TULISAN DARIPADA BUAH FIKIRAN DATO' DR.RUSHDAN NOOR DALAM PELBAGAI ASPEK KEHIDUPAN KHUSUSNYA BIDANG PERUBATAN DAN ISU-ISU SEMASA
Monday, 29 April 2024
MISI PENGEMBARAN KE BULAN
Sunday, 28 January 2024
KANSER DAN "TUMOUR MARKERS"
Salah satu ciri-ciri kanser adalah kemampuannya untuk membiak dengan cepat. Setiap sel adalah seperti kilang yang berkemampuan untuk menghasilkan produk-produk tertentu yang kebanyakannya adalah protein. Jika sel tersebut bertukar menjadi kanser dan membiak dengan cepat, protein-protein ini juga akan dihasilkan dengan banyak. Ada juga produk-produk ini di dalam bentuk hormon dan ada yang diperbuat daripada makronutrien yang lain.
Perkataan tumour merujuk kepada ketumbuhan dan marker bermaksud petunjuk. Tumour markers adalah bahan yang dihasilkan oleh sel-sel kanser dalam kuantiti yang lebih banyak daripada sel-sel yang normal. Bahan-bahan ini kebanyakannya adalah protein. Kebelakangan ini ahli sains mendapati bukan sahaja protein yang boleh berperanan sebagai ”tumour markers” tetapi juga reseptor hormon, corak ekpresi gen dan kelainan molekul DNA yang terdapat di dalam sel kanser. Sehingga hari ini terdapat lebih daripada 30 jenis tumour markers.
Disebabkan pengetahuan yang masih terhad tentang sifat banyak jenis kanser, tidak semua kanser mempunyai tumour markers. Berkemungkinan ianya belum lagi ditemui. Di samping itu, belum ada lagi satu tumour markers yang spesifik untuk satu jenis kanser sebaliknya satu tumour markers boleh dihasilkan oleh lebih daripada satu jenis kanser.Terdapat juga pesakit yang mempunyai kanser yang sama tetapi jenis tumour markers yang berbeza. Jenis tumour markers yang dihasilkan akan diketahui apabila ujian darah dan lain-lain cecair badan dilakukan sebelum rawatan kanser diberikan.
Tumour marker boleh diukur di dalam sampel darah, air kencing, cecair badan dan juga tisu kanser yang diambil. Kuantiti tumour marker akan menentukan berapa banyak ataupun besarnya kanser yang wujud di dalam badan seseorang pesakit. Jadi tumour markers boleh digunakan untuk membantu mengesan kanser, memantau rawatan yang diberikan dan mengesan kanser yang berulang.
FUNGSI TUMOUR MARKERS
1. Tumour markers boleh digunakan sebagai ujian saringan mengesan kanser bersama dengan ujian2 lain. Ia boleh juga digunakan untuk membuat ramalan samada ketumbuhan yang dialami itu masih di peringkat bukan kanser, prakanser ataupun kanser. Ini boleh membantu pakar melakukan intervensi untuk mencegah kanser.
2. Tumour markers tidak boleh mengesahkan penyakit kanser tetapi ia boleh membantu bersama2 dengan ujian lain untuk mengesan kanser. Penyakit kanser disahkan melalui ujian biopsi dan pemeriksaan makmal oleh pakar patologi.
3. Tumour marker juga kadangkala boleh menjadi petunjuk kepada tahap keganasan dan juga risiko sesuatu kanser.Tumour markers selalunya diukur sebelum rawatan dan semasa rawatan susulan dijalankan sehinggalah pesakit sembuh sepenuhnya. Jadi ia digunakan untuk memantau keberkesanan rawatan dan perkembangan penyakit kanser selepas rawatan.
4. Kandungan tumour markers boleh juga dijadikan petunjuk untuk meramal sejauh mana berkesannya rawatan yang akan diberikan dan apakah keberangkalian pesakit akan mengalami kanser berulang ataupun pesakit akan sembuh selepas rawatan.
Walaupun tumour marker adalah salah satu ujian yang penting untuk dijalankan, ianya belum mencukupi untuk memantau pesakit jika digunakan secara bersendirian. Pesakit perlu diperiksa dan menjalani ujian-ujian lain termasuk ujian pengimejan seperti Ultrasound, CT scan, MRI ataupun PET scan.
PESAKIT PERLU TAHU TENTANG TUMOUR MARKERS MEREKA
Setiap pesakit perlu mengetahui adakah kanser mereka mempunyai tumour markers dan jika ada, mereka perlu mengetahui nilai kandungannya semasa rawatan susulan. Bertanyalah kepada pakar ataupun doktor yang merawat tentang kandungan tumour marker.
TUMOUR MARKERS TIDAK SPESIFIK
Perlu diingat bahawa tumour markers ini juga dihasilkan oleh sel-sel yang normal dan penyakit-penyakit lain yang bukan kanser, jadi jangan panik apabila kandungannya tinggi. Contohnya CA125 yang sering-kali tinggi kandungannya di dalam darah pesakit kanser ovari, tetapi ia juga boleh meningkat dalam darah seorang wanita yang hamil, wanita yang sedang datang haid dan mengalami penyakit endometriosis (bukan kanser). Dapatkan nasihat pakar kanser dan jangan membuat keputusan sendiri untuk melakukan ujian tumour markers.
CONTOH TUMOUR MARKERS
Kaedah penilaian tumour markers adalah lebih tepat jika ianya dinilai berdasarkan kepada trend iaitu corak penurunan atau peningkatan yang diperolehi melalui beberapa siri ujian yang dilakukan. Satu bacaan sahaja kurang membantu. Pakar kanser akan menentukan jarak masa antara satu ujian dengan ujian yang seterusnya. Ianya tidak boleh dilakukan terlalu kerap ataupun jarak masa yang terlalu panjang.
Berikut adalah sebahagian daripada tumour markers dan juga kanser-kanser yang menghasilkannya (rujuk juga imej di bawah):
1. CA125 (Kanser ovari).
2. CA19-9 (Kanser pankreas, kanser pundi hempedu, kanser perut, sebahagian kanser ovari).
3. CEA (Kanser usus besar).
4. AFP (Kanser hati, kanser ovari jenis germ cell, kanser kelenjar testis).
5. Beta HCG (Koriokarsinoma dan kanser sel germa).
6. Thyroglobulin (Kanser tiroid).
7. HE4 (Kanser ovari).
8. Lactate dehydrogenase (limfoma, leukemia, melanoma dan lain-lain).
9. Prostate-specific antigen (PCA) (Kanser prostat).
10. BRCA 1 dan 2 gene mutation (Kanser payudara, kanser ovari)
11. Neuron-specific enolase (Kanser paru-paru, neuroblastoma)
12. CA15-3/CA27.29 (Kanser payudara)
13. Beta-2-microglobulin (Multiple myeloma, chronic lymphocytic leukemia, limfoma)
14. Chromosomes 3,7,17, 9p21 (Kanser pundi kencing)
15. Oetrogen/Progesterone receptor (Kanser payudara, kanser endometrium)
16. HER2/neu gene amplification (kanser payudara, kanser perut)
KELEMAHAN/LIMITASI TUMOUR MARKERS
Terdapat beberapa kelemahan tumour markers, di antaranya adalah:
1. Terdapat kanser yang tidak diketahui ataupun tidak mempunyai tumour markers
2. Setengah tumour markers hanya dapat dikesan di dalam darah apabila sel2 kanser sudah cukup banyak. Maksudnya, tumour marker jenis ini tidak dapat membantu mengesan kanser di peringkat yang sangat awal.
3. Seperti yang telah dinyatakan, tumour marker tidak spesifik kerana terdapat keadaan2 lain yang boleh meningkatkan kandungannya di dalam darah.
4. Terdapat keadaan di mana kandungan tumour markers ini naik turun tanpa dapat diketahui puncanya.
5. Ketepatan ujian tumour markers berbeza2 dan kadangkala bergantung juga kepada teknik dan makmal yang melakukannya. Ralat boleh berlaku semasa makmal mengukur kandungan tumour markers. Ujian tambahan mumgkin perlu dilakukan untuk menentukan punca ralat ataupun nilai yang tidak menggambarkan keadaan sebenar. Apabila tumour markers dikesan meningkat sedangkan pesakit masih kekal sihat ianya dikenali sebagai "false positive". Manakala "false negative" adalah nilai yang normal tetapi hakikatnya kanser sedang aktif.
PESANAN UNTUK PESAKIT KANSER
Pesakit kanser yang bijak adalah pesakit yang mengambil tahu perkembangan diri mereka dan mengambil initiatif untuk mengetahui dengan lebih mendalam tentang penyakit kanser yang mereka hidapi. Saya seringkali bertemu dengan pesakit yang tidak tahu banyak perkara tentang penyakit dan rawatan yang telah mereka lalui sehingga mereka tidak mampu membuat keputusan untuk diri mereka sendiri. Tumour marker adalah salah satu pengetahuan yang perlu dimiliki oleh pesakit kanser. Ujian tumour markers dilakukan secara bersiri dalam jarakmasa tertentu kerana pakar kanser ingin melihat trendnya, jadi satu bacaan tidak memadai. Jangan panik dan terlalu risau jika satu bacaan sahaja meningkat, dengar penjelasan dan nasihat pakar kanser. Patuhi nasihat pakar kanser untuk melakukan ujian tumour markers.
Dato' Dr Rushdan Noor
28hb Jan 2023
Saturday, 6 January 2024
SAH, SEL KANSER LEBIH TAKUT KEPADA ASID DAN SUKA KEPADA ALKALI
Ahli sains telah lama menemui salah satu ciri sel kanser yang berbeza dengan sel normal iaitu pH di dalam sel kanser lebih beralkali dengan pH > 7.2. Manakala pH di luar pula adalah 6.7-7.1. Dalam keadaan beralkali ini, sel kanser lebih cepat membiak dan lebih ganas. Jadi sel kanser TIDAK SUKA ASID.
Sel kanser lebih beralkali sebab berlakunya metabolisma dan juga pengangkutan protein2 tertentu yang berasid keluar daripada sel. Maka ahli sains sedang mengkaji bagaimana boleh menghasilkan ubat anti kanser untuk menganggu proses pengangkutan ini agar sel kanser menjadi lebih berasid dan mati. Ubat tersebut belum dihasilkan dan kajian ke atas haiwan sedang dilakukan. Kita masih jauh untuk menemui kaedah rawatan kanser yang menggunakan pendekatan ini.
Kesimpulannya SEL KANSER SUKA KEPADA ALKALI dan TAKUT KEPADA ASID. Kalau hendak mematikan sel kanser, ahli sains perlu mencari ubat khusus yang boleh menjadikan sel kanser lebih berasid. Tanggapan bahawa minum air beralkali boleh mencegah dan merawat kanser bukan saja satu mitos tetapi bertentangan dengan kefahaman tentang ciri2 sel kanser dan asas keseimbangan asid-alkali tubuh badan manusia.
Dato' Dr.Rushdan Noor
Pakar Ginekologi Onkologi
Persi E, Frigola MD, Damaghi M, et al. Systems analysis of intracellular pH vulnerabilities for cancer therapy. Nature Communications, 2018; 9 (1) DOI: 10.1038/s41467-018-05261-x
Tuesday, 2 January 2024
KARSINOGEN (AGEN PENYEBAB KANSER)
Seperti yang telah saya sebutkan di dalam tulisan terdahulu, kanser disebabkan oleh kelainan ataupun mutasi gen/baka yang mengawal fungsi pembiakan sel. Faktor ataupun agen yang menyebabkan kerosakan ini dinamakan karsinogen. Sebahagian kecil mutasi gen boleh diturunkan kepada generasi seterusnya. Walau bagaimanapun, majoriti kes mutasi ini adalah disebabkan oleh pendedahan kepada faktor-faktor luar yang wujud dalam alam sekitar.
Faktor-faktor luar tersebut dibahagikan kepada beberapa kumpulan iaitu:
1. Faktor gaya hidup seperti makanan (makanan yang diproses, daging merah), penggunaan tembakau, aktiviti fizikal seperti berjemur di bawah sinaran matahari meningkatkan risiko kanser kulit akibat dari sinar UV, kurang aktiviti fizikal dan lain-lain.
2. Faktor yang wujud secara semulajadi seperti sinaran ultraungu, gas radon, jangkitan virus serta bakteria. Aflatoksin yang dihasilkan oleh kulat terdapat pada kekacang. Gas radon dari bahan radioaktif yang ujud secara semulajadi juga boleh sampai kepada manusia.
3. Pendedahan kepada faktor-faktor di tempat kerja seperti asbestos, formaldehyde, benzene dan lain2.
4. Pendedahan kepada faktor-faktor yang wujud di rumah seperti chloroform yang terkandung di dalam air minuman, talc di dalam bedak, formaldehyde, agen-agen karsinogen di dalam produk kosmetik, sabun, syampu, pencuci dan lain-lain.
5. Pencemaran air, udara (contoh Benzene, arsenik, esbestos, logam berat, gas radon dan lain2)
6. Lain-lain. Dalam keadaan yang sangat jarang berlaku, kanser kedua boleh wujud akibat rawatan hormon dan antikanser (sebahagian ubat sititoksik dan radioterapi) pada dos yang tinggi ataupun rawatan yang berulang2 tanpa penyeliaan serta pemantauan yang rapi. Individu yang mengalami kelemahan sistem pertahanan badan juga lebih mudah tewas kepada karsinogen berbanding dengan individu yang mempunyai sistem pertahanan/imun yang baik.
Ahli sains mengenal bahan-bahan karsinogen melalui kajian ke atas haiwan dan juga lapisan sel di dalam makmal. Manakala karsinogen juga dikenal pasti melalui kajian epidemiologi ke atas manusia dan mengaitkan kanser tertentu dengan penyebabnya berdasarkan kepada kadar kejadian kanser dan kaitannya dengan pendedahan kepada bahan-bahan tertentu di tempat kerja ataupun penempatan mereka. Inilah asas yang digunakan oleh IARC untuk membuat pengklasan karsinogen yang lebih sistematik yang dikenali sebagai IARC Monograph.
International Agency for Research on Cancer (IARC) adalah badan di bawah Pertubuhan Kesihatan Sedunia yang bertanggungjawab di dalam banyak polisi dan kajian yang berkaitan dengan kanser. IARC telah kategorikan karsinogen kepada 5 kumpulan berdasarkan kepada kekuatan bukti yang ejen2 tersebut dikaitkan dengan kanser:
Kumpulan 1 : Carcinogenic to humans
Kumpulan 2A : Probably carcinogenic to humans
Kumpulan 2B : Possibly carcinogenic to humans
Kumpulan 3 : Unclassifiable as to carcinogenicity in human
Kumpulan 4 : Probably not carcinogenic to humans
Kebanyakan ejen-ejen yang diuji tergolong di dalam kumpulan 2, 3 dan 4. Hanya lebih kurang 120 ejen sahaja yang dikategorikan di dalam kumpulan 1.
Jumlah ejen yang dinilai setakat ini adalah 1,067 dan bilangannya bertambah dari semasa ke semasa. Di samping itu, ada juga perubahan dari segi kedudukan di dalam kumpulan. Terdapat ejen yang diturunkan dan ada yang dinaikkan.
KUMPULAN DAN CONTOH KARSINOGEN
Kumpulan 1: Carcinogenic to humans
Trichloroethylene, Alflatoxins, Alkohol, Aluminium production, 4-Aminobiphenyl, Areca nut, Arsenic, Asbestos, Auramine, Benzene, Formaldehyde, High Risk HPV, Helicobacter pylori, Hepatitis B, Hepatitis C, HIV, Tobacco smoking, UV light etc
Jumlah : 128 ejen
Kumpulan 2A : Probably carcinogenic to humans
Acrylamide, Androgenic steroid, Adriamycin, Azacitidine, Chloramphenicol, Captafol, Biomass fuel (primarily wood), Malathion, Red meat, Trichloroethylene etc
Jumlah : 95 ejen
Kumpulan 2B : Possibly carcinogenic to humans
Acrylonitrile, Aloe vera (whole leaf extract), para-Aminoazobenzene, Amsacrine, Anhraquinone, Aramite, Carbazole etc
Jumlah: 323 ejen
Kumpulan 3 : Unclassifiable as to carcinogenicity in human
Acrylic acid, Agaritine, Benzopyrene, Bisulfites, Bromoform, Cafeine,Captan, Xylenes,Vinyl toluene etc
Jumlah: 500 ejen
Kumpulan 4 : Probably not carcinogenic to humans
Cuma ada 1 ejen yang disenaraikan. Kumpulan 4 telah diabaikan semenjak tahun 2019.
Ejen di dalam kumpulan 1 dianggap mempunyai bukti yang paling kukuh kaitannya dengan kanser. Manakala, kumpulan 2A bukti keatas manusia masih terhad dan hanya dikesan ke atas haiwan di dalam makmal. Manakala dalam kumpulan 2B pula, bukti ke atas manusia belum ada, manakala bukti terhadap haiwan masih terhad. Semakin bawah kedudukan kumpulan ini semakin lemah bukti yang ada. Perlu diingatkan yang susunan kumpulan2 ini bukan berdasarkan kepada tahap risiko untuk mendapat sesuatu kanser (" risk of developing cancer") tetapi berdasarkan kepada kekuatan bukti ("levels of evidences") tentang kaitannya dengan kanser.
Kategori karsinogen yang dikeluarkan oleh IARC ini walaupun digunakan dengan meluas, ianya tidak terkecuali daripada kritikan kerana ada yang berpendapat bahawa senarai ini kadangkala mengelirukan. Ada juga yang mengkritik bahawa IARC tidak mengambil kira kuantiti/dos serta tempoh masa pendedahan. Senarai ini hanyalah sebagai panduan dan boleh berubah apabila maklumat lanjut diperolehi dari masa ke semasa apabila ada bukti baru.
Kalau merujuk kepada keseluruhan ejen karsinogen di dalam monograf IARC ini, bolehlah disimpulkan yang setiap manusia tidak mungkin dapat menghindarkan diri dari terdedah kepadanya. Walau bagaimanapun, proses kejadian kanser sangat kompleks dan proses ini berjalan hanya apabila pendedahan itu berlaku ke atas dos yang tinggi untuk jangka masa panjang. Tambahan pula, selain dari kumpulan 1, hubungan ejen2 dalam kumpulan 2 dan 3 masih belum konklusif. Faktor dalaman dan gayahidup seseorang juga mempengaruhi proses-proses tersebut. Walaupun terdedah kepada karsinogen, manusia boleh mengurangkan risiko menghidap kanser melalui pelbagai kaedah pencegahan yang akan diterangkan di dalam tulisan akan datang.
Dato' Dr Rushdan Noor
3hb Disember 2023
Rujukan:
https://monographs.iarc.who.int/agents-classified-by-the-iarc/
https://www.iarc.who.int/
Friday, 29 December 2023
MENGAPA ULAMAK KENA KECAM
Saya menulis tajuk ini dari sudut pandang orang awam. Saya juga tidak mahu menulis dengan panjang tentang definisi ulamak (ulamak adalah jamak/plural) kepada alimun atau orang berilmu (mufrad/singular) kerana anda boleh dapatkannya dari buku2 dan rujukan atas talian (contoh, rujuk Bayan Linnas siri ke-12). Tidak ada kaedah pengiktirafan seorang ulamak yang disepakati sepertimana sijil atau ijazah yang dianugerahkan kepada orang yang berjaya dalam akademik. Jadi nampaknya gelaran ulamak ini diberikan oleh individu ataupun kumpulan tertentu yang dibuat berdasarkan kepada kriteria2 yang tersendiri.
Ulamak tugasnya mengajar agama, meyampaikan hukum hakam dan menjawab persoalan2 yang berkaitan dengan agama. Seseorang ulamak dipandang tinggi kedudukannya di sisi Allah swt dan masyarakat.
Di sebalik sanjungan dan kedudukan yang tinggi, ulamak juga kadangkala menerima kecaman, penghinaan dan pada masa lampau ada yang didera dan dibunuh. Saya tidak akan menyingkap kisah2 lama tentang ulamak2 terdahulu yang melalui pelbagai tribulasi dalam hidup mereka jauh lebih besar dari ulamak zaman sekarang.
Ulamak zaman sekarang disediakan dengan kemudahan berkomunikasi dan alat berdakwah yang lebih canggih. Apa yang mereka tuturkan dan tingkah laku mereka amat mudah disebarkan. Ini bermaksud, mereka mempunyai peluang yang lebih besar untuk melaksanakan tanggungjawab. Pada waktu yang sama, kecanggihan ini juga memberi cabaran yang besar kepada mereka. Jika maklumat yang baik boleh disebarkan dengan pantas, begitu jugalah dengan maklumat yang tidak baik.
Ulamak2 hari ini tidak terlepas dari cabaran dikecam, dimarahi dan dihina. Di bawah ini saya senaraikan beberapa sebab mengapa ulamak ini dikecam. Saya bahagikan kepada 2 faktor utama:
A. FAKTOR ORANG YANG MENGECAM
1. Kecaman boleh datang dari individu2 yang anti kepada agama atau pembenci ulamak di mana bagi mereka ulamak ini seringkali membataskan hidup dengan hukum hakam dan fatwa yang menyusahkan mereka.
2. Pengikut seseorang ulamak boleh mengecam ulamak lain apabila berlaku pertikaian ataupun perbezaan pendapat di antara ulamak. Fenomena ini seringkali berlaku apabila dua orang ulamak saling mempertikaikan pendapat ulamak lain secara terbuka dalam media sosial hingga merebak kepada penyokong2 mereka.
3. Kecaman dari orang yang benci kepada seseorang ulamak di atas alasan peribadi yang bukan berkaitan dengan agama. Krisis akhlak dalam kalangan masyarakat kita sangat parah dan salah satu petanda akhlak yang buruk adalah tingkah laku dan pertuturan yang tidak bermoral. Tidak hairanlah mengapa fenomena caci mencaci, hina menghina dan kecam mengecam begitu berleluasa pada hari ini.
B. FAKTOR ULAMAK YANG DIKECAM
1. Salah satu punca perpecahan yang berlaku ke atas umat Islam hari ini adalah kerana pendirian politik yang berbeza. Apabila seseorang ulamak menunjukkan kecenderungan kepada satu2 parti politik, maka mereka ini sudah menjadi lawan politik kepada penyokong dan pemimpin politik lain. Maka mereka tentu tidak terkecuali daripada kecaman. Sebab itu pada pandangan saya, ulamak akan lebih dihormati jika mereka dapat fokus kepada tanggungjawab hakiki mereka. Mereka akan dijadikan rujukan oleh semua orang tidak kira latar belakang politik, maksudnya sasaran dakwah mereka lebih besar. Ulamak juga manusia biasa yang boleh lakukan kesilapan dan dalam mengeluarkan pendapat serta hukum hakam, mampukah mereka bersikap adil? Dibimbangi mereka mengeluarkan hukum yang berbeza2 mengikut selera parti politik sehingga politik itu diletakkan pada kedudukan yang lebih tinggi dari agama.
2. Ulamak ini berkait dengan ilmu, ulamak adalah perkataan jamak kepada orang berilmu. Mereka diakui mempunyai ilmu yang banyak tentang agama tetapi belum tentu mempunyai akhlak yang baik. Ulamak yang tidak berakhlak tidak akan dihormati dan mereka boleh menjadi bahan kecaman. Memang tidak ada ulamak yang sempurna tetapi keujudan ulamak yang teruk akhlaknya tidak dapat dinafikan. Mereka ini digelar ulamak Su'.
Sabda Nabi bermaksud: "Selain daripada Dajjal ada satu perkara yang sangat aku bimbangkan lebih daripada Dajjal? Lalu ada orang yang bertanya: Apakah itu wahai Rasulullah? Nabi SAW menjawab: Mereka ialah Ulama Su’ yakni ulama yang jahat”. (HR Ahmad daripada Abu Zhar RA).
3. Salah satu lagi punca perpecahan umat Islam hari ini adalah berkaitan dengan kegagalan meraikan perbezaan pendapat. Kadangkala perbezaan ini hanya melibatkan perkara2 ranting. Apabila ulamak mengutarakan perbezaan ini secara terbuka, maka berlaku perbahasan secara terbuka di dalam media sosial, akhirnya berlarutan kepada penyokong masing2. Matlamat asal untuk mencelikkan umat bertukar kepada pertikaian yang berpanjangan hingga kepada serangan peribadi. Kumpulan sasaran pula jadi lebih keliru. Kali ini ulamak pula mengecam satu sama lain.
4. Masyarakat Islam hari ini ketandusan ikon ulamak yang boleh dijadikan rujukan dan idola kepada mereka. Ikon ulamak boleh berperanan menyatukan umat kerana pendapat mereka dihormati dan disepakati. Ciri-ciri ini hanya wujud pada ulamak terdahulu tetapi sukar dicari pada hari ini. Apabila gagal meraikan perbezaan pendapat dan ketiadaan ikon ulamak yang dihormati di peringkat negara atau global, polemik dan kesan2 sampingan daripadanya (termasuk kecam mengecam, label melabel dll) akan berterusan. Tidak hairanlah mengapa salah satu ciri2 ulamak yang dinyatakan oleh Al-Tabari ialah "golongan yang Allah jadikan sebagai tiang kepada manusia untuk bersandar dan bergantung dalam permasalahan fiqh, ilmu urusan agama dan dunia".
5. Terdapat ulamak yang terlibat dengan kerjaya di luar kepakaran mereka. Pendakwah selebriti adalah istilah yang sering digunakan ke atas pendakwah yang popular, menjadi rebutan program ceramah dan station TV. Mereka popular kerana cara penyampaian yang disukai oleh pendengar. Untuk tujuan penyebaran ilmu dan hukum hakam, mereka ini boleh dikatakan pilihan yang baik. Walau bagaimanapun, mereka dipandang serong dan dikecam apabila mengenakan bayaran yang terlalu tinggi untuk khidmat mereka. Ada juga yang meneroka kepada bidang lain seperti menjadi duta kepada sesuatu produk ataupun menjual produk keluaran sendiri. Apabila mereka tidak mendalami bidang tersebut contohnya kesihatan dengan mempromosikan produk2 kesihatan overclaim, mereka akan menerima kecaman dari pihak yang sedar tentang kesilapan mereka. Lebih2 lagi jika aktiviti mereka bertentangan dengan program kesihatan yang dijalankan oleh pihak yang berautoriti.
Mengecam dan menghina orang lain bukanlah sikap yang diterima oleh agama, lebih2 lagi ke atas seorang ulamak. Walau bagaimanapun pihak yang dikecam pula perlu memuhasabah diri mereka. Tidak semua kecaman dan penghinaan itu satu bentuk ujian, sebaliknya mungkin satu kifarah dari Allah supaya ia dapat memperbaiki kesilapan dirinya sendiri.
Dato' Dr Rushdan Noor
27hb Disember 2023
Monday, 18 December 2023
JIKA SAYA PARTI PEMBANGKANG
Sebagai seorang pengguna media sosial, saya tidak terlepas daripada terdedah kepada pelbagai bentuk maklumat dan juga isu berkaitan dengan politik tanahair. Selepas bersara, walaupun saya lebih cenderung untuk menulis berkaitan dengan ilmu khususnya bidang perubatan dan kesihatan, namun status YB (Yang Bersara) ini memberi sedikit ruang untuk berkongsi tentang isu politik. Bukan sebagai seorang pakar politik, tetapi sebagai rakyat Malaysia yang cakna dengan perkembangan politik semasa dan ingin mengambil kesempatan untuk bersuara walaupun melalui alam maya.
Thursday, 7 December 2023
BENARKAH ADA BUAH, DAUN, AKAR, BIJI DAN MAKANAN ANTI-KANSER ?
Monday, 4 December 2023
BENARKAH KUNYIT BOLEH MERAWAT KANSER ?
Saturday, 2 December 2023
PENGETAHUAN ASAS TENTANG KAJIAN KLINIKAL UNTUK MEBUKTIKAN KEBERKESANAN SESUATU UBAT
Rencana kali ini berat sikit tetapi kalau pembaca boleh faham, maka ilmu ini boleh jadi benteng dari kena tipu dengan penjual produk "overclaim". Saya akan gunakan contoh Jus, Minyak dan Kopi "berubat".
Friday, 1 December 2023
APABILA CIKGU, DOKTOR DAN USTAZ BERBUAL TENTANG PRODUK "OVERCLAIM"











