Tuesday 25 June 2019

BENARKAH ADA KAEDAH RAWATAN KANSER SECARA SEMULAJADI TANPA UBAT, PEMBEDAHAN, KEMOTERAPI DAN RADIOTERAPI ?

Saya tidak selesa apabila melihat iklan2 ataupun tulisan mengenai khasiat sayuran dan buah2an MERAWAT gejala dan penyakit. Saya tidak ada masalah jika ada yang mempromosi sayuran dan buah2an untuk MENCEGAH penyakit kerana mengamalkan makan buah dan sayuran memang termasuk dalam menu makanan sihat. Tetapi kempen mempromosikan makanan sebagai ubat untuk MERAWAT penyakit mungkin tersembunyi agenda golongan tertentu yang akan membawa kepada sesuatu yang lebih besar. Kalau nak tahu dengan lebih lanjut, baca penerangan saya yang agak panjang di bawah.

Salah satu golongan pengamal perubatan alternatif adalah pengamal naturopathi yang percaya penyakit perlu dirawat dengan kaedah semulajadi. Mereka berpendirian bahawa menggunakan kaedah ubat, suntikan dan pembedahan adalah tidak semulajadi dan menyebabkan lebih banyak keburukan. Ubat2an termasuk kemoterapi adalah racun dan pembedahan serta radioterapi tidak menyembuhkan kanser. Pendek kata mereka adalah golongan yang anti-perubatan moden. Prinsip mereka ini mungkin boleh diterima di dalam menangani gejala2 ringan yang bukan disebabkan oleh penyakit yang serius. Malahan dalam amalan perubatan moden pun, doktor sering diingat supaya tidak "overtreating" yakni merawat pada kadar keperluan dan ada penyakit yang boleh sembuh dengan sendiri tanpa rawatan ("self-limiting diseases"). Tetapi masalahnya golongan naturopathi ini berpegang kepada prinsip ini walaupun di dalam merawat penyakit yang serius seperti kanser. Tambahan pula masyarakat kita tidak mampu untuk membezakan samada gejala2 yang mereka alami itu berpunca dari penyakit serius ataupun tidak. Pengamal rawatan alternatif menerima mereka dan merawat mereka berdasarkan gejala yang dialami tanpa menyiasat puncanya terlebih dahulu ataupun mereka bergantung dengan diagnosis yang telah dibuat oleh pihak hospital.

Prinsip merawat penyakit menggunakan tumbuhan, buah2an, diet, suplemen, vitamin, herba dan lain2 pseudoperubatan ini adalah sebahagian dari kepercayaan NATUROPATHY.Samada disedari ataupun tidak banyak jenis rawatan alternatif yang didakwa boleh merawat penyakit kanser pada hari ini mungkin bertitik tolak daripada ideologi naturopathy. Tentu anda pernah dengar mengenai diet Gerson, diet ketogenik, Protokol Budwig, Terapi Proteolytic enzyme, Vit C chelation, Terapi Vitamin B17/Laetril, Terapi Frankinsence Essential Oil, Oksigen/ Hyperbaric chamber dan lain-lain. Kebanyakan kaedah2 ini menggunakan prinsip yang dipelopori oleh golongan pro-naturopathi. Malangnya tidak satu pun kaedah2 rawatan alternatif ini telah terbukti berkesan dan diiktiraf oleh mana2 pertubuhan kanser dunia. Di samping itu tidak kurang juga pengamal rawatan alternative ini hanya menjadi pengikut tanpa menyedari bahawa mereka sudah terjebak ke dalam ideologi Naturopathi.

Jadi saya melihat propaganda mewar-warkan sayuran dan buah2an untuk merawat penyakit adalah suntikan halus untuk menanam kepercayaan orang ramai bahawa memang semua penyakit boleh DIRAWAT dengan amalan diet tertentu, suplemen, vitamin dan lain2 selain selagi ianya bukan daripada kaedah rawatan moden/konvensional. Tidak hairanlah mengapa golongan ini sangat suka mewar-warkan cerita yang mengaitkan sayuran, buah2an dan masakan tertentu dengan rawatan penyakit di dalam laman web ataupun apa sahaja media yang mereka gunakan. Masyarakat kita pula sangat teruja untuk berkongsi maklumat seperti ini kerana kononnya semua penyakit boleh dirawat daripada bahan yang diambil terus dari kebun dan makanan yang dimasak di dapur.

Di dalam amalan Diet Gerson contohnya, pesakit kanser diberi makan buah2an dan sayuran (jus) tertentu yang dihasilkan secara organik, di samping suplemen, enzim, hormon dan vitamin melalui protokol yang ketat. Pesakit juga perlu menjalani rawatan enema (pelawas usus menggunakan kopi ataupun minyak castol). Kaedah ini kononnya untuk membuang toksin, memperbaiki kandungan mineral dan membersihkan hati. Dengan kaedah ini mereka berpendapat tubuh badan pesakit akan mampu melawan kanser dan kanser boleh sembuh dengan sendiri. Amalan ini berdasarkan pengetahuan dan kefahaman yang berbeza (pseudosains) tentang kanser berbanding dengan apa yang dipelajari oleh pengamal perubatan moden. Diet Gerson ini dibawa turun menurun oleh pengasasnya Dr.Max B Gerson pada tahun 1930 an, kemudiannya diolah dan diubah dengan pelbagai ramuan dan prosedur tambahan. Seperti kaedah2 rawatan alternatif yang lain, ia juga digunakan untuk merawat penyakit2 lain seperti penyakit Parkinson, Tibi, migraine dan lain2. Walau bagaimana pun, kaedah rawatan ini tidak murah dan memerlukan komitmen yang tinggi oleh pesakit. Apa yang lebih membimbangkan adalah tidak ada bukti saintifik tentang keberkesanan Diet Gerson di dalam merawat penyakit yang didakwa oleh pengamalnya termasuk kanser. Kebanyakan bukti yang diwar2kan adalah berdasarkan testimoni (termasuk pengalaman diri sendiri), kajian ke atas haiwan dan juga kajian klinikal yang kecil. Rawatan2 seperti ini juga boleh menyebabkan kesan sampingan yang serius walaupun kononnya didakwa "semulajadi" kerana terlalu banyak mencampur adukkan ramuan, menu, protokol dan prosedur tertentu yang berpotensi menyebabkan komplikasi. Kaedah-kaedah rawatan alternatif penyakit kanser ini juga tidak pernah diiktirafkan oleh mana-mana pertubuhan kanser dunia. Pihak FDA juga tidak pernah meluluskan kaedah2 ini untuk tujuan merawat penyakit kanser.

Akibat kepercayaan terhadap kaedah rawatan alternatif ini, ramai pesakit kanser yang disahkan menghidap kanser oleh pakar kanser enggan mendapat rawatan di hospital sebaliknya pergi mendapatkan rawatan dari pengamal rawatan alternatif ini. Di samping kaedah rawatan yang belum terbukti berkesan, ia juga tidak murah dan memakan masa yang panjang. Contohnya rawatan diet Gerson menelan belanja beberapa ribu dolar Amerika untuk seminggu dan pesakit perlu dirawat untuk jangkamasa panjang. Saya pernah menceritakan tentang seorang pesakit kanser payudara bernama Neil Briton telah membelanjakan sejumlah 70,000 pound sterling untuk rawatan alternatif termasuk diet Gerson sehingga selepas kematiannya, suami beliau diistiharkan bankrap.

KESIMPULAN

Setakat ini tidak ada kaedah rawatan alternatif yang lebih berkesan daripada kaedah rawatan kanser moden. Apatah lagi rawatan dengan kaedah semulajadi tanpa ubat dan suntikan untuk merawat penyakit kanser. Walaupun rawatan moden tidak sempurna dan ada kelemahan, namun inilah yang terbaik untuk pesakit kanser setakat ini. Banyak kaedah rawatan alternatif dipelopori oleh golongan yang mendokong ideologi naturopathi. Ada di antara mereka yang mempunyai latar belakang doktor perubatan tetapi telah berpaling arah akibat tertarik dengan keuntungan yang bakal diperolehi. Orang ramai boleh terkeliru dengan keterampilan mereka kerana dari segi luarannya serta percakapannya kelihatan sama seperti pengamal perubatan moden. Rawatan alternatif ini tidak murah dan boleh memberi pulangan yang besar kepada pengamalnya, malangnya tidak ada bukti kukuh tentang keberkesanannya. Kepercayaan bahawa semua penyakit boleh dirawat secara semulajadi tanpa kaedah rawatan moden adalah sesuatu yang sangat bahaya terutama jika ianya digunakan di dalam menangani penyakit2 kronik yang serius termasuk kanser. Jauhi golongan2 yang mempromosikan kepercayaan ini kerana kebanyakan mereka tidak memikirkan kebajikan pesakit melainkan diri sendiri. Ada juga yang mengaut keuntungan dengan cara menganjurkan bengkel ataupun kursus tentang kaedah rawatan kanser secara semulajadi, di mana yuran yang mahal dikenakan ke atas peserta. Pesan saya adalah apabila sakit, bertemulah dahulu dengan doktor untuk rawatan moden. Rawatan komplimentari boleh dipertimbangkan atas nasihat doktor dan begitu juga rawatan alternatif apabila ikhtiar dengan rawatan moden sudah dilakukan sepenuhnya.


Dato' Dr.Mohd Rushdan Md Noor
Pakar Perunding Ginekologi Onkologi
Medical Mythbusters Malaysia
26hb Jun 2019

RUJUKAN

https://www.cancer.gov/about-cancer/treatment/cam/patient/gerson-pdq
https://en.m.wikipedia.org/wiki/Naturopathy
https://sciencebasedmedicine.org/naturopathy-vs-science-facts-edition/
https://nccih.nih.gov/health/naturopathy
https://www.webmd.com/balance/guide/what-is-naturopathic-medicine
https://sciencebasedmedicine.org/the-not-so-beautiful-untruth-about-the-gerson-therapy-and-cancer-quackery/
https://www.thesun.co.uk/fabulous/9351629/mum-breast-cancer-bankrupt-nhs-treatment/
https://www.health.harvard.edu/blog/alternative-therapies-for-cancer-2019020115888
https://www.cancerresearchuk.org/about-cancer/coping/physically/diet-problems/managing/alternative-cancer-diets
https://draxe.com/10-natural-cancer-treatments-hidden-cures/
https://sciencebasedmedicine.org/how-do-you-like-your-coffee-rectally/

1 comment:

  1. Apa pendapat Dr mengenai 'The China Study' hasil kajian Dr. Colin Campbell?

    ReplyDelete