Pakar Perunding Obstetriks & Ginekologi
Medical Mythbusters Malaysia
TULISAN DARIPADA BUAH FIKIRAN DATO' DR.RUSHDAN NOOR DALAM PELBAGAI ASPEK KEHIDUPAN KHUSUSNYA BIDANG PERUBATAN DAN ISU-ISU SEMASA
Salah satu mitos yang berlegar di media sosial dan perbualan orang ramai adalah larangan mengambil beberapa jenis makanan dan minuman secara total (sedikit pun tak boleh) ke atas pesakit kanser. Sumber mitos ini mungkin bermula dari ceramah2 atau tulisan2 individu yang salah faham ataupun menceduk dari orang lain. Ada di antara sumber maklumat ini datangnya daripada doktor perubatan sendiri yang bukan pakar di dalam bidang yang berkenaan.
Akibat dari mitos ini maka terdapat pesakit kanser mengamalkan pantang yang keterlaluan sehingga menjejaskan fungsi badan mereka akibat tahap nutrisi yang rendah. Tahap nutrisi yang rendah juga menjejaskan keupayaan untuk menerima rawatan dan melawan penyakit. Pesakit2 ini bukan sahaja menderita akibat penyakit yang mereka hidapi tetapi juga tertekan dengan pantang yang keterlaluan. Di samping itu, kesan maklumat yang tidak tepat ini juga menyebabkan ramai orang samada yang sihat ataupun yang sakit mengamalkan pantang yang tidak betul seperti tidak langsung mengambil susu,telur,gula,daging dan lain-lain.
Umumnya memang terdapat kaitan yang tidak langsung di antara makanan/minuman dan kanser samada kaitan yang positif (meningkatkan risiko) ataupun negatif (mengurangkan risiko). Terdapat juga yang tidak ada kaitan langsung. Kaitan ini ditemui melalui kajian2 pemerhatian ("observational study"), "case control study" dan kajian cohort ( "cohort study") yang walaupun melibatkan sampel yang besar tetapi bukanlah kajian yang terbaik. Memang sangat sukar untuk menjalankan kajian berkualiti tinggi untuk melihat kaitan antara makanan dan kanser kerana terlalu besarnya variasi makanan manusia (kuantiti dan kualiti) dan terlalu banyak faktor2 sampingan lain yang mempengaruhi kaitan tersebut. Tidak hairanlah mengapa hasil dari kajian2 ini memberi keputusan yang bercanggah dan jarang konsisten. Jika ada kaitan sekalipun ianya bukan faktor penyebab utama yang bertindak secara langsung tetapi hubungan tidak langsung ataupun asosiasi sahaja ("association").
Akibat kesilapan merujuk sumber sesuatu maklumat maka akan terceduklah hasil2 kajian yang positif, manakala hasil kajian yang negatif diketepikan ataupun terlepas pandang. Penulis atau penceramah ini hanya nampak satu aspek sahaja tentang makanan atau minuman tersebut. Maka tersebarlah berita yang tidak benar sehingga orang ramai menganggap inilah penyebab penyakit kanser dan terus membuangnya dari menu makanan mereka. Sedangkan prinsip amalan kesihatan yang betul adalah amalan berdasarkan kepada pertimbangan manfaat:mudarat. Ini termasuklah menceduk bulat2 makanan atau minuman yang tersenarai dalam monograph karsinogen IARC tanpa memahami prinsip monograph tersebut dan kekuatan hubungan di antara bahan yang tersenarai dengan kanser. Monograph IARC tidak menilai pertimbangan baik buruk sesuatu bahan sebaliknya hanya memfokuskan ciri2 penyebab kanser bahan2 tersebut walaupun ciri tersebut sangat sedikit ataupun hanya dikesan ke atas haiwan.
Saya ingin mengambil contoh susu yang kebelakangan ini ditularkan sebagai penyebab penyakit kanser. Susu adalah salah satu produk tenusu. Memang terdapat kajian pemerhatian dan kohort yang besar mengkaji kaitan antara produk tenusu termasuk susu dengan penyakit kanser. Kualiti kajian ini bukan terbaik tetapi sederhana sahaja walaupun kajian2 ini dikumpulkan di dalam semakan sistematik dan metaanalisis. Jika anda hanya mengambil satu sahaja hasil kajian tentang susu, maka anda pasti akan menemui maklumat yang berat sebelah.
Walaupun terdapat kaitan antara pengambilan susu dengan kanser prostat (1,2), namun bukan bermaksud susu itu penyebab kanser prostat sebaliknya ia bermaksud risiko menghidap kanser prostat lebih tinggi dalam kalangan lelaki yang mengambil susu melebihi kadar tertentu. Malahan kaitan yang ada itu pula sangat kecil (3). Disebaliknya pula ada kajian lain di Amerika yang menafikan kaitan susu dengan risiko menghidap kanser prostat (4). Bagaimana pula kaitan antara susu dan produk tenusu dengan kanser-kanser yang lain. Berikut adalah penemuan dari hasil kajian tersebut:
KANSER USUS BESAR: Kajian menunjukkan bahawa pengambilan susu dikaitkan dengan risiko menghidap kanser usus besar yang lebih rendah (5,6).
KANSER PERUT: Kajian metanalisis terhadap kaitan pengambilan produk tenusu dengan kanser perut telah dilakukan dan mendapati amalan mengambil produk tenusu ini mengurangkan risiko kanser perut (7). Manakala kajian meta-analisis yang lain pula menunjukkan tidak ada kaitan antara pengambilan produk tenusu dengan kanser perut (8,9).
KANSER PAYUDARA: Semakan metanalisis ke atas kajian2 prospektif kohort telah menunjukkan bahawa pengambilan produk tenusu mengurangkan risiko kanser payudara (10).
Daripada hasil kajian yang dinyatakan di atas jelas menunjukkan bahawa produk tenusu termasuk air susu mempunyai kaitan yang berbeza-beza mengikut jenis kanser dan majoriti adalah bermanfaat. Satu perkara yang tidak dapat dinafikan adalah susu dan produk2 tenusu mempunyai kebaikan ke atas manusia yakni sebagai sumber nutrient, vitamin, mineral dan air yang baik. Di samping itu terdapat juga hasil kajian yang menunjukkan bahawa ia mengurangkan risiko menghidap beberapa jenis kanser iaitu kanser usus besar dan kanser payudara. Apa yang paling penting adalah mengambil produk-produk ini dalam kuantiti yang berpatutan di samping mengamalkan gaya hidup sihat yang lain, bukan terus meninggalkannya sehingga terpaksa mengikat perut dan kempunan. Keadaan yang sama juga terpakai ke atas lain-lain makanan dan minuman termasuk satay, gula, telur, daging dan lain-lain yang sering ditakut2kan. Setiap makanan dan minuman yang halal dan bersih itu ada manfaatnya jika diambil dalam kuantiti yang sederhana ataupun bersesuaian dengan kemampuan tubuh badan serta penyakit yang dihidapi mengikut nasihat doktor dan pakar pemakanan. Hanya alahan/alergik terhadap makanan sahaja yang memerlukan anda mengelak terus dari mengambil makanan tersebut.
Semoga dengan penerangan ini dapat memberi pencerahan berkenaan isu hubungan antara makanan/minuman dan kanser khususnya terhadap pihak yang suka menyebarkan maklumat-maklumat salah yang menakutkan tentang makanan kepada orang awam khususnya pesakit-pesakit kanser. Kepada pesakit, rujuklah pakar yang merawat anda untuk maklumat yang lebih tepat.
Dato' Dr Rushdan Noor
Pakar Perunding Ginekologi Onkologi
18hb Jan 2020
RUJUKAN
1. Qin LQ, Xu JY, Wang PY,et al. Milk consumption is a risk factor for prostate cancer: meta-analysis of case-control studies. Nutr Cancer, 2004;48(1):22-7
2. Aune D, Navarro Rosenblatt DA, Chan DS, et al. Dairy product, calcium, and prostate cancer risk: a systematic review and meta-analysis of cohort studies. Am J Clin Nutr, 2015;101(1):87-117
3. Gao X, LaValley MP, Tucker KL. Prospective studies of dairy product and calcium intakes and prostate cancer risk: A meta-analysis. J Natl Cancer Inst, 2005 Dec 7;97(23):1768-77
4. Preble I et al. Dairy Product Consumption and Prostate Cancer Risk in the United States. Nutrients. 2019 Jul; 11(7): 1615
5. Cho E, Smith-Warner SA, Spiegelman D, et al. Dairy foods, calcium and colorectal cancer: a pooled analysis of 10 cohort studies. J Natl Cancer Inst, 2004;96(22):1724
6. Aune D, Lau R, Chan DS, et al. Dairy products and colorectal cancer risk: a systematic review and metaanalysis of cohort studies
7. Guo Y, Shan Z, Ren H, Chen W. Dairy consumption and gastric cancer risk: A meta-analysis of epidemiological studies. Nutr Cancer, 2015;67(4):555-68
8. Sun Y, Lin LJ, Sang LX, et al. Dairy product consumption and gastric cancer risk: A meta-analysis. World J Gastroenterol, 2014; 20(42):15879-98
9. 7. Tian SB, Yu JC, Kang WM. Association between dairy intake and gastric cancer: A meta-analysis of observational studies. PloS One July 9;9(7):e101728
10. Dong JY, Zhang L, He K, Qin LQ. Dairy consumption and risk of breast cancer: A meta-analysis of prospective cohort studies. Breast Cancer Res Treat, 2011 May;127(1):23-31
Masa yang diperlukan untuk sampai ke planet Marikh dengan roket adalah selama 7 bulan. NASA baru sahaja melancarkan roket dari bumi membawa kenderaan robotik bernama Preserverence Rover untuk menerokai dan mengambil sampel dari planet Marikh. Sebelum ini, mereka menghantar Curiosity Rover yang sudah berada di sana selama lebih 7 bulan. Kalau kita menonton video rakaman planet marikh di bawah (diambil oleh Curiosity Rover), seolah-olah manusia boleh hidup di sana kerana terdapat kawasan di bumi yang kelihatan seperti itu. Apakah akan terjadi kepada manusia apabila mereka mendarat di planet Marikh dan keluar daripada kapal angkasa tanpa memakai pakaian angkasa lepas. Kita lihat dahulu perbezaan antara Bumi dan Marikh.
1. SAIZ: Bumi dua kali ganda lebih besar dari Marikh
2. GRAVITI: Marikh mempunyai graviti yang lebih rendah (38%) daripada graviti Bumi. Jika berat badan anda 100 kg di bumi, berat badan anda adalah 38kg di Marikh.
3. ORBIT : 1 tahun di bumi 365 hari, 1 tahun di Marikh 687 hari bumi (earth days)
4. KETUMPATAN (DENSITY): Ketumpatan Marikh hanya 70% daripada ketumpatan Bumi. Sebanyak 6 planet Marikh boleh mengisi isipadu 1 Bumi.
5. STRUKTUR PERMUKAAN :
a. BUMI: 70% permukaan bumi diliputi oleh air.
b. MARIKH: Permukaan Marikh adalah kering, berhabuk dan diliputi oleh kekotoran yang kaya dengan ferous oxide (karat) menyebabkan ianya kelihatan kemerahan.
6. ATMOSFERA:
a. BUMI: Bumi mempunyai atmosfera yang lebih padat berbanding dengan Marikh. Atmosfera bumi mengandungi 78% nitrogen, 21% oksigen dan sedikit wap air, karbon dioksida dan molekul gas.
b. MARIKH: Marikh pula mengandungi 96% karbon dioksida, gas Argon 1.93% dan nitrogen 1.89% dengan sedikit oksigen dan wap air.
7. SUHU:
a. BUMI: Purata suhu di permukaan bumi adalah 14 degree selsius (julat 70.7 darjah selsius hingga -129 darjah selsius). Bumi mempunya atmosfera yang lebih padat kaya dengan oksigen dan wap air, umumnya lebih panas dan lebih sesuai untuk hidup
b. MARIKH: Disebabkan oleh atmosfera yang jauh lebih nipis dan jarah yang lebih jauh daripada matahari, purata suhu permukaan Marikh adalah -46 darjah selsius (julat -143 darjah selsius hingga 35 darjah selsius). Marikh sangat sejuk, tapi boleh menjadi panas pada masa dan tempat tertentu, ia sangat kering dan berdebu.
8. BIDANG MAGNETIK (MAGNETIC FIELD):
a. Bumi mempunyai bidang magnetik yang unik dihasilkan oleh pergerakan struktur di pusat bumi. Bidang magnetik ini penting untuk melindungi kehidupan di bumi kerana ia dapat menghalang kemasukan radiasi yang merbahaya termasuk sinar UV yang berlebihan.
b. Marikh pula mempunyai bidang magnetik yang lemah jadi radiasi lebih mudah sampai ke planet ini.
Kesimpulannya, Marikh adalah planet yang tidak sesuai untuk manusia kerana ianya kering, berdebu, udaranya beracun, tinggi kandungan radiasi dan sangat sejuk. Jika manusia tidak memakai sebarang pakaian angkasalepas, mereka boleh hidup hanya 1-5 minit sahaja (purata 80 saat). Untuk hidup di planet Marikh, manusia memang tidak mampu tanpa peralatan sokongan kecuali mereka menjalani evolusi menjadi makhluk lain yang berbeza.
Dato' Dr Rushdan Noor
21hb Ogos 2020
Isu yang kontroversial dan sedang panas sekarang ini. Menjadi coach ataupun pembimbing kepada orang lain untuk berjaya di dalam sesuatu perkara adalah satu bentuk kerjaya yang menarik tetapi tidak terlepas dari exploitasi. Ada yang memanggilnya produk "air liur" tapi saya kurang setuju kerana bukan semudah itu. Di antara contoh coaching tersebut adalah teknik untuk menjadi kaya, berjaya dalam perniagaan, sihat tubuh badan, bahagia/senang hati, berjaya dalam peperiksaan, temuduga dan lain-lain.
Tidak salah untuk menceburi bidang coaching sebagai sumber pendapatan dengan syarat tidak menganiaya pelanggan dengan caj yang melampau, bukan satu bentuk scam ataupun membimbing orang lain melakukan sesuatu yang tidak betul/palsu (contoh: merawat penyakit kanser hanya dengan makanaan, tanpa ubat, suntikan dan pembedahan). Di samping itu adalah lebih berkesan jika coach tersebut adalah seseorang yang terbukti berjaya dalam perkara yang dibimbing. Pepatah melayu kata "Jangan seperti ketam mengajar anaknya berjalan betul".
Seorang yang gagal berniaga mee tidak sesuai menjadi coach bagaimana untuk berjaya berniaga mee kecuali kalau dia berjaya selepas gagal. Seorang yang gagal dalam peperiksaan SPM tidak sesuai menjadi coach bagaimana nak cemerlang dalam peperiksaan SPM. Seorang yang gemuk tidak sesuai jadi coach yang mengajar orang bagaimana nak kuruskan badan dan seterusnya. Ini common sense.
Apa2 pun semuanya kembali kepada orang ramai ataupun pelanggan. Berhati2 memilih coach anda , kaji latar belakang mereka dan kredibiliti mereka, jika tidak anda akan kehilangan wang dengan sia2. Masyarakat kita bukan sahaja berhabisan wang untuk produk2 kesihatan yang tidak bermanfaat tetapi juga berhabisan hanya untuk mendengar bagaimana menjadi kaya. Mereka bersemangat, menyanyi, menari dan melompat meniru couch mereka, tetapi apabila pulang ke rumah, mereka adalah diri mereka sendiri.
Seorang Pakar Psikologi perniagaan, sukan dan keibubapaan yang juga Pensyarah di University of San Francisco, Dr.Jim Taylor berpendapat bahawa ucapan, tulisan, program motivasi dan coaching hanya memberi kesan jangka pendek. Program ini dianggap hanya seperti jam locing pengejut tidur dan apabila kita bangun, apa yang akan dilakukan seterusnya adalah datangnya daripada kehendak dan kesungguhan dalam diri masing2. Kita perlu mempunyai perancangan dan arah tuju yang betul. Untuk berubah, kita memerlukan kekuatan dalaman dan keinginan yang kuat. Beliau berkata "if you want real inspiration, the kind that will consume every pore of your body, sustain itself not only through the next morning, but many mornings to come, and drives you to achieve your goals, look deep inside and see if you can find it in you".
Saya harap tulisan ini tidak mematahkan semangat coach2 yang ikhlas dan jujur mendidik orang lain untuk berjaya kerana ada yang berjaya melalui program coaching yang berkesan.
Dato' Dr Rushdan Noor
18hb Ogos 2020
https://m.facebook.com/story.php?story_fbid=10209929193894312&id=1468333443
Seorang Pakar Psikologi perniagaan, sukan dan keibubapaan yang juga Pensyarah di University of San Francisco, Dr.Jim Taylor berpendapat bahawa ucapan, tulisan dan program motivasi ataupun inspirasional hanya memberi kesan jangka pendek.
Ucapan dan program2 motivasi ini memang mengujakan semasa ianya dijalankan tetapi selepas peserta pulang, keadaan kembali seperti sediakala. Pada pendapat beliau di antara puncanya adalah motivasi itu adalah dicipta dari luar oleh orang lain, sedangkan apa yang diperlukan adalah kekuatan dan perubahan diri setiap orang. Program inspirasi ataupun motivasi sememangnya dicipta untuk memaksimakan keterujaan peserta ketika itu (inilah produk pakar motivasi), tetapi kajian menunjukkan bahawa ia tidak mampu untuk melakukan perubahan jangka panjang ke atas majoriti peserta. Selepas peserta pulang, selepas sehari apabila bangun dari tidur, mereka adalah orang yang sama.
Program motivasi ini dianggap hanya seperti jam locing pengejut tidur dan apabila kita bangun, apa yang akan dilakukan seterusnya adalah datangnya daripada kehendak dan kesungguhan dalam diri masing2. Kita perlu mempunyai perancangan dan arah tuju yang betul. Untuk berubah, kita memerlukan kekuatan dalaman dan keinginan yang kuat.
Beliau setuju bahawa program motivasi mungkin ada manfaat tetapi bukan untuk kesan jangka panjang. Program ataupun ucapan motivasi hanya berkesan jika ianya dilakukan ke atas orang2 yang sedang melakukan sesuatu seperti sekumpulan pemain bola sepak yang bersedia untuk turun ke padang, atlit yang sedang bersedia untuk bertanding, askar yang bersedia untuk berperang dan lain2. Persediaan diri dan kekuatan diri sudah ada, hanya perlu lonjakan akhir. Program motivasi bukan untuk individu yang tidak ada persediaan dan tidak ada arah tuju di dalam hidupnya.
Dr. Jim Taylor berkata "if you want real inspiration, the kind that will consume every pore of your body, sustain itself not only through the next morning, but many mornings to come, and drives you to achieve your goals, look deep inside and see if you can find it in you".
Dato' Dr.Rushdan Noor
Semasa rencana ini ditulis sedang panas isu ketegangan di antara pihak berkuasa tempatan dengan peniaga di sebuah pusat bandar. Ini bertitik tolak daripada satu video yang mendakwa wujudnya banyak kedai-kedai yang dikendalikan oleh warga asing dan juga premis perjudian tanpa diambil tindakan. Saya tidak mahu untuk memberi komen tentang kesahihan maklumat yang ditularkan kerana ia masih di dalam siasatan. Di dalam rencana ini saya akan menulis secara umum mengenai apakah punca berlakunya konflik yang tidak berkesudahan ini.
Salah satu faktor penting yang menjaga kebajikan sesebuah masyarakat adalah adanya pihak berkuasa. Bila sebut kebajikan, ia melibatkan aspek keselamatan, kesejahteraan, keamanan dan juga kebebasan untuk mencari rezeki serta beribadah. Undang-undang dan peraturan yang dikuatkuasakan oleh pihak berkuasa adalah untuk tujuan tersebut. Maka untuk memastikan bahawa matlamat kebajikan itu tercapai, masyarakat perlu mematuhi undang-undang yang telah ditetapkan. Pada waktu yang sama, pihak berkuasa pula hendaklah menguatkuasakan undang-undang tersebut supaya ianya mencapai matlamat.
Di dalam masyarakat, pasti wujudnya individu-individu yang mempunyai masalah akhlak dan sikap. Golongan ini wujud di dalam semua kategori masyarakat termasuk di dalam kalangan pihak berkuasa dan juga peniaga. Walaupun peratusan mereka kecil, namun mereka boleh memberi impak yang besar kepada masyarakat. Lebih-lebih lagi jika mereka berada pada hirarki yang tinggi di dalam masyarakat.
Di dalam melaksanakan tanggungjawab sebagai pihak berkuasa, mereka terikat dengan etika kerja dan juga peraturan yang wajib dipatuhi. Mereka perlu berintegriti, bertanggungjawab dan tidak rasuah. Begitu juga bagi pihak peniaga, di dalam mengendalikan sesuatu perniagaan, mereka perlu mematuhi peraturan yang ditetapkan oleh pihak berkuasa seperti memohon lesen, menjaga kebersihan dan beroperasi di tempat yang dibenarkan. Peniaga juga perlu jujur dan amanah.
Apabila peniaga tidak mematuhi peraturan yang ditetapkan untuk berniaga, maka pihak berkuasa wajar mengambil tindakan. Ada beberapa sebab mengapa tindakan tidak diambil, iaitu samada ianya terlepas daripada pemantauan ataupun kerana pihak berkuasa tidak menjalankan tanggungjawab mereka. Tindakan juga tidak diambil apabila pihak berkuasa menerima sogokan untuk tidak bertindak. Di dalam keadaan ini kedua-dua pihak melakukan kesalahan. Jika tidak ada pemberi rasuah maka tidak adalah juga penerima rasuah. Apabila tindakan tidak diambil, lama kelamaan melanggar peraturan akan dianggap sebagai satu kebiasaan dan bukan satu kesalahan. Semakin banyak perlanggaran undang-undang, maka ia membuka peluang yang semakin besar kepada segelintir pihak berkuasa untuk mencari pendapatan tambahan melalui rasuah. Begitu juga dengan amalan rasuah, lama kelamaan rasuah ini pula akan dianggap satu kebiasaan dalam urusan harian. Rasuah yang asalnya pendapatan sampingan akan menjadi pendapatan utama perasuah. Ini pula akan membuka peluang kepada wujudnya sindiket yang diterajui oleh organisasi jenayah seperti gangster untuk mengekploitasi budaya rasuah ini untuk kepentingan mereka. Ia umpama satu bentuk "viscous cycle" di mana selagi tidak diputuskan kitaran ini, fenomena kedai-kedai haram, perniagaan barang seludup, peniaga yang bukan warganegara dan perniagaan tanpa lesen akan terus wujud. Hanya apabila peraturan dan undang-undang dipatuhi, barulah kita dapat memutuskan kitaran tersebut dan dengan ini tidak ada ruang kepada perasuah serta penerima rasuah untuk mengambil kesempatan.
Titik tolak kepada fenomena yang disebutkan di atas adalah akhlak. Melanggar undang-undang, merasuah, menyalahguna kuasa dan tidak berintegriti adalah ciri-ciri keruntuhan akhlak. Ia merentasi semua latarbelakang dan agama, semua agama mengajar akhlak yang baik kepada penganutnya. Akhlak tidak terbatas kepada satu-satu penganut agama. Masyarakat akan dianggap rosak jika ramai ahli-ahli di dalamnya mengalami masalah keruntuhan akhlak. Akhlak juga merangkumi sikap toleransi dan tidak bertindak secara gelojoh serta beremosi. Akhlak yang baik juga termasuk kemampuan mengawal perasaan dan menangani perbezaan pendapat dengan baik. Di samping itu, di dalam menguatkuasakan peraturan ataupun undang-undang, perlu ada budi bicara dan tolak ansur yang boleh mengharmonikan kedua-dua belah pihak. Jika budi bicara dan tolak ansur ini wujud pada kadar yang munasabah, konflik antara pihak berkuasa dan peniaga dapat dielakkan.
Akhlak yang baik zahir daripada hati yang baik, maka hati itu ibarat raja bagi anggota badan dan ketua dalam segala bentuk kehidupan manusia. Orang yang hatinya subur dengan kebaikan terserlah melalui akhlak yang indah. Benarlah seperti sabda Rasulullah "Sesungguhnya dalam diri manusia itu ada seketul daging. Jika ia baik, baiklah seluruh anggota badannya tetapi seandainya ia rosak dan kotor, maka kotor dan rosaklah seluruh anggota badannya. Daging dimaksudkan ialah hati." (HR Bukhari dan Muslim)
Di samping masalah akhlak yang disebutkan di atas, satu lagi punca konflik adalah ketidakcekapan di dalam urusan khidmat pelanggan dan terlalu banyak birokrasi sehingga menyusahkan orang yang ingin berniaga. Masalah ini berlaku akibat kepimpinan organisasi, polisi yang tidak dikemaskini dan kelemahan kakitangan. Apabila terlalu banyak birokrasi maka ia akan mengujudkan kecederungan untuk berlakunya perlanggaran undang-undang oleh pihak peniaga dan menyuburkan amalan rasuah untuk tujuan memudahkan kelulusan. Kelemahan urustadbir juga disebabkan oleh kekangan pihak berkuasa seperti kekurangan kakitangan, masa, alatan serta kenderaan yang terhad dan lain-lain. Ada di antaranya boleh diatasi dan ada juga yang tidak boleh diatasi dengan mudah.
KESIMPULAN
Konflik yang berlaku antara pihak berkuasa dengan peniaga dapat ditangani jika setiap pihak memainkan peranan mereka berteraskan kepada akhlak yang terpuji dan tadbir-urus yang cekap. Ketidakcekapan dan birokrasi yang keterlaluan juga boleh menjadi punca konflik yang akan diambil kesempatan oleh individu yang tidak berakhlak. Apabila berlaku konflik, kita tidak boleh menyalahkan sebelah pihak, kedua-dua pihak ada saham yang menyebabkan konflik itu berlaku. Selagi masalah akhlak, tadbir urus dan kecekapan perkhidmatan tidak ditangani, selagi itulah kita akan terus melihat konflik seumpama ini berlaku dari masa ke semasa berulangkali. Ia akan reda selepas beberapa ketika dan seolah-olah keadaan sudah kembali seperti biasa, tetapi sebenarnya jalan penyelesaian sebenarnya masih jauh.
Dato' Dr. Rushdan Noor
17hb Ogos 2020