Monday, 20 April 2020

UBAT-UBAT YANG BERPOTENSI MERAWAT COVID-19




Setakat ini kita belum lagi menemui ubat yang benar-benar berkesan merawat Covid-19 kerana penyakit dan virus ini masih baru. Mencari ubat yang berkesan adalah sangat penting bagi tujuan mengurangkan gejala dan menurunkan kadar kematian. Penemuan ubat yang berkesan juga bermaksud kita mempunyai senjata tambahan  untuk melawan wabak Covid-19. Rencana ini akan menerangkan mengenai bagaimana virus Covid-19 menyerang sel manusia dan apakah ubat-ubat yang dipercayai berkesan merawat penyakit ini. Ubat-ubat yang sedang dikaji ini mempunyai tindakan yang berbeza. Untuk memahami bagaimana ubat-ubat ini bertindak saya akan menerangkan langkah demi langkah serangan virus Covid-19. Tindakan ubat-ubat ini bergantung kepada peringkat serangan virus Covid-19 ke atas sel manusia. Seperti yang saya nyatakan di atas, kesemua ubat-ubat ini belum lagi disahkan berkesan dan masih menjalani kajian. WHO telah melancarkan kajian yang dinamakan “SOLIDARITY TRIAL” melibatkan 5 jenis ubat iaitu REMDESIVIR, LOPINAVIR/RITONAVIR, INTERFERONE-BETA, CHLOROQUINE dan HYDROXYCHLOROQUINE. Malaysia adalah di antara negara yang terpilih untuk menyumbang kepada kajian ini. Di dalam tulisan saya ini juga akan  menerangkan berkenaan dengan semua jenis ubat ini dan bagaimana mereka bertindak melawan Covid-19.

Apabila virus Covid-12 berjaya masuk ke dalam sel paru2 mangsa ia akan menjadikan sel itu sebagai kilang pembiakan virus. Satu sel yang diserang boleh menghasilkan berjuta2 virus baru. Berikut adalah beberapa langkah serangan virus Covid-19 dan ubat-ubat yang berpotensi bertindak bagi menyekat serangan virus ini.

1. Peringkat pertama (lihat rajah di bawah), virus dengan protein S (kunci) akan bercantum dengan reseptor ACE 2 (mangga) untuk masuk ke dalam sel. Ubat CHLOROQUINE dan HYDROXYCHLOROQUINE bertindak menghalang kemasukan virus ke dalam sel melalui tindakan ke atas protein S. Ia juga dipercayai mengurangkan keradangan. Ubat Hydroxychloroquine pada asalnya digunakan untuk merawat demam malaria. Kajian sedang dijalankan dengan menggabungkan HYDROXYCHLOROQUINE dengan sejenis antibiotik dinamakan AZITHROMYCIN. Azithromycin didapati mempunyai ciri-ciri antivirus dan gabungan kedua ubat ini mungkin boleh meningkatkan keberkesanan.

2. Selepas memasuki sel, virus akan melepaskan RNA yakni molekul yang mengandungi maklumat genomik ataupun susunan gene. Mula2 RNA ini akan menggunakan satu struktur ("mesin") yang bernama Ribosom untuk menghasilkan protein. Proses penghasilan protein ini dinamakan translasi (translation). Protein pertama dihasilkan adalah untuk tujuan membuat salinan RNA (mcm mesin fotostat). Protein penyalin RNA ini pada asalnya besar dan dikenali sebagai Polyprotein. Ia perlu dipecahkan kepada protein2 kecil yang akan menjadi penyalin sebenar untuk menghasilkan banyak RNA yang baru. Proses pemecahan polyprotein kepada protein2 yang lebih kecil ini dikenali sebagai Proteolysis dengan menggunakan enzim Protease. Salah satu ubat yang boleh merencat enzim Protease ini adalah LOPINAVIR dan RITONAVIR. Ubat ini digunakan untuk merawat AIDs dan sekarang sedang diuji untuk merawat Covid-19.

3. Salinan RNA yang sudah dihasilkan tadi akan dibahagi2kan pula kepada beberapa segmen di mana setiap segmen ini akan menghasilkan protein virus iaitu protein S,M,E dan N. Protein2 ini adalah komponen yang membina selaput ataupun kulit luar virus (kecuali Protein N yang menyelaputi RNA). Proses pembahagian (pemotongan) RNA ini akan menggunakan sejenis enzim yang dikenali sebagai RNA Polymerase. Setiap segment RNA yang terhasil ini akan menggunakan Ribosom untuk menghasilkan protein2 tersebut. REMDESIVIR adalah salah satu jenis ubat yang diuji untuk merawat Covid-19. Remdesivir boleh menyekat tindakan enzim RNA polymerase dan menganggu proses salinan RNA. Dengan kaedah ini ia merencat pembahagian dan pembiakan virus. Ubat ini telah digunakan ke atas lain2 jangkitan virus RNA seperti Ebola. Setakat ini kajian ubat ini ke atas SARS dan MERS hanya berkesan ke atas haiwan. Lain-lain ubat yang mempunyai tindakan yang sama adalah RIVABIRIN dan FAVIPIRAVIR

3. Penghasilan protein2 virus (S,M,E,N) yang membentuk selaput/kulit luar tadi berlaku di satu tempat yang dikenali sebagai Retikular Endothelial. Protein2 ini akan menyusun diri mereka untuk membentuk kulit luar virus. Kulit luar yang terhasil tadi akan meliputi setiap RNA yang telah disalin untuk membentuk virus2 baru yang dikenali sebagai virion. Proses gabungan antara kulit luar dan RNA ini berlaku di satu lagi struktur yang dinamakan Golgi Aparatus. Virus2 baru ini kemudiannya akan dilepaskan ke bahagian luar sel untuk menyerang sel2 yang lain.

4. Sel-sel yang diserang akan meransang sistem pertahanan dan mengeluarkan sekumpulan protein yang dinamakan Cytokine. Cytokine adalah umpama isyarat atau arahan ke atas lain2 komponen sistem pertahanan untuk menyerang balas virus termasuk penghasilan antibodi. Disebabkan oleh penghasilan cytokine yang tinggi, berlaku apa yang dinamakan ribut cytocine ("cytokine storm") yang menyebabkan kerosakan kepada paru2 dan lain2 organ badan. Salah satu serangan cytokine adalah melalui proses keradangan dan menyebabkan salur darah bocor dan air keluar ke dalam paru2 dan juga ruang antara sel. Inilah proses yang menyebabkan pesakit mengalami gejala dan kerosakan organ. Di antara cytokine yang dihasilkan dan mempunyai impak yang besar adalah Interleukin 6 (IL-6). Kajian mendapati pesakit yang mengalami gejala serius mempunyai kandungan IL-6 hampir 3 kali lebih tinggi dari pesakit dengan gejala ringan. Satu lagi ubat yang sedang dikaji adalah TOCILIZUMAB merupakan perencat IL-6 ataupun IL-6 inhibitor. Jika IL-6 dapat direncat, mungkin gejala akibat keradangan dapat dikurangkan.

Satu lagi ubat yang tersenarai dalam 5 jenis ubat di dalam kajian Solidarity Trial adalah INTERFERON 1. Interferon adalah sejenis cytokine yang dihasilkan oleh sel darah putih dan sel dendritik. Interferon adalah di antara cytokine yang pertama dilepaskan apabila virus menyerang manusia. Ia boleh merencat pembiakan dan penyebaran virus di dalam badan. Ia selalunya diberikan dalam bentuk gabungan dengan ubat antiviral yang lain seperti lopinavir dan remdesivir. Terdapat kajian dilakukan ke atas SARS dan MERS tetapi kurang berkesan ke atas manusia walaupun berjaya ke atas haiwan. Lain jenis ubat yang digunakan adalah STEROID ataupun CORTICOSTEROID yang bertindak sebagai antikeradangan. Penggunaan ubat ini masih di dalam penilaian. Ubat-ubat antikeradangan seperti NSAIDS dan COLCHICINE juga termasuk ubat-ubat yang sedang dikaji untuk mengurangkan kesan jangkitan Covid-19.

Seperti kata pepatah, mencegah lebih baik daripada berubat, maka selain daripada ubat, vaksin adalah senjata mencegah jangkitan yang paling berkesan. Kajian yang intensif sedang dijalankan untuk mencari vaksin yang berkesan dan selamat.Salah satu komponen vaksin yang sedang menjalani kajian adalah berkaitan dengan protein S, samada protein ini dihasilkan dalam makmal ataupun antibodi ke atas protein ini dihasilkan. Apabila menggunakan antibodi, ia dikenali sebagai imuniti pasif, manakala jika menggunakan protein ataupun sebahagian daripada virus yang sudah dinyahaktif ia dikenali sebagai imuniti aktif. Banyak lagi komponen virus Covid-19 yang menjadi sasaran penyelidikan vaksin termasuk RNA dan lain-lain lagi.Walau bagaimanapun pakar meramalkan vaksin yang berkesan hanya akan dapat dihasilkan pada hujung tahun 2020 ataupun 2021.


Dato' Dr.Mohd Rushdan Md Noor
20hb April 2020










RUJUKAN

https://microbenotes.com/remdesivir/

https://www.medicinet.com/lopinavir_and_ritonavir/

https://www.medpagetoday.com/infectiousdisease/covid19/85934?fbclid=IwAR0sTdXkAvAFs39AMaKXU8iMeLG86Ku1b_sJElXCK6jpZ3aQz86sjxugHwQ
https://jamanetwork.com/journals/jama/fullarticle/2764727

https://emedicine.medscape.com/article/2500114-treatment#d10

https://www.who.int/malaysia/news/detail/05-04-2020-malaysia-starts-global-solidarity-trial---a-research-effort-to-test-possible-treatments-for-covid-19

Sallard E, Lescure FX, Yazdanpanah Y, et al. Type 1 interferons as a potential treatment against Covid-19. Antiviral Res, 2020;178:104791

https://www.foxnews.com/science/at-home-study-to-test-if-common-drug-prevents-covid-19-complications


Saturday, 18 April 2020

PEMBAWA VIRUS COVID-19 TANPA GEJALA ("ASYMPTOMATIC CARRIER")



Salah satu kumpulan pesakit Covid-19 yang menjadi tumpuan penyelidik pada hari ini adalah pembawa virus Covid-19 yang tidak mengalami gejala ataupun “asymptomatic carrier”. Memandangkan tidak ada negara yang melakukan ujian pengesahan Covid-19 secara meluas dan tidak ada kaedah ujian yang mempunyai ketepatan 100%, maka kumpulan pesakit yang tidak mempunyai gejala ini sebenarnya sangat relevan. Walaupun mereka tidak mempunyai gejala, tidak bermaksud mereka tidak mampu untuk menyebarkan virus kepada orang lain walaupun terdapat pakar yang berpendapat kuantiti virus (“viral load”) yang mereka miliki itu tidak setinggi pesakit yang bergejala.

Satu kajian saringan ujian Covid-19 telah dilakukan di Hulu Langat di mana daerah ini dikenalpasti sebagai zon merah Covid-19, di mana seramai 5 orang didapati positif dan 4 daripada mereka tidak mempunyai gejala. Ini bermaksud jika ujian meluas dijalankan ke atas penduduk, 80% (4 dari 5) daripada yang positif tidak mempunyai gejala. Walaupun kajian ini melibatkan kawasan kecil dan bilangan penduduk yang terhad tetapi ini menggambarkan bahawa lebih ramai pembawa virus tidak mempunyai gejala. Kajian yang lebih besar dilakukan di luar negara mendapati 28-47% daripada kes-kes positif Covid-19 tidak mempunyai gejala.

Terdapat beberapa kategori pembawa virus yang tidak mempunyai gejala tetapi berpotensi untuk menyebarkan virus kepada orang lain. Berikut adalah beberapa kategori pembawa virus yang meliputi peratusan yang agak besar di dalam masyarakat kita:

1. KANAK-KANAK. Kajian dilakukan di negara China terhadap 36 orang kanak2 berusia 0-16 tahun (purata usia 8.3 tahun) di Zhejiang. Kajian ini mendapati 28% daripada mereka tidak mempunyai gejala dan 19% mengalami gejala ringan seperti demam selesema. Kajian ini menunjukkan 47% daripada kanak2 ini samada tidak ada gejala ataupun mempunyai gejala ringan yang mudah terlepas daripada saringan. Jika sekolah dibuka secara tergesa2 sebelum wabak dapat dikawal dengan sempurna, kanak2 pembawa virus yang tidak bergejala dan mempunyai gejala ringan ini berpotensi untuk menjangkiti rakan2 serta guru2 di sekolah.

2. GOLONGAN PRA-GEJALA (“PRE-SYMPTOMATIC”). Ini adalah golongan yang dijangkiti tetapi disebabkan mereka masih di dalam tempoh mengeram (“incubation period”), maka mereka belum mengalami gejala sedangkan virus sudah berada di dalam diri mereka. Tempoh mengeram boleh mengambil masa 2 hingga 14 hari dengan median masa 5 hari. Selepas dijangkiti, bilangan virus akan meningkat sehingga mengalami gejala, mungkin pada peringkat awal jangkitan, bilangan virus yang dihasilkan tidak cukup banyak untuk menjangkiti tetapi apabila menghampiri di hujung tempoh mengeram, bilangan virus yang terhasil sudah cukup tinggi untuk menjangkiti orang lain. Kemampuan golongan pra-gejala untuk menjangkiti orang lain ditemui di dalam catatan lapuran kes yang berlaku di Singapura. Kajian di negara China ke atas 55 pesakit Covid-19 yang tidak mempunyai gejala dikesan melalui saringan kontak. Kajian itu mendapati 31% adalah dalam lingkungan usia 30-49 tahun. Daripada 55  orang yang asalnya tidak bergejala, 70% mengalami gejala Covid-19 kemudiannya dan ini adalah kumpulan yang mewakili pra-gejala. Dengan kata lain 30% daripada pesakit ini kekal tidak mempunyai gejala. Ada juga kajian yang menunjukkan bahawa terdapat petunjuk bahawa 44% daripada jangkitan Covid-19 boleh berlaku ketika fasa pra-gejala.

3. GOLONGAN YANG MENGALAMI GEJALA UMUM DAN TIDAK KHUSUS. Ini adalah golongan yang mempunyai gejala tetapi diletakkan di bawah kategori tidak bergejala kerana gejala yang mereka alami tidak tipikal. Gejala khusus yang dialami oleh pesakit Covid-19 adalah demam, batuk, sesak nafas dan lemah badan. Walau bagaimanapun terdapat sebahagian pesakit Covid-19 yang mengalami gejala umum dan tidak khusus seperti yang diwar-warkan. Akibat daripada gejala yang tidak khusus, pesakit ataupun petugas perubatan tidak mengesyakki mereka ini mengalami Covid-19 jadi mereka tidak menjalani ujian. Lapuran2 kes Covid-19 mendapati di antara gejala-gejala yang tidak khusus ini adalah apabila pesakit ini mengalami satu saja gejala seperti sakit kepala, letih, gejala usus (muntah, cirit, sakit perut), menggigil dan hilang deria bau. Golongan ini boleh terlepas daripada perhatian petugas perubatan dan tindakan lanjut tidak dilakukan. Walau bagaimanapun memang sangat sukar bagi petugas perubatan untuk melayan semua jenis gejala sehingga beban tugas yang terlalu tinggi dan menjejaskan bekalan peralatan kerana golongan ini meliputi peratusan yang kecil.

4. PESAKIT YANG SUDAH SEMBUH TETAPI MASIH MEMBAWA VIRUS. Kajian di Korea dan China mendapati terdapat pesakit-pesakit yang sudah disahkan sembuh tetapi apabila rawatan susulan dilakukan mendapati mereka masih menunjukkan tanda membawa virus. Contohnya penyelidik di Korea Selatan menemui 91 orang pesakit Covid-19 yang telah dikatakan sembuh tetapi kemudiannya didapati positif oleh ujian Covid-19. Implikasi ataupun akibat yang dibawa oleh golongan ini belum dapat dipastikan. Persoalan samada mereka boleh menjangkiti orang lain ataupun tidak bergantung kepada apakah punca ujian Covid-19 menjadi positif selepas ujian awalnya negatif. Terdapat beberapa kemungkinan mengapa ujian Covid-19 ini kembali positif. Di antara sebabnya adalah kelemahan ujian Covid-19 di mana keputusan negatif yang diberikan itu tidak tepat akibat daripada “false negative” (keputusan negatif tetapi jangkitan masih wujud). Perkara ini sememangnya boleh berlaku kerana ujian RT PCR yang walaupun paling tepat tetapi tidak 100%, kurang daripada 5% pesakit akan mendapat ujian negatif sedangkan mereka masih dijangkiti. Sebab itu ada pusat rawatan yang melakukan 2 kali ujian untuk mengesahkan sembuh. Sebab kedua adalah akibat “false positive” semasa ujian ulangan selepas pesakit disahkan sembuh.Kadangkala saki baki RNA virus yang tertinggal akan memberi ujian positif walaupun hakikatnya virus-virus hidup sudah dihapuskan oleh sistem pertahanan badan. Terdapat juga pakar yang berpendapat keadaan ini berlaku jika sistem imun pesakit tidak cukup kuat (tidak kebal) untuk mencegah jangkitan kali kedua akibatnya mereka dijangkiti semula oleh virus Covid-19 apabila terdedah dengan pesakit lain. Akhir sekali, ada pakar yang membuat andaian bahawa virus Covid-19 boleh tersembunyi dan tidak dapat dikesan oleh ujian Covid-19 yang asal, kemudian virus ini menjalani mutasi dan menjadi aktif semula ("reactivation"). Apabila ujian semula dilakukan, keputusannya menjadi positif.  

5. PENGESAHAN SEMBUH TERLALU AWAL. Tidak dapat dinafikan mungkin berlaku keadaan di mana pesakit yang belum sembuh sepenuhnya dibenarkan keluar wad ataupun bebas daripada kuarantin apabila mereka sudah tidak mempunyai gejala. Kebetulan ujian Covid-19 yang dilakukan adalah negatif tetapi disebabkan ujian ini tidak diulang bagi kali kedua, maka ujian pertama yang negatif berkemungkinan tidak tepat dan pesakit ini dianggap sudah sembuh. Ini bertitik tolak daripada isu ketepatan ujian Covid-19 yang sukar dielak.

Kewujudan pembawa virus Covid-19 yang tidak mempunyai gejala ataupun mengalami gejala-gejala yang tidak khusus ini ada baik dan ada buruknya. Kebaikannya adalah mereka ini akan menyumbang kepada "herd immunity" ataupun imuniti berkelompok yakni di samping mereka tidak mempunyai gejala, mereka juga akan termasuk di dalam kalangan orang yang tidak akan dijangkiti semula. Dengan nombor reproduksi virus Covid-19 (R0) 2-3, kita memerlukan liputan sekurang-kurangnya 60-70% orang yang kebal untuk mencapai imuniti berkelompok. Apabila mereka tidak mempunyai gejala, mereka tidak memerlukan rawatan khusus, tidak perlu diberikan ubat khusus dan penggunaan peralatan perubatan juga dapat dikurangkan. Ini akan mengurangkan beban ke atas sistem perkhidmatan kesihatan sesebuah negara.

Walau bagaimanapun di samping kebaikan, jangan lupa keburukan yang boleh dibawa oleh golongan yang tidak mempunyai gejala ini. Jika ujian Covid-19 tidak dilakukan secara menyeluruh, kita tidak tahu berapa ramaikah ahli masyarakat yang membawa virus tetapi tidak mempunyai gejala. Apa yang pasti, bilangan mereka memang besar, jauh lebih besar daripada apa yang kita sangkakan. Peratusan golongan tanpa gejala yang diperolehi daripada kajian tidak menggambarkan angka sebenar dan berkemungkinan hanya "tips of iceberg". Pembawa2 virus tanpa gejala ini boleh menjangkiti orang lain terutama daripada kategori pra-gejala (“pre-symptomatic”). Maka daripada kesedaran ini, semua pihak perlu mengambil langkah pencegahan yang berkesan sepanjang masa walaupun Perintah Kawalan Pergerakan telah ditarik-balik. Inilah yang ditekankan oleh KKM tentang pentingnya proses keluar (“exit process”) dari PKP yang perlu dilakukan secara bijak, berhati-hati dan mengikut langkah-langkah yang disarankan oleh WHO. Selagi ubat dan vaksin ke atas Covid-19 ini tidak ditemui, selagi itulah ancaman Covid-19 ini akan berterusan di dalam masyarakat kita dan kita wajib mengubah banyak amalan di dalam hidup supaya ianya tidak menjadi punca jangkitan virus Covid-19. Kita perlu menerima satu kebiasaan baru (new normal) dalam hidup untuk kekal selamat daripada jangkitan virus Covid-19.
 
BOLEHKAH DIHENTIKAN WABAK COVID-19 DENGAN MEMBIARKAN JANGKITAN MENULAR TANPA IKHTIAR ?
 
Saya memasukkan isu ini di sini kerana terdapat golongan tertentu yang mempertikaikan mengapa kerajaan perlu melaksanakan PKP dan menjejaskan kehidupan dan ekonomi rakyat. Mereka berhujah mengapa tidak dibiarkan jangkitan menular sendiri sehingga mencapai herd immunity ataupun imuniti berkelompok. Berikut adalah jawapan saya: 

Langkah-langkah pencegahan dan PKP yang dilaksanakan oleh kerajaan adalah selari dengan pendapat pakar2 epidemiologi dan virologi di seluruh dunia. Ianya juga adalah saranan WHO dan banyak lagi pertubuhan kesihatan dunia berdasarkan kajian dan pengalaman yang lalu. Mengharapkan imuniti berkelompok tercapai sendiri tanpa ikhtiar adalah langkah yang sangat merbahaya kerana virus Covid-19 (SARS-CoV 2) adalah virus yang baru dan pakar belum dapat memastikan sejauh mana kekebalan yang akan dimiliki oleh orang yang dijangkiti. Faktor kedua adalah jika langkah PKP tidak dikuatkuasakan dan langkah2 pencegahan lain tidak dilakukan, bilangan kematian yang sepatutnya dapat dielakkan akan meningkat pada bilangan yang tidak dapat dibayangkan kerana kadar jangkitan Covid-19 adalah 10 kali lebih cepat daripada jangkitan virus influenza(demam selesema). Itu belum lagi mengambil kira kes-kes yang perlu dimasukkan ke dalam wad dan unit rawatan rapi.


Dengan nombor reproduksi 2.7-3.0, pakar epidemiologi menganggarkan sejumlah 70% daripada populasi perlu menjadi kebal kepada virus Covid-19 sebelum mencapai imuniti berkelompok (tanpa menggunakan vaksin).Jika ini cuba dicapai melalui kaedah semulajadi yakni membiarkan jangkitan tersebar sendiri tanpa melakukan sebarang ikhtiar termasuk PKP, maka kita boleh mengira beban penyakit yang perlu ditanggung. Jumlah penduduk Malaysia adalah 33 juta orang, 70% daripada angka ini adalah 23 juta orang. Dengan kata lain, kita perlu membiarkan 23 juta orang penduduk Malaysia dijangkiti sebelum boleh mencapai imuniti berkelompok. Jika kadar kematian Covid-19 adalah 1% , maka ini bermaksud kita perlu kehilangan 230,000 nyawa rakyat Malaysia. Memang kita telah berjaya menyekat wabak Covid-19 tetapi dengan kos yang terlalu tinggi. Mahukah kita mengambil risiko tersebut ? Takut pada ketika itu, perkhidmatan kesihatan dan ekonomi negara kita runtuh. Di sini jelas bahawa membiarkan wabak ini menular tanpa ikhtiar boleh membawa risiko yang jauh lebih besar. Pendekatan yang lebih waras adalah melalui kaedah yang pro-aktif seperti mana yang dilaksanakan sekarang dan pada waktu yang sama mengharapkan terhasilnya ubat yang berkesan dan vaksin yang akan menyumbang kepada imuniti berkelompok di masa hadapan.

Nota: Covid-19 adalah nama penyakit, virus yang menyebabkan Covid-19 adalah SARS-CoV 2. Perkataan "virus Covid-19" merujuk kepada SARS CoV 2.

Dato'Dr.Mohd Rushdan Md Noor
19hb April 2020




RUJUKAN



Qiu H, Wu J, Hong L, et al. Clinical and epidemiological features of 36 children with coronavirus disease 2019 in Zhejiang, China: an observational cohort study. The Lancet , march 25, 2020;
Wang Y, Liu Y, Liu L, et al. Clinical Outcomes in 55 patients with SARS-CoV 2 who were asymptomatic at Hospital Admission in Shenzhen, China. The Journal of Infectious Diseases, 17 March 2020, https://doi.org/10.1093/infdis/jiaa119 
https://codeblue.galencentre.org/2020/04/17/saringan-komuniti-kesan-kes-covid-19-tidak-bergejala-di-hulu-langat/?fbclid=IwAR1uPvqJNRxtzoHkGjy_Cak2Ym-HElqZmnAVbTR8AeoCPEB1-VEAM_UtlTQ


He Xi, Lau EH, Wu P, et al. Temporal dynamics in viral shedding and transmissibility of COVID 19 https://www.medrxiv.org/content/10.1101/2020.03.15.20036707v2.full.pdf+html


















Friday, 17 April 2020

UJIAN RAPID TEST ANTIGEN COVID-19



KKM akan menggunakan satu lagi kaedah ujian pengesahan Covid-19 yang lebih mudah, cepat dan jauh lebih murah (lebih kurang RM50) berbanding dengan kaedah RT-PCR yg biasa. Kaedah baru ujian ini adalah rapid test Antigen ataupun RTK Antigen (bukan antibodi) yg dihasilkan oleh syarikat dari Korea. Ujian ini mengesan kehadiran virus di dalam sampel. Sampel yang diambil adalah sama iaitu swab dari dalam hidung atau tekak dan ujian ini memakan masa 30 minit, boleh dilakukan di tempat pengambilan sampel ataupun POCT (point of care test). KKM telah mendapati ujian ini mempunyai sensitiviti yang agak tinggi iaitu 84.4% dan spesifisiti 100%.

Sensitiviti adalah ukuran berapa tepatnya hasil ujian yang positif ke atas orang yang dijangkiti. Jadi sensitiviti 84.4% bermaksud jika dilakukan ujian ke atas 100 orang yang dijangkiti, 84 orang akan mendapat keputusan positif. Jadi terdapat peratusan kecil (15.6%) orang yang dijangkiti mendapat keputusan negatif ("false negative").

Spesifisiti adalah ukuran berapa tepatnya hasil ujian yang negatif ke atas orang yang TIDAK dijangkiti. Jadi spesifisiti 100% bermakna semua orang yang tidak dijangkiti akan mendapat keputusan ujian yg negatif. Tidak ada sesiapa pun yang tidak dijangkiti akan mendapat keputusan ujian positif (false positive 0%).

Dato' Dr Rushdan Noor
18hb April 2020