Tuesday, 28 January 2020

WABAK CORONAVIRUS : APA YANG ORANG AWAM PERLU TAHU


Coronavirus adalah nama umum untuk sejenis virus yang menyebabkan demam selesema daripada selesema ringan hinggalah dalam bentuk serius sehingga menyebabkan kematian. Analogi mudah untuk faham adalah coronavirus macam nama bapa. Anak2 akan dinamakan dengan nama masing2 tetapi berbinkan nama bapa yang sama. Jadi kita kenal anak itu daripada namanya, nama mereka berbeza tetapi semua mempunyai bapa yang sama. Setakat ini nama2 anak yang sangat terkenal adalah MERS-CoV singkatan kepada Middle East Respiratory Syndrome Coronavirus dan SARS-CoV (Severe Acute Respiratory Syndrome Coronavirus). Coronavirus ini dipanggil Zoonotik sebab boleh berjangkit daripada haiwan kepada manusia. Mereka boleh menjalani proses "antigenic shift" sehingga boleh menukar sasaran jangkitan daripada haiwan kepada manusia. 

MERS-CoV ditularkan daripada kelawar dan unta kepada manusia (mula dikesan di Arab Saudi), virus ini menyebabkan kematian seramai 800 orang di Timur Tengah sekitar tahun 2012. SARS-CoV pula dipercayai ditularkan daripada kelawar dan kucing civet kepada manusia (mula dikesan di Guangdong, China), mula menyerang manusia pada tahun 2002/2003 dan membunuh sekitar 700 orang di China dan Hong Kong. Kaedah sebenar bagaimana virus ini boleh menular daripada haiwan kepada manusia belum diketahui oleh ahli sains tetapi berkemungkinan melalui memakan ataupun kontak secara terus dengan haiwan2 ini. Disebabkan manusia berpindah dan bergerak, virus2 ini tersebar di banyak negara, tidak hairanlah mengapa negara kita juga tidak terkecuali.

Sekarang ini lahir satu lagi ahli keluarga coronovirus yang belum dikenali, bukan MERS-CoV dan bukan SARS-CoV. Disebabkan ianya baru dilahirkan dan belum ada nama, maka ia diberi nama sementara sebagai 2019 Novel Coronavirus ataupun 2019-nCoV. Coronavirus yang baru ini dipercayai lahir di daerah Wuhan negeri China pada tahun 2019 dan seperti juga dengan MERS-CoV dan SARS-CoV, 2019-nCoV juga adalah zoonotik.Haiwan yang menjadi tempat asal coronavirus yang baru ini berkemungkinan daripada kelawar dan ular.

Disebabkan ketiga2 adik beradik ini daripada keluarga yang sama maka mereka memiliki beberapa ciri2 persamaan. Mereka memberi gejala2 yang lebih kurang sama iaitu demam, selesema, batuk, sesak nafas dan di dalam kes yang serius menyebabkan radang paru2 dan kematian. Kaedah penyebaran pun hampir sama. Setakat ini belum ada vaksin dan antiviral yang berkesan untuk mencegah dan merawatnya. Pada waktu yang sama mereka juga memiliki perbezaan dan salah satu daripadanya adalah tahap keganasan (kalau dalam keluarga, tahap kenakalan dan kejahatan).
Memang sukar untuk mengukur tahap keganasan virus-virus ini kerana ahli sains perlu menentukan bilangan manusia yang dijangkiti dan yang mati.Bilangan yang mati mungkin lebih mudah tetapi untuk menentukan jumlah orang yang dijangkiti memang sukar kerana ramai yang terlepas daripada dikesan dan ada juga yang tidak mempunyai gejala. Selalunya data yang diperolehi lebih rendah dari bilangan sebenar. Kadar kematian adalah salah satu ukuran tahap keganasan. Mengikut WHO, kadar kematian akibat jangkitan MERS-CoV adalah 34%, maksudnya daripada 100 orang yang dijangkiti, 34 orang akan mati. Manakala kadar kematian jangkitan SARS-CoV pula adalah 9.6%. Kadar kematian 2019-nCoV pula masih tidak diketahui dengan tepat kerana penyakit ini masih merebak tetapi kajian awal setakat ini mungkin di dalam lingkungan 3-4%. Ia akan berubah mengikut masa dan ketepatan data. 

Satu lagi perbezaan dari aspek tahap keganasan adalah sejauh mana ia boleh merebak sesama manusia. Ahli Sains menggunakan ukuran R0, simbul untuk "Basic Reproduction Number". Contohnya kalau R0 bernilai 2, maksudnya seseorang pesakit akan menjangkiti 2 orang lain dalam satu2 masa. Jadi, lagi tinggi nilai R0, maka semakin mudah jangkitan disebarkan. R0 untuk virus MERS-CoV adalah kurang dari 1 dan SARS-CoV 2-5. Kajian awal ke atas 2019-CoV menunjukkan R0 nya adalah di dalam lingkungan 3.30-5.40. Untuk perbandingan dengan virus2 lain, Ro virus campak adalah 12-18, virus Polio 5-7, virus Rubella 6-7 dan virus Ebola 2. 

Jumlah kematian akibat jangkitan virus dipengaruhi bukan sahaja oleh kadar kematian dan R0, tetapi juga faktor2 manusia, keberkesanan program pencegahan dan rawatan di sesebuah negara. Walaupun kadar kematian tidak tinggi, jika berlaku di tempat yang populasinya padat dan sering bergerak, ditambah pula dengan kelemahan mengawal penyebaran penyakit maka bilangan yang akan dijangkiti tentulah tinggi. Maka apabila jumlah yang dijangkiti tinggi, jumlah kematian juga tinggi. Kadar kematian juga tinggi dalam kalangan kanak2, orang tua dan yang menghidap penyakit2 kronik lain. Paling membimbangkan adalah jika jangkitan virus ini berlaku di negara yang padat dan mundur di mana program pencegahan, kawalan dan rawatan penyakit kurang berkesan. Negara kita adalah di antara negara yang mempunyai program kesihatan yang terbaik di dunia, maka percayalah kepada perancangan dan tindakan yang sedang dilakukan oleh kerajaan dan KKM.

Dato' Dr.Mohd Rushdan Md Noor
27hb Jan 2020





                              

RUJUKAN

Mahase E. China Coronavirus: What do we know so far. BMJ 2020;368:m308 doi: 10.1136/bmj.m308 (Published 24 January 2020)
World Health Organization. Middle East respiratory syndrome coronavirus (MERS-CoV).https://www.who.int/…/middle-east-respiratory-syndrome-coro…
World Health Organization. WHO MERS global summary and assessment of risk. Aug2018. https://www.who.int/…/coron…/risk-assessment-august-2018.pdf.
World Health Organization. Consensus document on the epidemiology of severe acuterespiratory syndrome (SARS). https://www.who.int/csr/sars/en/WHOconsensus.pdf
Zhao S, Ran J, Musa SS, et al. Preliminary estimation of the basic reproduction number of novel coronavirus (2019-nCoV) in China, from 2019 to 2020: A data-driven analysis in the early phase of the outbreak. doi: https://doi.org/10.1101/2020.01.23.916395. Posted Jan 24 2020.
Al-Hazmi A. Challenges presented by MERS corona virus, and SARS corona virus to global health. Saudi J of Biological Sciences, 2016; http://dx.doi.org/10.1016/j.sjbs.2016.02.019 https://www.biorxiv.org/content/10.1101/2020.01.23.916395v1
https://www.who.int/…/middle-east-respiratory-syndrome-coro…
https://www.medicalnewstoday.com/articles/262538.php
https://www.who.int/ith/diseases/sars/en/

Tuesday, 21 January 2020

KEPENTINGAN PENJAGAAN PRA-KEHAMILAN

Dato'Dr.Mohd Rushdan Md Noor
Pakar Perunding Kanan Obstetriks & Ginekologi



Penjagaan Pra-Kehamilan adalah penjagaan kesihatan sebelum seseorang wanita itu hamil. Penjagaan pra-kehamilan merujuk kepada penjagaan kesihatan yang diberikan kepada semua wanita yang berkemampuan untuk hamil samada sedang berusaha untuk hamil dalam masa terdekat ataupun tidak. Perkhidmatan pra-kehamilan juga perlu melibatkan suami. Program penjagaan kesihatan ini akan terlebih dahulu mengenalpasti wanita yang berisiko mengalami masalah kesihatan ketika hamil samada ke atas diri mereka ataupun anak yang dikandung. Selepas mengenalpasti individu-individu ini, mereka akan disyorkan untuk menjalani kaunseling, rawatan perubatan, pendidikan dan juga panduan tingkahlaku sebelum mereka hamil. Penjagaan prakehamilan yang baik akan menjamin proses kehamilan dan kelahiran yang lebih selamat dan ini juga dapat mengurangkan kadar kematian ibu. Banyak kes-kes kematian ibu di negara kita disebabkan oleh kelemahan di peringkat penjagaan pra-kehamilan.

Penjagaan pra-kehamilan ini dipercayai mula diperkenalkan oleh Chamberlain di dalam tahun 1980 an. Pada asalnya penjagaan pra-kehamilan ini disasarkan ke atas wanita yang pernah mengalami masalah kehamilan yang lalu, walau bagaimanapun pada hari ini program ini dikembangkan kepada semua wanita-wanita di dalam lingkungan usia reproduktif yakni yang berkemampuan untuk hamil. Mensasarkan hanya kepada wanita-wanita yang mempunyai risiko-risiko kehamilan sahaja akan menyebabkan manfaat penjagaan prakehamilan ini tidak dapat dikecapi oleh hampir 50% wanita-wanita lain. Ini disebabkan proses kehamilan sukar diramal kerana ramai dalam kalangan wanita yang tidak mengalami masalah kehamilan terdahulu boleh mengalami komplikasi kehamilan di masa hadapan.

Penjagaan pra-kehamilan merangkumi saringan risiko, kaunseling,pendidikan dan juga rawatan ataupun intervensi ke atas wanita yang berhajat untuk hamil ataupun yang berkemungkinan mengalami kehamilan tidak terancang. Penjagaan antenatal iaitu ketika seseorang itu sudah hamil dikira peringkat yang lewat kerana pada ketika itu kehamilan sudah berlaku dan anak sudah wujud di dalam kandungan. Tambahan pula pada ketika awal kehamilan, bayi di dalam kandungan sangat berisiko untuk mengalami kecacatan jika kesihatan ibu tidak berada di dalam keadaan yang optima. Wanita-wanita yang sihat juga dapat manfaat daripada penjagaan pra-kehamilan kerana ada amalan-amalan tertentu yang boleh mengurangkan risiko kecacatan bayi contohnya mengambil asid folik sebelum hamil dapat mengurangkan kadar kecacatan bayi yang dikenali sebagai “neural tube defects”.

Jadual 1 di bawah menunjukkan organ-organ yang terbentuk mengikut usia kandungan, perhatikan bahawa pada 12 minggu pertama, banyak organ-organ penting di dalam badan bayi yang sedang berkembang. Pada peringkat perkembangan awal inilah, organ-organ ini lebih mudah terkesan dengan sebarang masalah kesihatan yang dialami oleh ibu ataupun apa-apa bahan yang diambil oleh ibu yang boleh berpindah kepada bayi. Umumnya selepas 11 minggu usia kandungan, hampir semua organ-organ penting seorang bayi akan terbentuk dengan lengkap dan selepas tempoh ini, bayi ini dianggap lebih selamat jika terdedah kepada bahan-bahan ataupun factor-faktor yang boleh merosakkan organ-organ.

Jadual 1 : Usia bayi di dalam kandungan dan proses pembentukan organ-organ penting  di dalam kandungan



Terdapat lebih daripada 10 komponen penjagaan pra-kehamilan dan setiap komponen telah menjalani penilaian tentang tahap kekuatan bukti dan kesahihan yang dilakukan oleh badan berkuasa yang berautoriti contohnya oleh panel jawatankuasa yang dicadangkan oleh Centers for Disease  Control (CDC). Berikut adalah 4 matlamat yang hendak dicapai melalui penjagaan pra-kehamilan:


Matlamat 1: Meningkatkan pengetahuan, memperbaiki sikat dan tingkahlaku wanita dan lelaki berkaitan dengan kesihatan pra-kehamilan.

Matlamat 2: Memastikan semua wanita yang berada pada usia reproduktif (15-50 tahun) menerima penjagaan pra-kehamilan sehingga mereka dapat membuat keputusan samada untuk hamil ataupun tidak dan jika mereka hamil, kehamilan mereka adalah selamat.

Matlamat 3: Mengurangkan risiko kesihatan berdasarkan kepada sejarah komplikasi kehamilan yang lalu melalui intervensi ataupun penjagaan sebelum kehamilan akan datang. Dengan intervensi awal ini, risiko untuk mengalami komplikasi yang sama ketika kehamilan akan datang dapat dicegah ataupun diminimakan.
Matlamat 4 : Mengoptimakan kesihatan ibu sebelum hamil bagi memastikan ibu dan anak yang bakal dilahirkan adalah sihat dan selamat. Ini juga dapat mengurangkan kadar kematian ibu dan bayi.
Banyak kajian telah dilakukan dan menunjukkan bahawa penjagaan pra-kehamilan memainkan peranan penting di dalam mengurangkan komplikasi kehamilan dan memperbaiki mutu kesihatan ibu dan anak yang akan dilahirkan. Contoh yang paling baik adalah kesan penjagaan pra-kehamilan ke atas wanita yang menghidap diabetes. Kajian telah menunjukkan bahawa insiden kecacatan major dan keguguran seseorang ibu yang menghidap diabetes dapat dikurangkan apabila penyakit diabetes dikawal dengan sempurna sebelum hamil. Jadual di bawah menunjukkan dua keadaan di mana penyakit diabetes dikawal dengan baik dan satu lagi tidak dikawal dengan baik. Perhatikan bahawa komplikasi kehamilan jauh lebih tinggi jika diabetes tidak dikawal dengan baik sebelum seseorang wanita itu hamil.

Jadual 2: Perbandingan di antara pesakit diabetes yang mendapatkan penjagaan prakehamilan yang sempurna berbanding dengan wanita yang tidak mengawal penyakit diabetesnya dengan baik sebelum hamil.


Diabetes dikawal dengan baik
Diabetes yang tidak dikawal dengan baik
Tahap HBA1c (%)
7.3
8.4
Komplikasi kehamilan (%)
24%
47%
Sakit tidak cukup bulan (%)
16%
37%
Kecacatan bayi (%)
1.5%
8.5%
Kematian bayi (%)
1%
6.4%

Di negara kita memang terdapat program saringan pra-kehamilan dan perkhidmatan klinik pra-kehamilan samada di peringkat Klinik Kesihatan ataupun Hospital. Petugas akan melakukan saringan dan akan merujuk kes-kes tertentu yang memerlukan penjagaan khusus. Petugas-petugas ini akan menggunakan borang soal selidik untuk menyaring wanita-wanita yang layak dan jika wanita ini dikesan mempunyai risiko maka mereka akan dirujuk untuk menghadiri Klinik Prakehamilan. Terdapat juga perkhidmatan saringan dan Klinik Pra-kehamilan yang dijalankan serentak supaya wanita-wanita ini tidak berlu berulang alik. Tidak kira apakah kaedah yang diamalkan, setiap wanita yang telah disaring dan telah dirujuk hendaklah hadir ke Klinik Pra-kehamilan jika mereka ingin mendapat manfaat daripada perkhidmatan ini. Walaupun wanita tersebut belum merancang untuk hamil, kehadiran mereka ke klinik pra-kehamilan akan membuka mata mereka betapa pentingnya penjagaan prakehamilan jika satu hari nanti mereka merancang untuk hamil.

KOMPONEN PENJAGAAN PRA KEHAMILAN

Semua wanita dan juga pasangan mereka akan digalakkan supaya membuat perancangan tentang masa depan mereka daripada aspek kehamilan dan bilangan anak. Mereka juga perlu merancang jarak masa di antara kehamilan dan juga jenis merancang keluarga yang akan diamalkan.

Wanita yang mengalami masalah kegemukan ataupun obesiti sangat disyorkan supaya dapat menurunkan berat badan sebelum hamil. Mereka digalakkan supaya mendapatkan berat badan yang unggul melalui langkah penjagaan pemakanan dan juga senaman. Manakala wanita-wanita yang berat badan terlalu rendah (BMI  ≤ 19.8 kg/m2  ) juga mempunyai risiko jika mereka hamil, jadi golongan ini  perlu meningkatkan berat badan mereka.

Status pemakanan dan nutrisi wanita-wanita perlu dinilai dan jika terdapat bukti yang wanita ini mengalami masalah kekurangan zat makanan, ianya perlu dipulihkan sebelum mereka hamil. Mereka mungkin perlu dirujuk kepada pakar pemakanan ataupun pakar perubatan.

Semua wanita yang berhajat untuk hamil disyorkan untuk mengambil asid Folik sebanyak 400 mikrogram setiap hari, 3 bulan sebelum hamil.

Status imunisasi mereka perlu dikemaskini contohnya imunisasi tetanus-diphtheria-pertussis, campak dan rubella perlu diambil mengikut jadual. Semua wanita yang berisiko tinggi kepada jangkitan Hepatitis B perlu mendapatkan imunisasi Hepatitis B sebelum hamil untuk mengurangkan risiko transmisi jangkitan kepada anak di dalam kandungan. Jika mereka belum lagi kebal kepada jangkitan rubella, suntikan vaksin rubella perlu diberikan. Setelah suntikan vaksin Rubella diberikan, wanita ini tidak boleh hamil sekurang-kurangnya selama 3 bulan.

Bahaya merokok dan mengambil alcohol akan ditekankan semasa sesi kaunseling dan pendidikan. Jika wanita ini mempunyai risiko dijangkiti penyakit bawaan seks, mereka perlu menjalani kaunseling, khidmat nasihat dan jika perlu akan dirujuk kepada pakar untuk rawatan.

Semua wanita dan suami mereka digalakkan untuk mengetahui status samada mereka dijangkiti oleh virus HIV ataupun tidak, terutama jika salah seorang ataupun kedua-duanya mempunyai faktor yang berisiko tinggi. Wanita yang sudah dijangkiti virus HIV tidak digalakkan untuk hamil dan perlu mengamalkan kaedah merancang keluarga yang sesuai dan selamat. Jika mereka masih ingin untuk hamil, mereka ini akan diberi kaunseling dan rawatan yang perlu bagi mengurangkan risiko jangkitan ke atas bayi di dalam kandungan. Wanita-wanita juga perlu disaring untuk penyakit-penyakit bawaan seks yang lain seperti jangkitan Clamydia dan Syphilis.

Masalah-masalah perubatan seperti diabetes, penyakit kelenjar tiroid, darah tinggi, penyakit buah pinggang, penyakit jantung dan lain-lain perlu dirawat dengan sempurna sebelum hamil. Terdapat juga penyakit-penyakit yang menyebabkan wanita ini tidak boleh hamil kerana risiko kematian yang tinggi. Setiap wanita perlu diterangkan tentang betapa pentingnya untuk mengawal gula darah sebelum hamil. Mereka perlu memastikan tahap HBA1c mereka adalah normal sekurang-kurangnya 1 bulan sebelum mencuba untuk hamil bagi mengurangkan risiko kecacatan bayi. Jika diabetes mereka tidak dikawal dengan baik, mereka patut terlebih dahulu mengamalkan perancang keluarga. Wanita yang mengalami penyakit sawan perlu memastikan penyakit mereka dikawal dengan baik sebelum hamil kerana kehamilan boleh meningkatkan serangan sawan, sawan ketika hamil boleh memudaratkan anak serta ibu dan terdapat ubat-ubat anti-sawan yang boleh memudaratkan bayi di dalam kandungan. Wanita yang menghidap penyakit darah tinggi perlu mengambil perhatian bahawa jika mereka hamil, mereka boleh mengalami masalah berganda dan terdapat ubat-ubat darah tinggi yang tidak boleh diambil ketika hamil seperti ACE inhibitors dan Angiotensin-receptor blockers. Wanita yang mengalami Rheumatoid Arthritis boleh mengalami serangan yang lebih kerap semasa hamil dan terdapat ubat-ubat yang tidak boleh diambil seperti methotrexate dan leflunomide. Wanita yang mengalami penyakit buah pinggang perlu memastikan penyakit mereka itu dikawal dengan baik kerana penyakit ini mungkin boleh menjadi lebih serius ketika hamil, ini akan memudaratkan ibu dan anak. Pesakit buah pinggang juga selalu mengalami tekanan darah tinggi, ubat untuk merawat tekanan darah tinggi perlu ditukarkan kepada ubat yang lebih selamat jika mereka hamil. Penyakit jantung adalah salah satu masalah perubatan yang utama dalam kalangan wanita yang hamil di negara kita. Pesakit jantung wajib menghadiri klinik pra-kehamilan supaya status penyakit mereka dapat dinilai dan pakar jantung dapat memberi nasihat sewajarnya sebelum mereka mengambil keputusan untuk hamil. Terdapat beberapa jenis penyakit jantung yang jika dialami ketika hamil boleh membawa risiko kematian yang tinggi ke atas ibu, di dalam keadaan ini, pakar jantung mungkin akan menasihati wanita ini supaya tidak hamil. Di antara penyakit jantung yang membawa risiko kematian yang tinggi ke atas ibu hamil adalah Primary Pulmonary Hypertension, Cardiomyopathy, Eisemenger’s syndrome dan beberapa jenis lagi. Pesakit Asma boleh mendapat serangan asma yang lebih kerap ketika hamil dan mereka perlu memastikan rawatan asma mereka sudah terkawal sebelum hamil. Jika penyakit asma mereka tidak dikawal dengan baik, wanita-wanita ini perlu mengamalkan perancang keluarga yang berkesan supaya mereka tidak hamil di dalam keadaan penyakit yang belum stabil.

Wanita yang mengalami masalah psikitri seperti kemurungan dan psikosis perlu memastikan penyakit yang mereka alami ini dikawal dengan baik sebelum hamil. Masalah kemurungan yang dialami oleh wanita diketahui boleh membawa kesan negative ke atas kehamilan termasuk meningkatnya risiko kelahiran tidak cukup bulan. Pesakit-pesakit psikosis seperti bipolar disease dan schizophrenia pula adalah penyakit psikiatri yang serius dan pesakit-pesakit ini mungkin akan mengalami gejala yang lebih kerap apabila hamil terutamanya jika mereka tidak mengambil ubat dengan tetap. Kaedah perancang keluarga yang sesuai perlu disyorkan kepada wanita-wanita ini. Wanita yang mengalami masalah psikiatri yang serius ini memerlukan sokongan pihak suami dan suami perlu terlibat di dalam proses penjagaan pra-kehamilan.

Sejarah yang lalu boleh juga menjadi petunjuk kepada kemungkinan wanita ini boleh membawa baka ataupun gene yang menyebabkan kecacatan anak. Sejarah generasi yang lalu perlu diambil dan  jika memang terdapat kecenderungan untuk menyebabkan kecacatan anak melalui keturunan, maka wanita ini perlu terlebih dahulu dirujuk kepada kaunselor genetic sebelum hamil.

Terdapat ubat-ubat yang boleh menyebabkan kecacatan bayi, jadi penjagaan pra-kehamilan dapat menyediakan peluang mendapatkan kaunseling dan nasihat mengenai ubat-ubat ini supaya ianya boleh ditukarkan kepada ubat-ubat yang lebih selamat diamalkan ketika hamil. Jika wanita ini sedang mengamalkan pengambilan suplemen ataupun herba-herba, maka mereka disyorkan untuk berhenti mengambilnya sebelum hamil kerana kebanyakan suplemen dan herba-herba ini tidak diketahui kandungannya.

Terdapat keadaan-keadaan di mana masalah kehamilan dan kelahiran boleh berulang jika wanita itu hamil semula. Wanita yang menjalani pembedahan caesarean section semasa kehamilan yang lalu perlu mendapat nasihat mengenai jarakmasa yang sesuai sebelum boleh hamil semula. Di samping itu doktor juga boleh menasihati wanita ini tentang kaedah kelahiran yang akan datang. Terdapat juga wanita yang menghadapi masalah kelahiran tidak cukup bulan dan diketahui puncanya, maka jika punca ini tidak dirawat sebelum mereka hamil, risiko kelahiran tidak cukup bulan akan dapat dikurangkan. Begitu juga wanita-wanita yang mengalami keguguran yang berulangkali sebanyak lebih daripada 2 kali, mereka perlu menjalani pemeriksaan dan penyiasatan untuk mengenalpasti punca keguguran tersebut. Jika punca keguguran ini dapat dikesan dan dirawat sebelum mereka hamil, maka mereka mempunyai peluang yang lebih cerah untuk menimang cahaya mata pada kehamilan yang akan datang.

Terdapat juga golongan-golongan tertentu yang memerlukan perhatian khusus sebelum mereka berusaha untuk hamil. Wanita yang mengalami kecacatan ataupun ketidakupayaan seperti kecacatan tulang pelvis, kehilangan anggotan badan dan lain-lain perlu mendapat kaunseling dan nasihat terlebih dahulu supaya mereka dapat menyediakan diri di peringkat yang lebih awal sebelum hamil. Mereka juga akan mendapat maklumat mengenai apakah masalah dan komplikasi yang bakal dihadapi jika mereka hamil. Terdapat juga pesakit kanser yang berhajat untuk hamil. Ini adalah pesakit kanser yang sudah sembuh daripada rawatan. Mereka perlu diberikan maklumat berkenaan dengan kesan rawatan ke atas organ peranakan dan juga benih. Ada rawatan kanser yang menyebabkan mereka sukar hamil ataupun putus haid pada usia yang lebih muda. Walau bagaimanapun, terdapat juga pesakit kanser yang mudah untuk hamil tetapi kehamilan yang berlaku terlalu awal akan mendedahkan wanita ini kepada risiko kehamilan termasuk anak yang tidak cukup bulan dan terencat tumbesaran.

Penjagaan pra-kehamilan juga merangkumi pendidikan ke atas suami kerana ada tabiat-tabiat suami boleh mempengaruhi kesihatan isteri dan anak seperti merokok, melakukan aktiviti seks rambang sehingga dijangkiti penyakit bawaan seks, suami yang menghidap penyakit AIDs dan lain-lain lagi. Begitu juga dengan status kesihatan mental suami yang boleh memberi impak ke atas keluarga keseluruhannya. Maka penjagaan pra-kehamilan dianggap tidak lengkap jika hanya menumpukan perhatian kepada kaum wanita semata-mata.

KESIMPULAN

Penjagaan pra-kehamilan adalah salah satu komponen penjagaan kesihatan yang sangat penting bagi memastikan seseorang wanita yang merancang untuk hamil berada di dalam keadaan kesihatan yang optima apabila mereka hamil kelak. Komplikasi kehamilan dan kelahiran sangat bergantung kepada status kesihatan wanita sebelum hamil. Wanita yang tidak sihat sebelum hamil bakal menghadapi masalah ketika hamil dan ketika melahirkan anak. Kajian telah membuktikan bahawa penjagaan pra-kehamilan yang optima akan mengurangkan risiko kepada ibu dan anak ketika hamil. Penjagaan pra-kehamilan merangkumi kesihatan fizikal dan juga kesihatan mental kerana kedua-duanya sangat penting serta boleh menentukan samada kehamilan berjalan dengan baik sehingga kedua-dua ibu dan anak yang dilahirkan akan berada di dalam keadaan yang sihat.

RUJUKAN

1.      Cefalo RC, Moos MK. Preconceptional health care: A practical guide. St.Louis:Mosby,1995
2.      Allaire AD, Cefalo RC. Preconceptional health care model. European J of O&G and Reprod Bio. 1998;78:163-168
3.      Jack BW, Atrash H, Bickmore T, Johnson K. The future of preconception care. A Clinical Perspective. Women’s Health Issues .2008;18S:S19-S25
4.      Jack BW, Atrash H, Coonrod DV, et al. The clinical content of preconception care: an overview and preparation of this supplement. Americal J of O&G, Dec 2008; S266-S278.
5.      Miodovnik M, Rosenn B, Combs CA, Khoury J, Siddiqi TA. Pre-conception management of insulin-dependent diabetes: improvement of pregnancy outcome. Obstet Gynecol;1991; 77:846-849.




TIDAK DIBENARKAN SESIAPA MENGAMBIL ISI KANDUNGAN RENCANA INI DAN DISIARKAN DI DALAM APA BENTUK PENYIARAN TANPA KEBENARAN PENULIS.

Saturday, 18 January 2020

MENGAPA MANUSIA MENGUAP





Tidak ada manusia yang tidak pernah menguap, malahan bayi di dalam kandungan pun menguap. Manusia menguap semenjak dari dalam rahim hingga ke hujung hayat. Mengapa manusia menguap dan apakah manfaat menguap. Menguap adalah perbuatan di luar kawalan membuka mulut dengan luas serentak dengan tarikan nafas yang dalam melalui mulut serta hidung dan kemudiannya diikuti dengan hembusan nafas keluar secara perlahan. Menguap sebenarnya melibatkan proses yang kompleks di mana berlaku pergerakan atau pengecutan otot2 secara tersusun(coordinated) melibatkan otot dada, diaphragm, tekak dan langit mulut. Purata masa seseorang menguap adalah 5 saat. Kadang kala, menguap juga diikuti dengan regangan tangan dan pusingan badan. Kita tidak boleh menguap atas arahan.

Menguap selalunya dikaitkan dengan seorang yang mengantuk dan malas jadi perbuatan menguap ini mendapat reputasi yang kurang baik jika berlaku di hadapan orang lain. Kajian sains tentang menguap masih dijalankan dan ahli sains belum dapat memahami dengan mendalam tentang menguap. Terdapat banyak teori mengenai bagaimana berlakunya menguap.

Mengantuk adalah punca paling kerap mengapa seseorang menguap. Anda merasa bosan apabila ransangan dari luar tidak dapat mengekalkan tarikannya ke atas anda. Ini menyebabkan anda rasa mengantuk kerana berlakunya ransangan ke atas sistem yang menyebabkan mengantuk.  Pada ketika ini, minda anda perlu berusaha untuk mengekalkan hubungan dengan persekitaran luar jadi berlakulah menguap yang dianggap tindakan meningkatkan kesedaran. Ahli sains mendapati pada ketika menguap, kadar denyutan jantung meningkat dengan ketara. Menguap juga didapati menekan carotid body akibat bukaan rahang semasa menguap yang kemudiannya bertanggungjawab meransang penghasilan hormone seperti adenosine dan katekolamin yang bertanggungjawab mencetuskan tindakbalas kesedaran. Kebanyakan menguap berlaku apabila kurangnya interaksi di sekellling anda seperti ketika menghadiri kuliah, belajar, memandu dan menonton TV.

Ahli sains juga percaya bahawa salah satu lagi fungsi menguap adalah untuk mengawal suhu otak. Kajian ke atas otak haiwan menunjukkan bahawa suhu otak di bahagian prelimbik meningkat sebelum menguap tetapi menurun dan mencecah tahap normal  3 minit selepas menguap. Menguap dikesan berlaku ke atas manusia semasa kejadian hipertermia dan renjatan panas. Ahli sains mendapati kekerapan menguap berkurangan apabila meletakkan pek ais di dahi dan meningkatkan kekerapan menguap apabila pak panas digunakan. Ini mencadangkan kaitan antara kawalan suhu otak dengan menguap.

Pengecutan dan kerehatan otot muka yang berlaku ketika menguap meningkatkan bekalan darah ke bahagian muka. Bukaan mulut yang besar dan tarikan nafas yang dalam juga menyejukkan udara yang masuk dan mungkin member kesan ke atas suhu darah yang mengalir dari paru-paru ke otak. Kadangkala air mata keluar semasa menguap dan ini dipercayai dapat melepaskan suhu panas dari tengkorak. Pesakit yang mengalami multiple sclerosis, sawan, migraine, kerisauan, stress, kecederaan kepala dan angin ahmar seringkali didapati mengalami menguap yang kerap. Ada yang mengalami pengurangan gejala selepas menguap. Berkemungkina keadaan2 ini menyebabkan peningkatan suhu badan dan gangguan kawalan suhu dan menguap dikatakan mencuba untuk memulihkan gangguan suhu ini.

 Menguap juga dikatakan berlaku apabila melihat orang lain menguap, ini dikenali sebagai menguap yang berjangkit (contagious yawning). Dipercayai ini adalah tindakan bawah sedar empati. Penemuan ini diperolehi daripada kajian melihat reaksi subjek yang dipertontonkan video orang yang sedang menguap walaupun kesan ini hanya berlaku ke atas subjek yang berusia lebih daripada 4-5 tahun. Jadi menguap mungkin mempunyai sebahagian daripada tingkahlaku empati dan proses komunikasi di antara manusia.

Menguap boleh melegakan ketidakselesaan dalam telinga dan mengurangkan masalah pendengaran setengah orang akibat perubahan kedudukan badan dari rendah ke tempat tinggi semasa menaiki kapalterbang dan lif.Apabila menguap, tiub Eustachian akan terbuka. Nampaknya menguap mampu menyeimbangkan tekanan di dalam telinga dengan tekanan di luar.

Pada masa dahulu, menguap dipercayai berlaku akibat  bekalan darah ataupun oksigen ke otak terjejas dan apabila menguap, udara kotor dikeluarkan daripada paru-paru dan meningkatkan bekalan oksigen ke otak. Walau bagaimanapun, kepercayaan ini didapati tidak tepat kerana kajian mutakhir menunjukkan kekerapan menguap tidak berubah apabila subjek diberi udara yang bercampur samada mengandungi lebih gas karbon dioksida ataupun oksigen yang tulin. 

Di dalam kes-kes terpencil, menguap yang terlalu kerap boleh menjadi petunjuk kepada masalah kesihatan yang lain seperti kesukaran untuk tidur (insomnia), kerisauan (anxiety), kesan sampingan ubat (antihistamine, antidepressants), kemurungan, angin ahmar, epilepsi, multiple sclerosis dan ketumbuhan otak.

Menguap adalah perbuatan spontan yang dialami oleh manusia dan ahli sains berpendapat yang masih banyak perkara yang tidak diketahui mengenainya.

Dato' Dr.Mohd Rushdan Md Noor
19hb Jan 2020

RUJUKAN


Gupta S, Mittal S. Yawning and its physiological significance. International J of Applied and Basic Med Research. 2013;3(1):11-15




BENARKAH JANGAN AMBIL SUSU, DAGING, GULA DAN SATAY NANTI DAPAT KANSER ?

Dato' Dr.Mohd Rushdan 
Pakar Perunding Ginekologi Onkologi

Salah satu mitos yang berlegar di media sosial dan perbualan orang ramai adalah larangan mengambil beberapa jenis makanan dan minuman secara total (sedikit pun tak boleh) ke atas pesakit kanser. Sumber mitos ini mungkin bermula dari ceramah2 atau tulisan2 individu yang salah faham ataupun menceduk dari orang lain. Ada di antara sumber maklumat ini datangnya daripada doktor perubatan sendiri yang bukan pakar di dalam bidang yang berkenaan. 

Akibat dari mitos ini maka terdapat pesakit kanser mengamalkan pantang yang keterlaluan sehingga menjejaskan fungsi badan mereka akibat tahap nutrisi yang rendah. Tahap nutrisi yang rendah juga menjejaskan keupayaan untuk menerima rawatan dan melawan penyakit. Pesakit2 ini bukan sahaja menderita akibat penyakit yang mereka hidapi tetapi juga tertekan dengan pantang yang keterlaluan. Di samping itu, kesan maklumat yang tidak tepat ini juga menyebabkan ramai orang samada yang sihat ataupun yang sakit mengamalkan pantang yang tidak betul seperti tidak langsung mengambil susu,telur,gula,daging dan lain-lain.

Umumnya memang terdapat kaitan yang tidak langsung di antara makanan/minuman dan kanser samada kaitan yang positif (meningkatkan risiko) ataupun negatif (mengurangkan risiko). Terdapat juga yang tidak ada kaitan langsung. Kaitan ini ditemui melalui kajian2 pemerhatian ("observational study"), "case control study" dan kajian cohort ( "cohort study") yang walaupun melibatkan sampel yang besar tetapi bukanlah kajian yang terbaik. Memang sangat sukar untuk menjalankan kajian berkualiti tinggi untuk melihat kaitan antara makanan dan kanser kerana terlalu besarnya variasi makanan manusia (kuantiti dan kualiti) dan terlalu banyak faktor2 sampingan lain yang mempengaruhi kaitan tersebut. Tidak hairanlah mengapa hasil dari kajian2 ini memberi keputusan yang bercanggah dan jarang konsisten. Jika ada kaitan sekalipun ianya bukan faktor penyebab utama yang bertindak secara langsung tetapi hubungan tidak langsung ataupun asosiasi sahaja ("association").

Akibat kesilapan merujuk sumber sesuatu maklumat maka akan terceduklah hasil2 kajian yang positif, manakala hasil kajian yang negatif diketepikan ataupun terlepas pandang. Penulis atau penceramah ini hanya nampak satu aspek sahaja tentang makanan atau minuman tersebut. Maka tersebarlah berita yang tidak benar sehingga orang ramai menganggap inilah penyebab penyakit kanser dan terus membuangnya dari menu makanan mereka. Sedangkan prinsip amalan kesihatan yang betul adalah amalan berdasarkan kepada pertimbangan manfaat:mudarat. Ini termasuklah menceduk bulat2 makanan atau minuman yang tersenarai dalam monograph karsinogen IARC tanpa memahami prinsip monograph tersebut dan kekuatan hubungan di antara bahan yang tersenarai dengan kanser. Monograph IARC tidak menilai pertimbangan baik buruk sesuatu bahan sebaliknya hanya memfokuskan ciri2 penyebab kanser bahan2 tersebut walaupun ciri tersebut sangat sedikit ataupun hanya dikesan ke atas haiwan.

Saya ingin mengambil contoh susu yang kebelakangan ini ditularkan sebagai penyebab penyakit kanser. Susu adalah salah satu produk tenusu. Memang terdapat kajian pemerhatian dan kohort yang besar mengkaji kaitan antara produk tenusu termasuk susu dengan penyakit kanser. Kualiti kajian ini bukan terbaik tetapi sederhana sahaja walaupun kajian2 ini dikumpulkan di dalam semakan sistematik dan metaanalisis. Jika anda hanya mengambil satu sahaja hasil kajian tentang susu, maka anda pasti akan menemui maklumat yang berat sebelah. 

Walaupun terdapat kaitan antara pengambilan susu dengan kanser prostat (1,2), namun bukan bermaksud susu itu penyebab kanser prostat sebaliknya ia bermaksud risiko menghidap kanser prostat lebih tinggi dalam kalangan lelaki yang mengambil susu melebihi kadar tertentu. Malahan kaitan yang ada itu pula sangat kecil (3). Disebaliknya pula ada kajian lain di Amerika yang menafikan kaitan susu dengan risiko menghidap kanser prostat (4). Bagaimana pula kaitan antara susu dan produk tenusu dengan kanser-kanser yang lain. KANSER USUS BESAR: Kajian menunjukkan bahawa pengambilan susu dikaitkan dengan risiko menghidap kanser usus besar yang lebih rendah (5,6). KANSER PERUT: Kajian metanalisis terhadap kaitan pengambilan produk tenusu dengan kanser perut telah dilakukan dan mendapati amalan mengambil produk tenusu ini mengurangkan risiko kanser perut (7). Manakala kajian meta-analisis yang lain pula menunjukkan tidak ada kaitan antara pengambilan produk tenusu dengan kanser perut (8,9). KANSER PAYUDARA: Semakan metanalisis ke atas kajian2 prospektif kohort telah menunjukkan bahawa pengambilan produk tenusu dikaitkan dengan risiko kanser payudara yang lebih rendah (10). 

Daripada hasil kajian yang dinyatakan di atas jelas menunjukkan bahawa produk tenusu termasuk air susu mempunyai kaitan yang berbeza-beza mengikut jenis kanser dan majoriti adalah bermanfaat. Akibat daripada kelemahan dan kualiti kajian yang sederhana, hasil kajian yang diperolehi juga tidak cukup kuat untuk memberi satu kesimpulan yang muktamat. Walau bagaimanapun, satu perkara yang nyata adalah susu dan produk2 tenusu mempunyai kebaikan ke atas manusia yakni sebagai sumber nutrient, vitamin, mineral dan air yang baik. Di samping itu terdapat juga hasil kajian yang menunjukkan bahawa ia mengurangkan risiko menghidap beberapa jenis kanser iaitu kanser usus besar dan kanser payudara. Apa yang paling penting adalah mengambil produk-produk ini dalam kuantiti yang berpatutan di samping mengamalkan gaya hidup sihat yang lain, bukan terus meninggalkannya sehingga terpaksa mengikat perut dan kempunan. Keadaan yang sama juga terpakai ke atas lain-lain makanan dan minuman termasuk satay, gula, telur, daging dan lain-lain yang sering ditakut2kan. Setiap makanan dan minuman yang halal dan bersih itu ada manfaatnya jika diambil dalam kuantiti yang sederhana ataupun bersesuaian dengan kemampuan tubuh badan serta penyakit yang dihidapi mengikut nasihat doktor dan pakar pemakanan. Hanya alahan/alergik terhadap makanan sahaja yang memerlukan anda mengelak terus dari mengambil makanan tersebut. 

Semoga dengan penerangan ini dapat memberi pencerahan berkenaan isu hubungan antara makanan/minuman dan kanser khususnya terhadap pihak yang suka menyebarkan maklumat-maklumat salah yang menakutkan tentang makanan kepada orang awam khususnya pesakit-pesakit kanser. Kepada pesakit, rujuklah pakar yang merawat anda untuk maklumat yang lebih tepat.

DDr Rushdan Noor
Pakar Perunding Ginekologi Onkologi
18hb Jan 2020

RUJUKAN

1. Qin LQ, Xu JY, Wang PY,et al. Milk consumption is a risk factor for prostate cancer: meta-analysis of case-control studies. Nutr Cancer, 2004;48(1):22-7
2. Aune D, Navarro Rosenblatt DA, Chan DS, et al. Dairy product, calcium, and prostate cancer risk: a systematic review and meta-analysis of cohort studies. Am J Clin Nutr, 2015;101(1):87-117
3. Gao X, LaValley MP, Tucker KL. Prospective studies of dairy product and calcium intakes and prostate cancer risk: A meta-analysis. J Natl Cancer Inst, 2005 Dec 7;97(23):1768-77
4. Preble I et al. Dairy Product Consumption and Prostate Cancer Risk in the United States. Nutrients. 2019 Jul; 11(7): 1615
5. Cho E, Smith-Warner SA, Spiegelman D, et al. Dairy foods, calcium and colorectal cancer: a pooled analysis of 10 cohort studies. J Natl Cancer Inst, 2004;96(22):1724
6. Aune D, Lau R, Chan DS, et al. Dairy products and colorectal cancer risk: a systematic review and metaanalysis of cohort studies
7. Guo Y, Shan Z, Ren H, Chen W. Dairy consumption and gastric cancer risk: A meta-analysis of epidemiological studies. Nutr Cancer, 2015;67(4):555-68
8. Sun Y, Lin LJ, Sang LX, et al. Dairy product consumption and gastric cancer risk: A meta-analysis. World J Gastroenterol, 2014; 20(42):15879-98
9. 7. Tian SB, Yu JC, Kang WM. Association between dairy intake and gastric cancer: A meta-analysis of observational studies. PloS One July 9;9(7):e101728
10. Dong JY, Zhang L, He K, Qin LQ. Dairy consumption and risk of breast cancer: A meta-analysis of prospective cohort studies. Breast Cancer Res Treat, 2011 May;127(1):23-31