Showing posts sorted by date for query Teori konspirasi. Sort by relevance Show all posts
Showing posts sorted by date for query Teori konspirasi. Sort by relevance Show all posts

Friday, 30 October 2026

MAKLUMAT PALSU PUNCA STRES

 


Kebanjiran maklumat di era digital kini bertukar menjadi satu bebanan mental yang berat kepada masyarakat. 

Berdasarkan kajian Stress in America 2026 oleh American Psychological Association (APA), sebanyak 64% rakyat Amerika meletakkan penyebaran maklumat palsu atau mengelirukan sebagai punca utama stres mereka. 



Fenomena ini berkait rapat dengan Brandolini's Law (Prinsip Asimetri Nonsen), yang menyatakan bahawa tenaga yang diperlukan untuk membetulkan sesuatu maklumat palsu adalah jauh lebih besar dan memakan masa berbanding dengan mencipta atau menyebarkannya.



Contoh terbaik adalah isu kolesterol dan Statin.

Terdapat naratif viral di media sosial yang mendakwa kolesterol sama sekali tidak berbahaya, serangan jantung hanyalah rekaan, dan ubat penurun kolesterol (statin) adalah konspirasi syarikat farmaseutikal yang merosakkan organ badan. 

Akibatnya, ada pesakit yang bertindak menghentikan ubat secara melulu tanpa nasihat perubatan, sekali gus membahayakan nyawa mereka sendiri. Tidak kurang yang beraleh kepada alternatif yang kurang berkesan dan tidak diketahui kesan jangka panjang.

Begitu juga dengan mitos vaksin punca autisma dan banyak lagi salah faham kesihatan yang disebarkan. Ibubapa jadi takut dan keliru. Sehingga penyakit2 berjangkit yang sudah lama hilang, muncul kembali akibat liputan vaksin yang rendah.

MENGAPA MAKLUMAT PALSU MUDAH TIMBUL DAN DISEBARKAN

Terdapat beberapa faktor utama yang mendorong ekosistem maklumat yang tidak sihat ini:

1. Algoritma Media Sosial: Platform digital direka untuk mengutamakan kandungan yang mencetuskan emosi keterlaluan (seperti takut, marah, atau kejutan). Maklumat palsu selalunya lebih sensasi berbanding fakta sains yang dianggap hambar.

2. Keuntungan Ekonomi dan Pengaruh: Penghasilan berita palsu seumpama ini mampu menjana pulangan iklan yang lumayan serta meningkatkan jumlah pengikut (followers) dengan cepat. Tidak kurang yang menjual produk alternatif yang kononnya lebih baik. Industri wellness menyediakan kek pendapatan yang jauh lebih besar dari apa yang dihasilkan oleh syarikat farmaseutikal.

3. Kos Penghasilan yang Rendah: Mengikut Brandolini's Law, sesiapa sahaja boleh menaip satu baris kenyataan palsu dalam masa 5 saat tanpa sebarang rujukan. Sebaliknya, proses semakan fakta secara ilmiah memerlukan pembacaan jurnal berjam-jam lamanya, itupun belum tentu mampu menangkis mitos yang disebarkan.

IMPLIKASI TERHADAP INDIVIDU DAN MASYARAKAT

1. Kelesuan Kognitif ("Cognitive Fatigue"): Otak manusia menjadi penat kerana sentiasa berada dalam mode curiga, takut dan terpaksa memikirkan kesahihan setiap berita yang dibaca.

2. Kehilangan Kepercayaan: Masyarakat mula hilang kepercayaan kepada institusi arus perdana, pakar perubatan, dan badan kerajaan, lalu beralih kepada pengamal alternatif dan percaya kepada teori konspirasi yang tidak berasas.

3. Keputusan Kesihatan yang salah: Kekeliruan maklumat boleh membawa kepada peningkatan kes penyakit kritikal yang sepatutnya boleh dicegah awal atau dirawat jika pesakit mendapat rawatan yang betul.

CARA BIJAK MENAPIS MAKLUMAT DI MEDIA SOSIAL

Bagi mengurangkan stres dan melindungi diri daripada manipulasi maklumat, kemampuan untuk menapis msklumat amat diperlukan:

1. Semak Label dan Sumber Asal: Apabila menerima sesuatu maklumat kesihatan atau berita penting, pastikan anda menyemak label fizikal ubat, kategori produk, nombor pendaftaran, hologram, merujuk portal rasmi seperti Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), atau dapatkan nasihat dari pakar.

2. Gunakan Kaedah Tiga Pilihan (Differential Check): Jika menemui sesuatu dakwaan perubatan yang meragukan di internet, jangan terus membuat kesimpulan. Sentiasa cari sekurang-kurangnya tiga sumber atau pandangan pakar perubatan yang berbeza dan bertauliah untuk mendapatkan gambaran yang seimbang dan berasaskan konsensus sains. Bukan pakar segera ataupun pempengaruh media sosial yang tidak layak. Pilih pakar mengikut kepakaran, contohnya pakar jantung, pakar kanser, pakar endokrin dan seterusnya.

3. Jika terjumpa rencana tentang kesihatan, jangan terus membaca. Selidik dahulu penulis dan kelayakannya. Sumber rujukan penulis dan semak latar belakang portal yang menyiarkan rencana itu. Jangan baca jika identiti penulis tidak diketahui, takut anda terperangkap dalam algoritma maklumat palsu.

4. Amalkan Sikap "Sabar Sebelum Kongsi": Fikirkan impak maklumat tersebut sebelum menekan butang kongsi. Jika maklumat itu tidak mempunyai rujukan daripada jurnal atau pakar yang sahih, hentikan penyebarannya. Jangan share screenshot atau posting pendek yang tidak diketahui penulis dan sumber.


Dato"Dr.Rushdan Noor

1hb Nov 2026



Thursday, 15 January 2026

10 TIP MENAPIS MAKLUMAT PALSU TENTANG PEMAKANAN DAN DIET DALAM MEDIA SOSIAL

 


PENDAHULUAN

Media sosial kini menjadi sumber utama maklumat pemakanan bagi masyarakat awam. Malangnya, sebahagian besar kandungan yang tular tidak disaring melalui kaedah saintifik, sebaliknya dibina atas naratif emosi, ketakutan dan janji kesihatan yang melampau. Akibatnya, ramai yang keliru, takut untuk makan secara normal, dan akhirnya mengamalkan diet yang tidak seimbang. 

Artikel ini menghuraikan sepuluh tip berfikir yang boleh membantu masyarakat menilai dan menapis maklumat palsu berkaitan pemakanan dan diet.

TIP 1: DOS MENENTUKAN KESAN, BUKAN LABEL "BAIK" ATAU "BURUK" 

Dalam sains pemakanan, sesuatu makanan tidak boleh dinilai sebagai berbahaya atau bermanfaat tanpa melihat jumlah dan kekerapan pengambilannya. Contohnya, daging yang dibakar hangus boleh menghasilkan sebatian seperti heterocyclic amines (HCA) dan polycyclic aromatic hydrocarbons (PAH) yang dikaitkan dengan risiko kanser dalam kajian makmal. Namun, pengambilan sekali-sekala dalam diet seimbang tidak membawa makna risiko yang sama berbanding pengambilan hampir setiap hari, dalam kuantiti besar dan tanpa variasi makanan lain. Begitu juga santan, gula dan garam, ia bukan racun, tetapi boleh memberi kesan buruk jika diambil secara berlebihan dan berterusan.Hatta, dalam setiap bahan makanan ujud sebatian2 kimia dan kompoun2 yang toksik tetapi dalam kuantiti yang kecil dan dineutralkan oleh bahan2 lain yang diambil bersama ataupun oleh sistem perkumuhan tubuh seseorang.

TIP 2: CORAK PEMAKANAN JANGKA PANJANG LEBIH PENTING DARIPADA "SUPERFOOD".

Kesihatan tidak ditentukan oleh satu makanan tertentu, sebaliknya oleh corak pemakanan keseluruhan. 

Dalam konteks Malaysia, pengambilan nasi bersama sayur, ulam, ikan, ayam, tempe atau tauhu secara konsisten seperti dalam garispanduan diet (Separuh-Suku-Suku) jauh lebih bermakna daripada mengejar makanan yang digelar superfood atau amalan popular seperti suplemen, diet ekstrem, teh detok, dakwaan makan X  boleh cegah atau rawat penyakit  A, B dan C, makanan reset usus dan hati, dan lain2 yang tidak disokong oleh kajian saintifik. 

Kajian menunjukkan corak pemakanan yang seimbang dan berterusan memberi kesan jauh lebih besar terhadap kesihatan berbanding amalan pemakanan jangka pendek yang tular di media sosial.

TIP 3: RUJUK KONSENSUS PAKAR TENTANG ASAS PEMAKANAN YANG SEBENAR 

Garispanduan diet yang dikeluarkan oleh badan2 kesihatan berautoriti telah diteliti dan dihasilkan oleh konsensus pakar2 yang berwibawa. Walaupun pemakanan sering dipersembahkan sebagai bidang yang kompleks, terdapat konsensus yang hampir universal. Pakar2 bersetuju tentang kepentingan makanan segar yang sebenar dan minimumkan makanan diproses, pengambilan protein mencukupi, serat yang tinggi, meminimakan lemak trans, dan kawalan gula tambahan, lemak tepu serta garam. Di luar prinsip asas ini, banyak dakwaan diet yang kedengaran hebat sebenarnya masih kurang bukti kukuh dan sering bersifat pendapat peribadi atau strategi pemasaran.

Contoh: Konsensus pakar menyarankan minima atau elak lemak trans, hadkan lemak tepu kurang dari 10% kalori, gula tambahan kurang dari 5-10% kalori dan hadkan garam kurang dari 5 gram sehari. Tetapi ada pihak mendakwa "diet keto, diet karnivore selamat dan boleh makan banyak lemak tepu dan garam atau mendakwa buah2an dan sayur tidak baik untuk kesihatan", ini berlawanan dengan konsensus pakar. Testimoni dijadikan bukti, tanpa menimbang risiko kardiovaskular dan metabolik.

TIP 4: DAKWAAN LUAR BIASA MEMERLUKAN BUKTI YANG LUAR BIASA. 

("EXTRAORDINARY CLAIMS NEED EXTRAORDINARY EVIDENCE") 

Jika sesuatu dakwaan bercanggah dengan garis panduan pemakanan atau keselamatan makanan negara, ia perlu disokong dengan bukti yang sangat kukuh. Contoh dakwaan luar biasa adalah "diet karnivor adalah diet terbaik untuk manusia" , "puasa dan diet zero gula boleh rawat kanser", "diet ketogenik boleh rawat sakit jantung dan Alzheimers", "Herba ini dan jus itu boleh merawat kanser". Contoh lain, suplemen herba ini boleh ganti ubat moden. Produk ini, makan itu dan kaedah ini boleh "boost performance", reset usus, reset hati, stabilkan hormon dan detoks tubuh badan. Hakikatnya, tiada bukti saintifik yang kukuh menyokong dakwaan2 ini. Jika sudah ada bukti yang kukuh, sudah tentu pakar2 di dalam bidang penyakit2 ini akan menggunakannya.

Ciri-Ciri Dakwaan Luar Biasa (Red Flags)

a. Bertentangan dengan garis panduan rasmi

b. Melibatkan tuduhan konspirasi industri atau kerajaan

c. Tiada rujukan kajian manusia berkualiti

d. Menggunakan istilah2 yang bunyinya saintifik tetapi kabur dan asing kepada komuniti perubatan arus perdana. (Contoh reset, detoks, leaky gut, badan berasid, keradangan senyap, bioenergi makanan, mitokondria lemah dan lain2) 

e. Menggunakan logik emosi, bukan data

f. Selalunya diikuti dengan jualan produk atau program coaching

TIP 5: FAHAMI TAHAP RISIKO, BUKAN SEKADAR TAJUK SENSASI

Media sosial sering memetik peningkatan risiko penyakit tanpa menjelaskan risiko sebenar. Contohnya makan itu dan ini boleh sebabkan penyakit itu dan ini, sedangkan tidak disebut oleh pakar2 di dalam bidang tersebut. 

Jika pun ada risiko, perlu teliti data2 dan tahap risiko itu. Apabila risiko asal sesuatu penyakit sangat rendah, peningkatan kecil secara statistik mungkin kelihatan besar tetapi tidak bermakna ianya praktikal atau relevan kepada individu. Contohnya risiko asal 0.001% untuk dapat kesan atau penyakit tertentu,  peningkatan kepada 0.002% boleh dianggap tinggi (peningkatan 100%) dari segi statistik tetapi realitinya masih rendah kesannya (tambahan 1 kes dalam 100,000). Ada juga risiko itu diambil dari hasil kajian makmal yang tidak dibuktikan ke atas manusia, mitos yang diulang2 dan ada juga salah tafsir hasil kajian. Pernah tak terlintas ayat2 berikut ? " Microwave menyebabkan Kanser" , "Gula Meransang Sel Kanser", "Susu dan Soya Menyebabkan Kanser Payudara" dan lain2.

Tanpa konteks risiko mutlak, maklumat sebegini mudah menimbulkan ketakutan, panik dan salah faham dalam kalangan masyarakat. Sedangkan penyebarnya hanya mengejar populariti dan mengumpul pengikut 

TIP 6: MEKANISMA BIOLOGI TANPA HASIL KLINIKAL, BUKAN NASIHAT PERUBATAN. ("MECHANISM WITHOUT OUTCOME IS NOT HEALTH ADVISE")

Banyak dakwaan pemakanan menggunakan istilah saintifik seperti “lonjakan insulin”, “kerintangan insulin”, “keradangan ringan”, “gangguan hormon”, dan lain2,  istilah yang tidak kelihatan, tetapi kedengaran meyakinkan. Namun, mekanisma biologi semata-mata tidak membuktikan kesan kesihatan sebenar ke atas manusia. Ia hanya menerangkan apa yang mungkin berlaku di peringkat sel dan tisu, bukan apa yang benar-benar dialami oleh tubuh manusia. Tidak sedikit hujah yang kelihatan kukuh kerana sarat teori, tetapi gagal disokong bukti klinikal tentang manfaat atau keselamatan sebenar kepada manusia.

Sebagai contoh, hakikat bahawa nasi putih menaikkan paras gula darah tidak bermakna semua pemakan nasi akan menghidap diabetes. Fruktosa boleh merangsang lipogenesis (penghasilan lemak), namun fruktosa dalam buah datang bersama serat, air dan fitokimia, dan kajian tidak menunjukkan pengambilan buah menyebabkan hati berlemak. Begitu juga omega-6 sering dikaitkan dengan keradangan secara teori, sedangkan kajian klinikal ke atas manusia tidak menyokong dakwaan tersebut, malah menunjukkan manfaat kesihatan.

Tip ke-6 ini termasuk juga dakwaan ekstrak daun, akar dan buah yang boleh merawat kanser hasil dari kajian makmal ke atas lapisan sel dan tikus makmal. Dapatan daripada kajian di dalam makmal ini tidak semestinya menghasilkan keputusan yang sama ke atas manusia. Walaupun ada penjelasan biologi dan mekanisma mematikan sel kanser di dalam makmal, ia tidak menunjukkan kesan yang sama apabila diberikan pada manusia, jadi dakwaan itu terhenti setakat spekulasi sahaja.

Apa yang berlaku dalam sel, makmal atau haiwan tidak semestinya mencerminkan realiti manusia, sebab itu dakwaan pemakanan perlu dibuktikan melalui kajian klinikal ke atas manusia.

TIP 7: ELAK TERPEDAYA ATAU TERPENGARUH DENGAN SATU KAJIAN SAHAJA ("SINGLE STUDY SENSATION")

Dalam dunia penyelidikan, satu kajian boleh menyokong hampir apa sahaja. Konsensus sains hanya terbina apabila banyak kajian berkualiti tinggi menunjukkan hasil yang konsisten. 

Oleh itu, nasihat pemakanan yang benar-benar kukuh biasanya tidak berubah mengikut trend atau kajian tunggal yang tular di media sosial. Contoh satu kajian menunjukkan kopi meningkatkan risiko kanser tetapi bila diteliti, ada isu metodologi dan konteks, apabila lebih banyak kajian dirujuk dan dilakukan, pendapat awal itu ditolak. Rupa2nya kopi yang diambil pada kadar yang tertentu adalah selamat dan memanfaatkan kesihatan. 

Dalam sains pemakanan, kebenaran tidak ditentukan oleh kajian paling tular, tetapi oleh keseluruhan bukti yang konsisten merentas masa dan populasi.

TIP 8: TANYA APA YANG DIGANTIKAN DALAM DIET

Soalan yang lebih penting daripada “makanan ini baik atau buruk” ialah makanan tersebut menggantikan apa dalam diet. Menggantikan minyak tinggi  lemak tepu dengan minyak yang tinggi lemak tidak tepu boleh memberi manfaat kardiovaskular, tetapi menggantikan sayur dan protein dengan makanan bergoreng akan bermasalah. Menggantikan roti putih halus dengan roti bijirin penuh ("wholemeal"), membekalkan serat lebih tinggi, kawalan gula darah lebih baik. Tetapi jika protein, sayur dan buah2an digantikan dengan roti bijirin penuh, diet jadi tidak seimbang dan kalori boleh jadi berlebihan.

Konteks penggantian ini sering diabaikan dalam perbincangan popular tentang diet.

TIP 9: BEZAKAN NASIHAT UMUM DAN KEPERLUAN INDIVIDU

Nasihat pemakanan awam bertujuan memberi panduan umum, bukan amalan peribadi. Apa yang sesuai untuk atlet, pesakit diabetes, warga emas dan kanak2 tidak semestinya sesuai untuk semua orang. Contoh mendakwa "intermittent fasting" baik untuk kesihatan semua orang adalah tidak benar kerana ia boleh memudaratkan pesakit diabetes yang dirawat dengan insulin, wanita hamil, menyusu, masalah gangguan pemakanan ("eating disorders") dan lain2. Mengamalkan nasihat diet tanpa mengambil kira keadaan individu boleh membawa kepada amalan pemakanan yang tidak sesuai dan berisiko.

TIP 10: BERHATI-HATI DENGAN NARATIF TAKUT DAN JANJI MUDAH 

Jika sesuatu kandungan/konten menggunakan bahasa ekstrem, menyalahkan satu bahan sebagai punca semua penyakit, dan menawarkan satu penyelesaian mudah, ia biasanya lebih dekat kepada pemasaran daripada sains. Contoh, "gula membunuh senyap-senyap dan semua penyakit berpunca daripada gula". Realitinya dos, konteks dan pola diet keseluruhan lebih penting. 

Ciri-Ciri utama naratif takut dan janji mudah adalah:

a. Bahasa ekstrem: racun, membunuh, punca semua penyakit

b. Satu punca kepada banyak penyakit

c. Satu solusi untuk semua masalah

d. Tiada perbincangan dos, konteks, atau bukti klinikal

e. Selalunya diakhiri dengan jualan produk atau program coaching.

Pendidikan pemakanan yang baik tidak berasaskan ketakutan, tetapi kefahaman yang seimbang dan berlandaskan bukti.

KESIMPULAN 

Dalam menilai maklumat pemakanan di media sosial, persoalan yang lebih jujur bukanlah sama ada sesuatu makanan itu baik atau buruk, tetapi berapa banyak, berapa kerap, dalam diet siapa, dan berbanding apa. Dengan menggunakan sepuluh panduan ini, masyarakat boleh menapis maklumat pemakanan yang lebih rasional, seimbang dan berasaskan sains, tanpa terperangkap dalam kitaran mitos dan sensasi yang tidak berkesudahan.

Dato' Dr.Rushdan Noor

16hb Jan 2026

Thursday, 1 January 2026

MEMASUKI TAHUN 2026 DENGAN BUKTI YANG MENCUKUPI TENTANG KESELAMATAN VAKSIN COVID-19



MEMASUKI TAHUN 2026 DENGAN BUKTI YANG MENCUKUPI TENTANG KESELAMATAN VAKSIN COVID-19

Sepanjang tahun 2025, saya telah banyak menulis dan berkongsi hasil kajian berkaitan keselamatan vaksin Covid-19, khususnya bagi menjawab pelbagai tuduhan dan dakwaan tidak berasas yang sering dibangkitkan oleh golongan antivaksin.

Memasuki tahun baharu 2026, saya boleh menyimpulkan bahawa perkongsian mengenai keselamatan vaksin Covid-19 telah meliputi hampir semua aspek utama yang sering dipertikaikan  bukan sahaja di Malaysia, malah di peringkat global. Isu-isu ini telah dikaji secara meluas melalui kajian berskala besar dan berwibawa.

Kini, kesan sebenar vaksin Covid-19 semakin jelas apabila banyak kajian besar telah diterbitkan dengan keputusan yang konsisten. Kajian-kajian ini bukan bersifat terpencil, sebaliknya merupakan replikasi dan pengesahan silang antara satu sama lain, yang secara kolektif menunjukkan manfaat vaksin Covid-19 jauh mengatasi risikonya.

Antara bukti keselamatan vaksin Covid-19 yang telah saya kongsikan adalah seperti berikut:

  1. 20 Manfaat Vaksin Covid-19
    https://www.facebook.com/rushdan.noor/posts/pfbid0fFXoJMrkKne5Uobvj43uWibw1DiHMAB38cagUmpc6BTF9xcESeWc3XVSUy2uUq7Xl

  2. Bukti Keselamatan (“Safety”) Vaksin Covid-19
    https://www.facebook.com/rushdan.noor/posts/pfbid0cxqjktDUWsL5wBXYeSrLuoWeLDrMQaiTBjHm9y8JxzrXdkfLs3QXpXpFTR79CX3dl

  3. Kemaskini Bukti Terkini Vaksin Covid-19, Influenza dan RSV
    https://www.facebook.com/rushdan.noor/posts/pfbid0vz6EacnRwdPCx96AGmZYMqaHqeh4BatCvAtzNC8qbka2hi3Dqov4kbgx3opLcqrYl

  4. Vaksin Covid-19 Bukan Penyebab Kanser 

  5. Rakyat Malaysia Bukan Bahan Ujikaji Vaksin Covid-19
    (Kajian lengkap telah dijalankan sebelum program vaksinasi dilaksanakan)
    https://www.facebook.com/rushdan.noor/posts/pfbid037AonhdFE4XkpmXtZ4ey7c1ESaopEzAFzBt1JcHcjtVBaA3fKqL5ZuG6VUNXvo2zQl

  6. Kajian Mega (28 Juta Peserta) Menolak Dakwaan Vaksin Menyebabkan Peningkatan Kematian
    https://www.facebook.com/rushdan.noor/posts/pfbid0FSMKXz5wPsaLaJXpqG1dGPVwxEAxjK9UVwa25TZnt3tQfqvuqALxYF4YKHjptnEKl

  7. Trend Kadar Kematian Malaysia (DOSM) Membuktikan Keberkesanan Vaksin Covid-19
    https://www.facebook.com/rushdan.noor/posts/pfbid0FSMKXz5wPsaLaJXpqG1dGPVwxEAxjK9UVwa25TZnt3tQfqvuqALxYF4YKHjptnEKl

  8. Kajian 14 Juta Peserta: Manfaat Vaksin Melebihi Mudarat kepada Kanak-kanak dan Remaja
    https://www.facebook.com/rushdan.noor/posts/pfbid02jJ1EiGNi6rJn3tZ5XbotpEqgZ8WQqStjj5qSiFUSUdjU6DBai9cVnP1twRpttHekl

  9. Vaksin Covid-19 dan Kehamilan: Tiada Risiko Kecacatan Bayi Major, Mengurangkan Kelahiran Pra-matang dan Meningkatkan Keselamatan Ibu
    https://www.facebook.com/rushdan.noor/posts/pfbid02XDXmQMWFYNugbqgrNZAtXWeEdJpu2EEzRzc68oNk1i1W8gwQ3qbma4jwdbFiz2qzl

  10. Covid-19 dan Teori Konspirasi
    https://www.facebook.com/rushdan.noor/posts/pfbid02LvUkB8jGJe4U6RikcxTMg62DMwtdiugbrM8x4cBVzEf7vsgFvj9WeizaLPeAmnpSl

  11. Dakwaan “Detox” Vaksin Covid-19 Menggunakan Suplemen Anti-Spike Protein Adalah Tidak Berasas
    https://www.facebook.com/rushdan.noor/posts/pfbid0TYuAYywDSMcwhuM5WpAs5wevea4DFgU9XrXDT7VtHf78sWLew8mVKhfTJRVWC6asl

  12. Kajian di Malaysia: Ivermectin Tidak Berkesan Mencegah Covid-19 Menjadi Teruk
    https://www.facebook.com/rushdan.noor/posts/pfbid02eAQZ8m5kTMjSX3hP6xg74gi9GT89Vo1c8ccyYwSbLiBN9DJw9Y36E5wKAyGp1vSsl

Data-data ini merangkumi semua peringkat umur daripada kanak-kanak, remaja, dewasa, warga emas, sehinggalah wanita hamil. Ia bukan bersandarkan kepada satu kajian tunggal, tetapi disokong oleh pelbagai kajian besar yang menghasilkan dapatan yang selari.

Kajian berkaitan vaksin Covid-19 masih terus dijalankan dari semasa ke semasa. Setakat ini, bukti saintifik yang kukuh menunjukkan bahawa manfaat vaksin Covid-19 jauh mengatasi sebarang mudarat. Tuduhan tidak berasas daripada golongan antivaksin dapat dipatahkan sekiranya kita bersikap terbuka, kritikal dan bersedia menilai bukti secara objektif.

Bukti-bukti ini juga menolak dakwaan liar terhadap Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan para petugas kesihatan yang berada di barisan hadapan ketika wabak Covid-19 melanda negara. Sumbangan dan pengorbanan mereka wajar dihargai, malah mereka selayaknya diangkat sebagai wira yang membantu Malaysia keluar daripada krisis kesihatan global tersebut.

Dato' Dr.Rushdan Noor
1 Januari 2026

Saturday, 27 September 2025

BENARKAH DAKWAAN TIDAK PERLU RISAU TAHAP KOLESTEROL DARAH



Wujud satu golongan dalam masyarakat yang mengambil pendirian bercanggah dengan komuniti saintifik arus perdana. Mereka mengeluarkan banyak pandangan berlawanan, kebanyakannya bersumberkan tokoh pseudosains atau perubatan fungsional yang kontroversi. Perbezaan pendapat dalam kalangan pengamal perubatan moden adalah perkara biasa, tetapi apabila pandangan itu terpesong daripada konsensus pakar, ia boleh mendatangkan mudarat kepada orang ramai..

Salah satu dakwaan yang diketengahkan ialah semua kolesterol itu baik dan tidak perlu dibimbangkan. Tidak perlu bimbang dengan tahap kolesterol darah yang tinggi. Sedangkan komuniti perubatan telah lama membuktikan kewujudan kolesterol tidak sihat dalam darah yang memudaratkan apabila tahapnya melebihi sesatu bacaan, iaitu LDL-C.

Saya senaraikan 6 kemungkinan mengapa ada pihak yang salah faham tentang kolesterol dan menyebarkan maklumat salah ini kepada masyarakat. 

1. SALAH TAFSIR FAKTA SAINTIFIK

Golongan ini sering berhujah dengan kenyataan lama bahawa “separuh daripada pesakit serangan jantung mempunyai kolesterol normal.” Hakikatnya, risiko penyakit jantung ditentukan oleh gabungan faktor seperti umur, diabetes, merokok, tekanan darah dan gaya hidup, bukan kolesterol sahaja. Memang benar LDL bukan satu-satunya faktor, tetapi ia adalah faktor penyebab utama yang boleh diubah melalui rawatan.

Ada juga pihak yang memilih kajian epidemiologi kecil atau data pemerhatian terpilih yang kelihatan bercanggah dengan konsensus global, lalu menggunakannya untuk menolak bukti kukuh. Sikap memilih bukti lemah ("cherry picking") dan mengabaikan bukti yang jauh lebih kukuh adalah fenomena biasa dalam kalangan anti-sains dan pro-pseudosains.

Alasan bahawa kolesterol penting untuk banyak fungsi di dalam badan termasuk penghasilan hormon bukan alasan ianya baik untuk segala2nya kerana yang baik buruk bukan terletak pada nama tetapi pada kuantiti bahan itu. 

2. KEKELIRUAN ANTARA PENANDA (“MARKER”) DAN PENYEBAB

Sesetengah pihak mendakwa LDL hanyalah “penanda” ("marker") dan bukannya punca penyakit. Pandangan yang salah ini sering dipopularkan oleh perubatan fungsional yang gemar menyebut istilah “root cause” dan meletakkan semua punca kepada kerintangan insulin dan keradangan. Hakikatnya, walaupun kerintangan insulin dan keradangan boleh mempercepatkan proses aterosklerosis (salir darah tersumbat), ianya adalah faktor risiko tambahan. Banyak serangan jantung berlaku tanpa kehadiran diabetes atau keradangan tinggi. Ini membuktikan bahawa partikel LDL tetap menjadi asas pembentukan plak dan punca utama serangan jantung.

Kajian2 besar telah menunjukkan dengan jelas bahawa LDL bukan hanya berkorelasi, tetapi adalah penyebab langsung aterosklerosis ("causal relationship"). Setelah diketepikan faktor perancu ("confounding"), menurunkan LDL-C darah dengan apa sekali pun akan menurunkan risiko aterosklerosis (penumbatan saluran darah), walaupun pada tahap keradangan rendah, manakala peningkatan LDL-C meningkatkan risiko penyumbatan. (1,2)

3. KELIRU ANTARA MAKANAN BERKOLESTEROL DAN KOLESTEROL DARAH

Kajian menunjukkan kolesterol daripada makanan tidak banyak mempengaruhi paras kolesterol darah seperti yang disangka dahulu. Sebaliknya, pengambilan lemak tepu memainkan peranan lebih besar dalam meningkatkan paras LDL, iaitu kolesterol “jahat” yang boleh menyumbat saluran darah (9–11).

Atas sebab itu, garis panduan antarabangsa kini menekankan pengurangan lemak tepu dan lemak trans berbanding sekadar menghadkan makanan berkolesterol tinggi seperti telur atau udang.

Namun begitu, paras LDL yang tinggi dalam darah tetap terbukti meningkatkan risiko penyakit jantung koronari dan angin ahmar (1,2,13).

4. PENGARUH INDUSTRI SUPLEMEN DAN “WELLNESS”

Ada kepentingan komersial tersembunyi. Apabila faktor kolesterol sengaja ditenggelamkan, peluang untuk menjual apa sahaja produk tentu lebih luas walaupun tidak berkesan menurunkan tahap kolesterol. 

Menjatuhkan reputasi ubat moden secara tidak langsung mempromosikan kaedah alternatif untuk merawat penyakit. Akhirnya orang ramai beraleh kepada produk alternatif dan membeli program diet ekstrem. Ada amalan diet ekstrem ini mempunyai kesan meningkatkan LDL darah. Kolesterol naik tak apa, tak merbahaya, yang penting berat badan turun,  kata mereka. Jangan ambil ubat hospital, bahaya dan tidak berkesan.

Industri ini sering menakut-nakutkan orang ramai dengan menggambarkan ubat moden (contohnya statin) sebagai musuh, semata-mata untuk mempromosikan produk mereka. Teori konspirasi Big Pharma dijadikan alasan untuk menyebar salah faham tentang ubat moden dan menjejaskan keyakinan orang ramai.

5. TESTIMONI LEBIH MUDAH DITERIMA BERBANDING DATA SAINTIFIK

Ramai lebih percaya pada testimoni individu (“saya ambil minyak kelapa, kolesterol turun dan sihat”) berbanding bukti daripada kajian klinikal melibatkan ribuan pesakit. Testimoni memang kedengaran “realistik” dan “dekat di hati,” tetapi dalam sains ia adalah bukti paling lemah.

Lebih malang, testimoni yang mendakwa sihat walaupun kolesterol tinggi tersebar luas di media sosial, lalu dianggap benar dan terpakai untuk semua orang. Masalahnya, aterosklerosis berkembang secara senyap selama bertahun-tahun sebelum serangan jantung atau angin ahmar berlaku. Apabila serangan berlaku barulah mereka sedar, tetapi jarang mengakuinya secara terbuka kerana faktor malu. Masyarakat hanya nampak maklumat yang terdahulu sahaja.

6. TERIKUT-IKUT DENGAN TREND TANPA USUL PERIKSA

Sebahagian masyarakat mudah terpengaruh dengan maklumat yang tular di media sosial. Mereka tidak menyemak latar belakang sumber dan menerima bulat-bulat informasi separuh masak.

Banyak “like” atau “share” bukan tanda kebenaran. Maklumat yang kebetulan selari dengan kepercayaan yang sudah tertanam dalam minda mereka akan lebih mudah diterima, kemudian mereka pula menjadi penyebar maklumat yang salah. 

LDL DAN PENYAKIT JANTUNG: REALITI YANG TIDAK DAPAT DINAFIKAN

Bagi sesiapa yang masih ragu-ragu, bukti saintifik daripada pelbagai kajian besar dan konsensus antarabangsa telah jelas menunjukkan bahawa LDL atau lebih tepat lagi Non-HDL-C bukan sekadar nombor di kertas ujian, tetapi penyebab utama aterosklerosis dan komplikasi kardiovaskular.

Kajian konsensus menggabungkan data genetik, epidemiologi prospektif dan ujian klinikal rawak, dan kesimpulannya jelas: semakin rendah paras LDL, semakin rendah risiko serangan jantung dan angin ahmar (strok), tanpa mengira kaedah menurunkannya. (1,2). Satu kajian ini sahaja cukup untuk menafikan semua tanggapan salah tentang kolesterol. Rujuk geraf di ruangan komen.

Meta-analisis besar  turut mengesahkan perkara sama: penurunan LDL dikaitkan dengan pengurangan signifikan risiko penyakit jantung. Tambahan pula, kajian klinikal besar seperti STRENGTH Trial  menunjukkan hanya ubat yang benar-benar menurunkan LDL (statin, ezetimibe, PCSK9 inhibitor) yang konsisten menurunkan risiko sakit jantung dan suplemen mengandungi asid lemak omega 3 (DHA dan EPA) tidak berkesan. (3,4,5,13).

Garis panduan antarabangsa daripada AHA  dan ESC juga menegaskan bahawa menurunkan LDL adalah asas rawatan dan pencegahan penyakit jantung. (7,8).

KESIMPULAN

Golongan yang menafikan bahaya kolesterol LDL sebenarnya dipengaruhi oleh salah faham sains, kepercayaan peribadi, testimoni, atau kepentingan komersial.

Namun, bukti saintifik daripada kajian genetik, epidemiologi, dan ujian klinikal jelas menunjukkan LDL adalah penyebab utama penyakit jantung. Menafikan fakta ini akan mengelirukan orang ramai dan mendedahkan mereka kepada mudarat kesihatan.

Hubungan antara tahap LDL dan penyakit saluran darah sangat kukuh, konsisten, dan tidak boleh dinafikan.


DDr Rushdan Noor

28hb Sep 2025

RUJUKAN

1. Ference, B. A., Ginsberg, H. N., Graham, I., et al. Low-density lipoproteins cause atherosclerotic cardiovascular disease: Evidence from genetic, epidemiologic, and clinical studies. European Heart Journal, 2017, 38(32), 2459–2472.

2. Borén, J., Chapman, M. J., Krauss, R. M., et al. Low-density lipoproteins cause atherosclerotic cardiovascular disease: Pathophysiological, genetic, and therapeutic insights: A consensus statement from the European Atherosclerosis Society Consensus Panel. European Heart Journal, 2020, 41(24), 2313–2330.

3. Aung, T., Halsey, J., Kromhout, D., et al. Associations of Omega-3 Fatty Acid Supplement Use With Cardiovascular Disease Risks: Meta-analysis of 10 Trials Involving 77,917 Individuals. JAMA Cardiology, 2018, 3(3), 225–234.

4. Abdelhamid, A. S., Brown, T. J., Brainard, J. S., et al. Omega-3 fatty acids for the primary and secondary prevention of cardiovascular disease. Cochrane Database of Systematic Reviews, 2020, 2020(3), CD003177.

5. Nicholls, S. J., Lincoff, A. M., Garcia, M., et al. Effect of High-Dose Omega-3 Fatty Acids vs Corn Oil on Major Adverse Cardiovascular Events in Patients at High Cardiovascular Risk: The STRENGTH Randomized Clinical Trial. JAMA, 2020, 324(22), 2268–2280.

6. Bhatt, D. L., Steg, P. G., Miller, M., et al. Cardiovascular Risk Reduction with Icosapent Ethyl for Hypertriglyceridemia. New England Journal of Medicine, 2019, 380(1), 11–22.

7. Siscovick, D. S., Barringer, T. A., Fretts, A. M., et al. Omega-3 Polyunsaturated Fatty Acid (Fish Oil) Supplementation and the Prevention of Clinical Cardiovascular Disease: A Science Advisory From the American Heart Association. Circulation, 2017, 135(15), e867–e884.

8. Visseren, F. L. J., Mach, F., Smulders, Y. M., et al. 2021 ESC Guidelines on cardiovascular disease prevention in clinical practice. European Heart Journal, 2021, 42(34), 3227–3337.

9. Dietary Guidelines Advisory Committee. Scientific Report of the 2015 Dietary Guidelines Advisory Committee. U.S. Department of Agriculture and U.S. Department of Health and Human Services. 2015.

10. Berger, S., Raman, G., Vishwanathan, R., Jacques, P. F., & Johnson, E. J. Dietary cholesterol and cardiovascular disease: A systematic review and meta-analysis. American Journal of Clinical Nutrition, 2015, 102(2), 276–294.

11. Mensink, R. P. Effects of saturated fatty acids on serum lipids and lipoproteins: A systematic review and regression analysis. World Health Organization. 2016.

12. Ference, B. A., Ginsberg, H. N., Graham, I., et al. Low-density lipoproteins cause atherosclerotic cardiovascular disease. 1. Evidence from genetic, epidemiologic, and clinical studies. European Heart Journal, 2017, 38(32), 2459–2472.

13. Cholesterol Treatment Trialists’ (CTT) Collaboration, Baigent, C., Blackwell, L., Emberson, J., et al. Efficacy and safety of more intensive lowering of LDL cholesterol: A meta-analysis of data from 170,000 participants in 26 randomised trials. Lancet, 2010, 376(9753), 1670–1681.


Kajian oleh Ference et al. (2017) menggabungkan bukti daripada tiga pendekatan berbeza iaitu kajian Mendelian randomisation (genetik), kajian kohort prospektif, dan ujian klinikal rawak (RCT). Analisis ini membandingkan bagaimana tahap penurunan LDL-C (low-density lipoprotein cholesterol) berkait dengan risiko penyakit jantung koronari (CHD). Tempoh pendedahan LDL rendah berbeza bagi setiap pendekatan: kajian genetik merangkumi pendedahan sepanjang hayat, kajian kohort melibatkan susulan jangka panjang (median 12 tahun), manakala RCT menilai kesan intervensi dalam tempoh lebih singkat (median 5 tahun).

Hasil kajian menunjukkan hubungan yang log-linear dan konsisten: semakin besar penurunan LDL-C, semakin tinggi pengurangan risiko CHD. Kajian genetik menunjukkan kesan perlindungan paling besar kerana LDL-C rendah sejak awal kehidupan, manakala kajian kohort memperlihatkan manfaat sederhana, dan RCT menunjukkan kesan yang lebih kecil tetapi tetap signifikan. Perbezaan ini menekankan bahawa jangka masa pendedahan terhadap tahap LDL rendah sangat mempengaruhi tahap perlindungan daripada penyakit kardiovaskular.

Secara ringkas, kajian ini mengesahkan bahawa LDL-C adalah faktor kausal utama dalam aterosklerosis dan penyakit jantung koronari. Menurunkan tahap LDL-C pada bila-bila masa tetap memberi manfaat, tetapi lebih awal LDL-C diturunkan, lebih besar kesan pencegahan yang diperoleh sepanjang hayat.

Rujukan

Ference, B. A., Ginsberg, H. N., Graham, I., Ray, K. K., Packard, C. J., Bruckert, E., ... & Catapano, A. L. (2017). Low-density lipoproteins cause atherosclerotic cardiovascular disease: Evidence from genetic, epidemiologic, and clinical studies. European Heart Journal, 38(32), 2459–2472.


Tuesday, 16 September 2025

MENJAWAB DAKWAAN "BIG PHARMA" KAWAL KAJIAN UBAT

 


Antara hujah popular golongan pengamal perubatan alternatif ialah dakwaan bahawa semua kajian ubat2an yang digunakan oleh hospital dikawal oleh syarikat farmaseutikal besar, atau lebih dikenali sebagai “Big Pharma”. Big Pharma ini hanya utamakan keuntungan. Kononnya, ubat murah atau produk semulajadi tidak dikaji kerana tidak menguntungkan. Tetapi benarkah dakwaan ini?
Memang benar, banyak kajian fasa awal untuk menghasilkan ubat baru dibiayai oleh syarikat farmaseutikal kerana kosnya sangat tinggi, mencecah jutaan sehingga berbilion ringgit. Namun, bukan semua kajian dibiayai sepenuhnya oleh mereka. Jika mereka membiayai sekalipun, setiap kajian2 yang dijalankan perlu melalui tatacara yang betul, proses2 yang sistematik dan sebelum disiarkan, ia perlu melalui tapisan yang ketat.
BUKAN BIG PHARMA SAJA MENAJA KAJIAN
Sebenarnya, banyak kajian besar dibiayai oleh badan kerajaan seperti National Institutes of Health (NIH) di Amerika Syarikat, Medical Research Council di UK, dan Horizon Europe. Selain itu, universiti serta hospital akademik turut memainkan peranan penting, misalnya Oxford University yang mengetuai kajian RECOVERY Trial semasa pandemik COVID-19. Satu lagi contoh besar ialah Women’s Health Initiative di Amerika Syarikat yang melibatkan ratusan ribu wanita dan dibiayai kerajaan; hasil kajian tersebut mengubah rawatan hormon di seluruh dunia (JAMA 2002).Yayasan dan NGO seperti Bill & Melinda Gates Foundation serta Wellcome Trust juga banyak membiayai kajian berkaitan malaria, tuberkulosis (TB), dan vaksin untuk negara miskin.
KAWALAN KETAT SETIAP KAJIAN
Selain itu, sistem kawalan terhadap kajian perubatan moden adalah sangat ketat. Kajian tidak boleh dikawal sesuka hati oleh satu pihak kerana ia melalui banyak lapisan. Antaranya ialah proses peer review, iaitu kajian hanya diterima untuk diterbitkan di jurnal berimpak tinggi jika lulus semakan oleh pakar luar yang bebas. Hampir semua kajian klinikal juga wajib didaftarkan dalam pangkalan data antarabangsa seperti ClinicalTrialsdotgov supaya data tidak boleh “disorok”. Data2 ini pula akan disemak oleh badan pengawal selia seperti FDA, EMA, NRPA dan lain2.
Terdapat kajian berbentuk meta-analisis dan ulasan bebas seperti Cochrane Review yang menggabungkan puluhan hingga ratusan kajian dari pelbagai sumber, sama ada daripada industri mahupun bukan industri. Adalah mustahil bagi satu atau dua syarikat farmaseutikal sahaja boleh mempengaruhi keseluruhan hasil kajian. Malah, jika wujud sebarang percanggahan kepentingan, penyelidik wajib mendedahkannya secara terbuka. Kajian2 besar pula selalunya ditaja oleh banyak syarikat dan ada yang bergabung dengan akademik dan kerajaan.
BENARKAH UBAT YANG KURANG MENGUNTUNGKAN TIDAK DITAJA
Dakwaan bahawa ubat murah tidak dikaji juga tidak tepat. Banyak ubat generik dan lama terus dikaji kerana keberkesanan serta keselamatan jangka panjangnya penting untuk masyarakat. Sebagai contoh, aspirin walaupun telah digunakan secara meluas dan dijual dengan harga murah sejak puluhan tahun, masih terus menjadi subjek ribuan kajian sehingga kini. Begitu juga dengan metformin, ubat diabetes yang sangat murah tetapi masih dikaji untuk potensi rawatan kanser, penuaan dan penyakit jantung (Diabetologia 2017). Vaksin BCG yang berharga rendah juga masih giat dikaji, bukan sahaja untuk TB tetapi juga kesan imun lain termasuk terapi imun untuk kegunaan penyakit berbeza. Selain dari itu, ubat hidrochloroquine digunakan untuk penyakit malaria masih menjalani kajian untuk penyakit autoimun, ubat darah tinggi propranolol dikaji untuk rawatan kegelisahan dan pencegahan migran, ubat thalidomide dan lain2.
Berkaitan persoalan mengapa ubat murah seperti ivermectin, mebendazole atau herba belum digunakan secara meluas, hakikatnya semua ubat wajib melalui kajian praklinikal dan klinikal ke atas manusia yang kompleks sebelum boleh diluluskan. Tidak mungkin penyelidik akan menolak melakukan penyelidikan ke atas ubat2 yang berpotensi tinggi melainkan jika ubat2 itu belum memenuhi syarat untuk melepasi kajian praklinikal ataupun kajian klinikal fasa awal belum meyakinkan untuk dibawa ke peringkat yang lebih tinggi. Kajian terhadap herba juga sedang giat dijalankan, tetapi kebanyakannya masih di peringkat praklinikal.
SEJARAH HITAM SUKAR UNTUK BERULANG
Memang benar ada sejarah (contoh ubat Rofecoxib/Vioxx pada tahun 2000-2004) di mana industri farmaseutikal cuba mempengaruhi hasil kajian tetapi itu adalah cerita lama dan berjaya dikesan. Komuniti saintifik telah belajar daripada kesilapan tersebut hingga mereka membina mekanisma kawalan yang lebih ketat. Antaranya ialah kewajipan pernyataan status konflik kepentingan dalam jurnal, kewujudan kajian ulangan (replication) yang boleh menolak dapatan kajian berat sebelah, pendaftaran wajib semua kajian klinikal , kewajipan untuk melapurkan semua hasil kajian termasuk yang negatif dan penilaian ubat yang lebih ketat oleh agensi kawal selia seperti FDA, EMA dan lain2 untuk kelulusan.

PEMASARAN PRODUK RAWATAN ALTERNATIF DAN INDUSTRI WELLNESS JUGA SANGAT BESAR

Industri suplemen dan produk wellness juga dikuasai oleh syarikat gergasi dengan perbelanjaan pemasaran yang jauh lebih besar berbanding dana penyelidikan ubat moden. Nilainya kini dianggarkan mencecah USD 5.6 trilion di seluruh dunia. Menurut laporan The Edge, industri wellness ini 3-4 kali lebih besar dari industri farmaseutikal (USD 1.42 trillion). Jadi, pihak mana yang lebih besar pengaruh perniagaan? Perbezaannya, ubat moden wajib melalui kajian klinikal ketat sebelum diluluskan, manakala majoriti produk wellness dipasarkan tanpa bukti kukuh. Ironinya, ada juga produk suplemen tertentu yang ditaja untuk kajian saintifik, tetapi bilangannya kecil berbanding keluasan pasaran mereka. Maka, menuduh ubat moden sebagai alat “Big Pharma” tanpa menyedari pengaruh besar industri wellness hanyalah sikap berat sebelah yang mengelirukan masyarakat.


APA PILIHAN ANDA
Kepada pihak yang sering menjadikan “pengaruh Big Pharma” sebagai alasan, persoalan yang perlu ditanya ialah: apakah pilihan mereka? Adakah mereka sanggup memilih rawatan alternatif yang kebanyakannya tidak pernah melalui kajian klinikal, hanya bersandar pada testimoni dan andaian, dengan kandungan produk yang tidak jelas, tanpa pemantauan keselamatan selepas digunakan (post-marketing surveillance), serta tiada bukti keberkesanan dan keselamatan yang kukuh? Mempercayai doktor2 dan pakar2 yang beretika serta profesional ataupun pempengaruh media sosial dan doktor Tik Tok ?
Mempersoalkan integriti semua institusi kesihatan dalam dan luar negara seperti KKM, WHO, FDA dan lain2 hanyalah naratif kelompok yang taksub kepada teori konspirasi. Mereka adalah minoriti kecil, sedangkan majoriti pengamal perubatan moden dan masyarakat umum masih menaruh keyakinan kepada autoriti kesihatan yang sah. Kepada yang terperangkap dalam sangkaan buruk ini, keluarlah dari “circle” yang keliru ini. Selidiklah dengan lebih mendalam, berfikir dengan rasional, kerana anda sebenarnya tiada pilihan yang lebih baik daripada mempercayai badan kesihatan yang sudah terbukti kredibilitinya. Memang tidak ada organisasi dan sistem yang sempurna tetapi bijaklah memilih yang lebih baik dan berwibawa.
KESIMPULAN
Walaupun Big Pharma memainkan peranan penting dalam membiayai penyelidikan, adalah tidak benar untuk mengatakan mereka mengawal seluruh sains perubatan. Banyak kajian berimpak tinggi sebenarnya ditaja oleh kerajaan, universiti dan yayasan bebas. Dengan adanya sistem semakan terbuka, pendaftaran kajian, serta analisis bebas, bukti saintifik tidak mudah dimanipulasi. Kajian terhadap ubat murah juga tetap berjalan, dan ubat ini tetap akan digunakan selagi terbukti berkesan dan selamat. Isunya bukan konspirasi, tetapi proses sains yang ketat demi melindungi pesakit.
Dato' Dr. Rushdan Noor
26hb Ogos 2025
Rujukan Ringkas
1. The RECOVERY Collaborative Group. NEJM. 2021;384:693–704.
2. Rossouw JE, et al. JAMA. 2002;288(3):321–333.
3. Campbell JM, et al. Diabetologia. 2017;60(3):443–451.

Sunday, 31 August 2025

APABILA TOKOH PSEUDOSAINS MENERAJUI KESIHATAN AMERIKA SYARIKAT

 


APABILA TOKOH PSEUDOSAINS MENERAJUI KESIHATAN AMERIKA SYARIKAT 

Pelantikan RFK Jr. sebagai Setiausaha Kesihatan Amerika Syarikat (HHS) pada Februari 2025 telah mencetuskan kontroversi besar.

Beliau terkenal dengan pandangan anti-V, kecenderungan kepada teori konspirasi kesihatan, dan tiada kelayakan perubatan (beliau kelulusan bidang Sejarah, Undang-undang & Alam Sekitar). Kini, beliau berkuasa penuh menentukan dasar kesihatan negara paling berpengaruh di dunia.

Ini adalah amaran jelas, apabila pseudosains mengatasi sains moden, kesihatan rakyat boleh terancam.

TINDAKAN RFK JR YANG MENCEMAR DASAR KESIHATAN AMERIKA

1. Pemecatan besar-besaran di CDC & NIH. Ramai pegawai kanan dipecat, termasuk Pengarah CDC. Beliau gantikan dengan tokoh kontroversi yang meragui vaksin. Akibatnya 3 orang saintis ternama di CDC telah meletakkan jawatan.

2. Memecat 17 anggota ACIP (jawatan panel vaksinasi). Semua pakar diganti dengan individu yang cenderung anti-V. Garispanduan pemberian vaksin juga diubah dengan mengetatkan syarat kelayakan dan menghadkan akses vaksin kepada golongan tertentu. 

3. Laporan rasmi pertama (MAHA Report) penuh kecacatan. Banyak rujukan tidak wujud & dipercayai dihasilkan oleh AI.

4. Enggan mendengar taklimat saintifik. Pegawai kanan CDC, Dr. Demetre Daskalakis, meletak jawatan kerana RFK Jr. menolak fakta saintifik tentang COVID-19, influenza & campak.

5. Mempromosikan rawatan alternatif berbanding vaksin. Dalam menangani wabak campak, beliau sarankan vitamin A, minyak hati ikan & diet sebagai ganti vaksin.

6. Sejarah panjang pandangan pseudosains dan kepercayaan kepada teori konspirasi. Kenyataan & tindakan beliau  jelas menimbulkan keraguan terhadap vaksin. Menolak pendapat HIV menyebabkan AIDs dan bakteria menyebabkan penyakit. Menggalakkan terapi kontroversi seperti susu mentah, terapi hiperbarik, chelation, diet detox, ivermectin dll. Mempercayai teori konspirasi seperti teori chemtrails, teori Lyme disease, pengaruh "Big Pharma", dan lain2. 

7. Tindakan terbaru beliau adalah mengarahkan pihak sebuah jurnal menarik balik kajian besar yang menyangkal kaitan antara aluminium dalam vaksin dengan penyakit (termasuk autisma).Tindakan beliau ini dianggap satu bentuk campur tangan politik ke dalam kajian saintifik. Beliau juga mempunyai sejarah memburuk2kan jurnal berimpak tinggi seperti NEJM, JAMA dan lain2 dengan tuduhan yang tidak berasas sedangkan beliau sendiri bukan dari bidang perubatan dan tidak pernah menerbitkan apa2 kertas kajian.

8. Memotong pembiayaan banyak aktiviti kajian klinikal, antaranya Kajian Alzeimers , kajian mRNA,  kajian kaitan Autisma dan faktor persekitaran dan ada berita yang perlukan pengesahan melibatkan Pediatric Brain Tumour Consortium yang beroperasi menjalankan kajian klinikal ke atas kanak2 yang menghidap kanser otak dan lain2.

Ini baru langkah2 awal, kita akan menyaksikan banyak lagi tindakan yang mengejutkan bakal dilakukan jika beliau terus berkuasa. Komuniti sains perubatan di Amerika sedang berusaha melancarkan petisyen untuk mendesak presiden menggantikan beliau. Organisasi  kesihatan awam, pakar2 perubatan, bekas2 kakitangan CDC dan senator2 seperti Angela Alsobrook dan Bernie Sanders mendesak JFK Jr meletakkan jawatan sebelum kerosakan lebih serius keatas sistem kesihatan negara. 

APAKAH KESAN KE ATAS SISTEM KESIHATAN GLOBAL

Tindakan Robert F. Kennedy Jr. di Amerika Syarikat bukan sahaja menggugat sistem kesihatan negaranya sendiri, malah memberi kesan global kerana AS merupakan rujukan utama dalam dasar kesihatan dunia. Peruntukan ke atas aktiviti penyelidikan yang dikurangkan dan kurang galakan untuk mengamalkan prinsip perubatan berasaskan bukti boleh menjejas kualiti perkhidmatan kesihatan.

Apabila dasar rasmi dipengaruhi ideologi anti-sains/pseudosains, ia melemahkan kepercayaan masyarakat antarabangsa terhadap sains moden, memberi ruang kepada gerakan anti-perubatan moden/vaksin global untuk semakin berani, serta menjejaskan kerjasama antarabangsa dalam menangani wabak. Lebih membimbangkan, kelemahan dasar kesihatan AS boleh melambatkan tindak balas global terhadap krisis penyakit berjangkit, menjejaskan bekalan ubat/vaksin, serta melemahkan solidariti kesihatan antarabangsa yang amat diperlukan dalam dunia yang saling bergantungan.

MENGAPA PENTING MELANTIK PEMIMPIN YANG BETUL

Apabila individu seperti RFK Jr. diberi kuasa, dasar kesihatan boleh diselewengkan untuk memenuhi agenda ideologi, bukan kesejahteraan rakyat. Akibatnya, wabak boleh kembali menular, nyawa rakyat terkorban, dan kepercayaan awam terhadap sains hancur.

Selagi kepimpinan sistem kesihatan Amerika ini tidak berubah, jangan hairan nanti akan timbul pelbagai tindakan dan kenyataan serta dakwaan yang janggal dan bertentangan dengan pendirian komuniti perubatan dan saintifik antarabangsa.

BAGAIMANA MENCEGAH PERKARA INI BERLAKU DI NEGARA KITA

Kita bersyukur setakat ini negara belum mengalami situasi seperti di Amerika dan berharap ianya dapat dikekalkan, walaupun banyak penambahbaikan perlu dilakukan.

1. Pelantikan pemimpin berdasarkan merit dan kelayakan. Perkhidmatan kesihatan mesti dipimpin oleh individu yang faham dan berwibawa tentang ilmu sains dan perubatan sebenar dan bukan pendokong pseudosains ataupun anti perubatan moden.

2. Pengawasan profesional. Persatuan perubatan, akademia dan NGO perlu memantau dasar kerajaan dan memberi suara lantang jika ada penyimpangan.

3. Pendidikan literasi sains. Rakyat perlu dilengkapi dengan ilmu untuk membezakan fakta/sains sebenar daripada pseudosains, melalui kurikulum sekolah/Institusi, media dan kempen KKM.

4. Tindakan undang-undang tegas. Individu atau kumpulan yang menyebarkan maklumat palsu tentang kesihatan, termasuk anti-V, mesti dikenakan tindakan kerana ancaman mereka bukan sekadar pendapat, tetapi boleh menjadi wabak infodemik yang memesong pandangan masyarakat terhadap sains moden. Natijahnya adalah musibah kepada masa depan sistem kesihatan negara.

KESIMPULAN

Apa yang berlaku di Amerika adalah pengajaran besar. Apabila seorang penolak/jahil sains memegang tampuk pentadbiran kesihatan, bukan sahaja dasar negara tergadai, malah keselamatan awam terancam. Malaysia mesti bertindak dari sekarang, pastikan tidak tersilap memilih pengemudi kesihatan negara , memperkukuh pendidikan sains dalam masyarakat, dan menguatkuasakan undang-undang terhadap penyebar maklumat palsu. Kesihatan awam adalah amanah besar, dan kita tidak boleh membiarkannya dihancurkan oleh pseudosains.

Dato' Dr.Rushdan Noor

1hb September 2025


RUJUKAN

1. Politico – Inside Kennedy’s effort to oust the CDC director (29 Ogos 2025) https://www.politico.com/news/2025/08/29/inside-kennedys-effort-to-oust-the-cdc-director-00537125

2. AP News – With CDC in chaos, scientists and physicians piece together replacements for agency's lost work (29 Ogos 2025). https://apnews.com/article/b4eeba69e03a8d4ed50fb0a12fbcec6e

3. The Daily Beast – MAGA Senator Who Backed RFK Jr. Sounds Alarm on Anti-Vax Panel (Ogos 2025). https://www.thedailybeast.com/maga-senator-who-backed-rfk-jr-sounds-alarm-on-anti-vax-panel

4. HHS.gov – Executive Order: Make America Healthy Again (Februari 2025). https://www.hhs.gov/press-room/eo-maha.html

5. Wikipedia – Robert F. Kennedy Jr. (dikemaskini 2025, seksyen MAHA report & Vaccine controversy). https://en.wikipedia.org/wiki/Robert_F._Kennedy_Jr.

6. Washington Post – Kennedy’s refusal to heed science prompts resignation of senior CDC official (28 Ogos 2025). https://www.washingtonpost.com/opinions/2025/08/28/kennedy-monarez-cdc-director-vaccines/

7. Skadden – Under RFK Jr., U.S. Health Policy and FDA Operations May See Major Shifts (Februari 2025) https://www.skadden.com/insights/publications/2025/02/under-rfk-jr-us-health-policy-and-fda-operations-may-see-major-shifts

8. Politico – Who is RFK Jr.? (Profil pandangan & kontroversi RFK Jr.). https://www.politico.com/robert-f-kennedy-jr

9. Associated Press (AP News). Lawmakers question Kennedy on staffing cuts, funding freezes and policy changes at health department https://apnews.com/article/8c99853031507ecb5408b4132329cdea

10. U.S. Senator Tammy Baldwin (Laman rasmi Senat AS). Baldwin Hits RFK Jr. on Devastating Cuts to Clinical Trials, Cancer, and Alzheimer’s Research. https://www.baldwin.senate.gov/news/press-releases/watch-baldwin-hits-rfk-jr-on-devastating-cuts-to-clinical-trials-cancer-and-alzheimers-research-at-senate-hearing

11. FactCheck.org. RFK Jr. Denies Cuts to Scientific Research While Slashing Staff, Funding. https://www.factcheck.org/2025/05/rfk-jr-denies-cuts-to-scientific-research-while-slashing-staff-funding

12. Clinical Advisor. RFK Jr. Cancels $500M in mRNA Vaccine Research Projects. https://www.clinicaladvisor.com/news/rfk-jr-cancels-500m-in-mrna-vaccine-research-projects

13. OncoDaily. RFK Jr. Slashes Funding for mRNA Vaccine Research. https://oncodaily.com/societies/mrna-vaccine-research-funding-robert-f-ken

14. Science Media Centre (UK). Expert reaction to RFK Jr. cancelling $500m of funding for mRNA vaccines. https://www.sciencemediacentre.org/expert-reaction-to-rfk-jr-cancelling-500m-of-funding-for-mrna-vaccines

15. ProPublica. RFK Jr. Cuts Autism and Environmental Research Funding. https://www.propublica.org/article/rfk-jr-autism-environment-research-funding

16. https://kffhealthnews.org/news/article/senior-cdc-officials-resign-susan-monarez-ouster-concerns-over-scientific-independence/

17. https://www.thebulwark.com/p/kennedy-rfk-jr-cdc-purge-anti-vaccination

18. https://www.facebook.com/share/p/1Hhg3Kuumw/

19. https://www.facebook.com/share/p/18R7ENFfHX/

20. https://news.immunologic.org/p/rfk-jr-destroyed-vaccine-trust-for

21. https://www.nytimes.com/2025/08/30/opinion/bernie-sanders-robert-f-kennedy-jr-resign-hhs.html

22. https://www.facebook.com/share/p/1A4c2M6Jhw/

23. https://www.facebook.com/share/p/1AGQR55CQJ/

24. https://www.nytimes.com/2025/08/28/well/pediatric-brain-cancer-trial-group.html

25. https://www.facebook.com/share/p/17HHVsWCn7/ (RFK Jr mengarahkan pihak jurnal menarik balik kertas kalian mengenai kaitan antara Aluminium dalam vaksin dan penyakit)

Tuesday, 12 August 2025

KISAH AMANDA KNOX: APABILA MEDIA MENJADI HAKIM AWAM

 

Pada tahun 2007, Amanda Knox, seorang pelajar Amerika berusia 20 tahun, berada di Perugia, Itali, untuk program pertukaran pelajar. Dia tinggal di sebuah rumah sewa bersama rakan serumah, Meredith Kercher dari UK. Pada 1 November 2007, Meredith ditemui mati dibunuh dengan kejam di bilik tidurnya.

Polis Itali menahan Amanda, teman lelakinya Raffaele Sollecito, dan seorang lelaki lain, Rudy Guede. Rudy kemudian disabitkan bersalah melalui bukti DNA yang ditemui di lokasi kejadian. 

Bagi Amanda dan Raffaele, bukti forensik terhadap mereka sangat lemah, dan beberapa bahan bukti utama kemudian didapati tercemar atau dikendalikan secara tidak betul. Walaupun begitu, media Itali dan antarabangsa memberi liputan sensasi, menonjolkan naratif seksual dan gelaran “Foxy Knoxy”, seolah-olah Amanda terlibat dalam permainan seks berbahaya dan motif cemburu. 

BAGAIMANA MEDIA MENGHUKUM SEBELUM MAHKAMAH

Liputan media memberi tumpuan berlebihan kepada watak Amanda ,senyuman, cara berpakaian, sikap di mahkamah , berbanding bukti siasatan. Pelbagai gelaran diberikan kepada beliau seperti psikopath, pelacur dan manipulatif. 

Setiap gerak-geri ditafsirkan negatif; senyumannya dianggap “tidak berperasaan” walaupun dia berada di bawah tekanan luar biasa. Spekulasi liar dan teori konspirasi dijadikan berita utama, walaupun tidak disokong bukti sahih.

Sistem kehakiman Itali menggunakan gabungan hakim profesional dan “lay judges” (orang awam) dalam kes jenayah serius, bukan juri penuh seperti di AS atau UK. Walaupun begitu, persepsi awam yang dibentuk media tetap berpotensi mempengaruhi penilaian di mahkamah.

AKIBATNYA

Persepsi awam membentuk “hukuman” lebih awal daripada keputusan mahkamah.

Amanda dan keluarganya menerima cemuhan serta ancaman di seluruh dunia.

Fokus media terhadap Amanda menenggelamkan fakta bahawa hanya Rudy Guede yang akhirnya disabitkan bersalah secara muktamad.

PENGAKHIRAN

Pada tahun 2009, Amanda dan Raffaele disabitkan bersalah dan Amanda dijatuhkan hukuman penjara 26 tahun. 

Namun, selepas proses rayuan berulang kali dan penilaian semula bukti, Mahkamah Agung Itali pada 2015 membebaskan mereka sepenuhnya, menyatakan tiada bukti kukuh yang mengaitkan mereka dengan pembunuhan Meredith Kercher.

Pada 2019, Mahkamah Hak Asasi Manusia Eropah (ECHR) memutuskan bahawa hak Amanda dilanggar semasa soal siasat, kerana tidak diberikan peguam dan penterjemah yang mencukupi, dan memerintahkan kerajaan Itali membayar ganti rugi. 

Walaupun namanya dibersihkan dari segi undang-undang, reputasinya sudah tercalar, dan trauma “dihukum” oleh media kekal sepanjang hayatnya.

PENGAJARAN

Kajian media mendapati imej Amanda sebagai “penjenayah” kekal dalam minda ramai orang walaupun mahkamah membuktikan sebaliknya. Orang ramai berdemonstrasi membantah pembebasan beliau kerana sebahagian rakyat Itali masih menganggap beliau bersalah, menunjukkan betapa kuatnya kesan naratif media.

Kisah Amanda Knox adalah contoh klasik bagaimana emosi, persepsi, dan sensasi media boleh mendahului bukti sebenar. Tak kisah samada perjuangan menuntut keadilan mangsa ataupun mengenalpasti pesalah, kisah Amanda mengingatkan kita bahawa keadilan memerlukan kesabaran, verifikasi, dan keseimbangan antara empati dan fakta.

Dalam era media sosial hari ini, risiko “menghukum” tanpa bukti yang lengkap jauh lebih tinggi kerana maklumat dan salah maklumat tersebar sekelip mata. 

Solidariti tanpa asas bukti yang kukuh, sebagaimana yang berlaku kepada Amanda, boleh menghancurkan reputasi seseorang, memusnahkan hidupnya  dan menggugat proses keadilan.

Dato' Dr.Rushdan Noor

13hb Ogos 2025

RUJUKAN

1. Journal of Criminal Justice and Popular Culture. (2015). Tabloid media parochialism and the trials of Amanda Knox. https://jcjpc.org/s/Tabloid-media-parochialism-and-the-trials-of-Amanda-Knox-Draft.pdf

2. Chan, M. (2016, September 30). What to know about the Amanda Knox case. TIME. https://time.com/4513505/amanda-knox-case-what-to-know/

3. Duca, L. (2016, September 29). What really happened in the Amanda Knox case?. Vogue. https://www.vogue.com/article/amanda-knox-documentary-netflix-what-happened-review

4. Winfield, N. (2021, January 14). Amanda Knox says false narrative painted her as a killer. AP News. https://apnews.com/article/ecdbdb97adc34f74a12f026ee7398686

5. Linder, D. O. (n.d.). The Amanda Knox case: A chronology. Famous Trials. https://famous-trials.com/amanda-knox/2634-the-amanda-knox-case-a-chronology

6. Wikipedia contributors. (2025). Murder of Meredith Kercher. In Wikipedia. https://en.wikipedia.org/wiki/Murder_of_Meredith_Kercher

Thursday, 12 June 2025

TEORI KONSPIRASI : ANTARA FAKTA, FANTASI DAN ANCAMAN

 


Pernah dengar teori macam “manusia tak pernah sampai ke bulan”, HAARP boleh mengawal cuaca dan menguasai minda manusia dan virus Covid-19 ciptaan makmal ? Inilah di antara banyak lagi kepercayaan yang kita panggil teori konspirasi, kepercayaan bahawa ada pihak berkuasa (kerajaan, syarikat besar, atau individu kaya) yang merancang sesuatu secara rahsia untuk tujuan jahat, agenda tersembunyi atau mengawal manusia serta dunia.
ADAKAH TEORI KONSPIRASI INI BENAR ?
Kajian mendapati lebih dari 90% dari teori konspirasi adalah palsu dan mainan minda semata2. Jadi, hanya kurang dari 10% teori konspirasi didapati benar. Di antara teori konspirasi yang kemudiannya didapati benar adalah skandal Watergate di Amerika dan Projek MK- Ultra CIA.
Kesimpulannya teori konspirasi ini lebih banyak auta dari fakta. Majoriti adalah palsu, tanpa bukti kukuh dan berdasarkan andaian ataupun spekulasi.
BAGAIMANA TEORI KONSPIRASI INI MUNCUL
Teori konspirasi muncul apabila berlaku kejadian2 besar (contoh : peperangan, wabak penyakit, bencana besar dan lain2), peristiwa2 yang sukar difahami dan kekurangan maklumat yang jelas ataupun kebenaran yang tidak dapat diterima.
SIAPAKAH PENCETUS TEORI KONSPIRASI
Apabila wujud keadaan2 yang tersebut di atas, akan ada individu ataupun kumoulan yang akan mencipta teori konspirasi. Individu ini mungkin hanya melayan imaginasi beliau dan melayan perasaan ingin tahu. Manakala kumpulan orang yang mencipta teori konspirasi ini mungkin mempunyai agenda tersembunyi untuk tujuan2 tertentu seperti mengujudkan ketegangan, hilang kepercayaan, memecahbelahkan dan mengalih perhatian.
APAKAH CIRI2 PERIBADI SEORANG YANG MENCIPTA TEORI KONSPIRASI
Individu yang mencipta teori konspirasi dikenali sebagai 'conspiracy theorist' (CT). Terdapat kajian psikologi dan sosiologi yang meneliti keperibadian individu2 yang taksub dengan teori konspirasi. Di antara dapatan dari kajian ini individu2 yang menjadi CT ini mempunyai kecenderungan2 tertentu, di antaranya:
1. Kurang kepercayaan kepada pihak lain atau institusi
2. Mindanya mudah terbuka kepada kepercayaan pelik
3. Mudah cemas, syak wasangka atau paranoia
4. Pemikitan konspiratif atau cenderung untuk mentafsir sesuatu peristiwa dari sudut tyang berbeza dari orang lain dengan menganggap ujudnya agenda tersembunyi dalam apa sahaja yang berlaku.
5. Keinginan untuk merasa diri itu lebih istimewa ataupun unik dari orang lain
6. Rasa tidak berkuasa ("powerlessness"), merasa sistem politik, ekonomi, atau sosial tidak memihak kepada mereka, teori konspirasi menjadi cara untuk memahami dunia.
APAKAH CIRI2 PERIBADI ORANG YANG MUDAH MEMPERCAYAI TEORI KONSPIRASI
Satu meta-analisis bertajuk "Who believes in conspiracy theories? A meta-analysis on personality correlates." telah dijalankan dan disiarkan dalam jurnal Journal of Research in Personality pada tahun 2022.
Ringkasan hasil kajian:
Meta-analisis ini menunjukkan bahawa orang yang lebih cenderung mempercayai teori konspirasi biasanya menunjukkan ciri-ciri berikut:
1.Percaya kepada pseudoscience (ilmu sains palsu)
2.Mempunyai ciri paranoia (prasangka yang keterlaluan)
3. Mempunyai ciri schizotypy (satu klaster pemikiran yang menyerupai schizophrenia tetapi lebih ringan, contoh: pemikiran dan kepercayaan yang pelik, isolasi sosial, prasangka, kesukaran menjalinkan hubungan dll)
3.Narsisistik
4.Terlalu spiritual
5.Tahap kebolehan kognitif yang lebih rendah (kognitif adalah keupayaan memahami dunia sekeliling, membuat keputusan dan belajar)
Meta-analisis ini tidak bermaksud semua orang dengan ciri-ciri tersebut pasti mempercayai teori konspirasi, tetapi secara statistik, mereka lebih berkemungkinan untuk mempercayainya. Kajian ini melihat korelasi, bukan hubungan sebab-akibat.
Tidak semua orang yang spiritual, atau dengan tahap kognitif rendah mempercayai konspirasi. Ini adalah corak umum, bukan pernyataan mutlak. Perkara2 luar biasa boleh berlaku dengan kehendak dari Allah swt tetapi sumbernya mesti datang dari quran dan sunnah bukan dicetuskan oleh sebarangan orang.
Faktor sosio-politik dan budaya juga memainkan peranan besar, yang tidak semestinya dijelaskan oleh faktor psikologi semata-mata.
KENAPA TEORI KONSPIRASI TERUS DISEBARKAN
Hingga ke hari ini teori2 konspirasi terus disebarkan dan bukan sedikit yang telah terpengaruh termasuk golongan2 yang dianggap terpelajar dan beroengaruh. Ada beberapa sebab mengapa teori konspirasi terus tersebar:

1. Penyebar merasa unik dan istimewa, percaya sesuatu yang “orang lain tak tahu”.
2. Kepuasan emosi, teori ini mudah difahami, lebih ‘seronok’ daripada fakta saintifik yang rumit.
3. Media sosial, platform seperti Facebook, TikTok & YouTube menyediakan ruang yang besar untuk teori ini tular tanpa semakan fakta dan sekatan undang2. Menggunakan teori konspirasi sebagai kontent boleh menarik ramai pembaca dan peminat.
4. Teori konspirasi boleh memenuhi kehendak sesuatu pihak meyebarkan ideologi dan pengaruh atau mencapai agenda mereka yang tersembunyi.
5. Keuntungan wang ringgit diperolehi melalui jualan buku tentang teori konspirasi. Tidak sedikit teori konspirasi dicetuskan oleh penulis buku.

KEBURUKAN TEORI KONSPIRASI
Sebahagian teori konspirasi boleh membawa implikasi yang buruk kepada masyarakat, manakala ada juga teori2 konspirasi yang tidak membawa apa2 mudarat. Berikut adalah beberapa potensi kemudaratan yang boleh diakibatkan oleh teori konspirasi:
1. Pecah-belahkan masyarakat akibat salah faham kaum/agama/negara
2. Membawa bahaya kesihatan dan nyawa, contoh: tolak vaksin, rawatan COVID-19
3. Merugikan ekonomi & pendidikan akibat hilang kepercayaan terhadap sains, ubat moden, atau fakta sejarah
4. Boleh digunakan untuk manipulasi politik, rakyat mudah dikawal dengan ketakutan dan maklumat palsu.Contohnya beberapa teori konspirasi yang digunakan oleh Donald Trump untuk menarik pengundi, antaranya "Obama bukan warganegara US dan sokongan senyap terhadap QAnon dll".
5. Menyuburkan penyebaran maklumat palsu dan salah faham.
10 CONTOH TEORI KONSPIRASI YANG POPULAR
Berikut ialah 10 teori konspirasi terkenal di seluruh dunia, beserta ringkasan dan (jika diketahui) pencetus atau penyebar awalnya:
1. Pendaratan di Bulan adalah Palsu (Moon Landing Hoax)
Teori: Pendaratan manusia di Bulan oleh NASA pada 1969 adalah palsu dan hanya satu rakaman studio.
Pencetus: Buku "We Never Went to the Moon" (1974) oleh Bill Kaysing, bekas pekerja syarikat berkaitan industri angkasa.
2. Serangan 9/11 adalah Konspirasi Dalaman (Inside Job)
Teori: Serangan 11 September 2001 dirancang atau dibiarkan oleh kerajaan AS untuk alasan politik dan ekonomi.
Pencetus: Kumpulan seperti Loose Change (2005 – dokumentari buatan Dylan Avery)
3. Chemtrails
Teori: Garisan wap pesawat di langit mengandungi bahan kimia rahsia untuk kawalan minda, populasi, atau cuaca.
Pencetus: Teori mula beredar pada akhir 1990-an, tiada individu spesifik, tetapi banyak disebarkan di forum dalam talian seperti AboveTopSecret.
4. COVID-19 adalah Konspirasi Global
Teori: Virus SARS-CoV-2 direka di makmal sebagai senjata biologi atau direka untuk mengawal populasi melalui vaksin.
Pencetus: Teori awal muncul di media sosial dan disokong oleh tokoh seperti David Icke dan penyokong teori "plandemic".
5. Teori Bumi Rata (Flat Earth Theory)
Teori: Bumi adalah rata, dan semua gambar angkasa adalah palsu.
Pencetus: Teori ini wujud sejak zaman dahulu, tetapi moden dipopularkan oleh Flat Earth Society (abad ke-19 dan diperbaharui sejak 2000-an).
6. Teori Illuminati
Teori: Satu kumpulan elit rahsia (Illuminati) mengawal dunia dari belakang tabir – politik, ekonomi, hiburan.
Pencetus: Bermula dari kumpulan sebenar "Bavarian Illuminati" (1776), tapi versi moden dipopularkan oleh Robert Anton Wilson dalam novel satira "The Illuminatus! Trilogy" (1975).
7. Teori New World Order (NWO)
Teori: Terdapat rancangan global untuk membentuk satu kerajaan dunia autoritarian yang menghapuskan kebebasan individu.
Pencetus: Berkembang dari teori anti-Mason dan anti-Komunis sejak Perang Dingin; dipopularkan oleh penulis seperti Alex Jones (Infowars).
8. Pembunuhan JFK adalah konspirasi
Teori: Presiden John F. Kennedy dibunuh bukan oleh Lee Harvey Oswald sahaja, tetapi sebagai sebahagian daripada konspirasi oleh CIA, FBI, mafia, atau kerajaan AS sendiri.
Pencetus: Buku "Rush to Judgment" (1966) oleh Mark Lane.
9. Teori HAARP (Kawalan Cuaca dan Minda)
Teori: HAARP (projek kajian ionosfera) digunakan untuk mengawal cuaca, menyebabkan gempa bumi, atau mengawal fikiran manusia.
Pencetus: Buku "Angels Don't Play This HAARP" oleh Nick Begich Jr. (1995).
10. Paul McCartney Sudah Mati
Teori: Paul McCartney dari The Beatles telah mati dalam kemalangan pada 1966 dan digantikan dengan penyamar.
Pencetus: Spekulasi bermula pada 1969 melalui stesen radio WKNR-FM (Amerika Syarikat), dan disebarkan melalui media dan peminat.
KESIMPULAN
Teori konspirasi memang mengujakan dan seronok dibaca tetapi kebanyakannya bukan berasaskan fakta dan boleh membawa kesan buruk dalam kehidupan. Terdapat korelasi antara personaliti seseorang dengan kecenderungan untuk mencipta dan mempercayai teori konspirasi. Sebagai orang awam, jangan mudah percaya dan sebarkan. Belajarlah berfikir secara kritikal dan semak sumber sebelum kita kongsi sesuatu. Di samping itu, bukan semua yang pelik itu konspirasi, kadangkala ia cuma salah faham dan kurang maklumat.
Boleh baca dengan lebih lanjut tentang teori konspirasi klik di sini.
Dato' Dr.Rushdan Noor
13hb Jun 2025
Lukasz Stasielowicz. Who believes in conspiracy theories? A meta-analysis on personality correlates, Journal of Research in Personality,Volume 98,2022,104229,
ISSN 0092-6566