Saturday, 8 June 2019

MENCEGAH OBESITI


Dato' Dr.Mohd Rushdan Md Noor

Obesiti adalah penyakit kronik yang melibatkan semakin ramai kanak-kanak, remaja dan orang dewasa. Menurut piawaian WHO, seseorang itu dianggap obese apabila mempunyai BMI 30 kg/m2 dan lebih. Malaysia adalah negara yang mempunyai kadar obesiti tertinggi di asia iaitu 24%. Obesiti dikaitkan dengan kadar penyakit jantung, diabetes, penyakit sendi tulang, “ obstructive sleep apnea” dan kanser yang lebih tinggi.

Hari ini penyakit diabetes jenis II, penyakit jantung dan penyakit kemurungan akibat obesiti dikesan pada usia yang lebih mudah berbanding dengan masa lalu. Lagi lama seseorang itu hidup dalam keadaan obese, lagi tinggi risiko menghidap pelbagai jenis masalah kesihatan yang berkaitan.

Orang ramai sering berbincang bagaimana untuk menurunkan berat badan tetapi jarang berbincang bagaimana mencegah obesiti. Merawat obesiti bukan mudah dan memerlukan komitmen serta belanja yang lebih besar. Pencegahan lebih baik daripada berubat dan inilah sepatutnya diberi tumpuan utama oleh kerajaan dan kementerian. 

Apabila bercakap tentang pencegahan, fasa kehidupan yang paling penting adalah kanak-kanak. Ini adalah kerana kanak-kanak yang mengalami obesiti mempunyai risiko yang sangat tinggi untuk obese apabila mereka dewasa nanti. Memandangkan ibubapa yang akan menjaga anak pada usia kanak-kanak, maka peranan ibubapa tersangat penting di dalam mencegah obesiti. Di Malaysia, 20% kanak-kanak mengalami obesity dan ini bersamaan dengan 600,000 orang.

MENCEGAH OBESITI DALAM KALANGAN ANAK BERUSIA 1 TAHUN

Langkah mencegah boleh dimulakan semenjak anak itu dilahirkan lagi iaitu dengan member susu ibu. Lagi lama seseorang anak disusukan dengan susu ibu, lagi rendah kadar obesiti apabila mereka dewasa nanti. Anak yang diberikan susu ibu mempunyai risiko sebanyak 15-25% lebih rendah untuk mengalami obesiti. Risiko obesiti boleh dikurangkan sehingga 40% jika jangkamasa penyusuan ibu dipanjangkan.

MENCEGAH OBESITI DALAM KALANGAN KANAK-KANAK DAN REMAJA

Ketika usia kanak-kanak dan remaja, cabaran untuk mencegah obesiti menjadi lebih sukar kerana anak-anak ini akan mula meneroka dunia luar. Pengaruh persekitaran dan kawan-kawan tidak dapat dielakkan. Di samping tabiat makan, kurang aktiviti fizikal, obesiti juga disumbangkan oleh factor genetik. Terdapat beberapa langkah pencegahan obesiti yang boleh dilakukan ke atas kanak-kanak dan remaja, di antaranya adalah seperti berikut:

a. Ibubapa perlu mencari jalan mengubah tabiat makan keluarga. Apabila tabiat makan keluarga diubah kepada tabiat yang sihat, dengan sendirinya berat badan anak-anak dapat dikawal.

b. Ibubapa perlu menjadi contoh tauladan kepada anak2 daripada segi amalan makanan dan juga aktiviti fizikal. Pendek kata, ibubapa perlu menjadi role model kepada anak-anak.

c. Menggalakkan aktiviti fizikal samada dengan membawa anak2 pergi berjoging ataupun menggalakkan anak2 bersukan dan bermain dengan rakan2 di padang permainan. 

d. Kurangkan masa anak-anak di depan TV, computer kepada tidak lebih daripada 2 jam sehari. Cegah anak2 daripada ketagih kepada permainan computer dan online gaming. Disiplin adalah kunci. Paling baik adalah jika anak2 tidak diberikan akses kepada talipon dan tablet pada usia muda.

e. Galakkan anak-anak supaya makan hanya bila lapar dan makan perlahan-lahan, tidak gopoh. Ibubapa perlu mempunyai jadual makan yang perlu dipatuhi oleh anak2.

f. Elakkan daripada menggunakan makanan sebagai satu bentuk hadiah (“reward”) dan menahan makan sebagai satu bentuk hukuman.

g. Simpan di dalam peti ais susu rendah lemak, susu tanpa lemak dan buah2an ataupun sayuran segar. Tidak meletakkan minuman bergas, snak dan lain-lain makanan yang tinggi gula serta lemak di dalam peti sejuk.

h. Jadikan makan buah dan sayuran sebagai menu yang tetap setiap hari sehingga menjadi tabiat makan anak-anak.

i. Galakkan anak-anak minum air kosong berbanding dengan minuman bergula.

MENCEGAH OBESITI DALAM KALANGAN ORANG DEWASA

Gaya hidup dan corak pemakanan memainkan peranan yang sangat besar ke atas saiz tubuh badan seorang dewasa. Memperbaiki tabiat makan dan meningkatkan aktiviti fizikal adalah dua kaedah paling berkesan untuk mencegah obesiti dalam kalangan orang dewasa. Berikut adalah beberapa cadangan yang boleh dilakukan untuk mengurangkan kadar obesiti:

a. Makan 5-6 hidangan buah-buahan dan sayuran setiap hari. Satu hidangan mengandungi 1 cawan sayur segar ataupun setengah cawan sayur yang dimasak. Satu hidangan buah pula adalah satu hirisan sederhana  buah segar ataupun satu cawan jus buah asli tanpa gula. Makan buah lebih baik daripada minum jus.

b. Pilih makanan yang berasaskan whole grain seperti nasi perang dan roti whole wheat.

c. Elakkan makanan yang diproses terutama yang dibuat daripada gula putih, tepung dan lemak tepu.

d. Sentiasa perihatin tentang ukuran saiz makanan yang diambil. Elakkan saiz yang besar terutama apabila makan di restoran makanan segera.

e. Ketahui berapa jumlah kalori yang diambil dan berapa kalori yang dibakar dalam sehari. Jika pada hari itu anda terambil lebih kalori, lakukan lebih aktiviti fizikal untuk membakar lebih kalori. Aktiviti fizikal boleh dilakukan dalam pelbagai bentuk seperti berjalan, berlari di atas treadmill, malahan berjalan kaki daripada kereta ke tempat kerja pun dikira satu bentuk senaman.

f. Mengukur berat badan secara tetap supaya anda sentiasa sedar tentang perubahan berat badan.

g. Elakkan daripada mengambil makanan dan minuman yang mengandungi tinggi kalori terutamanya makanan yang mempunyai kalori yang padat. Kalori yang padat bermaksud makanan yang walaupun kecil tetapi tinggi kalori. Contohnya satu cheeseburger yang besar dan satu bekas kentang goreng besar boleh mengandungi hampir 1000 kkalori dan lebih daripada 30 gram lemak. Dengan memesan sandwich ayam dengan sedikit dressing tanpa topping(sos, mayonise dll) anda dapat mengurangkan jumlah kalori yang sangat banyak.

h. Lakukan senaman tetap berintensiti sederhana 30 minit sehari. Jika anda tidak berminat untuk berjalan ataupun berlari di atas treadmill dan di tempat khas senaman ataupun berbasikal, anda boleh melakukan kerja di kebun bercucuk tanam, mencangkul , membersihkan rumah dan sebagainya. Kerja-kerja ini mungkin lebih menghiburkan anda. Anda boleh juga lakukan ini di tempat kerja seperti saranan KKM 10,000 langkah sehari.

Panduan-panduan yang disenaraikan ini adalah khusus untuk orang ramai, pihak kerajaan dan Kementerian Kesihatan memainkan peranan yang penting di dalam menggubal polisi dan melaksanakan program kesedaran masyarakat. Kempen-kempen perlu dipertingkatkan dan corak pemakanan anak-anak di sekolah perlu dipantau. Kantin dan kedai-kedai makan juga perlu mematuhi peraturan makanan dengan menyediakan makanan yang sihat.

KESIMPULAN

Mencegah obesiti adalah lebih baik daripada merawat obesiti. Ini perlu dimulakan semenjak peringkat anak-anak dilahirkan lagi. Peranan ibubapa adalah sangat penting untuk mencegah obesiti dalam kalangan anak-anak mereka kerana anak2 yang obese mempunyai risiko lebih tinggi untuk menjadi obese apabila dewasa nanti. Jadi kadar obesiti kanak2 boleh menjadi petunjuk kadar obesiti orang dewasa.  Ibubapa perlu mempunyai jadual makan yang teratur dan menanam budaya makan yang sihat. Mereka juga perlu menjadi role model kepada anak-anak. Mencegah obesiti memerlukan komitmen semua pihak. Jika diperhatikan senarai langkah-langkah pencegahan ini, sebenarnya ia tidak melibatkan kos yang tinggi. Kos untuk merawat obesiti dan masalah kesihatan akibat daripada obesiti ini sesbenarnya jauh lebih mahal. Jika semua rakyat Malaysia boleh mengamalkan saranan-saranan yang dinyatakan di atas, tentu kadar obesiti di negara kita akan dapat dikurangkan.

Dato' Dr.Mohd Rushdan Md Noor
Medical Mythbusters Malaysia

PENDAPAT PERIBADI LEBIH RENDAH STATUS KEWIBAWAANNYA DARIPADA TESTIMONI

Dato' Dr.Mohd Rushdan Md Noor

Saya pernah menyebut bahawa setakat ini belum ada lagi kaedah rawatan alternatif yang boleh diterima sebagai rawatan utama merawat penyakit, contohnya ubat herba A boleh digunakan sebagai ganti metformin untuk merawat penyakit diabetes jenis II. Pengubatan alternatif hanya boleh dipertimbangkan jika pesakit sudah kehabisan ikhtiar dengan perubatan moden dan doktor memberi izin untuk mencuba pilihan lain. Walau bagaimanapun, pengamal perubatan moden tidak menolak peranan rawatan komplementari yang digabungkan dengan perubatan moden, di dalam apa yang dinamakan PERUBATAN INTEGRATIF. Ada alasan yang kuat mengapa pendirian ini diambil. Saya telah menulis tentang perbezaan di antara perubatan moden, komplementari dan alternatif dengan panjang lebar. Sila rujuk pautan ini: https://ddrrushdan.blogspot.com/2019/05/dato-dr.html

Terdapat banyak perbezaan antara prinsip rawatan perubatan moden dengan perubatan alternatif. Salah satu daripadanya, dalam perubatan moden, kami beramal dengan kaedah yang sudah terbukti berkesan. Malangnya pengamal perubatan alternatif menggunakan prinsip yang bertentangan iaitu beramal dulu, bukti kemudian. Di sebabkan tidak ada bukti yang kukuh,TESTIMONI seringkali digunakan. Jika pun ada kajian yang dijalankan, kebanyakannya adalah kajian prakilinikal yang dilakukan dalam makmal. Ada juga yang memberi pendapat peribadi contohnya "saya sudah berpengalaman selama berpuluh tahun di dalam bidang ini, saya tahu berdasarkan pengalaman saya, pengambilan suplemen A ini memang patut diamalkan". Dakwaan seumpama ini dinamakan PENDAPAT PERIBADI (PERSONAL OPINION) dan jika kebetulan beliau seorang yang mempunyai kepakaran di dalam bidang tersebut pendapat ini bolehlah dikategorikan sebagai PENDAPAT PAKAR (EXPERT OPINION). Di manakah letaknya kedudukan Pendapat Pakar di dalam hirarki kewibawaan bukti ("levels of evidence"), jika ianya tidak disertakan dengan bukti kajian klinikal.

Di dalam disiplin perubatan moden, testimoni tidak boleh dijadikan bukti yang berwibawa untuk mendakwa keberkesanan produk kesihatan dan suplemen. Jika testimonipun tidak diterima, apatah lagi PENDAPAT PERIBADI, malahan PENDAPAT PAKAR sekalipun, kerana kewibawaan ataupun hirarki PENDAPAT sebenarnya LEBIH RENDAH daripada TESTIMONI (rujuk rajah di bawah). Bayangkan jika yang memberi pendapat itu seorang yang bukan pakar ataupun orang awam biasa. Prinsip ini penting dipertahankan memandangkan kesan buruk yang diakibatkan oleh dakwaan palsu ataupun "overclaim" ke atas kesihatan pengguna.

Dato' Dr Mohd Rushdan Md Noor
9hb Jun 2019

Friday, 7 June 2019

TABIAT MAKAN MASYARAKAT KITA HARI INI : "FROM BAD TO WORSE"


Trend makanan generasi sekarang sangat membimbangkan. Orang2 dahulu walaupun mereka mungkin makan lebih, namun jenis makanan tidak sebanyak hari ini dan mereka lebih aktif bekerja. Masyarakat kita hari ini lebih kreatif dalam serba serbi. Makanan dan minuman hari ini mengandungi lebih banyak gula dan lemak tetapi masyarakat kurang aktif. Daging yang diproses seperti sosaj, bebola daging dan lain-lain dijadikan lauk dan ramuan dalam makanan. Kalori dan lemak lebih banyak disimpan daripada dibakar. Sebab itu kadar obesiti sangat tinggi. Kita boleh lihat trend jenis makanan ini apabila meninjau di pasar Ramadan. Air minuman juga mengandungi banyak kalori dan kurang nutrien. Air jus yang disediakan dimasukkan air gula supaya manis sedangkan jus sebenarnya sangat sedikit, seratnya sangat minima. Trending Bubble Tea menjadi fenomena pada hari ini dan kajian daripada sebuah makmal di Singapura menunjukkan satu gelas besar Bubble Tea mengandungi lebih kurang 100 gram gula ataupun 400 kkalori.

Masyarakat Melayu kita sangat pemurah dengan budaya menganjurkan pelbagai jenis kenduri. Kenduri itu bagus sebab salah satu bentuk aktiviti kemasyarakatan dan berkumpul untuk mengeratkan hubungan. Tetapi jenis makanan yang disediakan tidak banyak berubah. Nasi adalah menu wajib tidak kira apa jenis kenduri. Gulai, rendang, nasi minyak, nasi beriani, nasi kandar, dalca dan lain-lain mengandungi tinggi karbohidrat dan lemak. Itu belum lagi pencuci mulut. Setiap kali kenduri, mesti dijemput tok imam untuk mengepalai majlis bertahlil dan jarang tuan rumah menyediakan makanan khusus untuk tok imam. Seorang tok imam kadangkala mungkin perlu menghadiri 2-3 kenduri dalam satu hari. Jadi nampaknya tok imam mempunyai risiko lebih tinggi untuk mengambil kalori dan lemak berlebihan. Tuan rumah tolong tanya tok imam jika ada penyakit darah tinggi atau diabetes supaya makanan yang sesuai dapat disediakan untuknya. Saya tidak pasti bilakah menu makanan yang menjadi tradisi ini akan ditukar kepada yang lebih ringan dan lebih sihat. 

Trending makan di luar juga nampaknya semakin hebat walaupun ramai yang merungut tentang kenaikan harga barang dan masalah ekonomi. Restoran makanan segera dan restoran mamak menjadi tumpuan semua generasi. Kedai mamak dibuka 24 jam, memberi peluang yang lebih luas untuk makan tidak kira masa. Semasa meninjau pasaraya besar dalam bulan Ramadan yang lepas, saya terkejut apabila mendapati restoran2 makanan segera penuh sesak dengan orang ramai yang hendak berbuka puasa. Tidak hairan mengapa restoran makanan segera tumbuh macam cendawan.

Trend tabiat makan yang tidak sihat ini sangat membimbangkan kerana apabila berlaku kepada ibubapa, anak2 yang dibawa bersama akan menjadikan tabiat ini sebagai trending mereka pula apabila dewasa. Kita bakal melihat lebih ramai ahli masyarakat mengalami masalah obesiti dan penyakit-penyakit yang dikaitkan dengannya. Cabaran masa depan KKM untuk menangani masalah penyakit tidak berjangkit (Non-Communicable Disease) nampaknya semakin mencabar.

DDr Rushdan Noor
8hb Jun 2019
4 Syawal 1440

Sunday, 2 June 2019

SINDROM KEBOCORAN USUS (“LEAKY GUT SYNDROME”) : FAKTA ATAU AUTA


Salah satu keadaan yang tular di dalam laman web dan media sosial adalah sejenis penyakit yang dikenali sebagai "Leaky Gut Syndrome" (LGS) ataupun Sindrom Kebocoran/Ketelapan Usus. Keadaan ini dikatakan menjadi punca kepada banyak jenis penyakit. Golongan yang percaya dengan kewujudan LGS mendakwa ianya boleh diubati dengan mengambil suplemen, probiotik dan mengamalkan kaedah pemakanan tertentu. Memandangkan LGS ini seringkali disebut-sebut dan digunakan dengan meluas oleh penjual suplemen dan pengamal rawatan alternatif, maka saya telah membuat pencarian maklumat tentang LGS.

Rupa-rupanya istilah “leaky gut syndrome” ini bukan diperkenalkan oleh pakar di dalam bidang gastroenterology ataupun Gastroenterologist ataupun pakar usus. Ia berkemungkinan besar diperkenalkan oleh pihak yang mempromosikan produk suplemen ataupun pengamal rawatan alternatif. Ada yang percaya istilah ini dipopularkan oleh pengamal Naturopathy yakni satu ideologi yang menolak rawatan hospital sebaliknya menggunakan pendekatan rawatan tanpa suntikan, ubat dan pembedahan. Sebenarnya tidak kurang juga doktor2 perubatan yang terikut-ikut dengan istilah LGS ini termasuk pusat rawatan integratif Klinik Cleveland dan Dr.Oz yang terkenal dengan pendapat yang kontroversi.  

Pertubuhan Penyelidik Usus Kanada (Canadian Society of Intestinal Research) bersetuju bahawa memang terdapat keadaan di mana lapisan sel-sel yang meliputi dinding usus menjadi lebih telap dan membenarkan molekul yang lebih besar untuk masuk ke dalam aliran darah. Mereka memanggil keadaan ini sebagai “ increased intestinal permeability”. Di dalam keadaan normal terdapat struktur di antara sel di dinding usus dikenali sebagai "tight junction" yang menapis makanan agar hanya nutrient dan air sahaja dapat masuk ke dalam aliran darah. Apabila lapisan usus ini terdedah kepada bahan yang tajam seperti toksin, ubat tahan sakit (NSAIDs), ubat sitotoksik dan lain-lain, "tight junction" tadi menjadi longgar.  Walau bagaimanapun molekul yang boleh terlepas daripada " tight junction" ini masih lagi molekul yang sangat kecil. Walaupun pertubuhan ini bersetuju wujud ketelapan usus namun mereka mempunyai pendapat yang berbeza dengan apa yang dipercayai oleh pihak yang menyokong LGS.

Mengikut pengamal (rawatan alternatif dan komplimentari) yang mendakwa kewujudan “leaky gut syndrome” (LGS), sindrom ini berlaku apabila usus terdedah kepada toksin, jangkitan dan bahan kimia yang merosakkan selaput usus sehingga molekul-molekul besar termasuk partikel makanan, toksin dan bakteria boleh masuk ke dalam aliran darah dan menyebabkan berlakunya tindakbalas imun dan keradangan. Kesan kompleks imun yang dihasilkan juga boleh menyebabkan malnutrisi dan gangguan penapis darah di otak ("breach blood brain barrier") Akibat daripada LGS ini berlakulah penyakit seperti alahan makanan, asma, migrain, chronic fatigue syndrome (sindrom keletihan kronik), multiple sclerosis, eczema, psoriasis, rheumatoid arthritis, autism, diabetes, irritable bowel syndrom, penyakit Crohn's dan lain-lain lagi. Jadi pesakit LGS ini boleh mengalami bermacam-macam gejala yang dikaitkan dengan mana-mana penyakit yang disebutkan tadi. Di antara faktor-faktor yang boleh menyebabkan LGS adalah ubat tahan sakit, antibiotik, alkohol, merokok, jangkitan (bakteria dan kulat), toksin dan lain-lain. Pendokong LGS percaya stres juga boleh menjadi punca LGS.

Walaupun pakar perubatan bersetuju tentang wujudnya kebocoran/ketelapan lapisan usus (“increase intestinal permeability”), mereka berpendapat ianya tidak cukup telap untuk membenarkan molekul2 yang besar untuk terlepas dan mereka menyangkal bahawa ini adalah punca penyakit yang didakwa. Pendapat di atas juga dipersetujui oleh Dr. Mark Crislip, Pakar Jangkitan Penyakit (“Infectious Disease Physician) yang juga merupakan pengasas dan President Pertubuhan Science-Based Medicine. Ketelapan usus merupakan kesan sampingan akibat penyakit yang melibatkan usus dan bukan punca penyakit yang didakwa.

Berikut adalah beberapa hujah Pertubuhan Penyelidikan Usus Kanada tentang LGS:

1. Fenomena LGS boleh berlaku, tetapi tidak menyebabkan penyakit yang didakwa. Pakar perubatan menggunakan istilah “increase intestinal permeability” (peningkatan ketelapan usus).

2. Gejala-gejala yang dikaitkan dengan LGS hanyalah spekulasi dan tidak pernah dibuktikan.

3. Tidak ada bukti kajian saintifik yang menunjukkan keadaan ini boleh dipulihkan dengan mengambil suplemen dan probiotik seperti mana yang didakwa.

4. Apabila terdapat keraguan ketara terhadap wujudnya LGS dan penyakit yang dikaitkan dengannya, banyak nasihat yang diberikan untuk tujuan mengurangkan gejala LGS tentu sangat meragukan. Di antara nasihat2 yang diberikan untuk mengurangkan gejala LGS adalah tidak mengambil makanan yang tinggi kandungan gula termasuk buah2 yang manis, tidak mengambil makanan yang mengandungi gluten, mengambil bijirin, mengamalkan sayur yang difermentasi, mengambil sayuran tertentu seperti brakoli, mengambil herba, mengamalkan probiotik, tidak mengambil alkohol dan lain-lain. Walaupun ada nasihat-nasihat ini yang baik dan bermanfaat namun ia tidak ada kaitan dengan LGS.

5. Jika ada dakwaan pesakit yang merasa lega selepas mengamalkan rawatan dan nasihat, ianya dipercayai sebagai kesan placebo, berkesan secara kebetulan ataupun kesan manfaat lain yang disebabkan oleh amalan tersebut dan tidak ada kaitan dengan LGS.

6. Melainkan anda mengalami sesuatu masalah usus seperti penyakit celiac, “irritable bowel syndrome” , alahan kepada makanan tertentu dan lain-lain yang telah disahkan oleh doktor, anda tidak perlu mematuhi arahan yang diberikan oleh pendokong LGS.

7. Tidak ada bukti bahawa peningkatan ketelapan usus menyebabkan penyakit seperti yang didakwa. Jadi jika ada individu yang mencadangkan ujian kononnya untuk mengesan LGS, ianya adalah jelas satu bentuk penipuan.Tidak ada ujian diagnostik untuk mengukur ketelapan usus yang dikaitkan dengan LGS.

8. Tidak ada kajian yang kukuh menyokong ujudnya keadaan yang dikenali sebagai Leaky Gut Syndrome (LGS)
  
9. Terdapat ujian untuk mengesan individu yang mengalami ketelapan usus ("intestinal permeability") dengan mengukur kandungan 2 jenis gula yang tidak boleh dihadamkan iaitu mannitol dan laktulos di dalam air kencing. Walau bagaimanapun kebanyakan pakar perubatan tidak menggunakan ujian ini kerana tidak begitu berwibawa ("reliable"). Memandangkan tidak ada bukti bahawa ketelapan usus  menyebabkan penyakit-penyakit yang didakwa, maka ujian ini sebenarnya bukanlah ujian pengesahan (diagnostik) kepada LGS kerana istilah LGS ini sendiri diragui.

Kesimpulannya, Leaky Gut Syndrome adalah satu istilah yang dicipta oleh golongan tertentu untuk menjustifikasikan amalan mengambil suplemen dan mengamalkan diet tertentu. Disebabkan perkataan ini dikaitkan dengan pelbagai gejala dan penyakit, maka ini bermakna banyak jenis produk boleh direka-reka untuk menarik pembeli. Walaupun ahli sains setuju wujudnya keadaan yang dinamakan peningkatan ketelapan usus (“increased intestinal permeability”) , keadaan ini bukanlah penyebab kepada penyakit-penyakit yang didakwa oleh pendokong LGS. Ia mungkin kesan sampingan yang wujud akibat daripada penyakit yang berkaitan dengan usus.Tidak ada bukti saintifik yang menyokong tentang kewujudan LGS apatah lagi dakwaan bahawa LGS adalah punca terjadinya pelbagai jenis penyakit yang dinyatakan di atas. Umumnya, pakar perubatan yang mewakili amalan perubatan arus perdana tidak mengiktiraf kewujudan penyakit ataupun keadaan yang dinamakan LGS. Orang ramai dinasihati supaya berhati-hati jika ada pihak yang mendakwa mereka menghidap LGS dan mengesyorkan rawatan tertentu. Apa yang terbaik anda patut lakukan adalah berjumpa dengan doktor perubatan terlebih dahulu jika mengalami sebarang gejala-gejala kesihatan untuk menjalani pemeriksaan dan ujian bagi mengesan penyakit yang sebenar. Pakar yang khusus dengan penyakit berkaitan dengan usus adalah Pakar Gastroenterologi.

Dato' Dr.Mohd Rushdan Md Noor

RUJUKAN





https://www.cbhs.com.au/health-wellbeingblog/blog
article/2017/10/29/the-latest-on-leaky-gut-syndrome

Tuesday, 28 May 2019

RINGKASAN PERKHIDMATAN KESIHATAN DI MALAYSIA



RINGKASAN PERKHIDMATAN KESIHATAN DI MALAYSIA

Kesihatan adalah salah satu aspek kehidupan manusia yang sangat penting. Tanpa kesihatan yang optima, manusia tidak dapat hidup dengan selesa dan akan mengalami pelbagai masalah. Setiap individu memerlukan penjagaan ataupun pemeliharaan kesihatan yang berbeza. Sebahagian mereka memerlukan penjagaan asas yang biasa dan ada juga yang memerlukan penjagaan yang lebih istimewa serta kompleks. Berdasarkan kepada keperluan ini, sistem perkhidmatan kesihatan kita telah dibahagikan kepada beberapa kategori seperti berikut.

A.   PENJAGAAN KESIHATAN PRIMER (“PRIMARY HEALTHCARE”)

Penjagaan kesihatan primer (PKP) adalah mengenai pemeliharaan kesihatan secara keseluruhan bukan hanya tertumpu kepada rawatan penyakit.  PKP meliputi 3 aspek iaitu (1) Memberikan kuasa kepada orang awam dan masyarakat, (2) Menyediakan polisi yang melibatkan banyak sector & perlaksanaan dan (3) Integrasi perkhidmatan kesihatan. PKP adalah penjagaan kesihatan yang melibatkan promosi kesihatan, pencegahan penyakit (contoh: imunisasi, perancang keluarga) dan menyediakan juga perkhidmatan pengesanan penyakit, penyembuhan, rehabilitasi, sokongan dan paliatif yang bersifat “patient-centred” dan “home-based”. PKP menyediakan perkhidmatan yang diperlukan oleh seseorang sepanjang hidupnya yang memerlukan penyertaan ahli masyarakat. PKP dapat mengurangkan jurang asesabiliti perkhidmatan kesihatan di antara golongan yang miskin di kampung dan yang kaya di bandar. Kajian telah menunjukkan bahawa PKP yang kukuh adalah factor yang paling penting di dalam menyumbang kepada mutu kesihatan yang lebih berkesan dan lebih baik. Fasiliti-fasiliti kesihatan yang wujud di bawah PKP adalah Pejabat Kesihatan Daerah, Klinik Komuniti, Klinik Kesihatan UTC, Klinik Kesihatan dan Klinik Desa. Daripada segi pentadbiran, PKP adalah di bawah Pegawai Kesihatan Daerah, Timbalan Pengarah Kesihatan Negeri (Kesihatan Awam) dan Pengarah Kesihatan Negeri.

B.   PENJAGAAN KESIHATAN SEKUNDER (“SECONDARY HEALTHCARE”)

Apabila seseorang menghidap penyakit maka mereka perlu bertemu dengan doktor dan perkhidmatan rawatan penyakit ini disediakan di semua fasiliti perubatan di mana ada yang dikendalikan oleh pegawai perubatan dan ada yang dikendalikan oleh pakar. Penjagaan kesihatan sekunder (PKS) adalah penjagaan kesihatan yang diberikan oleh Pakar dan Pegawai Perubatan yang bertugas di hospital daerah. Mereka mempunyai kepakaran asas untuk merawat masalah kesihatan biasa dan berupaya untuk melakukan saringan untuk merujuk pesakit ke penjagaan kesihatan tertiari. Di antara pengamal perubatan yang terlibat di dalam PKS adalah Pegawai Perubatan, Pakar Umum dan Pakar Perubatan Keluarga. Daripada segi pentadbiran, PKS ini adalah di bawah Pengarah Hospital Daerah, Timbalan Pengarah Kesihatan Negeri (Perubatan) dan Pengarah Kesihatan Negeri.

C.   PENJAGAAN KESIHATAN TERTIARI (“TERTIARY HEALTHCARE”)

Penjagaan kesihatan tertiary (PKT) menyediakan perkhidmatan kepakaran yang lebih khusus di mana Pakar di perkhidmatan kesihatan sekunder tidak dapat melakukannya samada tidak memiliki kemahiran ataupun kelengkapan yang mencukupi. Lazimnya PKT ini disediakan di hospital-hospital utama setiap negeri contohnya Hospital Sultanah Bahiyah di Kedah dan Hospital Raja Permaisuri Bainun di Perak. . Di antara perkhidmatan yang tergolong di dalam PKT adalah rawatan subkepakaran seperti pembedahan jantung, rawatan kanser, pembedahan otak, pembedahan plastic dan lain-lain. Pusat-pusat yang menyediakan PKT ini juga menjadi pusat rujukan daripada negeri-negeri lain jika perkhidmatan ini tidak dimiliki oleh negeri berkenaan. Pesakit-pesakit yang telah dirawat boleh dikembali ke masyarakat dan diambil aleh oleh PKS ataupun PKP. PKS dan PKP mempunyai struktur pentadbiran yang sama yakni di bawah Pengarah Hospital, Timbalan Pengarah Kesihatan Negeri (Perubatan) dan Pengarah Kesihatan Negeri.

Kesimpulannya, perkhidmatan kesihatan di negara kita disumbangkan oleh dua perkhidmatan utama iaitu Perkhidmatan Kesihatan dan Perkhidmatan Perubatan. Kedua-dua perkhidmatan ini saling perlu memerlukan dan saling lengkap melengkapi. Terdapat bidang kuasa dan tugas yang bertindihan di antara keduanya. Apabila digabungkan kedua-duanya maka wujudlah satu sistem perkhidmatan kesihatan dan perubatan yang menyeluruh dan holistik.


Dato'Dr.Mohd Rushdan Md Noor