Tuesday, 12 November 2024

MAKAN DAGING MENTAH : RISIKO KESIHATAN DAN HUKUM

 

Memakan daging yang mentah yang menjadi kelaziman manusia2 kuno masih diamalkan oleh manusia hari ini. Menu daging mentah atau separuh masak sudah menjadi sebahagian dari hidangan di hotel2 dan kontent pempengaruh di dalam mukbang. 

RISIKO MAKAN DAGING MENTAH

Umumnya, daging yang dimasak dengan sempurna akan membunuh organisma yang berpotensi memudaratkan kesihatan (patogen). Apabila daging ini mentah ataupun separuh masak patogen ini boleh terus hidup dan membiak. Ini boleh menyebabkan jangkitan bawaan makanan. 

Berikut adalah jenis2 jangkitan akibat patogen yang boleh menyebabkan keracunan makanan akibat memakan daging mentah:

1. JANGKITAN BAKTERIA. Daging mentah boleh mengandungi bakteria merbahaya seperti Salmonella, E. coli, Listeria, and Campylobacter. Jangkitan bakteria2 ini boleh menyebabkan gejala yang serius seperti sakit perut, cirit birit, demam, muntah dan dalam keadaan lebih serius boleh menyebabkan kerosakan organ dalam serta kematian. 

2. JANGKITAN PARASIT: Parasit seperyi Toxoplasma gondii (ditemui dalam daging mentah babi dan biri2) and Trichinella (ditemui dalam daging haiwan liar yang diburu dan daging babi) boleh menjangkiti manusia. Toxoplasmosis adalah penyakit yang serius melibatkan banyak organ seperti mata, paru2, otak dan lain2. Jadi gejala penyakit ini berbagai2 dari demam, sakit kepala, sakit otot, mata kabur, sesak nafas dan gejala otak seperti sawan dan keliru. Jangkitan ini juga boleh dipindahkan dari ibu hamil kepada anak yang dikandung. Manakala Trichinosis pula diakibatkan oleh parasit trichinella menyebabkan demam, sakit perut, sakit badan, bengkak di keliling mata dan parasit ini boleh menjangkiti organ2 lain seperti jantung, otak dan paru2 hingga boleh membawa maut. 

3. JANGKITAN VIRUS. Jangkitan virus Hepatitis E dari memakan daging babi, rusa dan haiwan bercengkerang (siput/kerang dll) yang mentah atau kurang masak boleh menyebabkan keradangan hati.  Gejala2 jangkitan virus ini adalah demam, letih, sakit sendi, kulit dan mata menjadi kuning. Kerosakan hati boleh berlaku. Kajian juga mendapati terdapat hubungan antara jangkitan kronik Hepatitis E dengan kanser hati.

4. PENYAKIT PRION: Memakan daging mentah ataupun separuh masak terutamanya sistem saraf haiwan seperti otak boleh menyebabkan penyakit prion yang melibatkan otak pesakit. Penyakit Prion adalah sekumpulan penyakit yang disebabkan oleh  protein asing yang merosakkan protein prion dalam tubuh seseorang. Sumber asal.protein asing ini tidak ddiketahui. Ia boleh menjangkiti manusia dan haiwan. Protein prion yang tidak normal ini bergumpal terutama di dalam otak mangsa. Penyakit Prion yang paling kerap adalah Creutzfeldt-Jakob disease (CJD). Salah satu varian CJG adalah penyakit lembu gila ("mad cow disease") yang diperolehi selepas memakan daging lembu yang dijangkiti.. Selain dari CJG, penyakit2 prion lain adalah Kuru, Gerstmann-Sträussler-Scheinker disease dan Fatal Insomia. Penyakit Prion sukar dirawat dan kadar kematian sangat tinggi. Pesakit mengalami gejala otak seperti hilang ingatan, masalah pergerakan, gangguan pertuturan dan kekejangan. 

5. JANGKITAN BAKTERIA YANG KEBAL ANTIBIOTIK. ("antibiotic-resistant"). Daging mentah juga boleh mengandungi bakteria yang kebal antibiotik dan jika menjangkiti manusia, sangat sukar untuk dirawat.  

Terdapat golongan2 tertentu yang lebih berisiko tinggi mengalami jangkitan akibat memakan daging mentah seperti kanak2, wanita hamil, orang tua dan individu yang rendah sistem pertahanan badan.

TIDAK ADA MANFAAT TAMBAHAN MAKAN DAGING MENTAH

Walaupun ada yang mendakwa makan daging mentah memberi lebih tinggi kandungan nutrin untuk kesihatan, namun tidak ada bukti yang kukuh. Mudarat yang dibawa dari amalan ini jauh lebih besar. Memasak daging membuatkannya lebih mudah dikunyah dan dihadamkan. Walaupun ada kajian mendapati daging yang dimasak menurunkan sedikit kandungan beberapa Vitamin (thiamine, riboflavin, niacin) dan mineral (natrium, kalium, kalaium, magnesium), kandungan mineral lain pula meningkat (zat besi, zinc dan tembaga). Tambahan pula vitamin2 ini boleh diperolehi dari sumber makanan yang lain seperti bijirin, telur, sayuran,  produk tenusu dan lain2. 

HUKUM MAKAN DAGING MENTAH

Pendapat tentang hukum memakan daging mentah berbeza-beza dan saya bawakan dua pendapat iaitu dari pejabat Mufti Wilayah dan Nahdlatul Ulama, Indonesia.

FATWA MUFTI WILAYAH

Saya merujuk kepada fatwa yang dikeluarkan oleh pejabat Mufti Wilayah di dalam IRSYAD HUKUM SIRI KE-654. Tajuk yang dibincangkan adalah berkenaan dengan hukum makan sushi dan shashimi , tetapi terdapat bahagian yang membincangkan tentang hukum makan daging mentah.

Berikut adalah kenyataan yang dipetik dari Irsyad Hukum Siri ke 654 berkenaan dengan hukum memakan daging mentah:

"Dalam hal memakan ikan mentah yang telah mati atau daging mentah yang telah disembelih secara syarak, tidak terdapat dalil khusus yang menyatakan akan pengharamannya.

Menurut Imam al-Nawawi, dalam satu permasalahan berkenaan hukum memakan daging mentah, beliau menyatakan hukumnya adalah harus. Pandangan ini juga sama menurut mazhab Maliki dan pandangan muktamad mazhab Hanbali. Meskipun begitu, keharusan memakannya adalah selama mana ia tidak membawa kepada kerosakan ataupun kemudaratan ke atas tubuh badan ataupun akal. Adapun sekiranya ia berisiko mendatangkan mudarat pada diri, maka ia tidak dibenarkan dan hukumnya boleh berubah kepada haram."

Baca maklumat lanjut di pautan bawah:

https://www.muftiwp.gov.my/ms/artikel/irsyad-hukum/umum/5075-irsyad-al-fatwa-siri-ke-654-hukum-memakan-sushi-dan-sashimi

PENDAPAT NAHDLATUL ULAMA, INDONESIA

Berikutnya adalah petikan pendapat dari Nahdlatul Ulama, Indonesia (pautan laman web tertera di bawah):

"Mengonsumsi daging secara mentah adalah hal yang diperbolehkan selama daging yang dikonsumsi bukan termasuk kategori daging dari hewan-hewan yang diharamkan dan tidak ada najis yang masih melekat dalam daging tersebut, seperti darah misalnya.

Meski diperbolehkan, namun para ulama masih berbeda pendapat mengenai makruh tidaknya mengonsumsi daging secara mentah ini. Dalam kitab al-Iqna’ dijelaskan bahwa mengonsumsi daging mentah adalah hal yang dimakruhkan, seperti halnya hukum membiasakan makan daging secara terus-menerus dan memakan daging yang sudah busuk (bau). Namun, dalam kitab yang lain menyebutkan ketidakmakruhan mengonsumsi daging secara mentah, sehingga hukumnya hanya sebatas mubah.

Berbeda halnya ketika dengan mengonsumsi daging mentah akan menyebabkan bahaya pada diri sendiri, misalnya seseorang meyakini bahwa dengan mengonsumsi daging mentah maka kesehatannya akan terganggu atau penyakit yang dimilikinya akan kambuh. Maka dalam keadaan demikian memakan daging mentah adalah hal yang dilarang". 

Baca lanjut di pautan bawah:

https://nu.or.id/syariah/hukum-mengonsumsi-daging-mentah-Ps9fi

MAKTABAH ALBAKRI

Merujuk kepada pendapat Dato' Seri Dr.Zulkifli Albakri, mantan Mufti Wilayah dan Menteri Agama, di dalam laman web beliau Maktabah Albakri, beliau menyatakan bahawa hukum memakan daging mentah adalah khilaf dari harus, makruh dan haram. Walau bagaimanapun, berdasarkan kepada ahli al-ikhtisas (pakar perubatan), beliau cenderung dengan pendapat mengatakan hukum makan daging mentah adalah makruh. Namun jika ianya memudaratkan kesihatan, hukumnya haram. Pautan tulisan beliau adalah seperti di bawah:

https://maktabahalbakri.com/377-makan-daging-mentah/

DAGING MENTAH BERDARAH

Pada permukaan daging yang dipotong terdapat cairan merah yang kelihatan terlekat pada serat2 daging. Persoalannya, adakah cairan merah yang terdapat pada daging mentah tersebut adalah darah. Dari pandangan ilmu sains perubatan, cecair kemerahan yang terdapat pada daging itu bukan sebenarnya mengandungi sel2 darah sebaliknya warna kemerahan itu adalah disebabkan kehadiran sejenis protein di dalam otot yang dikenali sebagai myoglobin yang bergabung dengan oksigen untuk membentuk oxymyoglobin. Rujuk pautan di bawah:

https://www.fsis.usda.gov/food-safety/safe-food-handling-and-preparation/food-safety-basics/color-meat-and-poultry

Jika cecairan merah itu memang darah, apakah hukumnya memakan daging tersebut. Dalam menjawab persoalan ini saya bawakan pendapat dari beberapa sumber.

Firman Allah dalam surah Al-An'am, ayat 145 bermaksud: “Aku tidak mendapati dalam perkara yang diwahyukan kepadaku sesuatu yang diharamkan bagi orang hendak memakannya melainkan benda itu berupa bangkai, atau darah yang mengalir, atau daging babi - kerana sesungguhnya ia adalah kotor...”

Mengikut pendapat Nahdlatul Ulama, terdapat dua jenis darah yakni darah yang mengalir dan darah yang tidak mengalir. Hukum haram yang dinyatakan dalam surah Al-Anam di atas merujuk kepada darah yang mengalir. Adapun darah yang tidak mengalir seperti darah tertinggal sedikit pada daging, hati dan limpa dianggap suci dan tidak dihukum haram untuk dimakan. Sila rujuk pautan di bawah:

https://nu.or.id/syariah/darah-yang-halal-dan-yang-haram-G675a

Pendapat yang sama dikemukakan oleh Mufti Wilayah di dalam Al-Kafi 654

Boleh baca di pautan bawah:

https://muftiwp.gov.my/en/artikel/al-kafi-li-al-fatawi/685-al-kafi-654-hukum-darah-pada-daging-urat-dan-tulang-haiwan-sembelihan

Mukasurat 15, buku keluaran Jakim, Penentuan Hukum Plasma Darah Dalam Makanan Menurut Perspektif Islam juga memberi pendapat yang sama.


RUMUSAN (PENDAPAT PERIBADI)

Memakan daging mentah berpotensi membawa kemudaratan kepada tubuh badan seperti yang dinyatakan di dalam tulisan di atas. Walaupun ada manfaat, tetapi mudaratnya lebih besar, lebih2 lagi jika isu kebersihan sukar untuk dipelihara dan dipantau. Walaupun terdapat perbezaan pendapat mengenai hukum memakan daging mentah dan darah haiwan, saya secara peribadi tidak akan memakan daging mentah kerana risiko kemudaratan kepada kesihatan. Tambahan pula, daging mentah tidak sedap dimakan. Manakala daging (haiwan yang mati disembelih secara syarak) yang terdapat sedikit darah yang tidak mengalir, Mufti Wilayah dan Nahdatul Ulama sepakat yang ianya suci dan harus dimakan. Di samping itu, pada pandangan ahli sains, cecair kemerahan dari daging bukan darah tetapi kesan kehadiran oxymyoglobin. Memakan daging perlu mematuhi kaedah pemakanan sihat agar ia tidak menyebabkan masalah kegemukan, tahap kolesterol yang tinggi dan lain2 risiko kesihatan yang berkaitan dengan pengambilan daging secara berlebihan.

Dato' Dr Rushdan Noor

13hb Nov 2024

RUJUKAN

https://www.muftiwp.gov.my/ms/artikel/irsyad-hukum/umum/5075-irsyad-al-fatwa-siri-ke-654-hukum-memakan-sushi-dan-sashimi

https://nu.or.id/syariah/hukum-mengonsumsi-daging-mentah-Ps9fi

https://muftiwp.gov.my/en/artikel/irsyad-fatwa/irsyad-fatwa-umum-cat/4854-irsyad-al-fatwa-siri-ke-589-hukum-menelan-darah-yang-berada-di-dalam-mulut-ketika-solat?

https://www.facebook.com/share/p/1F2S2cHGvf/

https://www.google.com/amp/s/nu.or.id/amp/syariah/hukum-mengonsumsi-daging-mentah-Ps9fi

https://www.healthline.com/health/video/can-you-eat-raw-beef

https://www.sciencedirect.com/science/article/abs/pii/S1877782123001376

https://www.hopkinsmedicine.org/health/conditions-and-diseases/prion-diseases

Wednesday, 6 November 2024

BAGAIMANA MENGUKUR JUMLAH KALORI YANG ANDA PERLUKAN DALAM SEHARI

 




Untuk menentukan berapakah jumlah kalori yang perlu diambil oleh seseorang, anda perlu mengukur BMR dan AMR. Nak tahu apakah itu BMR dan AMR, teruskan membaca.

Formula yang digunakan untuk mengukur BMR (Basal Metabolic Rate) adalah formula Harris-Benedict. Nilai BMR bergantung kepada jantina, usia dan saiz badan. Mengukur BMR akan memberi anda jumlah kalori yang perlu dibakar, cukup untuk hidup dan sedar (tanpa lakukan apa2 aktiviti).

FORMULA UNTUK MENGUKUR BMR

LANGKAH  1: UKUR BMR ANDA

Untuk Wanita, BMR = 655.1 + (9.563 x Berat badan dalam kg) + (1.850 x Tinggi dalam cm) - (4.676 x Usia dalam tahun)

Untuk Lelaki, BMR = 66.47 + (13.75 x Berat badan dalam kg) + (5.003 x Tinggi dalam cm) - (6.755 x Usia dalam tahun)

Apabila anda bangun dari katil dan mula bergerak, anda perlu mengubahsuai angka2 di atas mengikut tahap aktiviti yang dilakukan. Ukuran ini dinamakan AMR (Active Metabolic Rate). AMR diukur dengan mendarabkan BMR dengan nombor tertentu yang ditetapkan bergantung kepada 5 tahap aktiviti seperti di bawah. Nombor tetap ini bermula dari 1.2 jika anda seorang yang tidak aktif hingga kepada  1.9 jika anda sangat aktif. AMR adalah jumlah kalori yang diperlukan dalam sehari oleh seseorang untuk kekal dengan berat badan yang sedia ada pada tahap aktiviti tertentu.

FORMULA MENGUKUR AMR

LANGKAH  2: UKUR AMR ANDA

Untuk mengukur AMR, anda perlu mendarabkan BMR dengan nombor tetap mengikut tahap aktiviti seperti di bawah.

Tidak aktif / Sedentari (sedikit atau tidak bersenam langsung): AMR = BMR x 1.2

Kurang aktif (senaman 1-3 hari seminggu): AMR = BMR x 1.375

Sederhana Aktif (senaman 3-5 hari seminggu): AMR = BMR x 1.55

Aktif (senaman 6–7 hari seminggu): AMR = BMR x 1.725

Sangat aktif (senaman berat 6–7 hari seminggu): AMR = BMR x 1.9

Nilai AMR anda di atas mewakili jumlah kalori yang anda perlukan setiap hari untuk MENGEKALKAN berat badan anda yang sedia ada mengikut tahap aktiviti fizikal anda.

Jika anda ingin menurunkan berat badan, anda perlu naikkan tahap aktiviti fizikal ataupun mengurangkan pengambilan kalori dengan mengurangkan makan.    

CONTOH KIRAAN

Nama : Puan B 
Usia : 35 tahun
Jantina : Wanita
Berat : 50 kg
Tinggi : 150 cm
Tahap aktiviti : Kurang Aktif (1.375)

BMR Puan B : 655.1 + (9.563 X 50) + (1.850 X 150) - (4.676 X 35) = 1,246
AMR Puan B : 1246 X 1.375 = 1,714

BMI (Body Mass Index) Puan B: 50 ÷ (1.50 X 1.50) = 22.2 kg/m2 (Normal)

Keperluan kalori Puan B setiap hari untuk mengekalkan berat badan 50kg adalah 1714 kalori. Kalau Puan B ingin menurunkan berat badan, beliau perlu kurangkan makan untuk mengambil kalori yang kurang dari 1714 atau/dan tingkatkan tahap aktiviti fizikal menjadi seorang yang aktif.

Sumber: CPG Management of Obesiti MOH 2023


GUNA APP UNTUK UKUR BMR

Jika anda malas untuk mengira secara manual, BMR mudah diukur dengan menggunakan aplikasi atas talian. Salah satunya ada disediakan di pautan bawah:


CONTOH MENU YANG MENYEDIAKAN 1500 KALORI

Contoh diet yang mengandungi jumlah kalori sebanyak 1500 kalori dalam sehari ditunjukkan dalam ilustrasi di bawah.

Dato' Dr.Rushdan Noor
6hb Nov 2024

Sumber:  https://www.verywellfit.com/how-many-calories-do-i-need-each-day-2506873




Dato' Dr.Rushdan Noor

6hb Nov 2024


Sumber: 

https://www.verywellfit.com/how-many-calories-do-i-need-each-day-2506873




Thursday, 31 October 2024

BERKHASIAT KE MAKAN SUM-SUM TULANG ?

 


Sum tulang ataupun "bone marrow" adalah tisu yang lembut dan anjal terletak di tengah2 tulang. Ianya paling padat di tulang belakang, tulang peha dan tulang pinggol (pelvis). Ia mengandungi sel2 stem yang akan berkembang menjadi sel darah merah, sel darah putih dan sel pembeku. Sel2 ini berperanan membawa oksigen, sebahagian dari sistem pertahanan dan juga pembekuan darah.

Sum-sum tulang lembu, kambing dan rusa seringkali dijadikan santapan oleh penggemar, contohnya dalam sup gearbox.

APAKAH KANDUNGAN NUTRIN SUM-SUM TULANG

Sum-sum mengandungi agak tinggi kalori dan lemak.
Di dalam setiap satu sudu besar (14 gram) sum-sum tulang mengandungi nutrin2 berikut:

Jumlah Kalori : 110
Jumlah Lemak: 12 grams
Protein: 1 gram
Vitamin B12: 7% of the Reference Daily Intake (RDI)
Riboflavin: 6% of the RDI
Besi: 4% of the RDI
Vitamin E: 2% of the RDI
Phosphorus: 1% of the RDI
Thiamine: 1% of the RDI
Vitamin A: 1% of the RDI

Selain daripada nutrin di atas, sum-sum tulang juga mengandungi kolagen, glukosamin dan asid linoleic. Setiap nutrin ini mempunyai peranan kepada kulit, tulang, sendi dan lain2 secara bersendirian, yakni dalam bentuk tulin. Walau bagaimanapun tidak ada kajian yang mencukupi untuk mendakwa bahawa memakan sum2 tulang dapat memberi bekalan nutrin2 ini dan memanfaatkan kesihatan. Nutrin2 ini mungkin akan musnah semasa dimasak ataupun dileraikan oleh asid perut dan enzim2 di dalam usus.



KESAN TIDAK SIHAT MAKAN SUM-SUM TULANG

Selain dari lemak yang agak tinggi, memakan sum-sum juga boleh membawa masalah kesihatan yang lain. Tulang yang dimasak boleh mengeluarkan logam berat seperti kadmium dan plumbum. Walaupun kandungan logam berat ini rendah, namun ia boleh memudaratkan kesihatan. Bahan2 perasa dan ramuan2 lain yang dimasukkan di dalam sajian sum2 tulang ini membawa masalah2 kesihatan yang tersendiri.

KAJIAN TENTANG MANFAAT MAKAN SUM-SUM TULANG

Kajian tentang manfaat memakan sum-sum tulang sangat terhad, jadi belum ada bukti yang ianya bermanfaat kepada kesihatan.

KESIMPULAN

Sum-sum tulang mengandungi kalori dan lemak yang agak tinggi. Kandungan mikronutrinnya (vitamin dan mineral) adalah rendah. Walaupun terdapat beberapa nutrin yang baik untuk kesihatan, belum ada bukti yang ianya bermanfaat kepada kesihatan kerana kajian masih terhad. Pengambilannya hanyalah untuk rasa sedap oleh penggemar sum-sum tulang. Jangan ambil secara berlebihan.

Dato' Dr. Rushdan Noor
1hb Nov 2024

https://www.healthline.com/nutrition/bone-marrow#bottom-line

https://www.webmd.com/diet/health-benefits-bone-broth

https://www.priceofmeat.com/9015/eating-bone-marrow-pros-and-cons/#:~:text=One%20of%20the%20biggest%20dangers%20of%20eating%20bone,nervous%20and%20digestive%20systems%2C%20the%20kidneys%2C%20and%20joints.

Saturday, 26 October 2024

4 MANFAAT MAKAN SARAPAN BERSAMA PASANGAN



"EAT TOGETHER STAYS TOGETHER"

Apabila kehidupan makin sibuk terutama pasangan yang bekerja, masa untuk melakukan aktiviti bersama semakin suntuk dan peluangnya juga semakin sukar.

Terdapat beberapa kesempatan yang boleh digunakan untuk melakukan sesuatu bersama dan mengeratkan hubungan. Di samping beribadah, sarapan bersama juga boleh dijadikan satu rutin bersama yang sihat. Ia tidak memerlukan masa yang panjang, masa yang singkat tetapi berkualiti lebih baik dari masa panjang tetapi tegang.

Ianya boleh dilakukan samada di rumah ataupun di luar rumah. Hatta, semasa waktu rehat, kedua2 pasangan boleh bertemu dan bermesra di meja makan. Tidak perlukan tempat makan yang istimewa atau mahal, gerai2 di tepi jalan pun sudah memadai. Mungkin saat bersama pasangan itu merupakan masa yang paling berkualiti untuk anda dalam satu hari. Mungkin juga itulah masa anda menggurangkan stres di tempat kerja.

Untuk mendapat manfaat dari rutin sarapan bersama ini tentu ada beberapa prasyarat, antaranya hanya anda berdua, talipon bimbit tinggalkan dalam beg atau kocek atau lebih baik dalam kereta dan cari tajuk perbualan yang boleh mengharmonikan kedua2 pihak. Ingat, waktu sarapan bersama boleh bertukar menjadi tegang dan merugikan jika diisi dengan perbalahan.

Terdapat sekurang2nya 4 manfaat yang boleh diperolehi dari aktiviti bersarapan bersama pasangan.

1. MAKAN SARAPAN BERSAMA MENGERATKAN HUBUNGAN

Inilah masa anda bersama pasangan berdua melakukan perkara yang sana tanpa gangguan. Kita duduk dan makan akan mengujudkan ruang serta peluang untuk berbual dan berbincang. Masa untuk lebih mengenal pasangan masing2. Ketika ini juga anda dapat mengetahui cita rasa dan kegemaran makanan pasangan anda. Dengan menjadikan aktiviti ini satu rutin, masing2 membuktikan kesungguhan untuk menjadikan hubungan itu satu keutamaan di tengah2 kesibukan lain. Kajian telah menunjukkan bahawa sarapan bersama, samada bersama keluarga, pasangan atau kawan2 boleh mengukuhkan hubungan, lebih2 lagi jika ianya bermula dari menyediakan makanan bersama.

2. MAKAN BERSAMA MENGGALAKKAN TABIAT MAKAN YANG BAIK

Tumpuan kepada sarapan tanpa gangguan  juga memberi anda peluang untuk fokus kepada tabiat makan dan jenis makanan yang diambil. Anda dapat menikmati aroma dan rasa makanan dengan lebih baik. Pasangan anda juga boleh menjadi penasihat tentang jenis makanan dan minuman yang sesuai dengan kesihatan anda, di samping mengawal kuantiti makanan yang diambil. Semua ini membantu membudayakan tabiat makan yang sihat. Anda tidak makan berlebihan dan sarapan yang lebih menyeronokkan.

3. MAKAN BERSAMA BOLEH MEMPERBAIKI KUALITI SARAPAN DAN NUTRISI

Apabila merancang untuk makan bersama, maka jenis makanan yang dipilih tidak dilakukan terburu2 seperti mana jika anda makan seorang. Jenis dan kuantiti makan akan dirancang dan seperti yang dinyatakan di atas, pasangan anda akan menjadi penasihat atau semak dan imbang bagi memastikan kualiti dan kuantiti makanan dipelihara. Jika pasangan anda seorang yang arif tentang nutrient, maka ianya juga dapat membantu anda untuk mengawal tabiat makan. Jenis makanan sihat yang diamalkan oleh pasangan juga dapat dikongsi bersama. Tapi, awas, jangan pula berkongsi tabiat buruk makan pasangan anda !!

4. MAKAN BERSAMA MENGURANGKAN STRES

Waktu makan bersama, anda akan mengenepikan sementara faktor2 lain yang menjadi tekanan dalam hidup anda. Masing2 akan menumpukan perhatian kepada satu sama lain dan aktiviti yang hendak dilakukan bersama itu. Suasana hubungan yang lebih baik, komunikasi yang lebih berkesan dan sikap saling bantu membantu yang diujudkan akan mengurangkan stres dan bersikap lebih positif. Kadangkala pasangan anda juga tempat meluahkan perasaan dan mendapatkan pendapat. Kajian menunjukkan bahawa kes kemurungan lebih kerap dikesan ke atas individu yang makan berseorangan. Soal selidik mendapati 1 dalam 5 orang warga emas mengadu keseorangan ("loneliness") apabila mengambil sarapan berseorangan. Di sebaliknya pula, makan bersama2, samada oleh pasangan, seisi ahli keluarga ataupun dengan rakan2 dapat mengurangkan stres.

Kesimpulannya, banyak manfaat yang boleh diperolehi melalui aktiviti sarapan bersama pasangan kita. Selain dari 4 manfaat di atas, kesempatan ini juga boleh digunakan untuk merancang, berbincang tentang masa depan masing2 dan anak2. Manfaatnya bukan saja terbatas kepada pasangan suami isteri, tetapi juga kepada sebuah keluarga dengan anak2 ataupun dalam kalangan sanak saudara ataupun rakan2.

Walau bagaimana pun tidak semua aktiviti bersama boleh memberi kepuasan dan kebaikan yang sama jika tidak dilakukan dengan betul serta tidak memenuhi prasyarat yang dinyatakan. Jika aktiviti bersama digunakan untuk mencetus atau menyambung konflik yang sudah berlaku ataupun medan untuk berbalah, maka sarapan bersama ini akan menjadi serampang dua mata. 

Dato' Dr.Rushdan Noor

27hb Okt 2024

Wednesday, 23 October 2024

TIDAK EMPATI : KRISIS AKHLAK MASYARAKAT KITA HARI INI

 


Empati bermaksud menyelami dan merasai situasi serta perasaan orang lain seolah2 anda adalah orang tersebut. Dengan prinsip ini anda akan berurusan dan berkomunikasi dengan orang tersebut.  Empati adalah salah satu ciri2 akhlak terpuji.

Kes jenayah, buli, keganasan rumahtangga, keganasan seks, menipu, menindas dan sikap ganas adalah antara manifestasi tidak empati. Hatta, memaki hamun, menghina dan memfitnah dalam medsos juga boleh dianggap sebahagian dari akibat terhakisnya perasaan empati.

Kata lawan kepada empati adalah apati ("apathy"). Golongan yang tidak empati ini tahu yang perlakuan mereka adalah salah, tetapi mereka tetap lakukan untuk memuaskan nafsu. Sedangkan mereka tidak sedar bahawa memiliki sifat empati ini sebenarnya boleh mendamaikan jiwa dan memperbaiki hubungan dengan orang lain.

Seorang senior membuli junior di tempat kerja, seorang pegawai tinggi menekan pegawai bawahan, seorang ketua memberi arahan2 atau peraturan yang tidak munasabah dan tidak mempedulikan kebajikan petugas bawahan.  Begitu juga petugas di kaunter yang bengis dan kasar terhadap pelanggan. Perawat yang bersikap halai-balai semasa berurusan dan merawat pesakit. Sebaliknya pula, pelanggan yang bersikap kasar, tidak bertolak ansur dan membuat permintaan yang tidak munasabah juga boleh dianggap tidak empati. Ini adalah contoh2 fenomena yang sering berlaku di tempat kerja. Salah satu puncanya adalah kurangnya empati.


PETANDA SEORANG YANG TIDAK EMPATI

Kita boleh mengesan seseorang yang mempunyai masalah kurang empati. Berikut adalah beberapa ciri individu tersebut:

1. Sangat suka mengkritik orang lain dan seringkali secara terbuka.

2. Gagal mengawal perasaan ataupun panas baran. 

3. Tulisan atau pertuturannya kasar, suka mengecam dan merendah2kan orang lain.

4. Tidak pernah atau jarang memahami perasaan orang lain

5. Seringkali menuduh orang lain terlalu sensitif, sedangkan hakikatnya dia yang tak sensitif.

6. Reaksi berlebihan ("overeacting") terhadap perkara2 kecil

7. Tidak akan mengaku diri bersalah

8. Berkelakuan tidak sensitif

9. Menghadapi masalah untuk mengekalkan hubungan dengan orang lain.

10. Tidak mampu menangani situasi yang tegang atau tidak selesa

11. Kurang sikap empati boleh juga merupakan salah satu petanda seseorang yang mengalami masalah kelainan personaliti seperti Personaliti Narcissistik atau Anti-sosial. Mereka juga mungkin dibesarkan dengan sikap begitu akibat salah asuhan.

Akibat daripada sikap2 di atas, orang yang memiliki sifat tidak empati ini akan menjadi punca ketegangan, pergaduhan, tekanan dan persekitaran yang tidak harmoni. Mereka bukan sahaja menyebabkan masalah kepada orang lain, tetapi juga tekanan dan musibah ke atas diri mereka sendiri.

Secekap mana sekalipun kemahiran anda melakukan kerja, jika tidak ada sifat empati kepada orang lain, samada sesama pekerja atau dengan pelanggan, anda bukan seorang kakitangan yang baik.

KEUNTUNGAN MEMILIKI SIFAT EMPATI

Memiliki sifat empati membawa banyak kelebihan dan manfaat kepada seseorang. Di antara kelebihan2 tersebut adalah:

1. Anda boleh mengujudkan hubungan yang lebih baik dengan orang lain, berasa puas dengan diri sendiri dan mengurangkan stres. Bayangkan betapa stresnya anda jika asyik tidak puas hati, marah dan menambah bilangan orang yang tidak menyukai anda setiap hari jika anda seorang yang tidak empati.

2. Kurang stres membawa banyak manfaat kepada kesihatan fizikal. Salah satu gayahidup sihat yang seringkali disyorkan oleh pakar2 perubatan adalah mengurangkan stres.

3. Sikap empati memperbaiki kemahiran berkomunikasi.

4. Sikap empati dalam satu2 pasukan kerja akan mengujudkan pasukan yang kuat dan mantap.

5. Mengujudkan persekitaran kerja yang harmoni

6. Memiliki sifat empati akan menjadikan seseorang itu pemimpin/ketua yang disegani dan petugas yang disayangi.

7. Mengurangkan sikap negatif dalam diri seseorang.

8. Anda akan lebih dihargai, dihormati dan diingati oleh ramai orang kerana sifat empati anda memberi kepuasan dan kegembiraan kepada orang lain. 

9. Sifat empati adalah sifat2 terpuji yang pasti akan diberi pahala dan ganjaran oleh Allah swt. Pendek kata, kita boleh mengumpul banyak saham akhirat.

Daripada An Nu’man bin Bisyir dia berkata; Rasulullah SAW bersabda:

"Perumpamaan orang yang beriman dalam hal saling mencintai, mengasihi dan menyayangi bagaikan satu tubuh. Apabila salah satu anggota tubuhnya sakit, maka seluruh tubuhnya juga akan merasakan sakit." (HR. Bukhari dan Muslim, No 4685).

Rasulullah SAW bersabda:"Barangsiapa memudahkan orang yang dalam kesulitan, Allah memudahkannya di dunia dan akhirat." (Riwayat Ibnu Majah)

Menangani masalah kurang empati ini mungkin sukar bergantung kepada puncanya. Daripada senarai kelebihan memiliki sifat empati di atas, jelas sekali bahawa berubah menjadi seorang yang empati adalah jauh lebih berbaloi daripada terus kekal dengan sikap yang buruk itu.


Dato' Dr.Rushdan Noor

24hb Okt 2024

Wednesday, 16 October 2024

PERLUKAH MENGAMBIL SUPLEMEN MINYAK ZAITUN?

 


Lemak terdiri daripada lemak tepu dan lemak tidak tepu. Lemak tepu dikaitkan dengan masalah kesihatan jantung dan saluran darah. Manakala lemak tidak tepu pula dianggap sejenis lemak yang baik untuk kesihatan. Lemak adalah salah satu keperluan makronutrien. Mengikut garispanduan diet, 20-35% daripada kalori yang diambil hendaklah daripada lemak. 

Kebanyakan orang mengambil lemak dalam jumlah yang mencukupi tetapi mungkin dari kategori lemak tepu. Mereka tidak mengambil lemak tidak tepu yang mencukupi. Ada dua jenis lemak tidak tepu iaitu PUFA ("polyunsaturated fatty acid") dan MUFA ("monounsaturated fatty acid) yang ditemui dalam beberapa jenis minyak, kacang, bijirin dan juga dari sumber tumbuhan. 


Minyak Zaitun adalah salah satu sumber yang kaya dengan MUFA. MUFA dikaitkan dengan manfaat terhadap kesihatan jantung dan mungkin boleh mengurangkan risiko sakit jantung. Minyak zaitun extra virgin adalah minyak zaitun yang paling kurang diproses, jadi dipercayai mengandungi lebih tinggi kandungan nutrin termasuk antioksidan. MUFA boleh juga ditemui dalam produk haiwan tetapi sumber dari tumbuhan didapati lebih baik. 

MINYAK ZAITUN DAN DIET MEDITERRANEAN

Manfaat mengambil minyak zaitun sebagai sumber lemak MUFA ini diperolehi daripada pemerhatian terhadap diet Meditaranean di mana penduduk negara Mediterranean yang mengamalkan diet ini didapati berusia lebih panjang dan lebih sihat. Ciri2 diet Mediterranean adalah tinggi kandungan buah2an, sayuran dan salad, sereal atau roti whole grain, kentang, kekacang dan bijirin. Makanan dihasilkan sendiri dan kurang diproses. Minyak zaitun adalah salah satu ingredient penting di dalam makanan orang Mediterranean. Jadi sumber lemak dalam makanan mereka datangnya daripada lemak tidak tepu. Penduduk di sini juga mengamalkan gaya hidup sihat dan rajin bersenam. 

KHASIAT MINYAK ZAITUN DAN HASIL KAJIAN

Pengambilan lemak tidak tepu mempunyai kesan langsung dan tidak langsung terhadap melindungi badan daripada penyakit keradangan kronik.

Persoalannya adakah mengambil minyak zaitun dalam bentuk minuman ataupun suplemen boleh memberikan manfaat kesihatan kepada manusia. 

Ahli sains dan pakar pemakanan percaya bahawa untuk mendapat manfaat daripada pengambilan minyak zaitun, seseorang perlu mengamalkannya dalam bentuk pakej seperti yang diamalkan oleh penduduk Mediterranean. Ianya hanya salah satu komponen daripada banyak lagi gayahidup orang2 Mediterranean. Dengan gabungan semua elemen2 ini barulah manfaatnya ke atas sistem imun, antioksidan dan juga anti-keradangan tersebut diperolehi. 

Tidak dapat dinafikan terdapat sangat banyak kajian tentang pengambilan minyak zaitun dengan kesihatan.  Di antara manfaat yang diperolehi adalah mengurangkan masalah sembelit, mengurangkan kolesterol jahat, menurunkan gula darah, meningkatkan kepadatan tulang, antikeradangan, kesihatan kulit, mengurangkan risiko sakit jantung, antikanser dan lain-lain. Banyak kajian2 ini menggunakan "minyak zaitun extra virgin". Walau bagaimanapun kajian2 tersebut didapati mempunyai masalah metodologi seperti kajian bukan klinikal, hanya kajian pemerhatian, saiz sampel yang kecil, kajian ke atas haiwan, kalau RCTs sampelnya kecil, kriteria peserta kajian dan juga kesan faktor penyumbang yang lain. Jenis dan kualiti minyak zaitun juga mempengaruhi hasil kajian di mana kandungan yang tinggi asid phenolic memberi kesan lebih baik.  Penyelidik2 membuat rumusan bahawa kajian lanjut yang lebih berkualiti diperlukan untuk mengesahkan hasil kajian2 tersebut. 

KESAN SAMPINGAN AMALAN MENGAMBIL MINYAK ZAITUN

Amalan mengambil minyak zaitun samada dalam bentuk suplemen ataupun ramuan dalam makanan mempunyai masalah yang tersendiri. Minyak zaitun mengandungi kalori yang tinggi iaitu 150 kalori di dalam 15 ml. Pengambilan jumlah kalori dari diet keseluruhannya perlu dipantau supaya tidak berlebihan. Pengambilan kalori yang berlebihan dikaitkan dengan masalah lain pula termasuk kegemukan.  Mengamalkan minyak zaitun tanpa mengambil makanan2 yang seimbang, tinggi serat (diet Mediterranean) dan senaman tidak akan memberi kesan besar kepada kesihatan badan.  Makanan dalam bentuk asal menyediakan nutrin yang lebih lengkap. Terdapat individu yang mengalami masalah alahan (alergik) selepas mengambil minyak zaitun. 

Ketulinan minyak zaitun juga perlu dipastikan kerana terlalu banyak produk minyak zaitun di pasaran dengan persaingan yang sengit. Penggunaan racun serangga di ladang2 tanaman pokok zaitun dibimbangi boleh mencemarkan minyak yang dihasilkan. Banyak dakwaan kebaikan minyak zaitun untuk pelbagai masalah kesihatan tidak disokong oleh hasil kajian tetapi diwar-warkan oleh syarikat yang mengeluarkan minyak zaitun. Persoalan samada mengambil minyak zaitun secara minum ataupun digunakan dalam masakan masih menjadi tajuk perdebatan, kajian lanjut diperlukan.

BUKAN MINYAK ZAITUN SAHAJA SUMBER LEMAK TIDAK TEPU

Menggantikan jenis lemak dari lemak tepu kepada lemak tidak tepu di dalam diet adalah juga saranan yang dinyatakan di dalam buku garispanduan amalan klinikal untuk rawatan darah tinggi dan penyakit jantung. Walau bagaimanapun, tidak dinyatakan secara spesifik apakah sumber lemak tersebut. Jadi, tidak kira sama ada sumber lemak tidak tepu tersebut dari minyak zaitun, minyak kelapa, minyak avocado, minyak bijan ataupun lain2, tetap ada kesan manfaatnya kepada kesihatan, dengan syarat2 yang dinyatakan di atas. Cadangan ini pula hanya merujuk kepada makanan dan bukan suplemen.


KESIMPULAN

Minyak zaitun merupakan sumber lemak tidak tepu yang baik dan sesuai dijadikan sumber lemak yang utama di dalam makanan. Maklumat tentang kebaikan minyak zaitun diketahui melalui pemerhatian diet yang diamalkan oleh orang2 Mediterranean. Walau bagaimanapun kesihatan dan jangkahayat yang panjang penduduk2 di negara ini diperolehi dari amalan dan gayahidup yang lebih menyeluruh termasuk jenis makanan, tabiat makan dan juga aktiviti2 fizikal. Kajian2 terhadap suplemen minyak zaitun memang banyak dijalankan tetapi kajian2 lanjut yang lebih besar dan berkualiti perlu dilakukan untuk mengesahkan hasil kajian tersebut. Untuk mendapat manfaat mengambil minyak zaitun ataupun lain2 sumber minyak tidak tepu, seseorang perlu menggabungkannya dengan amalan gaya hidup sihat yang lain. Setakat ini belum ada bukti kukuh untuk memilih mana yang lebih baik antara  minyak zaitun yang diambil dalam bentuk suplemen ataupun sebagai ramuan dalam masakan. Pengambilan minyak zaitun yang berlebihan boleh mendatangkan masalah kesihatan yang lain.

Dato Dr. Mohd Rushdan Md Noor

17hb Okt 2024


https://www.ncbi.nlm.nih.gov/pmc/articles/PMC6949890/

https://www.ncbi.nlm.nih.gov/pmc/articles/PMC6770785/

https://www.healthline.com/nutrition/drinking-olive-oil?fbclid=IwY2xjawF8a-9leHRuA2FlbQIxMQABHVQo3W1kex8cG1pjSve-7NyfZjTsVqkcEadkV4ToDVlNGuxPd2NIqxc6ZA_aem_vZFoGyx3zLpXwsZvt7YeVw#downsides

MINYAK MCTs (MEDIUM CHAIN TRIGLICERIDE) : BENARKAH BERMANFAAT ?

 


Saya kongsikan rumusan dari penilaian menyeluruh peranan minyak MCTs kepada kesihatan yang ditulis oleh Dr. Mary Jane Brown, PhD, RD (UK) dan Rachael Ajmera, MS, RD.

A REVIEW OF MEDIUM CHAIN TRIGLICERIDE (MCTs) 

(ULASAN MENYELURUH TENTANG MINYAK MCTs)

RUMUSAN

1. MCTs ("medium-chain triglicerides) mengandungi asid lemak yang mengandungi rantaian 6-12 atom karbon. Mereka termasuk Asid Caproic (C6), Asid Caprylic (C8), Asid Capric (C10) dan Asid Lauric (C12). MCT dikategorikan sebagai lemak tepu.

2. Disebabkan ianya mengandungi rantai atom yang lebih pendek, MCTs lebih mudah dipecahkan dan diserap oleh badan. Ini membuatkan ianya sumber tenaga yang cepat dan kurang kemungkinan untuk disimpan sebagai lemak.

3. Sumber MCTs dari makanan adalah minyak kelapa, minyak isi kelapa sawit (palm kernel oil) dan produk tenusu. Walau bagaimanapun kandungan MCTs di dalamnya berbeza-beza. Minyak MCTs diperkayakan dengan kepekatan MCTs tertentu. Lazimnya ia mengandungi C8, C10 ataupun campuran kedua2nya.  

4. Minyak kelapa dan minyak isi sawit kaya dengan sumber MCTs tetapi kandungan MCT di dalam suplemen minyak lebih tinggi.

5. MCTs MUNGKIN membantu pengurangan berat badan dengan mengurangkan pengambilan kalori dan penyimpanan lemak, mudah kenyang, pembakaran kalori dan kandungan keton dalam kalangan yang orang yang mengamalkan diet rendah kalori. Tetapi, kesan pengurangan berat badan dari diet tinggi MCTs adalah sederhana.

6. Kaitan antara MCTs dalam memperbaiki prestasi senaman ("exercise performance") adalah LEMAH. Ada kajian yang menunjukkan tidak ada kesan. KAJIAN LANJUT DIPERLUKAN UNTUK MENGESAHKAN MANFAAT INI. 

7. Diet yang mengandungi MCT yang tinggi seperti minyak kelapa MUNGKIN dapat membantu kandungan kolesterol baik (walaupun kajian mengenai kaitan antara kolesterol dalam diet dengan kesihatan jantung dan saluran darah adalah lemah). BUKTI KAJIAN SETAKAT INI BERBEZA2. KAJIAN LANJUT DIPERLUKAN. 

8. MCTs MUNGKIN boleh membantu menurunkan kandungan gula darah dengan mengurangkan kerintangan insulin. Walau bagaimanapun, KAJIAN LANJUT DIPERLUKAN UNTUK MENGESAHKAN MANFAAT INI.

9. MCTs MUNGKIN boleh memperbaiki fungsi otak dalam kalangan pesakit Alzheimer's yang mempunyai corak genetik tertentu. KAJIAN LANJUT DIPERLUKAN UNTUK MENGESAHKAN PERKARA INI.

10. Minyak MCTs adalah selamat untuk kebanyakan orang, TETAPI TIDAK ADA GARISPANDUAN DOS YANG JELAS. Pengambilan MCTs yang tinggi boleh menyebabkan sakit perut, kembung perut dan cirit birit. 

11. Sumber MCTs dari makanan mempunyai kelebihan yang suplemen tidak boleh berikan. Suplemen minyak MCTs mengandungi 100% MCTs yang merupakan lemak tepu, tetapi minyak kelapa mengandungi hanya 54% MCTs dan mengandungi lain2 lemak tidak tepu yang lebih sihat. Banyak lagi manfaat nutrin daripada MCTs dari sumber makanan termasuk antioksidan.

12. KAJIAN2 TENTANG MANFAAT KESIHATAN DARI PENGAMBILAN MINYAK MCTs  ADALAH KAJIAN KECIL KE ATAS HAIWAN DAN MANUSIA. 

13. Jika anda berhajat untuk mencuba minyak MCT, berbincang dengan doktor anda terlebih dahulu.


Dato' Dr.Rushdan Noor

16hb Okt 2024


Source: 

https://www.healthline.com/nutrition/mct-oil-101#safety-and-side-effects


https://www.ncbi.nlm.nih.gov/pmc/articles/PMC9579472/


https://legionathletics.com/mct-oil/?srsltid=AfmBOor4ZvVCjT6EtDdnJ-IDZroH-oR-4SZx_pl810TcFsJh7C7411q5&fbclid=IwY2xjawF8FxtleHRuA2FlbQIxMQABHQmK4zoaBdt5O8rV8lBn_3qSsrMJgGUWFfjHFAUtDktCAioTsXE5uS4Gow_aem_brUrI7rm_tsAjfAgt9GBYA






Saturday, 12 October 2024

PENILAIAN 360 DARJAH DAN PERANANNYA DALAM MENANGANI PERSEKITARAN KERJA YANG TOKSIK.




Persekitaran kerja yang toksik boleh disebabkan oleh banyak faktor, di antaranya adalah rakan kerja yang mempunyai masalah personaliti ("personality disorder"), budaya buli yang tidak ditangani, hilang semangat bekerja dalam satu pasukan, imbuhan yang tidak setimpal, beban kerja yang keterlaluan dan kelemahan memimpin di peringkat jabatan ataupun peringkat yang lebih tinggi. Pemimpin peringkat atasan yang toksik boleh juga menyebabkan persekitaran yang toksik di peringkat atas merebak ke peringkat bawah.

Faktor persekitaran kerja ini sangat penting kerana ramai pekerja meletakkan jawatan bukan kerana tidak suka dengan kerja mereka tetapi akibat tekanan yang keterlaluan di tempat kerja. Pendek kata, faktor penolak itu terlalu kuat.

Di dalam mana2 jabatan, tentu terdapat petugas yang mempunyai masalah sikap dan juga personaliti. Golongan ini mungkin mewakili peratusan kecil sahaja ataupun mungkin hanya 1-2 orang daripada keseluruhan petugas, tetapi kehadiran mereka sudah cukup untuk memberi kesan terhadap keseluruhan tempat kerja.

Salah satu masalah utama menangani tempat kerja yang toksik serta budaya buli adalah untuk mengesan puncanya kerana di dalam banyak keadaan, masalah ini tidak didedahkan ataupun pihak yang terlibat takut untuk berterus terang. Jadi, apa yang kita dengar itu mungkin hanya sebahagian kecil daripada keadaan sebenar ataupun hanya "tips of icebergs".



PENILAIAN 360 DARJAH

Penilaian 360 darjah adalah kaedah mendapatkan maklum balas ("feedback") tentang pencapaian, kualiti kerja seseorang ataupun lain2 maklumat melalui soal selidik. Soal selidik ini dilakukan ke atas orang2 yang mengenali ataupun yang selalu berurusan dengan orang yang berkenaan. Supaya ianya lebih bermakna, perlaksanaannya hendaklah bersistematik dan lebih objektif. Aplikasi penilaian 360 darjah ini sebenarnya sangat luas dalam banyak aspek dan peringkat, dari peringkat unit, jabatan hingga kepada kementerian dan organisasi yang besar.

Dalam konteks tulisan ini dan di tempat kerja, saya akan fokuskan penggunaan penilaian 360 darjah untuk tunjuan menangani masalah persekitaran kerja yang toksik di sesebuah jabatan ataupun perkhidmatan. Pihak yang dinilai mungkin Ketua Jabatan/Pengarah/KP ataupun petugas2 di peringkat bawah mengikut kategori. Lazimnya kategori bawah akan menilai kategori atas kerana kes buli dan lain-lain tekanan selalunya dilakukan samada oleh rakan setugas dalam kategori yang sama ataupun oleh petugas di kategori atas.

KAEDAH PERLAKSANAAN PENILAIAN 360 DARJAH

Pihak pentadbir perlu mengenalpasti pihak ketiga yang akan menjadi Penyiasat (atau jawatankuasa) samada yang ditubuhkan di tempat kerja yang sama ataupun daripada peringkat yang lebih tinggi.

Ada beberapa kaedah penilaian 360 darjah yang boleh dilakukan. Salah satu kaedah yang saya fikir mudah untuk dilaksanakan adalah melalui soal selidik menggunakan Google Form. Pihak yang mengisi Google Form itu tidak perlu menyatakan identiti mereka ("Anonymous") supaya mereka tidak merasa ragu2 ataupun takut untuk menyatakan kebenaran.
Pihak Penyiasat perlu menyediakan soalan2 yang berstruktur yang boleh membawa kepada maklumat yang dikehendaki. Contoh kepala2 tajuk soalan yang disediakan adalah seperti di bawah (sekadar contoh):
1. Status persekitaran kerja pada masa penilaian dilakukan

2. Sejauh mana ianya memberi kesan ke atas kehidupan petugas

3. Tahap tekanan yang dihadapi

3. Punca2 yang menyebabkan petugas merasa tertekan

4. Jika puncanya adalah individu, siapakah individu tersebut.

5. Sifat2 ataupun apakah tindakan individu berkenaan yang menyebabkan tekanan kepada petugas. Maklumat lengkap tentang insiden jika ada.

6. Cadangan penyelesaian

Daripada kepala soalan di atas akan dipecahkan kepada beberapa soalan yang lebih terperinci, samada memilih senarai jawapan ataupun soalan dengan jawapan terbuka. Pautan (link) google form ini akan dihantar kepada petugas untuk diisi dengan memastikan tidak berlaku kebocoran rahsia dan dikendalikan oleh pihak ketiga (JK Penyiasat).

Menggunakan google form adalah salah satu kaedah daripada banyak lagi platform untuk melaksanakan penilaian 360 darjah, bergantung kepada pilihan masing2.

KEGUNAAN DAN KELEBIHAN PENILAIAN 360 DARJAH

Pihak pentadbir boleh menggunakan hasil penilaian 360 darjah ini sebagai salah satu dokumen bukti untuk melakukan siasatan lanjut sebelum tindakan diambil.

Penilaian 360 darjah ini boleh dilakukan secara berkala ataupun apabila terdapat aduan. Penilaian yang dilakukan secara berkala lebih baik kerana dalam banyak keadaan persekitaran kerja yang toksik tidak didedahkan ataupun dirahsiakan. Penilaian secara tetap ini juga dapat menjadi kaedah pencegahan, kerana memang terdapat keadaan di mana masalah ini menjadi kronik dan diturunkan dari satu generasi ke generasi seterusnya.

Di samping mengesan punca persekitaran yang toksik, pihak pentadbir juga dapat mengesan sebarang salah laku seperti amang seksual, "sexual harrasment", buli dan juga amalan klinikal yang tidak selari dengan peraturan perkhidmatan. Mangsa yang takut untuk melaporkan akan lebih berani berterus terang kerana identitinya tidak diketahui semasa penilaian ini dilakukan.

Penilaian 360 darjah yang disasarkan keatas petugas di peringkat bawah boleh juga menyedarkan Ketua Jabatan tentang situasi sebenar tempat kerja yang ditadbir oleh beliau. Begitu juga jika pihak yang dinilai itu adalah Ketua Jabatan itu sendiri, beliau boleh menggunakan hasil penilaian tersebut untuk memperbaiki diri beliau sendiri. Mungkin selama ini beliau menyangka semuanya baik belaka. Jika serius, pihak pentadbir boleh mengambil tindakan menukar ketua jabatan.

Penilaian seumpama ini jika dilakukan secara meluas akan dapat dijadikan sumber data yang berguna kepada pengubal polisi. Kita dapat mengetahui bilangan kes sebenar dan juga sejauh mana ianya memberi kesan ke atas sesebuah jabatan ataupun perkhidmatan.

Penilaian 360 darjah ini akan menjadi kaedah pencegahan serta semak dan imbang, agar setiap kategori petugas tidak menekan ataupun membuli petugas lain sesuka hati. Matlamatnya adalah untuk mengujudkan budaya kerja yang sihat, profesional dan saling hormat menghormati. Selepas sesuatu tindakan penambahbaikan dilakukan, penilaian semula boleh dilakukan untuk menentukan keberkesanan tindakan tersebut.

Penilaian 360 darjah juga boleh dijadikan salah satu indikator pencapaian seseorang petugas di dalam urusan kenaikan pangkat dan juga perlantikan sebagai Ketua Jabatan/Pengarah/Ketua Pengarah.

Penilaian 360 darjah sebenarnya boleh diaplikasikan dalam konteks yang lebih luas dan lebih komprehensif. Ia boleh digunakan untuk menilai kualiti, audit dan pencapaian dari satu unit, jabatan, institusi hinggalah keseluruhan kementerian.

KELEMAHAN PENILAIAN 360 DARJAH

Penilaian 360 darjah boleh menambah beban kerja untuk dilaksanakan, tetapi ianya berbaloi kerana manfaat yang bakal diperolehi jika dilaksanakan dengan betul. Template soalan2 sudah disediakan dan mudah dilaksanakan secara atas talian. Sebarang isu melibatkan kerahsiaan, etika dan perundangan berkenaan dengan kaedah ini perlu diselesaikan terlebih dahulu. Begitu juga dengan isu ketepatan maklumat.
Tindakan yang diambil berdasarkan kepada maklumat yang tidak tepat atau tidak betul boleh menganiaya satu pihak. Untuk mengatasi masalah ini, perlaksanaannya hendaklah dilakukan dengan teliti dan berhati-hati. Hasil pernilaian ini akan dijadikan bukti tambahan kepada proses siasatan yang lebih menyeluruh.

KESIMPULAN

Masalah persekitaran kerja yang toksik dan kejadian buli antara kakitangan tidak boleh dipandang ringan. Salah satu masalah yang kita hadapi adalah untuk mengenalpasti punca dan siapakah yang bertanggungjawab. Ramai petugas yang terlibat takut untuk berterus terang dan tampil ke hadapan menjadi saksi, menyebabkan beban sebenar masalah ini tidak diketahui sepenuhnya. Salah satu kaedah yang boleh dipertimbangkan adalah menggunakan kaedah penilaian ataupun maklumbalas 360 darjah. Jika dilaksanakan dengan betul dan bersistematik, kaedah ini boleh membantu menangani masalah persekitaran kerja yang toksik. Perlaksanaannya yang menyeluruh juga berpotensi menjadi kaedah pencegahan salahlaku, kejadian buli dan juga amalan2 yang tidak selari dengan peraturan perkhidmatan. Kelemahan yang ujud dari kaedah ini dapat diatasi jika perlaksanaannya dilakukan dengan teliti dan bertanggungjawab.

Dato' Dr. Mohd Rushdan Md Noor
Mantan Ketua Perkhidmatan O&G
13hb Okt 2024


UNTUK MEMBACA TULISAN SAYA YANG TERDAHULU BERKAITAN DENGAN DOKTOR, CIRI2 PEMIMPIN DAN MASALAH TEMPAT KERJA, BOLEH PERGI KLIK PADA TAJUK DI BAWAH:










Friday, 11 October 2024

PROSES PEREPUTAN MAYAT MANUSIA ('HUMAN DECOMPOSITION")

 

PENGAKHIRAN HIDUP DI DUNIA : APA YANG BERLAKU KE ATAS TUBUH KITA APABILA MATI

Pada saat anda mati, organ yang bertanggungjawab menghidupkan anda akan berhenti berfungsi. Jantung tidak lagi berupaya untuk mengepam darah, ia menjadi kaku.dan senyap.

Bekalan oksigen ke tisu badan anda akan berkurangan dan sel-sel mula mati. Otot anda pada mulanya akan hilang ketegangan, menjadi longgar/lesu keseluruhannya, dikenali sebagai Kelesuan Primer ("Primary Flaccidity").Kerehatan (relaksasi) otot ini kadangkala akan menyebabkan keluarnya cecair badan yang sebelum ini dikekalkan pada tempatnya oleh pengecutan otot.


RIGOR MORTIS DAN ALGOR MORTIS

Kulit anda yang sudah kekurangan aliran darah akan menjadi pucat ataupun kelabu. Dalam hanya beberapa jam, berlaku satu tanda jelas kematian anda adalah proses yang dinamakan Rigor Mortis. Otot-otot badan anda menjadi keras disebabkan oleh perubahan biokimia yang kompleks berlaku di dalam serat otot2 anda. Disebabkan oleh kehilangan bekalan tenaga, komponen yang pada asalnya membenarkan otot2 anda mengecut dan berehat telah dikunci. Rigor Mortis selalunya bermula di otot2 kecil bahagian muka dan leher, sebelum ianya merebak ke seluruh badan. Ia mencapai kemuncak ketegangan dalam selepas 12 jam dan kemudiannya mengendur perlahan2 dalam masa 2-3 hari lagi. Badan anda menjadi sejuk pada kadar 0.8 darjah selsius setiap jam, proses penyejukan ini dikenali sebagai Algor Mortis.

FASA AUTOLYSIS ("SELF-DIGESTION")

Tanpa mempertahankan suhu badan, badan akan menyesuaikan diri dengan suhu persekitaran. Apabila Rigor Mortis tadi bermula, satu lagi proses penguraian akan bermula dikenali sebagai Autolysis dan fasa ini juga dikenali sebagai fasa Autolysis. Kandungan gas karbon dioksida yang tinggi menyebabkan tisu menjadi berasid dan merosakkan selaput sel, sel yang pecah mengelyarkan enzim. Ini adalah proses penguraian ataupun penghadaman diri sendiri (“self-digestion”) di mana enzim2 yang ada di dalam sel telah keluar akan bertindak ke atas sel2 dan memecahkan tisu-tisu di sekelilingnya. Pendek kata, tubuh badan kita sedang menghadamkan kita dari dalam.

FASA KEMBUNG ("BLOATING")

Organisma-organisma yang memakan tisu2 reput dan salah satu produk metabolisma yang dihasilkan dari proses penguraian ini adalah gas yang menyebabkan tubuh membengkak ataupun mengelembung sehingga saiz badan 2 kali ganda lebih besar. Fasa ini dikenali sebagai Fasa Kembung ("Bloating Phase"). Gas ini juga menyebabkan bau busuk mayat yang sangat kuat.

FASA PEREPUTAN ("ACTIVE DECAY")

Fasa seterusnya adalah fasa pereputan ("Active Decay") apabila agen-agen pereput dari luar akan turut sama menghancurkan badan. Bakteria yang berada di dalam badan dan di luar badan akan membiak dan bertindak ke atas tubuh mayat. Serangga juga turut menghinggap dan meninggalkan telur di atas tubuh kita. Semasa fasa ini, cecair akan keluar dari rongga kerana organ2 dalam badan dan tisu menjadi cair.

Apabila badan menjalani proses penguraian/pereputan, kulit akan bertukar warna kepada berbintik kehijauan ataupun unggu. Warna kulit ini juga dipengaruhi oleh gas sulfur yang dihasilkan oleh penguraian tisu oleh bakteria. Kemudian kulit bertukar dari hijau menjadi merah akibat penguraian darah.

FASA SKELETONIZATION (TULANG DAN RANGKA)

Selepas beberapa minggu dan bulan, apa yang tinggal hanyalah tulang dan gigi. Proses pereputan badan hingga kepada tulang dan gigi ini dinamakan Fasa Skeletonization.

Faktor alam sekitar memainkan peranan besar di dalam menentukan jangkamasa proses ini. Dalam iklim yang panas, lembap, proses Skeletonization ini berlaku dalam masa 1-2 tahun. Dalam suhu lebih sejuk dan kering ataupun di dalam bekas terlindung (keranda), ia mengambil masa berpuluh ataupun beratus tahun.

Faktor-faktor seperti suhu, kelembapan, pendedahan kepada haiwan pemakan bangkai, punca kematian, malahan pakaian boleh memberi kesan kepada jangkamasa dan proses pereputan. Untuk membuat mayat tidak mudah reput, ada orang yang melakukan pengawetan. Proses pengawetan melibatkan kaedah menggantikan cecair badan dengan bahan kimia yang dicipta untuk mencegah pembiakan bakteria dan mengawet tisu untuk sementara waktu.



PENAMAT

Kematian adalah petanda berakhirnya kehidupan seorang manusia. Di dalam agama kita, roh akan keluar dan ditempatkan di alam barzakh menanti masa untuk dibangkitkan semula di akhirat kelak. Manakala, tubuh badan kita yang telah reput akan meneruskan kitaran nutrin di dalam ekosistem. Mineral dari tulang akan meresap masuk ke dalam tanah, memberi peluang untuk tumbuhan membesar dan menyuburkan alam sekitar untuk generasi akan datang. Dari perspektif ini, memahami peringkat2 perubahan fizikal selepas mati dapat dijadikan peringatan tentang kitaran hidup semulajadi. Kepada kita yang beragama, kematian adalah kepastian dan memahami proses ini diharap akan memberikan kesedaran kepada kita untuk ingatkan mati dan betapa kerdilnya manusia ini.

Ringkasan Garis Masa Pereputan Tubuh Manusia

24-72 jam selepas mati : Pereputan organ dalam

3-5 hari selepas mati — badan mengelembung 2 kali ganda saiz asal dan cecairan berbuih yang mengandungi darah keluar dari mulut dan hidung.

8-10 hari selepas mati — Warna badan bertukar dari hijau kepada merah apabila berlaku penguraian darah dan gas berkumpul dalam abdomen

Beberapa minggu selepas mati — kuku dan gigi akan terkeluar/luruh

1 bulan selepas mati — Tubuh mula mencair

Dato' Dr. Mohd Rushdan Md Noor

11hb Oktober 2024

SUMBER :

https://www.facebook.com/ScienceNaturePage?mibextid=ZbWKwL

Thursday, 10 October 2024

WHEN NOTHING IS SOMETHING WORTH DOING

 


Selalunya kita mengaitkan produktiviti dengan kesungguhan seseorang  melakukan sesuatu kerja. Orang yang sentiasa sibuk dengan kerja, ke sana ke sini dianggap mempunyai sikap yang terpuji. Tetapi ada orang yang melakukan banyak kerja tetapi hasilnya kecil. Yang lebih malang, kerjanya banyak, manfaatnya kecil tetapi mudaratnya pula besar. Ada pula orang yang kerjanya sedikit tetapi pulangannya besar.


Tahukah anda bahawa jika dilaksanakan dengan cara yang betul, TIDAK MELAKUKAN APA2 KERJA boleh menghasilkan pulangan yang besar. 


Saya kongsikan bagaimana kita boleh menjadikan “NOTHING” itu sesuatu yang “SOMETHING”.


1. Mencari ILHAM untuk melakukan sesuatu utk masa depan. Kajian menunjukkan bahawa kebanyakan ilham dan impian ditemui semasa seseorang itu berehat dan tidak melakukan sesuatu.


2. MUHASABAH DIRI dapat menemui kekurangan diri dan memperbaiki diri untuk menjadi lebih baik. “We’re so busy keeping busy that we fail to see the error of our ways”.


3. MEMERHATI  dan MENGANALISA sesuatu. Kegagalan kita memahami orang lain adalah kerana kita kurang memerhati sebab kita terlalu sIbuk melakukan sesuatu sehingga kita tidak ada masa untuk memerhati dan mengenali orang lain. Memerhati juga salah satu kaedah mempelajari sesuatu.


4. HUBUNGAN atau IKATAN yang lebih erat dapat diwujudkan khususnya di antara kita dan pasangan  kita. Hubungan yang baik antara kita, anak2 dan sahabat handai juga akan memudahkan hidup dan mendamaikan hati.


5. BEREHAT dapat mengurangkan tekanan fizikal dan tekanan perasaan. Menikmati keindahan alam, berehat di tepi pantai dan menyaksikan keajaiban matahari tenggelam adalah satu nikmat. Hanya diri anda sahaja yang menjadi menyebab anda tidak berehat. “The time to relax is when you don’t have time for it”


6. MENGHARGAI orang lain akan membuat orang lain merasa diri mereka penting dan dihargai, ini meningkatkan motivasi dan semangat mereka.


7. MERANCANG kehidupan. Orang yg sering merancang  utk melakukan sesuatu adalah orang yg lebih teratur kehidupannya dan kurang stres.


8. BERFIKIRAN POSITIF dan BERBAIK SANGKA. Sikap ini pasti memudahkan hidup, memperbaiki hubungan dengan orang lain dan mendamaikan hati. Apabila berfikiran positif, sebesar mana sekalipun masalah itu, pasti kita akan nampak jalan penyelesaiannya.


9. TIDAK BERCAKAP ATAU MENULIS tentang sesuatu yang kita tidak pasti. Disebabkan kurang menyelidik dan salah sangka, kita menulis atau bercakap tentang sesuatu yang tidak benar dan menyebarkan maklumat yang salah. Kita mengumpul dosa dan mencalar imej diri sendiri. Dalam situasi ini, diam itu adalah lebih baik.


Kehidupan bukan perlumbaan untuk sampai ke garisan penamat. Ia bukan isu berapa banyak harta, kedudukan dan kemasyhuran yang mampu dimiliki. Pencapaian hidup sebenar adalah sejauh mana kita memanfaatkan setiap saat dengan perkara2 berkualiti yang dapat membahagiakan diri dan memanfaatkan orang lain, di samping bekalan yang secukupnya untuk dibawa ke alam abadi.  


Pesanan kepada kita semua terutama untuk diri saya sendiri.


Dato'Dr Rushdan Noor

11hb Okt 2024