Monday, 12 January 2026

MITOS "SEED OIL" MUDARAT UNTUK KESIHATAN : SATU LAGI MAKLUMAT KESIHATAN PALSU ("MEDICAL MISINFORMATION").


 

Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, seed oil, iaitu minyak bijian seperti minyak soya, kanola, bunga matahari, jagung, biji rami dan safflower sering dituduh sebagai punca utama keradangan, obesiti, penyakit jantung, diabetes malah kanser. Di media sosial, ia dilabel sebagai “toxic”, “industrial oil”, atau “racun moden” yang kononnya merosakkan kesihatan manusia secara senyap.

Namun, seperti banyak isu pemakanan lain, persoalannya adakah dakwaan itu disokong oleh bukti saintifik yang kukuh ataupun salah satu lagi maklumat palsu ("misinformation"). 

Apabila dakwaan ini dinilai melalui kajian klinikal, kajian kohort besar dan analisis sistematik, gambaran yang muncul berbeza dari apa yang popular di media sosial. Ikuti penjelasan tentang isu ini di bawah.

ASID LEMAK OMEGA-6 DAN KERADANGAN : TEORI MUDAH, REALITI KOMPLEKS

Asas utama mitos seed oil ialah dakwaan bahawa kandungan omega-6 (linoleic acid) bersifat “pro-inflamasi” atau "pro-radang". Hujah ini biasanya berpunca daripada laluan biokimia,  linoleic acid boleh ditukar kepada arachidonic acid, iaitu prekursor kepada beberapa mediator keradangan. Daripada sini, kesimpulan mudah dibuat bahawa pengambilan omega-6 yang tinggi pasti meningkatkan keradangan.

Namun, biokimia tidak boleh diterjemah secara langsung kepada kesihatan manusia. Tubuh manusia mengawal metabolisma asid lemak secara ketat, dengan pengaruh imbangan omega-3, keperluan fisiologi dan konteks diet keseluruhan. 

Meta-analisis kajian rawak terkawal (RCT) mendapati bahawa peningkatan pengambilan linoleic acid tidak meningkatkan penanda keradangan sistemik seperti C-reactive protein (CRP) dan sitokin inflamasi dalam kalangan manusia sihat atau berisiko sederhana.

Penyelidikan terkini menunjukkan bahawa asid lemak omega-6, melalui metabolisma kepada arachidonic acid, bukan sahaja terlibat dalam penghasilan mediator pro-radang, tetapi juga menghasilkan molekul seperti lipoksin, yang mempunyai kesan anti-radang dan membantu melawan proses keradangan dalam tubuh.

Penyelidik juga telah mengkaji corak pemakanan dan kesihatan lebih daripada 200,000 orang di Amerika Syarikat selama kira-kira 30 tahun. Mereka mendapati bahawa individu yang mengambil lebih banyak minyak berasaskan tumbuhan (termasuk minyak biji/seed oil) mempunyai risiko kematian yang lebih rendah akibat penyakit kardiovaskular atau kanser sepanjang tempoh kajian. Sebaliknya, mereka yang mempunyai pengambilan mentega yang lebih tinggi didapati lebih berisiko untuk meninggal dunia dalam tempoh yang sama.

SEED OIL DAN PENYAKIT JANTUNG : APA YANG DIGANTIKAN ITU LEBIH PENTING 

Dalam sains pemakanan kardiovaskular, persoalan paling penting bukan “minyak ini baik atau buruk”, tetapi “minyak ini menggantikan apa?”. Bukti konsisten menunjukkan bahawa apabila lemak tepu digantikan dengan lemak tidak tepu, termasuk lemak politaktepu (PUFA) daripada seed oil, paras LDL-kolesterol menurun dan risiko penyakit jantung koronari berkurang.

Analisis sistematik oleh Cochrane Collaboration menunjukkan bahawa pengurangan lemak tepu memberi manfaat kardiovaskular apabila digantikan dengan lemak tidak tepu. American Heart Association (AHA) turut mengesahkan bahawa penggantian lemak tepu dengan PUFA, termasuk omega-6, mengurangkan risiko penyakit jantung dan serangan jantung.

Kajian kohort berskala besar mendapati pengambilan linoleic acid yang lebih tinggi dikaitkan dengan risiko penyakit jantung koronari yang lebih rendah, bercanggah dengan dakwaan bahawa seed oil merupakan punca penyakit jantung.

DIABETES DAN KESIHATAN METABOLIK 

Seed oil juga sering dituduh menyumbang kepada diabetes jenis 2. Namun bukti manusia tidak menyokong dakwaan ini. Meta-analisis dose-response terkini menunjukkan bahawa pengambilan linoleic acid yang lebih tinggi dikaitkan dengan risiko diabetes jenis 2 yang lebih rendah, atau sekurang-kurangnya neutral dari sudut metabolik.

Ini tidak bermaksud seed oil adalah “rawatan” diabetes, tetapi ia menolak dakwaan bahawa minyak ini secara intrinsik merosakkan kawalan glukosa. Faktor dominan diabetes kekal lebihan kalori, obesiti viseral, gaya hidup sedentari dan kualiti diet keseluruhan.

SEED OIL DAN RISIKO KANSER

Terdapat kajian ke atas tikus yang mendapati sel kanser payudara yang dipindahkan ke atas tikus membiak lebih cepat. Kajian ini bagaimanapun adalah kajian pra-klinikal ke atas haiwan di dalam makmal, dan kesannya ke atas manusia belum dapat disimpulkan. Lagipun sel kanser payudara yang dikaji itu sememangnya dari jenis yang agresif dan tanpa ransangan pun boleh membiak dengan cepat. Walaupun kajian tersebut mencadangkan mekanisme biologi tertentu dalam keadaan eksperimen, bukti klinikal dan data populasi manusia setakat ini tidak menyokong dakwaan bahawa pengambilan seed oil menyebabkan kanser pada manusia. 

Banyak faktor2 lain yang mungkin terlibat kerana kanser adalah penyakit yang kompleks.

Ahli sains berpendapat bahawa pemanasan minyak secara keterlaluan atau penggunaan berulang kali boleh menghasilkan produk degradasi dan pengoksidaan yang berpotensi memudaratkan kesihatan, dan sebarang peningkatan risiko yang dikaitkan lebih berkait dengan kaedah memasak dan corak pemakanan keseluruhan, bukan minyak tersebut sebagai agen penyebab kanser secara langsung.

Tambahan pula, seed oil ataupun asid lemak omega 6, TIDAK tersenarai sebagai salah satu agen penyebab kanser dalam IARC monograph.

KAITAN SEED OIL DENGAN PENYAKIT ALZHEIMER'S

Setakat bukti saintifik semasa, tiada bukti kukuh bahawa seed oils menyebabkan penyakit Alzheimer. Kebanyakan dakwaan datang daripada kajian haiwan atau teori biologi, sedangkan kajian manusia dan ulasan sistematik tidak menunjukkan hubungan kausal yang jelas. Malahan ada kajian menunjukkan seed oil tertentu mempunyai ciri2 antioksidan dan pelindung sistem saraf ("neuroprotevtive").

Kajian populasi manusia menunjukkan jenis dan keseimbangan lemak lebih penting daripada label “seed oil”. Lemak tepu berlebihan lebih konsisten dikaitkan dengan risiko demensia (nyanyok), manakala lemak tidak tepu daripada sumber tumbuhan dan ikan sering bersifat neutral atau pelindung. Kesimpulannya, tuntutan bahawa seed oils menyebabkan Alzheimer tidak disokong oleh bukti klinikal manusia yang kukuh.

ISU "DIPROSES", HEXANE DAN BAHAN KIMIA

Satu lagi hujah popular ialah seed oil “terlalu diproses” dan tercemar dengan bahan kimia seperti hexane. Realitinya, pelarut seperti hexane digunakan secara terkawal dalam industri makanan, dengan had residu maksimum yang ditetapkan oleh badan regulatori antarabangsa. Paras residu dalam minyak komersial berada jauh di bawah tahap yang diketahui memberi kesan toksik.

European Food Safety Authority (EFSA) dan badan kawal selia lain secara berkala menilai keselamatan pelarut industri dan pendedahan pengguna, menunjukkan isu ini dipantau secara berterusan dan bukan diabaikan.

ASID LEMAK DALAM SUSU FORMULA ADALAH DARI "SEED OIL

Hampir 50% tenaga dalam susu ibu datang daripada lemak, termasuk asid linoleik (omega-6) dan asid alfa-linolenik (omega-3) yang bayi tidak mampu hasilkan sendiri. Oleh kerana susu lembu tidak mempunyai profil asid lemak yang menyerupai susu ibu, susu formula menggunakan minyak tumbuhan sebagai sumber terkawal untuk membekalkan asid lemak tersebut dalam nisbah yang sesuai.

Asid lemak ini penting untuk perkembangan otak, sistem saraf dan penglihatan, serta menjadi prekursor kepada DHA dan ARA yang lazimnya ditambah dalam formula moden. Selama beberapa dekad penggunaan global, tiada bukti klinikal atau data populasi yang menunjukkan minyak tumbuhan atau asid lemak daripadanya dalam susu formula menyebabkan kesan toksik atau mudarat metabolik. Ini juga salah satu bukti seed oil tidak memudaratkan kesihatan.

DARI MANA DATANGNYA MITOS SEED OIL DAN APAKAH AGENDA DISEBALIKNYA? 

Mitos seed oil tidak lahir daripada penemuan saintifik baharu, tetapi daripada gabungan salah tafsir sains, emosi, ideologi dan kepentingan tertentu. Ini adalah salah satu pendekatan "reductionism", yakni menilai kesihatan manusia hanya berdasarkan satu laluan biokimia, mengabaikan bukti klinikal manusia yang lebih relevan.

Mitos ini juga diperkukuh oleh reaksi balas terhadap garis panduan pemakanan moden. Peningkatan obesiti dan penyakit kronik sering disalahkan kepada minyak sayuran, walaupun data jelas menunjukkan peranan utama dimainkan oleh lebihan kalori, gula tambahan, makanan ultra-processed dan perubahan gaya hidup.

Media sosial mempercepatkan penyebaran naratif ini kerana ia ringkas, sensasi dan mudah dikomersialkan. Dalam ruang ini wujud agenda ideologi diet ekstrem, agenda komersial yang memasarkan produk “seed-oil-free”, serta agenda anti-institusi yang menolak sains arus perdana dan mengangkat pengalaman peribadi atau anekdot sebagai bukti tertinggi. Maklumat palsu ini seringkali disebarkan oleh pengamal perubatan alternatif yang mempunyai agenda mereka sendiri.

KESIMPULAN 

Seed oil bukanlah makanan ajaib, tetapi ia juga bukan racun. Bukti kukuh daripada kajian ke atas manusia menunjukkan bahawa asid lemak omega-6 daripada minyak tumbuhan atau minyak bijian tidak menyebabkan keradangan kronik, dan tidak dikaitkan dengan peningkatan risiko penyakit kardiovaskular, diabetes atau kanser dalam populasi umum.

Sebaliknya, penggunaan seed oil sebagai pengganti lemak tepu secara konsisten dikaitkan dengan penurunan paras LDL-kolesterol serta sokongan terhadap kesihatan kardiovaskular dan metabolik. Walaupun manfaatnya mungkin tidak setara dengan minyak zaitun yang kaya komponen bioaktif, seed oil secara amnya lebih bermanfaat berbanding minyak kelapa dan minyak kelapa sawit kerana kandungan lemak tidak tepu (PUFA) yang lebih tinggi serta sokongan bukti klinikal manusia yang lebih kukuh.

Risiko kesihatan sebenar tidak ditentukan oleh demonisasi satu bahan makanan, tetapi oleh jumlah kalori keseluruhan, kualiti diet secara menyeluruh, dan gaya hidup. Dalam sains pemakanan, soalan yang lebih jujur dan relevan bukanlah sama ada sesuatu minyak itu “baik” atau “buruk”, tetapi minyak tersebut menggantikan apa, dalam diet siapa, dan bagaimana ia digunakan.

Dato' Dr.Rushdan Noor

12hb Jan 2025

RUJUKAN 

1. Harris WS, Mozaffarian D, Rimm E, Kris-Etherton P, Rudel LL, Appel LJ, et al. Omega-6 fatty acids and risk for cardiovascular disease: A science advisory from the American Heart Association Nutrition Subcommittee. Circulation. 2009;119(6):902–7.

2. Sacks FM, Lichtenstein AH, Wu JHY, Appel LJ, Creager MA, Kris-Etherton PM, et al. Dietary fats and cardiovascular disease: A presidential advisory from the American Heart Association. Circulation. 2017;136(3):e1–23.

3. Farvid MS, Ding M, Pan A, Sun Q, Chiuve SE, Steffen LM, et al. Dietary linoleic acid and risk of coronary heart disease: A systematic review and meta-analysis of prospective cohort studies. Circulation. 2014;130(18):1568–78.

4. Hooper L, Martin N, Abdelhamid A, Smith GD. Reduction in saturated fat intake for cardiovascular disease. Cochrane Database Syst Rev. 2020;8:CD011737.

5. Johnson GH, Fritsche K. Effect of dietary linoleic acid on markers of inflammation in healthy persons: A systematic review of randomized controlled trials. J Acad Nutr Diet. 2012;112(7):1029–41.

6. Mozaffarian D, Micha R, Wallace S. Effects on coronary heart disease of increasing polyunsaturated fat in place of saturated fat: A systematic review and meta-analysis of randomized controlled trials. PLoS Med. 2010;7(3):e1000252.

7. Mousavi SM, Jalilpiran Y, Karimi E, Bagheri A, Kord-Varkaneh H, Larijani B. Dietary intake of linoleic acid and risk of type 2 diabetes: A systematic review and dose–response meta-analysis of prospective cohort studies. Diabetes Care. 2021;44(9):2173–81.

8. Monteiro CA, Cannon G, Levy RB, Moubarac JC, Louzada MLC, Rauber F, et al. Ultra-processed foods: What they are and how to identify them. Public Health Nutr. 2019;22(5):936–41.

9. World Health Organization, Food and Agriculture Organization of the United Nations. Evaluation of certain food additives and contaminants: Sixty-ninth report of the Joint FAO/WHO Expert Committee on Food Additives (JECFA). WHO Technical Report Series No. 952. Geneva: WHO; 2009.

10. European Parliament, Council of the European Union. Directive 2009/32/EC on extraction solvents used in the production of foodstuffs and food ingredients. Off J Eur Union. 2009;L141:3–11.

11. European Food Safety Authority (EFSA). Outcome of the public consultation on the draft protocol for the re-evaluation of hexane as an extraction solvent. EFSA Supporting Publications. 2024;21(1):EN-9001.

Saturday, 10 January 2026

MENGAPA KITA PATUT KEKAL BERPANDUKAN KEPADA GARISPANDUAN DIET WHO ("WHO DIETARY GUIDELINE") DAN KKM.

 


MENGAPA KITA PATUT KEKAL DENGAN GARISPANDUAN DIET WHO ("WHO DIETARY GUIDELINE") DAN KKM.

KRITIKAN KE ATAS "DIETARY GUIDELINES FOR AMERICA 2025-2030" YANG TERBARU.

Perdebatan mengenai pemakanan sihat kembali hangat apabila Amerika Syarikat memperkenalkan garis panduan diet terbaharu yang diluluskan di bawah pentadbiran Robert F. Kennedy Jr, dikenali sebagai Dietary Guidelines for America (DGA) 2025-2030.

Perubahan ini, termasuk bentuk piramid makanan yang terbalik dan penekanan tinggi terhadap protein haiwan serta “makanan sebenar”, mencetuskan perbincangan global tentang hala tuju dasar pemakanan moden.

Namun apabila dinilai secara objektif dan saintifik, garispanduan diet Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) masih kekal sebagai rujukan yang lebih kukuh, konsisten dan sesuai untuk kesihatan awam jangka panjang.

Komuniti saintifik di Amerika yang selama ini tidak yakin dengan kewibawaan RFK Jr kerana pendiriannya yang sering bercanggah dengan konsensus saintifik arus perdana, meluahkan kebimbangan terhadap DGA 2025-2030 yang baru ini. Kebanyakan mereka berpendapat garispanduan diet Amerika yang terdahulu (Myplate) sudah baik dan berasaskan bukti saintifik. Masalah kesihatan yang dialami oleh orang ramai bukan disebabkan oleh garispanduan tetapi kerana amalan diet dan gayahidup yang tidak sihat bertentangan dengan saranan dari garispanduan tersebut.

GARISPANDUAN DIET WHO BERASASKAN BUKTI SAINTIFIK GLOBAL

Garis panduan diet WHO dibangunkan melalui konsensus pakar antarabangsa, merangkumi data epidemiologi, kajian kohort jangka panjang dan ujian klinikal dari pelbagai rantau dunia.

Fokus utamanya ialah pencegahan penyakit tidak berjangkit (NCD) seperti penyakit jantung, diabetes, strok dan kanser, penyebab utama kematian global.

Garispanduan itu juga selari dengan amalan diet Mediteranean yang telah diiktiraf sebagai salah satu faktor penting di dalam mencegah penyakit dan memanjangkan hayat.

Sebaliknya, DGA 2025-2030 tidak dapat dipisahkan daripada naratif politik domestik seperti “reset pemakanan nasional” dan slogan “kembali kepada makanan sebenar”. Walaupun mesej ini menarik tetapi melihat kepada komponen makanan dalam piramid terbalik itu, ia berisiko menjadi sekadar alat ideologi, bukan sepenuhnya berteraskan konsensus sains global.

WHO MENEKANKAN KESEIMBANGAN, BUKAN PENONJOLAN NUTRIEN TERTENTU.

WHO secara konsisten menekankan diet yang seimbang merangkumi karbohidrat kompleks daripada bijian penuh, protein daripada pelbagai sumber (haiwan dan tumbuhan), lemak tak tepu serta pengambilan tinggi buah dan sayur.

DGA 2025-2030 pula memberi penekanan kuat kepada protein dan makanan bersumberkan haiwan, termasuk daging merah, mentega dan produk tenusu berlemak penuh.

Walaupun masih menyebut had lemak tepu (<10% dari kalori), pendekatan ini mewujudkan percanggahan mesej yang mudah disalah tafsir oleh masyarakat awam. Had lemak tepu ini sama seperti garispanduan lama tetapi bagaimana untuk capai had ini jika sumbernya fokus kepada sumber haiwan?

WHO lebih jelas dan konsisten iaitu kurangkan lemak tepu dan gantikan dengan lemak tak tepu, satu prinsip yang disokong bukti kukuh penurunan risiko penyakit saluran darah (jantung dan otak).


WHO LEBIH TEGAS DAN PRAKTIKAL MELALUI HAD KUANTITATIF

Garis Panduan diet WHO jauh lebih tegas dan praktikal kerana menetapkan had kuantitatif yang jelas dan konsisten, seperti pengambilan gula bebas kurang daripada 10% tenaga (ideal <5%), garam kurang daripada 5 gram sehari, dan lemak tepu kurang daripada 10% tenaga. Kejelasan angka ini menjadikan garis panduan WHO lebih mudah digunakan dalam pendidikan kesihatan, penggubalan dasar, serta pemantauan kesihatan awam secara sistematik.

Sebaliknya, DGA 2025–2030 walaupun masih mengekalkan had numerik dalam dokumen saintifiknya, memilih pendekatan komunikasi yang lebih bersifat visual dan naratif. Penekanan terhadap corak pemakanan tanpa had kuantitatif yang jelas kepada orang awam menjadikan panduan ini kurang tegas dan lebih sukar diterjemahkan secara konsisten dalam program kesihatan awam berskala besar



GARISPANDUAN DIET TERBARU AMERIKA ("NEW DIETARY GUIDELINES AMERICA (DGA) 2025-2030" : PERSAMAAN DAN KELEMAHAN

APA YANG SAMA DENGAN WHO

Terdapat persamaan antara DGA 2025-2030 yang baru berbanding dengan yang terdahulu serta garispanduan diet WHO. Jadi, banyak cadangan yang dinyatakan bukan perkara baru dalam DGA 2025-2030. Di antara persamaan2 tersebut adalah:

1. Fokus kepada makanan sebenar ("real food")

2. Buah-buahan dan sayur-sayuran masih diiktiraf sebagai komponen penting diet sihat.

3. Kedua-duanya bersetuju bahawa makanan yang diproses dan gula tambahan perlu dikurangkan.

4. Pengambilan lemak tepu kurang dari 10% nilai kalori sehari (cadangan ini juga sama seperti garispanduan diet Amerika yang terdahulu)

KELEMAHAN KETARA GARISPANDUAN DIET AMERIKA YANG BARU (DGA 2025-2030)

1. Penekanan berlebihan kepada protein haiwan dan tenusu penuh lemak, berbanding dengan protein tumbuhan. Ini berisiko meningkatkan pengambilan lemak tepu dan kolesterol (sedangkan dalam garispanduan yang sama lemak tepu perlu kurang dari 10% nilai kalori) jika tidak dikawal dengan jelas. Kedua-dua cadangan ini sukar dipenuhi bersama dalam diet harian yang biasa. Ini berpotensi memudaratkan kesihatan.

2. Lebih longgar terhadap lemak tepu dari makanan “sebenar” (tenusu penuh lemak, daging). Istilah “lemak sihat” menjadi kabur dan mengelirukan orang awam. Cadangan mengambil 3 sajian tenusu penuh lemak ("full fat diary") berpotensi meningkatkan pengambilan lemak tepu. Penekanan tidak diberikan ke atas sumber lemak sihat ("unsaturated fat") dan minyak sayuran.

3. Pengurangan peranan bijian penuh. Sedangkan bukti kukuh menunjukkan bijian penuh membantu mengurangkan risiko penyakit jantung, diabetes dan kanser kolorektal.

4. Kekaburan mesej kesihatan awam. Apabila visual piramid terbalik mempromosikan daging dan tenusu berlemak, mesej had lemak tepu menjadi tidak konsisten dan mengelirukan.

5. Istilah “highly processed” diperkenalkan dalam DGA 2025-2030 yang tidak ada definisi jelas seperti "Ultra-Processed Foods" yang telah diiktiraf dalam sistem klasifikasi NOVA. Jadi, istilah kabur seperti "highly processed foods" ini menyukarkan penguatkuasaan dasar, pelabelan dan pemantauan populasi.

6. Menasihati orang ramai “eat real food” tanpa mengambil kira faktor kos, waktu memasak, akses kepada makanan segar, kaedah memasak dan sistem makanan yang rosak dianggap sebagai meletakkan beban pada individu sahaja tanpa menyelesaikan masalah struktur.

7. Kurang sesuai untuk populasi rentan. Diet tinggi daging dan tenusu tidak praktikal untuk golongan berpendapatan rendah, warga emas, atau negara membangun dari sudut kos dan kelestarian.

8. Lebih bersifat individualistik berbanding populasi. Ia mungkin sesuai untuk individu tertentu, tetapi kurang sesuai sebagai dasar pemakanan nasional atau global.

9. Ralat yang jelas dari segi kenyataan dalam dokumen dan gambar dalam piramid. Contohnya dalam dokumen, cadangan pengambilan bijirin (grain) paling tinggi tetapi kedudukan dalam piramid paling rendah. Terdapat beberapa lagi ralat, percanggahan dan tidak konsisten antara kenyataan dalam dokumen dan rujukan yang tidak sepatutnya berlaku.

10. Ahli fakulti Harvard T.H. Chan, School of Public Health berpendapat tiada ketelusan tentang siapa yang menulis DGA 2025-2030. Walaupun ada dokumen lampiran oleh saintis tertentu, metodologi, tahap ketelitian dan rasional pemilihan topik tidak dijelaskan. Proses semakan dan pembentangan ini menyimpang daripada piawaian ketat HHS yang sepatutnya memastikan bukti dan kesimpulan adalah telus, bebas bias dan berasaskan sains

11. Garispanduan diet Amerika yang baharu juga dikritik kerana kemungkinan wujud "conflict of interest", di mana dikatakan majoriti penyelidik yang menulis laporan justifikasi saintifik mempunyai konflik kepentingan dengan syarikat daging, tenusu, dan/atau suplemen yang berpotensi mendapat keuntungan daripada garis panduan baru ini.

KEBIMBANGAN INSTITUT KANSER AMERIKA (AICR) TERHADAP DGA 2025-2030

American Institute for Cancer Research (AICR) turut menyuarakan kebimbangan bahawa garispanduan diet Amerika yang baharu ini meningkatkan penekanan terhadap daging merah dan protein haiwan, serta hanya menyatakan “hadkan” alkohol tanpa mengiktiraf bahawa tiada tahap alkohol yang benar-benar selamat dari segi risiko kanser.

AICR menegaskan bahawa penekanan ini bertentangan dengan bukti saintifik yang menunjukkan hubungan antara pengambilan daging merah dan risiko kanser tertentu, dan garis panduan itu sepatutnya memberi prioriti yang lebih jelas kepada protein berasaskan tumbuhan, mengecualikan daging yang diproses, serta menawarkan dasar yang lebih kuat untuk akses dan kebolehcapaian diet sihat untuk pencegahan penyakit jangka panjang.

KENYATAAN PERTUBUHAN JANTUNG AMERIKA (AHA) BERKENAAN DENGAN DGA 2025-2030

American Heart Association menyambut baik beberapa elemen positif dalam DGA 2025-2030, khususnya penekanan terhadap pengambilan buah-buahan, sayur-sayuran, bijian penuh serta usaha mengurangkan gula tambahan dan makanan ultra-proses.

Namun, AHA turut menyuarakan kebimbangan serius bahawa penekanan yang lebih besar terhadap daging merah, produk tenusu berlemak penuh dan protein haiwan boleh membawa kepada peningkatan pengambilan lemak tepu dan natrium, yang terbukti meningkatkan risiko penyakit jantung dan strok.

AHA menegaskan bahawa untuk kesihatan jantung jangka panjang, pilihan protein seharusnya lebih memfokuskan kepada sumber berasaskan tumbuhan, ikan dan daging tanpa lemak, serta penggunaan lemak tak tepu berbanding lemak tepu.

GARISPANDUAN DIET WHO LEBIH SESUAI UNTUK KESIHATAN POPULASI DAN KELESTARIAN

WHO mengambil kira:

a. Kemampuan ekonomi,
b. Akses makanan,
c. Budaya setempat dan
d. Kelestarian alam sekitar.

Pendekatan ini menjadikan garispanduan WHO lebih inklusif dan praktikal untuk digunakan merentas negara dan lapisan masyarakat, berbanding pendekatan Amerika yang cenderung kepada konteks sosioekonomi tertentu.




GARISPANDUAN DIET KKM SELARI DENGAN WHO

KKM berpandukan WHO dari segi prinsip dan bukti saintifik. Namun KKM mengadaptasi garis panduan tersebut kepada konteks Malaysia. Pendekatan KKM lebih berorientasikan kesihatan populasi dan pencegahan NCD, selari dengan mandat WHO. Konsep makan separuh-suku-suku yang disarankan oleh KKM juga selari dengan saranan WHO (di Amerika, guna konsep Myplate). Di Amerika dan di Malaydia konsep piramid makanan tahun 201, sudah lama diganti dengan konsep separuh-suku-suku dan Myplate.

KESIMPULAN

Garis panduan diet bukan sekadar panduan individu, tetapi juga instrumen dasar kesihatan awam. Dalam perbandingan ini, WHO jelas mendahului kerana pendekatannya yang neutral, konsisten dengan bukti saintifik, jelas dari segi had nutrien, dan berorientasikan pencegahan penyakit jangka panjang. Ia turut mengambil kira faktor akses makanan, kemampuan ekonomi, budaya setempat, dan realiti masyarakat.

Walaupun DGA 2025-2030 mengekalkan beberapa cadangan positif, ia masih menghadapi kelemahan struktural dan saintifik yang ketara. Beberapa cadangan juga mengelirukan, kontradiksi dan berpotensi memudaratkan. Diet terbaik bukan yang ekstrem atau mengikut trend politik, tetapi yang seimbang, sederhana, dan berasaskan bukti, inilah kekuatan utama garispanduan WHO.

Masalah kesihatan masyarakat hari ini lebih berpunca daripada tabiat makan dan gaya hidup yang tidak mematuhi garispanduan, bukannya kelemahan garispanduan itu sendiri. Ramai yang tidak merujuk atau mengamalkan garispanduan yang sedia ada, menjadikan kesihatan awam terjejas walaupun panduan telah disediakan. Di samping itu isu akses kepada makanan berkhasiat mempengaruhi diet golongan kurang bernasib baik.

Dato' Dr.Rushdan Noor
11hb Jan 2025

RUJUKAN

1. World Health Organization (WHO).
Healthy Diet.
World Health Organization.
https://www.who.int/health-topics/healthy-diet

2.World Health Organization (WHO).
Healthy Diet – Fact Sheet.
World Health Organization.
https://www.who.int/news-room/fact-sheets/detail/healthy-diet

3. U.S. Department of Agriculture (USDA) & U.S. Department of Health and Human Services (HHS).
Dietary Guidelines for Americans.

4. USDA Food and Nutrition Service.
Dietary Guidelines for Americans – Overview and Updates.
https://www.fns.usda.gov/cnpp/dietary-guidelines-americans

5. Office of Disease Prevention and Health Promotion (ODPHP), HHS.
Dietary Guidelines for Americans: Development Process (2025–2030).
https://odphp.health.gov/dietaryguidelines/
Science News.

6. New dietary guidelines flip the food pyramid.
https://www.sciencenews.org/article/new-dietary-guidelines-food-pyramid

7. AHA Newsroom. New dietary guidelines underscore importance of healthy eating.
https://newsroom.heart.org/news/releases-20260107-6915862

8. AICR’s Reaction to the Launch of the New Dietary Guidelines for Americans.
https://www.aicr.org/resources/blog/aicrs-reaction-to-the-launch-of-the-new-dietary-guidelines-for-americans/?fbclid=IwdGRjcAPPAFdleHRuA2FlbQIxMQBzcnRjBmFwcF9pZAwzNTA2ODU1MzE3MjgAAR4i_KUiwB6HnUs5ySCc5RZe19ggnPN7vDMxU_N9DcOVPBqOoV6obRFou2GNcw_aem_Vbs4aFvdqdwHA-lp1f8eJQ




Friday, 9 January 2026

BENARKAH PENYATUAN PARTI POLITIK AKAN MENYATUKAN BANGSA?

 


BENARKAH PENYATUAN PARTI POLITIK AKAN MENYATUKAN BANGSA?

Penyatuan parti politik sering dipersembahkan sebagai jalan pintas untuk menyatukan bangsa. Seolah-olah apabila parti-parti yang membawa identiti sama digabungkan, maka secara automatik bangsa itu juga akan bersatu.

Hakikatnya, penyatuan bangsa dan penyatuan parti politik ialah dua perkara yang berbeza.

Bangsa merujuk kepada rakyat biasa dengan latar belakang, pengalaman, keperluan dan cabaran hidup yang pelbagai. Parti politik pula hanyalah alat untuk merebut dan mengurus kuasa.

Apabila parti-parti politik yang berkongsi identiti tetapi berbeza ideologi, pendekatan dan kepentingan disatukan, apa yang sering berlaku bukanlah penyatuan rakyat. Sebaliknya, yang muncul ialah persaingan dalaman sesama elit, perebutan jawatan, pengaruh dan kedudukan. Dalam keadaan ini, kepentingan rakyat sering ditolak ke tepi dan menjadi perkara kedua.

Akhirnya, rakyat hanya menjadi pemerhati kepada konflik elit politik, bukan penerima manfaat kepada agenda “penyatuan” yang dilaungkan.

Lebih penting untuk disedari, negara ini dibina atas realiti masyarakat yang berbilang bangsa, agama dan budaya. Keharmonian tidak boleh dipelihara melalui sentimen perkauman yang melampau atau politik yang meminggirkan kepentingan kaum lain. Pendekatan sebegini bukan sahaja menggugat kepercayaan antara rakyat, malah boleh membawa kepada ketidakstabilan politik dan menjejaskan keamanan negara.

Sejarah menunjukkan bahawa kerajaan yang gagal mengurus kepelbagaian secara adil dan inklusif akan sentiasa berdepan tekanan dalaman. Apabila ada kelompok yang merasakan diri mereka diketepikan, kestabilan menjadi rapuh dan keyakinan rakyat terhadap negara semakin terhakis.

Sejarah politik negara sendiri memberi pengajaran yang jelas. Gabungan politik yang dibina semata-mata atas nama bangsa dan keperluan kuasa, tanpa asas nilai dan agenda rakyat yang kukuh, lazimnya tidak bertahan lama.

Apabila kepentingan tidak lagi sehaluan, pergolakan dalaman pun berlaku. Kerajaan menjadi rapuh, dan kitaran jatuh bangun kuasa terus berulang. Daripada proses inilah sering lahir parti-parti baharu, dibentuk oleh kelompok yang kecewa dan tersingkir.

Persoalannya, adakah episod-episod seperti ini benar-benar menyatukan bangsa, atau sekadar menambah perpecahan?

Apabila fokus politik lebih tertumpu kepada pengagihan kerusi, rundingan kawasan dan persoalan siapa layak memimpin, berbanding usaha meningkatkan kesejahteraan rakyat, maka penyatuan yang dibina menjadi rapuh dan bersifat sementara. Ia mudah retak apabila diuji oleh perbezaan kepentingan.

Penyatuan bangsa yang sebenar tidak bermula di meja rundingan politik. Ia berakar di peringkat rakyat.

Ia terhasil apabila rakyat merasai keadilan, peluang ekonomi yang adil, pendidikan berkualiti, serta kepimpinan yang amanah dan berintegriti. Dalam konteks negara berbilang bangsa, pembangunan tidak boleh dimonopoli oleh satu kelompok sahaja. Negara hanya mampu maju jika dibangunkan bersama oleh bakat-bakat terbaik daripada semua kaum, berdasarkan merit, kebolehan dan komitmen kepada kepentingan negara.

Sesebuah bangsa boleh bersatu atas dasar nilai, aspirasi dan kepentingan bersama tanpa perlu disatukan di bawah satu parti atau satu gabungan politik.

Penyatuan bangsa tidak boleh dipaksa melalui penyatuan parti.

Bangsa akan benar-benar bersatu apabila rakyat yakin bahawa politik berfungsi untuk kepentingan semua, bukan untuk segelintir elit atau kelangsungan kuasa peribadi.

Dato' Dr.Rushdan Noor
10hb Januari 2026


Thursday, 1 January 2026

MINYAK MASAK, JENIS LEMAK DAN KESIHATAN : APA KATA SAINS TERKINI

 


Di dapur rumah, minyak masak nampak sama saja: jernih, berminyak dan boleh menggoreng.

Tapi dari sudut sains pemakanan, jenis lemak di dalam minyak memberi kesan berbeza kepada kolesterol, risiko sakit jantung dan penyakit kronik lain.

Rencana ini akan memfokuskan kepada tajuk2 berikut: 

1. Jenis lemak (tepu, tidak tepu, trans)

2. Perbandingan beberapa minyak masak biasa

3. Minyak mana lebih “mesra jantung”

4. Isu “seed oil / minyak bijian” dan keradangan

5. Pengaruh cara memasak (deep fry, guna semula minyak)

JENIS-JENIS LEMAK DALAM MINYAK MASAK

Secara ringkas, terdapat 4 jenis lemak:

1. Lemak tepu (Saturated fat, SFA)

Pepejal pada suhu bilik (contoh: lemak haiwan, minyak kelapa, sebahagian minyak sawit). Lemak tepu menaikkan LDL kolesterol (“kolesterol jahat”) dengan jelas.

2. Lemak tak tepu tunggal (Monounsaturated, MUFA)

Contoh: minyak zaitun, minyak canola, sebahagian minyak kacang tanah & minyak sawit. Cenderung menurunkan LDL dan mengekalkan / naik sedikit HDL bila menggantikan lemak tepu.

3. Lemak poli-tak tepu  (Polyunsaturated, PUFA)

Termasuk omega-6 (linoleic acid) & omega-3 (ALA, EPA, DHA). Sumber utama: minyak soya, bunga matahari, jagung, safflower, canola, minyak biji rami (flaxseed), walnut. Bila menggantikan lemak tepu, PUFA secara konsisten mengurangkan LDL dan risiko penyakit jantung.

4. Lemak trans (TFA)

Terhasil melalui penghidrogenan minyak (shortening, marjerin keras, sebahagian minyak komersial guna semula berulang kali). Lemak trans meningkatkan LDL, menurunkan HDL, dan meningkatkan risiko CVD secara jelas. WHO mengesyorkan penghapusan total lemak trans industri.

APA KATA GARIS PANDUAN TERKINI 

Beberapa badan besar (WHO, AHA, dsb.) sudah menilai puluhan tahun data kajian. WHO 2023 guideline: cadangkan pengambilan lemak tepu <10% daripada tenaga harian dan diganti dengan lemak tak tepu, serta lemak trans sepatutnya serendah mungkin (idealnya 0%).

American Heart Association (AHA) 2017: bagi individu berisiko menghidap penyakit jantung, sasaran lemak tepu sekitar 5–6% tenaga dan diganti dengan PUFA/MUFA, bukan dengan karbohidrat bergula.

Cochrane review 2020 (Hooper et al.) melaporkan bahawa pengurangan lemak tepu (dan gantikan dengan lemak tak tepu) mengurangkan kejadian CVD sekitar 17%, terutama bila intervensi berterusan ≥ 2 tahun.

Meta-analisis dan ulasan terkini (2022–2025) kekal menyokong prinsip yang sama: bukan semua lemak perlu rendah, tetapi jenis lemak penting, kurangkan SFA/TFA, lebihkan MUFA & PUFA.

PROFIL RINGKAS BEBERAPA JENIS MINYAK MASAK POPULAR

1. Minyak zaitun (olive oil)

Extra virgin olive oil (EVOO) tinggi MUFA (asid oleik) + polifenol (antioksidan). Ianya dikaitkan dengan penurunan risiko penyakit jantung dalam diet Mediterranean dan kajian kohort besar.

Stabil untuk menumis, stir-fry ringan dan goreng cetek, EVOO tahan pemanasan sederhana; refined olive oil mempunyai smoke point lebih tinggi.

Cadangan : Untuk salad, drizzle atas sayur, tumis / stir fry ringan, EVOO antara pilihan terbaik dari sudut kesihatan jantung.

2. Minyak kanola, soya, bunga matahari, jagung (plant / seed oils kaya PUFA)

Kandungan tinggi PUFA (terutamanya omega-6 linoleic acid) dan ada sedikit MUFA. Kajian kohort besar menunjukkan penggunaan minyak sayuran menggantikan mentega / lemak haiwan dikaitkan dengan penurunan risiko kematian awal, penyakit jantung dan kanser.

Ulasan 2024 oleh Petersen et al. menyimpulkan bahawa minyak bijian tinggi lemak tak tepu (canola, soya, bunga matahari, safflower, dsb.) secara keseluruhan menyokong kesihatan kardiovaskular, bila digunakan menggantikan lemak tepu dan dalam diet seimbang.

Cadangan: Untuk menggoreng biasa, tumis, masakan berkuah, minyak jenis ini umumnya sihat asalkan tidak dipanaskan berulang kali dan tidak menyumbang terlalu banyak kalori (masih perlu kawal jumlah minyak).

3. Minyak sawit

Minyak sawit biasa kira-kira ±50% lemak tepu, ±40% MUFA dan selebihnya PUFA. Profilnya berada di tengah-tengah antara lemak haiwan dan minyak tinggi PUFA.

Beberapa kajian menunjukkan minyak sawit lebih baik daripada lemak trans / shortening, tetapi tidak sebaik minyak tinggi MUFA/PUFA dari sudut kesan ke atas LDL bila diambil dalam jumlah sama.

Cadangan penggunaan: Boleh digunakan, tetapi cuba seimbangkan dengan minyak MUFA/PUFA lain (contoh: sedikit minyak zaitun / canola untuk kegunaan tertentu), dan hadkan jumlah keseluruhan lemak tepu dari sumber lain (daging berlemak, santan pekat, mentega).

4. Minyak kelapa

Sangat tinggi lemak tepu (~80–90%), banyak medium-chain triglycerides (MCT) tetapi dari sudut LDL-C masih berkelakuan seperti lemak tepu lain. Trial rawak (minyak kelapa vs mentega vs minyak zaitun, 50g/hari selama 4 minggu) menunjukkan:

a. Mentega naikkan LDL paling tinggi,

b. Minyak kelapa juga menaikkan LDL, walaupun kurang daripada mentega

c. Minyak zaitun paling baik (LDL lebih rendah).


Cadangan:  Minyak kelapa bukan “superfood hati”. Jika hendak guna kerana rasa atau budaya masakan, gunakan secara sederhana, dan jangan jadikan sumber utama lemak harian, terutama bagi pesakit berisiko penyakit jantung.

5. Lemak haiwan, mentega, marjerin keras & shortening

Mentega, lemak sapi, lemak kambing: tinggi SFA, naikkan LDL.

Kajian kohort terkini menunjukkan menggantikan sebahagian mentega dengan minyak tumbuhan dikaitkan dengan penurunan risiko kematian sekitar 15–17%.

Marjerin keras / shortening yang mengandungi lemak trans industri: jelas meningkatkan CVD → sebaiknya dielakkan sepenuhnya.

6. Minyak biji rami (flaxseed), walnut, dsb.

Sangat kaya omega-3 (ALA), baik untuk jantung. Ianya tak stabil pada suhu tinggi, jadi lebih sesuai untuk renjis atas salad / sayur dan dicampur dalam smoothie atau makanan sejuk.

ISU "SEED OIL" DAN KERADANGAN: BETUL ATAUPUN AUTA

Di media sosial, minyak bijian seperti canola, soya, bunga matahari sering dilabel sebagai “racun”, “punca keradangan”, “punca obesiti dan diabetes”. Naratif ini datang banyak dari komuniti wellness/”alternative health”, bukan dari guideline rasmi. Dakwaan mereka tidak disokong oleh bukti yang kukuh.

Ringkasan bukti semasa:

Linoleic acid (omega-6): Paras linoleic acid yang lebih tinggi dalam darah dikaitkan dengan risiko lebih rendah diabetes jenis 2 dan marker keradangan yang lebih rendah, bukan lebih tinggi.

Ulasan 2024 tentang minyak tinggi lemak tak tepu menyimpulkan tiada bukti kukuh bahawa pengambilan minyak bijian dalam julat biasa meningkatkan keradangan sistemik atau risiko CVD, sebaliknya, bila menggantikan lemak tepu, ia menyokong kesihatan jantung dan metabolik.

Isu sebenar selalunya bukan “seed oil” itu sendiri, tapi makanan ultra-proses yang rendah serat, tinggi gula dan tinggi kalori, penggunaan minyak secara berlebihan dan berulang kali digoreng semula.

CARA KITA MENGGUNAKAN MINYAK LEBIH PENTING DARIPADA SEKADAR NAMANYA. 

1. Smoke point & jenis masakan

Smoke point adalah suhu minyak mula berasap dan terurai. Bila melebihi smoke point, minyak menghasilkan aldehydes, PAH dan produk oksidasi yang berpotensi toksik dan pro-keradangan.

Minyak refined biasanya mempunyai smoke point lebih tinggi berbanding minyak unrefined / extra virgin.

Secara praktikal, tumis ringan / sauté → EVOO, canola, minyak soya, minyak bunga matahari, minyak kacang.

Goreng dalam (deep fry) → minyak yang stabil & tidak digunakan terlalu lama; refined vegetable oils atau refined olive/avocado oil lebih sesuai. (Isu utama: jangan guna semula berulang kali).

2. Bahaya guna semula minyak berulang kali.

Pemanasan berulang kali (contoh di gerai goreng pisang / ayam goreng) menyebabkan peningkatan produk oksidasi lipid, aldehydes, PAH dan  pembentukan lebih banyak lemak trans sekunder. Semua ini dikaitkan dengan risiko lebih tinggi penyakit jantung, tekanan darah tinggi, kerosakan hati/buah pinggang, dan stres oksidatif.

Pesanan untuk rumah & industri:

Elak guna minyak goreng berulang kali banyak kali sehingga hitam dan pekat.

Di rumah, kalau perlu guna semula, tapis, simpan sejuk, dan hadkan bilangan kitaran.

Di restoran/gerai, pemantauan kualiti minyak amat penting dari sudut kesihatan awam.

RINGKASAN : MINYAK MANA "SIHAT" DAN YANG MANA "KURANG SIHAT"

1. Lebih kerap pilih (utama untuk harian)

Digunakan dalam kuantiti sederhana, sebagai pengganti lemak tepu:

A. Extra virgin / refined olive oil

B. Minyak canola

C. Minyak soya, bunga matahari, jagung, safflower

D. Minyak biji rami, walnut, dsb. (lebih kepada drizzle / salad)

2. Boleh, tapi kawal (hadkan & jangan jadi sumber utama)

Minyak sawit – realiti di Malaysia; cuba seimbangkan dengan minyak MUFA/PUFA lain dan hadkan sumber lemak tepu lain.

Minyak kelapa – guna kerana rasa / masakan tradisi, tetapi bukan alasan untuk mengambil lemak tepu berlebihan, terutama bagi pesakit jantung / Diabetes / obesiti.

3. Sebaiknya jarang / elak

Mentega, lemak sapi/kambing, kulit ayam dan lemak haiwan yang jelas – gunakan sedikit untuk rasa, bukan sebagai minyak goreng rutin.

Marjerin keras, shortening, produk komersial tinggi lemak trans.

Minyak apa sekalipun yang sudah diguna semula banyak kali, gelap, berbau tengik atau berbuih.

Dan yang paling penting:

Fokus pada corak makan keseluruhan: lebih banyak makanan berasaskan tumbuhan, kurang ultra-proses, kurang gula tambahan, dan kawalan kalori.

Dato' Dr. Rushdan Noor

RUJUKAN 

1. World Health Organization. Saturated fatty acid and trans-fatty acid intake for adults and children. 2023.

2. Sacks FM et al. Dietary Fats and Cardiovascular Disease: A Presidential Advisory From the American Heart Association. Circulation. 2017.

3. Hooper L et al. Reduction in saturated fat intake for cardiovascular disease. Cochrane Database Syst Rev. 2020.

4. Petersen KS et al. Perspective on the health effects of unsaturated fatty acids and commonly consumed plant oils high in unsaturated fat. Br J Nutr. 2024.

5. Zhang Y et al. Cooking oil/fat consumption and deaths from cardiometabolic diseases. BMC Med. 2021.

6. Khaw KT et al. Randomised trial of coconut oil, olive oil or butter on blood lipids and other cardiovascular risk factors. BMJ Open. 2018.

7. Yamada S et al. Saturated Fat Restriction for Cardiovascular Disease Prevention: A Systematic Review and Meta-Analysis of Randomized Trials. 2025.

8. Ganesan K et al. Impact of consumption of repeatedly heated cooking oils on cardiovascular risk factors. Crit Rev Food Sci Nutr.

PESAKIT KANSER YANG MENERIMA VAKSIN mRNA COVID-19 MEMPUNYAI KADAR HIDUP KESELURUHAN YANG LEBIH BAIK APABILA DIRAWAT DENGAN IMUNOTERAPI.

PESAKIT KANSER YANG MENERIMA VAKSIN mRNA COVID-19 MEMPUNYAI KADAR HIDUP KESELURUHAN YANG LEBIH BAIK APABILA DIRAWAT DENGAN IMUNOTERAPI.

Vaksin mRNA COVID-19 bukan sahaja melindungi pesakit kanser daripada jangkitan SARS-CoV-2 yang teruk, malah kajian terkini menunjukkan ia dikaitkan dengan kadar hidup keseluruhan ("overall survival") yang lebih baik, khususnya dalam kalangan pesakit kanser paru2 dan melanoma yang menerima rawatan imunoterapi.
Satu kajian retrospektif berskala besar yang diterbitkan dalam jurnal Nature mendapati pesakit kanser lanjut, termasuk kanser paru-paru jenis NSCLC dan melanoma, yang menerima vaksin mRNA COVID-19 dalam tempoh tertentu sebelum rawatan "immune checkpoint inhibitors" (ICI) mempunyai kadar hidup keseluruhan (OS) yang jauh lebih tinggi berbanding pesakit yang tidak divaksin. Dalam kohort NSCLC, median keseluruhan kelangsungan hidup meningkat daripada sekitar 20 bulan kepada lebih 37 bulan dalam kalangan pesakit yang divaksin.
Mekanisme yang dicadangkan adalah vaksin mRNA mengaktifkan dan menguatkan sistem imun, termasuk laluan interferon dan sel T sitotoksik, seterusnya menjadikan tumor lebih sensitif kepada imunoterapi. Fenomena ini digambarkan sebagai kesan “immune priming”, iaitu rangsangan imun tidak langsung yang meningkatkan keberkesanan rawatan kanser sedia ada.
Penemuan ini turut dilaporkan dan dibincangkan dalam laporan klinikal serta ulasan oleh pakar onkologi, yang menegaskan bahawa vaksin mRNA COVID-19 tidak menjejaskan rawatan kanser, malah berpotensi memberi manfaat tambahan dari sudut imunologi.
Walaupun kajian lanjut secara prospektif masih diperlukan, bukti semasa menyokong bahawa vaksin COVID-19 adalah selamat dan bermanfaat untuk pesakit kanser.
KESIMPULAN
Pesakit kanser yang menerima vaksin mRNA COVID-19 menunjukkan perlindungan imun yang lebih baik dan kadar hidup keseluruhan (OS) yang lebih tinggi, terutamanya apabila digabungkan dengan imunoterapi. Dakwaan bahawa vaksin mRNA memudaratkan pesakit kanser tidak disokong oleh bukti saintifik semasa.
Disclaimer: Artikel ini berdasarkan kajian pemerhatian dan bukti semasa. Keputusan individu mungkin berbeza dan nasihat perubatan perlu dibincangkan dengan pakar yang merawat.
Dato Dr. Rushdan Noor
14hb Dis 2025
RUJUKAN
1. Grippin AJ, et al. SARS-CoV-2 mRNA vaccines sensitize tumours to immune checkpoint inhibitors. Nature. 2025.
2. CIDRAP, University of Minnesota. COVID mRNA vaccines may train the immune system to attack cancer cells and boost survival. 2025.

KAJIAN MEGA 28 JUTA PESERTA MENOLAK TUDUHAN BAHAWA LEBIH RAMAI PENERIMA VAKSIN mRNA COVID-19 MATI


KAJIAN MEGA 28 JUTA PESERTA MENOLAK TUDUHAN BAHAWA LEBIH RAMAI PENERIMA VAKSIN mRNA COVID-19 MATI BERBANDING DENGAN YANG TIDAK DIVAKSIN. SEBALIKNYA YANG TAK VAKSIN LEBIH TINGGI KADAR KEMATIAN.

Satu kajian kohort berskala mega yang diterbitkan dalam JAMA Network Open (2025) melibatkan 28 juta orang dewasa dengan susulan sehingga empat tahun selepas vaksinasi. Kajian ini memberi data paling kukuh setakat ini mengenai keselamatan dan keberkesanan vaksin COVID-19.
Kajian ini merupakan antara analisis epidemiologi terbesar pernah dijalankan berkaitan vaksin Covid-19.
DAPATAN UTAMA KAJIAN 28 JUTA PESERTA:
Kajian ini melihat perbezaan kadar dan penyebab kematian (semua sebab termasuk akibat jangkitan) antara 2 kumpulan iaitu orang dewasa yang menerima vaksin Covid-19 versus yang tidak menerima vaksin Covid-19. Mereka ini dipantau selama 4 tahun selepas menerima vaksin Covid-19. Rumusan penting hasil dari kajian ini adalah:
1. Risiko kematian akibat COVID-19 turun sebanyak 74% dalam kalangan individu yang divaksin. Ini menunjukkan vaksin kekal memberikan perlindungan kuat walaupun beberapa tahun selepas pemberian dos.
2. Tiada peningkatan kematian semua punca ("all-cause mortality") selepas vaksinasi. Jika vaksin benar-benar meningkatkan risiko kematian, kesannya pasti dapat dikesan dalam kajian sebesar ini. Namun data menunjukkan sebaliknya, vaksin tidak meningkatkan risiko kematian jangka panjang.
3. Kumpulan divaksin mempunyai kadar kematian 25% lebih rendah akibat semua punca ("all causes of mortality"). Ia juga mengukuhkan bukti bahawa mereka yang tidak divaksin secara konsisten berada pada risiko lebih tinggi.
Kajian ini tidak ditaja oleh mana2 big-pharma.
Kajian jangka panjang berskala mega ini membawa mesej yang jelas bahawa VAKSIN mRNA COVID-19 ADALAH SELAMAT, BERKESAN DAN MENGURANGKAN RISIKO KEMATIAN. MANAKALA GOLONGAN YANG TIDAK DIVAKSIN MENANGGUNG RISIKO JAUH LEBIH BESAR.
Kajian ini juga mengukuhkan pendirian ahli sains bahawa vaksin Covid-19 memberi lebih manfaat dari mudarat.
Kepada pro-vaksin, anda telah membuat keputusan yang tepat dan kini sudah ada satu lagi bukti kukuh yang menyokong keputusan anda dan menolak tuduhan golongan antivaksin yang mendakwa lebih ramai penerima vaksin mati. Mengambil suplemen "anti-spike pro-" atau "detox" kononnya untuk membersihkan kesan vaksin adalah sia2 kerana bukan saja tidak ada bukti berkesan, tetapi bertentangan dengan dapatan kajian keberkesanan dan keselamatan vaksin Covid-19.
Hasil kajian ini sepatutnya memberi lebih sebab kepada orang ramai yang layak tidak menolak vaksin Covid-19.
Dato' Dr. Rushdan Noor
8hb Dis 2025
Rujukan:
Semenzato L, Botton J, Baricault B, Drouin J, Weill A, Dray-Spira R. Mortality up to four years after COVID-19 vaccination in 28 million adults. JAMA Network Open. 2025;8:e2546822. doi:10.1001/jamanetworkopen.2025.46822

MEMASUKI TAHUN 2026 DENGAN BUKTI YANG MENCUKUPI TENTANG KESELAMATAN VAKSIN COVID-19



MEMASUKI TAHUN 2026 DENGAN BUKTI YANG MENCUKUPI TENTANG KESELAMATAN VAKSIN COVID-19

Sepanjang tahun 2025, saya telah banyak menulis dan berkongsi hasil kajian berkaitan keselamatan vaksin Covid-19, khususnya bagi menjawab pelbagai tuduhan dan dakwaan tidak berasas yang sering dibangkitkan oleh golongan antivaksin.

Memasuki tahun baharu 2026, saya boleh menyimpulkan bahawa perkongsian mengenai keselamatan vaksin Covid-19 telah meliputi hampir semua aspek utama yang sering dipertikaikan  bukan sahaja di Malaysia, malah di peringkat global. Isu-isu ini telah dikaji secara meluas melalui kajian berskala besar dan berwibawa.

Kini, kesan sebenar vaksin Covid-19 semakin jelas apabila banyak kajian besar telah diterbitkan dengan keputusan yang konsisten. Kajian-kajian ini bukan bersifat terpencil, sebaliknya merupakan replikasi dan pengesahan silang antara satu sama lain, yang secara kolektif menunjukkan manfaat vaksin Covid-19 jauh mengatasi risikonya.

Antara bukti keselamatan vaksin Covid-19 yang telah saya kongsikan adalah seperti berikut:

  1. 20 Manfaat Vaksin Covid-19
    https://www.facebook.com/rushdan.noor/posts/pfbid0fFXoJMrkKne5Uobvj43uWibw1DiHMAB38cagUmpc6BTF9xcESeWc3XVSUy2uUq7Xl

  2. Bukti Keselamatan (“Safety”) Vaksin Covid-19
    https://www.facebook.com/rushdan.noor/posts/pfbid0cxqjktDUWsL5wBXYeSrLuoWeLDrMQaiTBjHm9y8JxzrXdkfLs3QXpXpFTR79CX3dl

  3. Kemaskini Bukti Terkini Vaksin Covid-19, Influenza dan RSV
    https://www.facebook.com/rushdan.noor/posts/pfbid0vz6EacnRwdPCx96AGmZYMqaHqeh4BatCvAtzNC8qbka2hi3Dqov4kbgx3opLcqrYl

  4. Vaksin Covid-19 Bukan Penyebab Kanser 

  5. Rakyat Malaysia Bukan Bahan Ujikaji Vaksin Covid-19
    (Kajian lengkap telah dijalankan sebelum program vaksinasi dilaksanakan)
    https://www.facebook.com/rushdan.noor/posts/pfbid037AonhdFE4XkpmXtZ4ey7c1ESaopEzAFzBt1JcHcjtVBaA3fKqL5ZuG6VUNXvo2zQl

  6. Kajian Mega (28 Juta Peserta) Menolak Dakwaan Vaksin Menyebabkan Peningkatan Kematian
    https://www.facebook.com/rushdan.noor/posts/pfbid0FSMKXz5wPsaLaJXpqG1dGPVwxEAxjK9UVwa25TZnt3tQfqvuqALxYF4YKHjptnEKl

  7. Trend Kadar Kematian Malaysia (DOSM) Membuktikan Keberkesanan Vaksin Covid-19
    https://www.facebook.com/rushdan.noor/posts/pfbid0FSMKXz5wPsaLaJXpqG1dGPVwxEAxjK9UVwa25TZnt3tQfqvuqALxYF4YKHjptnEKl

  8. Kajian 14 Juta Peserta: Manfaat Vaksin Melebihi Mudarat kepada Kanak-kanak dan Remaja
    https://www.facebook.com/rushdan.noor/posts/pfbid02jJ1EiGNi6rJn3tZ5XbotpEqgZ8WQqStjj5qSiFUSUdjU6DBai9cVnP1twRpttHekl

  9. Vaksin Covid-19 dan Kehamilan: Tiada Risiko Kecacatan Bayi Major, Mengurangkan Kelahiran Pra-matang dan Meningkatkan Keselamatan Ibu
    https://www.facebook.com/rushdan.noor/posts/pfbid02XDXmQMWFYNugbqgrNZAtXWeEdJpu2EEzRzc68oNk1i1W8gwQ3qbma4jwdbFiz2qzl

  10. Covid-19 dan Teori Konspirasi
    https://www.facebook.com/rushdan.noor/posts/pfbid02LvUkB8jGJe4U6RikcxTMg62DMwtdiugbrM8x4cBVzEf7vsgFvj9WeizaLPeAmnpSl

  11. Dakwaan “Detox” Vaksin Covid-19 Menggunakan Suplemen Anti-Spike Protein Adalah Tidak Berasas
    https://www.facebook.com/rushdan.noor/posts/pfbid0TYuAYywDSMcwhuM5WpAs5wevea4DFgU9XrXDT7VtHf78sWLew8mVKhfTJRVWC6asl

  12. Kajian di Malaysia: Ivermectin Tidak Berkesan Mencegah Covid-19 Menjadi Teruk
    https://www.facebook.com/rushdan.noor/posts/pfbid02eAQZ8m5kTMjSX3hP6xg74gi9GT89Vo1c8ccyYwSbLiBN9DJw9Y36E5wKAyGp1vSsl

Data-data ini merangkumi semua peringkat umur daripada kanak-kanak, remaja, dewasa, warga emas, sehinggalah wanita hamil. Ia bukan bersandarkan kepada satu kajian tunggal, tetapi disokong oleh pelbagai kajian besar yang menghasilkan dapatan yang selari.

Kajian berkaitan vaksin Covid-19 masih terus dijalankan dari semasa ke semasa. Setakat ini, bukti saintifik yang kukuh menunjukkan bahawa manfaat vaksin Covid-19 jauh mengatasi sebarang mudarat. Tuduhan tidak berasas daripada golongan antivaksin dapat dipatahkan sekiranya kita bersikap terbuka, kritikal dan bersedia menilai bukti secara objektif.

Bukti-bukti ini juga menolak dakwaan liar terhadap Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan para petugas kesihatan yang berada di barisan hadapan ketika wabak Covid-19 melanda negara. Sumbangan dan pengorbanan mereka wajar dihargai, malah mereka selayaknya diangkat sebagai wira yang membantu Malaysia keluar daripada krisis kesihatan global tersebut.

Dato' Dr.Rushdan Noor
1 Januari 2026

Tuesday, 30 December 2025

KAJIAN KE-ATAS LEBIH 1.2 JUTA KANAK2 MENDAPATI TIADA KAITAN ANTARA ALUMINIUM DALAM VAKSIN DAN AUTISMA

 

Aluminium dalam vaksin kanak-kanak sering menjadi sasaran dakwaan tidak berasas, khususnya kononnya ia menyebabkan autisma, alahan atau penyakit autoimun. Dakwaan ini berulang walaupun telah banyak kajian menolaknya. 

Bagi menjawab persoalan ini secara lebih menyeluruh, satu kajian kohort berskala nasional telah diterbitkan dalam Annals of Internal Medicine, menggunakan data kesihatan populasi Denmark yang sangat lengkap dan dipercayai.

Kajian ini melibatkan lebih 1.2 juta kanak-kanak yang lahir antara 1997 hingga 2018 dan diikuti sehingga tahun 2020. 

Para penyelidik mengira pendedahan kumulatif aluminium daripada vaksin dalam dua tahun pertama kehidupan, kemudian menilai sama ada pendedahan ini berkait dengan risiko penyakit kronik kanak-kanak, termasuk penyakit autoimun, alahan (atopi), serta gangguan perkembangan saraf seperti autisme dan ADHD.

Keputusan kajian adalah jelas dan konsisten. Tiada peningkatan risiko dikesan bagi penyakit autoimun atau alahan apabila pendedahan aluminium meningkat. 

Bagi gangguan perkembangan saraf, termasuk autisme dan ADHD, kajian ini bukan sahaja tidak menunjukkan peningkatan risiko, malah mendapati sedikit penurunan risiko secara statistik, yang menunjukkan ketiadaan kesan mudarat yang bermakna. 

Analisis juga telah mengambil kira pelbagai faktor perancu seperti latar belakang sosioekonomi, kesihatan ibu dan faktor persekitaran.

Dari sudut metodologi, kajian ini mempunyai kekuatan besar: saiz sampel yang sangat besar, penggunaan data pendaftaran kebangsaan, dan tempoh susulan yang panjang. Walaupun ia bukan kajian rawak terkawal, reka bentuk kohort dan pelarasan statistik yang teliti menjadikan dapatan kajian ini sangat kukuh dan relevan untuk penilaian keselamatan vaksin.

Kesimpulannya, kajian ini memberikan bukti kukuh bahawa aluminium dalam vaksin kanak-kanak tidak meningkatkan risiko penyakit kronik, termasuk autisma, alahan atau penyakit autoimun. 

Dapatan ini sekali lagi menafikan naratif ketakutan yang sering disebarkan tanpa asas saintifik, dan mengukuhkan keyakinan bahawa penggunaan adjuvan aluminium dalam program imunisasi kanak-kanak adalah selamat serta berlandaskan bukti sains yang kukuh.

Dato' Dr.Rushdan Noor

31hb Dis 2025

RUJUKAN

Andersson, N. W., et al. (2025). Aluminum-Adsorbed Vaccines and Chronic Diseases in Childhood: A Nationwide Cohort Study. Annals of Internal Medicine.

Friday, 26 December 2025

TREND KEMATIAN RAKYAT MALAYSIA 2015–2024 MENOLAK TUDUHAN VAKSIN COVID-19 MENYEBABKAN KEMATIAN YANG TINGGI


 


Salah satu dakwaan utama golongan antivaksin ialah kononnya ramai penerima vaksin Covid-19 meninggal dunia akibat suntikan vaksin di negara kita, malah mereka mendakwa jumlah kematian akibat vaksin lebih tinggi berbanding kematian akibat jangkitan Covid-19 itu sendiri. Statistik terbaru yang dikeluarkan oleh DOSM menafikan tuduhan ini. Ikuti penjelasan di bawah.

Jika dakwaan tersebut benar, kita sepatutnya melihat lonjakan mendadak dan berterusan dalam bilangan kematian keseluruhan selepas program vaksinasi bermula pada tahun 2021 dan 2022. Namun, graf Kadar Kematian Kasar (CDR) Malaysia 2015–2024 di bawah menunjukkan corak yang bertentangan. Walaupun terdapat lonjakan ketara pada tahun 2021, kadar dan bilangan kematian kemudiannya menurun semula dan kembali sejajar dengan trend sebelum wabak Covid-19.

Lonjakan kematian (arrow merah) pada tahun 2021 adalah selari dengan kemuncak jangkitan Covid-19, yang menurut data rasmi DOSM merupakan punca utama kematian pada tahun tersebut (sekitar 19.8% dari jumlah kematian). Apabila jangkitan mula dikawal melalui langkah kesihatan awam dan vaksinasi, Covid-19 tidak lagi menjadi penyumbang utama kematian, dan trend kematian keseluruhan kembali stabil. Trend ini dapat disaksikan dalam geraf di bawah.

Sehingga Mac 2022, kira-kira 27 juta rakyat Malaysia telah menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin Covid-19. Jika benar vaksin menyebabkan kematian dalam skala besar, katakan 1% sahaja daripada penerima vaksin meninggal dunia, ini bersamaan 270,000 orang, iaitu angka yang melebihi jumlah kematian tahunan negara. Lonjakan sebesar ini pasti akan kelihatan jelas dalam statistik kebangsaan.

Malah, andaian yang jauh lebih kecil iaitu 0.1% (27,000 kematian) juga sudah mencukupi untuk menghasilkan lonjakan ketara pada graf kematian. Namun, tiada corak sedemikian diperhatikan. Sebaliknya, bilangan dan kadar kematian selepas 2021 menurun dan kembali kepada landasan asal sebelum wabak.

Menurut data KKMNOW, jumlah keseluruhan kematian akibat jangkitan Covid-19 sejak permulaan wabak hingga tahun 2025 adalah sekitar 37,351 kes, dengan 83% (31,063 kematian) berlaku pada tahun 2021, iaitu sebelum liputan vaksinasi penuh dicapai. Corak ini sekali lagi mengesahkan bahawa kematian tinggi pada 2021 berpunca daripada jangkitan Covid-19, bukannya vaksin. Setiap kematian akibat Covid-19 ini telah disahkan secara perubatan.

Kesimpulannya, data DOSM dan KKM secara konsisten menafikan dakwaan bahawa vaksin Covid-19 menyebabkan kematian yang tinggi. Trend kematian ini selari dengan trend bilangan kes dan bilangan kematian akibat Covid-19. Statistik tidak menipu, persoalannya, siapa yang sebenarnya tertipu?


Dato' Dr.Rushdan Noor

19hb Dis 2025


Rujuk lain2 geraf di ruangan komen.





RISIKO MENGGUNAKAN PRINSIP "MEMILIH YANG KURANG MUDARAT DALAM POLITIK


 

RISIKO MENGGUNAKAN PRINSIP "MEMILIH YANG KURANG MUDARAT" DALAM POLITIK 

Saya bukan ahli agama dan tidak menulis dari sudut autoriti hukum. Pandangan ini lahir daripada pemerhatian sebagai orang awam yang berfikir dan mengikuti perkembangan politik semasa. Prinsip memilih yang kurang mudarat mungkin masuk akal dalam keadaan tertentu, tetapi penggunaannya dalam politik hari ini semakin kerap dan membimbangkan.

Apa yang saya faham, prinsip ini bukanlah ciptaan baharu. Ia berasal daripada kaedah fiqh yang sah, bertujuan mengurangkan kemudaratan sebenar apabila tiada pilihan yang benar-benar baik. Namun masalah bermula apabila prinsip ini dipisahkan daripada syarat, konteks dan batasan asalnya, lalu dijadikan lesen politik untuk menghalalkan apa sahaja tindakan yang menguntungkan pihak tertentu. Inilah isu yang akan dibincangkan di sini.

Pada asalnya, prinsip ini digunakan apabila semua pilihan tidak ideal dan keputusan perlu dibuat secara sementara. Namun dalam politik, ia sering dijadikan alasan umum untuk mempertahankan tindakan yang jelas bermasalah. Apa sahaja yang dipersoalkan akan dibalas dengan hujah sama: ini pilihan paling kurang buruk dalam situasi sekarang.

Apabila alasan yang sama boleh digunakan untuk hampir semua keadaan, ia boleh menukar prinsip kepada satu helah. Perkara yang sebelum ini dianggap salah atau tidak beretika mula dinormalisasikan atas nama realiti politik. Lama-kelamaan, piawaian moral awam diturunkan dan masyarakat diajar untuk pasrah memilih antara keburukan.

Lebih membimbangkan, hujah ini mematikan akauntabiliti. Kesalahan tidak lagi dijawab secara jujur, sebaliknya dibandingkan dengan keburukan pihak lain. Fokus beralih daripada betul atau salah kepada siapa yang lebih teruk. Akhirnya, kesilapan tidak pernah diperbetulkan, hanya dihalalkan.

Politik juga berubah menjadi politik ketakutan. Rakyat tidak diyakinkan dengan idea atau visi, tetapi ditekan dengan bayangan mudarat yang lebih besar jika mereka tidak menyokong pilihan tertentu. Ini bukan politik yang sihat, tetapi politik yang menjadikan rakyat kepada sekadar pengundi yang takut.

Siapa pula yang berhak untuk menentukan mudarat mana yang lebih kecil. Dalam teori, penilaian ini sepatutnya dibuat oleh individu atau autoriti yang benar-benar layak,berintegriti dan bebas daripada kepentingan peribadi. Namun dalam realiti politik, penilaian tersebut sering dilakukan oleh manusia yang terdedah kepada bias, tekanan kuasa, emosi, kepentingan atau survival politik. Akibatnya, apa yang dilabel sebagai “kurang mudarat” mungkin sebenarnya lebih menguntungkan pihak tertentu dan bukan rakyat. Penilaian seumpama ini boleh berubah-ubah mengikut masa dan keadaan, sesuatu yang dianggap salah hari ini boleh dihalalkan esoknya.

Prinsip memilih yang kurang mudarat bukan dosa atau kesalahan tetapi boleh disalahguna jika jatuh ke tangan orang yang tidak bertanggungjawab. Ia tidak sepatutnya menjadi norma berpolitik. Jika setiap pilihan sentiasa buruk, persoalan sebenar ialah kegagalan sistem menghasilkan pilihan yang lebih baik.

Sebagai rakyat, kita berhak menolak yang salah walaupun ia dilabel sebagai “kurang mudarat”, dan menuntut politik yang lebih berprinsip. Politik yang matang bukan sekadar memilih keburukan paling kecil, tetapi berusaha membina pilihan yang benar dan lebih baik,  walaupun jalannya sukar dan mengambil masa.

Dato' Dr.Rushdan Noor

26hb Dis 2025