Friday, 26 December 2025

TREND KEMATIAN RAKYAT MALAYSIA 2015–2024 MENOLAK TUDUHAN VAKSIN COVID-19 MENYEBABKAN KEMATIAN YANG TINGGI


 


Salah satu dakwaan utama golongan antivaksin ialah kononnya ramai penerima vaksin Covid-19 meninggal dunia akibat suntikan vaksin di negara kita, malah mereka mendakwa jumlah kematian akibat vaksin lebih tinggi berbanding kematian akibat jangkitan Covid-19 itu sendiri. Statistik terbaru yang dikeluarkan oleh DOSM menafikan tuduhan ini. Ikuti penjelasan di bawah.

Jika dakwaan tersebut benar, kita sepatutnya melihat lonjakan mendadak dan berterusan dalam bilangan kematian keseluruhan selepas program vaksinasi bermula pada tahun 2021 dan 2022. Namun, graf Kadar Kematian Kasar (CDR) Malaysia 2015–2024 di bawah menunjukkan corak yang bertentangan. Walaupun terdapat lonjakan ketara pada tahun 2021, kadar dan bilangan kematian kemudiannya menurun semula dan kembali sejajar dengan trend sebelum wabak Covid-19.

Lonjakan kematian (arrow merah) pada tahun 2021 adalah selari dengan kemuncak jangkitan Covid-19, yang menurut data rasmi DOSM merupakan punca utama kematian pada tahun tersebut (sekitar 19.8% dari jumlah kematian). Apabila jangkitan mula dikawal melalui langkah kesihatan awam dan vaksinasi, Covid-19 tidak lagi menjadi penyumbang utama kematian, dan trend kematian keseluruhan kembali stabil. Trend ini dapat disaksikan dalam geraf di bawah.

Sehingga Mac 2022, kira-kira 27 juta rakyat Malaysia telah menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin Covid-19. Jika benar vaksin menyebabkan kematian dalam skala besar, katakan 1% sahaja daripada penerima vaksin meninggal dunia, ini bersamaan 270,000 orang, iaitu angka yang melebihi jumlah kematian tahunan negara. Lonjakan sebesar ini pasti akan kelihatan jelas dalam statistik kebangsaan.

Malah, andaian yang jauh lebih kecil iaitu 0.1% (27,000 kematian) juga sudah mencukupi untuk menghasilkan lonjakan ketara pada graf kematian. Namun, tiada corak sedemikian diperhatikan. Sebaliknya, bilangan dan kadar kematian selepas 2021 menurun dan kembali kepada landasan asal sebelum wabak.

Menurut data KKMNOW, jumlah keseluruhan kematian akibat jangkitan Covid-19 sejak permulaan wabak hingga tahun 2025 adalah sekitar 37,351 kes, dengan 83% (31,063 kematian) berlaku pada tahun 2021, iaitu sebelum liputan vaksinasi penuh dicapai. Corak ini sekali lagi mengesahkan bahawa kematian tinggi pada 2021 berpunca daripada jangkitan Covid-19, bukannya vaksin. Setiap kematian akibat Covid-19 ini telah disahkan secara perubatan.

Kesimpulannya, data DOSM dan KKM secara konsisten menafikan dakwaan bahawa vaksin Covid-19 menyebabkan kematian yang tinggi. Trend kematian ini selari dengan trend bilangan kes dan bilangan kematian akibat Covid-19. Statistik tidak menipu, persoalannya, siapa yang sebenarnya tertipu?


Dato' Dr.Rushdan Noor

19hb Dis 2025


Rujuk lain2 geraf di ruangan komen.





RISIKO MENGGUNAKAN PRINSIP "MEMILIH YANG KURANG MUDARAT DALAM POLITIK


 

RISIKO MENGGUNAKAN PRINSIP "MEMILIH YANG KURANG MUDARAT" DALAM POLITIK 

Saya bukan ahli agama dan tidak menulis dari sudut autoriti hukum. Pandangan ini lahir daripada pemerhatian sebagai orang awam yang berfikir dan mengikuti perkembangan politik semasa. Prinsip memilih yang kurang mudarat mungkin masuk akal dalam keadaan tertentu, tetapi penggunaannya dalam politik hari ini semakin kerap dan membimbangkan.

Apa yang saya faham, prinsip ini bukanlah ciptaan baharu. Ia berasal daripada kaedah fiqh yang sah, bertujuan mengurangkan kemudaratan sebenar apabila tiada pilihan yang benar-benar baik. Namun masalah bermula apabila prinsip ini dipisahkan daripada syarat, konteks dan batasan asalnya, lalu dijadikan lesen politik untuk menghalalkan apa sahaja tindakan yang menguntungkan pihak tertentu. Inilah isu yang akan dibincangkan di sini.

Pada asalnya, prinsip ini digunakan apabila semua pilihan tidak ideal dan keputusan perlu dibuat secara sementara. Namun dalam politik, ia sering dijadikan alasan umum untuk mempertahankan tindakan yang jelas bermasalah. Apa sahaja yang dipersoalkan akan dibalas dengan hujah sama: ini pilihan paling kurang buruk dalam situasi sekarang.

Apabila alasan yang sama boleh digunakan untuk hampir semua keadaan, ia boleh menukar prinsip kepada satu helah. Perkara yang sebelum ini dianggap salah atau tidak beretika mula dinormalisasikan atas nama realiti politik. Lama-kelamaan, piawaian moral awam diturunkan dan masyarakat diajar untuk pasrah memilih antara keburukan.

Lebih membimbangkan, hujah ini mematikan akauntabiliti. Kesalahan tidak lagi dijawab secara jujur, sebaliknya dibandingkan dengan keburukan pihak lain. Fokus beralih daripada betul atau salah kepada siapa yang lebih teruk. Akhirnya, kesilapan tidak pernah diperbetulkan, hanya dihalalkan.

Politik juga berubah menjadi politik ketakutan. Rakyat tidak diyakinkan dengan idea atau visi, tetapi ditekan dengan bayangan mudarat yang lebih besar jika mereka tidak menyokong pilihan tertentu. Ini bukan politik yang sihat, tetapi politik yang menjadikan rakyat kepada sekadar pengundi yang takut.

Siapa pula yang berhak untuk menentukan mudarat mana yang lebih kecil. Dalam teori, penilaian ini sepatutnya dibuat oleh individu atau autoriti yang benar-benar layak,berintegriti dan bebas daripada kepentingan peribadi. Namun dalam realiti politik, penilaian tersebut sering dilakukan oleh manusia yang terdedah kepada bias, tekanan kuasa, emosi, kepentingan atau survival politik. Akibatnya, apa yang dilabel sebagai “kurang mudarat” mungkin sebenarnya lebih menguntungkan pihak tertentu dan bukan rakyat. Penilaian seumpama ini boleh berubah-ubah mengikut masa dan keadaan, sesuatu yang dianggap salah hari ini boleh dihalalkan esoknya.

Prinsip memilih yang kurang mudarat bukan dosa atau kesalahan tetapi boleh disalahguna jika jatuh ke tangan orang yang tidak bertanggungjawab. Ia tidak sepatutnya menjadi norma berpolitik. Jika setiap pilihan sentiasa buruk, persoalan sebenar ialah kegagalan sistem menghasilkan pilihan yang lebih baik.

Sebagai rakyat, kita berhak menolak yang salah walaupun ia dilabel sebagai “kurang mudarat”, dan menuntut politik yang lebih berprinsip. Politik yang matang bukan sekadar memilih keburukan paling kecil, tetapi berusaha membina pilihan yang benar dan lebih baik,  walaupun jalannya sukar dan mengambil masa.

Dato' Dr.Rushdan Noor

26hb Dis 2025


Thursday, 25 December 2025

KAJIAN MENUNJUKKAN VAKSIN COVID-19 TIADA KESAN KECACATAN BAYI, MENGURANGKAN KADAR KELAHIRAN PRA-MATANG DAN MENINGKATKAN KESELAMATAN IBU HAMIL

 


PENDAHULUAN 

Sejak vaksin COVID-19 diperkenalkan, isu keselamatan vaksin dalam kalangan ibu hamil sering menjadi polemik, khususnya kebimbangan terhadap risiko kecacatan bayi dan kesan buruk ke atas kehamilan. Kebimbangan ini timbul walaupun ibu hamil diketahui sebagai kumpulan berisiko tinggi untuk mendapat komplikasi serius sekiranya dijangkiti COVID-19, termasuk kemasukan ke hospital, rawatan rapi, dan kelahiran pra-matang.

Bagi menilai isu ini secara objektif, beberapa kajian pemerhatian berskala besar telah dijalankan dan diterbitkan dalam jurnal perubatan berimpak tinggi seperti JAMA Network Open dan JAMA. Dua kajian utama ini memberikan bukti kukuh tentang keselamatan vaksin COVID-19 semasa kehamilan serta manfaatnya kepada ibu dan bayi.

TIADA PENINGKATAN RISIKO KECACATAN BAYI DARI VAKSIN COVID-19 

Kajian kohort nasional yang diterbitkan dalam JAMA Network Open menilai hubungan antara vaksin COVID-19 jenis mRNA yang diberikan pada trimester pertama kehamilan dengan risiko kecacatan kongenital utama (major congenital anomalies). Trimester pertama merupakan tempoh paling kritikal dalam pembentukan organ bayi dan sering menjadi fokus utama kebimbangan awam.

Kajian ini melibatkan lebih 500,000 kelahiran hidup dan membandingkan bayi yang terdedah kepada vaksin mRNA dalam trimester pertama dengan bayi yang tidak terdedah. Hasil kajian menunjukkan tiada peningkatan risiko kecacatan kongenital utama secara keseluruhan dalam kumpulan yang menerima vaksin. Kadar kecacatan bayi adalah hampir sama antara kedua-dua kumpulan, dan analisis statistik menunjukkan tiada perbezaan yang signifikan.

Analisis lanjut mengikut sistem organ—termasuk kecacatan jantung, sistem saraf, anggota badan, sistem pencernaan dan lain-lain—juga tidak menunjukkan sebarang peningkatan risiko. Dapatan ini menolak dakwaan bahawa vaksin COVID-19 mRNA bersifat teratogenik atau menyebabkan kecacatan bayi apabila diberikan pada awal kehamilan.

VAKSIN COVID-19 MENURUNKAN KADAR KELAHIRAN PRA-MATANG DAN MELINDUNGI IBU HAMIL 

Satu kajian besar lain yang diterbitkan dalam JAMA bertajuk The Role of Vaccination in Maternal and Perinatal Outcomes Associated With COVID-19 in Pregnancy menilai kesan vaksinasi COVID-19 terhadap ibu hamil yang dijangkiti SARS-CoV-2. Kajian ini menggunakan data dunia sebenar daripada pangkalan data CANCOVID-Preg di Kanada dan melibatkan hampir 20,000 individu hamil yang dijangkiti COVID-19 semasa tempoh dominasi varian Delta dan Omicron.

Kajian ini mendapati bahawa ibu hamil yang telah divaksin mempunyai:

1. Risiko hospitalisasi akibat COVID-19 yang jauh lebih rendah,

2. Risiko kemasukan ke unit rawatan rapi (ICU) yang sangat berkurangan, dan

3. Risiko kelahiran pra-matang yang lebih rendah berbanding ibu hamil yang tidak divaksin.

Pengurangan risiko ini konsisten merentasi tempoh varian Delta dan Omicron, menunjukkan bahawa manfaat vaksinasi bukan sahaja terhad kepada perlindungan terhadap penyakit teruk, tetapi turut memberi kesan positif terhadap hasil kehamilan dan kelahiran. Ini amat penting kerana jangkitan COVID-19 semasa hamil sendiri merupakan faktor risiko yang diketahui untuk kelahiran pra-matang.

Kedua2 kajian besar ini adalah peer reviewed.

KESIMPULAN 

Gabungan dapatan daripada dua kajian berskala besar ini memberikan kesimpulan yang jelas dan konsisten iaitu setakat ini Vaksin COVID-19 adalah selamat digunakan semasa kehamilan, tidak meningkatkan risiko kecacatan bayi, serta mengurangkan risiko kelahiran pra-matang dan komplikasi serius akibat COVID-19 dalam kalangan ibu hamil.

Dalam konteks kesihatan awam dan penjagaan antenatal, bukti ini menyokong saranan profesional perubatan dan badan kesihatan antarabangsa untuk menggalakkan vaksinasi COVID-19 dalam kalangan ibu hamil. Keputusan berasaskan data dunia sebenar ini juga penting bagi menepis maklumat salah dan membantu ibu hamil membuat keputusan yang tepat, berasaskan sains, demi keselamatan diri dan bayi mereka.

Dato' Dr. Rushdan Noor

27hb Dis 2025


RUJUKAN

1. Bernard C, Duchemin T, Marty L, et al.

First-Trimester mRNA COVID-19 Vaccination and Risk of Major Congenital Anomalies.

JAMA Network Open. 2025;8(10):e2538039.doi:10.1001/jamanetworkopen.2025.38039

Pautan: https://jamanetwork.com/journals/jamanetworkopen/fullarticle/2840133


2. The CANCOVID-Preg Investigators.

The Role of Vaccination in Maternal and Perinatal Outcomes Associated With COVID-19 in Pregnancy.JAMA. 2025.doi:10.1001/jama.2025.21001

Pautan abstrak: https://jamanetwork.com/journals/jama/article-abstract/2842835




INTEGRITI, BUKAN IDENTITI : ARAH DAN HARAPAN BARU UNTUK MALAYSIA


INTEGRITI, BUKAN IDENTITI : ARAH DAN HARAPAN BAHARU UNTUK MALAYSIA


Dalam wacana politik, kebajikan rakyat kerap ditafsir dan dibahaskan melalui kerangka perkauman. Seolah-olah latar belakang etnik seseorang pemegang kuasa menjadi penentu mutlak kepada nasib komuniti yang diwakilinya. Naratif ini mudah difahami, mudah dijual, dan sering membangkitkan emosi. Namun persoalannya, adakah ia benar-benar mencerminkan realiti?

Pengalaman sejarah dan pemerhatian terhadap pentadbiran negara menunjukkan satu perkara yang semakin jelas: identiti tidak menjamin integriti. Kuasa yang dipegang atas nama kaum, agama atau perjuangan tertentu tidak secara automatik melindungi kepentingan rakyat biasa jika tidak disertai dengan nilai amanah dan kebertanggungjawaban.

Hakikatnya, keputusan yang memberi kesan besar kepada kehidupan rakyat seperti pembangunan bandar, pengurusan tanah, pemberian konsesi, atau pengagihan dana sering dibuat dalam lingkungan elit. Apabila tadbir urus lemah, kesannya panjang dan bukan sahaja dirasai oleh satu kaum, tetapi oleh semua lapisan masyarakat. Golongan berpendapatan rendah kehilangan tempat tinggal, peniaga kecil terpinggir, dan jurang kekayaan terus melebar.

Lebih membimbangkan, kegagalan ini kerap ditutup dengan politik ketakutan. Apabila timbul persoalan tentang integriti atau ketelusan, isu perkauman dibangkitkan sebagai pengalih perhatian. Rakyat digambarkan seolah-olah sedang berdepan ancaman identiti, sedangkan masalah sebenar ialah penyalahgunaan kuasa dan kegagalan tadbir urus. Dalam suasana ini, sentimen menggantikan fakta, dan emosi menggantikan penilaian rasional.

Ironinya, rakyat yang paling terkesan sering kali adalah golongan yang kononnya diperjuangkan. Mereka dijadikan simbol dalam ucapan dan slogan, tetapi hasil sebenar perjuangan jarang sampai ke tangan mereka. Kekayaan dan peluang tertumpu di atas, sementara majoriti di bawah terus bergelut dengan kos sara hidup, akses perumahan dan peluang ekonomi yang semakin sempit. Ini bukan isu baru tetapi sudah membarah sekian lama.

Keadaan ini menuntut satu perubahan asas dalam cara kita menilai kepimpinan. Soalan yang perlu ditanya bukan lagi “siapa mereka”, tetapi “apa yang mereka lakukan”. Adakah dasar yang dilaksanakan telus? Adakah manfaatnya boleh diukur dan dirasai oleh rakyat biasa? Adakah keputusan dibuat demi kepentingan awam atau demi jaringan kepentingan tertentu?

Dalam konteks Pilihan Raya Umum akan datang, pendekatan mengundi juga perlu berubah seiring dengan kesedaran ini. Undi tidak seharusnya diberikan secara automatik berdasarkan parti, kaum atau slogan perjuangan semata-mata, tetapi berdasarkan integriti, keupayaan dan rekod setiap calon. 

Pada masa yang sama, realiti sistem politik menuntut pengundi memahami parti yang diwakili calon tersebut kerana dasar, disiplin dan budaya parti tetap mempengaruhi keupayaan seseorang wakil rakyat berfungsi. Pendekatan paling matang ialah memilih calon yang berintegriti dalam parti yang paling hampir dengan prinsip tadbir urus baik, walaupun tiada pilihan yang sempurna. Undi harus dilihat sebagai amanah moral untuk memilih calun yang paling boleh dipertanggungjawabkan, bukan sebagai alat meluahkan emosi atau ketakutan.

Malaysia tidak akan bergerak ke hadapan jika rakyat terus dipaksa memilih antara identiti dan integriti. Negara hanya boleh dibina atas prinsip yang lebih kukuh: integriti, akauntabiliti, dan kemahiran. Pemimpin yang jujur akan melindungi rakyat tanpa mengira kaum, manakala pemimpin yang korup akan merosakkan negara walaupun bercakap atas nama bangsa sendiri.

Akhirnya, kematangan rakyat menjadi faktor penentu. Masyarakat yang berani menyoal kuasa, menuntut ketelusan, dan menilai pemimpin berdasarkan rekod serta hasil, bukan retorik, dan inilah asas kepada demokrasi yang sihat.

Jika Malaysia benar-benar ingin maju, kita mesti berani meninggalkan politik sentimen dan membina masa depan berteraskan prinsip.

Bukan identiti yang menyelamatkan negara, tetapi integriti.


Dato" Dr.Rushdan Noor

28hb Dis 2025



KAJIAN 14 JUTA PESERTA MENDAPATI VAKSIN COVID-19 MEMBERI LEBIH MANFAAT DARIPADA MUDARAT KE ATAS KANAK-KANAK

 




KAJIAN 14 JUTA PESERTA MENDAPATI VAKSIN COVID-19 MEMBERI LEBIH MANFAAT DARIPADA MUDARAT KE ATAS KANAK-KANAK

Perbahasan tentang keselamatan vaksin COVID-19 dalam kalangan kanak-kanak sering dipenuhi emosi, kebimbangan ibu bapa, dan dakwaan yang bercampur antara fakta dan spekulasi. Dalam suasana ini, sains berperanan sebagai penimbang tara — bukan untuk menafikan risiko sepenuhnya, tetapi untuk menilai risiko mana yang lebih besar dan lebih berbahaya dalam jangka panjang.

Satu kajian berskala sangat besar yang melibatkan hampir 14 juta kanak-kanak dan remaja di England telah memberikan gambaran yang lebih jelas. Kajian ini menganalisis rekod kesihatan populasi kanak-kanak sebelum dan selepas jangkitan COVID-19 serta pemberian vaksin mRNA Pfizer-BioNTech, dengan tujuan membandingkan kesan buruk yang mungkin berlaku akibat kedua-duanya.

Hasil kajian menunjukkan satu pola yang konsisten: jangkitan COVID-19 dikaitkan dengan komplikasi yang lebih kerap, lebih serius, dan lebih berpanjangan berbanding vaksinasi. Ini termasuk komplikasi radang dan vaskular yang melibatkan jantung dan sistem imun. Walaupun kedua-dua jangkitan dan vaksin membawa risiko jarang seperti myocarditis dan pericarditis, kadar kejadian adalah lebih daripada dua kali ganda selepas jangkitan COVID-19, dan tempoh pemulihan juga lebih lama.

Sebaliknya, kes-kes myocarditis selepas vaksin didapati sangat jarang, lazimnya ringan, dan kebanyakannya pulih sepenuhnya dalam tempoh singkat dengan rawatan minimum. Ini menolak naratif bahawa vaksin menyebabkan kerosakan jantung yang serius dan berpanjangan dalam kalangan kanak-kanak secara umum.

Kajian ini juga meneliti penyakit radang serius yang khusus berlaku pada kanak-kanak selepas jangkitan COVID-19, seperti PIMS (Paediatric Inflammatory Multisystem Syndrome) dan penyakit seakan Kawasaki. Dapatan jelas menunjukkan peningkatan ketara kes-kes ini selepas jangkitan, tetapi tiada peningkatan selepas vaksinasi. Ini penting kerana PIMS merupakan keadaan yang boleh mengancam nyawa dan memerlukan rawatan rapi.

Para penyelidik dari beberapa universiti terkemuka menegaskan bahawa dapatan ini memberikan kejelasan yang sangat diperlukan oleh ibu bapa dan pengamal kesihatan. Ya, vaksin — seperti semua intervensi perubatan — boleh mempunyai kesan sampingan. Namun, berdasarkan data dunia sebenar berskala besar, risiko vaksin adalah jauh lebih kecil dan jauh kurang serius berbanding risiko dijangkiti virus itu sendiri.

Dalam konteks varian COVID-19 yang terus beredar dan jangkitan yang sukar dielakkan sepenuhnya, kajian ini mengukuhkan prinsip asas kesihatan awam: pencegahan yang berkesan hampir sentiasa membawa risiko yang lebih rendah daripada penyakit yang cuba dicegah. Vaksinasi bukanlah pilihan tanpa risiko, tetapi ia adalah pilihan dengan risiko paling rendah dan manfaat paling besar.

Kesimpulannya, kajian ini bukan sekadar menyokong vaksin COVID-19, tetapi meletakkan perbahasan ini pada landasan yang betul — landasan data, bukti, dan perbandingan risiko yang adil. Dalam membuat keputusan kesihatan untuk kanak-kanak, soalan yang paling jujur bukanlah “adakah vaksin ada risiko?” tetapi “risiko yang mana lebih besar jika kita tidak melindungi mereka?”

Dato' Dr.Rushdan Noor

26hb Dis 2025


Maklumat lebih terperinci tentang kajian ini adalah seperti di bawah

RINGKASAN KAJIAN

Risiko Penyakit Vaskular (Saluran Darah) & Keradangan Selepas Jangkitan COVID-19 vs Vaksin pada Kanak-Kanak & Remaja

SUMBER KAJIAN:

Sampri A et al. The Lancet Child & Adolescent Health, 2025

Kajian kohort populasi kebangsaan England (≈14 juta kanak-kanak & remaja) 

METODOLOGI KAJIAN 

Kajian kohort retrospektif berskala nasional

Data rekod kesihatan elektronik England (2020–2022)

Bandingkan risiko komplikasi selepas jangkitan COVID-19 dengan selepas vaksin mRNA Pfizer (BNT162b2)

TUMPUAN UTAMA KAJIAN 

Risiko keadaan2 berikut

1. Myokarditis / perikarditis (radang otot jantung dan selaput jantung)

2. Pembekuan darah (VTE & ATE) (Venous Thromboembolism & Arterial Thromboembolism)

3. Thrombocytopenia (kekurangan sel pembeku)

4. Penyakit keradangan termasuk MIS-C / PIMS (Multisystem Inflammatory Syndrome in Children/Paediatric Inflammatory Multisystem Syndrome

HASIL KAJIAN

1. Selepas jangkitan COVID-19

a. Risiko penyakit saluran darah & keradangan meningkat ketara, terutamanya dalam minggu pertama

b. Risiko kekal tinggi sehingga >12 bulan bagi Venous thromboembolism (VTE), Thrombocytopenia dan Myokarditis / perikarditis

c. Risiko keradangan sistemik (termasuk MIS-C) adalah paling tinggi

d. Risiko mutlak (6 bulan) bagi umur 5–18 tahun:

     Myokarditis/perikarditis: 2.24 kes / 100,000

     Keradangan sistemik: 17.43 kes / 100,000

2. Selepas suntikan vaksin mRNA COVID-19

a. Peningkatan risiko myokarditis/perikarditis hanya sementara

b. Terhad kepada 4 minggu pertama selepas vaksin

c. Tiada peningkatan risiko jangka panjang

d. Tiada peningkatan konsisten bagi pembekuan darah, Thrombocytopenia dan Penyakit keradangan

e. Risiko mutlak (6 bulan) myokarditis/perikarditis adalah 0.85 kes / 100,000 (lebih rendah daripada jangkitan)

PERBANDINGAN PENTING

1. Risiko myokarditis akibat jangkitan COVID-19 lebih tinggi dari risiko akibat vaksin

2. Kesan jangkitan Covid-19 lebih kerap, lebih teruk dan lebih berpanjangan dari vaksin

3. Kesan sampingan vaksin jarang, ringan dan bersifat sementara

KESIMPULAN

Vaksin COVID-19 mRNA pada kanak-kanak dan remaja jauh lebih selamat berbanding risiko jangkitan COVID-19, serta menyokong polisi kesihatan awam untuk vaksinasi golongan ini.



Wednesday, 24 December 2025

BAGAIMANA SAINS MENENTUKAN SESUATU FAKTOR SEBAGAI PENYEBAB KANSER

 


Dalam perbincangan awam, kita sering berdepan dengan dakwaan bahawa sesuatu bahan atau pendedahan terhadap faktor tertentu menyebabkan kanser. Saya ambil contoh katakan bahan itu dinamakan Faktor X. Tiba2 ramai yang menuduh Faktor X menyebabkan kanser. Hujah ini biasanya dibina atas pemerhatian mudah: selepas terdedah kepada Faktor X, seseorang disahkan menghidap kanser. Maka Faktor X dianggap sebagai punca penyakit kanser. 

Ataupun selepas berlaku sesuatu peristiwa X, diikuti dengan bilangan kes kanser yang tinggi, maka kita tuduh X punca penyakit kanser. Namun dalam sains perubatan, cara berfikir seperti ini adalah tidak betul dan terlalu simplistik.

Faktor X ini mungkin rokok, alkohol, sebatian2 kimia tertentu, radiasi, ubat, makanan, vaksin dan apa sahaja. 

Hakikat penting yang perlu difahami ialah dua perkara yang berlaku bersama tidak semestinya mempunyai hubungan sebab dan akibat. Fenomena ini dikenali sebagai perbezaan antara correlation (korelasi) dan causation (sebab-akibat). Sudah banyak kali saya ulang perkataan ini semoga lekat dalam otak pembaca semua.

Untuk melangkah daripada korelasi kepada kesimpulan bahawa Faktor X benar-benar menyebabkan kanser, sains memerlukan bukti yang jauh lebih kukuh dan berlapis.

KANSER BUKAN PENYAKIT SERTA MERTA

Kanser lazimnya berkembang secara perlahan, mengambil masa bertahun-tahun atau berdekad. Melalui perubahan dari sel normal kepada sel pra-kanser dan sel kanser. Ia dipengaruhi oleh pelbagai faktor seperti umur, genetik, tabiat berisiko, pemakanan, obesiti, jangkitan kronik, pendedahan bahan kimia, serta akses kepada saringan dan rawatan awal. Oleh itu, dalam populasi besar, kes kanser akan terus berlaku setiap hari, tanpa mengira kewujudan Faktor X.

Inilah sebabnya mengapa urutan masa semata-mata (“lepas terdedah, kemudian sakit”) tidak boleh dijadikan bukti punca. Tanpa analisis yang teliti, kita mudah terperangkap dalam kesilapan logik.

METODOLOGI KAJIAN ATAU KAEDAH BAGAIMANA SAINS MENGUJI DAN MENENTUKAN PUNCA PENYAKIT 

Secara teori, kajian terbaik untuk membuktikan hubungan sebab-akibat ialah kajian prospektif rawak terkawal (randomized controlled trial, RCT). Dalam kajian sebegini, peserta diagihkan secara rawak kepada kumpulan terdedah dan tidak terdedah kepada Faktor X, kemudian mereka diikuti untuk melihat perbezaan kejadian kanser. Kajian akan mengambil masa yang panjang kerana proses kejadian kanser itu kompleks dan panjang.

Namun dalam realiti, RCT hampir mustahil dan tidak beretika untuk mengkaji punca kanser. Penyelidik tidak boleh dengan sengaja mendedahkan manusia kepada sesuatu yang disyaki berbahaya dan menunggu bertahun-tahun sehingga kanser mungkin berlaku. Tambahan pula, tempoh menunggu/laten kanser yang panjang menjadikan RCT terlalu mahal, terlalu lama, dan tidak praktikal.

Oleh itu, kajian kohort prospektif berskala besar menjadi pilihan paling realistik dan beretika. Dalam kajian ini, penyelidik menjejak kumpulan manusia yang secara semula jadi terdedah kepada Faktor X dan membandingkan mereka dengan kumpulan yang tidak terdedah, sambil mengawal sebanyak mungkin faktor lain yang boleh mengelirukan keputusan.

Apabila kajian kohort ini cukup besar, direka dengan baik, dan diulang di pelbagai tempat, ia boleh memberikan bukti yang hampir menyamai kekuatan RCT dalam konteks kesihatan awam.

BUKTI PENYEBAB KANSER  BELUM CUKUP DENGAN SATU KAJIAN TETAPI BANYAK DAN MELALUI PROSES YANG BERLAPIS

Namun metodologi yang baik sahaja masih tidak mencukupi. Untuk menyimpulkan bahawa Faktor X benar-benar penyebab kanser, penyelidik perlu memenuhi beberapa prasyarat saintifik secara serentak.

1. Risiko kanser mesti meningkat secara jelas

Individu yang terdedah kepada Faktor X perlu menunjukkan kadar kanser yang ketara lebih tinggi berbanding individu yang tidak terdedah, selepas faktor seperti umur, merokok, obesiti dan status kesihatan diambil kira. Jika perbezaan ini kecil atau tidak konsisten, dakwaan sebab-akibat menjadi lemah.

2. Dapatan mesti konsisten merentas kajian dan populasi

Hubungan antara Faktor X dan kanser perlu muncul berulang kali dalam kajian berlainan, dijalankan oleh pasukan berbeza, di negara dan populasi yang berlainan. Satu kajian sahaja tidak mencukupi untuk membuat kesimpulan besar.

3. Wujud hubungan dos–respon

Risiko kanser sepatutnya meningkat selari dengan dos atau tempoh pendedahan kepada Faktor X. Jika individu dengan pendedahan tinggi tidak menunjukkan risiko lebih tinggi berbanding pendedahan rendah, hubungan sebab-akibat akan diragui.

4. Urutan masa yang munasabah

Pendedahan kepada Faktor X mesti berlaku sebelum kanser terbentuk, dengan jarak masa yang selari dengan biologi kanser. Kanser yang muncul terlalu cepat selepas pendedahan hampir pasti telah wujud lebih awal, jadi hubungannya bukan sebab-akibat.

5. Mekanisme biologi yang boleh diterangkan

Penyelidik perlu dapat menjelaskan bagaimana Faktor X menyebabkan kerosakan sel, bagaimana kerosakan itu menjadi kekal, dan bagaimana ia akhirnya mencetuskan pertumbuhan dan perebakkan kanser. Tanpa mekanisma biologi yang munasabah, hubungan statistik sahaja tidak mencukupi.

6. Selari dengan pemerhatian pada peringkat populasi

Jika Faktor X digunakan atau dialami secara meluas oleh jutaan manusia, kesannya sepatutnya dapat dilihat pada graf insiden kanser populasi. Ketiadaan lonjakan atau perubahan corak yang jelas melemahkan dakwaan bahawa Faktor X adalah penyebab utama.

Melalui pra-syarat2 inilah IARC ("International Agency For Research On Cancer) mengkategorikan bahan2 ataupun faktor2 penyebab kanser (karsinogen) kepada beberapa kategori atau kumpulan yang membezakan satu sama lain dari segi kekuatan hubungan antara sebab dan akibat. Senarai bahan2 karsinogen ini dan kumpulan2  mereka tercatit di dalam Monograph IARC. Boleh rujuk tulisan saya yang lalu tentang tajuk ini.

MENGAPA TANGGAPAN ATAU PERSEPSI "KANSER MENINGKAT" SERING BERLAKU ? 

Dalam dunia sebenar, kadangkala ujud keadaan di mana data2 menunjukkan seolah2 ada peningkatan kadar kanser yang berlaku seiring atau selepas sesuatu peristiwa, sedangkan hakikatnya tidak berlaku peningkatan kadar kanser dalam erti yang sebenar. Jadi ujud persepsi peningkatan kanser yang tidak betul. Terdapat beberapa kemungkinan, di antaranya adalah: 

1. Kelewatan dan ‘catch-up diagnosis’ apabila sistem kesihatan terganggu. Contohnya berlaku peristiwa yang menghalang pergerakan manusia hingga mereka tidak melakukan ujian pengesahan ataupun melengah2kan ujian tersebut. Salah satu contoh peristiwa ini adalah wabak Covid-19. Jadi kes2 akan tertangguh dan dimasukkan ke dalam data kemudian.

2. Bias pengesanan, di mana pemeriksaan lebih kerap akan menemukan penyakit sedia ada. Terdapat keadaan di mana orang ramai lebih perihatin atau bersungguh2 tentang penjagaan kesihatan. Mereka lebih peka terhadap perubahan diri sendiri dan lebih kerap melakukan pemeriksaan dan ujian saringan. Mungkin mereka ini dari golongan terpelajar dan berkemampuan, ataupun akses kepada kemudahan itu mudah. Begitu juga sebaliknya golongan yang kurang perihatin atau sukar mendapatkan khidmat saringan dan pengesanan.

3. Cerita individu dan anekdot (testimoni) yang mudah viral tetapi tidak mewakili populasi. Cerita kecil diperbesarkan oleh kuasa media sosial hingga ianya menjadi seolah2 satu kebenaran yang terpakai untuk populasi umum.

4. Salah tafsir kajian pemerhatian, khususnya apabila batasan ("limitation") kajian tidak difahami. Mengambil satu dua kajian kecil dan salah tafsir, kemudian dibesarkan melalui kuasa viral media sosial.

Kesemua ini boleh mencipta ilusi atau persepsi peningkatan kanser walaupun kadar sebenar atau risiko sebenar tidak berubah.

KESIMPULAN

Dalam sains perubatan, sesuatu faktor tidak boleh dilabel sebagai penyebab kanser hanya kerana ia wujud seiring dengan penyakit tersebut. Untuk membuat kesimpulan sebab-akibat, penyelidik perlu menggabungkan metodologi kajian yang kukuh dengan bukti berlapis: peningkatan risiko yang nyata, konsistensi yang merentas kajian, hubungan dos–respon, urutan masa yang munasabah, mekanisma biologi yang jelas, dan sokongan data populasi.

Tanpa memenuhi kesemua prasyarat ini, apa yang dilihat hanyalah korelasi, bukan sebab. Memahami perbezaan ini penting agar masyarakat tidak mudah terpengaruh dengan dakwaan palsu dan mengelirukan untuk tujuan sensasi golongan yang tidak bertanggungjawab.


Dato' Dr.Rushdan Noor

25hb Dis 2025

Friday, 19 December 2025

MENJUAL PRODUK OVERCLAIM: ANCAMAN KESIHATAN AWAM



Salah satu perkara yang menyedihkan dalam masyarakat hari ini ialah sikap memandang ringan terhadap lambakan produk kesihatan overclaim yang dipasarkan secara agresif. 

Apabila isu ini ditegur atau dibangkitkan, akan muncul hujah-hujah berbunyi  “biarlah dia nak cari makan,” “Jangan rosakkan periuk nasi orang,” “Berniaga pun salah ke?”  dan macam2 lagi. Malangnya, hujah ini meletakkan kepentingan ekonomi jangka pendek di atas keselamatan dan kesihatan masyarakat secara keseluruhan.

Masalah utama bukan pada berniaga, tetapi pada cara berniaga. Menjual produk dengan dakwaan palsu atau menjanjikan rawatan penyakit serius bukan sekadar isu etika perniagaan,  ia adalah isu keselamatan awam. 

Apabila seseorang percaya produk overclaim boleh “rawat kencing manis”, “hapuskan kanser”, atau “gantikan ubat doktor”, mereka mungkin menangguhkan atau berhenti rawatan sebenar. Kesan ini bukan teori; ia benar-benar berlaku, dan mangsa selalunya orang tua, pesakit kronik, atau mereka yang terdesak mencari harapan.

Analogi mudahnya begini:

Jika seseorang menjual helmet palsu yang kelihatan seperti helmet keselamatan, adakah kita akan berkata, “Biarlah, itu sumber pendapatan dia, dia nak cari makan” apabila pengguna maut dalam kemalangan? Atau jika ada yang menjual susu bayi tiruan dengan dakwaan nutrisi palsu, adakah kita patut berdiam diri atas alasan “jangan sabotaj perniagaan bangsa sendiri”? Dalam semua kes ini, kita faham satu perkara: bila nyawa terancam, hujah ‘cari makan’ tidak lagi relevan.

Produk overclaim juga boleh diumpamakan seperti ubat tanpa label dos. Kita tidak tahu apa kandungannya, tidak tahu keberkesanannya, dan tidak tahu kesan jangka panjangnya. Sudah banyak kes campur palsu dan kesan sampingan yang serius dikesan. Membiarkan ia berleluasa sama seperti membenarkan orang ramai memandu di jalan raya tanpa brek yang diuji, mungkin ada yang selamat, tetapi risikonya ditanggung oleh seluruh masyarakat.

Lebih menyedihkan, mangsa produk overclaim jarang orang asing. Selalunya ia adalah ibu bapa kita, adik-beradik kita, saudara mara kita sendiri. Mereka mudah percaya kerana bahasa pemasaran yang licik, testimoni beremosi, dan manipulasi agama atau sentimen bangsa. Apabila kesan buruk berlaku, peniaga mungkin sudah menghilang, tetapi beban rawatan dan penderitaan ditanggung oleh keluarga dan sistem kesihatan awam.

Membanteras produk overclaim bukan bermaksud mematikan punca rezeki, tetapi melindungi masyarakat daripada penipuan yang berpotensi memudaratkan nyawa. 

Perniagaan yang beretika tidak bergantung kepada penipuan, ketakutan, atau harapan palsu. Jika sesuatu produk benar-benar berkesan dan selamat, ia tidak perlu bersandar kepada dakwaan melampau dan serangan terhadap sains atau perubatan moden.

Akhirnya, kita perlu bertanya soalan asas:

Adakah kita mahu hidup dalam masyarakat yang mempertahankan “periuk nasi” walaupun ia mengandungi racun? Atau masyarakat yang berani berkata, rezeki yang baik tidak datang dengan memudaratkan orang lain? Kesihatan awam bukan musuh perniagaan tetapi musuh kepada penipuan yang menyamar sebagai harapan.


Dato' Dr.Rushdan Noor

19hb Dis 2025

Friday, 12 December 2025

FRUKTOSA BAHAYA JADI BUAH PUN BAHAYA ? : MEMBETULKAN SALAH FAHAM

 


Jangan hairan bila ternampak video seseorang yang mendakwa makan buah2an itu tidak sihat dan memudaratkan kesihatan. Sebenarnya dakwaan ini sudah tersebar luas dan ramai yang percaya. Dakwaan ini sering disebarkan oleh golongan pseudosains iaitu kononnya buah-buahan “berbahaya” kerana mengandungi fruktosa, lalu memakan buah ini penyebab obesiti, hati berlemak, gout dan kerintangan insulin.

Ini adalah contoh klasik bagaimana satu bahan dalam makanan diambil di luar konteks dan dijadikan “penjahat utama”, sedangkan sains pemakanan tidak menilai makanan berdasarkan satu komponen semata-mata. Pertubuhan kesihatan dan pakar pemakanan sendiri menegaskan bahawa yang perlu dihadkan ialah gula tambahan atau “free sugars”, seperti gula pasir dan minuman manis, bukan gula semula jadi yang terdapat di dalam buah segar.

Apabila dinilai melalui kajian manusia sebenar, dakwaan “buah menyebabkan obesiti dan lain2” bertentangan dengan bukti. Beberapa meta-analisis menunjukkan penemuan yang berbeza. 

Kajian prospektif besar contohnya oleh Du H et al (setengah juta peserta) pula mendapati individu yang mengambil buah setiap hari mempunyai risiko lebih rendah mendapat diabetes, dan bagi pesakit diabetes, pengambilan buah dikaitkan dengan kematian lebih rendah serta kurang komplikasi saluran darah. Kajian oleh Devirgiliis C et al dan Onni AT et al pula mendapati amalan mengambil buah dan sayur menurunkan risiko penyakit kronik (NCDs) dan menurunkan kadar kematian. Ini bukti dunia nyata yang bertentangan dengan naratif bahawa buah adalah penyebab obesiti dan penyakit metabolik.

Sebaliknya, kesan buruk fruktosa dalam kajian metabolik biasanya berlaku apabila ia diambil dalam bentuk gula tambahan dalam minuman bergula, kuih muih, tanpa serat, dalam dos tinggi dan sebagai lebihan kalori. Ini adalah  situasi yang tidak sama dengan makan 1–3 hidangan buah sehari yang kaya air, serat, vitamin, mineral dan fitokimia. Buah juga membuat kita lebih cepat rasa kenyang, menyumbang kepada pengambilan kalori yang lebih rendah. Hatta, mengambil fruktosa (dari sukrosa) dalam bentuk gula tambahan sekali pun, tidak memudaratkan jika kuantitinya di bawah had yang ditetapkan. 

Kalau logik ‘ada bahan beracun dalam makanan maka makanan itu racun’ digunakan, maka tiada makanan selamat. Biji epal, ubi kayu dan badam ada sianida, kentang ada solanin, bayam ada oxalate dan kekacang ada lectin. Ianya selamat sebab kuantitinya kecil dan ujudnya nutrien dan fitokimia yang mengimbangi.

Fenomena menyalahkan satu bahan dalam makanan, sama ada fruktosa, gluten, lektin, atau omega-6, bukan perkara baharu. Ia sering disebarkan oleh salah faham, keghairahan mensensasikan berita, atau kepentingan komersial seperti menjual suplemen, program detoks dan diet ekstrem. 

Pendekatan sebegini mudah tular (boleh dapat banyak "like" dan "share")  kerana ia kelihatan “kontra-arus” dan memberikan persepsi bahawa wujud “pengetahuan rahsia” yang tidak diketahui profesional kesihatan. Namun, sains yang sebenar menuntut kita melihat keseluruhan matriks makanan, bukan serpihan komponen yang dipilih secara selektif dan penilaian baik buruk ditentukan oleh dapatan dari kajian klinikal.

Kesimpulannya, buah bukan musuh kesihatan. Yang perlu dikurangkan ialah gula tambahan terutamanya minuman manis, kuih muih dll,  bukan buah-buahan segar. Pola pemakanan keseluruhan jauh lebih penting daripada demonisasi satu bahan yang diambil di luar konteks. 

Nota: Bila berkata buah itu baik untuk kesihatan, bukan bermaksud diambil secara berlebihan. Di samping fruktosa, buah ada glukosa dan sukrosa. Nisbah kandungan glukosa dan serat menentukan indek glisemik. Terdapat buah yang GI agak tinggi dari yang lain. Boleh ambil setiap hari tetapi dalam kuantiti yang berpatutan, lebih2 lagi yang ada diabetes.

Dato' Dr.Rushdan Noor

12hb Dis 2025


RUJUKAN

1. World Health Organization. Guideline: Sugars Intake for Adults and Children. Geneva: WHO; 2015. ISBN: 9789241549028.

2. World Health Organization. Healthy diet. Fact sheet; updated 2023.

3. Guyenet SJ. Impact of Whole, Fresh Fruit Consumption on Energy Intake and Adiposity: A Systematic Review. Frontiers in Nutrition. 2019;6:66. doi:10.3389/fnut.2019.00066.

4. Schwingshackl L, Hoffmann G, et al. Fruit and Vegetable Consumption and Changes in Anthropometric Variables in Adult Populations: A Systematic Review and Meta-Analysis of Prospective Cohort Studies. PLoS One. 2015;10(10):e0140846. doi:10.1371/journal.pone.0140846.


5. Du H, et al. Fresh Fruit Consumption in Relation to Incident Diabetes and Diabetic Vascular Complications: A 7-Year Prospective Study of 0.5 Million Chinese Adults. PLoS Medicine. 2017;14(4):e1002279. doi:10.1371/journal.pmed.1002279.


6. Onni AT, et al.Umbrella Review of Systematic Reviews and Meta-analyses on Consumption of Different Food Groups and Risk of All-cause Mortality. Adv Nutr. 2025 Apr;16(4):100393. doi: 10.1016/j.advnut.2025.100393. Epub 2025 Feb 15. PMID: 39956388; PMCID: PMC11931306.

7. Semnani-Azad Z, et al. Association of Major Food Sources of Fructose-Containing Sugars With Incident Metabolic Syndrome: A Systematic Review and Meta-analysis. JAMA Network Open. 2020;3(7):e209993. doi:10.1001/jamanetworkopen.2020.9993.

8. Li X, et al. Fructose Consumption From Different Food Sources and Cardiometabolic Risk Biomarkers: A Cross-sectional Study. American Journal of Clinical Nutrition. 2023. doi:10.1016/j.ajcnut.2023.xxx.

9. Stanhope KL. Adverse Metabolic Effects of Dietary Fructose. Current Opinion in Lipidology. 2013;24(3):198–206. doi:10.1097/MOL.0b013e3283613bca.

10. Lee D, et al. Important Food Sources of Fructose-Containing Sugars and Non-Alcoholic Fatty Liver Disease: A Systematic Review and Meta-Analysis of Controlled Trials. Nutrients. 2022;14(14):2846. doi:10.3390/nu14142846.

11. Devirgiliis C, et al. Effect of Fruit and Vegetable Consumption on Human Health: An Umbrella Review of Systematic Reviews and Meta-Analyses. Foods. 2024;13(19):3149. doi:10.3390/foods13193149.

12. Devirgiliis C et al.Effect of Fruit and Vegetable Consumption on Human Health: An Update of the Literature. Foods 2024, 13(19), 3149; https://doi.org/10.3390/foods13193149

Friday, 5 December 2025

FENOMENA PENGAMAL PERUBATAN HIBRID: CABARAN BARU KESIHATAN AWAM





Di media sosial, kita semakin biasa melihat medical influencer. Ada yang benar-benar membawa ilmu bermanfaat, tetapi sebahagian lagi menyebarkan maklumat kesihatan yang mengelirukan. Lebih sukar lagi apabila ada yang kelihatan “profesional”, tetapi isi kandungan tidak lagi berpaksikan bukti klinikal.
SIAPA PENGAMAL PERUBATAN HIBRID
Selain perubatan moden dan perubatan alternatif, muncul satu kelompok di tengah-tengah, saya gelar mereka pengamal perubatan hibrid. Mereka berkelulusan perubatan, malah ada yang pakar, tetapi gaya penyampaian semakin menyerupai pengamal alternatif.
Saya tidak menganggap mereka pengamal perubatan integratif kerana pada saya, perubatan integratif adalah bidang perubatan moden. Perubatan integratif menjadikan perubatan moden sebagai teraju utama dan kaedah alternatif sebagai komplimentari. Pengamal perubatan hibrid ini bukan kategori ini sebab mereka lebih condong kepada perubatan alternatif.
Fenomena ini sebenarnya bermula di luar negara. Bertahun-tahun masyarakat dibentuk oleh pempengaruh pseudo-sains yang mengulang kata “holistik”, “natural” dan “healing”. Latar belakang mereka bukan perubatan, ada dari sains tulen, homeopati, chiropraktik atau "health instructor" tetapi mereka berjaya mengubah pemahaman kesihatan masyarakat melalui naratif yang mudah hadam dan bermain dengan emosi. Elemen anti-perubatan moden dan antivaksin menyusup masuk ke dalam naratif mereka.
Istilah seperti “detox”, “root cause”, “leaky gut”, “reset hormon/usus”, “badan berasid” dan lain-lain mula dicampur-aduk dengan konsep perubatan moden, walhal banyak istilah ini tidak wujud dalam ICD, CPG atau kurikulum perubatan. Semua ini untuk mengujudkan identiti mereka sendiri yang berbeza dengan bidang perubatan moden. Prinsip "evidence based medicine" sudah ditukar kepada "Testimony based medicine".
MENGAPA MEREKA LEBIH RAMAI PEMINAT DAN MENARIK MASUK DOKTOR PERUBATAN
Konten berasaskan bukti saintifik jarang tular. Sebaliknya, gaya “wellness” lebih mudah mendapat perhatian dan pulangan kewangan. Kek dari industri "wellness" ini jauh lebih besar. Tentulah ini akan menarik perhatian sebahagian doktor perubatan yang sedang bergelut dengan masalah kekurangan pelanggan di klinik mereka. Magnet dari golongan ini tentu lebih kuat ke atas masyarakat kerana ada gelaran Dr.
Hatta, di luar negara, ada tokoh2 perubatan hibrid dan antivaksin yang paling berpengaruh pun asalnya bekas doktor perubatan dan pakar perubatan (pakar jantung, pakar kanak2, pakar perubatan kecemasan dan lain2), profil yang kelihatan meyakinkan tetapi menyebarkan dakwaan yang tidak selari dengan konsep EBM ("Evidence based Medicine"). Sebahagian dari mereka sudah ditarik lesen amalan perubatan moden.
PAKAR SEBENAR SENYAP, KURANG POPULAR
Pakar berautoriti yang lebih berwibawa biasanya sibuk dengan tugas klinikal dan penyelidikan. Mereka tidak ada masa ataupun berminat untuk masuk ke dunia media sosial sebagai influencer. Akibatnya, suara yang paling popular datang daripada mereka yang kurang kelayakan tetapi pandai bercerita.
Bila masyarakat awam mula menilai siapa paling viral berbanding apa bukti yang dibentangkan, maka istilah seperti “detox”, “reset hormon” dan “leaky gut” menjadi lebih meyakinkan daripada penjelasan fisiologi sebenar. Mereka mudah bayangkan komputer yang diserang virus dan perlunya formatting dan resetting. Bunyi perkataan "detox" pula lebih meyakinkan. Reset usus dan rawat usus bocor, bagi mereka lebih mudah difahami.
RISIKO KEPADA KESIHATAN AWAM
Lebih membimbangkan, pengaruh pengamal perubatan hibrid ini telah membawa ramai pesakit meninggalkan rawatan yang sahih. Malahan, ada yang merendah2kan pakar perubatan moden dan mendakwa kaedah mereka lebih tepat, pakar di hospital sudah ketinggalan zaman dan merawat dengan cara yang salah, kata mereka.
Pesakit diabetes diarahkan berhenti ubat dan hanya mengikut diet ekstrem dan ambil suplemen; pesakit darah tinggi diganti ubat dengan “reset hormon”; pesakit gout diminta menghentikan allopurinol dan beralih kepada “detox”; malah pesakit kanser ditawarkan ubat herba, air, jus anti-kanser, terapi metabolik atau suplemen mahal. Statin yang disyorkan oleh pakar jantung digantikan dengan suplemen dan minyak.
Keputusan yang kelihatan “natural” ini sebenarnya berbahaya, menyebabkan penyakit menjadi lebih teruk dan peluang untuk dipulihkan terjejas.
Jika trend ini berterusan, Malaysia boleh mengikut jejak Amerika Syarikat di mana industri “wellness” dan tokoh pseudosains menjadi kuasa besar yang mampu mempengaruhi masyarakat, ahli politik, malah dasar kesihatan. Di antara pemain utama industri ini adalah pangamal perubatan hibrid ini yang tarikan mereka lebih kuat kerana ada gelaran Dr.
Akhirnya, pakar sebenar pula dituduh “pro-big pharma”, “ketinggalan zaman”, atau “tidak faham punca penyakit”. Ini boleh merosakkan integriti perubatan moden dan menjejaskan keselamatan masyarakat.
APAKAH JALAN KE HADAPAN
Masyarakat perlu celik bukti, bukan celik populariti.
Pihak berkuasa wajar mewujudkan garis panduan jelas tentang siapa yang layak memberi nasihat perubatan.
Undang-undang untuk mengawal penyebaran maklumat kesihatan palsu perlu diperkukuh demi melindungi rakyat.
Masukkan elemen pseudo-sains & pseudo-perubatan dalam silibus pendidikan supaya pelajar sejak awal dapat mengenal pasti dakwaan yang tidak berasaskan bukti dan memahami bagaimana manipulasi fakta boleh berlaku. Pendidikan awal ini akan membina generasi yang lebih berfikir kritikal.
Autoriti seperti MMC perlu lebih tegas termasuk menggubal peraturan dan menguatkuasakan tindakan ke atas doktor yang menyeleweng dan menggunakan kelayakan perubatan untuk mempromosikan rawatan tidak berasas. Pengawasan profesional yang kuat adalah benteng penting dalam menjaga integriti profesion perubatan.
Kesihatan awam tidak boleh ditentukan oleh suara paling lantang, tetapi oleh sains, etika dan profesionalisma.

"Pengamal perubatan hybrid, umpama sesumpah berstetoskop, yang warnanya berubah mengikut platform dan audiens. Di klinik berbahasa saintifik, di media sosial berbahasa pseudosaintifik".

Dato' Dr. Rushdan Noor
6 Disember 2025

DIET KETOGENIK BUKAN UNTUK SEMUA ORANG

 


Diet ketogenik (keto) ialah corak pemakanan yang sangat rendah karbohidrat, biasanya kurang daripada 50 gram sehari tinggi lemak, dan sederhana protein. 

Apabila karbohidrat dikurangkan dengan ketara, tubuh kehilangan sumber glukosa yang biasa digunakan sebagai tenaga. Untuk mengekalkan fungsi fisiologi, badan menghasilkan keton melalui proses ketogenesis, satu keadaan metabolik yang dipanggil ketosis. Walaupun diet keto sering dipromosikan sebagai kaedah penurunan berat badan yang cepat dan meningkatkan tenaga, banyak dakwaan yang tersebar dalam media sosial tidak tepat, terlalu disederhanakan, atau bertentangan dengan pengetahuan perubatan moden.

BAGAIMANA DIET KETO MENURUNKAN BERAT BADAN

Terdapat salah tanggapan bahawa diet keto menurunkan berat badan tanpa melibatkan calorie deficit. Hakikatnya, semua bentuk penurunan berat—termasuk keto, low-carb, low-fat, Mediterranean dan lain-lain—tetap bergantung pada defisit kalori sebagai asas fisiologi. Keto kelihatan “lebih berkesan” kerana ia mempengaruhi selera makan, kestabilan glukosa, dan pilihan makanan sehingga mengurangkan pengambilan kalori secara tidak langsung.

Penurunan berat badan awal biasanya berlaku akibat kehilangan air. Simpanan glikogen di hati dan otot diuraikan, dan setiap gram glikogen melepaskan tiga hingga empat gram air. Ini menyebabkan penurunan berat yang cepat tetapi sementara. Setelah glikogen berkurang, tubuh bergantung kepada glukoneogenesis untuk menghasilkan sedikit glukosa bagi kegunaan tisu penting seperti otak. Namun, glukoneogenesis tidak mencukupi untuk seluruh badan, dan tubuh akhirnya beralih kepada pemecahan lemak (lipolisis) dan ketogenesis. Dalam keadaan ketosis, paras insulin menurun dan pembakaran lemak meningkat, tetapi penurunan berat badan tetap terjadi kerana pengambilan kalori berkurangan, bukan kerana ketosis itu sendiri mampu mengatasi hukum tenaga. Ketosis bukanlah suis ajaib; jika kalori berlebihan, berat tetap akan naik walaupun seseorang berada dalam ketosis.

MANFAAT DIET KETO BERDASARKAN KAJIAN

Diet keto mempunyai beberapa manfaat terutamanya dalam keadaan tertentu. Ia boleh membantu mengawal gula darah bagi sebahagian pesakit diabetes jenis 2, mengurangkan selera makan, dan memberi penurunan berat badan jangka pendek apabila dipantau dengan betul. Dalam dunia perubatan, diet ketogenik terbukti berkesan sebagai rawatan tambahan bagi epilepsi refraktori. Kajian masih dijalankan untuk menentukan keberkesanan diet ini dalam membantu kelainan metabolik seperti diabetes jenis 2, hati berlemak dan kelainan saraf/neurologi. Walaupun begitu, manfaat ini tidak menjadikan diet keto lebih unggul daripada diet lain dalam jangka panjang, dan kajian yang mengawal jumlah kalori serta protein tidak menunjukkan kelebihan metabolik yang signifikan berbanding diet seimbang.

RISIKO DIET KETO

Walaupun mempunyai manfaat tertentu, diet keto turut membawa beberapa risiko. Pengurangan kumpulan makanan utama seperti buah, sayuran berkanji dan bijirin penuh mendedahkan seseorang kepada kekurangan vitamin, mineral dan serat. Pada peringkat awal, ramai yang mengalami “keto flu”—keletihan, loya, cirit-birit atau sembelit. Sebahagian individu juga menunjukkan peningkatan LDL dan ApoB, terutamanya golongan lean mass hyper-responders, sekali gus meningkatkan risiko kardiovaskular. Diet rendah karbohidrat ekstrem boleh meningkatkan risiko batu karang akibat perubahan komposisi urin dan dehidrasi ringan yang berterusan.

Diet keto juga tidak sesuai untuk wanita hamil, pesakit dengan penyakit hati atau buah pinggang tertentu, pesakit diabetes jenis 1, pengguna ubat SGLT2 inhibitor, serta mereka yang mempunyai sejarah gangguan makan. Ketegasan diet ini menjadikannya sukar dikekalkan dalam jangka panjang dan risiko kenaikan berat semula menjadi tinggi apabila diet dihentikan.

RISIKO KETOSIS BERPANJANGAN

Berada dalam ketosis untuk tempoh yang panjang boleh menimbulkan beberapa mudarat. Pengambilan karbohidrat yang terlalu rendah cenderung mengurangkan serat dan nutrien penting, menjejaskan kesihatan usus dan menyebabkan sembelit kronik. Pengambilan lemak tepu yang tinggi pula boleh meningkatkan LDL dan ApoB pada sebahagian individu, meningkatkan risiko penyakit jantung. Ketosis juga meningkatkan beban kepada buah pinggang akibat perubahan elektrolit dan perkumuhan keton. Dalam kes tertentu, terutama pada pesakit diabetes jenis 1 atau pengguna SGLT2 inhibitor, ia boleh mencetuskan ketoasidosis yang berbahaya. Sebahagian wanita turut melaporkan gangguan kitaran haid akibat pengambilan tenaga yang terlalu rendah. Kesemua faktor ini menunjukkan bahawa ketosis jangka panjang bukanlah strategi yang sesuai untuk semua orang dan memerlukan pemantauan profesional.

DIET KETOGENIK DAN STRATEGI PEMASARAN

Kepopularan diet keto telah menjadikannya bukan sekadar gaya pemakanan, tetapi industri pemasaran bernilai tinggi. Banyak program diet, “coaching”, buku, aplikasi, dan seminar dipasarkan bersama naratif sensasi seperti “karbohidrat adalah racun”, “insulin ialah punca obesiti”, atau “LDL tidak penting”. Naratif ini sering bercanggah dengan konsensus komuniti perubatan moden, namun ia disebarkan kerana lebih mudah menarik perhatian dan meningkatkan jualan.

Sebahagian pemasar turut memposisikan diri mereka sebagai pihak yang “menentang arus”, sambil memperlekehkan pakar pemakanan, doktor atau kajian saintifik. Strategi seperti ini mencipta rasa tidak percaya terhadap institusi kesihatan, memudahkan pengguna menerima dakwaan ekstrem tanpa bukti. Dalam ekosistem ini, risiko diet keto sering dikurangkan atau dinafikan, terutama apabila bertentangan dengan kepentingan komersial. Misalnya, dakwaan seperti “kolesterol tidak penting” atau “buah tidak sihat kerana karbohidrat tinggi” digunakan untuk meyakinkan pengguna bahawa diet mereka selamat walaupun bertentangan dengan data klinikal.

PRODUK MAKANAN BERJENAMA KETO

Ledakan minat terhadap diet keto juga melahirkan industri produk makanan berlabel “keto-friendly” seperti roti keto, biskut keto, coklat, ais krim, minuman tenaga, MCT oil, dan pelbagai snek rendah karbohidrat. Banyak produk ini menggunakan label “net carbs”, iaitu kiraan karbohidrat selepas ditolak serat dan sugar alcohols. Walaupun kelihatan rendah karbohidrat, produk ini sering mengandungi kalori yang tinggi dan boleh menggagalkan defisit kalori, menyebabkan berat sukar turun walaupun pengguna yakin mereka “makan makanan keto”.

Sebahagian produk keto adalah makanan ultra-proses yang tinggi lemak tepu, rendah nutrisi, dan dijual pada harga premium. Ia dipasarkan seolah-olah lebih sihat daripada makanan segar biasa seperti buah, roti gandum penuh atau nasi, sedangkan tiada bukti klinikal kukuh menunjukkan makanan berproses keto memberikan kelebihan metabolik. Produk seperti exogenous ketones pula dipromosikan dengan dakwaan tidak realistik seperti meningkatkan pembakaran lemak atau mempercepatkan ketosis, walaupun kajian menunjukkan ia hanya menaikkan paras keton tanpa memberi manfaat terhadap penurunan berat badan.

Industri ini berkembang kerana permintaan, bukan kerana keperluan fisiologi. Akibatnya, ramai pengguna membayar harga tinggi untuk produk yang tidak membantu, malah kadang-kadang menghalang pencapaian objektif kesihatan mereka.

KESIMPULAN

Diet ketogenik boleh menjadi alat yang berguna untuk sesetengah individu, tetapi ia bukanlah kaedah ajaib yang memintas hukum fisiologi. Penurunan berat tetap bergantung pada calorie deficit, manakala ketosis hanya membantu mengawal selera dan kestabilan glukosa. Namun, populariti diet ini juga membuka ruang kepada pemasaran agresif, dakwaan tidak realistik, dan penjualan produk yang mengelirukan pengguna. Seperti mana-mana pola pemakanan, yang paling penting ialah keberlanjutan, keseimbangan, keselamatan dan kesesuaian individu. Sebelum memulakan diet keto, seseorang wajar mendapatkan nasihat profesional kesihatan bagi memastikan ia selamat dan sesuai dengan keperluan mereka.

Dato' Dr. Rushdan Noor

5hb Disember 2025

RUJUKAN

1. Hall KD et al. Energy expenditure and body composition changes after an isocaloric ketogenic diet in overweight and obese men. Am J Clin Nutr. 2016.

2. Bueno NB et al. Very-low-carbohydrate ketogenic diet v. low-fat diet for long-term weight loss: a meta-analysis. Br J Nutr. 2013.

3. Mansoor N et al. Effects of ketogenic low-carbohydrate diets on cardiovascular risk factors. Nutr Rev. 2016.

4. Naude CE et al. Low carbohydrate versus isoenergetic balanced diets for reducing weight and cardiovascular risk. PLoS One. 2014.

5. Kossoff EH et al. Ketogenic diets in the treatment of epilepsy. Nat Rev Neurol. 2018.

6. Ludwig DS et al. Dietary fat: From foe to friend? Science. 2020.

7. Zhu, H., Bi, D., Zhang, Y. et al. Ketogenic diet for human diseases: the underlying mechanisms and potential for clinical implementations. Signal Transduction and Targeted Therapy 7, 11 (2022)




DIET KETOGENIK : ANTARA KESIHATAN DAN PEMASARAN

 


Diet ketogenik atau diet keto agak popular kerana dikatakan mampu menurunkan berat badan dengan berkesan. Hakikatnya, walaupun keto mengubah cara badan menjana tenaga melalui ketosis, prinsip asas penurunan berat badan tetap sama iaitu berasaskan defisit kalori.

Ketosis bukan suis ajaib yang membakar lemak tanpa had; ia hanya membantu mengurangkan selera makan, mengurangkan "craving" dan menstabilkan glukosa sehingga memudahkan seseorang makan kurang daripada biasa.
Penurunan berat yang cepat pada minggu pertama sebenarnya banyak disumbangkan oleh kehilangan air akibat pengurangan glikogen. Selepas itu barulah tubuh mula menggunakan lemak sebagai sumber tenagavsemasa tubuh memasuki fasa ketosis.
Dalam dunia perubatan moden, diet keto mempunyai tempat yang terhad, salah satu darinya adalah rawatan tambahan untuk epilepsi refraktori yang dialami oleh kanak-kanak, iaitu sawan yang tidak dapat dikawal dengan ubat-ubatan biasa. Tetapi penggunaan ini dipantau ketat oleh pakar neurologi dan pakar pemakanan. Lain-lain peranan yang masih dikaji adalah membantu rawatan diabetes jenis 2, PCOS, kelainan neurologi dan hati berlemak.
Walaupun ada manfaat tertentu seperti yang dinyatakan, diet keto juga datang dengan masalah dan risiko seperti keto-flu, sembelit, kekurangan nutrisi, ketoasidosis, peningkatan LDL bagi setengah orang serta kesukaran untuk dikekalkan dalam jangka panjang. Risiko kesihatan jangka panjang terhadap kesihatan jantung, risiko batu karang di buah pinggang dan tekanan pada fungsi hati boleh berlaku. Terdapat petunjuk kesan negatif amalan diet ini kerana boleh berlaku perubahan bagaimana tubuh memproses lemak dan gula di kemudian hari.
Apa yang ramai tidak sedar ialah populariti keto telah menjadi lubuk emas dalam pemasaran. Ramai "coach" mengambil peluang menawarkan program diet ini dan produk2 sampingan. Jika dilakukan dengan betul dan diselia oleh coach yang benar2 bertauliah, diet ini mungkin boleh membantu sesetengah orang, tetapi sebaliknya boleh memudaratkan dan pelanggan boleh kehilangan wang.
Terdapat pihak yang membuat dakwaan melampau ("overclaim") dan menyebarkan ilmu ("health information") yang salah demi mempromosikan produk mereka seperti diet ini boleh merawat penyakit kronik, selamat untuk semua orang dan berat badan yang mudah dikekalkan. Maklumat salah tentang kesihatan pula adalah "kolesterol LDL tinggi tidak bahaya", "lemak tepu tidak ada kaitan dengan penyakit jantung", "karbohidrat adalah racun dan tidak diperlukan", “insulin punca segala penyakit”, "statin toksik" dan lain2 semata-mata untuk menjual program diet, suplemen, dan makanan berjenama keto.
Produk berjenama "keto" seperti roti keto, biskut keto dan minuman keton pula dipasarkan seolah-olah lebih istimewa dan boleh membantu, tetapi dibimbangi label "keto" itu hanya bersifat kosmetik dan tidak mewakili kualiti produk sebenar. Pendek kata, mungkin sekadar strategi pemasaran. Semua pengguna perlu meneliti fakta nutrisi dalam setiap produk sebelum membeli.

Diet keto boleh membantu sesetengah orang, tetapi bukan sesuai atau selamat untuk semua golongan. Ia bukan juga kaedah istimewa atau terbaik untuk mengatasi masalah obesiti dan lain2 isu kesihatan. Yang penting bukan nama diet, tetapi diet yang diamalkan dengan betul, diet yang seimbang, boleh diamalkan lama dan selamat. Ia juga tidak bebas dari kesan sampingan dan risiko kesihatan jangka pendek dan panjang. Sebelum mencuba diet keto, dapatkanlah nasihat profesional kesihatan agar keputusan yang dibuat berdasarkan fakta. Apabila mencuba, dapatkan khidmat profesional yang layak dan berpengalaman.

Dato' Dr.Rushdan Noor

6hb Dis 2025