pada bahagian betis kaki untuk rawatan sakit batu ginjal dan tidak datang haid, apabila ditempatkan di bawah payudara, untuk merawat pendarahan haid yang banyak, masalah kesihatan semasa pantang dan lain-lain. Kawasan-kawasan yang dilekapkan mangkuk bekam ini juga dipilih berdasarkan kepada pengetahuan acupoints seperti di dalam rawatan akupuntur jadi terdapat kaitan di antara bekam dan akupuntur. Begitu juga dengan jenis bekam yang digunakan (bekam kering dan basah) ada dikhususkan dengan penyakit tertentu. 


Menurut pengamal perubatan bekam, di bawah kulit terdapat point-point yang mempunyai jaringan yang mampu menghantar tenaga, apabila berlaku gangguan dalam jaringan tersebut, maka metabolisma tubuh menjadi tidak seimbang dan tubuh menjadi tidak sihat. Manakala bagi pendapat perubatan moden pula pandangan seumpama ini terlalu simplistik dan tidak pernah dibuktikan secara objektif, sedangkan tubuh badan manusia adalah sangat kompleks. Dengan adanya dakwaan-dakwaan yang banyak mengenai bekam dan kegunaannya untuk merawat pelbagai jenis penyakit, ianya telah menarik perhatian saya untuk mencari rencana-rencana yang ditulis oleh ahli-ahli sains bekam supaya dapat memahami bagaimanakah mereka membuktikan dakwaan-dakwaan mereka. Di samping itu saya juga membuat pencarian kertas-kertas kajian saintifik mengenai bekam yang pernah disiarkan di dalam jurnal antarabangsa. Saya akan berkongsi dengan anda mengenai penemuan saya tersebut.


PANDANGAN SAYA TENTANG PENJELASAN AHLI SAINS BEKAM DAN PENGAMAL BEKAM


Memang terdapat pengamal bekam yang mempunyai latarbelakang ilmu sains dan perubatan. Ada di antara mereka melakukan kajian, menulis rencana dan buku tentang bekam. Terdapat juga ahli sains moden sendiri yang mengkaji tentang bekam dan bilangan kertas kajian yang disiarkan berjumlah ratusan. Saya dapati ramai dalam kalangan mereka adalah bukan dari bidang klinikal sebaliknya adalah ahli-ahli sains di dalam bidang biokimia, mikrobiologi, perubatan molecular dan farmasi sehingga terlalu banyak kajian-kajian makmal yang dijalankan. Salah satu rencana panjang yang saya baca adalah tulisan Dr.Salah Mohamad El Sayed dari Jabatan Biokimia Perubatan, Universiti Sohag, Mesir disiarkan di dalam Jurnal of Blood Medicine tahun 2014 (1,2). Sebahagian dari penjelasan mengenai bagaimana bekam bertindak dan kesan-kesan manfaat rawatan bekam adalah diambil dari rencana tulisan beliau yang agak panjang ini. Di samping membaca tulisan beliau, saya juga mengambil beberapa rujukan kajian yang beliau gunakan untuk menyokong tulisan beliau. Saya dapatkan rencana lengkap rujukan beliau itu dan menilai kualiti kajian tersebut menggunakan prinsip "Evidence based Medicine" (Rujuk di pautan ini untuk membaca tajuk ini).


Saya agak terkejut apabila membaca beberapa rencana mengenai bekam yang ditulis oleh Dr.Salah Mohamad El Sayed kerana mendapati banyak rujukan tulisan beliau berdasarkan kepada kajian kecil yang bukan “randomized control trial”. Contohnya beliau dengan yakin mendakwa bekam basah terbukti berkesan memperbaiki beberapa parameter darah seperti kandungan ferritin, kandungan lemak, asid urik, gula darah, parameter fungsi ginjal dan juga tekanan darah berpandukan kepada kajian (membuat citation) yang dijalankan oleh Dr.Fairouz K Alshowafi dari Jabatan Biokimia Universiti Sana’s sedangkan kajian itu dilakukan hanya ke atas 60 orang subjek yang sihat dan ujian darah dilakukan sebelum dan selepas bekam dilakukan (selepas 10 hari). Di dalam kajian ini tidak diwujudkan kumpulan control dan ujian darah dilakukan ke atas individu yang sama. Terlalu banyak faktor yang akan mempengaruhi kandungan parameter darah subjek-subjek yang diuji dan sangat sukar untuk membuat pengesahan bahawa kesan perubahan tersebut adalah disebabkan oleh bekam. Pada pandangan saya, metodologi kajian seumpama ini sangat meragukan. Di dalam ayat terakhir di bawah tajuk  “conclusion” beliau menyatakan “This is a preliminary observation that needs to be confirmed in a larger sample of subjects” maksudnya kajian ini adalah kajian awal yang memerlukan saiz sampel lebih besar untuk mengesahkan dakwaan beliau (3). Jika pengkaji asal pun membuat kesimpulan tersebut, mana mungkin dapat digunakan hasil kajian beliau untuk dijadikan bukti yang kukuh. 


Kemudian untuk meyakinkan pembaca tentang kesan bekam ke atas sistem imun, beliau berkata bekam basah dapat meransang sistem imun semulajadi dengan cara meningkatkan kandungan darah putih dan natural killer cells (“potentiation of the natural immunity in the form of physiological leucocytosis and an increased number of physiological leucocytosis and an increased number of natural killer cells were reported after applying WCT (Wet capping therapy)” berdasarkan kepada citation kertas kajian yang dilakukan oleh Dr.Ahmed SM dari Jabatan Mikrobiologi Fakulti Perubatan Universiti Al-Azhar yang disiarkan di dalam Jurnal Egypt J Immunology tahun 2005. Di dalam kertas kajian tersebut Dr.Ahmed membuat kajian kesan bekam basah (blood-letting cupping) sebagai rawatan alternatif untuk penyakit rheumatoid arthritis dan membuat ujian kesannya ke atas sel natural killer dan kandungan reseptor interleukin 2. Hanya sejumlah 50 pesakit rheumatoid arthritis (RA) yang dikaji dan di dalam kajian ini 2 kumpulan telah diwujudkan iaitu 30 orang menerima rawatan konvensional dan bekam basah manakala 20 orang lagi menerima hanya rawatan konvensional sahaja. Kedua-dua kumpulan dipantau selama 3 bulan, didapati kedua dua kumpulan menunjukkan perkembangan positif dari segi gejala, parameter-parameter biokimia dan sel-sel darah putih, tetapi penulis mendakwa kumpulan yang menggunakan kedua-dua kaedah tersebut menunjukkan kesan yang lebih besar. Beliau membuat rumusan “BLC therapy combined with conventional therapy MAY improve the clinical condition of patients with RA. It has modulatory effects on the innate and adaptive cellular immune responses that could be used as monitoring tools for disease activity and prognosis”(4). Sekali lagi rujukan ini tidak cukup meyakinkan saya kerana beberapa faktor iaitu sampel yang sedikit, kedua-dua kumpulan yang diuji juga diberikan rawatan konventional, bilangan ahli di dalam kumpulan yang tidak seimbang, ianya bukan kajian placebo control trial dan tentu sekali tidak dilakukan “blinding”. Kesan positif bekam basah yang didakwa itu dibuat hanya berdasarkan kepada andaian semata-mata dan perhatikan di dalam rumusan akhir kajian beliau yang menyebut perkataan “MAY” ataupun MUNGKIN


Kemudian Dr.Salah Mohamad El Sayed merujuk kajian dari Zhang CQ et al yang kononnya telah mengesahkan penemuan Dr.Ahmed SM dengan rujukan kajian yang disiarkan di dalam Jurnal Zhonggua Zhong Zi Yi Jie Ha Za Zhi tahun 2006 yang menulis hasil kajian kesan rawatan bekam ke atas sistem imun pesakit asma bronchitis kronik, di dalam kajian ini penulis menggunakan rawatan herba dinamakan Liuwei Dihuang Pill (LDP) (dihasilkan sendiri oleh penulis) dan menggabungkannya dengan bekam. Kajian ini melibatkan 77 pesakit yang kemudiannya dibahagikan kepada dua kumpulan iaitu yang mengambil LDP serta bekam dan kumpulan yang hanya berbekam tanpa ubat herba. Kandungan limfosit, interferon, interleukin,immunoglobulin dan komplemen ditentukan sebelum dan selepas rawatan diberikan. Hasil keputusan kajian ini menunjukkan keputusan yang lebih baik dalam hampir kesemua parameter yang diuji ke atas kumpulan yang menggabungkan ubat herba dan bekam. Saya sekali lagi terkejut dengan hasil keputusan kajian ini yang terlalu baik untuk dipercayai, jikapun ianya benar metodologi kajian ini juga meragukan, ianya adalah kajian makmal semata-mata dan kedua-dua kumpulan telah menjalani bekam, tidak ada kumpulan plasebo di dalam kajian ini. Kajian ini tidak menyentuh dari segi keberkesanan bekam dari aspek klinikal tetapi hanya melihat perubahan biokemikal (5). Kajian ini hanya ingin menunjukkan bahawa penambahan ubat herba ke atas rawatan bekam meningkatkan keberkesanan jika dibandingkan dengan hanya berbekam, seolah-olah pengkaji ingin mempromosi herba ciptaan beliau. Saya tidak pasti apakah kandungan bahan kimia yang terdapat di dalam herba yang digunakan oleh penulis. Tidak ada kajian klinikal dilakukan untuk melihat kesan positif ke atas  gejala dan tanda-tanda kepada pesakit. Ujian pra-klinikal seperti ini tidak boleh digunakan untuk mengesahkan apa-apa dakwaan yang boleh digunakan untuk tujuan amalan. Tetapi bukti inilah yang digunakan oleh ahli sains bekam untuk mendakwa kesan manfaat dari rawatan bekam di dalam rencana tulisan mereka. 


Terdapat kertas kajian yang mendakwa bekam basah dapat mengeluarkan pengoksidan (oxidants) dan mengurangkan oksidative stress melalui kajian kecil melibatkan 31 orang sukarelawan. Mereka ini kemudiannya menjalani bekam basah dan kandungan bahan-bahan pengoksidan dan aktiviti enzim myeloperoxidase serta superoxide dismutase diukur dari darah venus dan dibandingkan dengan ujian yang diperolehi dari darah bekam. Kandungan darah dari bekam menunjukkan aktiviti enzim myeloperoxidase yang lebih tinggi, aktiviti superoxide dismutase (enzim antioksidan) yang lebih rendah dan kandungan nitric oksida (penyebab banyak jenis penyakit) dan malondialdehyde yang lebih tinggi dari darah venus. Kajian ini bukan “randomized control trial” tetapi cuma pemerhatian hasil kajian yang diperolehi dari ujian makmal (mengukur kandungan pengoksidan dan tahap oxidative stress), sampel yang digunakan adalah sedikit dan kaedah pengujian tahap oxidative stress yang sukar ditafsirkan. Ukuran oxidative stress paling baik adalah dengan mengukur kandungan superoxide dan hydrogen peroxide tetapi ini tidak dilakukan. Mana mungkin dengan mudah boleh disimpulkan bahawa bekam basah dapat mengeluarkan pengoksidan dan mengurangkan oxidative stress jika berasaskan kepada kajian seumpama ini (6). Adalah sesuatu yang dijangkakan bahawa kandungan darah dari bekam adalah berbeza dengan darah dari saluran vena kerana darah dari bekam sudah bercampur dengan cecair interstitial, mungkin ada cecair limfatik,sel-sel dan bahan-bahan lain termasuk pencemaran dari kulit dan mangkuk yang digunakan. Jika pun benar dakwaan ini, ianya tidak membawa apa-apa implikasi klinikal kerana ianya adalah kajian pra-klinikal. Di samping itu saya mempersoalkan mengapa digunakan darah vena dan bukan darah arteri sedangkan apa yang lebih penting adalah darah dari salurdarah arteri yang bertanggungjawab membekal seluruh badan dan organ manusia. Saluran vena adalah salur darah yang membawa darah balik ke jantung untuk dipam ke paru-paru bagi mendapatkan semula sifat darah di dalam salur darah arteri. Sepatutnya pengkaji membahagikan dua kumpulan iaitu kumpulan yang menjalani bekam dan kumpulan control yang tidak menjalani bekam, kemudian darah mereka diambil sebelum dan selepas bekam dijalankan untuk melihat perbezaan kandungan pengoksidan dan tahap oxidative stress. Jikapun kajian yang saya syorkan ini dijalankan, ianya akan meninggalkan banyak lagi persoalan seperti apakah implikasi klinikal kepada pesakit, berapa lamakah ianya boleh bertahan, berapa kerapkah bekam perlu dilakukan dan adakah ianya akan dapat mencegah dan menyembuhkan penyakit. Begitu juga bukti bekam merawat jangkitan kulit yang dikenali sebagai “cellulitis”, penulis hanya menggunakan bukti “case report” (2) untuk menguatkan dakwaannya bahawa bekam dapat merawat jangkitan kuman sedangkan “case report” sebenarnya setaraf dengan testimoni dan tidak boleh digunakan sebagai bukti kukuh.


Banyak teori-teori dikemukakan untuk cuba menjelaskan bagaimana bekam mengurangkan gejala dan merawat penyakit. Di antara teori-teori yang dikemukakan adalah teori Hong et al, teori Gao et al dan teori Taibah atau Salah (mungkin mengambil sempena nama Dr.Salah Mohamad El Sayed), saya tidak akan menyentuh teori-teori tersebut dengan lebih lanjut kerana teori adalah idea yang dicadangkan (tapi belum disahkan benar) untuk menerangkan berlakunya sesuatu perkara. Saya dapati ahli sains bekam Arab termasuk Dr. Salah Mohamad El Sayed membuat kesimpulan terlebih dahulu tentang bekam sebelum mencari bukti-bukti kebenaran (2). Malahan teori yang beliau cadangkan adalah ke atas kesimpulan yang belum disahkan benar. Ini mungkin disebabkan oleh kepercayaan bahawa bekam adalah sunnah ataupun perubatan Islam. Sedangkan hakikatnya terdapat perbezaan pandangan ulamak tentang perkara ini kerana bekam tidak berkait dengan akidah, sebaliknya adalah amalan tradisional ataupun kaedah rawatan ciptaan manusia yang sudah diamalkan beribu-ribu tahun sebelum kelahiran Nabi junjungan kita. Salah seorang ilmuan agama di negara kita iaitu Profesor Emeritus Datuk Dr. Mahmood Zuhdi berpendapat bahawa bekam BUKAN perubatan islam. Anda juga boleh membaca rencana tulisan Mufti Perlis Dato Dr. Mohd Asri Zainal Abidin (Dr.Maza) mengenai maksud perubatan islam di pautan ini. Jika ada yang berpegang dengan pendirian yang berbeza, ia hendaklah merujuk kepada jenis penyakit dan kaedah yang betul. Ini selari dengan kenyataan Irsyad al-Hadith siri ke 36, di mana berbekam baik diamalkan dengan syarat untuk penyakit yang sesuai dan dilakukan oleh pengamal yang terlatih (Rujuk di sini).


 

Setelah selesai membuat pembacaan beberapa rencana yang ditulis oleh ahli-ahli sains yang mengkaji bekam termasuk dari Timur Tengah ini, saya merasa kecewa apabila ahli-ahli sains ini menggunakan hasil-hasil kajian seumpama ini untuk tujuan mengesahkan pandangan peribadi mereka mengenai manfaat berbekam. Walaupun mereka sememangnya pakar dan arif tentang fisiologi badan manusia tetapi apabila menjelaskan mekanisma bagaimana bekam bertindak, mereka lebih banyak menggunakan pendapat peribadi (teori) yang tidak disokong oleh bukti yang objektif dan kajian saintifik yang kukuh. Melalui pendirian mereka ini, maka wujudlah pelbagai andaian dan ektrapolasi mengenai keberkesanan bekam di dalam merawat pelbagai jenis penyakit.Tidak kurang juga terdapat dakwaan-dakwaan yang berasaskan kepada testimoni ataupun bukti anecdotal semata-mata. Harapan saya untuk mencari bukti kukuh mengenai keberkesanan bekam dari rencana dan kajian yang dijalankan setakat ini menemui jalan buntu. Saya mengambil keputusan untuk melakukan sendiri  pencarian ke atas kajian-kajian saintifik yang lebih berwibawa mengenai bekam yang disiarkan di dalam jurnal-jurnal antarabangsa.


KAJIAN SAINTIFIK MENGENAI BEKAM


Saya telah menulis mengenai kaedah menentukan keberkesanan produk kesihatan dan kaedah rawatan daripada pandangan perubatan moden di mana produk-produk tersebut perlu menjalani beberapa peringkat kajian dari kajian pra-klinikal dan 4 fasa kajian klinikal. Untuk mencapai peringkat fasa 3 kajian klinikal, produk tersebut perlu diuji ke atas ramai responden/subjek untuk melihat bahawa ianya benar-benar berkesan dan bukan disebabkan oleh kebetulan ataupun akibat kesan plasebo. Kaedah kajian yang dibuat hendaklah dilakukan dengan kaedah yang diterima oleh disiplin perubatan di mana kajian ke atas produk hendaklah melibatkan kumpulan intervensi dan kumpulan “control”. Kaedah memilih sampel ataupun responden/subjek hendaklah adil dan bilangan sampel yang digunakan adalah mencukupi supaya apa sahaja keputusan yang diperolehi nanti adalah tepat dan bermakna. Selepas selesai fasa 3 kajian klinikal dan didapati berkesan barulah produk tersebut boleh memohon dari pihak berkuasa ubatan untuk digunakan ke atas orang ramai. Perubatan moden tidak menerima testimoni ataupun bukti anecdotal sebagai sumber untuk mengesahkan sesuatu dakwaan kerana ianya tidak dianggap sebagai kajian klinikal sebaliknya hanya pada peringkat pemerhatian ataupun kajian pra-klinikal. 


Apabila membaca kertas kajian yang telah disiarkan, seseorang pembaca perlu tahu untuk mengkritik dan menilai samada kajian yang dijalankan tersebut adalah kajian saintifik yang bermutu tinggi ataupun sebaliknya. Di dalam menilai mutu sesatu kajian ada beberapa perkara yang perlu diteliti iaitu:

  

    1. Objektif kajian itu dilakukan iaitu apakah matlamat kajian tersebut, pengkaji telah menentukan objektif yang jelas dan ada kaitan secara langsung dengan produk yang hendak dikaji. Pengkaji sudah menentukan dengan jelas apakah parameter yang hendak dicari dan dibandingkan.


     2.  Jenis kajian yang akan dilakukan, adakah kajian retrospektif (melihat ke belakang) ataupun kajian prospektif (kajian ke hadapan). Kajian prospektif umumnya lebih baik dari kajian retrospektif.


    3.Adakah pengkaji menentukan terlebih dahulu bilangan subjek (individu yang diuji) yang hendak disasarkan. Pakar statistik dapat membuat perkiraan dengan menggunakan formula matematik mengira berapa banyak subjek yang perlu diperolehi untuk kajian jika sesuatu keputusan yang dicapai itu dikatakan bermakna dan boleh diterima. 

    

    4. Adakah terdapat kumpulan kawalan ataupun control di dalam kajian tersebut untuk dijadikan perbandingan. Kumpulan control boleh merupakan kaedah rawatan yang standard ataupun placebo. Kumpulan placebo adalah kumpulan yang diberikan produk yang seakan-akan sama dengan produk yang dikaji tetapi tidak mengandungi bahan aktif di dalamnya, contohnya kita mengkaji pil A, maka placebo adalah pil (mempunyai ciri-ciri fizikal yang sama dengan pil A) yang tidak mengandungi apa-apa bahan kimia kecuali mungkin hanya mengandungi gula sahaja. Plasebo control trial adalah kaedah kajian yang lebih baik.

    

    5. Bagaimanakah randomization ataupun pemilihan rawak dilakukan untuk menentukan di manakah subjek itu ditempatkan samada di dalam kumpulan kajian ataupun kumpulan control. Kaedah pemilihan rawak mestilah adil dan tidak berat sebelah. Contohnya dengan menggunakan sampul yang tertutup dan subjek memilih tanpa mengetahui isi di dalam sampul tersebut.


    6.   Adakah subjek mengetahui jenis rawatan ataupun produk yang diberikan kepadanya. Ini dikatakan “blinding” iaitu subjek yang diuji tidak tahu apakah isi kandungan produk yang diberikan maksudnya mereka tidak tahu samada mereka di dalam kumpulan kajian ataupun di dalam kumpulan control/placebo. Apabila kajian prospektif mempunyai kumpulan kajian dan placebo di mana subjek dipilih secara rawak dan mereka tidak tahu (blinding) apakah kandungan produk yang diberikan, kajian ini dinamakan DOUBLE BLIND PROSPECTIVE RANDOMIZED PLACEBO CONTROL TRIAL (DBPRPCT). DBPRPCT adalah kaedah kajian saintifik yang terbaik untuk menguji keberkesanan sesuatu produk kesihatan.


    8.   Kajian itu mempunyai metodologi yang jelas dan pengkaji patuh sepenuhnya dengan kaedah-kaedah ataupun langkah-langkah yang perlu dilakukan mengikut metodologi yang telah ditetapkan. Contohnya dos ubat yang diberikan hendaklah betul dan sama, kaedah pemberian ubat, jangkamasa rawatan dan kekerapan rawatan yang diberikan. Tidak ada prosedur ataupun  rawatan tambahan diberikan kepada subjek jika tidak dinyatakan di dalam metodologi.


    9.Kaedah menilai hasil kajian hendaklah menggunakan kaedah statistik yang tepat dan terbaik. Pengkaji selalunya akan menggunakan khidmat pakar statistik untuk menilai samada perbezaan di antara kumpulan kajian dan kumpulan control itu memang bermakna dari segi statistic (statistically significant). Jika perbezaannya bermakna dari segi statistiknya maka produk yang diuji itu sememangnya ada kesan ke atas penyakit yang dirawat samada kesan baik ataupun buruk bergantung kepada apakah hasil kajian yang hendak diperolehi.


Dengan menggunakan prinsip-prinsip yang digariskan di atas, pengkaji akan dapat menentukan dengan tepat samada produk tersebut berkesan ataupun tidak berkesan. Pada waktu yang sama kaedah kajian seumpama ini juga dapat menolak pengaruh kesan placebo yang dibawa oleh produk tersebut. Kesan placebo adalah kesan positif yang diperolehi disebabkan oleh faktor psikologi ataupun keyakinan subjek sehingga perasaan kelegaan yang diperolehi itu tidak ada kena mengena dengan produk yang diambil. Sila baca lebih lanjut tentang plasebo di pautan ini.


Kajian menguji parameter darah dan lain-lain tisu badan adalah kajian makmal dan ia kadangkalanya tidak sesuai untuk digunakan sebagai bukti keberkesanan klinikal. Ini adalah kerana keputusan ujian makmal tidak semestinya dapat diduplikasi/diulang ataupun menjelaskan apa yang berlaku di dalam badan seseorang. Kajian makmal selalunya digunakan hanya untuk tujuan memulakan kajian klinikal. Kajian makmal kebanyakkannya adalah kajian peringkat pra-klinikal dan ada juga hanya dikira pada peringkat pemerhatian (observation). Kajian klinikal adalah kajian yang mengkaji kesan produk kesihatan ke atas kesihatan pesakit. Tahap kesihatan pesakit yang dijadikan kayu ukur bergantung kepada jenis penyakit yang dirawat, contohnya jika penyakit diabetes, pengkaji akan menilai sejauh mana ubat tersebut dapat mengurangkan gejala (kencing kerap, dahaga yang keterlaluan, kebas kaki dan tangan), mengembalikan tahap gula darah yang normal, dapat mengurangkan kadar komplikasi akibat penyakit diabetes dan dapat memanjangkan hayat pesakit. Di samping itu salah satu lagi kayu ukur keberkesanan klinikal pesakit adalah mutu kehidupan (“quality of life”) iaitu sejauhmana pesakit dapat kembali menjadi individu yang normal dan melakukan aktiviti harian yang normal dari segi fizikal dan psikologikal.


Semasa melakukan pencarian terhadap kajian-kajian klinikal saintifik mengenai bekam, saya dapati memang terdapat banyak kajian-kajian kecil dilakukan dan ianya bertambah dari masa ke semasa. Mutu kajian juga nampaknya semakin baik tetapi agak sukar untuk mencari kajian “prospective randomized control trial”. Disebabkan oleh terdapat banyak kajian-kajian kecil mengenai bekam, maka saya mengambil keputusan untuk mencari rencana yang membentangkan hasil analisa ataupun semakan (“review”) terhadap semua kajian-kajian bekam yang pernah disiarkan di dalam jurnal-jurnal dunia dan dilakukan meta-analisis (“meta-analysis”) ke atasnya. Berikut adalah senarai beberapa lapuran “systematic literature review”, “update” dan “systemic review of randomized clinical trials” yang saya temui mengenai bekam:



1.   Cao H,Li Xun, Yan X, et al. Cupping therapy for acute and chronic pain management: a systematic review of randomized clinical trials. Journal of Traditional Chinese Medical Sciences, 2014;1:49-61 (7)

2.   Chen B, Li MY, Liu PD, Guo Y, Chen ZL. Alternative medicine: an update on cupping therapy, Commissioned Review. Q J Med, 2014, Nov 20, doi:10.1093/qimed/hcu227.(8)

3.   Cao H, Han M, Li Xun, et al. Clinical research evidence of cupping therapy in China: A systematic literature review, BMC Complementary and Alternative Med, 2010:70 (9)

4.   Cao H, Li Xun, Liu J. An Update Review of the Efficacy of Cupping Therapy. PLos ONE, 2012;7(2):e31793.doi:10.1371/journal.one.0031793 (10)

5.   Kim JI, Lee MS, Lee DH, Boddy K, Ernst E. Review Article: Cupping for treating Pain: A systematic Review. Evidence based Complementary and Alternative Medicine, 2011;Article 11, 1-7. Doi:10.1093/ecam/nep035 (11)

6.  Castro Moura Cd, Lopes Chaves ES, et al. Cupping therapy and chronic back pain: systematic review and meta-analysis. Rev Lat Am Enfermagem, 2018;26:e3094


Di bawah ini saya paparkan lapuran dari hasil analisa ataupun semakan (review) ke atas kajian-kajian saintifik yang dilakukan keatas bekam.


BEKAM DAN RAWATAN SAKIT


Saya dapati kajian mengenai bekam yang paling banyak disiarkan adalah berkenaan dengan rawatan melegakan kesakitan akibat dari banyak jenis penyakit. Sakit boleh dibahagikan kepada sakit akut dan kronik. Terdapat terlalu banyak punca berlakunya sakit samada akibat masalah fizikal dan juga psikologikal. Terdapat juga sakit yang dikenali sebagai psikosomatik iaitu sakit fizikal yang sebenarnya hanya manifestasi masalah mental ataupun psikologi. Kaedah rawatan tradisional China telah digunakan untuk merawat sakit semenjak lebih 2000 tahun dahulu. Salah satu kaedah mengurangkan kesakitan adalah melalui bekam. Di dalam rawatan sakit, kedua-dua bekam kering dan bekam basah pernah digunakan. Cao H dan rakan-rakan telah mengumpulkan dan menganalisa kajian-kajian “randomized control trials” (RCT) mengenai penggunaan bekam untuk merawat sakit yang pernah disiarkan di dalam jurnal-jurnal antarabangsa (9). Responden yang terlibat hendaklah berusia lebih 18 tahun dan tidak ada gabungan kaedah-kaedah lain untuk merawat sakit. Kualiti setiap kajian itu diambil kira dan dikategorikan mengikut tahap bias (berat sebelah). Setelah membuat pencarian terdapat 1865 kajian yang ada perkataan bekam yang disiarkan dan 55 daripadanya berkaitan dengan bekam dan rawatan sakit. Daripada angka tersebut hanya 16 sahaja kajian (921 sampel) yang terpilih dan diterima untuk semakan (review), manakala yang lain adalah kajian yang tidak bermutu, maklumat tidak lengkap dan tidak mencapai kriteria yang telah ditetapkan. Di antara jenis sakit yang termasuk di dalam kajian tersebut adalah sakit leher yang kronik, sakit belakang, jangkitan herpes zoster (kayap), radang sendi, sakit bahu, sakit carpal sunnel syndrome dan sakit kepala. Daripada 16 kajian tersebut, 11 kajian menggunakan bekam basah, 2 kajian bekam kering dan selebihnya lain-lain jenis bekam. Kesemua 16 kajian ini didapati mempunyai risiko berat sebelah yang rendah (“low risk of bias”) dari aspek kaedah memilih sampel untuk kajian tetapi dari segi metodologi kajian, terdapat banyak kajian yang mempunyai risiko berat sebelah yang tinggi (“high risk of bias”). Malangnya tidak ada satupun kajian adalah kajian placebo control trial. Daripada semakan dan analisa yang dilakukan didapati bekam dapat mengurangkan gejala kesakitan ke atas beberapa jenis penyakit ataupun masalah-masalah kesihatan tertentu. Akupunktur apabila digabungkan dengan bekam akan memberi keberkesanan yang lebih tinggi jika dibandingkan dengan akupuntur sahaja. Satu kajian menunjukkan bekam lebih berkesan dari rawatan sakit secara konvensional menggunakan diclofenac tetapi jumlah sampel hanya 60 orang. Hasil dari semakan kajian ini menunjukkan terdapat bukti yang sekurang-kurangnya sederhana (“at least moderate evidences”) bahawa bekam mempunyai kesan mengurangkan kesakitan untuk jangkamasa pendek sehingga selama 4 minggu, bekam basah digunakan lebih kerap tetapi tidak ada kajian yang membandingkan di antara bekam basah dengan bekam kering di dalam rawatan sakit.Di antara kesan sampingan yang dikesan daripada rawatan bekam ini adalah darah beku dialami oleh 10.3% dari pesakit, 10% lagi mengadu sakit bertambah pada lokasi yang dirawat manakala 7.5% mengadu sengal otot dan seperti cucukan jarum (tingling sensation) pada tempat rawatan. Kebanyakan kesan sampingan ini sembuh selepas 2-5 hari. Tidak ada kesan sampingan yang serius dilapurkan. Terdapat beberapa limitasi dari semakan kajian ini yang diantaranya sampel yang kecil dari setiap satu kajian, tidak ada “blinding” semasa kajian dilakukan dan tidak ada “placebo control trial”. Ini adalah sesuatu yang dijangkakan kerana sukar untuk membuat blinding kerana peserta di dalam kajian pasti akan dapat membezakan kaedah-kaedah rawatan yang diberikan kerana amat senang untuk mengenali bekam dan lain-lain kaedah rawatan alternatif untuk merawat sakit. Di samping itu tidak diketahui apakah punca-punca kesakitan yang dialami oleh pesakit dan samada sakit itu jenis akut ataupun kronik. Hasil semakan ini juga masih belum dapat menolak secara pasti kemungkinan kesan placebo ke atas pesakit-pesakit yang merasa sembuh apabila dirawat dengan bekam. Keputusan yang sama juga diperolehi oleh Kim JI dan rakan-rakan yang juga melakukan semakan sistematik “systematic review” mengenai bekam dan rawatan sakit. Di akhir  tulisan pengkaji ini, beliau merumuskan bahawa daripada “systematic review” yang telah dijalankan, memang terdapat tanda-tanda bukti keberkesanan berbekam di dalam mengurangkan beberapa jenis gejala sakit. Walau bagaimanapun jumlah RCTs yang berkualiti tinggi terlalu kecil untuk memungkinkan satu rumusan yang tepat dapat dibuat. Kajian lanjut yang lebih besar dan bermutu tinggi perlu dijalankan untuk menjawab persoalan ini (11)


BEKAM DAN RAWATAN LAIN-LAIN PENYAKIT


Semenjak bekam digunakan lebih 2000 tahun dahulu, manusia menggunakannya untuk tujuan merawat berpuluh-puluh  jenis penyakit (ada yang mengatakan sehingga hampir 70 jenis penyakit) daripada penyakit fizikal hinggalah penyakit psikologikal. Persoalannya adakah terdapat bukti saintifik kukuh yang menyokong dakwaan tersebut. Masalah utama yang dihadapi oleh ahli sains hari ini adalah untuk menjalankan kajian saintifik yang baik untuk mengkaji keberkesanan bekam kerana beberapa faktor, di antaranya adalah amalan bekam yang berbeza-beza, kekerapan rawatan yang perlu diberikan, berapa lamakah jangka masa rawatan, peralatan bekam yang berlainan dari satu tempat dengan tempat yang lain dan kesukaran untuk mendapatkan kelulusan jawatankuasa etika disebabkan bekam belum diiktiraf sebagai kaedah alternatif yang berkesan ke atas penyakit-penyakit yang dialami oleh manusia disebabkan oleh kekurangan bukti kukuh serta hasil kajian yang meyakinkan. Di samping itu apabila melakukan kajian menggunakan bekam, sukar atau tidak mungkin untuk melakukan kajian “blinding” dan placebo control trial kerana peserta pasti akan dapat mengetahui kaedah ini dilakukan ke atas mereka. Pendek kata sehingga hari ini hampir tidak mungkin ahli sains dapat menjalankan kajian “double blind randomized placebo control trial” yang merupakan kaedah kajian saintifik yang paling baik. Apabila kekangan ini wujud maka tidak hairanlah mengapa dakwaan keberkesanan rawatan bekam ke atas penyakit-penyakit tidak dapat disahkan dan tidak boleh digunakan sebagai ganti kepada rawatan moden yang ada pada hari ini. Saya dapati hampir semua kajian yang mengaitkan kesan bekam ke atas penyakit yang dihidapi oleh manusia adalah berasaskan kepada kajian kecil yang berkualiti rendah, kajian makmal mengukur parameter biokimia, bahan oksidan, aktiviti oxidative stress dan bilangan sel-sel yang merupakan kajian makmal peringkat pra-klinikal, di samping tidak kurang juga dakwaan yang berasaskan kepada testimoni dan bukti anecdotal semata-mata.


Cao H dan rakan-rakan melakukan “systematic literature review” ke atas kajian klinikal mengenai bekam di negeri China dengan menyemak kajian-kajian mengenai bekam yang pernah disiarkan di dalam jurnal semenjak tahun  1911 mendapati terdapat 4696 “citation” yang ada perkataan bekam (termasuk perkataan dari bahasa lain yang membawa maksud yang sama) tetapi majority daripadanya terpaksa ditolak kerana kajian yang tidak lengkap dan sukar dibaca. Daripada jumlah lebih 4000 citation tadi, 550 kajian dapat diperolehi yang kebanyakannya ditulis di dalam bahasa China (sehingga 2008). Cao H mengambil semua jenis kajian termasuk randomized control trial (RCT), Case control trial (CCT), Case studies (CS) dan Case Reports (CR). Hanya 73 kajian merupakan RCT dan 22 kajian CCT. Daripada jumlah kajian tersebut, 58% menggunakan bekam basah dan 18% menggunakan bekam kering, manakala lain-lain jenis bekam adalah bekam bergerak (moving cupping), bekam berubat, dan lain-lain. Bekam digunakan ke atas lebih 50 jenis penyakit. Dua puluh penyakit utama di mana bekam digunakan adalah rawatan sakit, herpes zoster (kayap), batuk atau asma, jerawat, demam selesema, urtikaria (alahan kulit), radang saraf femoral (femoral neuritis), cervical spondylosis (sakit radang tulang leher), sakit pinggang, sakit bahu (scapulohumeral periarthritis), radang payudara (mastitis), lumpuh muka (facial paralysis), Bi syndrome,  sakit kepala, kecederaan tisu (soft tissue injuries), radang sendi (arthritis), neurodermatitis, luka, skiatika dan myofascitis. Kebanyakannya adalah berkaitan dengan rawatan mengurangkan kesakitan (12 dari 20 penyakit teratas). Majoriti dari 73 kajian yang dikategorikan sebagai RCTs didapati mempunyai risiko tinggi untuk berat sebelah/keraguan (“high risk of bias”). Tidak ada kajian yang dikategorikan berisiko rendah untuk berat sebelah/keraguan (“low risk bias”), hampir tidak ada kajian “blinding” yang sebenar dan tidak ada kajian yang membuat perkiraan jumlah sampel yang perlu digunakan di dalam kajian. Tidak kurang juga kajian-kajian yang tidak menyatakan “inclusion” dan “exclusion criteria” (9). Pengkaji yang sama meneruskan pencarian dan pada tahun 2012, beliau menerbitkan tulisan yang sama dan mendapati sejumlah 135 RCTs disiarkan sehingga tahun 2010 tetapi seperti juga dengan hasil kajian awal, tidak ada satu pun kajian ini yang mempunyai risiko rendah untuk berat sebelah (“low risk of bias”) tetapi kali ini terdapat sedikit penambahbaikan di mana sebanyak 3 kajian membuat pengiraan jumlah sampel yang diperlukan sebelum kajian dibuat. Enam jenis penyakit utama yang didapati paling kerap menggunakan bekam adalah herpes zosterkelumpuhan muka (facial paralysis, Bell’s pulsy), batuk serta lelah, jerawat, lumbar disc herniation (prolapsed disc) dan cervical spondylosis. Sama seperti analisis awal, hampir semuanya adalah untuk tujuan mengurangkan kesakitan. Kali ini penulis membuat “meta-analysis” untuk mengkaji keberkesanan bekam ke atas 4 jenis keadaan iaitu herpes zoster, facial paralysis, jerawat dan cervical spondylosis. Analisis tersebut mendapati bekam basah menunjukkan keberkesanan di dalam merawat jangkitan herpes zoster dan juga mengurangkan insiden kesakitan selepas sembuh dari jangkitan tetapi tidak ada perbezaan dari segi pengurangan gejala akibat jangkitan. Bekam apabila digabungkan dengan akupuntur memberi kelegaan yang lebih baik daripada akupuntur sahaja di dalam rawatan facial palsy. Bekam basah juga didapati berkesan mengurangkan masalah jerawat dan gejala cervical spondylosis (sakit di belakang leher). Daripada hasil analisis ini, pengkaji membuat kesimpulan bahawa kita kekurangan kajian dan bukti yang berkualiti tinggi untuk menyokong penggunaan bekam di dalam rawatan penyakit manusia walaupun ianya berpotensi untuk merawat penyakit herpes zoster, facial paralysis (lumpuh sebelah muka), jerawat dan juga sakit akibat cervical spondylosis. Bukti terkini masih tidak mencukupi untuk membenarkan bekam digunakan untuk merawat penyakit yang tersebut ataupun penyakit-penyakit lain menggantikan kaedah rawatan konvensional moden hari ini. Kesan jangka panjang bekam belum dapat dipastikan tetapi penggunaan jangkamasa pendek menunjukkan bahawa ianya adalah selamat digunakan jika mengikut peraturan yang ditetapkan dan dilakukan oleh pengamal bekam yang terlatih. Kajian lanjut yang lebih besar serta berkualiti lebih tinggi perlu dilakukan sebelum kita dapat membuat kesimpulan terhadap keberkesanan teknik berbekam di dalam rawatan dan pencegahan penyakit (10).


Lee MS dan rakan-rakan cuba melihat kesan berbekam di dalam rawatan rehabilitasi pesakit angin ahmar (stroke) dibandingkan dengan akupuntur dan lain-lain tetapi mereka dapati tidak cukup bukti dan kajian yang boleh menunjukkan bahawa berbekam adalah berkesan ataupun lebih baik (12).


Terdapat beberapa kajian yang melihat kesan berbekam ke atas parameter darah seperti kolesterol, sel darah, gula darah, asid urik, enzim fungsi hati (SGOT, SGPT), ferrous, CRP dan parameter imunologi tetapi sayangnya kajian-kajian tersebut bukan kajian randomized controlled trials sebaliknya hanya pemerhatian di mana subjek-subjek yang terlibat diambil darah mereka sebelum dan selepas menjalani rawatan bekam(13). Banyak faktor lain yang mungkin mempengaruhi parameter-parameter darah tersebut seperti makanan, aktiviti fizikal dan ubat-ubatan yang lain yang mungkin diambil oleh subjek kerana ujian kedua dilakukan selepas beberapa hari sehingga 2 minggu. Metodologi kajian yang lebih baik adalah dengan membandingkan dua  kumpulan subjek yang dibekam dan tidak dibekam kemudian dibandingkan nilai parameter darah dua kumpulan tersebut. Terdapat juga kajian yang membandingkan darah dari saluran vena dan darah yang diperolehi dari bekam basah, tentu sekali kualiti dan kandungannya berbeza kerana darah dari bekam basah sudah bercampur dengan cecair interstitial,mungkin cecair limfatik dan tidak lupa juga bahan-bahan lain yang digunakan bersama bekam seperti ubatan herba ataupun gel-gel yang disapu pada permukaan kulit ataupun ada yang tertinggal pada mangkuk bekam. Ujian kemudiannya diulang selepas beberapa ketika sehingga ada yang selepas 2 minggu, banyak faktor lain yang boleh mempengaruhi bacaan nilai parameter yang diukur di dalam darah bekam dan juga darah vena. Perbezaan kualiti darah ini memang dijangkakan dan kaedah kajian seperti ini hanya kajian pemerhatian dan ujiannya dilakukan di dalam makmal, kajian seumpama ini tidak dapat digunakan sebagai bukti kukuh untuk mendakwa apa-apa manfaat klinikal yang diperolehi oleh subjek. Di samping itu jikapun ada perbezaan dari segi bacaan parameter yang diuji, kita tidak pasti berapa lamakah manfaat tersebut akan berterusan dan berapa kerapkan rawatan perlu dilakukan untuk dapat mengekalkan bacaan tersebut. Terlalu banyak persoalan lanjut yang masih belum terjawab selepas kajian seumpama ini dilakukan (14,15).


BEKAM DAN PHLEBOTOMY


Mengeluarkan darah berlebihan dari dalam badan sudah diamalkan semenjak sekian lama, iaitu sama dengan amalan berbekam, hatta pakar-pakar perubatan moden juga menggunakannya untuk merawat beberapa jenis penyakit. Perkataan “bloodletting” kadangkala digunakan untuk merujuk kepada semua kaedah mengeluarkan darah dari badan termasuk dengan menggunakan bekam, phlebotomy, lintah dan lain-lain. Malah perkataan Lancet yang digunakan oleh Jurnal yang terkemuka di dunia ini dikatakan merujuk kepada amalan “bloodletting” menggunakan benda tajam ataupun lancet di dalam bahasa inggeris. Pada masa dahulu “bloodletting” ini digunakan dengan meluas untuk tujuan merawat banyak jenis penyakit berasaskan kepada kepercayaan bahawa darah adalah penting untuk kesihatan dan darah juga boleh menjadi punca segala masalah kesihatan. 


Pada asalnya “bloodletting” ini dianggap boleh merawat hampir semua jenis penyakit dan akibat dari penggunaan yang tidak terkawal berlaku pelbagai komplikasi termasuk kematian akibat dari amalan yang keterlaluan. Tetapi lama kelamaan dengan perkembangan teknologi perubatan moden dan pengetahuan yang lebih baik mengenai penyakit dan darah, kaedah “bloodletting” ini telah semakin hilang populariti dan sehingga hari ini ianya hanya digunakan untuk beberapa jenis penyakit sahaja. 


Di dalam perubatan moden, rawatan “bloodletting” merujuk kepada phlebotomy. Pakar perubatan memang sudah biasa dengan  perkataan phlebotomy iaitu mengeluarkan darah dari saluran vena pesakit untuk tujuan rawatan masalah darah yang dikenali dengan polycytaemia khususnya polycytaemia rubra vera. Dua lagi keadaan di mana phlebotomy boleh digunakan untuk merawat adalah haemochromatosis (kelainan genetic menyebabkan gangguan metabolism zat besi sehingga berlaku pengumpulan besi di organ-organ badan) dan porphyria cutanea tarda. Terdapat banyak punca polycytaemia dan haemochromatosis. Polycytaemia adalah kepekatan darah yang lebih tinggi dari normal samada ianya disebabkan oleh sel-sel darah merah yang berlebihan dihasilkan ataupun disebabkan oleh isipadu plasma yang kurang sehingga darah menjadi pekat.Polycytaemia disyaki berlaku jika seserang mempunyai nilai Haematokrit melebihi 52% untuk kaum lelaki dan 48% untuk wanita ataupun nilai Hemoglobin melebihi 18.5% untuk lelaki dan 16.5 % untuk wanita. Risiko polycytaemia adalah boleh berlaku pembekuan darah sehingga boleh mendapat angin ahmar dan masalah jantung. Terdapat banyak punca polycytaemia dan phlebotomy bukanlah jawapan kepada semua kes polycytaemia, malah ada keadaan tertentu phlebotomy boleh memudaratkan seperti individu yang mengalami polycytaemia yang disebabkan oleh dehidrasi, kehilangan plasma darah yang banyak seperti kes terbakar dan jika pesakit mengalami penyakit jantung yang serius. Phlebotomy juga tidak disyorkan jika pesakit mengalami polycaetemia sekunder seperti akibat merokok, kanser hati, sindrom Cushing dan lain-lain. Apa yang dilakukan adalah mengeluarkan darah pesakit secara beransur-ansur seperti contohnya 250 mls setiap 1-2 bulan. Apabila phlebotomy dilakukan, nilai hematokrit pesakit hendaklah dipantau dengan sasaran hematokrit sebanyak 45%. Pendek kata phlebotomy tidak boleh dilakukan sewenang-wenangnya tanpa nasihat pakar. 


Seperti yang saya nyatakan di atas, pada masa dahulu rawatan pengeluaran darah untuk tujuan rawatan telah menyebabkan banyak komplikasi termasuk kematian kerana ianya dilakukan tanpa ada garispanduan dari pakar. Adakah bekam boleh menggantikan phlebotomy? Pada pandangan saya adalah lebih baik masalah kesihatan seperti polycytaemia vera, haemochormatosis dan porphyria cutanea tarda ini ditangani oleh pakar perubatan khususnya pakar haematology kerana penyakit ini bukan sekadar masalah kandungan sel darah merah yang banyak, darah yang lebih pekat ataupun pengumpulan zat besi yang berlebihan tetapi ianya mempunyai sebab dan kesan sampingan ke atas tubuh badan. 


Phlebotomy bukan hanya satu kaedah rawatan penyakit-penyakit ini tetapi pesakit mungkin memerlukan rawatan ubatan seperti penyakit polycytaemia rubra vera yang mungkin perlu mengambil ubat aspirin untuk mencegah pembekuan darah dan ubat hydroxyurea untuk mengurangkan penghasilan sel darah merah dari sum-sum tulang. Pesakit-pesakit ini juga memerlukan pemantauan yang rapi. Pakar-pakar perubatan ini sudah terlatih untuk merawat penyakit yang serius ini dan tentu mereka lebih arif apakah kaedah terbaik untuk merawat penyakit-penyakit ini.Saya tidak menemui mana-mana kajian yang membandingkan kaedah phlebotomy (“head to head comparison”) dengan berbekam untuk merawat 3 penyakit yang disebutkan di atas kerana ini mungkin disebabkan kajian yang seumpama ini tidak akan mendapat kelulusan pihak jawatankuasa etika (16).


ADAKAH BEKAM SELAMAT DIAMALKAN


Umumnya berbekam adalah kaedah yang selamat jika dilakukan dengan baik dan bersih oleh pengamal bekam yang bertauliah. Lapuran dari hasil kajian bekam menujukkan bahawa kebanyakan kesan sampingan adalah bersifat setempat, di antaranya adalah pembentukan darah beku, sakit pada bahagian bekam dan kesan lebam. Insiden kejadian ini adalah di dalam lingkungan 10% dan ianya akan pulih di dalam masa 2-5 hari. Jika peralatan tidak bersih dan pengamal bekam tidak melakukan prosedur secara aseptic, jangkitan pada bahagian yang ditoreh boleh berlaku. Bekam basah boleh menyebabkan kehilangan darah yang banyak jika tidak dikawal dengan betul, pesakit akan merasa pening, pitam dan lemah, kesan ini akan lebih serius jika pesakit mengalami dehidrasi, anaemia dan penyakit jantung yang serius. Terdapat juga pesakit yang mengalami perubahan warna kulit pada bahagian yang dibekam. Penggunaan alat bekam berulangkali dan tidak dicuci dengan sempurna boleh menjadi punca jangkitan penyakit dari seorang kepada orang lain. Jangkitan penyakit bawaan darah serta lendiran badan seperti hepatitis dan HIV boleh berlaku. Terdapat lapuran kes (case report) jangkitan HIV ke atas seorang individu yang menjalani rawatan bekam. Beliau berusia 39 tahun mendapat rawatan bekam sebanyak 6 kali dari seorang pengamal bekam di Riyadh dilapurkan semasa 16th European Congress of Clinical Microbiology and Infectious Diseases di Perancis. Kes kebakaran kulit (pengelupasan kulit) pada tempat bekam juga dilapurkan dan pengkaji berpendapat ianya mungkin disebabkan oleh beberapa faktor seperti bekam yang lama dan lebihan alkohol pada mangkuk yang tidak dicuci (alkohol digunakan oleh sebahagian pengamal bekam untuk membersihkan mangkuk). Kebanyakan kes kebakaran kulit ini dapat dirawat dengan mudah (17). Lain-lain kesan sampingan yang boleh berlaku dari berbekam adalah kekurangan darah (iron deficiency anaemia), kulit mengelembung berdarah (haemorrhagic bullae), keloid (parut tebal), vasovagal syncope dan panniculitis (kebengkakan dan kemerahan pada kulit disebabkan oleh keradangan pada bahagian lapisan lemak bawah kulit) (18). Kesimpulannya berbekam tidak lari dari beberapa kesan sampingan dan ianya dapat dikurangkan jika dilakukan oleh pengamal bekam yang benar-benar terlatih dan bertauliah.


Terdapat beberapa keadaan di mana bekam tidak digalakkan iaitu kanak-kanak yang berusia kurang dari 2 tahun ataupun orang dewasa yang berusia lebih dari 65 tahun, cuaca yang terlalu sejuk ataupun panas, selepas makan, ibu hamil, melakukan bekam pada kulit yang tidak sihat, mengaplikasikan mangkuk pada tempat yang bengkak, pada bahagian dada dan bawah abdomen, pesakit yang mengalami masalah mudah berdarah ataupun yang mengambil ubat pencair darah. Mangkuk bekam juga tidak boleh diletakkan pada kawasan salur darah arteri, berdekatan dengan kanser, pada kulit yang cedera, pada bahagian tulang yang patah, apabila berlaku darah beku di dalam saluran vena (DVT) dan seseorang yang mengalami kekejangan otot. Pendek kata ada garispanduan dan peraturan yang perlu dipatuhi oleh pengamal bekam sebelum melakukannya ke atas pelanggan.


KESIMPULAN


Berbekam adalah salah satu cabang perubatan alternatif serta komplementari yang telah wujud semenjak lebih kurang 5000 tahun dahulu di Macedonia, ia adalah kaedah rawatan alternatif yang popular di negeri China dan negara-negara Timur Tengah. Daripada hasil pencarian maklumat yang saya lakukan, saya dapati bahawa bekam mempunyai kesan mengurangkan gejala kesakitan untuk beberapa jenis penyakit tetapi tidak ada kajian kukuh yang boleh disandarkan untuk membuktikan bahawa bekam boleh merawat ataupun menyembuhkan penyakit-penyakit yang dihidapi oleh manusia dengan berkesan. Terdapat beberapa kajian yang menunjukkan ianya mungkin boleh merawat penyakit Bell’s palsy, jerawat dan juga jangkitan herpes zoster tetapi  kualiti kajian-kajian tersebut adalah rendah serta kelemahan-kelemahan ketara daripada aspek metodologi dan saiz sampel. Saya masih sukar untuk mengaitkan penyembuhan itu dengan rawatan bekam dan sukar untuk menolak terus kemungkinan wujudnya kesan placebo ataupun penyakit yang cuba dirawat itu sememangnya boleh sembuh sendiri tanpa rawatan. 


Setakat rencana ini ditulis, sebagai pengamal perubatan moden saya berpendapat bekam TIDAK BOLEH digunakan untuk menggantikan kaedah rawatan moden yang digunakan untuk merawat penyakit-penyakit. Bekam boleh digunakan sebagai kaedah tambahan/gabungan ke atas rawatan-rawatan konvensional/moden untuk menangani gejala-gejala tertentu seperti sakit dan stres (amalan perubatan integratif).Bekam juga boleh disyorkan kepada pesakit-pesakit yang gagal dirawat dengan kaedah konvensional dengan syarat dilakukan oleh pengamal terlatih dan mendapat nasihat daripada doktor.Jika bekam dilakukan dengan betul dan selamat oleh pengamal terlatih, ianya boleh disyorkan untuk mengurangkan kesakitan akibat dari masalah saraf (akibat jangkitan herpes zoster), cervical spondylosis dan sakit kepala, dengan syarat hendaklah mendapat pemeriksaan doktor dan mendapatkan pandangan mereka terlebih dahulu.Bekam juga boleh digunakan untuk tujuan relaksasi menggantikan urutan, aromaterapi,yoga, hipnosis dan lain-lain kerana kesan psikologi yang diberikan olehnya. Kami tidak menolak penggunaan kesan plasebo sebagai ikhtiar tambahan untuk meningkatkan kepuasan pesakit. Di dalam keadaan-keadaan yang tersebut di atas, saya lebih cenderung kepada bekam kering berbanding dengan bekam basah kerana bimbang dengan kesan sampingan di mana kaedah ini boleh dianggap invasif. Kelebihan berbekam adalah peralatan yang mudah, murah dan tidak sukar untuk dipelajari.


Setelah meneliti kebanyakan kajian dan rencana yang ditulis mengenai bekam, maka saya berpendapat (dari perspektif pengamal perubatan moden) adalah tidak  wajar mana-mana pengamal rawatan bekam mendakwa bahawa bekam berkesan merawat pelbagai jenis penyakit termasuk penyakit-penyakit kronik. Dakwaan-dakwaan ini bolehlah dianggap "overclaim". Saya bimbang dengan ujudnya golongan-golongan yang sengaja menokok tambah keberkesanan bekam sedangkan ianya masih belum disahkan. Pengamal perubatan moden tidak menerima bukti keberkesanan hanya dengan testimoni ataupun dakwaan yang bersifat individu kerana ianya adalah kaedah pembukitian yang sangat lemah. "Overclaim" boleh mengelirukan orang awam, apabila orang awam terpengaruh, maka mereka akan beraleh arah mendapatkan rawatan daripada orang yang bukan pakar sehingga mereka lewat mendapatkan rawatan daripada pakar sebenar.


Saya bersetuju dengan pendapat bahawa mungkin ilmu manusia belum cukup untuk mencari kaedah yang betul dan manfaat sebenar berbekam, tetapi ini bukan bermakna kita boleh sewenang-wenangnya mencipta sendiri kaedah dan menokok tambah maklumat kerana semua bidang ada disiplin serta etika yang perlu dipatuhi. Saya berhadap kaedah berbekam dapat diperbaiki dari masa ke semasa dan kajian-kajian yang lebih berkualiti dapat dijalankan pada masa akan datang supaya kita mendapat maklumat yang lebih tepat tentang bekam.Memandangkan bekam termasuk di dalam kategori kaedah perubatan alternatif dan komplimentari, maka ia terikat dengan AKTA 775 TCM, semoga penguatkuasaan akta ini dapat mengawal amalan bekam di negara kita. Saya ingin mencadangkan supaya pihak autoriti agama dapat duduk semeja dengan KKM untuk mengeluarkan konsensus berkenaan dengan amalan berbekam memandangkan wujudnya pertindihan isu berkaitan dengan hukum agama dan perubatan.


28hb Mei 2018

Kemaskini 4hb Julai 2020


RUJUKAN


1.   El Sayed, Baghdad H, Taleb AA, et al. Al hijamah and oral honey for treating thalasaemia, condition of iron overload, and hyperferremia: toward improving the therapeutic outcomes Journal of Blood Medicine, 2014:5:219-237)

2.   El Sayed Sm, Mahmoud HS, Nabo MMH. Medical and Scientific Bases of Wet Cupping Therapy (Al-hijamah):in Light of Modern Medicine and Prophetic Medicine, Alternative and integrative Medicine, 2013;2:5

3.   Alshowafi FK. Effecct of Blood Cupping on Some Biochemical Parameter, Med J.Cairo Univ.,2010, 78(1):311-315

4.   Ahmed SM, Madbouly NH, Maklad SS, Abu-Shady EA. Immunomodulatory effects of blood letting cupping therapy in patients with rheumatoid arthritis. Egypt J Immunol, 2005;12(2):39-51

5.   Zhang CQ, Liang TJ, Zhang W. Effects of drug cupping therapy on immune function in chronic asthmatic bronchitis patients during protracted period, Zhonqquo Zhong Xi Yi Jie He Za Zhi, 2006;26(11):984-7)

6.   Tagil SM, Celik HT, Ciftci S, et al. Wet-cupping removes oxidants and decreases oxidative stress. Complement Ther Med, 2014;22(6):1032-6

7.   Cao H,Li Xun, Yan X, et al. Cupping therapy for acute and chronic pain management: a systematic review of randomized clinical trials. Journal of Traditional Chinese Medical Sciences, 2014;1:49-61

8.   Chen B, Li MY, Liu PD, Guo Y, Chen ZL. Alternative medicine: an update on cupping therapy, Commissioned Review. Q J Med, 2014, Nov 20, doi:10.1093/qimed/hcu227

9.   Cao H, Han M, Li Xun, et al. Clinical research evidence of cupping therapy in China: A systematic literature review, BMC Complementary and Alternative Med, 2010:70

10.     Cao H, Li Xun, Liu J. An Update Review of the Efficacy of Cupping Therapy. PLos ONE, 2012;7(2):e31793.doi:10.1371/journal.one.0031793

11.     Kim JI, Lee MS, Lee DH, Boddy K, Ernst E. Review Article: Cupping for treating Pain: A systematic Review. Evidence based Complementary and Alternative Medicine, 2011;Article 11, 1-7. Doi:10.1093/ecam/nep035

12.     Lee MS, Choy TS, Shin BC, et al. Cupping for stroke rehabilitation: a systematic review. Journal of the neurological sciences, 2010;294(1-2):70-73)

13.     Ranaei-siadat SO, Kheirandish H, Niasari et al. The effect of cupping (hejamat) on blood biochemical and immunological parameters. Iranian Journal of Pharmaceutical Research, 2004;3(Sup 2):31-32).

14.     Bilal M, Alam Khan R, Ahmed A & Afroz S. Partial evaluation of technique used in cupping. Journal of Basic and Applied Science,2011;7:65-68,

15.     Mahdavi Vaez MR, Ghazanfari T, Aghani M, et al. Evaluation of the effects of traditional cupping on the biochemical, haematological and immunological factors of human venous blood.A Compendium of Essays on Alternative Therapy

16.     Greenstone G. The history of bloodletting. BC Medical Journal, 2010;52(1):12-14

17.     Chun ZJ, Ao YJ, Jing XC, Kai S, Jin LJ. Burn induced by cupping therapy in a burn center in Northeast China. Wounds, 2014;26(7):214-220

18.     Moon Sh, Han HH, Rhie JW. Factitious panniculitis induced by cupping therapy. J Craniofac Surg, 2011; 22(6):2412-4, doi: 10.1097/SCS.0b013e318231fed6

19. https://muftiwp.gov.my/artikel/irsyad-al-hadith/1521-irsyad-al-hadith-siri-ke-36-berbekam

20. Al Bedah A, et al. The medical perspective of cupping  therapy: Effects and mechanism of action. Journal of Traditional and Complementary Medicine. Volume 9, Issue 2, April 2019, Pages 90-97


https://www.rcpe.ac.uk/sites/default/files/thomas_0.pdf

http://www.bcmj.org/sites/default/files/BCMJ_52Vol1_bloodletting-premise.pdf



RENCANA YANG DITULIS INI ADALAH PANDANGAN PERIBADI PENULIS DAN TIDAK MEWAKILI MANA-MANA PERTUBUHAN DAN INSTITUSI. SEGALA YANG BAIK ITU DARI ALLAH DAN YANG KURANG ITU ADALAH DARI DIRI PENULIS SENDIRI.





3 comments:

  1. Adakah ini bermaksud pesakit kanser tak boleh berbekam atas risiko mangkuk bekam diletakkan disalah kawasan?

    ReplyDelete
  2. Kanser x sesuai brbekam. Setakat pengethuan sy

    ReplyDelete
  3. Tak ada keperluan untuk berbekam oleh pesakit kanser

    ReplyDelete