Thursday, 7 May 2020

AIR BERALKALI : MANFAAT ATAU MUDARAT

Dato'Dr.Mohd Rushdan Md Noor

MD,MOG (UKM), Fellow GO(S'pore),AM

Pakar Perunding Kanan O&G

Pakar Perunding Ginekologi Onkologi

Hospital Sultanah Bahiyah 


Amalan mengambil air beralkali (alkaline water) sudah lama diamalkan dan pelbagai jenis penapis air dan alat penionan dijual di pasaran untuk menghasilkan air beralkali. Rencana ini akan memberi sedikit maklumat mengenai air beralkali dan saya akan cuba menerangkan kepada anda kedudukan sebenar air beralkali ini dari sudut perubatan moden. Seperti mana yang anda ketahui, air mempunyai pH tertentu supaya ianya menjadi air yang berasid, neutral ataupun beralkali bergantung kepada bahan-bahan yang terkandung di dalamnya. Ada bahan-bahan mineral yang menyebabkan air menjadi beralkali dan ada yang menyebabkannya menjadi berasid. Nilai pH air ditentukan oleh keseimbangan di antara bahan berasid dan beralkali di dalam air. Jika bahan berasid melebihi bahan beralkali, maka air itu akan menjadi berasid. Jika kedua-dua bahan ini seimbang, maka air menjadi neutral. Air mentah dan air paip yang dirawat selalunya neutral. Tahap pH ditentukan oleh nombor dari 0 hingga 14, di mana pH kurang dari 7 adalah asid, manakala pH 7 neutral dan pH yang lebih dari 7 dikatakan alkali. Apakah pH yang sesuai untuk air minuman? Tajuk ini sedang hangat diperdebatkan. Ada yang mendakwa meminum air beralkali mempunyai khasiat yang banyak untuk kesihatan badan. Adakah dakwaan ini benar?


Air beralkali selalunya mempunyai pH 8-9 dan dijual di pasaran di dalam pelbagai bentuk. Air beralkali ini dihasilkan melalui tindakan elektrolisis ataupun pengionan (ionizer) di mana aliran elektrik digunakan untuk memisahkan molekul air kepada ion-ionnya iaitu ion hydrogen yang berasid dan ion hidroksid yang beralkali. Katod (catode) yang bercaj negative akan menarik ion hydrogen (bercaj positif) dan persekitaran katod ini akan menjadi beralkali (sebab ion hidrogen sudah ditarik kepada katod). Manakala anod (anode) pula yang bercaj positif akan menarik ion hidroksid sehingga air di sekelilingnya menjadi berasid. Inilah konsep bagaimana air yang beralkali dan air yang berasid dihasilkan. Di dalam mesin penapis ini, kedua-dua jenis air ini boleh dipisahkan. Malah bahagian air yang neutral juga dapat dipisahkan. Persoalannya adakah air beralkali ini mujarab, dapat menyembuhkan beberapa jenis penyakit seperti darah tinggi, diabetes, kanser dan lain-lain.



Rajah di atas menunjukkan proses elektrolisis yang menghasilkan air beralkali dan air berasid. Untuk memastikan proses elektrolisis berjalan dengan lancar dan berkesan, air yang digunakan untuk diproses perlu mempunyai bahan mineral dan logam  (Natrium, Kalsium, Magnesium dan lain-lain) supaya air tersebut lebih konduktif (conductive). Air tulin yang tidak mempunyai bahan mineral dan logam tidak akan cukup konduktif untuk menjalani elektrolisis. Jadi tidak benar jika ada yang mendakwa bahawa proses penghasilan air beralkali ini menggunakan air tulin.


HAKIKAT KESEIMBANGAN ASID DAN ALKALI DI DALAM BADAN


Pada asasnya, badan manusia memerlukan kedua-dua medium iaitu asid dan alkali. Pendek kata badan manusia mempunyai bahagian yang lebih berasid dan yang lebih beralkali. Contohnya pH cecair di dalam perut dan permukaan kulit manusia adalah berasid. Manakala usus kecil, pankreas dan jantung adalah bahagian badan yang lebih beralkali. Badan manusia mempunyai keupayaan untuk menstabilkan pH badan sehingga ianya menjadi tetap dan tidak mengalami perubahan yang besar, contohnya pH darah di antara 7.35-7.45. Badan menggunakan ginjal, usus, pankreas dan pernafasan yang berfungi untuk mengstabilkan pH darah. Jadi hakikatnya kita tidak mampu untuk mengubah pH ini sesuka hati dari luar kerana apa sahaja keinginan kita untuk membuat perubahan ini, badan akan tetap bertindakbalas secara semulajadi sehingga pHnya kekal pada julat yang normal. Maksudnya badan telah diprogramkan untuk berupaya membuat kawalan diri secara automatic ataupun auto-regulation di dalam mengawal nilai pH. Salah satu contoh bagaimana badan mengawal pH adalah melalui ransangan “chemoreceptors” dan pernafasan. Proses mengawal kestabilan pH ini sama macam alat pengapung air di dalam tangki air, apabila air kurang di dalam tangka, pengapung pun akan turun dan air pun masuk ke dalam tangki. Apabila air di dalam tangki penuh, pengapung ini akan menutup lubang air dan menghentikan aliran air masuk ke dalam tangki. Apabila pH darah menurun disebabkan oleh meningkatnya kandungan ion hidrogen, kemoreceptor di bahagian otak akan menghantar maklumat kepada otot pernafasan supaya pernafasan anda menjadi lebih cepat. Apabila pernafasan lebih cepat, lebih banyak gas karbon dioksida dilepaskan keluar dan ini  akan mengurangkan penghasilan ion hidrogen supaya pH darah dapat distabilkan semula. Begitulah juga disebaliknya, proses ini berlaku tanpa disedari oleh anda.


ASID DAN JANGKITAN PENYAKIT


Asid diperlukan untuk tujuan membunuh mikroorganisma penyebab penyakit. Tidak benar jika dikatakan minuman alkali diambil untuk membunuh mikroorganisma di dalam perut kerana sebenarnya asidlah yang membunuhnya. Asid di dalam perut juga penting untuk menguraikan protin. Untuk pengetahuan anda, pH asid perut adalah di antara 1.5-3.5 dan nilai ini sentiasa dijaga supaya ianya dapat memanfaatkan manusia. Jika asid perut menjadi terlalu berasid, sel-sel di lapisan kulit perut boleh mengeluarkan bahan beralkali dikenali sebagai bicarbonate, sebaliknya pula, jika pH cairan perut terlalu tinggi, kadar pengeluaran bicarbonate ini akan terencat. Apabila kita mengambil makanan, asid perut akan membunuh pathogen ataupun mikroorganisma penyebab penyakit. Bayangkan jika mekanisma ini tidak wujud, tentu manusia akan senang dijangkiti penyakit. Satu contoh terbaik mengenai kepentingan asid di dalam perut adalah bagaimana anjing liar dapat hidup walaupun memakan bangkai yang dijangkiti oleh kuman. Asid perut anjing liar mempunyai keasidan 10 kali lebih tinggi dari manusia dan asid inilah yang membunuh bakteria yang dibawa oleh bangkai.


Asid membunuh bakteria, manakala ada organisma yang memerlukan persekitaran beralkali untuk hidup dan membiak. Contoh organisma ini adalah sejenis kulat yang dinamakan candida albican. Di dalam keadaan berasid, kulat ini hidup tidak aktif dan asid ini dihasilkan oleh bakteria yang baik dinamakan normal flora. Normal flora inilah yang menjadi faktor penting mengawal pembiakan kulat candida. Jika anda mengambil antibiotik dan membunuh bakteria baik ini, asid tidak dapat dihasilkan dan akibatnya persekitaran tersebut akan menjadi lebih beralkali. Persekitaran yang lebih beralkali ini akan menyebabkan kulat candida menjadi aktif dan membiak sehingga menyebabkan keradangan. Keadaan ini berlaku di dalam faraj seseorang wanita dan jika kulat candida menjadi aktif, faraj akan menjadi kemerahan, gatal dan keluar keputihan yang banyak. Jadi persekitaran asid ataupun alkali diperlukan oleh tempat-tempat tertentu di dalam badan anda.


ADAKAH AIR BERALKALI BOLEH MENGUBATI KANSER


Kanser adalah sejenis penyakit kronik yang kompleks. Proses kejadian kanser berlaku disebabkan oleh banyak faktor termasuk faktor kelainan genetik dan pendedahan kepada bahan penyebab kanser ataupun karsinogen. Rawatan kanser juga kompleks dan tidak semudah yang difikirkan oleh orang awam. Adalah tidak benar mengatakan bahawa kanser tidak boleh membiak di dalam persekitaran alkali, malah kajian menunjukkan bahawa pH di dalam sel kanser lebih beralkali dari pH di dalam sel-sel yang normal. Sebab mengapa perkara ini berlaku adalah kerana sel-sel kanser tidak dapat menghasilkan asid laktik sepertimana sel-sel normal. Sebaliknya sel-sel kanser menghasilkan lactate yang lebih beralkali, sel-sel kanser sebenarnya tidak dapat bertahan dengan keasidan yang tinggi sehingga sel-sel ini mengeluarkan ion hidrogen dari dalam sel keluar di persekitarannya. Akibatnya persekitaran sel-sel kanser menjadi lebih berasid. Persekitaran luar sel-sel kanser yang lebih berasid ini bukan bermaksud sel-sel kanser menyukai asid tetapi ianya adalah akibat dari adaptasi sel-sel kanser untuk meningkatkan pH di dalam sel-sel mereka. Pendek kata sel-sel kanser lebih mudah hidup jika pH mereka lebih beralkali. Sebenarnya sel-sel badan manusia yang normal tidak boleh hidup di dalam keadaan yang melampau samada terlalu beralkali (dikenali sebagai alkalosis) ataupun terlalu berasid (asidosis). Malah alkalosis lebih merbahaya kerana ianya lebih sukar untuk dirawat berbanding dengan asidosis. Apabila mengalami asidosis iaitu pH darah terlalu rendah, kaedah rawatannya bukan dengan meminum air beralkali sebab air ini akan masuk ke dalam usus dan tidak mampu untuk menukar pH darah disebabkan oleh faktor-faktor yang saya sebutkan tadi. Sebaliknya rawatan asidosis adalah dengan memberi cecair beralkali terus ke dalam aliran darah melalui infusi salur vena. Tanggapan orang awam bahawa mengawal pH darah semudah meminum air samada air berasid ataupun beralkali sebenarnya berasaskan kepada kefahaman yang sangat cetik mengenai fisiologi manusia. Fisiologi badan manusia adalah sangat kompleks dan hanya boleh difahami jika ianya dipelajari dengan mendalam sepertimana yang dilakukan oleh pelajar-pelajar perubatan. Malah mengikut sebahagian pakar kimia, jika air yang hendak digunakan untuk tujuan pengionan mengandungi garam iaitu NaCI (Natrium Klorida), proses elektrolisis akan menyebabkan gas hidrogen dilepaskan dan ion hidroksida akan bergabung dengan Natrium di katod menjadi NaOH untuk menghasilkan air beralkali (lihat rajah di bawah). Manakala di bahagian anod pula sebahagian ion Clorin akan dioksidakan untuk menjadi Klorin, jika Klorin in bergabung dengan ion Hidroksida yang datangnya dari katod, ia akan membentu asid Hipoklorus (hypochorus acid, HOCl) yang boleh dikeluarkan sebagai air berasid. Asid Hipoklorus adalah asid lemah dan agen pengoksidan. Jika berlaku percampuran di antara Asid Hipoklorus (HOCl) dengan Natrium Klorida (NaCl), Natrium Hipoklorida (Sodium Hypochloride) boleh terbentuk. Untuk pengentahuan anda, Natrium Hipoklorida adalah bahan kimia yang terkandung di dalam Klorox !!. Di samping itu, Asid Hipoklorus juga pernah dikaitkan dengan keupayaan untuk menyebabkan mutasi bahan genetik di dalam DNA serta epigenetik dan berpotensi menyebabkan kanser. Asid Hipoklorus juga boleh menyumbang kepada pembentukan bahan kimia yang dikenali sebagai 5-Chlorocytocine yang dikatakan boleh merencat gene perencat kanser (rujukan 1, rujukan 2). Walaupun tiada bukti kukuh mengenai Asid Hipoklorus dan kanser ke atas manusia tetapi ini sudah cukup mematahkan dakwaan pengeluar air beralkali bahawa air beralkali dapat membunuh sel kanser, kerana di sebaliknya pula, air beralkali berpotensi meransang perubahan sel badan kepada sel kanser. Air yang telah menjalani pengionan atau elektrolisis ini juga bukan anti-oksidan, malah seperti yang saya nyatakan di atas, terdapat bahan-bahan kimia yang terhasil dari proses ini sebenarnya adalah agen pengoksidan bukan anti-oksidan.Pendek kata proses elektrolisis ke atas air boleh menghasilkan bermacam-macam bahan kimia bergantung kepada kandungan mineral dan logam di dalam air yang hendak diproses. 


 Proses elektrolisis ke atas air yang mengandungi garam ataupun Natrium Klorida. Asid Hipoklorus dihasilkan untuk menjadikan air berasid,manakala Natrium Hidroksida pula akan membuatkan air menjadi beralkali


BAGAIMANA MENGUKUR pH BADAN ATAU DARAH


Seperti yang telah saya sebutkan tadi, pH di dalam badan manusia berbeza-beza mengikut organ dan tisu. Ada organ yang lebih berasid, dan ada organ serta tisu yang lebih beralkali. Perut contohnya mempunyai rembesan cecair berasid dengan pH 1.5-3.5. Untuk mengukur pH, anda perlu menggunakan alat pengukur pH. Sampel dari cecair-cecair badan pada bahagian tertentu perlu diperolehi dan diuji. Jika ujian pH hendak dilakukan ke atas darah, maka sampel darahlah yang perlu diambil. Jika anda ingin mengukur pH di dalam perut, maka sampel cecair dari dalam perutlah yang perlu diambil dan diuji. Adalah tidak benar bahawa nilai pH yang diukur melalui sampel air kencing dan air liur itu menggambarkan pH badan keseluruhannya kerana ianya hanya menilai pH pada sampel itu sahaja. Malah jika badan lebih berasid, ginjal akan mengeluarkan lebih banyak bahan beralkali untuk mengstabilkan pH, pada ketika ini jika ujian pH dijalankan ke atas air kencing, tentu nilai pHnya lebih tinggi (lebih beralkali), sedangkan ini tidak langsung menggambarkan pH badan ataupun darah. Jangan mudah terpedaya dengan tipu helah penjual alat penapis air yang menggunakan tektik mengukur pH air kencing dan air liur untuk menentukan tahap pH badan anda. Saya boleh katakan jika ini yang mereka lakukan, sebenarnya anda sedang diperbodohkan.


KEPERLUAN ASID DI DALAM BADAN


Badan memerlukan asid dan alkali kedua-duanya sekali di dalam keadaan dan organ-organ tertentu. Di dalam perubatan moden, tidak ada istilah badan anda lebih berasid, ataupun badan anda lebih beralkali. Sistem badan kita dijadikan sedemikian rupa supaya ianya sentiasa di dalam keseimbangan asid dan alkali. Tanpa keseimbangan ini, anda tidak boleh hidup dan di dalam keadaan normal, badan anda berkemampuan untuk menstabilkan pH badan melalui mekanisma-mekanisma yang telah saya sebutkan tadi. Asid diperlukan untuk banyak fungsi badan seperti menjadi benteng melawan jangkitan penyakit. Banyak komponen-komponen badan manusia diperbuat dari asid, protin dibina dari asid amino, molekul DNA (yang membawa bahan baka/genetik ) dibina dari “deoxyribonucleic acid”. Banyak mikronutrin-mikronutrin yang anda perlukan untuk kesihatan badan seperti vitamin C (asid askorbik) dan asid folik adalah juga asid. Pendek kata, anda tidak mungkin dapat hidup tanpa adanya asid.



PENDAPAT PAKAR SAINS DAN PERUBATAN TERHADAP AIR BERALKALI


Kebanyakan pakar-pakar perubatan dan ahli-ahli sains berpendapat bahawa setakat ini tidak ada bukti kukuh yang menyokong pengambilan air beralkali untuk kesihatan badan, lebih-lebih lagi untuk tujuan merawat penyakit-penyakit tertentu. Walaupun ada kajian yang dilakukan tetapi kajian-kajian tersebut tidak mempunyai kualiti yang tinggi dan bukan kajian “randomized control trial”, pengkaji-pengkaji ini melihat maklumbalas pesakit-pesakit darah tinggi, diabetes dan lain-lain selepas mengambil air beralkali dan kemudian terus merumuskan hasil kajian mereka. Sepatutnya kumpulan “control” perlu diwujudkan dan sampel yang digunakan adalah cukup besar untuk mengaitkan hubungan di antara pengambilan air beralkali dengan kesihatan. Setakat ini belum lagi ada kajian seumpama itu kerana sukar untuk dijalankan. Tetapi berdasarkan kepada fakta-fakta yang saya nyatakan di atas, majoriti ahli-ahli sains dan perubatan mempunyai pendirian bahawa belum ada bukti kukuh yang meyakinkan bahawa amalan pengambilan air beralkali akan meningkatkan kesihatan badan, mencegah penyakit, merawat penyakit apatah lagi memanjangkan hayat seseorang. Jika pun ada manfaat dari pengambilan air beralkali ini, ianya mungkin disumbang oleh pengambilan air yang mencukupi, kebersihan air dan juga mineral-mineral yang terkandung di dalamnya. Ramai doktor dan saintis berpendapat dakwaan kemujaraban air beralkali oleh syarikat-syarikat pengeluar air ini tidak disokong oleh kajian yang berkualiti tinggi dan kita masih lagi kekurangan maklumat dari segi mudarat yang mungkin boleh dibawa oleh pengambilan air ini. Apa yang paling dibimbangi adalah kesan kemudaratan jangkapanjang kesan dari pengambilan air beralkali bukan sahaja disebabkan oleh sifat kealkalian air, tetapi juga disebabkan oleh proses elektrolisis atau pengionan air ini bakal menghasilkan bermacam-macam bahan kimia/molekul lain bergantung kepada kandungan air yang digunakan dan juga proses pemisahan air yang dilakukan. Mengikut seorang Pakar Gastroenterologist yang juga bekas presiden American Society for Gastrointestinal Endoscopy, Dr.John Petrini, beliau berkata “There is no basis for any health claims at all (tidak ada langsung asas kesihatan yang didakwa)”. R.John Petrini berkata lagi :” After it is digested, food and water goes into the stomach and, no matter what pH it was when it entered and then ends up leaving the stomach at a pH of about 6.8, Dr. Petrini says. And no matter what you eat, your body has effective mechanisms to keep your blood in a narrow range between 7.35 and 7.45”. Air diserap terutamanya di dalam usus dan bukan di dalam perut. Apabila air atau makanan beralkali diambil dan sampai di perut yang sangat berasid, sifat alkali bahan-bahan ini akan dihapuskan dan apabila ia meninggalkan perut ke usus kecil, pHnya menjadi 6.8 seperti yang disebutkan oleh Dr.Petrini di atas. Kemudiannya apabila melalui usus kecil, kandungan isi perut tadi akan bercampur dengan rembesan alkali dari pankreas. Kesimpulannya, semua jenis air yang anda ambil tidak kira berapa nilai pHnya akhirnya akan menjadi air beralkali apabila masuk ke dalam usus kecil. Malah ada juga pakar-pakar yang berpendapat jika air beralkali yang diproses melalui elektrolisis ataupun pengionan, ion hidroksida yang dihasilkan boleh bergabung dengan mineral seperti Magnesium, Kalsium dan lain-lain untuk membentuk bahan (Magnesium hidroksida, Kalsium Hidroksida) yang berpotensi memudaratkan badan jika di dalam kuantiti yang banyak.


ADAKAH MANFAAT MEMINUM AIR BERALKALI?


Mungkin terdapat manfaat pengambilan air beralkali jika ianya dihasilkan dengan kaedah bersih dan mengekalkan bahan-bahan mineral yang ada. Walau bagaimanapun manfaat yang dibawa oleh pengambilan air beralkali ini lebih kepada tabiat mengambilan air yang mencukupi (memulihkan hidrasi badan), kandungan mineral yang ada di dalamnya dan bukan disebabkan oleh pH air berkenaan. Terdapat ahli-ahli sains yang cuba merationalisasikan manfaat air beralkali ini (walaupun bukan berasaskan kepada bukti saintifik yang kukuh) , di antaranya adalah seperti berikut:


1.   Mungkin ianya boleh memperbaiki kesihatan usus melalui keupayaan air itu untuk mempunyai potensi oksidasi-reduksi negative yakni menjadi agen reduksi (negative Oxidation-Reduction Potential). Mungkin dengan ciri-ciri ini ia boleh membantu melindungi usus dari mikroorganisma yang berbahaya. Walau bagaimanapun keupayaan membunuh bakteria bukan semestinya baik kerana terdapat bakteria baik yang mengawal usus dari pembiakan bakteria ganas. Jika bakteria baik ini dihapuskan, akan berlaku pembiakan bakteria ganas yang menyebabkan penyakit.


2.   Golongan ahli sukan lasak mungkin satu golongan yang dapat mengambil manfaat dari pengambilan air beralkali ini, menurut pendapat pakar, senaman yang lasak menyebabkan badan mereka menghasilkan banyak asid. MUNGKIN air beralkali dapat membantu. Inipun hanya andaian sahaja kerana di dalam air beralkali tersebut terdapat mineral-mineral yang boleh membantu meningkatkan kecerdasan badan dan peluang mengambil air yang mencukupi untuk memulihkan kecerdasan badan.


3.   Hasil kajian pernah diterbitkan mengenai kesan meminum air beralkali dengan pH 8.8 oleh haiwan, di mana pada pH 8.8 ini enzim pepsin dapat direncatkan, enzim ini bertanggungjawab menyebabkan penyakit acid refluk (reflux acid ataupun reflux oesophagitis). Walau bagaimanapun  ini adalah kajian makmal ke atas haiwan dan bukan kajian ke atas manusia. (klik di sini) 


4.   Ada juga kajian kecil yang tidak berkualiti (bukan randomized control trial) yang melapurkan meminum air beralkali memperbaiki kesihatan pesakit darah tinggi, diabetes dan hiperkolestrolemia (berlebihan kolestrol). Kajian ini adalah kajian yang kecil dan didakwa kajian preliminari (awal). (klik di sini)  


APAKAH MUDARAT AIR BERALKALI


Daripada penerangan di atas jelas menunjukkan bahawa manfaat yang dibawa oleh air beralkali tidak disokong oleh bukti kajian saintifik yang kukuh dan tidak cukup untuk dijadikan alasan untuk diamalkan secara berterusan. Ahli-ahli sains berpendapat bahawa pengambilan air beralkali secara berterusan bakal menyebabkan beberapa masalah kesihatan kepada badan yang di antaranya adalah :


1.  Pengambilan yang berpanjangan dalam kuantiti yang banyak boleh menyebabkan ketidakstabilan pH di dalam badan.


2. Gangguan fungsi perut. Keasidan adalah penting untuk mengekalkan fungsi perut yang normal. Terdapat banyak fungsi perut yang memerlukan persekitaran tersebut seperti penyerapan nutrin, pemecahan protin dan lain-lain. Contohnya penyerapan vitamin B12 memerlukan asid untuk merungkai ikatan vitamin ini dengan protin sebelum ianya boleh bergabung dengan faktor intrinsik sebelum boleh diserap ke aliran darah.


3. Air beralkali boleh berinteraksi dengan banyak jenis ubat yang diambil. Masyarakat kita suka mendapatkan ubat di farmasi dan mengambilnya tanpa nasihat doktor. Mengambil ubat ini dengan air beralkali boleh menyebabkan berlakunya interaksi di antara ubat dan kealkalian air sehingga boleh menghasilkan kompoun yang boleh memudaratkan kesihatan.


4. Beban tambahan kepada buah pinggang. Di antara fungsi buah pinggang adalah menstabilkan nilai pH badan. Pengambilan air beralkali yang berterusan boleh menambah beban buah pinggang sehingga lama kelamaan fungsinya boleh terganggu terutama ke atas orang yang tua.


5. Masalah penghadaman. Ia boleh mengganggu proses penghadaman. Ini disebabkan oleh peningkatan pH yang mendadak walaupun di dalam masa yang singkat. Masalah ini lebih serius jika individu tersebut berusia lebih dari 60 tahun. Salah satu masalah penghadaman akibat dari perubahan ini adalah hipokloridia yang disebabkan oleh masalah penyerapan kalsium. Jika keasidan perut menurun dengan terlalu banyak dan berpanjangan, ia boleh menyebabkan gangguan penyerapan kalsium yang sangat serius sehingga menyebabkan ianya boleh mengancam nyawa pesakit, keadaan ini dinamakan milk alkali syndrom.


6.Kajian ke atas haiwan menunjukkan bahawa pendedahan alkali yang berpanjangan boleh menyebabkan kerosakan sistem kardiovaskular (jantung dan aliran darah)


Walaupun sebahagian kesan-kesan negatif ini ditemui ke atas kajian haiwan tetapi ianya sudah cukup untuk membuat kita berwaspada. 


KESIMPULAN


Kefahaman mengenai keseimbangan asid-alkali di dalam badan manusia perlu dimiliki oleh anda jika anda ingin memahami tajuk yang diperbincangkan di dalam rencana ini. Badan manusia berupaya mengawal pH di dalam darah dan lain-lain tisu serta organ secara semulajadi dan pH yang dikekalkan bergantung kepada organ-organ, ada organ yang perlu lebih berasid dan ada yang perlu lebih beralkali. Tidak tepat mengatakan bahawa anda menjadi lebih berasid apabila mengambil makanan berasid dan menjadi lebih beralkali bila mengambil makanan atau minuman beralkali. Badan anda sentiasa mampu mengekalkan julat pH yang optima untuk fungsi badan melalui sistem kawalan keseimbangan asid-alkali badan yang sangat cekap, tidak kira apa jenis makanan atau minuman yang anda ambil. Apa yang memudaratkan (sangat jarang berlaku) adalah apabila badan anda gagal mengawal keseimbangan asid dan alkali badan  sehingga pH darah anda terlalu berasid dikenali sebagai ASIDOSIS (contoh: komplikasi Diabetes yang tidak terkawal dikenali sebagai “Diabetic ketoacidosis”)  ataupun terlalu beralkali dikenali sebagai ALKALOSIS (contoh: penyakit paru-paru, hiperventilasi dan penyakit hati). Kedua-dua asidosis dan alkalosis memerlukan rawatan intensif di hospital kerana kedua-duanya boleh mengakibatkan kematian.


Daripada apa yang telah diterangkan di atas, jelas bahawa setakat ini belum terdapat bukti saintifik yang kukuh untuk menyokong amalan pengambilan air beralkali untuk tujuan kesihatan. Orang-orang awam perlu berhati-hati apabila didekati individu-individu yang mendakwa pakar kerana ramai pakar-pakar yang mementingkan imbuhan material lebih dari memperjuangkan fakta yg sebenar. Untuk menjaga kesihatan badan, mencegah dari penyakit kronik dan memanjangkan hayat, anda hendaklah mengamalkan gaya hidup sihat, mempunyai berat badan yang unggul, mengurangkan stres, melakukan ujian saringan kesihatan dan melakukan pemeriksaan kesihatan secara berkala. Mengamalkan gaya hidup sihat bermaksud mengambil makanan yang seimbang, mengambil air yang mencukupi (air biasa pun sudah memadai), bersenam, mengamalkan aktiviti seksual yang sihat, tidak merokok, tidak mengambil alkohol, tidak mengambil dadah dan mendapatkan berat badan yang unggul (mengelak dari menjadi obes). Jika anda sudah menghidapi penyakit-penyakit kronik, di samping mengamalkan gaya hidup sihat di atas, dapatkan rawatan dari doktor, ambil ubat secara tetap, jalani rawatan susulan dan lakukan ujian kesihatan yang berkala.


Secara peribadi, saya berpendapat jika anda ingin mengambil air, ambil air yang bersih dari pencemaran, neutral (ataupun sedikit beralkali dgn pH kurang dari 8) dan mempunyai mineral di dalam julat yang dibenarkan. Ciri-ciri air ini ada pada air paip yang dirawat, air telaga atau air mata-air yang bersih (termasuk air zamzam) dan juga air mineral biasa yang harganya RM1 satu botol. Kata kuncinya adalah MENGAMBIL AIR SECUKUPNYA DAN ELAKKAN DARI DEHIDRASI (rujuk di sini bagaimana mengambil air yang mencukupi). Sila baca rencana tulisan saya mengenai alat penapis air di sini. Anda boleh menjimatkan banyak wang anda jika anda menimba ilmu dan faham mengenai air serta bagaimana mengambil air dengan betul.  



Pandangan ini adalah pendapat peribadi dan tidak mewakili mana-mana institusi ataupun pertubuhan.


http://www.wsj.com/articles/SB10001424052702303404704577314182468322256 )

http://www.healthline.com/health/food-nutrition/alkaline-water-benefits-risks#1

http://www.chem1.com/CQ/ionbunk.html 

 http://medlicker.com/926-alkaline-water-dangers#.Vw3UGewyF0h.facebook

ADAKAH PENAPIS AIR SATU KEPERLUAN ?

Dato' Dr.Mohd Rushdan Md Noor

MD,MOG (UKM),Fellow GO(S'pore),AM 


PENDAHULUAN



Air adalah keperluan asas untuk kesihatan dan fungsi badan yang normal. Tanpa air anda tidak boleh hidup lebih dari satu minggu. Saya telah menulis mengenai air dan bagaimana air dirawat sebelum ianya sampai ke dalam rumah anda (klik disini untuk membaca). Di dalam rencana tersebut saya telah terangkan dengan mendalam bagaimana air mentah dirawat bagi menghasilkan air yang bersih dan memenuhi piawaian yang ditetapkan. Air yang dirawat tersebut akan dipantau secara berkala oleh pihak yang berwajib bagi memastikan ianya kekal bersih. Sebenarnya sistem merawat air yang dilaksanakan oleh kerajaan ini adalah sangat komprehensif dan tidak salah jika ianya digambarkan sebagai sebuah alat penapis air mega yang besar. Maksudnya, air yang sampai ke rumah anda itu sebenarnya sudah ditapis dengan kaedah tapisan yang berkualiti supaya ianya selamat digunakan oleh anda termasuk untuk meminum. Kandungan bahan-bahan mineral, klorin, florida dan lain-lain dipastikan berada di dalam julat yang selamat pada setiap masa. 


MENGAPA ANDA MENGANGGAP AIR YANG SAMPAI KE RUMAH ANDA TIDAK SELAMAT


Walaupun pihak berkuasa yang menjaga kualiti air melakukan rawatan air yang baik tetapi pencemaran air tetap boleh berlaku daripada tangki air bersih sehingga ke rumah anda. Paip air yang anda gunakan mungkin kotor ataupun berkarat dan ianya boleh mencemar air yang sudah dirawat. Kaedah terbaik bagaimana anda boleh menguji kebersihan air di rumah anda telah dibincangkan di sini (klik di sini untukmembaca). Jika anda melakukan pemeriksaan seperti yang tertulis di dalam rencana tersebut dan di dapati bahawa air itu bersih, maka anda tidak memerlukan penapis air. Jika anda tidak tahu dan tidak mempunyai kelengkapan untuk menguji kebersihan air di rumah anda, maka adalah baik jika anda beranggapan bahawa air yang sampai ke rumah anda itu mungkin sudah tercemar. Bertindak di atas sebab anggapan ataupun keberangkalian sahaja tentu sekali sesuatu yang kurang wajar, tetapi di dalam isu yang berkaitan dengan kesihatan badan, mungkin anggapan ini berbaloi jika tindakan anda tidak melibatkan kos yang terlalu tinggi. Anda perlu memikirkan penapis air jenis apa yang anda ingin miliki dan adakah anda ingin menapis ke semua air yang masuk ke dalam rumah ataupun hanya air yang sampai ke dapur untuk tujuan memasak, membasuh pinggan dan meminum. Anda mungkin juga terfikir bahawa merawat air dengan cara mendidih sahaja sudah memadai, mengapa perlu mengeluarkan wang yang banyak untuk membeli penapis. Tambahan pula air yang masuk ke dalam rumah anda sudahpun dirawat. Pendapat ini tidak boleh disangkal dan mungkin benar.


KAEDAH PENULINAN AIR (“WATER PURIFICATION”) DI RUMAH


Jika anda mengambil keputusan untuk membersihkan air yang sampai ke rumah anda maka anda mempunyai beberapa pilihan. Di dalam bahasa Inggeris, membersihkan air atau menulinkan air dikenali sebagai “water purification”. Tujuan dilakukan penulinan air ini adalah untuk membersih pencemaran air seperti bakteria, parasite, virus, fungus, racun serangga, logam dan lain-lain bahan kimia. Sebenarnya kaedah penulinan air yang terdapat di pasaran adalah merupakan kaedah yang sama dengan proses rawatan air oleh pihak kerajaan ke atas air mentah seperti yang saya  terangkan dahulu.

Berikut adalah beberapa kaedah-kaedah utama untuk menulinkan air di rumah anda:


1.   Memasak air hingga mendidih. Panaskan air hingga mendidih iaitu apabila terbentuknya buih-biuh yang menggeladak. Terus memanaskan air selama 5-10 minit lagi. Tambah 1 minit masa untuk setiap ketinggian 300 meter di atas paras laut, ini disebabkan suhu mendidih semakin rendah pada kedudukan yang lebih tinggi jadi mungkin pada suhu tersebut ia kurang berkesan untuk membunuh bakteria. Sebenarnya mendidihkan air untuk selama 1-2 minit sudah mencukupi untuk membunuh kebanyakan bakteria. Mendidih juga dapat mengeluarkan bahan kimia melalui perwapan. Walau bagaimanapun mendidih tidak dapat mengeluarkan bahan logam, mineral dan juga pepejal. Jika anda mengesyaki air itu mengandungi bahan mineral dan logam yang tinggi mungkin disebabkan oleh paip air yang berkarat, maka adalah wajar anda membiarkan air itu beberapa minit selepas mendidih supaya bahan-bahan ini dapat mendap ke dasar bekas air.


2. Disinfektan kemikal ("Chemical Disinfectant") adalah pembasmian mikroorganisma dengan menggunakan bahan kimia. Selain dari mendidihkan air, kaedah lain bagaimana organisma2 dihapuskan adalah melalui penggunaan bahan kimia dan kaedah penapisan. Selalunya kedua-dua kaedah ini boleh digunakan serentak di mana bahan kimia akan dicampurkan untuk membunuh mikroorganisma yang terlepas dari penapisan. Klorin adalah bahan kimia yang sering digunakan untuk membunuh banyak mikroorganisma. Kandungan klorin di dalam air sentiasa dipantau supaya tidak melebihi had yang dibenarkan. Klorin sangat berkesan membunuh bakteria tetapi tidak berkesan membunuh protozoa. Klorin larut di dalam air dan membentuk asid hipoklorus yang akan dipecahkan pula kepada ion hipoklorit, kedua-dua kompoun ini akan membunuh mikroorganisma dan hasilnya, air akan bebas mikroorganisma. Klorin pada kuantiti yang tinggi boleh bertindakbalas dengan kompoun organik semulajadi untuk menghasilkan bahan kimia yang boleh memudaratkan kesihatan iaitu trihalomethanes dan haloacetic acids. Kesan kedua-dua bahan kimia ini ke atas badan manusia khususnya sebagai penyebab penyakit kanser (kanser pundi kencing dan usus) masih belum disahkan. Malah banyak kajian menunjukkan bahawa meminum air berklorin tidak memudaratkan kesihatan, menangkis dakwaan banyak syarikat pengedar penapis air. IARC ( International Agency for Research of Cancer) sendiri telah membuat analisa berkenaan dengan keselamatan penggunaan klorin di dalam air dan mereka merumuskan bahawa tidak ada cukup bukti untuk mengesahkan kaitan di antara klorin di dalam air dengan kanser samada kepada manusia ataupun haiwan (rujukan di sini). Hasil kajian terhadap haiwan tidak boleh digunakan sebagai bukti kerana sistem badan haiwan yang berbeza dengan manusia. WHO menetapkan had kandungan klorin di dalam air minum tidak lebih dari 5 mg per liter. Kandungan klorin di dalam air yang dirawat di Malaysia juga mengikut garispanduan dari WHO ini iaitu dari 0.2 – 5.0 mg/liter.  Bahan kimia lain yang boleh digunakan untuk membasmi mikroorganisma adalah Chloramine. Ozone pula adalah molekul oksigen yang kehilangan satu atom oksigen, ia adalah molekul yang tidak stabil dan agent pengoksidan yang sangat kuat. Ia dapat membunuh banyak jenis mikroorganisma termasuk protozoa. Ozone dihasilkan dengan membawa oksigen melalui cahaya ultraunggu. Kelebihan ozone adalah ianya tidak berbau, tidak meninggalkan sisa bahan asing dan tidak menukar rasa dan bau air. FDA telah meluluskan ozone untuk tujuan ini. Mikroorganisma juga boleh dihapuskan dengan menggunakan sinaran ultraunggu. Sinaran ultraunggu sangat berkesan melemahkan sista di dalam air. Seperti juga ozone, sinaran ultraunggu tidak meninggalkan saki baki disinfektan, jadi bahan disinfektan kimia perlu ditambah (selalunya menggunakan chloramines) untuk memanjangkan tempoh rawatan air. Menggunakan kaedah disinfektan kimia tidak cukup untuk membersihkan air sebab ianya hanya tertumpu kepada pembasmian mikroorganisma.


3.   Granular Activated Carbon Filtering. Menggunakan karbon yang teraktif untuk menapis air. Karbon dapat menyerap banyak kompoun termasuk toksin. Seringkali penapis air yang menggunakan karbon ini juga mengandungi perak (silver) nanopartikal yang boleh membunuh bakteria. Bahan yang terserap ke dalam karbon boleh menjadi tempat pembiakan bakteria dan di sinilah peranan “silver nanoparticle” ini. Silver nanoparticle ini juga dapat menukar kompoun racun serangga (pesticides) kepada kompoun yang tidak beracun.


4.   Penyulingan adalah kaedah mendidihkan air hingga air bertukar menjadi wap. Apabila wap ini bersentuhan dengan permukaan sejuk, ia akan menjadi air yang tidak mengandungi bahan larut. Walau bagaimanapun kaedah ini tidak dapat mengasingkan bahan2 yang mempunyai titik didih yang sama dengan air dan sebahagian bahan pencemar yang tidak berwap masih boleh melekat pada wap air yang terbentuk. Kaedah penyulingan ini dapat menghasilkan 99% air tulin. Kelemahan sistem ini adalah ia menyebabkan kehilangan banyak bahan mineral kerana air tulin yang dihasilkan itu sudah tidak ada cukup bahan mineral ataupun dikenali sebagai “demineralized water”.


5.   Osmosis Songsang (Reverse Osmosis). Di dalam kaedah ini, tekanan mekanikal dikenakan ke atas air yang tidak tulin melalui selaput separa telap (semi-permeable) untuk menghasilkan air tulin. Bahagian yang paling kritikal adalah selaput separa telap kerana agak sukar untuk mencipta selaput yang unggul. Selaput ini perlu diselenggarakan dengan baik, jika tidak algae dan lain-lain benda hidup boleh berkumpul. Kaedah osmosis songsang dapat menapis banyak jenis bahan pencemar seperti bakteria, parasit, arsenik, pestiside (racun serangga) dan herbiside (racun rumput). Tentera Amerika pernah menggunakan kaedah ini untuk menukarkan air laut kepada air tulin yang boleh diminum. Walau bagaimanapun, osmosis songsang ini mempunyai keburukannya kerana di samping bahan pencemar, ianya juga boleh menapis bahan-bahan yang berguna kepada badan manusia termasuk bahan mineral. Di antara bahan-bahan mineral yang tersebut adalah besi, kalsium, manganese, magnesium, klorin dan florida. Bahan-bahan ini penting untuk fungsi badan (e.g metabolism sel, tumbesaran) tetapi ianya boleh diperolehi dari makanan (sayur, daging dan bijirin). Jadi kepada anda yang mengamalkan makanan seimbang, isu ini mungkin tidak berbangkit. Ianya menjadi serius jika anda tidak mengambil cukup zat2 ini dari makanan. Kanak2 juga akan menghadapi masalah kekurangan florida yang boleh menyebabkan gigi rosak (mungkin boleh diperolehi melalui ubat gigi sebagai ganti). Air yang ketiadaan bahan mineral ini dikenali sebagai “demineralized water”. Isu kesan samping amalan meminum “demineralized water” ini telah menjadi tajuk perdebatan dan WHO telah memberi amaran mengenai risiko kekurangan bahan mineral di dalam badan dan risiko keracunan logam (plumbum dan cadmium). Satu rencana panjang mengenai risiko kesihatan akibat meminum "demineralized water" ada disiarkan di laman web WHO di sini. Bahan mineral seperti Kalsium dan Magnesium dapat mengurangkan keracunan logam seperti plumbum,cadmium dan arsenik. Golongan yang menyanggah pendapat ini pula berhujah bahawa sumber mineral yang utama adalah makanan dan bukan dari minuman. Jadi kekurangan bahan mineral ini di dalam air tidak sepatutnya menjadi masalah besar. Kaedah osmosis songsang ini juga dikatakan boleh mengakibatkan pembaziran air yang tidak tertapis. Banyak model alat penapis yang menggunakan kaedah ini dan anda perlu mendapatkan maklumat terperinci sebelum membelinya. Kesimpulannya, kaedah osmosis songsang adalah salah satu cara yang sangat berkesan menapis banyak bahan pencemar air tetapi ia hendaklah diselenggarakan dengan baik dan anda perlu mengambil makanan yang mengandungi cukup bahan2 mineral yang telah ditapis keluar.


6.   Microfiltration dan Ultrafiltration


Seperti yang telah dinyatakan sebelum ini, air boleh juga ditulinkan melalui kaedah penapisan mikro ataupun microfiltration iaitu menggunakan selaput yang mempunyai lubang yang sangat kecil bagi menapis air. Lubang-lubang kecil ini mampu menahan pencemar air dari melepasinya seperti mikroorganisma, bahan mineral dan lain-lain. Ianya sering digunakan bersama kaedah-kaedah lain penapisan air seperti osmosis songsang dan juga penapisan ultra (ultrafiltration). Penapisan ultra menggunakan konsep menapis air dengan kaedah perbezaan kepekatan dan tekanan, pepejal dan bahan-bahan larut yang besar saiz molekulnya akan tertinggal di sebelah selaput separa telap (semipermeable membrane). Kaedah penapisan ultra dan penapisan mikro ini dapat mengambil aleh kaedah-kaedah merawat air menggunakan bahan kimia. Kelebihan kaedah ini adalah tiada bahan kimia digunakan, kualiti air yang dihasilkan adalah tetap dan tulin. Kaedah ini juga menggunakan peralatan yang lebih kecil. Kekurangan sistem ini adalah kos yang lebih mahal dan untuk mencegah kerosakan penapis ini, air atau cecair yang hendak ditapis perlu menjalani rawatan terlebih dahulu. Ia juga digunakan untuk penapisan awal sebelum menjalani osmosis songsang untuk melindungi selaput separa telap di dalam alat penapis osmosis songsang. Terdapat beberapa bentuk alat penapis (selaput separa telap) yang digunakan di dalam sistem penapisan ultra ini seperti “tubular modules”, “hollow fibre”, “spiral wound modules” dan lain-lain lagi. Kecekapan menapis sistem ini bergantung kepada jenis penapis/selaput yang digunakan. Selaput/penapis ini perlu dicuci secara tetap untuk mencegah pengumpulan mendapan dan kotoran. Kaedah mencuci ini dinamakan “backwashing” iaitu mengalirkan air mengikut arah bertentangan untuk tujuan menanggalkan mendapan serta kotoran yang terlekat pada selaput penapis. Kaedah “backwashing” ini mempunyai kelemahan sebab ianya tidak dapat menanggalkan bahan mendapan yang kompleks. Untuk memperbaiki proses penyucian ini, bahan kimia boleh digunakan seperti larutan asid untuk mencuci bahan inorganic, larutan alkali untuk mengeluarkan bahan organik dan lain-lain. Lain-lain kaedah penapisan adalah penapisan nano (Nanofiltration). Berbezaan yang ketara di antara jenis-jenis penapisan ini terletak kepada saiz partikel yang boleh ditapis dan juga tekanan. Jadual 1 di bawah menunjukkan berbezaan 5 jenis kaedah penapisan air.


Jadual 1 : Perbezaan asas kaedah penapisan air yang terdapat di pasaran


JENIS PENAPISAN

CIRI-CIRI ASAS

Penapisan Mikro

(Mikrofiltration)

Menapis partikel bersaiz 0.1 um-10 um. Ia direka untuk menapis mendapan, algae, protozoa dan bakteria yang besar. Molekul2 besar seperti air, Natrium, Klorida dan virus boleh melepasi selaput separa telap ini.

Penapisan Ultra

(Ultrafiltration)

Selaput penapis mempunyai lubang-lubang bersaiz 0.01 um-0.1 um, mampu menapis  protin, endotoksin, virus dan silika

Penapisan Nano

(Nanofiltration)

Selaput penapis mempunyai lubang-lubang bersaiz 0.01 um-0.01 um. Mampu menapis ions multivalent, pewarna sintetik, gula dan garam tertentu. Tekanan osmotic yang diperlukan lebih tinggi jika dibandingkan dengan selaput yang mempunyai lubang yang lebih besar

Osmosis Songsang

(Reverse Osmosis)

Selaput penapis untuk proses osmosis songsang mempunyai saiz lubang yang paling kecil iaitu 0.0001 um -0.001um. Ia mampu menapis kebanyakan molekul kecuali molekul air. Disebabkan oleh saiz lubang yang kecil, tekanan osmosis yang diperlukan adalah lebih tinggi dari sistem2 penapisan lain. Ia dikenali sebagai osmosis songsang kerana air   ditapis pada arah tekanan rendah kepada tekanan tinggi. Prinsip ini juga digunakan di dalam penapisan nano




                                       Konsep "backwash"


7.   Pengionan Air (Water ionizer). Kaedah pengionan air juga dikenali sebagai pengionan alkalin kerana di dalam proses penulinan air ini, air bersih yang dihasilkan ini mempunyai pH yang tinggi. Ianya menggunakan kaedah elektolisis untuk memisahkan air yang berasid dengan air yang beralkali. Kaedah ini mengunakan arus elektrik untuk memisahkan atom hidrogen dan oksigen. Dengan menggunakan katod dan anod, air yang berkumpul di sekeliling anod adalah berasid, manakala air yang berkumpul di sekeliling katod adalah beralkali. Salah satu produk penapis air yang menggunakan kaedah elektrolisis ini adalah Kangen Water. Pengambilan air beralkali ini akan dibincangkan di dalam rencana lain kerana tajuk ini agak kontroversi dan terdapat pencanggahan pendapat dalam kalangan pengeluar dan pakar perubatan. Ramai ahli sains percaya bahawa air beralkalin tidak mempunyai manfaat pada kesihatan seperti yang didakwa kerana belum ada kajian kukuh yang membuktikan kenyataan tersebut. Malah mereka berpendapat, keberkesanan meminum air beralkalin itu jika pun ada bukan disebabkan oleh air yang beralkali tetapi disebabkan kesan kehadiran mineral di dalam air tersebut dan juga manfaat dari mengambil air yang mencukupi. Terdapat beberapa dakwaan dari pengamal2 perubatan yang mengatakan meminum air beralkali mempunyai banyak manfaat kepada penyakit-penyakit kronik dan kecergasan badan tetapi mereka tidak dapat mengemukakan kajian yang mantap. Kajian yang dilakukan tersebut adalah lemah kerana bukan kajian randomized control trial sebaliknya hanya melihat perubahan yang berlaku ke atas sekumpulan pesakit yang mengambil air beralkali untuk jangkamasa tertentu. Di dalam kajian tersebut tidak ada kumpulan kontrol jadi tidak dapat dipastikan samada kesan positif yang dialami itu disebabkan oleh air alkali ataupun faktor2 lain. Kajian-kajian lain pula merupakan kajian makmal dan kajian ke atas haiwan yang tentu sekali terlalu awal untuk digunakan untuk membuat sebarang kesimpulan. Untuk mengetahui dengan lebih lanjut mengenai isu air beralkali ini sila klik di sini.






KLORIN DAN FLORIDA DI DALAM AIR YANG DIRAWAT


Klorin digunakan untuk membasmi mikroorganisma dan telah dibincangkan di atas. Florida pula digunakan untuk tujuan kesihatan gigi. Proses merawat air dengan florida dinamakan “water fluoridation” (WF). Sebenarnya florida ini boleh diperolehi dari alam semulajadi, malah di dalam air mentah, udara dan tanah mengandungi florida. Sebenarnya hampir semua jenis air mengandungi florida secara semulajadi. Di Amerika Syarikat, proses WF ini mula diperkenalkan semenjak tahun 1945 lagi apabila pakar sains mendapati penduduk yang tinggal di kawasan yang tinggi kandungan florida di dalam air minuman mereka jarang mendapat kerosakan gigi. Kandungan maksimum florida yang dibenarkan untuk tujuan minum di Amerika adalah 4.0 mg/L.  Ada yang menetapkan tahap maksimum yang lebih rendah. Di Malaysia, KKM telah menetapkan had kandungan florida di dalam air mentah kepada 1.5 mg/L dan air minum 0.4-0.6 mg/L  (rujuk di sini). Pendedahan air yang tinggi kandungan florida untuk jangkamasa panjang boleh menyebabkan masalah tulang dan sendi dinamakan skeletal fluorosis (tulang menjadi lemah). Kaitan di antara florida dan kanser tulang belum dapat disahkan kerana hasil kajian masih belum meyakinkan walaupun ada sedikit bukti melalui kajian ke atas tikus. Lebih 50 kajian populasi telah dijalankan untuk melihat kaitan di antara florida dan kanser, tetapi kajian-kajian ini tidak menunjukkan sebarang bukti kukuh bahawa florida boleh menyebabkan kanser tulang.Kanser tulang sangat jarang berlaku dan tidak mungkin untuk dapat dibuktikan bahawa penggunaan florida boleh menyebabkan kanser tulang kerana memerlukan sampel kajian yang sangat besar dan perlu menolak faktor-faktor lain yang juga mungkin bertanggungjawab. Malah banyak badan-badan antarabangsa seperti National Research Council, National Health Service UK,  IARC, US Public Health Service dan European Scientific Committee on Health and Environmental Risks telah membuat kenyataan bahawa setakat ini tidak ada kaitan di antara pengambilan florida dengan kadar kejadian kanser tulang, kanser tiroid dan lain-lain kanser. 


ADAKAH ANDA MEMERLUKAN PENAPIS AIR


Setelah anda membaca rencana ini tentu anda sudah mendapat gambaran tentang baik dan buruknya penggunaan penapis air di rumah. Jika rumah anda terletak di kawasan di mana rawatan air dijalankan dengan sempurna dan anda mendapat maklumbalas dari pihak yang bertanggungjawab melaksanakan proses rawatan ini, maka anda boleh merasa yakin. Adalah lebih baik jika anda membeli alat penguji kebersihan air dirumah untuk menguji kualiti air dari masa ke semasa. Jika anda di dalam kedudukan ini, maka keperluan untuk mendapatkan alat penapis air adalah kecil. Jika anda mempercayai proses merawat air di kawasan anda, tetapi tidak mempunyai kemudahan untuk menguji kebersihan air di rumah anda, anda boleh juga mengambil pendirian untuk mempunyai alat penapis hanya di dapur di mana air digunakan untuk tujuan memasak dan minum. Manakala air untuk tujuan lain tidak perlu menjalani penapisan. Pendekatan ini juga boleh diterima dan tidak ada sesiapa boleh membuktikan bahawa air yang dirawat tidak selamat digunakan untuk tujuan mandi dan lain-lain aktiviti di bilik air. Satu lagi pendekatan adalah dengan hanya mempunyai satu penapis air yang diletakkan di luar rumah untuk menapis semua air yang sampai ke dalam rumah anda.


Jika anda mempunyai masalah kewangan dan kebetulan pula kawasan perumahan anda mempunyai sistem rawatan air yang baik, maka anda tidak perlu mendapatkan sebarang alat penapis air tetapi adalah digalakkan anda membeli alat pengukur kebersihan air yang harganya murah, cukup untuk menguji beberapa pencemar-pencemar utama air. Di dalam keadaan ini, anda hanya perlu memasak air untuk membasmi mikroorganisma, jika air itu hendak digunakan untuk minum. Melalui pendekatan ini, anda bukan sahaja menjimatkan wang, tetapi anda juga dapat memperolehi bekalan bahan-bahan mineral dan zat2 yang terkandung di dalam air di samping bekalan florida untuk kesihatan gigi anak anda. Tidak ada kajian kukuh yang menunjukkan bahawa orang yang menggunakan penapis air lebih sihat dari orang yang tidak menggunakan penapis air, di kawasan di mana rawatan air dijalankan dengan baik. Di Malaysia, proses rawatan air di kebanyakan tempat adalah baik dan mengikut piawaian yang ditetapkan oleh Jabatan Kimia berpandukan kepada garispanduan dari WHO.


Perlu diingat bahawa penggunaan alat-alat penapis ini mempunyai kekurangan dan masalahnya yang tersendiri seperti kos yang tinggi, perlu penyelengaraan yang tetap, menukar penapis, dan sebahagian dari sistem penapisan ini juga menapis bahan2 mineral dan zat2 yang diperlukan oleh badan manusia. Jika penyelengaraan tidak dilakukan dengan baik, alat-alat penapis ini akan menjadi kurang berkesan dan mungkin boleh memudaratkan kerana ia boleh menjadi tempat pembiakan mikroorganisma pathogen (penyebab penyakit).


Jika anda membuat keputusan untuk membeli penapis air, maka anda tentu tercari-cari apakah jenis penapis yang hendak digunakan. Pada pandangan saya, mana-mana penapis air yang boleh menghasilkan kualiti air mengikut piawaian yang ditetapkan oleh Jabatan Kimia adalah memadai. Tetapi jika anda mempunyai wang yang lebih, anda boleh membeli alat penapis yang lebih berkualiti. Belum ada kajian kukuh yang menunjukkan bahawa individu yang menggunakan penapis air A lebih sihat, lebih cergas dan lebih panjang usianya dari menggunakan penapis B. Perlu diingat bahawa industri penapis air ini adalah satu perniagaan yang besar dan membawa banyak keuntungan kepada peniaga, jadi jangan mudah terpedaya dengan pelbagai stategi perniagaan yang digunakan. Apa yang penting , anda perlu memilih alat penapis yang mudah diselenggara, kos penyelengaraan yang murah dan mudah digunakan. Kepada anda yang rajin dan mahu mencuba perkara baru, anda boleh membuat penapis air sendiri tanpa perlu mengeluarkan belanja yang besar. Saya menemui satu laman web yang mengajar kaedah membuat penapis air sendiri (baca di sini)  ataupun menonton video youtube ini (lihat di sini). Tidak kira apa sahaja keputusan yang anda ambil mengenai penapis air, sebenarnya faktor yang akan menentukan kesihatan anda adalah gaya hidup anda dan kualiti makanan yang anda ambil. Meskipun anda mempunyai alat penapis air yang terbaik dan tercanggih tetapi anda tidak bersenam, anda tidak mengambil cukup air, anda tidak mengambil makanan seimbang, anda meminum alkohol dan anda merokok, maka penapis air itu akan hanya menjadi perhiasan yang tidak mempunyai peranan yang besar ke atas kesihatan dan kehidupan anda.


Tulisan ini adalah pendapat peribadi Penulis dan tidak mewakili mana-mana institusi dan pertubuhan. 

KAEDAH MENGUJI KEBERSIHAN AIR

Dato' Dr.Mohd Rushdan Md Noor

MD,MOG(UKM),Fellow GO(S'pore), AM


Mengambil air yang bersih adalah salah satu amalan yang sangat baik untuk menjaga kesihatan badan anda. Seperti yang anda ketahui, air yang sampai ke dalam rumah anda sudah melalui proses rawatan dan kerajaan menjamin bahawa air itu selamat digunakan termasuk untuk tujuan meminum. Walaupun jaminan diberi dan anda mengetahui bagaimana air dirawat, ramai dalam kalangan anda tentu masih merasa ragu-ragu. Berikut adalah beberapa kaedah bagaimana anda dapat menguji kebersihan air di rumah anda (baca di sini mengenai jenis pencemaran air):



1. Rupa fizikal air. Air yang jernih selalunya bermaksud air yang bersih, manakala air yang keruh ataupun berwarna mungkin disebabkan oleh pencemaran akibat benda-asing ataupun organisma. Kaedah ini tidaklah begitu tepat tetapi sekurang-kurangnya dapat memberi sedikit maklumat mengenai kebersihan air. Ambil satu gelas air dan lihat air itu pada arah cahaya lampu ataupun matahari, perhatikan jika ada partikel yang mendap ataupun kekeruhan.


2.  Bau dan rasa air. Air yang berbau busuk ataupun tidak menyenangkan mungkin disebabkan oleh pencemaran terutamanya pencemaran bahan organik disebabkan oleh penguraian organisma ataupun tumbuhan yang mati. Bau busuk juga boleh disebabkkan oleh kandungan sulfur di dalam air yang wujuk secara semulajadi. Air yang berbau klorin adalah perkara biasa dan tidak perlu dirisaukan melainkan jika ianya terlalu kuat.  Air yang tercemar boleh menyebabkan rasa air tidak menyenangkan seperti rasa sabun, terlalu payau dan lain-lain. Rasa sabun mungkin disebabkan oleh air terlalu beralkali dan terlalu payau mungkin disebabkan kandungan mineral garam yang tinggi.


3.   Kaedah objektif mengukur kebersihan air adalah dengan kaedah ujian makmal. Ujian makmal yang dilakukan oleh badan yang bertanggungjawab merawat air yang sampai ke rumah kita adalah yang paling ideal sebab mereka memeriksa berpuluh-puluh jenis bahan pencemaran yang mungkin ada di dalam air termasuk kandungan organisma, racun serangga, bahan mineral, logam dan lain-lain. Sila baca di sini untuk mengetahui bagaimana air dirawat. Walau bagaimanapun bagi orang awam, terdapat alat pengukur yang lebih ringkas boleh digunakan dirumah. Alat pengukur ini dapat mengukur pH, kandungan klorin, nitrat, mineral dan logam seperti besi, tembaga dan pelumbum. Ianya juga dapat menguji kekerasan air (hardness of water). Air yang keras (hard water) mengandungi kandungan mineral dan logam yang tinggi. Contoh kit ujian yang boleh digunakan untuk menguji air di rumah adalah Watersafe kit yang boleh menguji 4 pencemar iaitu kehadiran bakteria, racun serangga (pesticide), Nirat dan jumlah klorin. Untuk mengetahui bagaimana menggunakan kit ini, boleh layari video youtube ini (https://youtu.be/HEhXsaL0Vh0). Di Malaysia agak sukar untuk mencari alat pengukur kebersihan air ataupun Water Quality Test Kit, mungkin ianya perlu diimport ataupun perlu diperolehi dari wakil pembekal Malaysia, contoh-contoh pembekal adalah seperti di link bawah:

     

        A. Complete home water quality test kit

        B. Digital LCD water tester

        C. Pocket tester

   

   Saya tidak mempromosikan produk2 di atas sebab tidak arif mengenai ketepatan alat-alat pengukur ini. Anda boleh membuat analisa sendiri dan dapatkan maklumat tentang apakah ujian yang dijalankan. Kebanyakan alat-alat kecil ini menguji pH air, kandungan klorin, florin,suhu dan beberapa jenis bahan mineral. Ia tentu sekali tidak sama dengan peralatan makmal yang canggih ataupun ujian kebersihan yang dilakukan oleh Jabatan Kimia yang lebih komprehensif.

  

4.   Menghubungi pembekal air setempat dan dapatkan maklumat kebersihan air di rumah anda. Mereka tentu menyimpan bacaan ataupun keputusan proses pemantauan air yang mereka lakukan secara berkala. Ini adalah tanggungjawab mereka. Ujian kebersihan dan pencemaran air adalah terletak di bawah tanggungjawab Jabatan Kimia Malaysia, Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi.


5. Mendapatkan ujian air dari Makmal Profesional.  Kaedah ini memerlukan perbelanjaan sendiri dan saya tidak pasti samada ada makmal yang menyediakan perkhidmatan ini di Malaysia. Tetapi di luar negara, perkhidmatan professional ini memang ada dan digunakan oleh orang ramai. Malah sampel air yang diambil boleh diposkan kepada makmal berkenaan untuk analisa.


KLORIN DAN FLORIDA DI DALAM AIR YANG DIRAWAT : ADAKAH IANYA SELAMAT ?


Klorin adalah bahan kimia yang sering digunakan untuk membunuh banyak mikroorganisma. Kandungan klorin di dalam air sentiasa dipantau supaya tidak melebihi had yang dibenarkan. Klorin sangat berkesan membunuh bakteria tetapi tidak berkesan membunuh protozoa. Klorin larut di dalam air dan membentuk asid hipoklorus yang akan dipecahkan pula kepada ion hipoklorit, kedua-dua kompoun ini akan membunuh mikroorganisma dan hasilnya, air akan bebas dari tercemar. Klorin pada kuantiti yang tinggi boleh bertindakbalas dengan kompoun organik semulajadi untuk menghasilkan bahan kimia yang boleh memudaratkan kesihatan iaitu trihalomethanes dan haloacetic acids. Kesan kedua-dua bahan kimia ini ke atas badan manusia khususnya sebagai penyebab penyakit kanser (kanser pundi kencing dan usus) masih tidak disahkan. Malah banyak kajian menunjukkan bahawa meminum air berklorin tidak memudaratkan kesihatan menyanggah dakwaan yang diwar-warkan oleh syarikat pengedar alat penapis air. IARC ( International Agency for Research of Cancer) sendiri telah membuat analisa berkenaan dengan keselamatan penggunaan klorin di dalam air dan mereka merumuskan bahawa tidak ada cukup bukti yang boleh mengesahkan kaitan di antara klorin di dalam air dengan kanser samada kepada manusia ataupun haiwan (rujuk di sini). WHO menetapkan had kandungan klorin di dalam air minum tidak lebih dari 5 mg per liter. Kandungan klorin di dalam air yang dirawat di Malaysia juga mengikut garispanduan dari WHO ini iaitu dari 0.2 – 5.0 mg/liter.


Florida pula digunakan untuk tujuan kesihatan gigi. Proses merawat air dengan florida dinamakan “water fluoridation” (WF). Sebenarnya florida ini boleh diperolehi dari alam semulajadi, malah di dalam air mentah, udara dan tanah mengandungi florida. Sebenarnya hampir semua jenis air mengandungi florida secara semulajadi. Di Amerika Syarikat, proses WF ini mula diperkenalkan semenjak tahun 1945 lagi apabila pakar sains mendapati penduduk yang tinggal di kawasan yang tinggi kandungan florida di dalam air minuman mereka jarang mendapat kerosakan gigi. Kandungan maksimum florida yang dibenarkan untuk tujuan minum di Amerika adalah 4.0 mg/L.  Ada yang menetapkan tahap maksimum yang lebih rendah. Di Malaysia, KKM telah menetapkan had kandungan florida di dalam air mentah kepada 1.5 mg/L dan air minum 0.4-0.6 mg/L (rujuk di sini). Pendedahan air yang tinggi kandungan florida untuk jangkamasa panjang boleh menyebabkan masalah tulang dan sendi dinamakan skeletal fluorosis (tulang menjadi lemah). Kaitan di antara florida dan kanser tulang belum dapat disahkan kerana hasil kajian masih belum meyakinkan walaupun ada sedikit bukti melalui kajian ke atas tikus. Lebih 50 kajian populasi telah dijalankan untuk melihat kaitan di antara florida dan kanser, tetapi kajian-kajian ini tidak menunjukkan sebarang bukti kukuh bahawa florida boleh menyebabkan kanser tulang.Kanser tulang sangat jarang berlaku dan tidak mungkin untuk dapat dibuktikan bahawa penggunaan florida boleh menyebabkan kanser tulang kerana memerlukan sampel kajian yang sangat besar dan perlu menolak faktor-faktor lain yang juga mungkin bertanggungjawab. Malah banyak badan-badan antarabangsa seperti National Research Council, National Health Service UK,  IARC, US Public Health Service dan European Scientific Committee on Health and Environmental Risks telah membuat kenyataan bahawa setakat ini tidak ada kaitan di antara pengambilan florida dengan kadar kejadian kanser tulang, kanser tiroid dan lain-lain kanser. Kesimpulannya, klorin dan florida yang terkandung di dalam air yang dirawat adalah selamat untuk diminum jika kandungannya dipantau dan di dalam julat piawaian yang ditetapkan.


Dato'Dr.Mohd Rushdan Md Noor



http://www.wikihow.com/Test-Water-Purity