Ada pihak yang meletakkan keradangan sebagai punca utama (root cause) aterosklerosis, sehingga menafikan atau meremehkan peranan kolesterol LDL. Hakikatnya, bukti saintifik semasa menunjukkan bahawa LDL/ApoB ialah pemacu utama pembentukan plak aterosklerosis, manakala keradangan bertindak mempercepatkan dan memburukkan proses tersebut.
Kepentingan LDL disokong oleh pelbagai jenis bukti yang memenuhi kriteria sebab-akibat. Individu yang mengalami hiperkolesterolemia familial akibat mutasi gen LDLR, APOB atau PCSK9 mempunyai paras LDL yang sangat tinggi sejak lahir dan mengalami aterosklerosis pramatang walaupun tanpa faktor risiko lain yang ketara. Kajian Mendelian randomization pula menunjukkan bahawa variasi genetik yang meningkatkan LDL secara konsisten turut meningkatkan risiko penyakit jantung koronari, sekali gus mengukuhkan hubungan sebab-akibat.
Di samping itu, intervensi yang menurunkan LDL seperti statin, ezetimibe dan inhibitor PCSK9 secara konsisten mengurangkan risiko serangan jantung dan strok dalam pelbagai ujian klinikal rawak (RCT). Terdapat juga hubungan dose-response yang jelas: semakin rendah paras LDL dicapai, semakin rendah risiko penyakit kardiovaskular. Sebaliknya, walaupun penanda keradangan seperti CRP dikaitkan dengan peningkatan risiko, bukti bahawa keradangan merupakan punca utama yang bebas daripada LDL adalah jauh lebih lemah.
Tanpa pengumpulan zarah LDL/ApoB di dalam dinding arteri, aterosklerosis sukar untuk bermula. Keradangan sahaja tidak mencukupi untuk menghasilkan penyakit ini. Oleh itu, adalah lebih tepat untuk melihat aterosklerosis sebagai penyakit pelbagai faktor, dengan LDL/ApoB sebagai faktor kausal utama (primary causal driver), manakala keradangan berperanan sebagai faktor yang mempercepat dan memperburuk perkembangan penyakit. Pendekatan berasaskan bukti mengiktiraf kerumitan biologi manusia, bukannya memudah-mudahkan kesalahan hanya kepada satu "root cause" semata-mata.
Dato' Dr.Rushdan Noor

No comments:
Post a Comment