Saturday, 25 April 2020

MAKAN ORGAN DALAM : MANFAAT DAN MUDARAT


Daging yang selalu dimakan oleh anda adalah bahagian otot sehingga apabila pakar pemakanan bercakap tentang daging dan nilai nutriennya, mereka sebenarnya merujuk kepada daging yang diambil daripada bahagian otot haiwan. Di samping bahagian otot, kita juga gemar memakan organ dalam haiwan seperti hati dan paru-paru. Terdapat banyak lagi organ dalam yang dimakan oleh manusia seperti perut, limpa, jantung, buah pinggang, lidah,otak dan ada juga yang memakan buah zakar. Apakah sebenarnya manfaat dan mudarat memakan organ-organ dalam ini? Orang awam seringkali dinasihati supaya tidak mengambil organ dalam kerana kandungan lemak dan kolesterol yang tinggi. Rencana pendek ini akan mengupas mengenai apakah manfaat dan mudarat mengambil organ-organ dalam ini.

MANFAAT ORGAN DALAM

Umumnya, organ dalam menyediakan banyak jenis vitamin dan nutrient di antaranya adalah vitamin B, zat besi, fosforus, tembaga, magnesium, vitamin A, vitamin D, vitamin E dan vitamin K.

HATI

Hati mungkin organ dalam yang menyediakan paling banyak nutrient. Di samping sumber protin yang berkualiti, ia adalah sumber vitamin A yang tinggi untuk kesihatan mata dan juga mempunyai sifat antikeradangan. Hati juga mengandungi asid folik, viamin B5, B12, zat besi, kromium, tembaga, selenium dan zink. Di dalam 85 gram daging lembu mengandungi 31,714 IU vitamin A iaitu lebih daripada 700% keperluan vitamin A dalam sehari. Kuantiti yang sama juga membekalkan lebih kurang 80% keperluan zat besi untuk lelaki dan 40% keperluan harian untuk wanita.

Satu ratus gram hati lembu membekalkan 190 kalori tenaga dan 24.7 gram protein yang lengkap. Walau bagaimanapun di dalam 100 gram hati ini juga mengandungi 396 mg kolesterol yang sudah melebihi keperluan harian anda. Pertubuhan jantung Amerika mengesyorkan pengambilan kolesterol kurang daripada 300 mg sehari. Ini jauh lebih tinggi daripada kandungan kolesterol di dalam 100 gm daging otot lembu iaitu sebanyak 90 mg ataupun 30% daripada keperluan harian.

BUAH PINGGANG

Buah pinggang kaya dengan protein dan mengandungi asid lemak omega 3. Setiap 100 gram buah pinggang menyediakan 159 kalori tenaga. Buah pinggang juga mengandungi vitamin B12 dan asis folik yang penting untuk pembinaan darah. Seperti juga hati, buah pinggang juga membekalkan zat besi dan fosforus. Walaupun kandungan lemak yang tidak tinggi, buah pinggang mengandungi kolesterol yang tinggi.

OTAK

Otak mengandungi protein dan juga nutrient-nutrien lain termasuk asid lemak omega 3. Setiap 100 gram otak mengandungi lebih kurang 12 gram protein dan hamper 1 gram asid lemak omega 3 yang dikenali sebagai asid docosahexaenoic (DHA). Di antara vitamin yang terkandung di dalam otak adalah vitamin B5 dan B12.

Di samping nilai nutrisi yang dinyatakan di atas, terdapat beberapa kebimbangan apabila anda memakan otak. Otak lembu boleh dijangkiti oleh penyebab keradangan otak yang dikenali sebagai penyakit Creutzfeldt-Jakob yang juga dikenali sebagai penyakit lembu gila (“mad cow disease”). Faktor ini boleh menjangkiti orang yang memakan otak.  Otak juga mengandungi kolesterol yang tinggi, satu hidangan 100 gram otak mengandungi 3401 mg kolesterol ataupun 10 kali lebih tinggi daripada keperluan harian.

JANTUNG

Jantung mengandungi tinggi asid folik, zat besi, zink dan selenium. Ia juga mengandungi vitamin B2, B6 dan B12, sekumpulan vitamin B yang tergolong di dalam vitamin B complex. Daging jantung juga mengandungi antioksidan yang dikenali sebagai coenzyme Q10. Setiap 100 gram daging jantung mengandungi lebih kurang 125 kalori tenaga, 20 gram protein, 5 gram lemak dan 210 mg kolesterol.

PARU-PARU

Seperti mana organ-organ yang lain, paru-paru mengandungi kandungan vitamin B12, zat besi dan selenium yang tinggi. Setiap 100 gram paru-paru mengandungi 150% keperluan vitamin B12 dan 100% keperluan zat besi sehari. Selain daripada itu paru-paru juga mengandungi vitamin C, fosforus, niacin dan riboflavin. Setiap 100 gram paru-paru mengandungi lebih kurang 100 kalori, 18.3 gram protein, 2.8 gram lemak dan 220 mg kolesterol.

PERUT

Ramai yang suka makan perut di dalam pelbagai kaedah masakan termasuk sup, kerabu dan satay. Satu ratus gram daging perut mengandungi 94 kalori, 12 gram protein, 4 gram lemak dan 156 mg kolesterol. Perut juga mengandungi vitamin B12, vitamin K, selenium, fosforus dan zink. Nilai nutrient yang dinyatakan di sini adalah daripada bahagian perut dan bukan usus kecil haiwan.

LIDAH

Lidah juga mengandungi tinggi zat besi dan vitamin yang diperlukan untuk menambah kandungan sel darah. Ia juga mengandungi vitamin B12, choline dan zink. Setiap 100 gram daging lidah mengandungi 19.3 gram protein, 22 gram lemak dan 132 mg kolesterol.

RISIKO MEMAKAN ORGAN DALAM

Daging daripada organ dalam mengandungi kolesterol dan lemak tepu yang tinggi. Mengikut cadangan Pertubuhan Jantung Amerika, seseorang individu yang perlu menurunkan kandungan kolesterolnya perlu menghadkan pengambilan lemak tepu tidak melebihi 5-6% daripada jumlah kalori di dalam satu hari. Organ dalam juga mengandungi purine, sejenis molekul yang boleh menyebabkan masalah kepada pengidap penyakit gout. Jika haiwan ini dijangkiti, mengambil toksin  ataupun racun, ianya boleh berkumpul di dalam organ dalam badan. Dikuatiri dengan memakan organ dalam ini toksin atau racun tersebut boleh memudaratkan manusia. Walau bagaimanapun kebimbangan ini hanyalah kepercayaan dan belum terbukti. Otak lembu yang mengalami penyakit Creutzfeldt-Jakob ataupun penyakit lembu gila juga boleh menjangkiti individu yang memakan organ ini. Organ dalam yang asalnya kotor seperti usus dan perut boleh menjadi sumber toksin dan bakteria jika tidak dibersih dan dimasak dengan sempurna. Terdapat juga pandangan yang mengatakan bahawa kualiti organ dalam haiwan boleh dipengaruhi oleh cara bagaimana haiwan itu dibesarkan, apakah makanan yang diberikan serta persekitaran tempat ianya membesar. Haiwan yang tidak diberikan makanan yang sempurna serta di dalam keadaan stress menyebabkan kualiti organ dalam mereka juga rendah. Mungkin organ dalam haiwan ini mempunyai kandungan lemak dan kolesterol yang lebih tinggi seperti mana juga manusia yang tidak menjaga makanannya.

Kajian yang dijalankan di satu daerah di negara Uganda mendapati bahawa organ dalam mengandungi tinggi kandungan logam seperti besi, plumbum dan tembaga. Penyelidik mendapati kandungan logam-logam ini di dalam hati, pedal, perut, usus dan buah pinggang adalah melebihi daripada tahap maksimum yang dibenarkan (0.5mg/kg berat basah). Maka penyelidik berpendapat kesan negatif akibat daripada logam-logam ini boleh berlaku jika organ-organ dalam ini diambil dalam jangkamasa panjang terutama oleh golongan kanak-kanak. (1)

KESIMPULAN

Organ dalam badan mengandungi pelbagai nutrien termasuk mineral dan vitamin yang berkualiti. Ianya juga sumber protein yang berkualiti dan mengandungi antioksidan seperti koenzim Q10. Walau bagaimanapun organ dalam mengandungi tinggi kolesterol dan logam, jadi tidak sesuai diambil dalam kuantiti yang banyak untuk jangkamasa yang panjang. Kualiti organ dalam juga dipengaruhi oleh pemakanan dan bagaimana haiwan itu dibesarkan. Kaedah memasak dan ramuan-ramuan tambahan ke atas organ dalam ini juga mempengaruhi kualiti makanan ini keseluruhannya. Kesimpulannya, organ dalam boleh diambil tetapi di dalam kuantiti yang berpatutan. Individu yang menghidap penyakit jantung dan penyakit yang dikaitkan dengan kandungan kolesterol darah yang tinggi perlu lebih berhati-hati. Pengguna yang bijak akan juga mengkaji latarbelakang sumber organ dalam itu diambil.

RUJUKAN

1.   Ogwok P, Bamuwamye M, Apili G, et al. Health Risk Posed by Lead, Copper and Iron via consumption organ meat in Kampala City (Uganda). Journal of Environment Pollution and Human Health, 2014 2 (3), pp 69-73. 
DOI: 10.12691/jephh-2-3-3
2.   https://www.medicalnewstoday.com/articles/319229.php
6.   https://www.livestrong.com/article/261789-beef-kidney-nutritional-facts/

Thursday, 23 April 2020

MENGAPA KEBANYAKAN ORANG TIDAK PERLU AMBIL SUPLEMEN VITAMIN C


Gambar di bawah adalah 4 biji cili merah yang bersaiz sederhana dengan berat 45 gm. Selepas dijadikan sambal, itulah kuantiti sambal yang dihasilkan jika dibandingkan dgn saiz sudu besar. Di dalam 45 gm cili ini sudah mengandungi  lebih 100% keperluan harian Vitamin C (nilai sebenar 107% RDA).
100 gm cili = 239% RDA




Cili juga mengandungi banyak lagi mikronutrient lain dan serat. Saya percaya orang kita makan cili lebih dari itu setiap hari kerana cili bukan sahaja digunakan untuk sambal tetapi juga dimasukkan ke dalam makanan2 lain dan sos. Serbuk kari yang digunakan untuk membuat gulai juga mengandungi ramuan seperti serbuk cili kering, kunyit, halia dan lain2 yang juga mengandungi vitamin C. Itu baru cili dan kari, belum lagi bahan2 mentah lain yang digunakan untuk menyediakan makanan seperti bawang, sayur, halia, kunyit, tomato dan lain2 yang juga mengandungi Vitamin C walaupun pada kadar yang lebih rendah.



Kesimpulannya untuk sumber vitamin C sahaja , tak semestinya kena makan buah limau, betik, kiwi, jambu dan lain2 buah setiap hari. Tapi kalau boleh makan buah2an ini lagilah bagus sebagai sumber tambahan mikronutrient yang lain dan serat yang lebih banyak. Jadi jangan risau kalau tak ambil suplemen Vitamin C kerana makanan kegemaran masyarakat kita sudah mengandungi lebih dari cukup vitamin C semulajadi. Malahan makanan masyarakat kita rata2 mengandungi cukup makronutrient dan mikronutrient. Apabila makanan kita sudah seimbang, secara automatik ianya juga membekal nutrient yang mencukupi.


Dato'Dr Rushdan Noor
23hb April 2020

Nota: Ramuan2 serbuk kari : cili kering, serbuk kunyit,lada kering,ketumbar, lada hitam, halia dan biji sawi 




https://ods.od.nih.gov/factsheets/VitaminC-Consumer/

Tuesday, 21 April 2020

KADAR KEMATIAN COVID-19



Purata kadar kematian Covid-19 di seluruh dunia adalah 6.9% pada 20hb April 2020. Kadar kematian Covid-19 di negara kita pada 21hb April 2020 adalah 1.7% (92÷.5482 X 100). Kadar kematian boleh berubah2 mengikut masa dan banyak faktor ("co-founding factors") yang mempengaruhinya. Disebabkan banyak faktor yang mempengaruhi maka memang sukar untuk membuat kesimpulan berdasarkan perbandingan kadar kematian satu negara dengan negara yang lain. Kadar kematian yang dipaparkan mungkin lebih rendah ataupun lebih tinggi daripada kadar sebenar.

Ada negara yang kadar kematiannya kelihatan tinggi kerana masalah pengesanan kes dan ketepatan ujian. Jumlah bilangan kes keseluruhan (denominator) yang dikumpulkan lebih rendah dari nilai sebenar jika aktiviti saringan dan pengesanan kes tidak cekap ataupun ujian tidak dilakukan menyeluruh. Ujian yang tidak tepat dengan kadar "false negative" yang tinggi juga boleh menyebabkan bilangan kes positif lebih rendah dari angka sebenar. Definasi kematian Covid juga perlu seragam kerana ada perbezaan seperti yang berlaku di Itali di mana selagi seseorang dijangkiti Covid-19, walaupun punca kematiannya disebabkan oleh masalah kesihatan lain, ia tetap dimasukkan ke dalam data kematian Covid. Ini boleh menjadi punca kadar kematian yang lebih tinggi dari negara2 yang hanya mengambil kematian berpunca dari komplikasi Covid-19 sahaja.

Kemampuan dan kecekapan perkhidmatan kesihatan sesebuah negara memainkan peranan yang besar di dalam menentukan kadar kematian. Kadar kematian yang tinggi boleh disebabkan oleh peratusan warga tua di negara tersebut yang lebih tinggi. Kadar penyakit kronik yang tinggi, kadar penyakit paru2 dan kadar merokok yang tinggi juga menyumbang kepada kadar kematian yang lebih tinggi. Di samping kecekapan saringan dan pengesanan kes, faktor yang sangat penting adalah kejayaan PKP yang melibatkan penguatkuasaan dan kepatuhan rakyat. Sikap rakyat yang tidak kisah, tidak mematuhi PKP, tidak mengamalkan kaedah pencegahan dan penjarakkan sosial akan menyebabkan beban kes meningkat terlalu tinggi sehingga melebihi kemampuan sesebuah negara, akhirnya kualiti penjagaan pesakit terjejas dan kadar kematian meningkat.

Kadar kematian yang dicatitkan rendah tidak semestinya benar2 rendah. Jumlah bilangan kes kematian yang dikumpulkan mungkin lebih rendah dari bilangan sebenar jika terdapat kes kematian Covid yang tidak dikesan atau terlepas dari "radar" pengesan contohnya pesakit yang disangkakan mati akibat penyakit lain. Kadar kematian yang rendah boleh juga disebabkan oleh jumlah bilangan kes positif yang dilapurkan lebih tinggi daripada angka yang sebenar, antaranya disebabkan oleh duplikasi data ataupun masalah ketepatan ujian (tinggi false positif).

Kalau kita hendak mengetahui kadar kematian akibat Covid-19 yang boleh dijadikan standard ataupun kayu ukur adalah berdasarkan kepada data yang diambil dari kapal Diamond Princess. Covid-19 telah menyerang penumpang kapal layar ini. Data dari kapal ini dianggap lebih tepat kerana kesemua penumpang menjalani ujian dan tidak timbul isu ketepatan jumlah kes Covid-19. Tidak pula wujud masalah pendatang dan faktor orang keluar masuk kerana kesemua penumpangnya telah dikuarantin. Pendek kata faktor2 "cofounding" dapat diminimakan. Tujuh orang mati daripada 705 orang penumpang yang didapati positif Covid-19, ini memberikan kadar kematian 0.99%. Kadar itu boleh menjadi lebih rendah jika lebih ramai penumpang dari kalangan yang sihat dan muda.

Kadar kematian Covid-19 ini lebih rendah dari SARs (9.5%) dan MERS (34.4%). Tetapi kadar kematian Covid-19 (0.99%) ini jauh lebih tinggi (10X) dari demam selsema Influenza (0.1%). Kadar kematian Covid-19 ini tidak boleh dipandang ringan memandangkan kadar jangkitan (Ro) yang tinggi. Apabila jumlah orang yang dijangkiti sangat tinggi, dengan kadar kematian 1% pun sudah boleh mengakibatkan beribu2 malah boleh mencapai berjuta2 kematian jika jangkitan tidak dikawal dengan baik.

Dato'Dr Rushdan Noor
21hb April 2020




https://www.thelancet.com/journals/laninf/article/PIIS1473-3099(20)30244-9/fulltext

https://www.cebm.net/covid-19/global-covid-19-case-fatality-rates/

https://i.stuff.co.nz/national/health/coronavirus/120443722/coronavirus-is-covid19-really-the-cause-of-all-the-fatalities-in-italy

https://www.worldometers.info/coronavirus/

https://www.npr.org/sections/coronavirus-live-updates/2020/03/30/824127807/if-most-of-your-coronavirus-tests-come-back-positive-youre-not-testing-enough

APABILA KERJA AMAL MENJADI SATU BENTUK PERNIAGAAN




Bersedekah, menderma dan kerja amal adalah amalan yang sangat terpuji kerana kita meringankan beban orang lain dan melaksanakan tuntutan agama. Walaupun pemberian itu sedikit tetapi kepada penerima mungkin besar ertinya. Memang ramai anggota masyarakat terlibat di dalam aktiviti memberi derma, sumbangan dan kerja amal menolong orang lain, satu petunjuk bahawa masyarakat kita sangat pemurah dan berbudi. 

Tidak dapat dinafikan negara kita mempunyai ramai individu dan pertubuhan yang memberi sumbangan serta kerja amal kepada golongan yang memerlukan. Mereka yang ikhlas ini mungkin berbuat begitu untuk memberi kembali kekayaan yang mereka perolehi atau ramai juga yang melakukanya secara sukarela sebagai saham akhirat. Walau bagaimanapun terdapat golongan yang melakukan kerja amal untuk kepentingan diri sendiri, pendek kata mereka tidak melakukanya secara percuma. Inilah yang dinamakan kerja amal menjadi satu perniagaan. Kebajikan yang disumbangkan kepada orang lain itu mungkin besar tetapi keuntungan untuk diri sendiri juga besar. Di sebaliknya ada juga kebajikan yang diberikan itu sebenarnya kecil tetapi keuntungan untuk diri sendiri sangat besar. Tentulah kerja amal yang paling tinggi darjatnya adalah yang memberi banyak manfaat kepada orang lain tanpa ada kepentingan untuk diri sendiri selain dari ganjaran akhirat.

Penilaian sesuatu kebajikan atau kerja amal terletak kepada keikhlasan pemberi dan juga sejauh mana sumbangan itu memberi manfaat kepada orang lain. Lebih ramai orang mendapat manfaat, maka lebih besarlah nilai kerja amal tersebut. Lebih ikhlas kerja amal dilakukan maka lebih besarlah nilainya di sisi Allah swt. Walau bagaimanapun, tidak ada sesiapa pun yang dapat menilai keikhlasan orang lain selain dari Allah swt. Maka dalam keadaan ini kita janganlah mudah menilai orang lain sebaliknya berbaik sangka kepada sesiapa pun yang membuat kerja amal. Walaupun jika benar niat mereka tidak ikhlas, sekurang2nya kerja amal yang dilakukan itu dapat memanfaatkan orang yang menerima. Samada penyumbang mendapat dosa ataupun pahala, itu adalah antara dia dengan Allah. 

Di dalam rencana ini saya akan menumpukan perbincangan kepada satu fenomena menarik di dalam masyarakat kita di mana kerja amal boleh bertukar kepada satu bentuk perniagaan ataupun sumber pendapatan yang lumayan.

Dengan kemudahan media masa dan tenologi komunikasi yang lebih baik pada hari ini, perkara kecil boleh dijadikan besar dan perkara besar boleh dijadikan kecil. Seseorang yang melakukan sedikit kerja amal boleh digambarkan sebagai seorang yang sangat hebat dan pemurah jika media2 digunakan untuk memaparkan semua gerak geri beliau semasa membuat kebajikan. Apabila gambar-gambar dan video-video disiarkan berkali-kali, ia boleh sampai kepada ribuan malahan jutaan pengguna, dalam masa yang singkat, penyumbang yang hanya melakukan perkara kecil, nampak sangat besar dan hebat. Di sebaliknya pula, orang yang banyak melakukan kerja amal tetapi tidak pernah mempamirkan perbuatan baiknya tidak akan mendapat perhatian, malangnya jika satu sahaja kesilapan yang dilakukan dan disiarkan di dalam media masa cukup untuk menjatuhkan reputasi beliau dan dipandang hina. Sedangkan kerja amal dan sumbangan orang kedua ini jauh lebih besar daripada orang pertama tadi. Inilah kuasa media masa dan media sosial yang ada pada hari ini di mana jatuh bangun, hebat atau tidak seseorang itu dapat dicipta melalui persepsi. Ramai yang jatuh tersungkur atau menjadi terkenal hanya dengan persepsi semata-mata.

Ada beberapa kaedah bagaimana kerja amal boleh dijadikan satu sumber pendapatan. Mempopularkan diri sendiri adalah salah satu langkah permulaan yang baik untuk mencari pengaruh dan peminat. Berbagai kaedah boleh dilakukan untuk menjadi popular di mana matlamatnya untuk menjadi seorang selebriti. Di antara kaedah2nya adalah melalui bakat atau kemahiran yang dimiliki contohnya menjadi pelakun, pelawak, pengacara, penceramah, penulis dan juga pakar motivasi. Memanglah tidak dapat dinafikan bukan mudah untuk menjadi selebriti kerana ia memerlukan bakat dan kerja keras. Seorang selebriti tentu akan mempunyai ramai peminat dan pengikut yang mengkagumi mereka.

Satu lagi kaedah menjadi selebriti yang tidak disebutkan di atas adalah melalui kerja amal yang terancang dan melakukannya secara terbuka supaya dapat ditularkan kepada ramai orang. Secara fitrahnya manusia mudah tertarik kepada orang2 yang bersifat baik dan pemurah. Tidak hairanlah mengapa sikap pemurah dan baik yang ditonjolkan secara meluas itu akan menarik ramai pemuja dan peminat. 

Dengan kedudukan selebriti yang dimiliki, peluang untuk mendapatkan keuntungan sampingan tentu lebih mudah. Mereka hanya perlu mencari jenis produk yang boleh dipasarkan. Di antara produk2 yang sering dijadikan sumber pendapatan oleh selebriti2 ini adalah produk kosmetik, ubat, suplemen, pakaian, perkhidmatan dan lain-lain lagi. Ada juga yang menggunakan platform media sosial dan youtube untuk mendapat keuntungsn daripada video2 yang dihasilkan. Mereka juga boleh membuka satu perniagaan dan menggunakan populariti untuk menarik pelanggan. Pada ketika ini isu pelanggan bukan lagi masalah kerana pengikut dan peminat sudah ramai. Status selebriti juga memberi peluang untuk masuk dalam program realiti station TV dan mengikat kontrak banyak syarikat sebagai duta. Mereka juga akan menjadi tumpuan ahli perniagaan dan orang2 berpengaruh untuk menjalin hubungan agar dapat berkongsi kepentingan dan keuntungan. 

Status selebriti juga memberi peluang untuk memohon derma dan sumbangan daripada orang ramai yang kononnya akan digunakan bagi  tujuan kebajikan sedangkan wang tersebut mungkin akan membeli produk sendiri ataupun menggunakan khidmat syarikat sendiri bagi membekalkan barangan ataupun sumbangan kepada penerima. Walaupun hasil wang derma sampai kepada penerima, namun selebriti ini seolah2 menjadi orang tengah di dalam perniagaan di mana keuntungan diperolehi kerana barangan ataupun perkhidmatan yang hendak disalurkan itu adalah daripada syarikat beliau sendiri. 

Derma juga boleh diperolehi melalui pertubuhan dan sebahagian dari wang derma tersebut akan digunakan untuk kerja dan aktiviti yang dijalankan. Sebahagian dari wang derma yang diperolehi itu digunakan untuk membeli peralatan dan kemudahan yang dikaitkan dengan kebajikan ke atas penerima derma. Ini termasuk infrastruktur, kenderaan, peralatan pejabat dan juga kerja kakitangan. 

Wang derma yang diterima boleh juga dimasukkan ke dalam amanah saham ataupun pelaburan di atas akaun sendiri dan hasil keuntungan atau dividen ini akan menjadi wang atas angin. Banyak lagi kaedah2 bagaimana pihak yang mrnerima derma boleh menjadikan wang derma itu sebagai sumber kewangan atau harta untuk diri sendiri.  Apa yang dipaparkan ini hanya sebahagian kecil sahaja. Inilah yang dikatakan kerja amal ataupun charity menjadi komoditi/perniagaan. Lagi banyak derma yang dikumpulkan, maka lebih banyak keuntungan yang diperolehi. 

Kaedah mengutip derma pula menjadi semakin canggih di mana semuanya dapat dilakukan di atas talian. Kecanggihan ini juga bermaksud wang2 derma ini dapat disalurkan kepada banyak cabang2 perniagaan dan operasi yang boleh menjana keuntungan segera tanpa menjejaskan jumlah wang derma yang diterima. 

Persoalannya apakah sikap kita apabila berdepan dengan golongan yang menjadikan kerja amal ini sebagai perniagaan. Saya berpendapat kita patut menyokong kerja-kerja amal dan kebajikan yang mereka lakukan selagi apa yang mereka lakukan itu sampai kepada kumpulan sasaran dan tidak berlaku penyalahgunaan, penganiayaan ke atas mana2 pihak dan tidak melanggar undang2.  Dengan kata lain, ianya dilakukan dengan betul, ikhlas, beretika dan mengikut lunas undang2. Di sebaliknya pula, kita perlu menolak sebarang bentuk penyelewengan dan scam yang membawa mudarat kepada masyarakat. 

Apa2 pun, kerja amal yang terbaik adalah kerja yang memanfaatkan orang lain yang dilakukan dengan ikhlas tanpa ada udang di sebalik batu.

Semoga Allah melindungi diri kita daripada tergolong di dalam golongan yang walaupun kaya di dunia tetapi muflis di Akhirat. Biarlah kita tidak kaya di dunia tetapi tidak muflis di Akhirat.

Firman Allah SWT dalam al-Quran bermaksud " Dan (ingatlah) Kami akan mengadakan neraca timbangan yang adil untuk (menimbang amal makhluk-makhluk pada) hari kiamat, maka tidak ada diri sesiapa akan teraniaya sedikitpun, dan jika (amalnya) itu seberat biji sawi sekalipun, nescaya Kami akan mendatangkannya untuk ditimbang dan dihitung, dan cukuplah Kami sebagai Penghitung"
(Surah Al-Anbiya, ayat 47)

Sabda Nabi SAW "Tahukah anda siapa sebenarnya muflis ? Sabahat sabahat menjawab: "muflis sepanjang pengetahuan kami ialah orang yang tidak mempunyai wang dan harta. Nabi SAW bersabda "Bukan muflis harta yang aku maksudkan tetapi muflis pahala pada hari kiamat. Sebahagian umatku pada hari itu datang membawa amalan-amalan solat, puasa dan zakat. Pada masa sama juga dia membawa dosa-dosa mengutuk orang, memfitnah orang, mengambil harta orang, membunuh orang dan memukul orang. Penyelesaian pada hari itu adalah dengan mengambil amal kebajikannya lalu diberikan kepada orang yang dizaliminya. Andainya amal kebajikan yang dibawanya belum cukup, akan diambil dosa-dosa orang yang dizaliminya, lalu dibebankan di atas kepalanya, kemudian dicampaknya ke dalam neraka"
(HR Muslim no 2581 dpd Abu Hurairah RA)


Bacaan tambahan tentang isu yang sama di bawah, klik tajuk di bawah:





RENCANA INI ADALAH UMUM DAN TIDAK DITUJUKAN KEPADA MANA2 KUMPULAN ATAUPUN INDIVIDU SAMADA YANG MASIH HIDUP ATAUPUN YANG SUDAH MENINGGAL DUNIA

Dato' Dr.Mohd Rushdan Md Noor
22hb April 2020

Monday, 20 April 2020

BENARKAH WABAK COVID 19 BOLEH DIKAWAL TANPA PKP ATAUPUN “LOCK DOWN” ?



Wabak Covid-19 sedang melanda seluruh dunia dengan jumlah kes melebihi 2.4 juta orang dan membunuh ribuan manusia (165,273 orang setakat 20hb April 2020). Bilangan yang mengalami kecacatan dan kesan samping selepas jangkitan tidak terkira ramainya. Virus Covid-19 yang dinamakan SARS-CoV2 ini adalah virus yang baru jadi kajian tentang sifat virus ini masih terhad walaupun maklumat tentangnya sedang dikumpulkan. Kajian-kajian juga sedang dilakukan untuk melihat kesan jangkitan ini ke atas manusia. Apa yang merisaukan pakar2 adalah tentang kadar jangkitan yang cepat dari SARS dan MERS, manakala kadar kematian pula 10 kali lebih tinggi daripada jangkitan influenza (demam selesema). Malahan ada yang berpendapat R0 sebenar virus ini mungkin mencapai angka 5. Walaupun kadar kematiannya rendah iaitu lebih kurang 1% (berdasarkan data dari penumpang kapal layar Diamond Princess yang dikuarantin akibat serangan Covid-19), namun dengan kadar jangkitan yang tinggi ia mampu untuk menjangkiti ramai orang dan bilangan kematian boleh meningkat dengan tinggi.

Pada umumnya pakar-pakar epidemiologi dan pakar virologi berpendapat pengasingan ataupun menghadkan pergerakan orang ramai adalah kaedah yang berkesan untuk memutuskan rantaian jangkitan Covid-19. Walau bagaimanapun terdapat juga pakar epidemiologi yang mempunyai pendapat yang berbeza di mana mereka menganggap kaedah menghadkan pergerakan ataupun lockdown ini bukan tindakan yang betul kerana ada cara lain yang boleh dilakukan. Menghadkan pergerakan boleh menyebabkan gangguan ke atas kehidupan orang ramai termasuk terjejasnya perniagaan dan pendapatan. Persoalannya apakah kaedah lain yang boleh dijadikan alternatif daripada PKP. Di antara kaedah lain yang dikatakan boleh digunakan adalah dengan melakukan isolasi golongan2 berisiko tinggi daripada mempunyai kontak dengan orang ramai supaya jangkitan hanya menular dalam kalangan orang2 yang berisiko rendah. Apabila mereka berisiko rendah, walaupun dijangkiti, kadar kematian adalah rendah. Dengan harapan setelah ramai yang dijangkiti dan menjadi kebal ke atas Covid-19, imuniti berkelompok ("herd immunity") boleh tercapai secara semulajadi. Persoalannya adakah kaedah ini selamat digunakan. Saya akan mengupas isu ini berdasarkan pembacaan dan juga perbincangan oleh pakar-pakar.. Pendapat ini bukan pendapat peribadi saya sebaliknya saya berkongsi pendapat pakar yang layak. Saya bukan pakar di dalam bidang epidemiologi atau apa2 yang berkaitan.

Semasa wabak Covid-19 melanda Eropah, negara Great Britain telah mencuba untuk tidak melakukan "lockdown" untuk membiarkan jangkitan Covid 19 merebak tetapi terpaksa menarik balik rancangan tersebut disebabkan oleh bilangan kes dan kematian yang meningkat dengan mendadak. Negara Sweden adalah contoh negara yang sehingga kini mengambil pendekatan berbeza di mana lockdown tidak dilakukan seperti mana negara2 lain. Mereka melakukan beberapa langkah seperti tidak membenarkan sebarang perkumpulan/perjumpaan melebih 50 orang dan menutup sekolah menengah. Lain-lain aktiviti dibenarkan berjalan dan amalan penjarakkan sosial digalakkan. Walau bagaimanapun kita perlu menyedari bahawa Sweden mempunyai jumlah penduduk 10.3 juta orang sahaja dan kepadatan penduduk di negara mereka adalah sangat rendah iaitu 25 orang untuk setiap km persegi, jadi penjarakan fizikal dapat dilakukan dengan mudah, malahan ianya seolah2 sudah berlaku secara semulajadi. Sweden juga mempunyai penduduk yang kadar bekerja dari rumah yang tinggi iaitu 50% dan kajian mendapati 50% penduduknya adalah bujang. Dengan mempunyai ciri2 seperti yang dinyatakan di atas, negara ini mudah untuk mengawal rakyatnya dan pendekatan berani yang diambil mungkin ada asasnya. Walau bagaimanapun, setakat 20hb April 2020 (jadual bawah), jumlah kes Covid 19 di Sweden adalah 14,385 dan kadar kematian yang tinggi iaitu 10.7%. Kadar kematian ini jauh lebih tinggi daripada negara2 jirannya yang mengamalkan lockdown contohnya Denmark (4.5%), Norway (2.2%) dan Finland (2.2%). Kadar kematian yang tinggi ini tentu sekali membimbangkan. Kesimpulannya, masih terlalu awal untuk menilai keberkesanan kaedah menangani wabak Covid 19 oleh negara Sweden yang tidak mengamalkan lockdown. Masa yang akan menentukan dan menarik untuk kita mengikuti perkembangan ini.

Apakah akibatnya jika pendekatan negara Sweden ini diambil oleh negara2 lain yang mempunyai kepadatan penduduk yang tinggi dan ciri-ciri penduduk yang berbeza. Kita perlu faham bahawa apabila jangkitan Covid-19 merebak ke dalam sesebuah negara, ia akan menyebabkan kerosakan dan gangguan kepada banyak aspek kehidupan manusia. Walaupun 80% daripada jangkitan adalah ringan dan tidak bergejala, namun 14.5% pesakit perlu dimasukkan ke wad kerana mengalami gejala yang agak serius dan 5% lagi memerlukan rawatan rapi termasuk bantuan pernafasan. Jika bilangan kes jangkitan meningkat mendadak, beban kepada perkhidmatan Perubatan adalah sangat tinggi dan berkemungkinan melebihi kemampuan sesebuah negara.


Dalam perbincangan ini saya suka mengambil contoh pendekatan yang diambil oleh negara kita di dalam menangani wabak Covid-19. Di negara kita perkataan lockdown yang digunakan di negara lain digantikan dengan PKP ataupun Perintah Kawalan Pergerakan ataupun MCO ("movement control order"). Memang terdapat beberapa bentuk menghadkan pergerakan contohnya seperti "total lockdown" di mana orang ramai tidak langsung dibenarkan keluar rumah seperti penguatkuasaan darurat. Ada juga lockdown yang bersifat separa ataupun partial lockdown di mana pergerakan tidak disekat sepenuhnya, orang ramai masih boleh bergerak dengan syarat2 tertentu. PKP yang diamalkan di Malaysia adalah dalam bentuk partial lockdown di mana orang ramai diarahkan untuk tinggal di rumah tetapi masih boleh pergi ke tempat tertentu untuk tujuan2 yang dibenarkan sahaja dan mesti berseorangan. Sekolah dan hampir semua pejabat telah ditutup. Hanya beberapa jenis perniagaan sahaja yang dibenarkan beroperasi tetapi perlu mematuhi syarat2 yang ketat. Mengapa negara kita mengambil langkah ini, berikut adalah penjelasan saya.

Langkah-langkah pencegahan dan PKP yang dilaksanakan oleh kerajaan adalah selari dengan pendapat pakar2 epidemiologi dan virologi di seluruh dunia. Ianya juga adalah saranan WHO dan banyak lagi pertubuhan kesihatan dunia berdasarkan kajian dan pengalaman yang lalu (rujuk 2 graf terakhir di bawah yang menunjukkan kesan penjarakkan keatas wabak Spanish Flu pada tahun 1918). Mengharapkan imuniti berkelompok tercapai sendiri tanpa ikhtiar yang proaktif adalah langkah yang sangat merbahaya kerana virus Covid-19 (SARS-CoV 2) adalah sejenis virus yang baru dan pakar belum dapat memastikan sejauh mana kekebalan yang akan dimiliki oleh orang yang dijangkiti. WHO baru sahaja mengeluarkan kenyataan tentang kebimbangan mereka tentang kemungkinan imuniti yang terhad oleh bekas pesakit Covid-19 di mana peratusan yang mempunyai antibodi adalah rendah.  Adakah ini bermaksud pesakit masih boleh dijangkiti selepas sembuh? Faktor kedua adalah jika langkah PKP tidak dikuatkuasakan dan langkah2 pencegahan lain tidak dilakukan, bilangan kematian yang sepatutnya dapat dielakkan akan meningkat pada bilangan yang tidak dapat dibayangkan kerana kadar kematian Covid-19 adalah 10 kali lebih tinggi daripada jangkitan virus influenza (demam selesema). Itu belum lagi mengambil kira kes-kes yang perlu dimasukkan ke dalam wad dan unit rawatan rapi.

Dengan nombor reproduksi 2.7-3.0, pakar epidemiologi menganggarkan sejumlah 50-60% daripada populasi perlu menjadi kebal kepada virus Covid-19 sebelum mencapai imuniti berkelompok (tanpa menggunakan vaksin).Jika ini cuba dicapai melalui kaedah semulajadi yakni membiarkan jangkitan tersebar sendiri tanpa melakukan sebarang ikhtiar termasuk PKP, maka kita boleh mengira beban penyakit yang perlu ditanggung. Jumlah penduduk Malaysia adalah 33 juta orang, 60% daripada angka ini adalah 19.8 juta orang. Dengan kata lain, kita perlu membiarkan 19.8 juta orang penduduk Malaysia dijangkiti sebelum boleh mencapai imuniti berkelompok. Jika kadar kematian Covid-19 adalah 1% , maka ini bermaksud kita perlu kehilangan  198,000 nyawa rakyat Malaysia. Itu belum mengambil kira berapa ramai yang perlu dimasukkan ke dalam wad dan memerlukan bantuan pernafasan. Jika kita ambil kadar kematian yang lebih rendah, contohnya 0.5% sekalipun ini sudah melibatkan jumlah kematian 99,000 orang. Kita tidak tahu untuk berapa lama pesakit2 ini perlu berada di wad dan ICU. Memang kita mungkin telah berjaya menyekat wabak Covid-19 tetapi dengan kos yang terlalu tinggi. Itupun jika semua orang yang dijangkiti boleh menjadi kebal daripada jangkitan virus ini. Mahukah kita mengambil risiko tersebut? Takut pada ketika itu, perkhidmatan kesihatan dan ekonomi negara kita runtuh. Di sini jelas bahawa membiarkan wabak ini menular tanpa dilakukan PKP boleh membawa risiko yang jauh lebih besar. Memang PKP tidak boleh berterusan sebaliknya perlu ada had dan proses melonggarkan PKP sehingga ditarikbalik dilakukan secara berhati2 serta berperingkat. 

Kesimpulannya pendekatan yang lebih selamat adalah melalui kaedah yang pro-aktif menghadkan pergerakan orang ramai seperti mana yang dilaksanakan sekarang, melakukan "exit process" yang berhati2 apabila wabak dapat ditangani, menanamkan amalan kebersihan, penjarakkan fizikal sepanjang masa dan pada waktu yang sama mengharapkan terhasilnya ubat yang berkesan serta vaksin yang akan menyumbang kepada imuniti berkelompok di masa hadapan. Negara2 yang ingin mengambil pendekatan berbeza mestilah mampu untuk melakukan ujian Covid 19 secara meluas, kemampuan mengesan kontak yang berkesan, mempunyai keupayaan perkhidmatan kesihatan yang tinggi, berupaya mengisolasikan kumpulan berisiko dengan berkesan, mempunyai kepadatan penduduk yang rendah serta sikap penduduk yang berdisiplin dan mengamalkan langkah2 pencegahan. Itupun mestilah disertakan dengan perintah menghadkan bilangan orang yang boleh berkumpul dan menutup sekolah untuk mengurangkan kesesakan. Tidak ada negara yang sanggup mengambil risiko untuk tidak melakukan sebarang bentuk kawalan pergerakan kerana ini akan mengundang kemudaratan yang besar.

Nota: Covid-19 adalah nama penyakit, virus yang menyebabkan Covid-19 adalah SARS-CoV 2. Perkataan "virus Covid-19" merujuk kepada SARS CoV 2.

Dato’ Dr.Mohd Rushdan Md Noor